ULAMA NUSANTARA

Tuesday, March 29, 2005

ULAMA MINANGKABAU

Kadi Kuala Lumpur yang pertama
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA yang berasal dari Minangkabau ini adalah termasuk di antara orang yang pertama tinggal di Kuala Lumpur awal-awal Bandar Kuala Lumpur diterokai. Riwayat penting ini kemungkinan jadi kabur sekiranya kita tidak mendapat catatan salah seorang murid beliau yang bernama Haji Abdullah Hukum. Walaupun hanya sedikit sekali Haji Abdullah Hukum dalam Warta Ahad, 27 Oktober 1935, hlm. 7 dan 8 menyebut nama Haji Utsman bin Abdullah namun dapat dipanjangkan dengan pelbagai sumber yang lain. Kita tidak dapat menafikan peranan yang dimainkan oleh orang-orang Minangkabau di Malaysia, khususnya di Negeri Sembilan, selanjutnya termasuk juga Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur sebelum kemerdekaan Malaya 1957 adalah dalam Kerajaan Selangor, oleh itu ulama yang akan dibicarakan di bawah ini juga dimasukkan dalam senarai ulama-ulama yang berkhidmat di Kerajaan Selangor Darul Ehsan atau setelah merdeka bererti beliau adalah ulama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Beliau adalah Imam, Khatib dan Kadi Kuala Lumpur yang pertama. Haji Utsman bin Abdullah dilahirkan di Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera Barat tahun 1267 H/1850 M. Wafat di Kuala Lumpur, Rabiulawal 1337 H/Januari 1919 M. Dimakamkan di Perkuburan Islam Ampang, bersebelahan dengan saudaranya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah al-Minankabawi (nama orang tuanya ketika menjadi Syeikhul Islam Perak bernama Muhammad Thaiyib).

PENDIDIKAN

Pendidikan asas diperoleh di Batu Sangkar yang pada zaman itu sangat terkenal sebagai pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang dimulai oleh Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi, ulama besar Minangkabau yang sangat terkenal, yang kemungkinan termasuk ada hubungan dengan beliau. Pelajaran dilanjutkan di Mekah, di antara guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan `Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Nawawi al-Bantani, dan ramai lagi.

Gurunya dari kalangan ulama-ulama yang bukan bangsa Melayu pula di antaranya ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani dan ramai lagi. Penghujung tahun 1884 M Haji Utsman bin Abdullah pulang ke Minangkabau. Memperhatikan kepulangannya ke Minangkabau penghujung tahun 1884 M bererti Haji Utsman bin `Abdullah sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar dua tahun saja, kerana ulama Patani itu mulai mengajar di Mekah sewaktu sesudah pulang dari Mesir tahun 1300 H/1882 M.

AKTIVITI DI KUALA LUMPUR

Catatan Haji Abdullah Hukum tentang Kuala Lumpur mula-mula diterokai sangat menarik juga, sebagai contoh bahawa hubungan dari Kelang ke Kuala Lumpur ketika itu masih menggunakan jalan sungai. Kalau musim kemarau bergalah menggunakan perahu dari Kelang ke Kuala Lumpur ditempuh antara 10 sampai 15 hari. Pada musim hujan, kerana air penuh, ditempuh hanya tiga hari saja. Menurut Haji Abdullah Hukum pula, bahawa jalan keluar masuk Kuala Lumpur ketika itu belum ada. Orang-orang keluar masuk ikut jalan perahu atau jalan jejak orang. Rumah-rumah kedai Kuala Lumpur atap daun. Dinding rumah pula dari tanah liat. Jambatan di Jawa Street diperbuat daripada buluh. Jambatan dekat pasar diperbuat daripada dua batang kayu. Ketika Kuala Lumpur mulai berkembang, masyarakat Minangkabau ramai berhijrah ke Kuala Lumpur. Akan kealiman Haji Utsman bin Abdullah mulai terserlah maka pada waktu itulah orang-orang Minangkabau sepakat mengajak beliau pindah ke Kuala Lumpur kerana ingin mendalami lagi ilmu-ilmu tentang Islam. Untuk jaminan hidupnya tinggal di Kuala Lumpur masyarakat telah menghibahkan untuk beliau sebidang tanah. Tanah itu ialah sepanjang pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang iaitu tanah yang dimulai dari Masjid Jamik Kuala Lumpur sampai ke kawasan yang berhampiran bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekarang.

Pengusaha

Haji Abdullah Hukum salah seorang murid Haji Utsman bin Abdullah dalam Warta Ahad, Oktober - November, 1935 mencatatkan bahawa Haji Utsman bin Abdullah yang diriwayatkan ini adalah mula-mula menjadi Imam dan kemudian menjadi Kadi Kuala Lumpur yang pertama. Beliau termasuk golongan orang kaya di Kuala Lumpur pada zaman itu.
Sungguhpun Haji Utsman bin Abdullah seorang ahli sufi, pengamal Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah dalam masa yang sama beliau juga tidak ketinggalan di tengah-tengah masyarakat yang bukan Islam di Kuala Lumpur pada zamannya, kekayaannya adalah setanding dengan orang-orang yang bukan Islam. Haji Abdullah Hukum murid beliau mencatatkan orang-orang kaya yang berasal dari Minangkabau yang sezaman dengan Haji Utsman bin Abdullah di Kuala Lumpur peringkat awal ialah Haji Abdus Samad, Haji Abdul Majid Panjang, Haji Abdus Samad Panjang, Haji Abdus Samad Kecil, Haji Muhammad Ali, Haji Utsman (Imam kemudian Kadi Kuala Lumpur), Haji Zainal Abidin, Hajah Fatimah, Haji Abdullah Panjang, Hasyim, Banginda Kaya Haji Arsyad dan Datuk Maharaja. Dari kalangan orang Mandailing pula ialah Sutan Puasa. Orang Kerinci ialah Haji Arsyad. Orang Melaka ialah Datuk Abdullah dan mentua Haji Abdullah Hukum. Orang Pulau Pinang ialah Che' Din, Encik Baki. Orang Aceh ialah Haji Saleh dan ada seorang orang Linggi. Dan orang Terengganu ialah Che' Soh.

Selain sebagai seorang Imam dan Khatib Kuala Lumpur, kadi, serta terlibat sebagai seorang pengusaha, beliau juga giat mengajar. Di antara muridnya ialah Sultan Abdus Shamad Selangor, Raja Mahmud, Sutan Puasa, Haji Abdullah Hukum, dan ramai lagi. Sutan Puasa yang tersebut diriwayatkan berasal dari Mandailing, Sumatera Timur, beliau adalah Ketua Melayu (Dato' Dagang) yang pertama di Kuala Lumpur

Berdasarkan catatan Haji Abdullah Hukum, bahawa masjid yang pertama di Kuala Lumpur ialah yang didirikan oleh ayah mentua beliau bernama Encik Baki. Masjid tersebut didirikan di Kampung Melaka (Batu Lane), dinamakan dengan ``Masjid Melaka'' selanjutnya dinamakan juga dengan ``Masjid Keling'' juga Masjid ``Chulia''. Masjid Melaka didirikan oleh pakatan orang-orang Melaka, tukangnya juga berasal dari Melaka. Oleh itu semua pegawai masjid tersebut adalah ditangani oleh orang-orang yang berasal dari Melaka. Selanjutnya mendirikan sebuah masjid baru yang terletak dekat gedung Gian Singh di Jawa Street.

Oleh sebab terdapat dua masjid yang berdekatan, iaitu Masjid Melaka dan Masjid Minangkabau, maka telah terjadi perselisihan sesama orang Melayu kerana masing-masing akan mendirikan sembahyang Jumaat dalam masjidnya. Menurut Mazhab Syafie bahawa tidak dibenarkan mendirikan sembahyang Jumaat yang berbilang-bilang dalam satu negeri kecuali apabila darurat. Sekiranya terjadi sembahyang Jumaat yang terdapat dua masjid atau lebih, maka yang sah sembahyangnya ialah di mana masjid yang lebih dulu takbiratul ihram, imam dalam masjid itu. Perselisihan sesama Islam dan sebangsa Melayu itu dapat di atasi secara bijaksana oleh Sultan Abdul Samad dengan cara supaya mendirikan sembahyang Jumaat secara bergiliran. Sekali Jumaat didirikan di Masjid Melaka, Jumaat yang berikutnya didirikan di Masjid Minangkabau, demikianlah seterusnya.

Peranan

Perselisihan sesama Islam dan sama-sama bangsa Melayu yang pernah terjadi ketika Kuala Lumpur mula-mula dibangun, serta peranan Sultan Abdul Samad seperti tersebut di atas patut dijadikan iktibar. Selain peranan Sultan Abdul Samad, yang termasuk salah seorang murid Haji Utsman bin Abdullah, dapat diambil kesimpulan bahawa tentu ada peranan yang dimainkan oleh Haji Utsman bin Abdullah sendiri. Nampaknya walaupun beliau berasal dari Minangkabau namun beliau tidak memihak kepada sesuatu pihak mana pun. Sebagai seorang ulama yang sekali gus seorang imam, khatib dan kadi ketika itu, beliau hanya terdiam, kemudian berfikir.
Buah fikirannya tidak disampaikan secara langsung kepada dua belah pihak yang sedang berselisih kerana kemungkinan pada pandangan beliau akan sia-sia belaka. Adalah langkah yang sangat bijak, buah fikirannya itu dipersembahkan kepada Sultan Abdul Samad. Demikianlah langkah yang kita perlukan pada semua penguasa (umara) dan ulama sepanjang zaman, sekiranya terjadi perselisihan sesama Islam dan sebangsa Melayu atau serumpun Melayu hendaklah diselesaikan secara bijaksana dan dapat diterima oleh semua pihak yang berselisih. Hendaklah kita sedar bahawa menyelesaikan sesuatu masalah secara tidak adil, apatah lagi berpihak kepada yang salah, adalah ibarat api di dalam sekam, padam pada satu ketika dan akan membakar pada ketika yang lain. Saya berpandangan bahawa Islam wajib bersatu padu, dan demikian juga bangsa Melayu juga wajib bersatu walau di negara mana pun mereka berada.

KETURUNAN

Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi memperoleh 7 orang anak iaitu;

1. Saodah binti Haji Utsman kahwin dengan Haji Abdur Rauf bin Syeikh Yusuf al-Minankabawi. Syeikh Yusuf al-Minankabawi adalah seorang ulama besar Minangkabau yang tinggal di Semenanjung. Salah seorang muridnya ialah Syeikh Abdul Wahhab Rokan yang sangat terkenal.
2. Haji Abdur Rahman bin Haji Utsman, salah seorang guru bahasa Melayu. Beliau mendapat pendidikan bahasa Melayu di Penyengat, Riau. Tahun 1903 menjadi Pengawas Sekolah-Sekolah Melayu di Singapura. Salah seorang muridnya ialah Tan Sri Mubin Sheppard. Haji Abdur Rahman bin Haji Utsman meninggal dunia pada 6 Februari 1975 M.

3. Haji Abdur Rahim bin Haji Utsman pengasas Majalah Guru. Beliau meninggal dunia pada 27 Ogos 1948 M.

4. Haji Abdul Jalil bin Haji Utsman, meninggal dunia tahun 1974 M.

5. Maimunah binti Haji Utsman, meninggal dunia tahun 1927 M.

6. Ahmad bin Haji Utsman, meninggal dunia tahun 1980 M.

7. Datuk Abu Bakar bin Haji Utsman, Datuk Syahbandar Sungai Ujong, Negeri Sembilan, meninggal dunia 24 Disember 1982 M.

Dari maklumat anak-anak beliau yang tersebut di atas dapat diambil kesimpulan bahawa ramai keturunan Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi tersebar di pelbagai negeri. Saya berterima kasih kepada Syahril salah seorang keturunan Syeikh Muhammad Nur, Kadi Langkat, yang ada hubungan kekeluargaan dengan ulama ini kerana banyak memberikan maklumat dalam penulisan artikel ini.

Thursday, March 24, 2005

KIYAI MUHAMMAD SALEH DARAT

ULAMA BESAR JAWA TENGAH
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ADA orang meriwayatkan bahawa tiga orang ulama yang berasal dari Pulau Jawa adalah sangat masyhur, sama ada tentang pencapaian keilmuan, ramai murid menjadi ulama, mahu pun nyata karamah dan barakah. Tiga orang ulama yang bersahabat, yang dimaksudkan ialah Syeikh Muhammad Nawawi al-Bantani @ Imam Nawawi ats-Tsani (lahir 1230 H/1814 M, wafat 1314 H/1896 M), Muhammad Khalil bin Kiyai Abdul Lathif (lahir 1235 H/1820 M) dan Kiyai Haji Saleh Darat yang lahir di Kedung Cemlung, Jepara, tahun 1235 H/1820 M, wafat di Semarang, hari Jumaat, 29 Ramadhan 1321 H/18 Disember 1903 M) ulama yang diriwayatkan ini.
Ketiga-tiga ulama yang berasal dari Jawa itu juga hidup sezaman dan seperguruan di Mekah dengan beberapa ulama yang berasal dari Patani seumpama Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M, wafat 1325 H/1908 M), Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (lahir 1234 H/1818 M, wafat 1312 H/1895 M) dan lain-lain. Mereka juga seperguruan di Mekah dengan Syeikh Amrullah (datuk kepada Prof. Dr. Hamka) yang berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat.

PENDIDIKAN

Ayahnya adalah seorang ulama besar dan pejuang Islam yang pernah bergabung dengan pasukan Pangeran Diponegoro dalam perjuangan jihad melawan penjajah Belanda. Beliau ialah Kiyai Haji Umar. Oleh itu Saleh Darat memperoleh ilmu asas daripada ayahnya sendiri. Sesudah itu beliau belajar kepada Kiyai Haji Syahid, ulama besar di Waturoyo, Pati, Jawa Tengah. Kemudian, dibawa ayahnya ke Semarang untuk belajar kepada beberapa ulama, di antara mereka ialah Kiyai Haji Muhammad Saleh Asnawi Kudus, Kiyai Haji Ishaq Damaran, Kiyai Haji Abu Abdillah Muhammad Hadi Banguni (Mufti Semarang), Kiyai Haji Ahmad Bafaqih Ba'alawi, dan Kiyai Haji Abdul Ghani Bima.

