ULAMA NUSANTARA

Monday, April 11, 2005

SYEIKH ABDUL WAHHAB ROKAN

Mursyid Tarekat Yang Berwibawa
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

BABUSSALAM, Langkat, Sumatera Timur adalah merupakan pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang terbesar di Sumatera sesudah aktiviti Syeikh Ismail bin Abdullah al- Minankabawi. Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Babussalam tersebut pada satu ketika sangat terkenal hingga ke Semenanjung Tanah Melayu terutama Johor dan Singapura. Namanya ketika kecil ``Abul Qasim'', digelar juga dengan ``Faqih Muhammad''. Nama lengkap Syeikh Abdul Wahhab bin `Abdul Manaf bin Muhammad Yasin bin Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai. Lahir 10 Rabiulakhir 1242 H/11 November 1826 M). Wafat di Babussalam, Langkat, pada hari Jumaat, 21 Jamadilawal 1345 H/26 Disember 1926 M. Moyangnya Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai adalah seorang ulama besar dan golongan raja-raja yang sangat berpengaruh pada zamannya.

PENDIDIKAN

Selain pendidikan dari lingkungan keluarga sendiri Abdul Wahhab belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Halim di Tembusai. Dalam 1846 M - 1848 M Abdul Wahhab merantau ke Semenanjung, pernah tinggal di Johor dan Melaka. Dalam tempoh lebih kurang dua tahun itu digunakannya kesempatan mengajar dan belajar. Di antara gurunya ketika berada di Malaya (Malaysia Barat) ialah Tuan Guru Syeikh Muhammad Yusuf seorang ulama yang berasal dari Minangkabau. Masih dalam tahun 1848 itu juga Abdul Wahhab meneruskan pengembaraannya menuju ke Mekah dan belajar di sana hingga tahun 1854 M. Di antara gurunya sewaktu di Mekah ialah Syeikh Muhammad Yunus bin Syeikh Abdur Rahman Batu Bara, Asahan, dan lain-lain. Pelajaran tasawuf khusus mengenai Thariqat Naqsyabandiyah Abdul Wahhab dididik oleh seorang ulama besar yang cukup terkenal, beliau ialah Syeikh Sulaiman Zuhdi di Jabal Abi Qubis, Mekah.

PULANG DAN AKTIVITI

Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan pulang ke tanah air dalam tahun 1854 M dan dalam tahun itu juga mengajar di Tanjung Mesjid, daerah Kubu Bagan Siapi-api, Riau. Dalam tahun 1856 M beliau juga mengajar di Sungai Mesjid, daerah Dumai, Riau. Selanjutnya mengajar di Kualuh, wilayah Labuhan Batu tahun 1860 M. Mengajar di Tanjung Pura, Langkat tahun 1865 M. Mengajar di Gebang tahun 1882 M, dan dalam tahun itu juga berpindah ke Babussalam, Padang Tualang, Langkat. Di Babussalamlah dijadikan sebagai pusat seluruh aktiviti, sebagai pusat tarbiyah zhahiriyah, tarbiyah ruhaniyah dan dakwah membina umat semata-mata mengabdi kepada Allah s.w.t.

Sungguh pun demikian Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan tidak mengabaikan perjuangan duniawi kerana beliau bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin, Sultan Kerajaan Rokan dan Haji Abdul Muthallib, Mufti Kerajaan Rokan pernah mengasaskan ``Persatuan Rokan''. ``Persatuan Rokan'' bertujuan secara umumnya adalah untuk kemaslahatan dan kebajikan Rokan. Walau bagaimana pun tujuan utamanya adalah perjuangan kemerdekaan untuk melepaskan Kerajaan Rokan dari penjajahan Belanda. Pembahagian kerja ``Persatuan Rokan'' ialah Sultan Zainal Abidin sebagai pelaksana segala urusan luar negeri. Haji Abdul Muthallib menjalankan pekerjaan-pekerjaan dalam negeri dan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab sebagai menerapkan pendidikan memberi semangat pada masyarakat.

