Wednesday, March 16, 2005

MUHAMMAD SALEH KEDAH

PENERUS PENGAJIAN PONDOK TERTUA DI KEDAH

Nama lengkapnya ialah Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim bin Abdul Hamid bin Ishaq al-Fathani. Sampai di sini sahaja yang dapat diketahui nasab dari sebelah ayahnya. Dari sebelah ibu pula ialah Fatimah binti Haji Ishaq bin Muhammad Hasyim bin Abdul Baqi. Muhammad Saleh lahir di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra, Kedah pada tahun 1280 Hijrah/1864 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1363 Hijrah/1944 Masihi.Sama ada datuk nenek dari sebelah ayah mahu pun dari sebelah ibunya, adalah golongan ulama yang berasal dari Patani. Hendaklah diperhatikan bahawa pada silsilah dari sebelah ayah mahu pun sebelah ibu terdapat nama `Ishaq'. Nama ini adalah orang yang berlainan, bererti bukanlah nasab sebelah ayah dan ibu bertemu pada nama `Ishaq'. `Ishaq al-Fathani' dari sebelah ayah belum diketahui nama yang lebih ke atasnya, sedangkan nama `Ishaq' dari sebelah ibu dapat disambung naik kepada Muhammad Hasyim bin Abdul Baqi. Haji Ishaq bin Muhammad Hasyim (lahir 1184 Hijrah/1771 Masihi dan meninggal dunia pada 1287 Hijrah/1871 Masihi) adalah datuk dari sebelah ibunya. Beliau seorang ulama, murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama-ulama yang sangat terkenal. Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi, ayah Haji Ishaq inilah yang datang ke Kedah dan beliau berasal dari Kampung Cerang, Patani. Haji Ishaq bin Muhammad Hasyim, datuknya dari sebelah ibu inilah yang dikatakan mendirikan institusi pengajian pondok di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang pada zaman pemerintahan Tengku Anom di Kubang Pasu Darul Qiyam, Kedah.Ada pun ibunya, Fatimah binti Haji Ishaq, lima orang adik beradiknya ialah: Aisyah, Khadijah, Fatimah, Ya'qub dan Ismail. Ismail memperoleh anak bernama Aroff, iaitu ayah kepada Osman Aroff yang pernah menjadi Menteri Besar Kedah pada satu ketika dulu. Jadi bererti Osman Aroff adalah anak saudara sepupu kepada Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim dari pihak sebelah ibunya.
PENDIDIKAN
Pada zaman dahulu, sekiranya ayah atau pun datuk/nenek adalah seorang ulama, maka anak atau pun cucunya akan mendapat pendidikan langsung daripada mereka. Pada zaman sekarang, terutama sekali di kota atau bandar, boleh dikatakan sangat jarang pendidikan dari kalangan keluarga, kerana sejak kecil telah diserahkan kepada pihak lain menjaga, memelihara dan mendidiknya. Barangkali kerana demikianlah keberkesanan dalam budi dan akhlak orang-orang yang mendapat pendidikan daripada mereka yang mempunyai hubungan darah adalah lebih mantap. Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim seperti juga ulama-ulama sebelum ini, beliau mendapat pendidikan asas keIslaman daripada keluarganya sendiri, dalam lingkungan pondok pengajian termasuk di surau dan di masjid. Sebenarnya selain pendidikan asas, Muhammad Saleh telah `alim sejak di Pondok Pulau Pisang lagi kerana beliau sempat mempelajari kitab-kitab besar daripada datuknya, Haji Ishaq, ulama besar Kedah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Namun sudah menjadi tradisi pada zaman itu untuk mengesahkan seseorang itu diakui keilmuannya, hendaklah belajar lagi kepada ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah. Antara tahun 1295 Hijrah/1879 Masihi hingga tahun 1312 Hijrah/1894 Masihi, Muhammad Saleh melanjutkan pendidikan di Mekah. Ulama yang paling banyak mengajarnya ialah Syeikh `Abdul Qadir bin `Abdur Rahman al-Fathani, cucu saudara dan Khalifah Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Pengetahuan yang bercorak pengkaderan dan pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi pula beliau adalah diasuh oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain itu Muhammad Saleh juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab seperti ulama-ulama yang telah diriwayatkan sebelum ini.