Ayahnya Kiyai Haji Umar sangat berhajat menjadikan anaknya itu seorang ulama yang berpengetahuan sekali gus berpengalaman. Ke arah ilmu pengetahuan telah dilaluinya di pendidikan pengajian pondok. Untuk memperoleh pengalaman pula mestilah melalui pelbagai saluran. Seseorang yang berpengetahuan tanpa pengalaman adalah kaku. Sebaliknya seseorang yang berpengalaman tanpa pengetahuan yang cukup adalah ibarat tumbuh-tumbuhan hidup di tanah yang gersang. Seseorang yang berjaya menghimpunkan pengetahuan dan pengalaman hidup yang demikianlah yang diperlukan oleh masyarakat Islam sepanjang zaman. Oleh hal-hal yang tersebut itu, ayahnya telah mengajak Saleh Darat merantau ke Singapura. Beberapa tahun kemudian, bersama ayahnya, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji.

Bertawakal

Ayahnya wafat di Mekah. Saleh Darat mengambil keputusan dengan bertawakal kepada Allah untuk tinggal di Mekah kerana mendalami pelbagai ilmu kepada beberapa orang ulama di Mekah pada zaman itu. Di antara gurunya ialah: Syeikh Muhammad al-Muqri, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Ahmad Nahrawi, Sayid Muhammad Saleh bin Sayid Abdur Rahman az-Zawawi, Syeikh Zahid, Syeikh Umar asy-Syami, Syeikh Yusuf al-Mishri dan Syeikh Jamal Mufti Hanafi.
Setelah beberapa tahun belajar, di antara gurunya yang tersebut memberi izin beliau mengajar di Mekah sehingga ramai pelajar yang datang dari dunia Melayu menjadi muridnya. Di antara muridnya sewaktu beliau mengajar di Mekah ialah Kiyai Haji Hasyim, Kiyai Haji Bisri Syansuri, dan ramai lagi.

Beberapa ulama yang tersebut itu, iaitu Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, dan Syeikh Umar asy-Syami adalah ulama-ulama yang mengajar di Masjid al-Haram, Mekah dalam tempoh masa yang sangat lama, sejak ulama yang sebaya dengan Syeikh Nawawi al-Bantani, Kiyai Haji Saleh Darat, Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dan lain-lain, hinggalah ulama-ulama peringkat Syeikh Ahmad al-Fathani. Kiyai Saleh Darat sebaya umurnya dengan ayah Syeikh Ahmad al-Fathani, namun sama-sama seperguruan dengan ulama-ulama Arab yang tersebut di atas.

PONDOK PESANTREN

Setelah menetap di Mekah beberapa tahun belajar dan mengajar, Kiyai Saleh Darat terpanggil pulang ke Semarang kerana bertanggungjawab dan ingin berkhidmat terhadap tanah tumpah darah sendiri. `Hubbul wathan minal iman' yang maksudnya, `kasih terhadap tanah air sebahagian daripada iman' itulah yang menyebabkannya mesti pulang ke Semarang. Sebagaimana tradisi ulama dunia Melayu terutama ulama Jawa dan Patani pada zaman itu, bahawa setelah pulang dari Mekah mestilah mengasaskan pusat pengajian pondok. Kiyai Saleh mengasaskan pondok pesantren di daerah Darat yang terletak di pesisir pantai kota Semarang. Sejak itulah beliau dipanggil orang dengan gelaran Kiyai Saleh Darat Semarang.

Terkenal

Dengan mengasaskan pondok pesantren itu nama Kiyai Haji Saleh Darat menjadi lebih terkenal di seluruh Jawa terutama Jawa Tengah. Ramai murid beliau yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal, di antara mereka ialah: Kiyai Haji Hasyim Asy'ari (ulama besar di Jawa, beliau termasuk salah seorang pengasas Nahdhatul Ulama), Kiyai Haji Muhammad Mahfuz at-Tarmasi (seorang ulama besar dalam Mazhab Syafie yang sangat ahli dalam bidang ilmu-ilmu hadis), Kiyai Haji Ahmad Dahlan (pengasas organisasi Muhammadiyah), Kiyai Haji Idris (pengasas Pondok Pesantren Jamsaren, Solo), Kiyai Haji Sya'ban (ulama ahli falak di Semarang) dan Kiyai Haji Dalhar (pengasas Pondok Pesantren Watucongol, Muntilan, Magelang). Raden Ajeng Kartini yang menjadi simbol kebangkitan kaum perempuan Indonesia juga adalah murid Kiyai Saleh Darat.

Tiga orang di antara murid beliau adalah disahkan sebagai Pahlawan Nasional Indonesia, iaitu; Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1868 M - 1934 M), dengan Surat Keputusan Pemerintah RI, No. 657, 27 Disember 1961, dianugerahi Gelar Pahlawan Kemerdekaan Nasional. Hadhratusy Syeikh Kiyai Haji Hasyim Asy'ari (1875 M - 1947 M), dengan Surat Keputusan Presiden RI, No. 294, 17 November 1964 dianugerahi Gelar Pahlawan Kemerdekaan Nasional dan Raden Ajeng Kartini (1879 M - 1904 M), dengan Surat Keputusan Presiden RI, No. 108, 12 Mei 1964 dianugerahi Gelar Pahlawan Kemerdekaan Nasional.

Murid Kiyai Haji Saleh Darat yang sangat terkenal di peringkat antarabangsa kerana karangannya menjadi rujukan ialah Kiyai Haji Muhammad Mahfuz at-Tarmasi atau menggunakan nama lengkap Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi (1285 H/1868 M - 1358 H/1939 M). Dua buah karyanya yang besar dan sangat terkenal dalam bahasa Arab ialah Muhibah Zawin Nazhar syarah Kitab Ba Fadhal merupakan kitab fikah Mazhab Syafie yang ditulis dalam empat jilid tebal. Dan sebuah lagi Manhaj Zawin Nazhar merupakan syarah kitab hadis membicarakan ilmu mushthalah dan lain-lain yang ada hubungan dengan hadis.

PENULISAN

Di antara karangan Kiyai Haji Syeikh Saleh Darat as-Samarani yang telah diketahui adalah seperti berikut:
1. Kitab Majmu'ah asy-Syari'ah al-Kafiyah li al-'Awam, kandungannya membicarakan ilmu-ilmu syariat untuk orang awam
2. Kitab Munjiyat, kandungannya tentang tasawuf, merupakan petikan perkara-perkara yang penting dari kitab Ihya' `Ulum ad-Din karangan Imam al-Ghazali
3. Kitab al-Hikam, kandungannya juga tentang tasawuf, merupakan petikan perkara-perkara yang penting daripada Kitab Hikam karangan Syeikh Ibnu `Athaullah al-Askandari.
4. Kitab Latha'if at-Thaharah, kandungannya membicarakan tentang hukum bersuci
5. Kitab Manasik al-Hajj, kandungannya membicarakan tatacara mengerjakan haji
6. Kitab ash-Shalah, kandungannya membicarakan tatacara mengerjakan sembahyang
7. Tarjamah Sabil al-`Abid `ala Jauharah at-Tauhid, kandungannya membicarakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, mengikut pegangan Imam Abul Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Manshur al-Maturidi.
8. Mursyid al-Wajiz, kandungannya membicarakan tasawuf atau akhlak.
9. Minhaj al-Atqiya', kandungannya juga membicarakan tasawuf atau akhlak.
10. Kitab Hadis al-Mi'raj, kandungannya membicarakan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Baitul Maqdis dan selanjutnya hingga ke Mustawa menerima perintah sembahyang lima kali sehari semalam. Kitab ini sama kandungannya dengan Kifayah al-Muhtaj karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
11. Kitab Faidhir Rahman, kandungannya merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran ke dalam bahasa Jawa. Kitab ini merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Jawa di dunia Melayu. Menurut riwayat, satu naskhah kitab tafsir tersebut pernah dihadiahkan kepada Raden Ajeng Kartini ketika berkahwin dengan R.M. Joyodiningrat (Bupati Rembang).
12. Kitab Asrar as-Shalah, kandungannya membicarakan rahsia-rahsia sembahyang.

Hampir semua karya Kiyai Haji Saleh Darat ditulis dalam bahasa Jawa dan menggunakan huruf Arab (Pegon atau Jawi); hanya sebahagian kecil yang ditulis dalam bahasa Arab. Di tangan saya hanya terdapat sebuah yang ditulis dalam bahasa Melayu. Yang ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan nama Syeikh Muhammad Shalih bin Umar as-Samarani. Sebahagian besar kitab-kitab yang tersebut sampai sekarang terus diulang cetak oleh beberapa percetakan milik orang Arab di Surabaya dan Semarang. Ini kerana ia masih banyak diajarkan di beberapa pondok pesantren di pelbagai pelosok Jawa Tengah.

Ada orang berpendapat bahawa orang yang paling berjasa menghidupkan dan menyebarluaskan tulisan Pegon (tulisan Arab bahasa Jawa) ada tiga orang, ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, Kiyai Khalil al-Maduri dan Kiyai Haji Saleh Darat Semarang. Pada pandangan saya, Kiyai Haji Saleh Darat adalah yang lebih dapat diakui, kerana apabila kita pelajari karya-karya Syeikh Nawawi al-Bantani semuanya dalam bahasa Arab bukan dalam bahasa Jawa. Kiyai Khalil al-Maduri pula hingga kini saya belum mempunyai karya beliau sama ada dalam bahasa Jawa, atau pun bahasa Melayu mahu pun dalam bahasa Arab.

Thursday, March 17, 2005

SYEIKH MUHAMMAD AZHARI AL-FALIMBANI

PENYAMBUNG AKTIVITI ULAMA PALEMBANG
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

PENYELIDIKAN awal yang saya lakukan terhadap ulama besar ahli sufi yang berasal dari Palembang, Sumatera Selatan ini dimulai dengan terdapat sebuah kitab berjudul Badi'uz Zaman, karyanya yang disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Al-Fatawal Fathaniyah. Ada satu permasalahan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak sependapat dengan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu, iaitu mengenai perbahasan sifat ``harus bagi Allah''. Menurut Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani ``harus bagi Allah ada empat perkara'', sedangkan menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dan pendapat ulama ahli tauhid ``harus bagi Allah itu hanya satu sahaja'', iaitu ``memperbuat sekalian mungkin atau meninggalkannya ``.
Bertahun-tahun saya mencari kitab Badi'uz Zaman karya Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu akhirnya diperoleh juga, bahkan banyak lagi karangan beliau selain itu dapat saya kumpulkan. Pada mulanya ada beberapa perkara yang saya ragukan terhadap ulama ini, di antaranya sebuah karyanya yang diselesaikan pada tahun 1259 Hijrah/ 1843 Masehi dan karya beliau yang terakhir disebutkan bahawa diselesaikan dalam tahun 1324 Hijrah/ 1906 Masehi. Memperhatikan tahun yang tersebut itu bererti beliau telah hidup pada zaman Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan masih hidup pula pada zaman Syeikh Ahmad al-Fathani. Bererti daripada penulisan pertama hingga yang terakhir memakan masa sekitar 65 tahun. Mengenai nama beliau pula ada yang ditulis dengan menggunakan Muhammad bin Abdullah al-Azhari al-Falimbani dan yang lain dengan Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani. Dalam buku Masuk dan Berkembangnya Islam di Sumatera Selatan, tercatat nama yang lain pula, iaitu Kiyai Haji Kemas Muhammad Azhari atau dikenal juga dengan sebutan Kiyai Syeikh dan Kiyai Pedatukan. Disebutkan juga riwayat yang sangat ringkas mengenainya, ``Beliau sangat mendalami ajaran Islam, dan mungkin merupakan orang Indonesia pertama menuntut ilmu serta melakukan pengembaraan ke negeri-negeri Arab, Mesir, Syria, dan India serta negeri-negeri lainnya. Beliau diikuti oleh puteranya iaitu Haji Kemas Abdullah Azhary''(2).
Terakhir sekali biografi yang agak lengkap mengenai anaknya ditulis oleh Syeikh Yasin Padang dalam beberapa buah bukunya banyak dapat menolong ke arah jawapan kemusykilan-kemusykilan penyelidikan terhadap ulama ini.

PENDIDIKAN

Nama lengkapnya As-Shufi as-Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah bin Muhammad Asyiquddin bin Shafiyuddin Abdullah al-'Alawi al-Husaini. Mengenai guru-guru beliau dalam beberapa tempat karyanya ada beliau catatkan di antaranya, ``Maka inilah salasilah Thariqat al-Khalwatiyah as-Samaniyah, turun-turun tempat mengambil zikir dan kaifiyatnya bagi Wali Allah yang terlebih
takut akan Allah Taala, iaitu Quthbur Rabbani dan arif yang shamadani, guru kita dan penghulu kita, iaitu asy-Syeikh Muhammad bin asy-Syeikh Abdul Karim as-Samani yang telah masyhur. Dan sesungguhnya telah mengambil talqin zikir ini oleh faqir Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Falimbani. Ia mengambil daripada asy-Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani. Ia mengambil daripada asy-Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Ia mengambil daripada Quthbul Akwan Saiyidinasy Syeikh Muhammad Saman al-Madani...''
Pada tempat yang lain Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani menyebut Syeikh Ma'ruf bin Abdullah (belum jelas apakah sama dengan Syeikh Abdullah bin Ma'ruf seperti yang tersebut di atas). Selain itu beliau menyebut bahawa menerima Thariqat Qadiriyah kepada Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi. Ia mengambil daripada Syeikh Muhammad Mukrim, Mufti Hamad di Syam. Menurut Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani lagi bahawa Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sumbawi itu adalah penyusun kitab Tuhfatul Qudsiyah.
Pada bacaan hadiah al-Fatihah pula disebut beberapa orang ulama, iaitu Syeikh Abdul Lathif Musyarri', Syeikh Abdur Rahman Musyarri', Syeikh Abdullah Amin al-Haji Bastam. Kemungkinan yang beliau sebutkan ini adalah guru-guru beliau, yang beliau sebut sebagai Syaikhuna.

