Wednesday, March 16, 2005

IMAM YA'QUB AL KALANTANI

PENYEBAR ISLAM DI BRUNEI DAN SABAH

Dalam ruangan ini pula penulis perkenalkan seorang lagi ulama perantau Kelantan yang menyebarkan Islam di beberapa tempat dan berakhir perantauannya di Brunei Darussalam dan Sabah. Beliau yang dimaksudkan ialah Imam Haji Ya'qub bin Haji Ali bin Haji Abdullah al-Kalantani.Beliau lahir di Kampung Chetok, Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1257 Hijrah/1841 Masihi, dan meninggal dunia di rumahnya, di Bukit Dia Sako', Jesselton, Sabah pada hari Rabu, 16 Muharam 1360 Hijrah/12 Februari 1941 Masihi dalam usia 103 tahun menurut tahun hijrah.Beliau merupakan ulama yang muncul agak kemudian sedikit dengan beberapa orang ulama Kelantan yang terkenal, mereka ialah Syeikh Abdul Muthallib bin Isa al-Kalantani (di Mekah), Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan (di Mekah), Tuan Tabal (di Kota Bharu, Kelantan) dan ramai lagi. Bererti Haji Ya'qub adalah peringkat guru kepada Tok Kenali, ulama Nusantara yang sangat terkenal. Adik beradik Haji Ya'qub ada empat orang; Abdul Aziz, Haji Ya'qub, Muhammad Saleh dan Zulaikha.
PENDIDIKAN
Dipercayai mulai ayahnya Haji Ali, datuknya Haji Abdullah hingga beberapa lapis ke atas adalah ulama yang mewakili zamannya. Oleh itu pendidikan keIslaman dan bekalan hidup untuk kepentingan duniawi telah diterima dari lingkungan rumah tangga dan kalangan keluarga sendiri. Pendidikan yang mendalam yang membolehkan beliau diakui sebagai seorang ulama besar adalah di Mekah. Antara ulama berbangsa Arab yang menjadi guru-gurunya ialah: Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Utsman Dimyathi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi. Antara ulama yang berasal dari dunia Melayu pula ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dan Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar as-Sambasi. Selain itu, yang lain belum dapat dikesan. Menurut riwayatnya, walaupun Syeikh Ahmad al-Fathani jauh lebih muda daripada Haji Ya'qub al-Kalantani, namun dalam beberapa ilmu tertentu Haji Ya'qub belajar daripada ulama yang berasal dari Patani itu. Bahkan Haji Ya'qub juga mengajarkan kitab karangan Syeikh Ahmad al-Fathani, antaranya ialah Faridatul Faraid mengenai akidah, Tashil Nail al-Amani mengenai nahu.
PERANTAUANNYA
Sekembalinya dari Mekah, Haji Ya'qub mengembara ke beberapa negeri dalam Semenanjung, antaranya ialah Selangor, Melaka dan Kedah. Barangkali di Kedah beliau tinggal agak lama dari tempat-tempat lainnya kerana beliau pernah mengajar Kerabat Diraja dalam istana Sultan Kedah. Haji Ya'qub selanjutnya pindah ke Brunei Darussalam. Di sana beliau mendapat kedudukan yang layak kerana beliau adalah seorang ulama, ramai yang mempelajari pengetahuan Islam daripada beliau. Walau pun Haji Ya'qub telah beristeri dan memperoleh enam orang anak di Kampung Muara, Brunei, hal itu tiada menghalang beliau untuk merantau lagi. Perantauan dilanjutkan dan kemudian Haji Ya'qub pindah ke Putatan, Sabah pada 16 Syawal 1335 Hijrah/4 Ogos 1917 Masihi. Sedangkan keluarganya masih tinggal di Brunei. Di Putatan, Sabah, Haji Ya'qub dilantik menjadi Imam Masjid Putatan dan beberapa tahun kemudian beliau dilantik pula menjadi Imam di Jesselton. Bererti di kedua-dua masjid itu beliau memegang peranan yang paling penting, selain bertugas sebagai imam sekali gus beliau mengajar masyarakat di beberapa tempat. Maka terkenallah namanya sebagai seorang ulama di seluruh pesisir pantai Sabah atau kawasan-kawasan penduduk Sabah yang beragama Islam lainnya.
PENGAJARAN MELALUI KITAB
Oleh sebab Haji Ya'qub adalah seorang ulama besar yang berpengalaman dalam bidang dakwah dan pendidikan sistem pondok, sistem yang pernah diikutinya di Kelantan dan sekitarnya mahu pun di Mekah, maka sistem yang paling berkesan adalah dengan jalan murid-murid menadah kitab. Ertinya guru membaca kitab, sedangkan murid menyemak kitab yang sedang mereka pelajari. Murid-murid diberi kesempatan membaca kitab di hadapan guru, jika salah maka guru menegur dan membetulkannya. Dipercayai Haji Ya'qub telah menyebarkan sistem demikian di tempat-tempat beliau mengajar sama ada di Brunei mahu pun di Sabah. Untuk masyarakat yang tidak mempunyai persiapan memahami kitab-kitab bahasa Arab, Haji Ya'qub hanya mengajar kitab-kitab bahasa Melayu terutama kitab-kitab karangan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dengan demikian kitab-kitab Melayu/Jawi sangat sebati dalam kehidupan masyarakat Islam Brunei Darussalam dan Sabah seperti kawasan-kawasan kediaman orang-orang Melayu di tempat-tempat lain juga.
KETURUNAN
