ULAMA NUSANTARA

Sunday, May 22, 2005

SYEIKH ABDUL HAMID

Berguru di Mekah, tentang golongan tajdid
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PADA zaman raja-raja Melayu masih berkuasa, di sekitar Sumatera Utara yang terdiri daripada beberapa kerajaan, seperti Deli, Serdang, Asahan, Binjai, Langkat dan lain-lain, sangat ramai melahirkan para ulama besar yang keilmuan dan kemasyhuran namanya menjangkau ke seluruh dunia Melayu, kerana di antara mereka juga menghasilkan kitab yang sempat beredar dengan luasnya. Di antara ulama-ulama yang berasal dari daerah tersebut seumpama Syeikh Hasanuddin bin Ma'shum @ Syeikh Hasan Ma'shum, Mufti Syeikh Muhammad Isa, Syeikh Abdul Wahhab Rokan, Syeikh Muhammad Zain Nuruddin bin Syeikh Imam Abbas al-Khalidi Batu Bahara Pasir Dahari Inderapura, Mufti Haji Muhammad Nur Langkat, Kadi Haji Muhammad Nur bin Ismail Langkat dan masih ramai lagi.

Di antara sekian ramai ulama yang berasal dari kerajaan-kerajaan tersebut termasuk juga ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini. Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud. Ayah dan datuk neneknya berasal dari Talu, Minangkabau. Abdul Hamid dilahirkan di Tanjung Balai Asahan tahun 1298 H/1880 M. Wafat pada hari Khamis, petang Jumaat pada 10 Rabiulakhir 1370 H/18 Februari 1951 M.

Murid-murid para ulama yang tersebutlah yang mengasaskan Jam'iyatul Washliyah, iaitu sebuah organisasi Islam yang ditubuhkan di Sumatera Utara. Jam'iyatul Washliyah berfahaman mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah pada pegangan akidah, Mazhab Syafie dalam fikah. Jam'iyatul Washliyah dalam pegangannya banyak persamaan dengan Persatuan Tarbiyah Islamiyah (PERTI) yang diasaskan oleh para ulama Sumatera Barat (Minangkabau). Para ulama pengasas PERTI bersahabat dengan para ulama Sumatera Utara yang tersebut di atas kerana seperguruan di Mekah, termasuk juga Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan.
Perlu juga saya sentuh di sini, bahawa para ulama Sumatera Utara termasuk juga Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan dan para ulama yang bergabung dalam PERTI sangat menentang golongan tajdid/reformis, fahaman yang tidak mengikut mazhab itu dibawa ke dunia Melayu terutama di Minangkabau oleh sahabat-sahabat mereka juga. Di antara tokoh tajdid di Minangkabau ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah (ayah Prof. Dr. Hamka). Beliau mendapat tentangan hebat daripada sahabatnya, Syeikh Hasan Ma'shum sahabat Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan. Guru mereka, Syeikh Ahmad al-Fathani ketika itu telah meninggal dunia, tetapi Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi ketika itu masih hidup. Dalam peristiwa polemik antara Dr. Haji Abdul Karim Amrullah dengan Syeikh Hasan Ma'shum, ternyata Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi membenarkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Syeikh Hasan Ma'shum. Dalam satu tulisan Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi mengakui bahawa kedua-dua ulama yang seorang berasal dari Minangkabau dan yang seorang lagi berasal dari Deli itu adalah sama-sama murid beliau. Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi dalam tulisannya menyatakan juga bahawa anak beliau Haji Abdul Karim Amrullah beranggapan bahawa orang lain tidak pernah faham dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiyah, padahal menurut Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, para ulama telah meneliti beberapa karangan Ibnu Taimiyah, ternyata terdapat kelemahan-kelemahan, maka ramai golongan ulama Syafi`iyah dan ulama-ulama lainnya menolak hujah-hujah Ibnu Taimiyah itu.