BELAJAR

Selain sumber asli Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani sendiri seperti yang telah dinukil di atas, daripada sumber Syeikh Yasin Padang pula beliau menyebut nama-nama guru Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu. Bahawa beliau belajar kepada ayahnya Syeikh Abdullah. Syeikh Abdullah belajar kepada ayahnya Syeikh Asyiquddin. Syeikh Asyiquddin belajar kepada beberapa orang ulama iaitu Muhammad Murad as-Sandi, Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani, Muhammad bin Abdul Karim Saman, Abdul Wahhab at-Tantawi, Sa'id bin Hilal al-Makki. Semua ulama tersebut adalah murid kepada Ahmad bin Muhammad an-Nakhali, Abdullah bin Salim al-Basri dan Sayid Muhammad bin Abi Bakar asy-Syibli. Ketiga-tiga ulama ini adalah murid asy-Syamsu Muhammad bin al-'Ala al-Babili. Kemudian Syeikh Yasin Padang menyebut pula daripada salasilah yang lain, bahawa Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani adalah murid kepada Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Syeikhah Fatimah ini adalah murid ayahnya sendiri, iaitu Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, sanad/salasilah beliau ini ada beberapa jalur, tetapi tidak disebutkan di sini. Daripada salasilah lain Syeikh Yasin Padang menyebut pula bahawa Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani murid kepada Sayid Ahmad bin Muhammad al-Hadhrawi. Beliau adalah murid kepada ayah dan datuknya asy-Syihab Ahmad bin Ahmad al-Mansuri. Beliau murid kepada Sayid Muhammad Murtadha az-Zabidi, Muhammad al-Amir al-Kabir, Abi Abdillah Muhammad bin `Aqilah al-Makki al-Ahdal dan Abdul Ghafur as-Sandi.
Kesimpulan daripada salasilah/sanad di atas dan hasil kajian daripada karya-karya Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani sendiri yang menyebut nama beberapa orang ulama yang berasal dari Palembang, terutama yang menjadi rujukan utama dan pegangan kukuh bagi beliau ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, bahkan Syeikh Muhammad Azhari adalah murid Fatimah anak Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, maka dapat dipastikan bahawa beliau sebagai ulama penyambung aktiviti-aktiviti penulisan ulama Palembang. Pada pandangan dan pendapat saya sesudah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Palembang, Sumatera Selatan nampaknya dalam kekeringan ulama yang terjun ke dunia penulisan kitab. Dengan kemunculan Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani yang pertalian keilmuannya mempunyai hubungan dengan ulama-ulama Palembang secara asli, maka dapatlah kita anggap bahawa beliaulah tokoh terbesar ulama Palembang sesudah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang sangat terkenal itu.

KARYA-KARYA DAN PEMIKIRAN

Setakat ini karya-karya Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah al- Falimbani yang telah ditemui ialah:
1. `Atihyatur Rahman fi Bayani Qawa'idil Iman, ditulis pada tahun 1259 H/1843 M. Kitab ini banyak kali dicetak bersama karya gurunya Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi Sumbawi berjudul Sirajul Huda. `Athiyatur Rahman sentiasa dicetak di bahagian tepi Sirajul Huda
2. `Aqaidul Iman li Ma'rifatil Ilahir Rahman, diselesaikan di Mekah, 18 Safar 1309 Hijrah/1891 Masehi. Dicetak dengan huruf batu di Singapura pada 8 Syawal 1319 Hijrah/1901 Masehi, iaitu naskhah yang disalin oleh `Alwi bin Idrus al-'Aidrus.
3. Badi'uz Zaman fi Bayani `Aqaidil Iman, diselesaikan di Mekah, 21 Rabiulakhir 1310 Hijrah/1892 Masehi, cetakan pertama dan ketiga oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah (pertama 1310 Hijrah dan ketiga 1329 Hijrah).
4. Bidayatur Rahman, 1324 Hijrah/1906 Masehi. Pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1330 Hijrah/1911 Masehi.
5. Amalan Doa `Ukasyah Bergantung Makna Serta Dengan Syarahnya, tanpa disebutkan tarikh penulisan. Dicetak di tempat Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad, Singapura. Cetakan ini diusahakan oleh seorang muridnya Hasan bin Abdusy Syukur.

TASAWUF

Apabila kita mengkaji pemikiran Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani, maka sebahagian besar jalan pemikirannya menjurus kepada pemikiran tasawuf dan sedikit pemikirannya mengenai tauhid. Selain itu dari sudut sastera Melayu beliau juga menggubah beberapa untaian syair. Menurut Syeikh Muhammad Azhari bahawa jalan tetap iman itu ada kalanya mengambil dalil daripada ayat al-Quran, hadis dan pandangan yang membawa kepada `ilmul yaqin', dan adakalanya dengan `musyahadah' akan `Kamal Sifat-Nya'. Syeikh Muhammad Azhari, memetik pendapat Syeikh Tusi, mengenai martabat orang `ahli syuhud', yang dihuraikan dengan agak panjang.

KETURUNAN DAN MURID

Mengenai anak Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani yang menjadi ulama terdapat dua sumber dalam karya bahasa Arab. Kedua-duanya ialah tulisan Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair judul Nasyrun Naur waz Zahar. Sumber yang kedua ialah karya Syeikh Yasin Padang dalam Tasyniful Asma' Syuyuhil Ijazah was Sama', juga dalam Bulughul Amani. Syeikh Muhammad Azhari telah mendidik anaknya itu, kemudian menyerahkannya belajar kepada beberapa orang ulama terkenal di Mekah. Anak beliau yang tersebut bernama Syeikh Abdullah Azhari, lahir di Mekah, menurut Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair. Tetapi menurut Syeikh Yasin Padang, bahawa beliau lahir di Palembang, malam Khamis, 18 Syaaban 1279 Hijrah/1862 Masehi. Wafat pada hari Ahad, 16 Zulkaedah 1357 Hijrah/1938 Masehi, dalam usia lebih kurang 78 tahun. Pada masa hidupnya bergiat dalam mengajar di Mekah dan usaha penanganan Syeikh Haji. Keturunan beliau selanjutnya tidak disebut dalam karya kedua-dua penulis yang tersebut, namun sampai pada masa berakhirnya sistem Syeikh Haji di Mekah masih terdapat tanda nama Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani. Ini bererti keturunan beliau masih aktif dalam pengurusan Syeikh Haji di Mekah pada masa itu.
Selain Syeikh Abdullah Azhari sebagai anak, sekali gus adalah muridnya, barangkali ramai murid Syeikh Muhammad Azhari al-Falimbani itu, di antaranya ialah Haji Hasan bin Abdusy Syukur yang berusaha menerbitkan karya beliau. Syeikh Muhammad Azhari al- Falimbani telah menyebarkan Thariqat Sammaniyah-Khalwatiyah di tempat-tempat pengembaraannya terutama sekali di dunia Melayu. Dalam dunia tarbiyah thariqah shufiyah yang dijalankannya, beliau adalah seorang tokoh yang melanjutkan tatacara yang dilakukan oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Mengenai Thariqat Qadiriyah nampaknya nama beliau tidak begitu ditonjolkan kerana tenggelam dalam kebesaran kemursyidan Syeikh Ahmad Khathib Sambas.

RAJA HAJI ABDULLAH

YAM TUAN MUDA RIAU KE IX
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

RAJA Haji Abdullah adalah putera Raja Ja'afar Yamtuan Muda Riau VI. Raja Haji Abdullah termasuk seorang ulama sufi, seorang mursyid dalam Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Mula-mula beliau belajar kepada saudara sepupunya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad. Setelah itu ke Mekah belajar kepada Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi, Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Syeikh Ahmad al-Jabarti, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain.
Sewaktu beliau pulang ke Riau, dialah yang membawa Syeikh Syihabuddin al-Banjari dan Syeikh Ahmad al-Jabarti datang ke Riau untuk dijadikan guru. Kemudian setelah dia menetap di Riau, Syeikh Ismail Minangkabau datang ke Riau. Raja Haji Abdullah sungguh pun seorang raja, namun menyediakan dirinya sebagai khadam Syeikh Ismail al-Minankabawi, ulama besar yang sudah terkenal di Mekah itu.
Sewaktu Syeikh Ismail al-Minankabawi berangkat ke Singapura, dan mungkin ke mana saja Syeikh Ismail pergi, termasuk ke Kedah, Raja Haji Abullah ikut serta kerana mengharapkan limpah barakah pancaran ilmu sufi yang demikian tinggi yang ada pada peribadi Syeikh Ismail al-Minankabawi itu. Raja Haji Abdullah digelar juga dengan Haji Muda. Selain itu sebagai gelar tertinggi bagi penganut thariqat beliau disebut sebagai Marhum Mursyid. Gelar ini setelah baginda mangkat. Sebenarnya gelar itu memang sesuai untuknya kerana baginda adalah putera Riau yang diakui oleh gurunya Syeikh Ismail Minangkabau sebagai Khalifah Mursyid yang boleh mentawajjuh dan membai'ah para ikhwan Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah itu, apabila Syeikh Ismail Minangkabau tidak berada di Riau.
Setelah saudaranya Raja Ali bin Raja Ja'afar mangkat, Raja Haji Abdullah menggantikan saudaranya sebagai Yamtuan Muda Riau-Lingga ke IX. Walaupun Raja Haji Abdullah sebagai penguasa tertinggi kerajaan Riau-Lingga, namun baginda tetap sebagai seorang tokoh ahli sufi yang melakukan ibadah dengan rutin sebagaimana disebut oleh Raja Ali Haji, ``Maka di dalam hal itu, maka ia pun duduk di dalam berbuat ibadat juga dengan segala sanak-sanak saudaranya serta menjalankan ibadat Thariqat Naqsyabandiyah itu. Maka tiadalah berhenti khatam dan tawajjuhnya pada tiap-tiap malam Selasa dan hari Jumaat serta menderas ilmu di balainya, iaitu Raja Haji Ali mengajar-ngajar serta membaca kitab-kitab akan segala sanak-sanak saudaranya serta pegawai-pegawai negeri. Ada pun kitab yang dibacanya itu kitab fikah: sah, batal, halal, haram ...''

