Wednesday, March 16, 2005

SYEIKH ABDUL QADIR AL-FATHANI

TOK BENDANG DAYA II
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

NAMA Tok Bendang Daya pada satu ketika dulu cukup popular bagi masyarakat Patani, Kedah, Kelantan, Perak, Terengganu dan lain-lain. Walau bagaimanapun orang jarang dapat membezakan siapakah sebenarnya Tok Bendang Daya itu. Tok Bendang Daya sebenarnya ada dua orang, iaitu Tok Bendang Daya I, beliau ialah Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani. Yang seorang lagi ialah Tok Bendang Daya II, beliau ialah Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, iaitu anak kepada Tok Bendang Daya I yang tersebut. Syeikh Haji Wan Mustafa (Tok Bendang Daya I) adalah salah seorang panglima atau hulubalang Fathani Darus Salam, juga sebagai pengasas Pondok Pengajian Bendang Daya. Pondok tersebut kemudian menjadi pondok pengajian yang paling banyak pelajarnya di dunia Melayu setelah dipimpin oleh anak beliau, iaitu Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II). Memang pada zaman itu sistem pengajian pondok di Patani paling menonjol dari tempat-tempat lainnya di dunia Melayu. Oleh itu pelajar-pelajarnya berdatangan daripada berbagai-bagai tempat di dunia Melayu.
TERKENAL
Yang sangat menarik tentang sejarah hidup ulama ini bahawa sangat ramai muridnya yang membuka pondok di tempat-tempat lain di dunia Melayu, ramai juga yang menjadi tokoh-tokoh besar terkenal dalam masyarakat, ditambah lagi dua orang anak beliau yang menjadi ulama besar yang terkenal. Kedua-duanya ialah Syeikh Wan Ismail al-Fathani atau lebih terkenal dengan sebutan Pak De El Makkah dan yang seorang lagi ialah Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani atau lebih terkenal dengan sebutan Pak Cu Him Kedah. Aktiviti Pak De El mengajar di Mekah menjadi pakar rujuk ulama-ulama dunia Melayu pada zamannya terutama dalam bidang akidah dan ilmu-ilmu `Arabiyah. Pak Cu Him pula terkenal dengan Pondok Gajah Mati di Kedah. Pendek kata kedua-dua ulama itu masih banyak diperkatakan orang, kerana sampai artikel ini saya tulis masih ramai murid kedua-duanya yang masih hidup, bahkan beberapa orang di antara mereka masih aktif dalam pelbagai bidang keIslaman.
PENDIDIKAN DAN AKTIVITI
Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II) yang lahir di Sena Janjar tahun 1234 H/1817 M adalah adik kepada Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (1233 H/1817M - 1325 H/1908 M). Sejak kecil lagi Abdul Qadir dididik oleh ayah dan ibunya menghafal berbagai-bagai matan terutama matan ilmu tauhid, nahu dan saraf. Seiringan dengan itu ditekankan menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang dipandang sebagai asas untuk membolehkannya meningkat lebih maju pada masa-masa akan datang. Oleh sebab Pondok Bendang Daya yang dipimpin sendiri oleh ayahnya Syeikh Mustafa al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dipandang sebagai pondok yang berautoriti pada zaman itu, maka dipercayai Syeikh Abdul Qadir al-Fathani tidak belajar ke pondok-pondok lainnya. Walau bagaimanapun beliau hanya pergi menziarahi beberapa pondok terkenal yang masih masuk keluarga Sena, iaitu Pondok Teluk Manuk, Pondok Wadi Husien, Pondok Cenak dan Pondok Pauh Bok. Pondok- pondok tersebut letaknya sangat berjauhan. Pada zaman itu perjalanan ditempuh dengan berjalan kaki dan masih melalui hutan tebal. Sekurang-kurangnya dalam dua tahun sekali acara ziarah mesti dilakukan kerana untuk mendekatkan hubungan kekeluargaan dan informasi dalam berbagai-bagai hal dan peristiwa. Perkara-perkara yang tersebut di atas sangat ditekankan oleh Syeikh Wan Mustafa al-Fathani, hal ini selain beliau sebagai bekas hulubalang Fathani Darus Salam, beliau juga dipandang sebagai orang tua dan berpengaruh di kalangan keluarga besar Sena dan Bendang Daya di mana saja mereka berada. Sebaliknya dari pondok-pondok yang tersebut hampir setiap bulan ada saja utusan ke Pondok Bendang Daya.