PERKAMPUNGAN BABUSSALAM

Dalam tarikh 12 Syawal 1300 H/12 Ogos 1883 M Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan bersama 160 orang pengikutnya dengan menggunakan 13 buah perahu memudiki Sungai Serangan menuju perkampungan peribadatan dengan undang-undang atau peraturannya tersendiri yang dinamakan Babussalam. Pendidikan mengenai keislaman diterapkan setiap hari dan malam, sembahyang berjemaah tidak sekali-kali diabaikan. Tilawah al-Quran, selawat, zikir, terutama zikir menurut kaedah Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah dan lain-lain sejenisnya semuanya dikerjakan dengan teratur di bawah bimbingan ``Syeikh Mursyid'' dan ``khalifah-khalifah''nya. ``Syeikh Mursyid'' adalah Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sendiri. ``Khalifah'' ada beberapa orang, pada satu ketika di antara ``khalifah'' terdapat salah seorang yang berasal dari Kelantan. Beliau ialah khalifah Haji Abdul Hamid, yang masih ada kaitan kekeluargaan dengan Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.

Pada tahun 1342 H/1923 M Asisten Residen Belanda bersama Sultan Langkat menyematkan ``Bintang Emas'' untuk Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Wakil pemerintah Belanda menyampaikan pidatonya pada upacara penyematan bintang itu, ``Adalah Tuan Syeikh seorang yang banyak jasa mengajar agama Islam dan mempunyai murid yang banyak di Sumatera dan Semenanjung dan lainnya, dari itu kerajaan Belanda menghadiahkan sebuah ``Bintang Emas'' kepada Tuan Syeikh. Seorang sufi sebagai Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan penyematan bintang seperti itu bukanlah merupakan kebanggaan baginya, mungkin sebaliknya bahawa bisa saja ada maksud-maksud tertentu daripada pihak penjajah Belanda untuk memperalatkan beliau untuk kepentingan kaum penjajah yang sangat licik itu. Oleh itu, dengan tegas Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan berkata ketika itu juga, ``Jika saya dipandang seorang yang banyak jasa, maka sampaikanlah pesan (amanah) saya kepada Raja Belanda supaya ia masuk Islam.''

KARYA

Tidak banyak diketahui hasil penulisan Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan. Setakat ini yang dapat dikesan ialah:
1. Munajat, merupakan kumpulan puji-pujian dan pelbagai doa.
2. Syair Burung Garuda, merupakan pendidikan dan bimbingan remaja .
3. Wasiat, merupakan pelajaran adab murid terhadap guru, akhlak, dan 41 jenis wasiat.

Petikan 41 wasiat yang dimaksudkan beliau antaranya;

Wasiat yang pertama, ``Hendaklah kamu sekalian masyghul dengan menuntut ilmu Quran dan kitab kepada guru-guru yang mursyid. Dan hinakan diri kamu kepada guru kamu dan perbuat apa-apa yang disuruhnya. Jangan bertangguh. Dan banyak-banyak bersedekah kepadanya. Dan seolah-olah diri kamu itu hambanya. Dan jika sudah dapat ilmu itu maka hendaklah kamu ajarkan kepada anak cucu, kemudian kepada orang lain. Dan kasih sayang kamu akan muridmu seperti kasih sayang akan cucu kamu. Dan jangan kamu minta upah dan makan gaji sebab mengajar itu, tetapi minta upah dan gaji itu kepada Tuhan Esa lagi Kaya Murah, iaitu Allah Ta'ala.''

Wasiat yang kedua, ``Apabila kamu sudah baligh hendaklah menerima Thariqat Syaziliyah atau Thariqat Naqsyabandiyah supaya sejalan kamu dengan aku. ``Wasiat yang kedua ini jelas bahawa Tuan Guru Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat menekankan amalan tarekat. Mengenai ini juga ada hujah-hujah yang kuat di kalangan penganut-penganut sufi, walau pun ada golongan yang tidak sependapat dengan yang demikian itu. Pada pandangan saya mempertikaikannya adalah merupakan pekerjaan yang sia-sia, kerana bermujadalah adalah termasuk salah satu sifat mazmumah (dicela) oleh syarak Islam.

