Wednesday, March 16, 2005

MUHAMMAD SA'ID UMAR KEDAH

PENGARANG TAFSIR NUR AL-IHSAN
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

JIKA kita teliti penulisan pelbagai ilmu pengetahuan Islam zaman klasik yang menggunakan tulisan Melayu/Jawi di dunia Melayu, maka penterjemahan dan pentafsiran al-Quran secara lengkap tiga puluh juzuk adalah termasuk dalam kategori yang paling sedikit dilakukan oleh ulama kita. Terjemahan dan tafsir al-Quran klasik yang lengkap tiga puluh juzuk yang tersebar menggunakan media cetak hanya dua buah saja, iaitu Turjuman al-Mustafid atau Tafsir Baidhawi Melayu oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri (abad ke 16-17 M), dan yang sebuah lagi ialah Tafsir Nur al-Ihsan oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Umar yang berasal dari Kedah.Biografi ulama yang berasal dari Kedah ini belum pernah ditulis orang, oleh itu dalam artikel ini akan membicarakan tentang beliau terutama tentang dua buah karangannya; Fatawa al-Qad-hi fi Ahkam an-Nikah dan Tafsir Nur al-Ihsan. Hendaklah diperhatikan bahawa pada zaman yang sama di Kedah terdapat dua orang yang bernama serupa, yang pertama ialah Muhammad Sa'id Yan, yang telah diperkenalkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia pada hari Isnin, 19 Julai 2004. Yang seorang lagi ialah ulama yang dibicarakan ini.
TAFSIR
Dalam Fatawa al-Qad-hi beliau menggunakan nama Muhammad Sa'id bin Umar Khathib. Dalam Tafsir Nur al-Ihsan pula beliau menggunakan nama lengkap dengan keterangannya iaitu Sa'id bin Umar al-Qad-hi Baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, al-Qadhi Syar'iyan. Nama lain yang diletakkan orang pada halaman depan Tafsir Nur al-Ihsan ialah Al-'Alim Al-Fadhil Al-Haji Muhammad Sa'id bin Umar Qadhi Jitra Kedah.Yang dimaksudkan dengan al-Qad-hi Baladan, ialah negeri asalnya ialah Kedah. Jawatan beliau pula ialah al-Qadhi Syar'iyan, maksudnya ialah sebagai Kadi Syar'ie di Jitra. Beliau mengaku pula asy-Syafi'ie Mazhaban, maksudnya bermazhabkan Mazhab Syafi'ie. Dengan jelas diakuinya pula an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, iaitu beramal dengan Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah. Thariqat Naqsyabandiyah aliran ini dinamakan Naqsyabandiyah Ahmadiyah Muzhhariyah kerana berpegang dengan Mujaddidnya yang bernama Sayid Ahmad al-Muzhhar. Ada lagi yang dinamakan Naqsyabandiyah al-Khalidiyah kerana berpegang dengan Mujaddidnya yang bernama Syeikh Khalid al-Kurdi. Kedua-dua Thariqat Naqsyabandi yang tersebut diamalkan oleh ramai ulama di seluruh dunia termasuk ulama di dunia Melayu juga. Oleh itu tuduhan melulu yang mengatakan ``semua thariqat adalah sesat'' adalah tidak berasas sama sekali.
LAHIR DAN PENDIDIKAN
Ada riwayat yang menyebut bahawa Haji Muhammad Sa'id bin Umar lahir sekitar tahun 1270 H/1854 M di Kampung Kuar, Jerlun, Kedah. Dan wafat pada tahun 1351 H/1932 M. Walau bagaimana pun penulis masih ragu dengan tahun kelahiran yang diriwayatkan itu, kerana berdasarkan tulisan beliau sendiri pada penutup Tafsir Nur al-Ihsan, juzuk keempat, ada menyebut bahawa Syeikh Wan Sulaiman, Syeikh al-Islam Kedah, adalah guru beliau. Sedangkan Syeikh Wan Sulaiman, Syeikh al-Islam Kedah, yang lahir 1291 H/1874 M bererti lebih muda daripada Haji Muhammad Sa'id bin Umar sekitar 20 tahun.Mengenai pendidikannya pula ada riwayat yang menyebut bahawa Haji Muhammad Sa'id bin Umar pernah belajar di Pondok Bendang Daya, Patani, sempat belajar kepada pengasasnya Syeikh Haji Wan Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya pertama), tetapi yang lebih banyak beliau belajar ialah kepada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2). Memperhatikan riwayat ini berertilah Haji Muhammad Sa'id bin Umar seangkatan dengan Haji Ismail bin Mustafa al-Fathani atau lebih terkenal sebutan di Kedah dengan ``Cik Doi @ Cik Dol'', iaitu ayah kepada Tuan Guru Haji Husein Cik Doi, Tok Kelaba dan ramai lagi. Haji Muhammad Sa'id bin Umar juga melanjutkan pendidikannya di Mekah seperti ulama-ulama lainnya.