MENGIRIM
Oleh sebab Syeikh Wan Mustafa (Tok Bendang Daya I) memandang kedua-dua orang anaknya; Wan Muhammad Zain dan Wan Abdul Qadir sudah cukup memadai ilmu-ilmu yang diterima langsung daripadanya, maka beliau mengirim kedua-dua anaknya itu ke Mekah. Dipercayai kedua-dua orang anak beliau itu sempat belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, walaupun tidak begitu lama namun melebihi lima tahun. Pada tahun-tahun terakhir Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sibuk dengan penulisannya. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani belajar juga kepada beberapa ulama lain, di antara mereka ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Kedua-dua ulama berbangsa Arab itu usianya hanya lebih beberapa tahun daripada beliau.Atas kehendak kedua-dua ulama yang besar pengaruhnya di Mekah ketika itu, Syeikh Abdul Qadir Bendang Daya al-Fathani diminta mengajar di Masjidil Haram dan di rumahnya sendiri. Dalam masa belajar dan mengajar itulah beliau bersahabat dengan ulama-ulama yang berasal dari tanah Jawi (dunia Melayu) lainnya, di antara mereka ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dan lain-lain. Sama ada kepada Syeikh Nawawi al-Bantani mahupun Syeikh Wan Ali al-Kalantani, terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir.Oleh sebab ayahnya, Syeikh Mustafa (Tok Bendang Daya I) memikirkan bahawa kedua-dua anaknya sudah cukup lama belajar di Mekah, sedangkan anaknya yang bernama Wan Abdul Lathif dirasakan perlu pula mendalami ilmunya di Mekah, maka beliau memanggil kedua-dua anaknya supaya kembali ke Jawi untuk memimpin Pondok Bendang Daya. Tok Bendang Daya I bersama anaknya Abdul Lathif berangkat ke Mekah, alangkah terkejut dan gembiranya beliau setelah sampai di Mekah kerana baru diketahuinya kedua-dua anaknya telah dibenarkan mengajar di Masjidil Haram, Mekah. Selama ini beliau tidak mendengar khabar itu, disangkanya kedua-dua anaknya itu hanyalah sebagai pelajar saja.
AKTIVITI DI PONDOK BENDANG DAYA
Setelah Tok Bendang Daya I memandang bahawa anaknya Abdul Qadir lebih tinggi nilai keulamaannya daripada Muhammad Zain, maka beliau menyerahkan kepercayaan untuk memimpin Pondok Bendang Daya itu kepada Abdul Qadir. Syeikh Abdul Qadir mengevaluasi sistem pengajian pondok pada keseluruhan sektornya, dari sehari ke sehari Pondok Bendang Daya bertambah terkenal, nama beliau sendiri menjadi harum ke seluruh tanah Patani, ke seluruh tanah semenanjung Melayu, bahkan hingga ke peringkat sejagat dunia Melayu yang membentang demikian luasnya. Berduyun-duyun orang datang menghantar anakmereka memasuki Pondok Bendang Daya itu.Seluruh waktu beliau digunakan untuk mengajar, dimulai dari sesudah sembahyang Subuh hingga istirahat sekitar jam 11.00. Sesudah Zuhur pelajaran disambung lagi hingga waktu Asar. Sesudah Asar merupakan jam istirahat bagi Tok Bendang Daya II, waktu itulah digunakan untuk bersukan. Tetapi sukannya bukan seperti sekarang, sukannya digunakannya untuk menanam sirih dan menyiram tanaman sirih yang telah hidup. Dalam waktu yang sama digunakan juga untuk menternak lembu. Dalam kedua-dua pekerjaan itu beliau sekali-kali tidak membenarkan murid-murid menolongnya, kerana pekerjaan itu dianggap untuk mengeluarkan peluh menjaga kesihatannya.
