Wednesday, March 16, 2005

MUHAMMAD SAID YAN

ULAMA YANG BERDIKARI
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

NAMA lengkapnya, Haji Muhammad Said bin Penghulu Muhammad Thaiyib Yan, Kedah. Lahir di Kampung Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada 1294 Hijrah/1877 Masihi, meninggal di Titi Bakong, Yan, Kedah, 1382 Hijrah/ 1962 Masihi.
PENDIDIKAN
Muhammad Said mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mat Tamin, Kampung Anak Bukit. Ada juga diriwayatkan bahawa beliau sempat belajar kepada Syeikh Jarum. Diriwayatkan juga bahawa selain mendapat pendidikan pondok, beliau juga pernah memasuki Sekolah Agama al-Hamidiah di Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah. Walau bagaimanapun mengenai Muhammad Said pernah memasuki sekolah tersebut penulis sangat meraguinya, kerana sekolah tersebut didirikan pada tahun 1916 Masihi oleh Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq. Sedangkan selisih umur antara Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq dengan Muhammad Said hanya lebih kurang tiga tahun. Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq lahir pada 1291 Hijrah/1874 Masihi, sedangkan Muhammad Said lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi.* Sekiranya benar Muhammad Said pernah memasuki Sekolah Agama al-Hamidiah di Limbong Kapal, bererti pada tahun 1916 Masihi itu beliau berusia sekitar 20tahun. Pada usia seperti demikian itu, memasuki sekolah rendah jarang berlaku. Lain halnya dengan sistem pendidikan pondok yang tidak terikat dengan umur seseorang. Kemungkinan Muhammad Said memang benar murid Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq, tetapi adalah menurut sistem pondok bukan sistem persekolahan. Dalam karyanya Anak Kunci, Muhammad Said menyebut bahawa beliau murid Syeikh Sulaiman. Tidak jelas Syeikh Sulaiman mana yang dimaksudkan kerana penulisan nama tidak lengkap. Penulis lebih meyakini bahawa Muhammad Said setelah melalui jalur pendidikan pondok di Kedah, kemungkinan juga di Patani, lalu berangkat ke Mekah. Antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Ali al-Maliki dan ramai lagi.
AKTIVITI
Aktiviti Muhammad Said dapat dibahagikan kepada empat kelompok:
1. Guru Agama,
2. Kadi
3. Pengarang
4. Tabib.
Sebagai seorang ulama, MuhammadSaid membuka pengajian sistem pondok dan penadahan pelbagai kitab di rumahnya di Titi Bakong, Yan, Kedah. Ramai orang berkunjung ke rumahnya setiaphari, siang dan malam. Murid-muridnya selain daripada Titi Bakong juga datang dari tempat-tempat lainnya. Bahkan ada yang datang dari Sumatera Utara terutama dari Mandailing.Kemungkinan Muhammad Said dilantik menjadi kadi adalah atas kehendak Syeikh Wan Sulaiman. Isteri Muhammad Said yang pertama bernama Che' Dun adalah anak saudara Syeikh Wan Sulaiman. Muhammad Said pernah menjadi kadi di beberapa daerah, antaranya di Kuala Nerang, Kuala Muda dan Yan. Nampaknya Muhammad Said lebih yakin kehidupan wira swasta atau berdikari daripada bekerja sebagai kadi. Oleh itu beliau mohon berhentidaripada pekerjaan itu.
MANFAAT
Pada zaman Muhammad Said, perubatan melalui doktor moden belumlah banyak seperti sekarang. Oleh itu ilmu tabib tradisional Islam dan Melayu dimanfaatkan oleh beliau untuk hidup berwira swasta. Muhammad Said mampu mengubati pelbagai penyakit dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat, akar kayu, daun kayu, pembuatan minyak untuk disapu, makjun dan lain-lain. Wirid-wirid yang termaktub dalam al-Quran dan doa-doa juga digunakan. Ramai orang yang mengidap penyakit berhasil disembuhkannya. Ada juga yang tidak sembuh, yang demikian sama saja antara perubatan tradisional dengan perubatan moden. Akidah Islam mengajarkan kita bahawa ketentuan sembuh atau tidak adalah dengan izin Allah belaka, bukan manusia yang menentukannya. Selain aktiviti yang tersebut di atas, Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura pernah menyenaraikan dalam beberapa buah buku terbitannya bahawa Muhammad Said bin Penghulu Muhammad Thaiyib, Alor Bakong, Yan, Kedah termasuk salah seorang agen penjual buku- buku terbitan syarikat itu. Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa beliau adalah seorang yang aktif dalam keseluruhan aspek yang ada hubungannya dengan penulisan dan penerbitan.
