Wednesday, March 16, 2005

SYEIKH ABDUL LATHIF AL-FATHANI

SEBAR ISLAM DENGAN SENI LAGU AL-QURAN
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SYEIKH Wan Abdul Lathif adalah putera Tok Bendang Daya I (Hulubalang Syeikh Wan Mustafa al-Fathani). Beliau dilahirkan dalam suasana perang atau pencerobohan bangsa Siam terhadap kerajaan Fathani Darus Salam dan Kedah tahun 1235 Hijrah/1819-20 Masihi. Perang yang berlanjutan belasan tahun itu akhirnya menyebabkan Patani mengalami kekalahan sehingga ramai keluarga ini dan umat Islam Patani lainnya ditangkap, diseksa dan dibawa ke Bangkok.Di antara mereka ada yang diseret berjalan kaki dari Patani ke Bangkok dan ada pula yang dibawa dengan kapal melalui jalan laut. Sama ada yang diseret jalan darat atau pun melalui jalan laut penuh dengan derita seksaan yang sangat dahsyat. Setelah sampai di Bangkok mereka dipaksa berkerja keras, seperti menggali sungai dan lain-lain. Berlatarkan riwayat tersebutlah, manakala Wan Abdul Lathif telah dewasa, setelah memperoleh pengetahuan Islam yang cukup melalui pendidikan di Bendang Daya dan Mekah, beliau berhijrah ke salah sebuah perkampungan orang-orang Melayu di Bangkok dengan niat untuk memberikan pendidikan iman dan Islam kepada mereka di sana. Wan Abdul Lathif Bendang Daya al-Fathani meninggal dunia di Kampung Thait, Bangkok. Ramai muridnya dan beberapa orang anak dan keturunannya masih menjadi ulama.Permulaan aktivitinya membantu kedua-dua orang saudaranya mengajar di Pondok Bendang Daya. Kedua-dua adik beradiknya itu ialah Syeikh Wan Muhammad Zain dan Syeikh Wan Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II). Syeikh Abdul Lathif bin Mustafa al-Fathani selain seorang ulama yang mahir berbagai-bagai bidang disiplin ilmu, se-umpama kedua-dua saudaranya juga, beliau mempunyai keistimewaan dalam bidang ilmu-ilmu al-Quran, termasuk tujuh qiraat dan pelbagai jenis lagu-lagu al-Quran. Selain itu beliau juga pakar dalam lagu-lagu Qasidah, Burdah, Nazham dan lain-lain.
HIJRAH KE BANGKOK
Dengan ilmu-ilmu seni yang dibenarkan oleh syarak tersebutlah sebagai modal Syeikh Abdul Lathif menyebarkan Islam di kota Bangkok yang majoriti penduduknya beragama Buddha itu. Syeikh Abdul Lathif mendapat tempat istimewa di kalangan umat Islam keturunan Patani di Bangkok terutama di Kampung Thait, Propinsi Nuntburi yang terletak di pinggir kota Bangkok. Menurut beberapa cerita bahawa ramai orang Patani di beberapa perkampungan di sekitar kota Bangkok merupakan keturunan tawanan perang zaman dahulu. Di Thait sendiri, orang-orang Patani yang menjadi tawanan perang Siam tersebut diketuai oleh seorang ketua. Yang dapat dikesan, orang Patani yang pertama menjadi tawanan perang ialah Haji Itam bin Ismail. Tahun 1989 saya sempat mencatat mengenai sejarah ini daripada salah seorang cicit beliau, yang ketika itu berusia lebih 90 tahun. Di antara cerita yang paling panjang diriwayatkannya ialah tentang beberapa peristiwa Kampung Thait, termasuk peristiwa kedatangan Syeikh Wan Abdul Lathif Bendang Daya al-Fathani dengan pelbagai aktivitinya menyebarkan ajaran agama Islam. Dakwah Islamiyah yang dilakukan oleh Syeikh Wan Abdul Lathif mencapai hasil yang positif yang berkesinambungan sampai sekarang. Iaitu beliau disambung oleh beberapa orang anaknya yang menjadi ulama besar, dan selanjutnya sekarang diteruskan oleh beberapa cucu dan cicitnya.