BERWIBAWA
Tok Bendang Daya II adalah seorang tok guru pondok yang berwibawa kerana sangat banyak keramatnya yang nyata. Doanya sangat dikabulkan Allah. Menurut riwayat, pada suatu malam bulan Ramadan beliau juga pernah mendapat Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya sebagaimana yang berlaku terhadap ayahnya. Ketika itulah beliau berdoa, meminta dalam tujuh keturunannya mesti ada yang menjadi ulama. Salah satu di antara keramatnya, jika orang akan menyabung ayam ataupun berlaga lembu/kerbau, melalui kawasan rumahnya ataupun kira-kira masih kelihatan bumbung rumahnya, maka orang yang menyabung ataupun berlaga itu tidak akan menang. Bahkan pelaku pekerjaan itu akan ditimpa pelbagai musibah. Apa saja jenis bunyi-bunyian seumpama gendang, gong dan lain-lain, jika dibunyikan, kedengaran di rumahnya ataupun di kawasan Pondok Bendang Daya, nescaya alat bunyi-bunyian itu akan pecah ataupun rosak. Oleh hal-hal yang tersebut itulah bagaimana jahatdan bengisnya manusia pada zaman itu tidak berani membantah, apatah lagi berbuat jahat kepada Tok Bendang Daya II itu. Di manakah letaknya rahsia kehebatan Tok Bendang Daya II itu, mudah saja jawabnya, bahawa tiada lain hanyalah ketaqwaannya kepada Allah jua segala peristiwa keredhaan Allah boleh berlaku. Allahlah yang mengurniakan kekeramatan yang dikehendaki-Nya.
KARYA-KARYA
Tok Bendang Daya II banyak meninggalkan karangan, selain itu juga kegiatannya dalam penyalinan pelbagai kitab yang dikarang oleh ulama-ulama yang terdahulu daripadanya. Di antara karyanya yang sempat disalin dan ditahqiqkan oleh muridnya Tok Kelaba ialah Syarabatul Washilin al-Muflihinal Maqbulin, tarikh salinan tahun 1314 H/1896 M. Pada manuskrip kitab ini Tok Kelaba menyebut bahawa Tok Bendang Daya II itu adalah seorang al-'Arif ar-Rabbani, iaitu seorang yang telah mencapai martabat `Wali Allah'. Sebutan yang sama juga pernah beliau tulis di bahagian kulit luar karyanya, Hidayatus Sail fi Bayanil Masail. Manuskrip tersebut menjadi milik penulis, keadaan manuskrip uzur sekali. Pada saya juga terdapat sebuah manuskrip Tok Bendang Daya II yang membicarakan tasawuf dan kumpulan amalan-amalan ilmu hikmah karangan beliau. Manuskrip yang tersebut adalah asli tulisan tangan beliau. Oleh sebab karangan-karangan beliau ada yang tinggal di Bendang Daya yang tidak teruruskan, ada juga yang dibawa ke Mekah oleh saudara kandungnya Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, dan oleh anaknya Syeikh Ismail al-Fathani sehingga karangan-karangan beliau banyak belum diketahui. Pengumpulan ke arah menyelamatkannya sedang saya jalankan.
MENINGGAL DUNIA
Tok Kelaba mencatat tahun meninggal dunia gurunya Tok Bendang Daya II di dalam karyanya Hidayatus Sail fi Bayanil Masail, ``Diwafatkan dia pada Mekah al-Mukarramah pada tahun seribu tiga ratus sepuluh dua (1312 H, pen) dari Hijrah Nabi s.a.w. pada hari Ahad enam belas hari bulan Zulhijjah. Syahid akhirat, dengan sebab sakit muntah jerah, kadar sehari semalam. Dikuburkan dia pada penjiratan Ma'ala di hilir kubur Saiyidatina Khadijah al-Kubra, zaujah (isteri, pen:) Saiyidina al-Mustafa Muhammad s.a.w., 1312 H'' (1894 M, pen). Adalah kepergian beliau ke Mekah pada tahun yang tersebut kerana menjunjung perintah Sultan Fathani Darus Salam untuk menghajikan beberapa orang keluarga Diraja Fathani Darus Salam. Daripada lima orang anaknya, tiga lelaki dan dua perempuan, Tok Bendang Daya II telah menurunkan zuriat yang ramai. Di antara mereka ramai yang menjadi ulama besar dan tokoh masyarakat yang bertebaran di pelbagai negara.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home