PENULISAN
1. Anak Kunci, diselesaikan 5 Zulhijjah 1332 Hijrah. Kandungan pelajaran adab untuk kanak-kanak. Muhammad Said telah membaca karya tersebut di hadapan Syeikh Muhammad Khaiyat, Syeikh al-Islam Kedah pada zaman itu, dan ulama besar bangsa Arab itu memuji karya tersebut. Cetakan ulangan dimuat secara keseluruhan dalam Ath-Thabib, juzuk yang pertama, cetakan pertama Tian Tek Printers, Alor Setar, Kedah, 1374 Hijrah, halaman 10 - 14.
2. Buah Putik Bagi Kanak-Kanak Pada Permulaan Tumbuhnya. Judul ini beliau sebut dalam karyanya Ath-Thabib, juzuk yang pertama, katanya ``... peringatan kemudian daripada hamba telah tulis dan sudah cap kepada Anak Kunci yang tersebut itu, kemudian hamba pun karangkan pula sambungannya, hamba namakan dia Buah Putik Bagi Kanak-Kanak Pada Permulaan Tumbuhnya. Dan sudahlah hamba cap akan dia kali yang pertama banyaknya seribu naskhah. Sekarang ini sudah habis ...''
3. Adabul Katib, juzuk yang pertama, tahun 1335 Hijrah/1917 Masihi. Pada halaman depan dinyatakan kandungannya bahawa pada menyatakan adab menulis dan rencana surat-surat kirim syair- syair. Pada halaman pertama dan kedua terdapat taqriz atau pujian-pujian daripada Muhammad Ihsan bin Haji Abdul Mannan, ulama Surabaya dan Haji Muhammad bin Muhammad Ali, ulama Sambas. Kata-kata pemberi semangat da-ripada ulama Sambas itu termaktub, ``Mudah-mudahan dengan sebab kerajinan dan jasa Tuan pada mengadakan beberapa karangan bertimbunan pula kelak beberapa laki-laki Melayu berusaha bagi mengadakan karangan- karangan supaya memberi faedah dan jadi pengenalan bagi roh kanak-kanak bangsa benih Islam.'' Pada mukadimah Muhammad Said, perhatian diberikan terhadap bahasa Melayu yang sudah mulai diabaikan daripada ucapan dan penulisan yang betul. The Critarian Press Limited, Pulau Pinang, 1335 Hijrah/1917 Masihi.
4. Punca Kesukaan, juzuk yang pertama, diselesaikan 1336 Hijrah/1918 Masihi. Pada halaman depan dinyatakan kandungannya bahawa ``pada bicara khutbah nikah dengan bahasa Jawi, dan kaedah surat panggilan, dan nasihat pengajaran.'' Pada halaman akhir terdapat dua bait syair bahasa Arab oleh Haji Abdullah Pak Him. Cetakan pertama The Critarian Press Limited, Pulau Pinang, 1336 Hijrah/1918 Masihi.
5. An-Nashihah Asy-Syabaniyah, diselesaikan 1343 Hijrah/1921 Masihi. Kandungannya membicarakan wirid malam Jumaat. Cetakan pertama The Teruna Kuala Pilah, Negeri Sembilan, 1355 Hijrah.
6. Majalah Nun, diselesaikan pada hari Selasa, 11 Syaaban 1344 Hijrah/23 Februari 1926 Masihi. Majalah ini hanya mampu bertahan hingga bulan November 1932 Masihi.