Sewaktu Haji Ya'qub tinggal di Kampung Muara, Brunei Darussalam, beliau berkahwin dengan Dayang Fatimah binti Awang Tarip. Hasil perkahwinan itu beliau memperoleh enam orang anak; Dayang Zauyah, Dayang Badariah, Muhammad Syarbaini, Muhammad Ali, Muhammad Seruji dan Haji Suhaili. Awang Sahari Abdul Latif dalam satu artikel yang dimuat dalam ``Islam Di Sarawak dan Sabah'' menulis bahawa, Dayang Zauyah berkahwin dengan Ma'asom Juragan Ahmad yang tinggal di Bintulu, Sarawak. Anak kedua, Dayang Badariah berkahwin dengan Awang Abdul Latif Awang Mohd. Taha, Kerani Kastam di Brunei Darussalam. Sewaktu Haji Ya'qub pindah dari Muara, Brunei ke Putatan, Sabah, kedua-dua anaknya yang disebutkan tadi tidak ikut serta kerana mengikut suami mereka. Nampaknya yang meneruskan perjuangan Haji Ya'qub sebagai ulama pendakwah dan pendidik masyarakat Islam ialah anaknya yang bongsu, iaitu Haji Muhammad Suhaili. Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Biawak, Muara, Brunei Darussalam pada tahun 1336 Hijrah/1918 Masihi dan meninggal dunia di Kuala Belait pada 14 Jamadilawal 1405 Hijrah/4 Februari 1985 Masihi.Anak Haji Ya'qub yang bongsu, Haji Muhammad Suhaili, berkahwin dua kali. Perkahwinan yang pertama pada tahun 1933 dengan Siti Zalekha binti Majinggang. Melalui isteri pertamanya ini Haji Muhammad Suhaili memperoleh lapan orang anak. Setelah isteri pertamanya meninggal dunia, beliau berkahwin pada tahun 1954 dengan Dayang Salmah binti Pehin Dana Laila Radin Mas Hanafi di Brunei. Dengan isteri keduanya ini, Haji Muhammad Suhaili memperoleh tiga orang anak. Daripada maklumat yang tersebut ini dapat diketahui bahawa Haji Ya'qub mempunyai ramai keturunan mulai dari Sarawak, Brunei Darussalam hinggalah ke Sabah.
GENERASI PENERUS
Sudah lumrah pada zaman itu bahawa seseorang yang dicalonkan menjadi ulama penerus mestilah mampu membaca kitab turas Islam dari peringkat yang paling rendah hingga peringkat yang paling tinggi. Oleh itu Haji Ya'qub telah memberi pendidikan yang cukup kepada anaknya Haji Muhammad Suhaili kerana menurut firasat, anaknya itu berbakat sebagai pengganti beliau. Dipercayai Haji Ya'qub telah mendidik Muhammad Suhaili menurut tradisi pengajian kitab-kitab yang beliau pernah belajar daripada guru-gurunya, sama ada di pondok pengajian di Kelantan mahu pun di Mekah. Kitab-kitab turas Islam dalam bahasa Melayu yang mesti diajarkan dalam bidang akidah ialah Faridatul Faraid oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, `Aqidatun Najin oleh Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani dan Ad-Durruts Tsamin oleh Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani dan lain-lain. Bidang fikah ialah Mathla'ul Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani, Mun-yatul Mushalli oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sabilul Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan lain-lain. Bidang tasawuf ialah Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin, kedua-duanya oleh Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Minhajul Abidin terjemahan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain.Oleh sebab sama ada Haji Ya'qub sendiri mahu pun anak beliau Haji Muhammad Suhaili kedua-duanya adalah sebagai `Imam', bererti kedua-duanya ahli dalam bidang ilmu tajwid. Antara kitab tajwid dalam bahasa Melayu yang dianggap sebagai turas ialah Al-Mawahibul Makkiyah oleh Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dan Mauriduz Zhamaan oleh Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora). Selain keempat-empat bidang ilmu yang tersebut, juga diajarkan kitab-kitab dalam bahasa Arab menurut jenjang atau kurikulum yang telah umum diketahui oleh ulama dunia Melayu pada zaman itu. Dipercayai Haji Muhammad Suhaili telah khatam banyak kitab dan pelbagai ilmu selain yang tersebut itu daripada ayahnya sendiri, Haji Ya'qub, ulama besar gigih yang berasal dari Kelantan itu.Ismail Mat (sekarang Dr.) dalam satu artikel yang dimuat dalam Ulama Silam Dalam Kenangan, menulis bahawa Haji Muhammad Suhaili di Sabah dikenali sebagai `Imam Suhaili', manakala di Brunei dikenali dengan `Qadhi Suhaili'. Menurut Ismail Mat pula bahawa Imam Haji Suhaili sempat menghasilkan dua buah karangan, iaitu Risalatut Tauhid, diselesaikan pada hari Rabu 27 Muharam 1378 Hijrah, di Kuala Belait, Brunei Darussalam. Dan yang sebuah lagi ialah Risalatus Shalah. Menurut Ismail Mat pula, risalah kedua ini telah disemak oleh dua orang ulama Mekah, iaitu Syeikh Abdur Rahim bin Idris al-Kalantani dan Syeikh Hasan Sa'id al-Yamani pada tahun 1381 Hijrah/1961 Masihi, sewaktu Imam Suhaili menunaikan haji pada tahun tersebut.Daripada semua yang dipaparkan di atas, penulis berkesimpulan bahawa ulama yang bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya ialah mereka yang telah berhasil menyebarkan ilmu pengetahuannya untuk kepentingan masyarakat. Bahawa mereka berbahagia di alam barzakh hingga ke Hari Kiamat sekiranya anak dan zuriatnya dapat meneruskan perjuangan suci mereka demi meninggikan syiar agama Islam yang diredhai Allah s.w.t.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home