Wasiat yang ketiga, ``Jangan kamu berniaga - maksudnya jika terdapat penipuan atau pun riba. Jika hendak mencari nafkah hendaklah dengan tulang empat kerat seperti berhuma dan berladang dan menjadi amil (orang yang bekerja, pen:). Dan di dalam mencari nafkah itu hendaklah bersedekah tiap-tiap hari supaya segera dapat nafkah. Dan jika dapat ringgit sepuluh, maka hendaklah sedekahkan satu dan taruh sembilan. Dan jika dapat dua puluh, sedekahkan dua. Dan jika dapat seratus, sedekahkan sepuluh dan taruh sembilan puluh. Dan apabila cukup nafkah kira-kira setahun maka hendaklah berhenti mencari itu dan duduk beramal ibadat hingga tinggal nafkah kira-kira empat puluh hari maka boleh mencari.''

Wasiat yang keempat, ``Maka hendaklah kamu berbanyak-banyak sedekah sebilang hari istimewa pada malam Jumaat dan harinya. Dan sekurang-kurang sedekah itu empat puluh duit pada tiap-tiap hari. Dan lagi hendaklah bersedekah ke Mekah pada tiap-tiap tahun.''

Wasiat yang kelima, ``Jangan kamu bersahabat dengan orang yang jahil dan orang fasik. Dan jangan bersahabat dengan orang kaya yang bakhil. Tetapi bersahabatlah kamu dengan orang
alim-alim dan ulama-ulama dan salih-salih.''

* Wasiat yang keenam, ``Jangan kamu hendak kemegahan dunia dan kebesarannya seperti hendak menjadi kadi, imam dan lain-lainnya istimewa pula hendak jadi penghulu-penghulu dan lagi jangan hendak menuntut harta benda banyak-banyak. Dan jangan dibanyakkan memakai pakaian yang halus.''

Wasiat yang ketujuh, ``Jangan kamu menuntut ilmu sihir seperti kuat, dan kebal dan pemanis serta lainnya kerana sekalian ilmu telah ada di dalam al-Quran dan kitab.''

Wasiat yang kelapan, ``Hendaklah kamu kuat menghinakan diri kepada orang Islam, dan jangan dengki khianat kepada mereka itu. Dan jangan diambil harta mereka itu melainkan dengan izin syarak.''

Demikianlah 8 wasiat yang dipetik dari 41 wasiat Syeikh Abdul Wahhab Rokan, semuanya masih perlu perbahasan atau pentafsiran yang panjang. Kerana jika tidak ditafsirkan kemungkinan orang-orang yang berada di luar lingkungan sufi akan beranggapan bahawa wasiat beliau itu sebagai penghalang terhadap kemajuan dunia moden. Sebelum anda sempat mengikuti pentafsirannya, saya berpendapat bahawa jalan menuju takwa kepada Allah sekali-kali adalah tidak menghalang kemajuan dunia moden jika kemajuan itu tidak bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

MURID

Murid Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat ramai: Di antara muridnya yang dianggap mursyid dan khalifah dan yang sangat giat menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Batu Pahat, Johor ialah Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi. Muridnya yang lain ialah Syeikh Muhammad Nur Sumatera. Murid Syeikh Muhammad Nur Sumatera ialah Haji Yahya Laksamana al-Khalidi an-Naqsyabandi, Rambah, Sumatera. Beliau ini adalah penyusun buku berjudul Risalah Thariqat Naqsyabandiyah Jalan Ma'rifah, cetakan pertama tahun 1976 di Malaysia, diterbitkan oleh pengarangnya sendiri.

ULAMA BESAR MANDAILING

Wasiat Pedoman Ahli Keluarga
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MANDAILING adalah satu istilah salah satu suku kaum yang tinggal di Tapanuli Selatan, Sumatera Utara. Marga Mandailing termasuk dalam bahagian Marga Batak. Istilah Marga Batak adalah tidak asing bagi masyarakat Indonesia, tetapi bagi masyarakat Malaysia ramai orang beranggapan istilah ``Batak'' itu adalah kurang sopan.