7. Ath-Thabib, juzuk yang pertama, diselesaikan pada bulan Muharam 1374 Hijrah. Kandungannya dimulai dengan mukadimah oleh pengarangnya dengan disambung kata pujian daripada Haji Abdullah Pak Him. Sekali gus Muhammad Said menjelaskan identiti Haji Abdullah Fahim, katanya, ``Ini sepucuk surat pujian daripada Tuan Guru Besar al-Fadhil Tuan Haji Abdullah Pak Him al-Makki yang jadi guru Mursyid ath-Thalibin di dalam Madrasah al-Ulya al-Idrisiah as-Sultaniah yang didirikan di dalam benua Kuala Kangsar, di Bukit Candan ...'' Ia mencerminkan hubungan kekeluargaan dan kemesraan Haji Abdullah Fahim memanggil Muhammad Said dengan `adinda' dan sebaliknya Muhammad Said memanggil Haji Abdullah Fahim dengan `kekanda'. MuhammadSaid menterjemahkan tulisan Haji Abdullah Fahim daripada bahasa Arab ke Melayu, katanya, ``... telah saya lihat dan baca kepada makna-makna perkataan yang ada tersebut di dalam ini majalah yang mengeluar akan dia oleh satu orang yang mempunyai ghairah cemburu di atas jenis bangsanya ...'' Pandangan Haji Abdullah Fahim pula, ``Maka sangatlah dukacita sekiranya tiada menaruh sudi pada menerima ini majalah oleh anak watan bangsa tanah air kita. Dan Tuhanlah juga kiranya memberi hidayah petunjuk kepada sebetul-betul jalan.'' Cetakan pertama Tian Tek Printers, Alor Setar, Kedah, 1374 Hijrah.
KEKELUARGAAN
Diriwayatkan bahawa Muhammad Said sepanjang hayatnya pernah berkahwin enam kali. Perkahwinan pertama dengan Che' Dun, anak saudara Syeikh Wan Sulaiman. Daripada perkahwinan ini beliau memperoleh enam orang anak. Perkahwinan kedua dengan Hajah Aisyah binti Haji Kecik, memperoleh seorang anak lelaki, Haji Ismail. Perkahwinan ketiga kalinya di Kuala Muda dengan Che' Lin, memperoleh seorang anak perempuan. Perkahwinan keempat di Pulau Pinang dengan Che' Aisyah, tidak memperoleh anak. Perkahwinan kelima dengan Hajah Aisyah berasal dari Kampung Tok Keling, Alor Setar, tidak memperoleh anak. Perkahwinan keenam dengan Hajah Latifah, berasal dari Tandop, Alor Setar. Sewaktu Muhammad Said meninggal dunia, yang masih bersamanya hanyalah isteri yang keenam ini. Ada pun isteri-isteri yang lain ada yang meninggal dunia mendahului beliau dan ada juga yang bercerai ketika beliau masih hidup. Muhammad Said adalah seorang yang teguh mengikut ajaran Islam. Oleh itu dalam lingkungan keluarga, bersama isteri, anak-anak dan cucu-cucunyasangat ditekankan melakukan sembahyang berjemaah bersama beliau. Diriwayatkan bahawa Muhammad Said adalah seorang yang warak. Setiap kali selesai mengerjakan sembahyang beliau membaca wirid yang banyak, doa yang panjang dengan penuh khusyuk dan syahdu serta bercucuran air mata membasahi mukanya. Penulis berkesimpulan bahawa Muhammad Said Yan, Kedah adalah seorang ulama yang berjaya mengatasi cabaran hidup duniawi secara wira swasta, kuat berusaha dan kuat beramal. Gabungan daripada kedua-duanya adalah satu rahsia memperoleh keredhaan dan berkat daripada pada Allah s.w.t. Wirid yang panjang tidak menghalang memperoleh kejayaan dunia tetapi di dalamnya ada satu rahsia tersembunyi yang jarang diketahui oleh kebanyakan orang. Antara rahsia wirid, doa, selawat dan sejenisnya, ialah pekerjaan yang sukar menjadi mudah, yang berat menjadi ringan, yang tersembunyi menjadi nyata dan banyak lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home