KAHWIN DI PATANI DAN BANGKOK
Syeikh Wan Abdul Lathif berkahwin dua kali. Sebelum ke Bangkok, beliau berkahwin di Patani dan memperoleh seorang anak lelaki yang bernama Haji Wan Ishaq. Wan Ishaq juga seorang ulama. Beliau membuka Pondok Pengajian di Kampung Telaga Sembilan. Pondok Pengajian Telaga Sembilan berakhir pada zaman anak saudaranya sekali gus cucu menantunya, bernama Haji Abdul Hamid atau lebih popular dengan Pak Cu Mid Telaga Sembilan saja. Ayah tuan guru ini (Haji Abdul Hamid) adalah seorang ulama besar, iaitu Haji Wan Idris atau Pak Cu Yih yang membuka pondok di Tok Raja Haji. Pak Cu Yih pula adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Ibu Tuan Guru Haji Abdul Hamid Telaga Sembilan pula bernama Hajah Wan Aisyah adalah anak kepada Syeikh Wan Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, saudara kandung Syeikh Wan Abdul Lathif bin Mustafa al-Fathani.Masyarakat Islam di kota Bangkok pada zaman itu sangat kasih kepada orang-orang yang berilmu pengetahuan, apatah lagi sudah mencapai peringkat sebagai seorang ulama besar seperti Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang diriwayatkan ini. Tidak hairanlah bahawa beliau diambil jadi menantu oleh seorang hartawan pemilik tanah persawahan yang banyak dan luas di kota Bangkok. Perkahwinan Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani tersebut memperoleh anak dan zuriat yang ramai.
KETURUNAN
Beberapa orang anak Syeikh Wan Abdul Lathif Bendang Daya al- Fathani yang menjadi ulama besar pembina masyarakat Islam yang berilmu dan beramal diperkenalkan di bawah ini, ialah:
1. Haji Wan Muhammad Nur al-Fathani, beliau mendapat pendidikan asas daripada ayahnya sendiri. Seterusnya melanjutkan pelajaran dengan ayah saudaranya, Syeikh Wan Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II) di Pondok Bendang Daya, Patani. Kemudian beliau belajar pula kepada ayah saudaranya yang bongsu, iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani di Mekah. Terakhir sekali kepada saudara sepupunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani juga di Mekah. Setelah guru dan saudara sepupunya, Syeikh Ahmad al-Fathani, yang dikasihinya itu meninggal dunia, Haji Wan Muhammad Nur dijodohkan dengan anak Syeikh Ahmad al-Fathani yang bernama Hajah Wan Fatimah. Bererti beliau berkahwin dengan anak saudara sepupu. Perkahwinan seperti ini dibolehkan di dalam Islam, tidak ubahnya seperti perkahwinan antara Saidina Ali dengan Siti Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w. Manakala Haji Wan Muhammad Nur bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani pulang ke Bangkok, beliau aktif mengajar masyarakat. Dalam tahun 1971 saya sempat bertemu beliau dalam umur yang sangat tua (sekitar 100 tahun). Berbagai-bagai maklumat sempat saya catat daripada beliau.