BERAMBISI

Raja Haji Abdullah bukanlah seorang yang berambisi atau hubbud dun-ya atau hubbul jah, bahawa baginda berkehendak jadi Yamtuan Muda Riau-Lingga itu, tetapi adalah sebaliknya, pangkat yang disandangnya hanyalah berupa anugerah Allah jua adanya. Ini dapat dibuktikan daripada kata-katanya, ``Saya ini, apabila setahun di dalam pekerjaan raja ini, saya hendak berhenti, jika dikehendaki oleh goverment, adalah ganti saya anak saya Muhammad Yusuf.'' Perkataan tersebut seakan-akan sindiran bahawa seolah-olah baginda tahu daripada pandangan kasyaf, umurnya tidak akan berapa lama lagi, baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini. Selanjutnya baginda mengatakan, ``Ada pun anak-anak sulbi saya tiadalah yang kebetulan kepada hati saya, yang saya hendak pindah ke Bentan, atau mana-mana tempat yang sunyi membuat ibadat.'' Adapun Raja Muhammad Yusuf di atas bukan puteranya tetapi adalah anak saudaranya. Puteranya ketika itu sedang belajar di Mekah namanya Raja Haji Muhammad atau digelar juga dengan Tengku Nong. Raja Haji Muhammad/Tengku Nong itu merupakan orang ketiga mengadakan konteks dengan alim-ulama di Mekah sesudah Raja Haji Ahmad bin Raja Haji dan Raja Haji Abdullah.
Raja Haji Abdullah Yamtuan Muda Riau ke IX jatuh sakit tumbuh bisul di belakangnya. Penyakit itu mengakibatkan ajalnya. Sebagaimana saudaranya Raja Ali ketika akan mangkat dulu sempat berwasiat dan wafat dalam kalimah zikrullah, maka Raja Haji Abdullah yang tinggi pengetahuan sufiyahnya tentu lebih daripada itu adanya. Baginda juga memanggil sanak saudaranya terutama Raja Ali Haji. Baginda juga sempat meninggalkan wasiat. Raja Ali Haji menulis, ``Maka hampirlah wafatnya, maka ia pun memanggil kekandanya Raja Ali Haji dekat-dekat dia, ia minta riba (pangku, pen:) kepalanya. Maka ia pun bercakap perlahan-lahan pada pekerjaan barzakh, iaitu ba'dal maut, serta beringat-ingatan ilmu, fatwa segala Masyaikh Ahli Thariqat...'' Kemudian ia pun minta tasbihnya diunjukkan isterinya sambil menangis, kemudian bertanya pula ia kepada Raja Ali, ``Pukul berapa ini?''.
Kata Raja Ali, ``Hampir pukul sebelas!''
Katanya, ``Uzurkah tuan hari ini? Tiada usahlah sembahyang Jumaat dahulu, ditinggalkan saja!''.
Jawab Raja Ali, ``Baiklah !''
Seketika lagi ia pun berkata, ``Sesak dada!''
Sekira-kira sampai pukul dua setengah istighfarlah ia di dalam zikir nafi itsbat zal Haq, zikir ismuz Zat. Seketika, rohnya pun berpindah dari negeri fana' ke negeri yang baqa'. Surat wasiatnya diserahkan kepada Raja Ali Haji sementara menunggu puteranya Raja Muhammad/Tengku Nong pulang dari Mekah. Ada pun wasiat itu tulisan tangan dengan huruf Melayu/ Jawi atas kertas lebar dengan khat indah sebagai yang berikut, ``Tarikh as-Sanah 1276, kepada 26 hari bulan Zulhijjah, hari Sabtu, bahawasanya kita Raja al-Haji Abdullah Yang Di Pertuan Muda membuat suatu surat wasiat ini bagi anak-anaknya. Dan pada ketika tarikh ini juga yang aku telah memberikan kepada anakku Maimunah, dan Puteri, dan Muhammad bin Abdullah dan Muhammad Thahir, daripada segala harta bendaku, yang aku tiada mempunyai sesuatu jua, tetapi selagi aku hidup ini seperti orang meminjam jua kepada anakku yang empat orang itu. Dan tiadalah boleh seseorang saudaranya mendakwakan dia adanya.
Fasal Yang Pertama: Adapun rumah dengan sampah sarapnya hak bagi Maimunah dan si Puteri. Adapun segala senjata besar-kecil hak bagi Muhammad. Syahdan dari kebun seperti Pulau Soreh pulang kepada Muhammad bin Abdullah. Dan perahu, sampan, jongkong mana-mana yang ada itu pulang kepada Muhammad bin Abdullah juga. Sebermula jika aku pulang ke rahmatullah Ta'ala, Muhammad bin Abdullah itulah jadi kuasa, dan memerintah, dan memeliharakan segala saudaranya tiada boleh anak-anakku yang lainnya, melainkan dia yang terlebih kuasa daripadanya.
Fasal Yang Kedua: Apabila sudah sampai ajalku, segala hutang aku Muhammad bin Abdullah membayarnya serta mufakat ia dengan ibunya Raja Hawi. Maka jika sudah sampai akil baligh Muhammad Thahir, jika tiada ibunya hendaklah ia mufakat dengan dia pada menyelesaikan hutang-hutang aku itu. Jikalau aku tiada terikhtiarkan yang demikian itu mufakatlah engkau kepada siapa yang menggantikan aku adanya.
Fasal Yang Ketiga: Mana-mana hutangku yang kena kepada pekerjaan kerajaan, maka iaitu Raja Mudalah yang membayarnya, seperti hutang perang atau kerana sesuatu yang lain yang hendak membaiki negeri dan belanja ``mashalihul muslimin''. Jika dengan sebab itu lazimlah Raja Muda itu membayarnya. Demikianlah adatnya selama-lamanya pusaka kita Upu Bugis.
Sathar
Fasal Yang Keempat: Jangan aku ditanam seperti raja-raja, tanamlah aku seperti menanam seorang fakir. Dan jangan aku dimandikan ramai-ramai. Taruh aku di dalam satu sathar dengan dua tiga orang yang saleh. Hawilah memandikan aku, dan janganlah aku diriba. Letakkan sahaja aku di atas suatu tempat yang suci atau di atas sarir yang terus airnya. Mandikanlah aku seperti barang yang telah disebutkan kaifiatnya di dalam kitab fikah. Dan lagi jangan engkau semua yang hidup sepeninggalan aku bersusah-susah belanja tajhiz aku. Jikalau hendak juga engkau semua mentahlilkan aku suruhlah tahlilkan dengan khalifah syeikh kita. Dan boleh engkau beri sedekah ala kadar kifayahnya. Dan jangan sekali-kali menyakit diri yang di luar syariat Rasulullah s.a.w. Hendak engkau semua turut akan jalan yang sebenarnya. Dan haji dan umrah semua selesai tiada lagi menyusahkan adanya. Adapun senjata besar kecil pulang kepada Muhammad Thahir semuanya.
Fasal Yang Kelima: Sesiapa yang menggantikan aku hendaklah engkau semua turut perintahnya. Dan jangan engkau dengki hasad kepadanya, tiada selamat. Dan engkau semua kerjakanlah dia dengan cuci putih hati kepadanya, inilah jalan orang yang baik-baik. Apa yang ada sampah sarap yang aku tinggalkan kepada kamu, jikalau Raja Muda itu berkehendak jangan sekali-kali ditahan adanya.
Fasal Yang Keenam: Engkau semua adik beradik jangan sekali menaruh hasad dan dengki sesama sendiri. Dan jangan bercerai engkau semua dari jalan mufakat dengan saudara-saudaramu yang lain seperti anak Marhum Abdur Rahman, dan anak marhum Raja Ali kerana adalah Marhum kedua itu saudara syaqiqah, yakni saudaraku seibu sebapa adanya.
Fasal Yang Ketujuh: Jangan engkau semua tiada mendengar nasihat ajaran ulama dan shulaha' jika engkau tiada kuasa menuntut kepadanya. Maka jika engkau kuasa menuntut, maka inilah yang sangat gemar dan tuntutku. Kerana tersebut di dalam hadis Nabi s.a.w. Ertinya: ``Menuntut ilmu fardu atas tiap-tiap Islam laki-laki dan Islam perempuan''. Tiada aku panjangkan pada fadilat menuntut ilmu itu melainkan jikalau Allah bukakan hatimu pada menuntut itu ialah yang sebaik-baik jalan dan nikmat yang tiada dapat dibagaikan fid dun-ya wal akhirah.
Fasal Yang Kelapan: Sayugianya engkau merendahkan diri kepada pangkat saudara tua atau pangkat bapa kepadamu. Hendaklah engkau ber''patik'' jikalau serupa gara sekalipun umpamanya. Dan engkau dengar juga akan nasihatnya dan segala ajarannya yang patut pada syarak dan adat.
Fasal Yang Kesembilan: Pesanku kepada kamu sekalian, hendaklah kamu memuliakan anak cucu Rasulullah s.a.w. apa lagi yang sudah jadi kaum kerabat kita; jangan sekali-kali hasad dengki akan dia, seperti abang ``Embong'' dan abang ``Syeikh Engku'' hendaklah engkau jadikan ia seperti saudaramu yang betul adanya.
Fasal yang kesepuluh: Jangan membangsat dan serta rapik pinta meminta kepada segala rakyat raja, inilah pesan datuk nenek moyangku, pantang yang tiada boleh dilalui juga, tiada selamat dunia akhirat kerana banyak daripada beberapa kebinasaan mendatangkan murka Allah Taala Yang Maha Besar.
Inilah wasiat yang aku tahshishkan kepada Muhammad Abdullah al-Khalidi. Bermula hendaklah kiranya engkau ingatkan baik-baik sepeninggal aku mati''.

SYEIKH NAWAWI AL-BANTANI

DIGELAR IMAM NAWAWI KEDUA
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

NAMA Imam Nawawi tidak asing lagi bagi dunia Islam terutama dalam lingkungan ulama-ulama Syafi'iyah. Ulama ini sangat terkenal kerana banyak karangannya yang dikaji pada setiap zaman dari dahulu sampai sekarang. Pada penghujung abad ke-18 lahir pula seorang yang bernama Nawawi di Banten, Jawa Barat. Setelah dia menuntut ilmu yang sangat banyak, mensyarah kitab-kitab bahasa Arab dalam pelbagai disiplin ilmu yang sangat banyak pula, maka dia digelar Imam Nawawi ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua. Orang pertama memberi gelaran demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Gelaran yang diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan syairnya itu akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat ulama yang berasal dari Banten itu. Sekian banyak ulama dunia Islam sejak sesudah Imam Nawawi yang pertama (wafat 676 Hijrah/1277 Masehi) sampai sekarang ini belum ada orang lain yang mendapat gelaran Imam Nawawi ats-Tsani, kecuali Syeikh Nawawi, ulama kelahiran Banten yang dibicarakan ini. Rasanya gelaran demikian memang dipandang layak, tidak ada ulama sezaman dengannya mahupun sesudahnya yang mempertikai autoritinya dalam bidang ilmiah keislaman menurut metode tradisional yang telah wujud zaman berzaman dan berkesinambungan.
Sungguhpun Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani diakui alim dalam semua bidang ilmu keislaman, namun dalam dunia at-thariqah ash-shufiyah, gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak melantik beliau sebagai seorang mursyid Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang dilantik ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh Nawawi al-Bantani, yang sama-sama menerima thariqat itu kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Apakah sebabnya terjadi demikian hanya diketahui oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani mematuhi peraturan yang diberikan itu, sehingga beliau tidak pernah mentawajuh/membai'ah seseorang muridnya walaupun memang ramai murid beliau yang menjadi ulama besar yang berminat dalam bidang keshufian.

LAHIR DAN PENDIDIKAN

Nama lengkapnya adalah Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi al-Bantani. Beliau adalah anak sulung seorang ulama Banten, Jawa Barat, lahir pada tahun 1230 Hijrah/1814 Masehi di Banten dan wafat di Mekah tahun 1314 Hijrah/1897 Masehi. Ketika kecil, beliau sempat belajar kepada ayahnya sendiri, dan di Mekah belajar kepada beberapa ulama terkenal pada zaman itu, di antara mereka yang dapat dicatat adalah sebagai berikut: Syeikh Ahmad an-Nahrawi, Syeikh Ahmad ad-Dumyati, Syeikh Muhammad Khathib Duma al-Hanbali, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Maliki, Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh Ahmad Khathib Sambas, Syeikh Syihabuddin, Syeikh Abdul Ghani Bima, Syeikh Abdul Hamid Daghastani, Syeikh Yusuf Sunbulawani, Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Yusuf bin Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Mahmud Kinan al-Falimbani, Syeikh Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani. Demikian saja para gurunya yang dapat dicatat daripada berbagai-bagai sumber, dan berkemungkinan banyak yang belum dapat dicatat di sini.
Dipercayai beliau datang ke Mekah dalam usia 15 tahun dan selanjutnya setelah menerima pelbagai ilmu di Mekah, beliau meneruskan pelajarannya ke Syam (Syiria) dan Mesir. Setelah keluar dari Mekah kerana menuntut ilmu yang tidak diketahui berapa lamanya, lalu beliau kembali lagi ke Mekah. Keseluruhan masa beliau tinggal di Mekah dari mulai belajar, mengajar dan mengarang hingga sampai kemuncak kemasyhurannya lebih dari setengah abad lamanya. Diriwayatkan bahawa setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram sentiasa dikelilingi oleh pelajar yang tidak kurang daripada dua ratus orang. Kerana sangat terkenalnya beliau pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk memberi ceramah atau fatwa-fatwa pada beberapa perkara yang tertentu.
Belum jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik di Universiti al-Azhar itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang ulama terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar), iaitu Syeikh Ibrahim al-Baijuri (wafat 1860 Masehi) yang sangat tua dan lumpuh kerana tuanya. Kemungkinan Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang terkenal itu termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.

MURID MURID

Diriwayatkan bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di Masjidil Haram menggunakan bahasa Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan terjemahan kitab-kitab bahasa Arab. Barangkali ulama Banten yang terkenal itu kurang menguasai bahasa Melayu yang lebih umum dan luas digunakan pada zaman itu. Oleh sebab kurang menguasai bahasa Melayu, maka tidak berapa ramai muridnya yang berasal dari luar pulau Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu dan Patani). Tetapi Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa beliau menerima satu amalan wirid daripada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, dan Syeikh Abdul Qadir itu menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya. Syeikh Nawawi al-Bantani (1230 Hijrah/1814 Masehi) lebih tua sekitar empat tahun saja daripada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II, 1234 Hijrah/1817 Masehi). Adapun murid Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa yang menjadi ulama yang terkenal sangat ramai, di antara mereka ialah, Kiyai Haji Hasyim Asy'ari, Pengasas Pondok Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan beliau ini dianggap sebagai bapa ulama Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul Ulama. Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal pula ialah Kiyai Haji Raden Asnawi di Kudus, Jawa Tengah, Kiyai Haji Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin, Purwokerto, Jawa Barat, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi al-Makki, Sayid Ali bin Ali al-Habsyi al-Madani dan ramai lagi.
Salah seorang cucunya, yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya daripada beliau ialah Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani (1285 Hijrah/1868 Masehi - 1324 Hijrah/1906 Masehi). Pada halaman pertama Al-Aqwalul Mulhaqat, Syeikh Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani adalah orang tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan pembimbingnya. Pada bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau adalah `sibthun' (cucu) an-Nawawi Tsani. Selain orang-orang yang tersebut di atas, sangat ramai murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung barisan jihad di Celegon melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masehi. Di antara mereka yang dianggap sebagai pemimpin pemberontak Celegon ialah: Haji Wasit, Haji Abdur Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir, Haji Aqib dan Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang dikaderkan di Mekah.

KARYA KARYA

Berapa banyakkah karya Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani yang sebenarnya belum diketahui dengan pasti. Barangkali masih banyak yang belum masuk dalam senarai yang ditulis oleh penulis-penulis sebelum ini. Saya telah memiliki karya ulama Banten ini sebanyak 30 judul. Judul yang telah saya masukkan dalam buku berjudul Katalog Besar Persuratan Melayu, sebanyak 44 judul. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarahan daripada karya orang lain. Belum ditemui walau sebuah pun karyanya yang diciptakan sendiri. Juga belum ditemui karyanya dalam bahasa Melayu, Jawa ataupun Sunda. Oleh sebab kekurangan ruangan di antara 44 judul di bawah ini saya catat sekadarnya saja, ialah:
1. Targhibul Musytaqin, selesai Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284 Hijrah/1867 Masehi. Cetakan awal Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah.
2. Fat-hus Shamadil `Alim, selesai awal Jamadilawal 1286 Hijrah/1869 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Daril Kutubil Arabiyah al-Kubra, Mesir 1328 Hijrah.
3. Syarah Miraqil `Ubudiyah, selesai 13 Zulkaedah 1289 Hijrah/1872 Masehi. Cetakan pertama Mathba'ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir 1308 Hijrah.
4. Madarijus Su'ud ila Iktisa'il Burud, mulai menulis 18 Rabiulawal 1293 Hijrah/1876 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, akhir Zulkaedah 1327 Hijrah.
5. Hidayatul Azkiya' ila Thariqil Auliya', mulai menulis 22 Rabiulakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi. Diterbitkan oleh Mathba'ah Ahmad bin Sa'ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa menyebut tahun penerbitan.
6. Fat-hul Majid fi Syarhi Durril Farid, selesai 7 Ramadan 1294 Hijrah/1877 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1304 Hijrah.
7. Bughyatul `Awam fi Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai 17 Safar 1294 Hijrah/1877 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Jadidah al-'Amirah, Mesir, 1297 Hijrah.
8. Syarah Tijanud Darari, selesai 7 Rabiulawal 1297 Hijrah/1879 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah `Abdul Hamid Ahmad Hanafi, Mesir, 1369 Masehi.
9. Syarah Mishbahu Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai Jamadilawal 1305 Hijrah/1887 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1314 Hijrah atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu Syeikh Abdullah al-Bantani.
10. Nasha-ihul `Ibad, selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
11. Al-Futuhatul Madaniyah fisy Syu'bil Imaniyah, tanpa tarikh. Dicetak di bahagian tepi kitab nombor 10, oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
12. Hilyatus Shibyan Syarhu Fat-hir Rahman fi Tajwidil Quran, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1332 Hijrah.
13. Qatrul Ghaits fi Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
14. Mirqatu Su'udi Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah 1304 Hijrah.
15. Ats-Tsimarul Yani'ah fir Riyadhil Badi'ah, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak juga oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.
16. Tanqihul Qaulil Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, tanpa tarikh.
17.Bahjatul Wasail bi Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Haramain, Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.
18. Fat-hul Mujib Syarhu Manasik al- 'Allamah al-Khatib, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1328 Hijrah.
19. Nihayatuz Zain Irsyadil Mubtadi-in, tanpa tarikh. Diterbitkan oleh Syarikat al-Ma'arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh.
20. Al-Fushushul Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi Abwabit Tashrifiyah, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, awal Syaaban 1299 Hijrah.

