Wednesday, March 16, 2005

RAJA MUHAMMAD TAHIR RIAU

HAKIM RIAU-LINGGA DAN ULAMA FALAKIAH
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ILMU Hisab dan Falakiah berkembang dalam kerajaan Riau-Lingga dimulai oleh Raja Ali Haji yang belajar daripada Saiyid Abdul Rahman bin Ahmad al-Mashri di Betawi. Apabila pujangga Riau itu ke Mekah mengikut orang tuanya, Raja Haji Ahmad pada tahun 1243 H/1817 M, Raja Ali Haji dan ayahnya mentahqiqkan pelbagai ilmu kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, termasuk Ilmu Hisab dan Falakiyah. Raja Ali Haji selain seorang pengarang, juga mengajar ilmu-ilmu keIslaman kepada kerabat-kerabatnya, di antara mereka yang menjadi ulama besar dan Hakim ialah Raja Haji Muhammad Tahir bin Raja Haji Abdullah (al-Marhum Mursyid).Raja Haji Muhammad Tahir merupakan orang pertama di Riau yang menulis dalam bidang Ilmu Hisab dan Falakiyah sebagai dokumentasi. Kemunculannya boleh disenaraikan dalam golongan di antara orang-orang pertama melakukan penulisan ilmu itu di dunia Melayu. Hal tersebut diakui, kerana pada peringkat awal memang tidak ramai ulama dunia Melayu melakukan penulisan ilmu tersebut, bahkan termasuk sampai ke zaman kita sekarang ini (1425 H/2004 M) sangat sedikit sekali yang menulis perkara itu. Walau bagaimanapun Syeikh Abbas Kuta Karang Aceh dan lain- lain telah mendahului Raja Haji Muhammad Tahir Riau. Naskhah hisab dan falak karya beliau hanyalah dapat diketahui dan dipelajari melalui salinan yang dibuat oleh putera beliau sendiri, iaitu Raja Haji Muhammad Sa'id, seorang ulama Riau-Lingga yang banyak menghasilkan karya. Oleh sebab asas Ilmu Hisab dan Falak telah dirintis oleh kedua-dua orang kerabat Diraja Riau-Lingga itu, ia memberi laluan mudah kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari memperkembangkan ilmu itu. Kerabat Diraja Riau-Lingga merupakan orang pertama memperkenalkan dan memperkembangkan karya-karya hisab dan falak Syeikh Tahir Jalaluddin itu melalui natijah-natijah yang mereka terbitkan di Singapura. Yang memperkenalkan karya Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari itu masih keluarga dekat dengan ulama ini, di antara mereka ialah Raja Haji Umar bin Raja Haji Hasan dan Raja Haji Muhammad Arif bin Raja Haji Mahmud.
KETOKOHAN
Raja Haji Muhammad Tahir telah dikenali sebagai tokoh Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah melalui beberapa jalur, ayahnya Raja Haji Abdullah Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-9 adalah seorang ulama pengamal thariqat, bahkan beliau digelar dengan Marhum Mursyid. Ketokohan beliau ini diakui oleh gurunya, Syeikh Ismail Minangkabau sebagai seorang Mursyid dalam Thariqat Naqsyabandiah al-Khalidiyah yang diamalkannya.
PENDIDIKAN
Sewaktu ayahnya, Raja Haji Abdullah membuat surat wasiat, 26 Zulhijjah 1276 H/1859 M, Raja Muhammad Tahir belum akil baligh lagi, sedangkan anaknya yang tua, Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong berada di Mekah. Saudara tuanya, ialah Raja Haji Muhammad/ Tengku Nong yang telah diberi kepercayaan oleh ayahnya untuk mendidik Raja Muhammad Tahir. Raja Haji Muhammad/Tengku Nong sendiri sebelum ke Mekah telah mendapat pendidikan daripada ayahnya. Juga sewaktu di Riau-Lingga beliau diasuh oleh Syeikh Ismail Minangkabau hinggalah beliau berangkat ke Mekah mengikut ulama yang berasal dari Minangkabau itu. Raja Muhammad Tahir mendapat pelbagai ilmu daripada abangnya termasuklah Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah. Beliau juga sempat belajar kepada Raja Ali Haji. Di antara pengetahuan yang dipelajarinya daripada Raja Ali Haji ialah Ilmu Bahasa Melayu, termasuk karang mengarang, Ilmu Sosiologi, Sejarah, Ilmu Hisab/Falak dan lain-lain lagi. Selepas itu Raja Haji Muhammad Tahir melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Selama berada di Mekah beliau dalam pemeliharaan Syeikh Ismail Minangkabau dan keluarganya. Di antara guru-gurunya di Mekah ialah: Syeikh Ismail Minangkabau, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan ramai lagi.