2. Haji Wan Ahmad bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani, beliau mendapat pendidikan juga sama dengan saudaranya Haji Wan Muhammad Nur al-Fathani. Ketika Haji Wan Ahmad dari Mekah tidak pulang ke Patani ataupun Bangkok tetapi terus ke Kelantan bersama Tok Kenali, yang merupakan sahabat beliau. Oleh keluarga Syeikh Abdus Shamad Pulai Condong, beliau diajak bersama-sama mengajar di Pondok Pulai Condong. Walaupun tidak lama, namun Haji Wan Ahmad sempat mengajar sama ada di pondok mahupun di beberapa tempat di dalam Kelantan. Haji Wan Ahmad meninggal dunia pada 1946 M. di Kelantan dengan meninggalkan enam orang anak. Daripada perkahwinannya dengan Hajah Zainab Kelantan memperoleh anak bernama Hajah Wan Halimah yang berkahwin dengan Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sena. Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sena adalah cucu Tok Bendang Daya II, kerana ibunya bernama Hajah Wan Minah adalah anak Tok Bendang Daya II (Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani). Bererti Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sena ini adalah anak saudara sepupu kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani. Sangat banyak catatan sejarah keluarga Sena atau Bendang Daya saya terima daripada Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sena (1970 - 1972 di Patani) daripada ibu beliau Hajah Wan Minah bin Tok Bendang Daya II di Mekah tahun 1979, yang ketika itu umur beliau sekitar 100 tahun. Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani sebelum berkahwin dengan Hajah Wan Zainab Kelantan pernah berkahwin di Mekah dengan seorang perempuan yang berasal dari Indonesia, memperoleh dua orang anak perempuan ialah Habibah dan Hamidah. Daripada dua orang anak perempuan beliau itu menurunkan keluarga yang ramai. Sebahagian besar menetap di Mekah dan ada juga yang mendapat pendidikan tinggi di Amerika dan lain-lain.
3. Haji Wan Ismail bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani, beliau juga mendapat pendidikan asas daripada ayahnya, seterusnya melanjutkan pelajarannya ke Mekah kepada ayah saudaranya Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani. Juga belajar kepada saudara sepupunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, tetapi tidak lama kerana Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia pada 1325 H/1908 M. Selanjutnya setelah Tok Kenali membuka pondok di Kelantan, beliau turut muzakarah ataupun belajar kepada Tok Kenali, murid kesayangan Syeikh Ahmad al-Fathani itu. Manakala Tuan Guru Haji Wan Ismail pulang ke Bangkok beliau terus dilantik sebagai imam dan guru di Masjid Jamik Thait. Juga mengajar di Anjuman Islam Bangkok dan tempat-tempat lainnya. Haji Wan Ismail bin Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani meninggalkan beberapa orang anak yang menjadi alim ulama. Yang paling terkenal di seluruh Thailand ialah Tuan Guru Haji Yahya atau lebih popular Acan Yaya saja. Beliau ini pernah sebagai Timbalan Cula, iaitu merupakan kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di kerajaan Thailand. Walau bagaimana pun Tuan Guru Haji Yahya (Acan Yaya) tidak sempat menjadi Cula, kerana beliau menolak untuk dicalonkan memegang jabatan itu.Berikutnya adik-adik Tuan Guru Yahya al-Lathifi yang menjadi guru agama ialah Haji Abdullah, Haji Sulaiman dan Haji Tajuddin. Tuan Guru Haji Yahya dan saudara-saudaranya serta keluarga besarnya telah mengabadikan nama datuknya Syeikh Wan Abdul Lathif dengan membangunkan sekolah Islam dan pondok dengan nama Lathifuddin. Pendidikan Pondok Lathifuddin diasaskan tahun 1976 masih ada sampai sekarang dan setiap tahun menerima murid dibataskan hanya 300 orang pelajar.
KESIMPULAN
Yang dipaparkan di atas hanyalah segelintir aktiviti keluarga Sena atau Bendang Daya, Patani, yang nenek moyang mereka adalah termasuk sebahagian penyebar Islam yang pertama sampai di dunia Melayu. Kiranya penting juga saya salin beberapa kalimat yang terukir dalam salasilah asal keluarga Sena atau Bendang Daya, Patani, sebagai dokumen dan pegangan, ialah: ``Janganlah putus rahim sesama saudara Islam. Lagi mula satu keturunan Bendang Daya, Patani. Jangan beri jadi macam sekarang hingga tukar dua ibu bapa, sahabat handai nafsi-nafsi di atas dunia, belum sampai ke alam akhirat lagi''.Catatan yang lain dalam salasilah yang sama pula, ialah: ``Bala yang sangat ditakuti di atas dunia ini:Muda mulia, tua hinaMula kaya, akhir papaMula sekutu, akhir berceraiAwal berkasih-kasih, akhir berbenci-benciHadapan baik, belakang mengumpatMula sepakat, akhir buat puak-puakBerbenci sama sendiri, kasih bangsa asingMula Islam, akhir murtad''.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home