Perlu kita ketahui bahawa ``Marga Batak'' majoriti adalah beragama Kristian. Berbeza dengan ``Marga Mandailing'' majoriti adalah beragama Islam.

Sejarah mencatat bahawa sangat ramai orang Mandailing yang menjadi ulama besar dan pengarang kitab. Tuan Haji Abdullah Abbas Nasution, yang satu ketika dulu pernah terkenal adalah termasuk salah seorang dari Marga Mandailing. Beliau ini sangat gigih mempertahankan bahawa Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ulama yang sangat terkenal adalah orang Mandailing, bukan orang Aceh.

Antara ulama Mandailing yang dapat dicatat ialah: Ulama Mandailing yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Mandaili yang mengajar di Mekah ada tiga orang. Mereka ialah: Syeikh Abdul Qadir bin Shabir al-Mandaili, mengajar di Masjid al-Haram, Mekah, beliau ini menghasilkan beberapa buah karangan. Syeikh Abdul Qadir bin Abdullah al-Mandaili, salah sebuah hasil karyanya ialah Tarjamah Matil Ajrumiyah. Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Muthallib al-Mandaili, beliau ini memulai pendidikannya daripada Syeikh Wan Ibrahim (Pak Cu Him), Pondok Gajah Mati, Kedah. Beliau inilah yang terbanyak menghasilkan karangan di antara ulama yang berasal dari Mandailing. Ulama Mandailing yang lain pula ialah Syeikh Ja'far, termasuk salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani yang ditugaskan belajar di al-Azhar Mesir.

Riwayat semua mereka ditangguhkan, yang diambil data untuk artikel ini hanyalah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili al-Khalidi an-Naqsyabandi berasal dari Kampung Cu Badak, Mandailing, Sumatera Utara kemudian pindah ke Selangor. Kedatangan Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili ke Selangor barangkali serentak dengan kedatangan sekian ramai orang-orang yang berasal dari Minangkabau dan Mandailing terutama sekali sewaktu bandar Kuala Lumpur mula diteroka. Di antara orang-orang yang datang dari Minangkabau dan Mandailing itu terdapat beberapa orang ulama. Ulama yang berasal dari Minangkabau ialah Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi, Kadi, Imam dan Khatib Kuala Lumpur yang pertama. Ulama yang berasal dari Mandailing ialah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili yang dibicarakan dalam artikel ini.

PEMBANGUNAN MASJID

Dari selembaran surat yang pernah disebarkan dan sebuah buku catatan tulisan tangan beliau sendiri ternyata Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili berhasil membangun sebuah masjid di Kampung Selayang dalam tahun 1917 M. Surat sebaran ditandatangani bersama oleh beliau dan Raja Ali, Penghulu Mukim Batu, Kuala Lumpur ketika itu. Masjid yang beliau bangun bersama murid-murid dan masyarakat tersebut masih wujud sampai sekarang.

Dalam selembaran surat Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili menyatakan, ``Iaitu adalah hamba hendak membangunkan sebuah masjid di Kampung Selayang akan mengganti masjid yang telah sedia lama di tempat itu. Oleh kerana masjid yang sedia lama itu tersangat sudah uzurnya, dan sekalian pekakasnya sudah buruk belaka, bertambah pula itu masjid tersangatlah kecilnya. Dan adalah selalu pada tiap-tiap Jumaat tiada muat orang-orang yang datang sembahyang Jumaat. Dan oleh hal yang demikian inilah hamba hendak bangunkan sebuah masjid baru dan bangunnya dengan 3 tingkat. Dan lantai, tiang, serta dindingnya daripada batu dan atapnya daripada genting. Dan lain-lain pekakasnya daripada kayu yang keras. Dan tinggi temboknya daripada tanah 3 kaki. Dan panjang serta lebarnya 50 kaki persegi. Dari hal belanjanya itu telah ditaksirkan dengan kasar sahaja dengan $ 3,000.00 (tiga ribu ringgit Inggeris).''