PENULISAN
Hanya dua judul karangan Haji Muhammad Sa'id bin Umar Kedah yang telah diketahui, judul yang pertama ialah Fatawal Qad-hi fi Ahkam an-Nikah. Judul ini bermaksud Fatwa-Fatwa Kerajaan Kedah Tentang Hukum-Hukum Nikah Kahwin, diselesaikan di Negeri Kedah Darul Aman, hari Khamis, 25 Syaaban 1320 H (27 November 1902 M, pen:), Kandungannya membicarakan pelbagai aspek tentang nikah kahwin.Dinyatakan pada muqaddimah, ``Ada pun kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun dua puluh, kemudian daripada seribu dan tiga ratus daripada Hijrah (1320 H, pen:) telah bertitah akan hamba oleh Sultan yang mu'azzam dan haqqan, yang mukarram, yang me[ng]hamburkan panji-panji keadilan atas segala rakyatnya, iaitu Maulana Sultan Abdul Hamid Halim Syah ibni al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Yang Maha Mulia, yang khalifah ia pada melakukan hukum Tuhannya Yang Mannan pada Negeri Kedah Darul Aman.
QAHIRAH
Telah dikekal oleh Allah s.w.t. kiranya akan daulatnya yang qahirah. Dan [di]tinggikan kiranya akan martabatnya di dalam dunia dan akhirat. Dan dipeliharakan kiranya daripada segala seterunya zahir dan batin. Dan dipalingkan kiranya daripadanya kejahatan tiap-tiap yang mempunyai hasad pada sekarang dan ke hadapan ...``. Pada akhir karangan dinyatakan, ``Maka telah selesailah barang yang dikashad oleh faqir ilallahil qarib Muhammad Sa'id bin Umar Khatib daripada mentaswidkan Fatawa Kedah pada menyatakan masalah nikah, dan talaq, dan raj'ah, dan diyat, dan hudud, dan qadha, atas jalan ikhtishar pada hari Khamis, dua puluh lima Syaaban di dalam negeri Kedah Darul Aman tahun seribu tiga ratus dua puluh. Serta faqir hantar kepada Tuan Haji Ahmad Hakim bin Tuan Haji Muhammad Zain, dan Tuan Haji Idris bin Tuan Jamal, dan Tuan Haji Muhammad Amin bin Tuan Ismail, Anak Bukit, pintak ipa tashhihkan. Maka sudahlah ipa tashhih ... `` Dicetak oleh Mathba' tempat cetak Kerajaan Kedah, Alor Setar, pada 7 Syaban 1348 H.Tafsir Nur al-Ihsan merupakan terjemah dan tafsir al-Quran dalam bahasa Melayu yang lengkap tiga puluh juzuk, ia merupakan yang kedua sesudah Turjuman al-Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi. Penulisan dilakukan mulai tahun 1344 H/1925/6 M dan selesai pada 1 Rabiulakhir 1346 H/27 September 1927 M. Terdiri daripada empat juzuk. Juzuk yang pertama, mulai surah al-Fatihah hingga surah al-Maidah. Tebal 296 halaman. Juzuk yang kedua, mulai surah al-An'am hingga surah al-Isra'. Tebal 429 halaman. Juzuk yang ketiga, mulai surah al-Kahfi hingga surah az-Zumar. Tebalnya 432 halaman.Pada juzuk yang ketiga ini ada dinyatakan selesai menulis pada hari Isnin, 27 Zulhijjah 1345 H. Juzuk yang keempat, mulai surah al-Mu'min hingga surah an-Nas. Diselesaikan 1 Rabiulakhir 1346 H. Tebal 387 halaman.Pada akhir Tafsir Nur al-Ihsan, Haji Muhammad Sa'id bin Umar menyatakan, ``Telah selesailah bi `aunillah wa husnit taufiq daripada mentaswid Tafsir Nur al-Ihsan ini oleh faqir ilallahi Subhanahu wa Ta'ala Sa'id bin Umar al-Qad-hi baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, al-Qadhi Syar'iyan, pada pagi hari Arba', sehari bulan Rabi'uts Tsani, tahun seribu tiga ratus empat puluh enam, zaman Hadhrat Maulana Al-Mu'azzam Sultan `Abdul Hamid Halim Syah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukrim Syah, Negeri Kedah Darul Aman, dan hadhra najal (anak laki-laki, pen:)nya Maulana Al-Mu'azzam