SYEIKH AHMAD KHATIB AL-MINANKABAWI

IMAM DAN KHATIB MASJID AL-HARAM MEKAH
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PERANAN ulama yang berasal dari dunia Melayu di Masjid al-Haram Mekah sudah berjalan begitu lama dan bersambung daripada satu generasi ke generasi berikutnya. Sebagai contoh ulama dunia Melayu yang pernah menjadi imam dan khatib dalam Mazhab Syafie di Masjid al-Haram Mekah yang dapat diketahui ada tiga orang, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Lebih kurang seratus tahun kemudian ialah Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi (lahir Isnin, 6 Zulhijjah 1276 H/26 Jun 1860 M, wafat 9 Jamadilawal 1334 H/13 Mac 1916 M) dan Syeikh Abdul Hamid Muhammad Ali Kudus (lahir 1277 H/1860 M, riwayat lain dinyatakan lahir 1280 H/1863 M, wafat 1334 H/1915 M).
Ketiga-tiga ulama yang tersebut sangat terkenal dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi.
Nama lengkap ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif bin Abdullah al-Minankabawi. Beliau dilahirkan di Minangkabau, Sumatera Barat dan wafat di Mekah pada tarikh yang tersebut di atas. Mendapat pendidikan awal memasuki sekolah pemerintah Belanda di Minangkabau selain menerima pendidikan agama daripada keluarga sendiri.
Setelah berada di Mekah barulah beliau mendapat pendidikan agama yang mendalam daripada ulama Mekah terutama Sayid Bakri Syatha, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan lain-lain.
Dalam penelitian yang saya lakukan, didapati Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi adalah seorang ulama yang paling banyak melakukan polemik dalam pelbagai bidang. Sebagai catatan ringkas di antaranya ialah polemik dengan golongan pemegang adat Minangkabau, terutama tentang hukum pusaka.
Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi menyanggah beberapa pendapat Barat tentang kedudukan bumi, bulan dan matahari, serta peredaran planet-planet lainnya yang beliau anggap bertentangan dengan pemikiran sains ulama-ulama Islam yang arif dalam bidang itu.
Sehubungan ini, Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi sangat menentang ajaran Kristian terutama tentang `triniti'. Dalam permasalahan mendirikan masjid untuk solat Jumaat, Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi berkontroversi dengan Sayid Utsman (Mufti Betawi) dan beberapa ulama yang berasal dari Palembang dan ulama-ulama Betawi lainnya.
Polemik yang paling hebat dan kesan yang berkesinambungan ialah pandangannya tentang Thariqat Naqsyabandiyah. Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi telah disanggah oleh ramai ulama Minangkabau sendiri terutama oleh seorang ulama besar, sahabatnya. Beliau ialah Syeikh Muhammad Sa'ad Mungka yang berasal dari Mungkar Tua, Minangkabau.
Sehubungan dengan sanggahannya terhadap thariqat Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menyanggah pula teori `Martabat Tujuh' yang berasal daripada Syeikh Muhammad bin Fadhlullah al-Burhanfuri.
Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau adalah seorang yang berpendirian keras dan radikal, sungguhpun beliau menguasai banyak bidang ilmu, namun beliau masih tetap berpegang (taklid) pada Mazhab Syafie dalam fikah dan penganut Ahli Sunnah wal Jamaah mengikut Mazhab Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dalam akidah.
Sebagai contoh, dalam pertikaian dua orang muridnya yang berbeza pendapat. Yang seorang berpihak kepada `Kaum Tua', beliau ialah Syeikh Hasan Ma'sum (1301 H/1884 M-1355 H/1974 M) yang berasal dari Deli, Sumatera Utara. Dan seorang lagi berpihak kepada `Kaum Muda', beliau ialah Haji Abdul Karim Amrullah (ayah kepada Prof. Dr. Hamka).
Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau berpihak kepada Syeikh Hasan Ma'sum (Kaum Tua). Bahkan dalam satu kenyataannya Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menolak sumber asal pegangan Haji Abdul Karim Amrullah (Kaum Muda) yang menurut beliau telah terpengaruh dengan pemikiran Ibnu Taimiyah (661 H/1263 M - 728 H/1328 M), yang ditolak oleh golongan yang berpegang dengan mazhab.

SANGGAHAN THARIQAT

Sungguhpun Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau sangat terkenal menyanggah thariqat, namun dalam penelitian saya didapati bahawa yang beliau sanggah ialah beberapa perkara yang terdapat dalam Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Belum ditemui sanggahannya terhadap thariqat yang lain seumpama Thariqat Syathariyah, Thariqat Qadiriyah, Thariqat Ahmadiyah dan lainnya.
Mengenai Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah, catatan sejarah yang diperoleh ternyata Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau yang mendahului pertikaian. Mengenainya dimulai sepucuk surat yang menanyakan kepadanya, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau pun menulis:
``Maka adalah pada tahun 1324 daripada hijrah Nabi kita alaihis shalatu was salam datang kepada yang faqir Ahmad Khathib bin Abdul Lathif, Imam Syafie di Mekah, satu masalah dari negeri Jawi menyatakan beberapa ehwal yang terpakai pada Thariqat Naqsyabandiyah pada masa kita ini. Adakah baginya asal pada syariat Nabi kita ? Atau tiada ? Kerana telah bersalah-salahan orang kita Jawi padanya. Maka hamba lihat, menjawab soal ini ialah terlampau masyaqqah atas hamba, kerana pekerjaan itu telah menjadi pakaian pada negeri hamba hingga menyangka mereka itu akan bahawasanya segala itu thariqat Nabi kita. Dan orang yang mungkir akan dia ialah memungkiri akan agama Islam. Padahal sangka itu adalah tersalah, tiada muthabaqah dengan waqi'...''
Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menuangkan sanggahan terhadap thariqat. Beliau menulis dalam kitab yang berjudul Izhharu Zaghlil Kazibin fi Tasyabbuhihim bish Shadiqin yang selesai ditulis pada malam Ahad, 4 Rabiulakhir 1324 H/1906 M.
Kitab tersebut telah mengundang kemarahan seluruh penganut Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah dan penganut-penganut tasawuf daripada pelbagai thariqat yang lainnya. Akibatnya, Syeikh Muhammad Sa'ad Mungka menanggapi karangan tersebut dengan mengarang sebuah kitab berjudul Irghamu Unufi Muta'annitin fi Inkarihim Rabithatil Washilin yang beliau selesaikan pada akhir bulan Muharam tahun 1325 H/1907 M.
Kemunculan kitab Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau berjudul Izhharu Zaghlil Kazibin itu hanya beberapa bulan saja mendahului kitab Mir-atul A-'ajib karya Syeikh Ahmad al-Fathani menjawab pertanyaan Sultan Kelantan, iaitu sama-sama dikarang dalam tahun 1324 H/1906 M.
Syeikh Muhammad Sa'ad bin Tanta' Mungka itu tidak membantah karya gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, tetapi secara serius karya Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau dipandang sangat perlu ditanggapi dan beliau membantah dengan hujah-hujah berdasarkan al-Quran, hadis dan pandangan para ulama shufiyah.
Dengan terbitnya kitab Irghamu Unufi Muti'annitin oleh Syeikh Muhammad Sa'ad Mungka itu, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyerang lagi dengan kitabnya yang berjudul Al-Ayatul Baiyinat lil Munshifin fi Izalati Khurafati Ba'dhil Muta'ashshibin.
Kitab ini disanggah pula oleh Syeikh Muhammad Sa'ad Mungka dengan karyanya berjudul Tanbihul `Awam `ala Taqrirati Ba'dhil Anam. Sesudah karya ini tidak terdapat sanggahan Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau.

PENULISAN

Karya Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau yang telah ditemui hanya 17 judul. Ada yang ditulis dengan bahasa Arab dan ada juga dengan bahasa Melayu. Kerana kekurangan ruangan, yang dapat disenaraikan dalam artikel ini hanya lapan judul iaitu:
1. Al-Jauharun Naqiyah fil A'mali Jaibiyah (bahasa Arab), diselesaikan pada hari Isnin, 28 Zulhijjah 1303 H. Kandungannya membicarakan ilmu miqat. Dicetak oleh Mathba'ah al- Maimuniyah, Mesir, Rejab 1309 H.
2. Hasyiyatun Nafahat `ala Syarhil Waraqat (bahasa Arab), diselesaikan pada hari Khamis, 20 Ramadan 1306 H. Kandungannya mengenai ilmu ushul fiqh. Dicetak oleh Mathba'ah Darul Kutub al-'Arabiyah al-Kubra, Mesir, 1332 H.
3. Raudhatul Hussab fi A'mali `Ilmil Hisab (bahasa Arab), diselesaikan peringkat pertama hari pada Ahad, 19 Zulkaedah 1307 H di Mekah. Kandungannya mengupas dengan mendalam perkara matematik. Dicetak oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Zulkaedah 1310 H.
4. Ad-Da'il Masmu' fir Raddi `ala man Yuritsul Ikhwah wa Auladil Akhawat ma'a Wujudil Ushl wal Furu' (bahasa Melayu). Diselesaikan pada 14 Muharam 1309 H. di Mekah. Kandungannya mengenai pembahagian pusaka menurut agama Islam dan membantah pusaka menurut ajaran adat Minangkabau. Dicetak oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Zulkaedah 1311 H. Bahagian tepi dicetak karya beliau berjudul Al-Manhajul Masyru' Tarjamah Kitab Ad-Da'il Masmu' (bahasa Melayu).
5. `Alamul Hussab fi `Ilmil Hisab (bahasa Melayu), diselesaikan pada 6 Jamadilakhir 1310 H. di Mekah. Kandungannya mengupas dengan mendalam perkara matematik. Dicetak oleh Mathba'ah al-'Amirah al-Miriyah, Mekah, akhir Zulkaedah 1313 H. Bahagian tepi dicetak karya beliau berjudul An-Nukhbatun Nahiyah Tarjamah Khulashatil Jawahirin Naqiyah fil A'malil Jabiyah (bahasa Melayu), selesai mengarang pada malam Sabtu, 6 Jamadilakhir 1313 H.
6. Al-Manhajul Masyru' Tarjamah Kitab Ad-Da'il Masmu' (bahasa Melayu), diselesaikan pada hari Khamis, 26 Jamadilawal 1311 H. di Mekah. Kandungannya mengenai pembahagian pusaka menurut agama Islam dan membantah pusaka menurut ajaran adat Minangkabau. Dicetak oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Zulkaedah 1311 H. Bahagian tepi dicetak karya beliau berjudul Ad-Da'il Masmu' fir Raddi `ala man Yuritsul Ikhwah wa Auladil Akhawat ma'a Wujudil Ushul wal Furu'.
7. Dhau-us Siraj (bahasa Melayu), diselesaikan pada malam 27 Rabiulakhir 1312 H. di Mekah. Kandungannya membicarakan Isra dan Mikraj. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1325 H.
8. Shulhul Jama'atain bi Jawazi Ta'addudil Jum'atain (bahasa Arab), diselesaikan pada malam Selasa, 15 Rejab 1312 H. di Mekah. Kandungannya membicarakan Jumaat, merupakan sanggahan sebuah karya Habib `Utsman Betawi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1312 H.
Hanya lapan judul yang dapat dimuat dalam artikel ini, judul-judul yang lain dapat dirujuk dalam buku saya berjudul Katalog Besar Persuratan Melayu yang insya-Allah satu ketika nanti akan dapat diterbitkan.

TOK WAN DIN AL-FATHANI

PENYALIN KARYA SYEIKH DAUD AL-FATHANI
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DUA orang adik beradik beliau telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, yang terdahulu daripada ini, kedua-duanya ialah: Syeikh `Abdul Qadir al-Fathani @ Tok Bendang Daya II dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Yang sulung di antara mereka ialah Tok Wan Din, nama yang sebenar ialah Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani, kemudian disingkat dengan Syeikh Muhammad Zain saja. Lahir dalam tahun 1233 Hijrah/1817 Masehi di Kampung Sena Janjar, Patani. Ulama dan tokoh ini selain mendapat pendidikan dari orang tuanya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I), seterusnya Tok Wan Din mendapat pendidikan langsung dari ulama besar yang terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah. Setelah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani wafat, Tok Wan Din al-Fathani mengikuti pengajian-pengajian yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan yang kedua-duanya ulama bangsa Arab yang sebaya umur dengan beliau.