PENDIDIKAN

Sejak kecil beliau belajar kepada saudara iparnya bernama Haji Zainuddin, Kadi Asahan. Sesudah itu beliau memperdalam pelbagai ilmu kepada Syeikh Hasyim Tua dan selanjutnya belajar kepada seorang ulama yang paling terkenal di Asahan ketika itu, beliau ialah Syeikh Muhammad Isa, Mufti Kerajaan Asahan di Tanjung Balai Asahan. Setelah beberapa tahun belajar kepada Syeikh Muhammad Isa, beliau menganjurkan supaya Abdul Hamid melanjutkan pelajarannya ke Mekah kerana pada firasatnya Abdul Hamid merupakan bumi yang subur untuk persemaian ilmu-ilmu yang ada pada para ulama. Ketika sampai di Mekah, beliau terus diterima belajar dalam halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani, tetapi hanya sekitar dua tahun saja kerana Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia (1325 H/1908 M). Suasana sedih menyelubungi sekujur tubuh, zahir dan batinnya, kerana walaupun bergaul hanya sekitar dua tahun, namun rasa kasih sayang terhadap Syeikh Ahmad al-Fathani adalah sebati dan mesra ke jiwa rohaninya.

Walaupun perasaan sedih sangat sukar dihilangkan, namun Abdul Hamid tiada kehilangan pedoman. Beliau terus memasuki halaqah pengajian beberapa ulama, di antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau, Syeikh Muhammad bin Ismail @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani @ Tok Cik Wan Daud al-Fathani, dan ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu lainnya. Abdul Hamid juga belajar kepada beberapa ulama Arab, di antaranya ialah Sayid Abdullah az-Zawawi. Pembelajarannya terganggu disebabkan terjadi perang dunia pertama (1914 M - 1918 M). Abdul Hamid terpaksa pulang ke tanah kelahirannya Tanjung Balai Asahan.

Kemungkinan Abdul Hamid Asahan turun dari Mekah bersama gurunya Sayid Abdullah az-Zawawi dalam peristiwa diburu oleh pihak yang mengikut pegangan Muhammad bin Abdul Wahhab, bahawa Mufti Mekah Sayid Abdullah az-Zawawi bersama muridnya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Sayid Abdullah az-Zawawi seterusnya ke Riau dan terakhir sekali dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak. Di antara ulama yang seangkatan dengan Abdul Hamid Asahan (lahir 1298 H/1880 M) ketika belajar di Mekah ialah Haji Muhammad Nur bin Ismail (lahir 1296 H/1879 M), Kadi Langkat yang lebih tua sekitar lebih setahun saja daripada beliau. Syeikh Muhammad Zain Nuruddin bin Syeikh Abbas al-Khalidi Batu Bahara Pasir Dahari Inderapura juga seangkatan dengan Abdul Hamid Asahan tetapi Syeikh Muhammad Zain Nuruddin tidak sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, kerana sewaktu beliau sampai ke Mekah Syeikh Ahmad al-Fathani telah meninggal dunia.

Selain seangkatan dengan kedua-dua orang ulama tersebut, Abdul Hamid Asahan juga seangkatan dengan beberapa ulama dunia Melayu yang berperanan di negeri-negeri kelahiran mereka atau di tempat-tempat lain yang ditujunya. Mereka ialah; Abu Bakar bin Hasan al-Muari (lahir 1292 H/1875 M), Syeikh Muhammad Said bin Syeikh Jamaluddin Linggi (lahir 1292 H/1875 M), Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani (lahir 1293 H/1876 M), Ismail bin Abdul Majid (lahir 1293 H/1876 M, Umar bin Cik Ahmad Besut, Terengganu (lahir 1295 H/1878 M) dan masih ramai lagi.

AKTIVITI DI ASAHAN

Sekitar dua tahun selepas perang dunia pertama, tepatnya pada tahun 1916 M, Syeikh Abdul Hamid dan kawan-kawan mengasaskan Madrasah 'Ulumil 'Arabiyah, sekali gus beliau adalah sebagai mudirnya yang pertama.