Tunku Ibrahim Raihin Banghasa, dan hadhrat syaqiq (saudara laki-laki, pen:) nya Maulana Tunku Mahmud Wais Presiden. Ialah asbab pada menyuratnya, dengan isyarat Syeikhul Waqti wat Thariqah, Mursyidi wa Ustazi Syeikh Sulaiman, Syeikh al-Islam bi Qad-hi Daril Aman.Maka barang yang didapati berbetulan itu, maka itu daripada Allah kurnia-Nya. Dan yang khatha' (salah, pen:) atau silap qalam itu daripada hamba taqshirnya, diharap tolong perbetul kemudian daripada im'an an-nazhar. Mudah-mudahan dapat manfaat dan dapat ketahui kehendak Allah dalam al-Quran oleh ahli membaca daripada perempuan, dan kanak-kanak sekolah yang membawa jadi tauhid Allah yang melepas daripada kaum asyqiya' (orang-orang yang celaka, pen:) masuk kepada kaum su'ada' (orang-orang yang bahagia, pen:) yang dapat bahagia selama-lamanya ... `` Dari kenyataan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa penterjemahan dan pentafsiran al-Quran yang dilakukan oleh Haji Muhammad Sa'id bin Umar ada kaitannya dengan pihak istana kerajaan Kedah Darul Aman ketika itu. Semua juzuk cetakan pertama Tafsir Nur al-Ihsan dicetak Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir 1349 H. Dinyatakan hak mencetak tertentu bagi Haji Muhammad bin Haji Muhammad Saleh, guru agama Alor Setar, Kedah. Cetakan pertama dengan nafqah Haji Muhammad bin Muhammad Ali Rawa.
PERBANDINGAN
Untuk mengetahui gaya bahasa, terjemah dan tafsir al-Quran menurut Melayu klasik di sini penulis kemukakan contoh satu ayat dalam surah Muhammad, ayat 22 berdasarkan terjemah dua orang ulama, yang terdahulu dan dibandingkan dengan Tafsir Nur al-Ihsan. Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri dalam Turjuman al-Mustafid, terjemahannya, ``Maka mudah-mudahan kamu, jika berpaling kamu daripada iman, bahawa binasa di dalam bumi, dan kembali kamu kepada pekerjaan jahiliah daripada derhaka dan membunuh, dan kamu putuskan daripada berkasih-kasih dengan segala kerabat kamu'' (ayat 22). Terjemah Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Bisyarah al-'Amilin, ``Maka hampir kamu, jikalau berpaling kamu daripada iman, bahawa membinasa kamu di dalam bumi, dan memutus kamu akan segala rahim kamu.''
Terjemah
Kedua-dua contoh di atas lebih bercorak terjemah, sedang Haji Muhammad Sa'id Kedah dalam Tafsir Nur al-Ihsan, lebih bercorak tafsir, ialah ``Maka adakah barangkali kamu, jika kamu berpaling daripada iman atau perang itu, bahawa kamu berbuat fasid dalam bumi, dengan binasa tanaman dan bunuh anak-anak lembu, dan kamu putus rahim kamu, dengan balik pada kerjaan jahiliah daripada zalim dan bunuh orang''. Perkataan atau kalimat yang bercorak tafsir dalam Nur al-Ihsan ialah, ``atau perang itu'', ``dengan binasa tanaman dan bunuh anak-anak lembu'', ``dengan balik pada pekerjaan jahiliah daripada zalim dan bunuh orang''.Ketiga-tiga ulama di atas dalam menterjemahkan perkataan ``in tawallaitum'', kepada bahasa Melayu adalah sama, ialah ``jika kamu berpaling daripada iman'', tetapi berbeza dengan kebanyakan terjemahan al-Quran sekarang, ialah ``jika kamu berkuasa''.Kedua-duanya adalah terjemahan yang betul, penulis lebih dapat menerima terjemahan Melayu lama kerana seseorang ``jika berkuasa'' belum tentu ``membuat kerosakan di bumi dan memutuskan rahim'', tetapi apabila seseorang ``jika berpaling daripada iman'' ertinya ``tidak beriman'' golongan inilah yang melakukan pelbagai ``kerosakan di bumi dan tiada kasih sayang sesama manusia''. Fenomena keganasan, peperangan, dan pembunuhan sesama manusia yang terjadi di dunia sekarang ini adalah dilakukan oleh ``orang-orang yang sedang berkuasa yang tiada beriman''.

1 Comments:

Blogger girang said...

http://www.ismulhaq.com

9:42 PM  

Post a Comment

<< Home