KEJAYAAN
Raja Haji Muhammad Tahir adalah seorang ulama besar kerajaan Riau-Lingga dalam masa transisi kejayaan kerajaan itu kepada masa kerajaan itu dimusnahkan oleh pihak penjajah Belanda. Walaupun keadaan pada ketika itu sangat mencabar, namun beliau masih sempat mendidik kaum kerabatnya mengenai ilmu-ilmu keIslaman. Dua orang anak beliau yang berilmu pengetahuan, Raja Haji Muhammad Sa'id dan Tengku Badariyah. Beliau jugalah sebagai pendidik anak saudaranya iaitu Raja Ali/Tengku Selat bin Raja Haji Muhammad/Tengku Nong. Raja Ali/Tengku Selat digelar masyarakat dengan ``Bapak Gembala Perniagaan Melayu''.
Raja Haji Muhammad Tahir juga dikenali sebagai tokoh ``murabbir ruh'' (pendidik kerohanian). Beliau adalah Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah seperti orang tuanya, Raja Haji Abdullah/Marhum Mursyid. Ramai kerabat Diraja Riau-Lingga ditawajuh atau dibaiah oleh beliau sendiri, di antaranya termasuk putera beliau, Raja Haji Muhammad Sa'id, anak saudara beliau, Raja Ali/Tengku Selat, dan ramai lagi. Perkara ini jelas dalam sepucuk surat wasiat Raja Haji Muhammad Tahir kepada Raja Ali/ Tengku Selat itu. Kata beliau, ``Sesungguhnya Raja Ali yang tersebut itu sebagai munassibku sebagaimana yang telah diijazahkan oleh saudaraku Raja Haji Muhammad yang tersebut itu atasku .''
PENULISAN DAN PEMIKIRAN
Raja Haji Muhammad Tahir tidak menghasilkan karangan, jika dibandingkan penulisan Raja Haji Muhammad Sa'id, putera beliau, ternyata puteranya itu lebih produktif. Yang dapat dikesan setakat ini ialah: 1. Naskhah Hisab. 2. Syair Pintu Hantu. Pada Naskhah Hisab beliau menggunakan nama lengkap Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid al-Khalidi. Pada penulis ada sebuah manuskrip yang merupakan salinan puteranya Raja Haji Muhammad Sa'id, tarikh 1 September 1910 M. Naskhah Hisab juga pernah dimuat dalam Natijah Al-Usrah, terbitan Mathba'ah Al-Usrah, 5-2 Palembang Road, Singapura, tahun 1336H/ 1917 M-1918 M. Dimuat lagi salinan Raja Haji Muhammad Sa'id yang tersebut.
MENYALIN
Untuk menyemak pemikiran dan gaya bahasa Raja Haji Muhammad Tahir itu, dirasakan perlu menyalin mukadimah Naskhah Hisab itu, ialah, katanya, ``Kemudian daripada itu maka inilah natijah bagi tahun hijrah nabawiyah 1336 yang masuk ke dalamnya tahun milad 1917 dan 1918 melengkapi akan segala waktu sembahyang, dan menyatakan segala musim-musim, dan hari-hari besar dan lainnya sebagaimana yang dilihat di dalamnya.Ada pun takwim sehari bulan yang di dalam natijah ini ialah atas hisab qamari yang hakiki, iaitu dihubungkan sehari bulannya apabila pada ketika masuk matahari maka bulan masih tertinggal di atas ufuk, padahal telah berhimpun bulan itu dengan matahari pada ketika siangnya. Syahdan segala auqat (waktu-waktu, pen:) ini atas hisab zaman wusta urufi, iaitu jam yang dipakai oleh orang putih. Permulaannya dari pukul 12 tengah malam. Adalah segala auqat ini bagi negeri-negeri yang hampir khatulistiwa dan bagi negeri-negeri yang aradnya 1 dan 2 darjat ke Utara, iaitu seperti: Riau, Singapura, Johor, Batu Pahat, Muar, Melaka, Kampar, Siak, Pontianak, Sambas, Mempawah, Sarawak, Siugu, Padang Sidempuan, Rawa, Ternate, Sintang, dan negeri-negeri yang bersamaan dan berhampiran aradnya dengan dia. Maka bolehlah beramal dengan dia pada negeri-negeri