Dari sehari ke sehari nama Abdul Hamid tambah masyhur dalam kerajaan Asahan, bahkan seluruh Sumatera Timur. Dalam tahun 1930 M Abdul Hamid dikirim oleh kerajaan Asahan mengunjungi Mekah dan Mesir. Di Mekah, Abdul Hamid mendapat kehormatan sebagai anggota pemeriksa Ma'ahad Su'udiyah, sebuah sekolah tinggi di kerajaan Saudi pada zaman itu.
Madrasah Ulumil Arabiyah adalah termasuk pusat pendidikan Islam penting di Asahan, bahkan termasuk di antara madrasah yang terkenal di Sumatera Utara yang seganding dengan Madrasah Islam Stabat, Langkat, Madrasah Islam Binjai, Madrasah al-Hasaniyah Medan dan lain-lain. Sangat ramai ulama besar Sumatera Utara yang belajar di madrasah-madrasah tersebut, di antara mereka yang sangat terkenal seperti Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis (lahir Ramadan 1326 H/Oktober 1908 M, wafat 25 Jamadilawal 1392 H/6 Julai 1972 M). Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis melibatkan diri dalam banyak aktiviti, di antaranya sebagai seorang pendidik mulai daripada golongan rendah sampai yang tertinggi, menghasilkan banyak karangan dalam pelbagai bidang ilmu, tokoh yang mampu berdialog/berdebat dengan pihak Kristian dan banyak lagi. Ulama besar dan tokoh ini belajar di Madrasah Ulumil Arabiyah yang diasaskan oleh Abdul Hamid Asahan tersebut dalam tahun 1923 M - 1924 M. Dipercayai beberapa orang ulama Sumatera Utara terkenal yang seangkatan dengan Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis juga pernah belajar kepada Abdul Hamid Asahan. Di antara mereka seperti; Zainal Arifin Abbas, Al-Ustaz Abdul Halim Hasan, Abdul Rahim Haitami dan lain-lain.

PENULISAN

Menjelang perang dunia kedua, sekitar tahun 1930an, Abdul Hamid menyelesaikan beberapa buah karangan, yang dapat diketahui ialah:

1. Ad-Durusul Khulasiyah, pernah dicetak di Mekah.

2. Al-Mathalibul Jamaliyah, pernah dicetak di Mekah.

3. Al-Mamlakul `Arabiyah.

4. Nujumul Ihtiba.

5. Tamyizut Taqlidi minal Ittiba.

6. Al-Ittiba.

7. Al-Mufradat.

8. Mi'rajun Nabi.

Oleh sebab semua karangan beliau yang tersebut di atas belum saya miliki, maka data lengkap belum dapat diperkenalkan dalam artikel ini. Selain mengarang kitab, Abdul Hamid juga pernah menerbitkan majalah bahasa Arab dan Melayu yang diberi judul Majallah `Ulumil Islamiyah. Majalah ini tidak berumur panjang, hanya dua kali terbitan dalam tahun 1939 M. Di dalamnya terdapat tulisan-tulisan Syeikh Mustafa al-Maghari, Syeikhul Azhar, Mesir, Syeikh Abdul Quddus, guru Madrasah Ulumis Syar'iyah Madinah.

Saya berkesimpulan bahawa Abdul Hamid Asahan termasuk salah seorang ulama besar Sumatera Utara, walaupun ilmu beliau dalam pelbagai bidang namun tetap bertahan dalam golongan Ahlus Sunnah wal Jama'ah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dalam pegangan akidah, pengikut yang setia kepada Mazhab Syafie dalam fikah dan dalam ajaran tasawuf berpegang dengan imam-imamnya yang muktabar seperti Syeikh Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali dan lain-lain. Pemikiran tokoh tajdid/ reformis dalam karya-karya mereka sebagai perbandingan bukan menjadi satu pegangan asas akidah dan amalan.

SYEIKH NIK MAT

Hakim Mahkamah Syarie di Mekah
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

KEBANYAKAN orang yang mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan akan mengenali judul sesuatu kitab atau sesuatu buku. Jarang sekali yang memperhatikan nama pengarangnya untuk diingati. Orang ramai lebih mudah mengingat judul kitab atau buku berbanding sejarah pengarangnya. Demikianlah yang berlaku kepada orang awam, pencinta ilmu biasa selain sejarawan atau pakar biografi.