AKTIVITI

Aktiviti sepanjang hayatnya ialah mengajar di Pondok Sena Janjar dan Pondok Bendang Daya kemudian mengajar pula di Mekah. Tok Wan Din al-Fathani merupakan orang pertama mengambil inisiatif menganjurkan penyalinan kitab-kitab Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani secara besar-besaran dan teratur. Selain aktiviti di Mekah, beliau mengasaskan Dewan Tok Bendang Daya di Pondok Bendang Daya. Di Dewan Tok Bendang Daya itulah dikumpulkan pelbagai kitab dan sekali gus dilakukan pekerjaan penyalinan pelbagai kitab. Penyalinan selain dilakukan sendiri juga dilakukan oleh beberapa orang muridnya yang dapat dipercayai keilmuannya. Di antara yang terbanyak membuat salinan pelbagai kitab ialah Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif Kelaba Beris al-Fathani (Tok Kelaba).
Salah sebuah khazanah penting yang membicarakan Melayu dan Islam hasil usaha Tok Wan Din al-Fathani ialah salinan Tarikh Patani. Karya tersebut adalah susunan Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Safiuddin. Naskhah yang asli sudah tidak dapat dikesan lagi. Yang dapat dikesan hanyalah karya tersebut pernah disalin oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam tahun 1228 Hijrah/1813 Masehi. Salinan oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga tidak dijumpai lagi. Naskhah yang ada sekarang hanyalah dua buah salinan Tok Wan Din al-Fathani yang beliau salin dari salinan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dua buah naskhah salinan Tok Wan Din al-Fathani ialah: Sebuah pernah dimiliki oleh Dr. Sya'rani Madakakul (berasal dari Menara, Patani). Setelah beliau menyalinnya, naskhah salinan Tok Wan Din al-Fathani musnah, kerana tanpa disedarinya naskhah itu dibakar oleh salah seorang anaknya. Yang sebuah lagi adalah koleksi penulis. Dari naskhah yang saya miliki dan dibanding dengan salinan Dr. Sya'rani Madakakul itulah Tarikh Patani oleh Syeikh Faqih Ali al-Fathani versi salinan Tok Wan Din al-Fathani telah diperbanyak berupa transliterasi dari tulisan Melayu/Jawi kepada tulisan Latin/ Rumi.
Selain salinan Tarikh Patani karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang pernah beliau salin ialah Manhalus Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis Shufi. Manhalus Shafi termasuk kitab Melayu/Jawi tentang tasawuf yang banyak ditemui salinannya, tetapi kebanyakan salinan tidak terdapat nama Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebagai pengarangnya. Walau bagaimanapun salinan Tok Wan Din al-Fathani adalah karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Karangan ulama-ulama yang berasal dari Aceh juga tidak luput dari perhatian Tok Wan Din al-Fathani. Di antara kitab karangan ulama Aceh yang pernah beliau salin ialah Bidayatul Hidayah karangan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi. Kitab ini juga sangat banyak ditemui salinan, namun yang ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani untuk dicetak ialah berasal dari salinan Tok Wan Din al-Fathani (ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fathani). Bidayatul Hidayah yang sudah ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itulah yang beredar berupa cetakan sejak tahun 1303 Hijrah hingga sekarang 1426 Hijrah/2005 Masehi. Bidayatul Hidayah yang tersebut ialah ilmu akidah yang tertua yang masih berada di pasaran kitab (selesai ditulis tahun 1170 H). Ada pun kitab akidah yang lebih awal atau pun yang berdekatan tahun selesai penulisan dengannya sudah tidak diterbitkan lagi. Perlu juga saya sentuh di sini bahawa Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh itu menurut keterangan ibu saya Hajah Wan Zainab bin Syeikh Ahmad al-Fathani masih ada pertalian kekeluargaan dengan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani (Tok Wan Din al-Fathani). Kedua-duanya serupa nama bukanlah satu kebetulan tetapi ada riwayat yang tersendiri. Selain karya salinan, Tok Wan Din al-Fathani juga meninggalkan beberapa buah karangan sendiri di antaranya sebuah bahasan perkara haji dan sebuah lagi membicarakan Thariqat Syathariyah.

KETURUNAN DAN MURID

Tok Wan Din al-Fathani berkahwin dengan Hajah Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani bin Abdul Lathif al-Fathani salah seorang keturunan Syeikh Safiuddin al-Abbasi (Tok Raja Faqih). Tok Raja Faqih inilah yang diriwayatkan mengIslamkan Raja Antira, iaitu Raja Patani. Dari riwayat ini bererti, Tok Wan Din al-Fathani berbiras dengan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, kerana adik Hajah Wan Cik bernama Hajah Wan Aisyah kahwin dengan ulama yang berasal dari Kelantan itu. Perkahwinan Tok Wan Din al-Fathani dengan Hajah Wan Cik memperoleh anak bernama Syeikh Wan Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani memperoleh beberapa orang anak, tetapi yang meninggalkan keturunan hanya tiga orang saja. Anak beliau yang pertama ialah Qadhi Haji Wan Ismail al-Fathani yang pernah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 31 Ogos 2004. Hingga artikel ini saya tulis masih ramai keturunan Tok Wan Din al-Fathani yang bergerak dalam kepentingan Islam, masih ada yang menjadi ulama.
Murid Tok Wan Din al-Fathani yang menjadi ulama dan tokoh yang terkenal yang dapat dikesan juga ramai, sebagai contoh dalam artikel ini saya sebut beberapa orang di antara mereka, ialah: Pertama; Datuk Abdullah bin Musa (1279 Hijrah/1863 Masehi - 1325 Hijrah/1907 Masehi). Datuk Abdullah bin Musa pernah menjadi Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor (1889-1907 M). Murid Tok Wan Din al-Fathani yang kedua, ialah Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan Cik Doi Kedah (Cik Dol). Beliau inilah yang mengasas Pondok Gajah Mati, Pendang, Kedah yang pondok tersebut kemudian diserahkan kepada menantu beliau Syeikh Wan Ibrahim/Pak Cu Him (anak saudara Tok Wan Din al-Fathani). Salah seorang anak Cik Doi Kedah (Cik Dol) yang sangat terkenal ialah Tuan Guru Haji Husein Cik Dui. Pusat pendidikan beliau ialah Pondok Guar Cempedak, Kedah. Murid Tok Wan Din al-Fathani yang ketiga, ialah Haji Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba (1280 Hijrah/1863 Masehi - l367 Hijrah/1948 Masehi). Beliau ini menghasilkan beberapa buah karya. Salah seorang murid beliau yang berasal dari Terengganu ialah Tuan Guru Haji Abdul Hamid bin Fadhlullah (tok kepada Datuk Idris Yusuf, Menteri Besar, Terengganu sekarang). Murid Tok Wan Din al-Fathani yang keempat, ialah Qadhi Haji Muhammad Sa'id Umar Kedah, pengarang Tafsir Nur al-Ihsan. Ulama yang berasal dari Kedah ini dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, hari Isnin, 13 Disember 2004. Murid Tok Wan Din al-Fathani yang kelima, ialah adik beliau yang bongsu, bernama Syeikh Daud bin Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani atau lebih dikenali dengan nama Tok Cik Wan Daud al-Fathani. Beliau ini termasuk ulama besar Mekah pada zamannya, sangat ramai ulama dunia Melayu adalah murid beliau. Ulama-ulama Mekah yang bukan bermazhab Syafie seumpama Syeikh Ali al-Maliki dalam membicarakan fiqh Syafie selalu merujuk kepada Tok Cik Wan Daud al-Fathani.

100 TAHUN KEWAFATAN

Beliau wafat seminggu setelah kewafatan anak beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani wafat pada 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/14 Januari 1908 Masehi. Tok Wan Din wafat pada 18 Zulhijjah 1325 Hijrah/21 Januari 1908 Masehi. Secara kebetulan sekurang-kurangnya ada 4 orang keluarga ini wafat pada bulan Zulhijjah. Yang dua orang lagi ialah Tok Bendang Daya II wafat pada hari Ahad, 16 Zulhijjah 1312 Hijrah/10 Jun 1895 Masehi dan yang bongsu Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud) di Mekah pada hari Selasa, 23 Zulhijjah 1354 Hijrah/17 Mac 1936 Masehi). Beliau ini juga seorang ulama besar di Mekah pada zamannya. Oleh sebab Tok Wan Din al-Fathani dan anak beliau Syeikh Ahmad al-Fathani sama-sama wafat pada bulan Zulhijjah 1325 Hijrah maka pada bulan Zulhijjah 1425 Hijrah yang baru berlalu genap 100 tahun.
Syeikh Ahmad al-Fathani adalah seorang tokoh pemikir yang besar, sama ada peringkat dunia Melayu atau pun antarabangsa, maka akan diadakan pelbagai bentuk peringatan 100 tahun kewafatan beliau. Pemikiran lengkap pelbagai aspek dapat dalam 3 jilid buku berjudul, Syeikh Ahmad al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam. Buku tersebut diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah, dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara yang akan dilancarkan pada tarikh 5 Mac 2005 dalam ``Wacana Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu Dan Islam'' di Wisma Sejarah, Persatuan Sejarah Malaysia. Wacana ini adalah anjuran bersama Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (PENGKAJI). Selanjutnya pihak PENGKAJI akan bergerak aktif dalam peringatan ``100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu Dan Islam'' yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 1426 Hijrah/2005 Masehi di beberapa tempat serta bekerja sama dengan pelbagai pihak. Pada 25 Jun 2005 akan diadakan di Kota Bharu, Kelantan. Manakala pada April 2005 di Mempawah dan Pontianak, Kalimantan Barat. Pada 23 - 25 September 2005 Nadwah Ulama Nusantara III: Ketokohan dan Sumbangan Ulama Tanah Melayu (Sempena Memperingati 100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani) Fakulti Pengajian Islam (UKM) akan melaksanakan satu seminar peringkat antarabangsa. Dan lain-lain PENGKAJI sedang menyusun jadual pelaksanaan dan masih menunggu permintaan pihak-pihak yang berminat kepada kegiatan tersebut di atas.
Artikel ini ditutup dengan bait ke-27 puisi Syeikh Ahmad al- Fathani untuk Sultan Zainal Abidin III, Terengganu, terjemahannya:
``Ayuhai segala cerdik pandai !
Hidupkan sejarah bangsa mu !
Dengan itu, kamu akan disebut dalam sejarah dan namamu akan harum sepanjang masa.''

SULTAN ZAINAL ABIDIN 111

UMARA BERTARAF DUNIA
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SULTAN Zainal Abidin III, Sultan Terengganu, diakui oleh beberapa orang ulama Mekah dan para cerdik cendekiawan bahawa baginda adalah di antara Sultan Melayu yang paling alim dan ahlil ilmi pada zamannya. Dua ulama yang berasal dari dunia Melayu di Mekah yang paling dekat dan menjadi rujukan pelbagai masalah baginda, ialah Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (Syeikh Nik Mat Kecik) dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Sesuatu permasalahan yang sukar diselesaikan oleh Sultan Zainal Abidin III akan sentiasa dirujuk kepada kedua-dua ulama di Mekah itu. Kadang-kadang dengan cara mengirim surat atau adakalanya mengirim utusan yang khusus. Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani datang ke Kota Bharu, Kelantan, Sultan Zainal Abidin III berserta beberapa pembesar Terengganu datang menjemput beliau supaya sudi mengunjungi Kuala Terengganu. Syeikh Ahmad al-Fathani telah menggubah puisi 33 bait dalam bahasa Arab yang bercorak memuji Sultan Zainal Abidin III yang diiringi dengan pengharapan agar baginda memperkukuh kedudukan agama Islam, bahasa dan bangsa Melayu, diiringi pula sejarah bangsa Melayu yang lengkap. Sultan Zainal Abidin III yang dibicarakan ini lahir pada 1281 H/1865 M dan mangkat hari Selasa, 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M.
Sekurang-kurangnya terdapat dua buah puisi mengenai Sultan Zainal Abidin III. Satu lagi ialah dalam judul Syair Tuan Hampris karya Hajah Wok Aisyah binti al-Haji Nik Idris Terengganu yang dikarang jauh kemudian daripada puisi Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada beberapa bait ada persamaan maksudnya. Sebagai contoh beberapa bait untuk perbandingan dapat disemak di bawah ini:
Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani
``Itulah Sultan Terengganu, Raja yang berani
Bermurah, dan bertuah.'' (bait yang ke-11)
Syair Tuan Hampris pula,
``Negeri khabarnya itu
seorang raja memerintah tentu
adil dan murah bukan suatu
sangatlah alim paduka ratu.'' (bait yang ke-18)
``Perangainya halim tangannya murah
sekalian kasih memandang wajah ... `` (bait yang ke-22, dua baris awal)
Kesimpulannya daripada petikan kedua-dua puisi di atas ialah memunculkan watak Sultan Zainal Abidin III itu sebagai seorang yang pemurah. Mengenai sifat pemurah itu disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait yang lain, iaitu bait yang ke-8, katanya,
``Bagaikan laut, pemurah tiada tepi
Bagaikan hujan, penolong tiada beza
Memberi sebelum diminta.''
Watak seorang sultan yang berilmu pengetahuan juga terdapat pada Syair Tuan Hampris, disebut juga oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait ke-12 dan 13, katanya,
``Raja yang agung lagi bijaksana
Pandai mentadbir
Banyak berilmu
Petunjuk jalan bahagia.
Kemuncak usahanya ialah menggali ilmu, menyelami makrifah
menunjuk jalan hidayah.''
Pada Syair Tuan Hampris yang sama maksudnya dengan puisi di atas terdapat pada bait yang ke-20, 21 dan 22, iaitu:
``Rajanya alim lagi jauhari
kitab Quran sangat pelajari
alimnya tidak lagi terperi
termasyhurlah khabar ke sana ke mari.
Saleh dan warak lagi pendeta
bijak laksana jangan lagi dikata
masyhurlah khabar di dalam warta
di alam Melayu sekalian rata.
Perangainya halim tangannya murah
sekalian kasih memandang wajah
cukup fahamnya ilmu Arabiyah
baginda nan gemar ilmu falakiah.''
Setelah kita membandingkan beberapa contoh di atas yang perlu diberi ulasan ialah pada Bahagian II. Bahagian ini merupakan pujian khusus untuk Sultan Zainal Abidin III, kerana ia mengandungi unsur sejarah dan asal-usul Sultan Terengganu. Ada tiga bait yang perlu dibicarakan di sini, iaitu pada bait yang ke-18, 19 dan 20 ialah:
``Baginda adalah orang yang mulia,
bahkan kemuliaan itu, warisan daripada datuk neneknya keturunan mulia dari dahulu sampai sekarang.
Memang raja putera raja
Keturunan yang mempunyai rantai kemuliaan yang tiada pernah putusnya
Keturunan Saidina Ali
Saiyid anak Saiyid
Keturunan yang tak melahirkan,
kecuali hanya kemuliaan.''
Pada bait yang ke-18 dan 19, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa baginda adalah seorang raja yang mulia yang diwarisi daripada datuk neneknya. Yang diriwayatkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ini adalah benar, namun walau bagaimana pun silsilah yang telah ditemui masih terdapat perbezaan pendapat. Yang disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait di atas relevan dengan tulisan Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (MISBAHA) dalam bukunya, Mengkaji Sejarah Terengganu, jilid ke-2, beliau menulis, ``... maka Tun Zainal Abidin Paduka Maharaja ialah Sultan yang pertama dilantik bagi negeri Terengganu, keturunan beliaulah Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Terengganu memerintah hingga ke hari ini bagi negeri Terengganu dan jajahan takluknya. Yang demikian jadinya keturunan Sultan Zainal Abidin itu Kerabat-Kerabat Diraja Terengganu kiranya disusuli sehingga kepada Bendahara Melaka yang pertama Tun Perpatih Besar (bapa saudara Sultan Muhammad Syah) sudah turun temurun dari semenjak kurun Masihi yang keempat belas lagi. Sultan Zainal Abidin ini adalah seorang daripada putera Bendahara Paduka Raja Abdul Majid Bendahara Padang Saujana, Bendahara Johor yang kesembilan belas, lahir di Johor kira-kira pada tahun 1089 Hijrah ...''
Puisi Syeikh Ahmad al-Fathani pada bait yang ke-25 dan ke-26 adalah penting untuk ditafsirkan. Namun di sini saya mulai daripada bait yang ke-24, maksudnya ialah:
``Dan yang lebih besar lagi, aku berharap,
semoga baginda berkenan menyuruh ulama dan cendekiawan yang memahami petunjuk
Agar mereka dapat membukukan bahasa Melayu
Kerana aku bimbang ia akan hilang atau dirosak oleh perubahan yang berlaku dari masa ke masa
Begitu pula hendaklah mereka itu mengarang Sejarah Melayu yang meliputi segala perihal Melayu
Kalau tidak, mereka nanti akan hilang, dalam lipatan sejarah.''