PENULISAN

1. Aqidatul Iman, diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Negeri Kelang, Kuala Lumpur, hari Isnin, jam 4.00, 17 Rabiulawal 1323 H. Kandungan membicarakan akidah, fiqh yang fardu ain dan tasawuf secara ringkas. Dicantumkan juga Ratib al-Haddad dan selawat atas Nabi s.a.w. Dicetak dengan huruf batu (litografi). Nama pencetak dan tarikh tidak dinyatakan. Catatan: Pengarang memberikan iklan, ``... Dan barangsiapa berhajat akan ini kitab boleh datang di rumah kita di Pinang Baik atau di rumah Haji Muhammad Thaiyib di Batu adanya''. Sesudah ditutup pada halaman 23 di atas terdapat lagi lima halaman sebagai tambahan membicarakan ilmu pelangkahan dan beberapa qasidah. Pada halaman tambahan pengarang menyebut nama lengkapnya dengan tambahan ``al-Khalidi an-Naqsyabandi'' berasal dari Cu Badak Mandailing.

2. Kitab Syair Nashihat, diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Selayang, Mukim Batu, Kuala Lumpur, Selangor, pada 17 Rejab 1342 H. Kandungan untaian syair dalam bahasa Melayu merupakan nasihat pengarang supaya berpegang teguh kepada agama Islam. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, 1342 H.

3. Terjemah Nazam Akidah Awam dan Syair Nasihat, diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Selayang, Mukim Batu, Kuala Lumpur, Selangor, pada 17 Rejab 1342 H. Kandungan terjemahan Akidah Awam yang diberi gantungan maknanya dalam bahasa Melayu dan disertakan dengan syair Melayu yang terdiri banyak bait dan ilmu raksi. Dicetak oleh Haji Abdullah bin Muhammad Nuruddin ar-Rawi/Rawa, 59 Achen Street, Penang, 13 Jumadilawal 1345 H.

4. Risalah Nasihat dan Jaga-jaga Hati, diselesaikan: 25 Rabi'uts Tsani 1346 H. Kandungan nasihat-nasihat pengarang supaya mengamalkan perintah-perintah Allah dan Rasul-Nya. Dicetak oleh Malayan Press, 183 Batu Road, Kuala Lumpur tanpa dinyatakan tarikh. Cetakan yang kedua Mathba'ah Al-Zainiyah, 185 Main Road Taiping, Perak, 1347 H. Cetakan yang kedua dengan ukuran lebar dan tercantum selembar surat wasiat pengarangnya.

5. Risalah Pohon Peringatan dan Jaga-jaga Hati Bagi Agama diselesaikan di Kampung Pinang Baik, Selayang, Mukim Batu, Kuala Lumpur, Selangor, pada 14 Rejab 1348 H bersamaan 15 Disember 1929 M. Kandungan nasihat-nasihat pengarang supaya mengamalkan perintah-perintah Allah dan Rasul-Nya. Cetakan yang pertama Selangor Press, Kuala Lumpur, 1348 H.

6. Kaifiyat Thariqatin Naqsyabandiyah, masih dalam bentuk manuskrip. Kandungan membicarakan cara-cara mengamalkan Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah.