Kadang-kadang juga berlaku terhadap seseorang yang berpendidikan tinggi, bahkan tidak mustahil berlaku terhadap seseorang pensyarah universiti atau pun seorang profesor. Pandangan tersebut saya luahkan di dalam riwayat ulama ini kerana sebuah nama kitab beliau sangat terkenal di seluruh dunia Melayu, iaitu `sebuah kitab yang paling banyak diajarkan orang'. Nama kitabnya menjadi sebutan, tetapi jarang orang menyebut nama pengarangnya. Sejarah lengkap beliau berupa buku yang belum pernah ditulis. Saya cuba memperkenalkan ulama yang berasal dari Patani, kelahiran Pulau Duyung Kecil Terengganu ini melalui petikan buku tulisan saya berjudul, Pengarang Dua Purnama Kitab Mathla' Al-Badrain.
Buku biografi beliau saya beri judul demikian sebagai lambang nama karya beliau yang sangat terkenal, iaitu Mathla`ul Badrain wa Majma`ul Bahrain atau Tempat Terbit Dua Bulan Purnama Dan Tempat Berhimpun Dua Laut.

LAHIR DAN PENDIDIKAN

Beliau lahir daripada keluarga besar ulama Patani yang berhijrah pada masa peperangan dahsyat gabungan Patani-Terengganu-Kedah dan Kelantan daripada pencerobohan Siam ketika itu, diberi nama oleh datuk saudaranya, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sebagai Muhammad Shaghir.

Di kalangan keluarga menyebut namanya Syeikh Nik Mat Kecik sahaja. Pada semua kitab karyanya, beliau menulis namanya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani. `Daudy' pada nama tersebut bukanlah bererti beliau adalah cucu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang sangat terkenal itu, Syeikh Daud al-Fathani bin Abdullah al-Fathani sebenarnya tidak memperoleh keturunan. Tetapi datuk beliau merupakan adik beradik dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Tahun kelahirannya terdapat dua catatan keluarga yang berbeza. Ada keluarga yang mencatat tahun 1245 H/ 1829 M dan ada pula yang mencatat tahun 1260 H/1844 M. Kedua-dua catatan sama-sama kuat kerana ada di dalam simpanan keluarga yang terdekat sebagai pewaris beliau. Beliau wafat di Mekah pada tahun 1333 H/1914 M. Ketika kecilnya Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani masih sempat menemui Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi beliau lebih banyak mendapat pendidikan daripada saudara sepupunya, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani.

Setelah Syeikh Muhammad Shaghir/Nik Mat Kecik al-Fathani memperoleh ilmu yang sangat mendalam dalam berbagai-bagai bidang, beliau mengajar di rumah dan di Masjid al-Haram. Beliau adalah penerus dua orang ulama Patani yang terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani. Kediamannya pernah menjadi tempat kegiatan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Ilmunya memang benar-benar padu dan diakui sehingga Syeikh Muhammad Shaghir/Nik Mat Kecik al-Fathani adalah satu-satunya Hakim Mahkamah Syarie Makkah al-Mukarramah, yang berasal dari dunia Melayu pada zamannya. Selain itu beliau juga adalah merupakan `Syeikh Haji' yang terbesar pada zamannya. Beliau adalah ulama besar paling ramai muridnya yang datang dari seluruh alam Melayu hingga Mekah pada zaman itu. Menurut cerita yang mutawatir, beliau banyak keramatnya. Jika beliau mengajar, walau pun tidak menggunakan pembesar suara, dapat didengar dengan jelas oleh pelajarnya yang duduk berjauhan dari tempat beliau mengajar. Selain itu, jika anggota jemaahnya mendapat gangguan di dalam perjalanan antara Mekah dan Madinah, yang pada zaman itu sering terjadi rompakan, sebutkan saja, ``Kami jemaah Syeikh Muhammad Shaghir'', maka perompak-perompak tidak berani mengganggu. Syeikh Muhammad Shaghir/Nik Mat Kecik mempunyai sifat yang sangat pemurah, hampir semua pelajar yang datang dari dunia Melayu yang terlantar di Mekah, beliau tampung sebagai anak angkat dalam pemeliharaannya, dan diberinya pendidikan keagamaan yang mendalam. Sebahagian besar adalah sebagai kadernya. Hampir semua anak angkatnya menjadi ulama. Mereka pulang ke tanah air menjadi tokoh penting yang bergerak dalam pelbagai bidang kemasyarakatan. Jumlah anak angkat beliau bukan sedikit. Mereka kemudiannya tersebar di Indonesia, Malaysia, Patani, Thailand dan Kemboja.