arad satu darjat dan dua darjat ke Selatan. Dan negeri-negeri yang aradnya tiga, empat dan lima darjat ke Utara dan ke Selatan dengan syarat berihtiyathlah masing-masing ahli negeri itu sekadar lima minit hingga lapan minit. Ada pun negeri-negeri yang memakai jam negeri asing itu, maka sayugianya memakai tafawut di antara dua taul. Pada tiap-tiap satu darjat tafawutnya empat minit. Jika negeri yang diikut jamnya itu sebelah Barat, yang negerinya sebelah Timur, maka ditambah. Dan jika negeri yang diikut jamnya itu di sebelah Timur dan negerinya di sebelah Barat maka dikurangkan. Seperti: Melaka mengikut jam Singapura (sebelah Timur Melaka). Singapura taulnya 108.51 darjat, Melaka taulnya 102.15 darjat tafawut taulnya 1.36. 1.36 darjat kali empat minit sama dengan 6.24 minit (iaitu pukul 12 Singapura sama dengan 12.06 Melaka). Tersalin daripada: Naskhah Hisab Raja Haji Muhammad Tahir bin Almarhum Mursyid. Oleh Muhammad Sa'id bin Muhammad Tahir Riau Singapura, 14 Mei 1917 M.''Demikianlah transliterasi mukadimah Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir pada Natijah Mathba'ah Al-Usrah, 1336 H/1917-1918 M. Kandungannya pula banyak perkara-perkara yang menarik sebagai contoh pada halaman 32 pengarangnya mencatatkan bahawa sampai Muharam 1336 H bersamaan Oktober 1917 M, ``... telah lalu dari masa turun Nabi adam a.s. daripadanya syurga 8195 tahun.''Naskhah Hisab karya Raja Haji Muhammad Tahir yang disalin oleh Mudir Mathba'ah Ahmadi, 50 Minto Road, Singapura, 15 Ogos 1920, lain pula kandungannya dengan salinan di atas sesudah mukadimah lalu membicarakan judul Gerhana Bulan Gelap selanjutnya tertulis, ``Berlaku hikmah al-Ilahiyah, dan harakat falakiyah, dan qawaid hisabiyah dengan bahawasanya menengahi bumi antara jirim bulan dan matahari pada 15 Safar, malam Khamis, sanah 1338 berbetulan 27 Oktober tahun 1920, gerhana bulan gelap. Permulaan gerhana pukul 7.46. Permulaan gelap pukul 9.02. Pertengahan gelap pukul 9.37. Permulaan terang pukul 10.12. Kesudahan gerhana pukul 11.27.''
MEMPERKENALKAN
Transliterasi yang bersumber daripada kedua-dua salinan karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau di atas adalah bertujuan memperkenalkan jalan ilmiah dan gaya bahasa ulama silam kita mengenai ilmu yang kurang diminati orang. Jika membicarakan kandungan kedua-dua sumber tersebut, maka ruangan yang diperuntukkan tidak cukup memadai. Oleh itu memperkenalkan ini lebih lengkap perlu difikirkan. Selain karya Raja Haji Muhammad Tahir Riau yang disebutkan di atas barangkali masih ada karya beliau belum diketahui. Saya mempunyai sebuah surat wasiat beliau kepada saudaranya Raja Ali/Tengku Selat juga boleh dianggap sebagai satu karya tulisannya.
KETURUNAN
Putera Raja Haji Muhammad Tahir yang menjadi ulama besar ialah Raja Haji Muhammad Sa'id (wafat di Singapura, 11 Safar 1338 H/4 November 1919 M) dan Tengku Badariyah (wafat di Singapura, 10 Rabiulawal 1347 H/26 Ogos 1928 M). Raja Haji Muhammad Sa'id adalah seorang ulama besar Riau-Lingga mendapat pendidikan di Mekah dan Tengku Badariyah adalah seorang tokoh perempuan Riau-Lingga yang mahir berbahasa Arab, baik percakapan mahupun penterjemahan. Kedua-dua mereka akan dibicarakan dalam artikel yang tersendiri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home