BUDI BAHASA

Surat menyurat antara Sultan Zainal Abidin III dengan Syeikh Ahmad al-Fathani sesuai dijadikan contoh `budi bahasa' untuk persuratan. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani menerima sepucuk surat daripada Sultan Zainal Abidin III lalu beliau menjawabnya. Di antara kalimat-kalimat yang halus, lunak dan berkesan, kata beliau, ``Bahawasa marqum yang mulia, yang Hadhrat Duli Tuanku kurnia kepada patik itu, telah patik sambuti akan dia, serta junjung ihtiram dan syukur''. Maksud-nya bahawa surat daripada sultan itu adalah surat mulia, oleh itu Syeikh Ahmad al-Fathani memandang perlu mencurahkan rasa hormat (ihtiram) dan rasa terima kasih terhadap sultan, itulah maksud perkataannya ``serta junjung ihtiram dan syukur''.
Syeikh Ahmad al-Fathani membangsakan surat Sultan Zainal Abidin III kepada beliau itu sebagai `nuran lil bashar wa syifa-an lima fish sadhri', mengandungi maksud `cahaya bagi pandangan mata dan ubat bagi penyakit yang tersembunyi di dalam hati'. Sepintas kilas jika kita perhatikan kalimat Syeikh Ahmad al-Fathani nampaknya beliau merendah diri, namun dalam masa yang sama ada sasaran untuk kepentingan memartabatkan Islam dan bangsa Melayu sebagaimana kata beliau, ``Dan dilimpahi dengan nikmat, dan rahmat, dan kekayaan, yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam. Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu''. Jika kita tafsirkan sepotong pertama kalimatnya, iaitu ``... dan kekayaan, yang ada padanya berkat yang memberi manfaat bagi agama Islam''.
Walau pun surat Syeikh Ahmad al-Fathani itu ditujukan kepada Sultan Zainal Abidin III tetapi sasarannya boleh saja kepada semua sultan, semua pemimpin yang beragama Islam, semua orang Islam (Muslim/ Muslimat) yang memiliki `kekayaan'. Pada pandangan Syeikh Ahmad al-Fathani, `kekayaan' tiada bererti sekiranya pemiliknya tiada memanfaatkannya untuk kepentingan agama Islam. Jika menggunakan perkataan yang kasar atau `tidak berbudi bahasa', bahawa `Raja atau pemimpin yang beragama Islam yang memiliki kekayaan, yang kekayaan itu tiada manfaat bagi agama Islam, maka raja atau pemimpin itu adalah tidak bertanggungjawab terhadap Islam'.
Kalimat ini pun masih lunak, kerana masih banyak bahasa yang lebih kasar daripada itu, boleh saja dianggap sebagai `bakhil', `kedekut' dan lain-lain sejenisnya. Pada sepotong kalimat keduanya pula, iaitu ``Dan terangkat dengan dia oleh sebutan jenis Melayu''.
Kalimat ini jelas berbicara tentang Melayu. Tafsirannya juga sama, jika kita menggunakan perkataan yang kasar atau `tidak berbudi bahasa', bahawa ``Raja atau pemimpin Melayu, yang tiada manfaat bagi bangsa Melayu, maka raja atau pemimpin itu adalah pengkhianat terhadap bangsa Melayu, bangsanya sendiri.'' Daripada contoh di atas terbuktilah bahawa ulama perlu bijak dan `berbudi bahasa' dalam menyampaikan dakwah dan pendidikan melalui surat terhadap golongan tinggi seperti tersebut di atas. Sebaliknya umara (pemerintah) yang bijak perlu mendekati ulama ikhlas dan jujur.

DATUK ABDULLAH MUSA

MUFTI DAN HAKIM BESAR JOHOR
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DALAM Ruangan Agama, Utusan Malaysia minggu lalu terdapat artikel mengenai budi bahasa. Budi bahasa yang dibicarakan adalah surat daripada seorang ulama kepada seorang raja. Artikel ini dimulai dengan membicarakan surat daripada seorang pembesar kepada seorang ulama. Pembesar yang dimaksudkan ialah Datuk Mufti dan Hakim Besar Johor, beliau ialah Datuk Paduka Mahkota Johor Abdullah bin Musa.
Dalam koleksi catatan dan surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani terdapat maklumat mengenai beliau.
Sepucuk surat daripadanya ditujukan kepada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, surat tersebut bertarikh 25 Safar 1321 H/22 Mei 1903 M. Beliau menyebut Syeikh Muhammad Zain al-Fathani sebagai Hadhrat Ayahanda dan untuk Syeikh Ahmad al-Fathani dengan panggilan Hadhrat Al-Fadhil Kakanda. Sama ada Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani mahu pun Syeikh Ahmad al-Fathani (yang disurati), kedua-duanya adalah tokoh yang banyak berjasa dalam pembentukan watak Abdullah bin Musa. Pergaulan antara mereka memakan masa yang agak panjang, iaitu sama ada mereka berada di Patani dan Kelantan sehinggalah mereka berpindah ke Mekah. Hubungan pertalian kekeluargaan dan rangkaian ilmu, sama ada yang bercorak zahiri mahu pun yang bercorak batini tiada dapat dipisahkan. Oleh itu ilmu-ilmu yang berasal daripada ayah dan anaknya itu dipegang kejat-kejat oleh Abdullah dari sejak muda hinggalah beliau memperoleh kedudukan yang demikian tinggi di Kerajaan Johor.
Abdullah sungguhpun mendapat kedudukan yang tinggi di Johor, sebenarnya berasal dari Kelantan. Nampaknya memang ramai ulama Kelantan yang pernah menjadi mufti di luar Kelantan, di antaranya Wan Muhammad menjadi Mufti Perak yang pertama. Ismail bin Abdul Majid pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, Abdur Rahman bin Husein pernah menjadi Mufti Kerajaan Mempawah, dan ramai lagi.

PENDIDIKAN

Abdullah berasal dari Kelantan, kelahiran Pasir Pekan, Syawal 1279 H/April 1863 M. Biografi Abdullah juga belum banyak ditulis orang, maka riwayat ringkas mengenai beliau dijelaskan sebagai yang berikut: Pendidikan awalnya di beberapa pondok di Patani, merupakan kader Pondok Bendang Daya. Syeikh Muhammad Zain (Tok Wan Din) al-Fathani yang tersebut adalah salah seorang gurunya sewaktu berada di Pondok Bendang Daya, dan Abdullah belajar lagi kepada beliau sewaktu di Mekah.
Di antara yang seangkatan dengan Abdullah sewaktu belajar di Bendang Daya ialah Ismail bin Mustafa al-Fathani (Cik Doi Kedah), Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani/Tok Kelaba, Kadi Muhammad Sa'id Umar Kedah, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), dan ramai lagi.
Sewaktu melanjutkan pelajaran di Mekah Abdullah belajar kepada ramai ulama. Ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu di antaranya: Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, dan gurunya yang terakhir adalah Syeikh Ahmad al-Fathani.
Selain belajar kepada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu, Abdullah juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab yang terkenal pada zaman itu, di antara mereka ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abu Bakri Syatha, dan lain-lain. Ilmu khusus dalam bidang pentadbiran, siasah (politik), dan lain-lain yang bersangkutpaut pada kemaslahatan dunia, Abdullah hanyalah menerima pelajaran daripada Syeikh Ahmad al-Fathani bukan kepada ulama-ulama lainnya.

MENGAJAR

Abdullah pulang ke Kelantan mendapat arahan daripada Syeikh Ahmad al-Fathani supaya menyebarkan ilmu ke Tanah Jawi, lalu berpindah pula ke Johor pada 22 Disember 1882 M. Di Johor beliau mulai mengajar kitab secara berpindah-pindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Banyak masjid dan surau tempat beliau mengajar. Pada 22 Mac 1886 M. beliau pulang ke Kelantan dan pada 10 April 1886 M. atas permintaan murid-muridnya di Johor, maka Abdullah kembali ke Johor lagi.
Pelantikan Abdullah sebagai Hakim Besar Johor dan berikutnya sebagai Datuk Mufti Johor di sebut oleh Abdul Rahman Al-Ahmadi dalam buku, Tokoh dan Pokok Pemikiran Tok Kenali diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia, 1983, hlm. 47 - 48 bahawa pada 22 Jun 1887 dilantik oleh Sultan Johor sebagai Hakim Besar Kerajaan Johor. Bererti jawatan sebagai Hakim Besar Johor lebih dulu disandangnya daripada Mufti Datuk Kerajaan Johor. Kariernya terus naik, dua tahun kemudian tepatnya pada 9 Mac 1889 dilantik pula sebagai Mufti Kerajaan Johor. Walau bagaimanapun tarikh ini berbeza dengan tulisan Othman Ishak dalam bukunya, Fatwa Dalam Perundangan Islam, terbitan Fajar Bakti, Kuala Lumpur, 1981, hlm. 31 bahawa Abdullah berkhidmat dari tahun 1899 hingga 1907, sebagai mufti yang kedua. Mufti Johor yang pertama ialah Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas yang berkhidmat dari tahun 1896 hingga tahun 1899. Yang disebut oleh Othman Ishak ada persamaan dengan Buletin Majlis, terbitan Majlis Agama Islam Johor, bil. 18, 1424 H./ 2003 M., hlm. 7, yang menyebut tentang Mufti Johor 1895 - 2004 M., bahawa mufti yang pertama Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas tahun 1895 - 1899 M. Mufti yang kedua, ialah Abdullah tahun 1899 - 1907 M. Daripada pertikaian penulisan yang tersebut di atas saya berpendapat bahawa kemungkinan Abdullah dilantik menjadi Mufti Johor dua kali. Yang pertama ialah 9 Mac 1889 M hingga tahun 1895 M. Sesudahnya ialah Datuk Syed Salim bin Ahmad al-Attas, sesudah itu Abdullah dilantik lagi untuk menjadi Mufti Johor untuk yang kedua kali pada tahun 1899 - 1907 M. Oleh sebab terjadinya maklumat yang berbeza seperti yang tersebut di atas, penelitian yang lebih kemas perlu dijalankan. Mufti Kerajaan Johor sesudah Abdullah (pelantikan kedua) ialah Datuk Syed Abdul Kadir bin Mohsin al-Attas tahun 1907 - 1933 M. dan seterusnya sehinggalah Mufti Johor yang sekarang Datuk Nooh bin Gadot yang dilantik tahun 1999 M. hingga sekarang. Jika kita perhatikan pelantikan kedua Abdullah (1899 - 1907 M) hingga pelantikan Datuk Nooh bin Gadot (1999 - 2005 M) mengambil jarak waktu sekitar lebih kurang 100 tahun.
Abdullah wafat pada malam Jumaat, 19 Ramadan 1325 H./25 Oktober 1907 M. mendahului gurunya Syeikh Muhammad Zain dan Syeikh Ahmad al-Fathani sekitar lebih kurang tiga bulan.

BUDI BAHASA PERSURATAN

Pada mukadimah telah disentuh perkara `budi bahasa'. Oleh sebab budi bahasa baru-baru ini termasuk anjuran kerajaan, maka beberapa contoh kalimat yang mengandungi unsur budi bahasa dirasakan perlu memperkenalkannya. Di antara kalimat Abdullah yang berunsurkan budi bahasa seperti kata beliau, ``Sangatlah lama adinda tiada menulis kepada Hadhrat Ayahanda al-Haji Wan Muhammad Zain, demikian jua kepada Hadhrat Kakanda (maksudnya Syeikh Ahmad al-Fathani, pen:), maka iaitu semata-mata menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua. Daripada sebab itu haraplah adinda kiranya yang demikian itu dimaafkan.''