KARYA DAN PEMIKIRAN

Syeikh Muhammad Shaghir/Nik Mat Kecik al-Fathani sebagai seorang pengarang kitab-kitab, hasil karyanya tidaklah sebanyak karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani atau pun Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, walau bagaimanapun, beliau termasuk dalam senarai ulama dunia Melayu yang banyak menghasilkan karya. Jumlah karyanya dapat disejajarkan dengan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal al-Fathani). Di bawah ini disenaraikan sepuluh buah karya beliau yang sebahagian besarnya pernah diterbitkan dan di antaranya masih beredar di pasaran hingga sekarang ini (1426 H/2005 M, ialah:

1. Al-Bahjatul Mardhiyah fi Fawaidil Ukharawiyah, tarikh selesai 20 Syaaban 1296 H/1878 M di Makkatul Musyarrafah. Banyak kali diterbitkan oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, di antaranya terbitan tahun 1319 H/1901 M. Kandungannya pelbagai wirid dan amalan. Pada zaman dulu doa-doa, selawat dan lain-lain dalam kitab ini banyak diamalkan oleh masyarakat dunia Melayu. Sebagai bukti dalam tahun l987 M, mengenai hari Rabu akhir Safar diterjemahkan ke dalam bahasa Sunda yang disebut Rebo Wekasan.

2. Mathla'ul Badrain wa Majma'ul Bahrain, tarikh selesai 12 Syaaban 1303 H/1885 M. Kitab cetakan ketiga dan keempat ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Cetakan pertama dan kedua ternyata banyak kesalahan susunan kalimatnya yang dilakukan oleh pihak pencetak. Kitab inilah di antara kitab fikah yang paling banyak diajarkan dan masih diterbitkan. Kerana kitab ini terlalu banyak dipergunakan, maka kerajaan Johor menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus mengenai kitab ini. Maka tersusunlah sebuah kamus dengan judul Suluh Mathla'ul Badrain oleh Haji Abdul Ghani Yahya. Di tulis di Johor Baharu pada 1 Oktober 1941 M. Banyak kali diterbitkan dan di antara terbitan mutakhir 1988 M oleh Pustaka Hussein No. 9, Jalan Sisi, 84000, Muar, Johor. Kitab Mathla'ul Badrain patut mendapat penjelasan yang panjang, insya-Allah pada kesempatan yang lain.

3. Al-Kaukabud Durriy fin Nuril Muhammadiy, tarikh selesai 13 Syaaban l304 H/1886 M di Mekah. Cetakan pertama pada akhir Zulhijjah 1308 H/1890 M. Kitab ini juga ditashih dan diusahakan penerbitannya oleh Syeikh Ahmad al-Fathani

4. Ad-Durrul Basim fi Ashhabil Kahfi war Raqim, tarikh selesai 19 Rejab 1310 H/1892 M di Mekah. Cetakan pertama tahun 1310 H/1892 M oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah. Kitab ini juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

5. Kitabul Farqadain wa Jawahirul `Iqdain, tarikh selesai l3 Syawal 1311 H/1893 M di Mekah. Cetakan pertama pada Zulkaedah 1311 H/1893 M. Kitab ini juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