TUAN GURU PONDOK PULAU PISANG
Ketika Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim pulang dari Mekah, beliau langsung menguruskan Pondok Pulau Pisang yang diasaskan oleh datuknya, Haji Ishaq. Perlu juga dicatatkan di sini bahawa sewaktu Haji Ishaq mengasaskan pondok di Pulau Pisang itu, bolehlah dianggap pengajian pondok tersebut satu-satunya yang sangat terkenal dalam kerajaan Kedah. Walau bagaimanapun setelah Haji Ishaq meninggal dunia, suasana pengajian di pondok itu dalam kelesuan. Pondok Pulau Pisang kembali memancarkan nur ilmu pengetahuan dan menjulang kecemerlangan kewibawaan setelah Haji Muhammad Saleh pulang dari Mekah dan langsung memimpin pondok tersebut. Pandangan Haji Muhammad Saleh tentang pengetahuan diletakkannya pada halaman depan karyanya, Sirajul Huda. Katanya, ``Hai saudaraku, tiada mencapai seseorang akan ilmu melainkan dengan enam syarat ... cerdik, dan sejahtera, dan ijtihad, dan bersungguh-sungguh mencapaikan (nya), dan cerdik gurunya, dan panjang masanya.'' Pandangan yang berasal daripada Imam Syafie tersebut adalah sangat ditekankannya di institusi Pondok Pulau Pisang yang beliau pimpin.Institusi Pondok Pulau Pisang sama ada di bawah pimpinan Haji Ishaq, datuknya, mahu pun dalam pimpinan Haji Saleh sendiri telah ramai melahirkan ulama, cerdik cendekiawan, pemimpin dan lain-lain, bukan hanya di Malaysia saja, tetapi juga Indonesia, Patani, Myanmar, Kemboja, dan Brunei Darussalam. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinan Haji Muhammad Saleh bin Haji Hasyim pelajarnya pernah mencapai 2,000 orang. Jumlah pelajar pondok ribuan orang di Semenanjung pada zaman itu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa, yang tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya, kecuali pada zaman yang sama di Patani dan Jawa ada yang lebih ramai daripadanya.
Antara ulama dan tokoh intelektual Malaysia yang pernah menetap di Institusi Pondok Pulau Pisang ialah: Haji Abdullah Abbas Nasution. Beliau adalah ulama, pendidik, pendakwah, tokoh politik dan pengarang beberapa buah kitab. Murid Haji Muhammad Saleh pula ialah Dr. Burhanuddin Helmi, doktor perubatan, tokoh politik dan pengarang. Dan masih ramai lagi yang belum dapat dibicarakan dalam ruangan ini.
KITAB KITAB YANG DI AJARKAN
Kitab-kitab turas Islam, bahasa Melayu yang diajarkan di Pondok Pulau Pisang ialah Faridatul Faraid, Bidayatul Hidayah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh, Ad-Durruts Tsamin, ketiga-tiganya mengenai akidah. Hidayatus Salikin dan Siyarus Salikin, Ad-Durrun Nafis oleh Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, ketiga-tiganya mengenai tasawuf. Mengenai terjemahan dan tafsir al-Quran diajarkan Turjumanul Mustafid (Tafsir Baidhawi Melayu) oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.Kitab-kitab turas Islam, bahasa Arab yang diajarkan ialah Fathul Mu'in dan syarahnya I'anatut Thalibin, kedua-duanya tentang fikah. Jawahir al-Bukhari, Shahih Bukhari dan kitab-kitab hadis selain kedua-duanya menurut kurikulum yang telah ditentukan. Mengenai ilmu tafsir, yang diajarkan ialah Tafsir Jalalain dan Tafsir Baidhawi dan lain-lain. Ilmu tasawuf dalam bahasa Arab yang diajarkan ialah Minhajul `Abidin dan Ihya' `Ulumid Din, kedua-duanya adalah karangan Imam al-Ghazali.Selain kitab-kitab bahasa Arab karangan orang luar juga diajarkan kitab-kitab bahasa Arab karangan orang Melayu, seperti Matnur Risalatil Fathaniyah, Tashilu Nailil Amani, kedua-duanya karangan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai ilmu nahwu. Kitab-kitab bahasa Arab karangan Syeikh Nawawi al-Bantani (berasal dari Banten, Jawa Barat) juga banyak diajarkan di Pondok Pulau Pisang.