TAWADUK

Daripada kalimatnya ``...maka iaitu semata-mata menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua ...'' mencerminkan bahawa Abdullah seorang yang tawaduk dan tidak membesarkan diri. Sifat tawaduk, tidak membesarkan diri termasuk dalam kategori sifat mahmudah (sifat terpuji) yang dalam hal ini termasuk dalam golongan budi bahas. Beliau lama tidak berkirim surat kepada kedua-dua gurunya, melambangkan terputusnya hubungan silaturahim. Putus hubungan silaturahim bererti adalah sangat dicela oleh agama Islam. Secara terus terang mengaku kelemahan dan kesalahan dirinya, dengan kalimatnya, ``...menunjukkan atas kebebalan dan kurang budi adinda jua ...'' Jika kita bandingkan dengan kebanyakan orang pada zaman kita apabila mereka tidak dapat menghubungi keluarga atau pun teman dekat atau lainnya, mereka akan memberi alasan `kerana sibuk', atau pun beribu-ribu macam dalih. Sebenarnya kerana rendahnya budi bahasa sangat ramai orang sanggup mengabaikan hubungan dengan kedua-dua ibu bapanya.
Kalimat di bawah ini juga mencerminkan kehalusan budi bahasa Abdullah, kata beliau, ``Dan lagi adinda harapkan kiranya kakanda berbuat kasihan dan tolong memberi sedikit kenyataan beberapa lagi baki hutang al-Haji Ya'qub Kangkung, Kelantan kepada ayahanda dahulu itu kerana hutang itu adinda telah sanggup hendak membayarkan ...'' Daripada kalimat ini dapat diambil beberapa kesimpulan bahawa Abdullah seorang yang pengasih terhadap sesama Islam, kerana mungkin meresapnya ajaran tentang sesama Islam itu adalah bersaudara. Langkah membayar hutang orang lain, yang telah meninggal dunia pernah diamalkan oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Perkara yang lain pula, Abdullah kemungkinan dapat membayangkan bahawa orang yang tidak mahu membayar hutang ancamannya sangat keras, di antara amalannya tidak diterima oleh Allah s.w.t., amalan itu tergantung di antara bumi dan langit. Orang-orang yang berbudi bahasa apabila dia berhutang, di dalam hati tetap berazam untuk membayar hutang. Hanya orang-orang yang tidak berbudi bahasa saja yang senantiasa berbelit-belit mengelak membayar hutang.
Daripada contoh budi bahasa dalam persuratan yang dilakukan oleh Abdullah di atas, memandangkan kedudukan beliau sebagai seorang Hakim Besar dan Mufti sangat menarik untuk diberi sedikit komentar.
Hampir semua orang tahu bahawa seorang hakim kerjanya ialah memutuskan sesuatu perkara di mahkamah atau pengadilan. Dalam ajaran Islam seorang hakim wajib menghukum dengan adil. Hakim yang tidak adil ancamannya adalah neraka. Pengertian mufti pula ialah orang yang dapat memberi fatwa dengan tepat dan betul menurut al-Quran, hadis, ijma' dan qiyas. Seseorang mufti yang memberi fatwa sesuai dengan kehendak syarak diberi pahala. Sebaliknya fatwa yang tidak betul juga diancam dengan hukuman keras di akhirat kelak. Daripada budi bahasa yang terdapat pada surat tersebut, kita dapat membayangkan Abdullah sama ada kedudukan beliau sebagai Hakim Besar mahu pun sebagai mufti, beliau berpegang teguh kepada ajaran Islam. Oleh itu kita wajib berbaik sangka, bukan sebaliknya. Kita berbaik sangka bahawa Abdullah menjalankan tugas dan memenuhi tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sangatlah kita harapkan terhadap semua orang yang berkedudukan seumpamanya berbuat demikian, mudah-mudahan kita terhindar daripada tindakan seseorang yang tidak berbudi bahasa sama ada dalam ucapan, persuratan mahu pun dalam tindakan kerana padah dan akibatnya sangat merugikan masyarakat.



SYEIKH ABDUL QADIR BUKIT BAYAS

ULAMA PALING BERPENGARUH DI TERENGGANU
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

TIDAK dapat dinafikan bahawa yang mewarnai corak keIslaman di Terengganu mulai peringkat awal hingga abad ke-20, terdiri daripada dua golongan ulama atau penyebar Islam. Golongan itu ialah, pertama: Berasal daripada ulama-ulama Patani, dan kedua: Daripada keturunan Rasulullah s.a.w. atau golongan `sayid'. Di antara ulama yang paling besar pengaruhnya di Terengganu ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani atau Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu.


PENDIDIKAN

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim mendapat pendidikan asas di beberapa pondok pengajian di Patani. Walaupun ditinjau dari segi pangkat, nasab beliau adalah peringkat datuk saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, namun ditinjau dari segi umur pula Abdul Qadir lebih muda daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Menurut riwayat, Abdul Qadir dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah sama-sama belajar dalam sebuah pondok, sama ada di pondok Kuala Bekah (Patani) mahu pun di pondok-pondok lainnya. Bahkan pernah sama-sama belajar di Mekah. Dalam riwayat yang lain pula menyebut bahawa Syeikh Abdul Qadir pernah belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi beliau termasuk peringkat murid kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Ketika beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah, beliau berguru kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaludin Aceh. Kepada ulama-ulama Arab pula beliau belajar di antaranya kepada Syeikh Muhammad Shalih bin Ibrahim, Mufti Syafi'ie di Mekah, Syeikh Ahmad al-Marzuqi dan lain-lain. Setelah memperoleh ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang di Mekah dan Madinah, beliau turun ke Jawi. Pertama kali ke sana beliau tidak langsung ke negeri asalnya Patani, tetapi beliau ke Pulau Duyung, Terengganu. Langkah itu diambilnya kerana di Pulau Duyung Kecil, Terengganu itu ahli keluarganya lebih ramai dan lebih dekat daripada di Patani sendiri. Di Pulau Duyung Kecil, Terengganu beliau memulakan aktivitinya sebagai seorang ulama.


AKTIVITI

Syeikh Abdul Qadir mulai mengorak langkah di mana sahaja beliau pergi dalam negeri Terengganu beliau memperkenalkan ajaran Islam menurut Mazhab Syafie dan iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Beliau merancang membuka sebuah institusi semacam pondok di Patani, kerana pada zaman itu pengajian pondok memang di Patani yang paling terkenal di rantau ini. Sama ada di Terengganu mahupun di tempat-tempat lainnya, pengajian pondok tidaklah sekukuh seperti di Patani sendiri. Apabila rancangannya itu telah mantap, beliau pulang ke Patani dengan tujuan mendapatkan rancangan kerja yang lebih mantap atau konteks kerjasama dalam dunia pendidikan pondok dengan beberapa orang Tok Guru mahu pun ahli keluarga beliau yang menjadi ulama yang memimpin pondok di Patani. Setelah sampai ke Patani, niat beliau tergendala kerana pada masa itu terjadi suatu peperangan besar antara Kedah-Patani terhadap pencerobohan bangsa Siam. Peperangan besar yang melibatkan beberapa orang tokoh ulama itu diikuti pula oleh Syeikh Abdul Qadir sendiri.


PENGAJIAN PONDOK

Dipercayai beliau datang ke Pulau Duyung kali kedua ini sekitar tahun 1830an M. Ketika itu beliau mulai mengajar di Kampung Paya Bunga, Duyung. Syeikh Abdul Qadir mendirikan sebuah mesjid di Bukit Bayas. Di kedua-dua tempat itu beliau membina pengajian pondok menurut tradisi di Patani. Kemudian oleh sebab beliau memusatkan aktivitinya di Bukit Bayas, maka terkenallah namanya kemudian hari dengan gelaran Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, pengganti kepada nama terkenal sebelumnya iaitu gelaran Syeikh Abdul Qadir Duyung (Tok Duyung sahaja).


PENULISAN

At-Targhib wat Tarhib li al-Bai'i wa Asy-Syira, diselesaikan waktu duha, hari Isnin, 2 Rabiulawal 1234 H, di negeri Terengganu. Kandungannya membicarakan tentang perniagaan menurut ajaran Islam, mengemukakan hujah-hujah berdasarkan al-Quran dan hadis mengenai terlarangnya memakan riba. Di antara salinan terbaik yang pernah ditemui ialah yang diselenggarakan oleh Mahmud ibnu Muhammad Yusuf Terengganu.
Setelah Basmalah, Hamdalah, Selawat dan Salam, pengarangnya Syeikh Abdul Qadir menyebut judul karya ini dalam bahasa Arab, iaitu Risalah fi Bayani Hukmil Bai'i war Riba. Judul terjemahan oleh pengarangnya dalam bahasa Melayu: Risalah Pada Menyatakan Hukum Jual Beli Dan Riba. Berdasarkan kenyataan ini bererti karya ini terdapat dua judul yang berbeza dalam bahasa Arab, iaitu judul yang satu lagi yang tertulis pada bahagian depan manuskrip ialah: At-Targhib wat Tarhib li al-Bai'i wa asy-Syira.
Sebagai keterangan tambahan keseluruhan kandungannya diringkaskan oleh beliau sendiri, dengan katanya ``Ditambahi sedikit daripada dalil dan hadis pada menyatakan seksa dan azab atas tiap-tiap orang yang memakan riba, dan orang yang mengurangkan sukatan dan timbangan, dan orang yang menzalim atas harta manusia.'' Sasaran karangan beliau nyatakan, ``Supaya beroleh manfaat dengan dia oleh tiap-tiap orang yang membaca akan dia daripada segala orang yang berjual beli laki-laki dan perempuan, kecil dan besar, muda dan tua.'' (hlm. 1).
Setelah itu pengarangnya memasuki perbincangan yang merupakan subjudul awalnya, ialah Asal Yang Mengharuskan Jual Beli Dan Haram Riba. Bahagian ini mengemukakan hujah-hujah daripada al-Quran dan hadis lengkap dengan perbandingan pendapat para ulama tentang pentafsirannya. Hadis yang pertama diperkenalkan terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Bermula yang terlebih afdal usaha itu berjual beli yang baik, ertinya yang tiada tipu daya padanya dan tiada khianat, dan bekerja laki-laki dengan tangannya.''
Selanjutnya Syeikh Abdul Qadir memetik hadis- hadis yang lain, di antaranya yang dikeluarkan oleh Baihaqi daripada Muaz, hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan Hakim daripada Ibnu Umar, hadis yang dikeluarkan oleh Ishbahani dan Dailami, dan banyak lagi hadis yang dapat dirujuk pada bahagian ini (hlm. 2-4). Kemudian memasuki Tanbih Bersalah-salahan Ulama Pada Usaha Yang Terafdal, Syeikh Abdul Qadir memulakan kalimat bahagian ini dengan katanya, ``Telah berkata oleh beberapa ulama, yang terlebih afdal usaha itu berniaga. Dan telah berkata oleh setengah ulama yang Muhaqqiqin, bermula usaha yang terlebih afdal itu berbuat bendang, kemudian daripada itu usaha kepandaian. Seperti berbuat rumah dan perahu, menjahit dan barang sebagainya daripada segala kepandaian yang diharuskan oleh syara. Kemudian daripada itu pula berniaga.'' Pada bahagian ini dimulai dengan khabar daripada Muslim terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Tiada menanam oleh orang yang Islam akan satu tanaman dan tiada berbuat bendang ia akan satu bendang, maka makan daripadanya oleh manusia, dan tiada memakan akan dia oleh binatang, dan tiada suatu yang memakan akan dia melainkan adalah baginya itu sedekah.'' Setelah membandingkan pelbagai pendapat, lalu dimulai perbincangan mengenai jual beli, iaitu dimulakan dengan tiga macam bentuk jual beli: Pertama, berjual mata benda yang dilihat. Kedua, dijual akan mata benda yang belum lagi maujud. Ketiga, dijual mata-benda yang ghaib, yang tiada dilihat (hlm. 10-20).


HUKUM RIBA

Setelah mengupas sesuatu barang yang sah dijual beli atau tidak sahnya secara terperinci, lalu membicarakan mengenai riba. Syeikh Abdul Qadir membuka lembaran ini dengan kata beliau, ``Syahdan hendaklah mengetahui dan belajar pula akan hukum riba kerana wajib atas tiap-tiap orang yang berniaga itu berlajar segala hukum jual beli, dan hukum riba ...'' Menurut beliau, ``Barangsiapa berniaga dahulu daripada mengetahui hukumnya nescaya haramlah atas orang itu dengan ittifaq segala ulama...'' Mengenai asal hukum haram riba beliau kemukakan ayat al-Quran dan beberapa hadis. Di antara hadis yang disebutkan terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Satu dirham riba yang memakan akan dia oleh anak Adam itu terlebih sangat besar dosanya pada Allah Taala daripada tiga puluh enam kali mengerjakan zina. Riwayat Imam Ahmad daripada Abi Hurairah.'' Semua permasalahan riba dibicarakan mulai hlm. 20 sampai 31. Selanjutnya disambung dengan Tanbih Haram Menipu Daya Pada Berjual Beli. Di antara hadis yang dipetik pada perbincangan ini terjemahan menurut Syeikh Abdul Qadir, ``Dan barangsiapa menipudaya ia akan kami maka tiadalah ia daripada kami.'' (hlm. 32-41). Tidak kalah juga pentingnya beliau memberi subjudul Tanbih Suatu Perjagaan Pada Menyatakan Hukum Orang Yang Mengurangkan Sukatan Dan Timbangan''. (hlm. 46-49).


KETURUNAN DAN MURID

Syeikh Abdul Qadir ini sangat besar pengaruhnya sama ada kepada masyarakat luar mahu pun kepada pihak Kerajaan Terengganu. Sangat ramai murid beliau menjadi ulama besar dan pemimpin kerajaan Terengganu. Daripada keturunan (zuriat) beliau demikian juga adanya. Beliau meninggalkan anak 21 orang lelaki dan perempuan. Mereka ialah: 1. Wan Abdur Rahim, 2. Wan Muhammad Amin, 3. Wan Muhammad Sa'id, 4. Wan Muhammad Saleh, 5. Wan Jamilah, 6. Wan Maimunah, 7. Wan Putih, 8. Wan Hitam, 9. Wan Khatijah, 10. Wan Maryam, 11. Wan Abdullah, 12. Wan Halimah, 13. Wan Salamah, 14. Wan Abu Bakar, 15. Wan Ahmad, 16. Wan Kaltsum, 17. Wan Abdur Rahman, 18. Wan Aminah, 19. Wan Man, 20. Wan Salimah, 21. Wan Muda. Yang menjadi ulama dan pembesar di Terengganu di antaranya Wan Muhammad Saleh, iaitu berpangkat Tok Kaya Pahlawan atau Datok Sangsura Pahlawan. Cucu beliau bernama Wan Abdul Hamid bin Wan Muhammad Sa'id bin Syeikh Abdul Qadir juga sebagai Datok Sangsura Pahlawan.
Di antara murid Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas yang sangat terkenal sebagai tokoh atau pun ulama ialah Baginda Sultan Umar (Sultan Terengganu), Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani (Syeikh Duyung), Tok Ku Tuan Besar, Tuan Guru Mahmud bin Muhammad Yusuf Kemaman (penyalin pelbagai manuskrip) dan ramai lagi.


WAFAT

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Terengganu wafat dalam tahun 1864 M di Kampung Paya Bunga, Terengganu. Riwayat lain menyebut beliau wafat di Bukit Bayas, Terengganu.