6. Wusyahul Afrah wa Ashabul Falah, tarikh selesai pada Zulkaedah 1312 H/I894 M. Kitab ini juga banyak diterbitkan. Pada cetakan keempat oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, bentuk reka cetaknya berbeza dengan cetakan-cetakan yang terdapat dalam pasaran sekarang ini. Cetakan keempat tersebut jauh lebih tebal, di bahagian tepi kiri dan kanan serta atas dan bawah dipenuhi dengan nota-nota atau penjelasan beberapa perkara yang penting. Ini merupakan suatu pemikiran pengarangnya. Bererti pencetak-pencetak yang tidak bertanggungjawab di belakang adalah tidak amanah, menyeleweng, pengkhianat kepada pengarang, yang fikrah / pemikirannya itu seharusnya akan disampaikannya kepada umat Islam yang memerlukannya. Cetakan keempat tersebut dalam tahun 1331 H/1912 M yang diusahakan oleh anak pengarangnya bernama Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Ada cetakan pertama oleh Al-Imam Singapura tahun 1325 H/1907-1908 M. Ada yang dicetak di Surabaya, Pulau Pinang dan lain-lain, semuanya menghilangkan sebahagian besar kandungan yang di bahagian tepinya. Kitab Wusyahul Afrah ini juga masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh dunia Melayu.

7. Sawathi'ul Barqi wal Luma'i fi Ahkamit Tayammum wal Jama'i, tarikh selesai pada hari Jumaat, 25 Jamadilawal 1323 H/1905 M di Mekah. Cukup lama saya mencari kitab ini, akhirnya ditemukan juga pada bekas reruntuhan rumah anak beliau, Syeikh Abdullah di Kerisik, Patani. Kitab ini selesai saya transliterasi daripada tulisan Melayu/Jawi kepada tulisan Latin/Rumi pada 5 Zulhijjah 1413 H/27 April 1993 M di Kampung Pik Bong, Menara, iaitu pada masa melakukan perjalanan penyelidikan di bekas Kerajaan Melayu Islam Cahaya (sekarang ditukar nama oleh orang Thai menjadi Caiya).

8. Al-Bahrul Wafi wan Nahrush Shafi, tarikh selesai 18 Rejab l331 H/1912 M. Kandungannya fikah bahagian ibadah, termasuk di antara lima besar kitab fikah bahagian ibadat dalam Mazhab Syafie dalam bahasa Melayu. Cetakan pertama 1349 H/1930 M oleh Mathba'ah asy-Syarqiyah kepunyaan Muhammad Ramzi, Jeddah. Atas usaha dan tashih anak pengarangnya, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani. Barangkali kitab ini adalah karya Syeikh Muhammad bin Ismail (Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani) yang terakhir sekali.

9. Faedah Bagi Kelebihan Bertanam Dan Berhuma. Artikel ini pernah dimuat dalam majalah Pengasuh, bilangan 23 pada bulan Ramadan 1337 H/30 Mei 1919 M, hlm. 4. Redaksi majalah itu mencatatkan bahawa Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani menulis perkara di atas sewaktu beliau melawat Tanah Jawi tahun 1328 H/1910 M.

10. Ad-Durrul Mashnun wa Jawahirui Maknun. Belum dapat datanya.
11. Surat (Kepada) Paduka Adinda Tuan Haji Husein Bin Al-Marhum Lathif Kelaba Beris, surat bertarikh Jumaat, bulan Zulhijjah 1324 H. Arkib surat ini ada di dalam simpanan saya. Surat ini juga penting kerana di dalamnya terdapat beberapa fatwa beliau menjawab beberapa kemusykilan Tok Kelaba muridnya itu.

TOK KELABA AL-FATHANI

Menyalin pelbagai manuskrip Melayu
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA dan tokoh yang diperkenalkan dalam artikel ini ialah orang yang paling banyak menyalin pelbagai karya yang dihasilkan oleh ulama-ulama terdahulu daripadanya. Beliau ialah Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani atau lebih popular dengan gelaran Tok Kelaba Beris al-Fathani. Beliau bukan hanya menyalin karya ulama yang berasal dari Patani tetapi meliputi karya ulama-ulama Aceh, Banjar, Palembang dan lain-lain. Tidak juga setakat menyalin, tetapi menambah komentar di bahagian tepi dan bawah sesuatu kitab yang disalinnya dan selanjutnya disebut dhabith, atau boleh juga disebut nota tepi dan nota kaki. Pada nota tepi dan nota kaki sentiasa disebut nama kitab yang dirujuk dan nama pengarangnya serta banyak menyebut nama guru yang diutamakannya iaitu: Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani. Bukan hanya sebagai penyalin, tetapi beliau juga meninggalkan beberapa buah karangan yang berharga, namun yang sempat dicetak hanya lima buah. Bukan hanya mengarang dalam bahasa Melayu, tetapi juga meninggalkan karya yang dikarang dalam bahasa Arab.