PENULISAN
Pada penghujung tahun 1988 di sebuah rumah di Patani, penulis memperoleh sebuah kitab berjudul Sirajul Huda wa Mishbahud Duja yang tertulis dengan lengkap nama penyusunnya Muhammad Saleh bin Muhammad Hasyim `Abdul Hamid Ishaq Fathani. Sejak penemuan kitab tersebut penulis mulai menyemak data penyusunnya, maka hanya sedikit dapat dikesan di Patani dan selebihnya diperoleh cerita di Kedah. Kitab berjudul Sirajul Huda yang disusun oleh ulama Kedah keturunan Patani tersebut buat pertama kali dicetak oleh Mathba'ah Muhammad `Ali Shabih dekat Al-Azhar, Mesir tahun 1344 Hijrah. Selain Sirajul Huda, karya beliau yang lain pula ialah Tanbihul `Awam li Istiqazil Manam, juga dicetak di Mesir tahun 1950. Kemungkinan masih banyak karangan Haji Muhammad Saleh bin Haji Hasyim namun sekarang sukar memperolehinya.
GENERASI PENERUS / KETURUNAN
Sewaktu Tuan Guru Haji Muhammad Saleh bin Haji Muhammad Hasyim meninggal dunia, beliau meninggalkan isteri bernama Saerah binti Abbas, seorang anak perempuan bernama Hajah Jamilah dan tiga orang lelaki, ialah Syeikh Ismail, Haji Qasim dan Syeikh Ramli. Kelima-lima anaknya mendapat pendidikan dan akhirnya mendapat kedudukan yang layak dalam masyarakat. Selain mendidik sendiri di Pondok Pulau Pisang, mereka juga melanjutkan pelajarannya ke Mekah dan Mesir.Zakariya Ahmad dalam satu artikel yang dimuat dalam Biografi Ulama Kedah Darul Aman, menulis bahawa Syeikh Ismail pernah memegang jawatan Pengerusi Majmak Ulama Negeri Kedah, Syeikh Ramli pernah dilantik menjadi Pendaftar Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah dan Haji Qasim seorang tokoh agama yang banyak berjasa. Penulis berkesimpulan, bahawa tiada siapa dapat menafikan keberkesanan dan jasa-jasa institusi pengajian pondok yang merupakan institusi pendidikan yang tertua di dunia Melayu dalam membina umat Islam dan etnik rumpun Melayu pada zaman dulu dalam tempoh masa yang sangat panjang. Pada zaman kita sekarang institusi pengajian pondok ada beberapa jenis, antaranya masih seperti sediakala, ada yang menggabungkan antara pendidikan pondok dan sistem persekolahan dan ada juga yang dinamakan pondok moden. Walau apa pun jenisnya, bagi kita mestilah mempertahankan kesinambungan khazanah dan warisan Melayu yang pernah wujud, berpotensi, atau bermanfaat bagi umat Islam dan bangsa Melayu. Institusi pengajian pondok tiada perlu dimusnahkan, tetapi sebaik-baiknya ialah mempertahankan keasliannya dengan mempertingkat dan menyesuaikannya dengan perkembangan zaman, yang dinamakan zaman sains dan teknologi seperti sekarang ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home