WASIAT

Memang terdapat hadis Nabi s.a.w. supaya kita berwasiat sebelum meninggal dunia, namun tidak semua orang dapat melaksanakannya. Orang-orang sufi sangat memandang penting perkara wasiat, oleh itu Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili yang termasuk salah seorang khalifah dalam Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah juga menulis wasiat yang beliau sebarkan dalam salah sebuah karangannya. Di antara kandungan wasiat itu ialah, ``Wasiat sahaya, nama Syeikh Abdul Ghani, Kampung Selayang, Mukim Batu Kuala Lumpur, pada 26 haribulan Januari 1928 bersamaan 3 haribulan Syaaban 1346. Pada masa inilah sahaya Syeikh Abdul Ghani ibnu al-Marhum Haji Abdul Hamid memperbuat satu Surat Wasiat beri pegang kepada waris sahaya dan wakil sahaya. Bahasa sahaya nama yang tersebut di atas ini ditakdir-Nya jikalau sahaya mati. Fasal harta benda sahaya beberapa yang ada lebih daripada pembayar hutang sahaya takdir-Nya jikalau ada sahaya berhutang. Maka itu harta dibahagi atas tiga bahagi. Maka satu bahagi: Minta dijalankan apa-apa yang membagi faedah di atas diri sahaya kemudian daripada mati. Seperti fidiyah sembahyang, dan fidiyah puasa, dan upah haji, dan Quran, dan korban, dan membaca tahlil, dan lainnya. Dan yang dua bahagi lagi itu: Minta dibagikan kepada waris sahaya yang ahli pusaka beberapa yang ada ahli pusaka mengikut sepanjang hukum syarak. Minta dibahagi dengan hukum faraid seperti yang tersebut di dalam Quran. Hal inilah dimaklumkan kepada sekalian ahli waris sahaya atau kepada siapa-siapa yang melihat ini surat. Dan sahaya, waktu memperbuat ini wasiat waktu badan sahaya lagi sihat dan akal sahaya lagi sempurna. Sah dengan nyatanya, tidak boleh didakwa dan dakwi pada kemudian hari kerana sudah turun tanda tangan sahaya di bawah ini surat ...''

Dari wasiat di atas dapat diketahui bahawa Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili adalah termasuk ulama ``Kaum Tua'' kerana beberapa perkara yang dianggap bid'ah oleh ``Kaum Muda'' tetap beliau pertahankan dalam wasiat tersebut di atas. Fidiyah sembahyang adalah berasal dari Mazhab Hanafi, beberapa orang ulama besar dalam Mazhab Syafi'ie di antaranya Imam as- Subki membolehkan bertaqlid mengerjakan fidiyah sembahyang yang tersebut. Di dunia Melayu semua ulama Syafi'iyah silam menganjurkan amalan fidiyah sembahyang itu, maka dalam masa yang relatif lama telah diamalkan oleh umat Islam di seluruh pelosok dunia Melayu.

Selain fidiyah yang dibidaahkan oleh Kaum Muda pula termasuklah tahlil untuk orang yang meninggal dunia. Sama ada fidiyah sembahyang, tahlil mahu pun amalan-amalan lain yang pernah ditulis dan dikerjakan oleh para ulama silam tidaklah dapat dituduh sebagai bid'ah kerana ada dalil-dalil atau hujah-hujah yang kukuh untuk beramal dengannya. Sesuatu amalan yang betul berdasarkan dalil tetapi ada pihak lain menolaknya itulah yang diistilahkan dengan ``khilafiyah''. Selagi sesuatu bernama ``khilafiyah'' maka tiadalah patut seseorang itu berbangga diri menuduh orang lain salah lalu beranggapan dirinya sendiri saja yang benar. Yang terpenting bagi kita bukanlah menyalahkan amalan orang lain tetapi adalah kita sendiri mestilah banyak beramal untuk kepentingan umat yang kita tinggalkan setelah mati. Lebih penting pula, ketika kita berada dalam kubur dan selanjutnya bahawa ada amalan kita tiada berkeputusan, itulah yang dinamakan amal jariah. Jika perkara tersebut ini dapat kita laksanakan, jadilah kita seorang yang benar-benar bijak kerana dapat selamat kita hidup di dunia dan kehidupan yang abadi di akhirat

Dalam Surat Wasiat Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili juga dapat kita ketahui bahawa beliau sangat bertanggungjawab terhadap pembayaran hutang, kerana mengenai itu adalah merupakan perkara yang diwajibkan. Mengenai pusaka yang ditinggalkan pula mestilah dibagi berdasarkan faraid iaitu benar- benar menurut ajaran Islam, bukan ajaran selainnya. Daripada huraian ini dapat disimpulkan bahawa yang termaktub dalam ``Surat Wasiat Syeikh `Abdul Ghani bin `Abdul Hamid al-Mandaili'' adalah menepati ajaran Islam dan patut menjadi teladan. Setiap insan Muslim sebelum meninggal dunia memang perlu memperkemas wasiat untuk pedoman para ahli keluarga yang ditinggalkan.