Ada dua macam perkhidmatan dalam bidang penulisan dan keilmuan yang dicontohi oleh Tok Kelaba, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang menulis terus menerus sehingga tertidur di hadapan sesuatu karya yang sedang dikerjakan, tidak pernah tidur di atas tempat tidur yang khusus seperti kita sekarang ini. Syeikh Ahmad al-Fathani yang membaca dan menulis terus menerus sehingga mengantuk. Jika mengantuk beliau tidak langsung tidur tetapi terus berdiri dan menghafal kalimat yang sedang dibaca atau kalimat terakhir yang ditulisnya. Hal ini dilakukan hingga hilang mengantuk atau terus terjatuh kerana mengantuk, pada waktu itulah beliau tertidur sebentar. Lain halnya dengan Tok Kelaba, beliau mencuba meniru kedua-dua ulama asal Patani yang beliau kagumi itu sehingga pada siku beliau berbekas hitam menebal (membelulang) kerana bertekan sewaktu melakukan penulisan yang terlalu banyak.

Sumber ilham pertama sehingga Tok Kelaba terjun ke bidang penyalinan manuskrip merupakan wasiat daripada gurunya, Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (saudara kandung Syeikh Abdul Qadir) kerana Syeikh Muhammad Zain al-Fathani tersebut yang pertama sekali mengambil inisiatif supaya semua karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mesti diabadikan dengan cara membuat sekurang-kurangnya dua salinan. Sumber kedua adalah suatu penekanan daripada gurunya yang terakhir, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, dan Tok Kelaba sendiri mengikuti perkembangan hampir seluruh aktiviti Syeikh Ahmad al-Fathani mulai proses penyalinan hingga penerbitan pelbagai kitab Melayu/Jawi dan penyebarannya secara meluas.

Daripada hal-hal tersebut, Tok Kelaba mencurahkan fikiran, menggandakan kekuatan tenaga dan menghabiskan masa semata-mata berkhidmat kepada ilmu pengetahuan dengan jalan mengarang kitab, menyalin karya orang lain, menyebarkannya kepada masyarakat, mengajar dan menambah ilmu yang belum diketahuinya

ASAL USUL

Setelah saya mengetahui daripada maklumat yang masih mentah berupa catatan-catatan, manuskrip-manu-skrip dan pelbagai bahan bercetak, saya mulai mengadakan penelitian tentang ulama ini sejak tahun 1972 Masihi, dan terakhir sekali menemui seorang anak beliau dan beberapa cucunya, maka dapat diambil data-datanya yang boleh dianggap lengkap. Datuk-neneknya berasal dari negeri Khurasan. Yang pertama datang ke dunia Melayu bernama Syarif Zainal Abidin. Beliau merantau ke Pulau Jawa lalu berkahwin dengan seorang wanita berasal dari Minangkabau. Oleh sebab terjadi peperangan di Jawa, Syarif Zainal Abidin bersama salah seorang Raja Jawa keluar dari Pulau Jawa lalu terdampar di Kelaba, iaitu sebuah negeri dalam Daulah Islam Patani Darus Salam. Syarif Zainal Abidin adalah seorang ulama, sebab itu mudah baginya mendapat pengaruh di Kelaba. Beliau meninggal dunia di Kelaba. Anak kepada Syarif Zainal Abidin yang bernama Abu Bakar, berpindah ke Kelantan dan menetap di Kampung Laut. Di Kampung Laut, Kelantan beliau memperoleh anak bernama Abdullah. Abdullah memperoleh anak bernama Abdus Shamad. Abdus Shamad berpindah pula ke Kelaba. Beliau mendapat anak bernama Abdul Mu'min. Abdul Mu'min mendapat anak bernama Abdul Lathif. Abdul Lathif mendapat anak bernama Muhammad Husein (Tok Kelaba) yang diriwayatkan ini.

Berdasarkan tulisan Tok Kelaba sendiri yang tercatat di bahagian tepi manuskrip Fat-hul Mannan karya Syeikh Daud bin Abdullah, salinan beliau adalah Muhammad Husein, kuniyahnya Abu Bakar. Dan namanya Abdullah. Kemudian digelar Muhammad Husein oleh isteri gurunya. Dengan dialah makruf antara manusia yang kemudian-kemudian. Dan segala manusia yang dahulu-dahulu dimakrufkan dengan Abdullah, hanyalah cicit bagi abid Abdul Karim, iaitu bapa kepada Nik Mik, iaitu ibu bagi Abdul Latif yang tersebut dahulu itu.''

Abdul Karim yang disebutkan itu bersabit keluarga antara beliau dengan keluarga besar Sena Janjar dan Bendang Daya, iaitu keluarga besar Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Ismail bin Abdur Qadir al-Fathani dan ulama-ulama Patani yang terkenal lainnya. Dalam salah sebuah salinan manuskrip Ghayatut Taqrib karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, pada bahagian tepi halaman terakhir Tok Kelaba mencatat, ``... Muhammad Husein bin Abdul Lathif, dan adalah Abdul Lathif itu mati pada Khamis delapan hari bulan Rejab (8 Rejab) pada sanah 1307 (Hijrah). Beliau dikuburkan di Kubur Tanjung, Bukit Kecil bersama bapanya, ibunya dan lain-lainnya. Dan diperanakkan Muhammad itu pada sanah 1280 (Hijrah). Maka umurnya hingga sampaikan sanah 1340 (Hijrah) ini 69 tahun. Telah putih segala bulunya dan tanggal giginya.'' Nampaknya catatan Tok Kelaba itu ada sedikit perbezaan dengan catatan Abdul Lathif, anak beliau yang pernah saya tulis riwayatnya sebelum ini, iaitu, ``Pada sanah 1330 maka umur Haji Muhammad Husein 52 tahun pada waktu itu (iaitu lahir pada sanah 1278) jumlah umurnya 89 tahun. Peringatan ! Tuan guru Muhammad Husein Tok Kelaba ke rahmatullah pada hari Selasa 21 Syaaban, pukul 4 sanah l367.'' Oleh sebab tahun kelahiran daripada catatan beliau sendiri ditemui, maka yang lebih dapat dipegang ialah catatan beliau sendiri, iaitu tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi itu, bukan tahun 1278 Hijrah/1861 Masihi seperti yang diperkenalkan sebelum ditemui catatan ini. Oleh kerana Tuan Guru Haji Muhammad Husein berasal dari Kelaba, Beris, maka terkenallah sebutan beliau dengan Tok Kelaba saja. Kerana beliau banyak menghafal hadis dan pakar dalam ilmu tersebut, digelar juga Tok Hadis. Setelah kerajaan Patani Darus Salam dijajah, kelaba dimasukkan dalam pemerintahan Saiburi atau nama pada zaman dahulu disebut Selindung Bayu. Pada zaman mutakhir nama Selindung Bayu dipakai untuk nama negeri Teluban, iaitu Teluban yang namanya masih digunakan sampai sekarang. Dalam catatan Tok Kelaba, beliau tidak menggunakan nama Teluban tetapi masih menggunakan Selindung Bayu, seperti kata beliau, ``Mula saya Haji Muhammad Husein duduk di Selindung Bayu pada hari Sabtu 15 bulan Zulkaedah pada sanah 1323 Hijrah.''

PENDIDIKAN

Keterangan anak beliau, Abdul Lathif, bahawa Tok Kelaba pertama sekali belajar membaca al-Quran kepada abang sepupunya Abdur Rahman Pancor, Kelaba. Sejak berumur tujuh tahun telah memondok di Semala (Patani). Pengetahuan yang sangat mendalam diperolehnya di Pondok Bendang Daya. Beliau merupakan kader tertua dalam pondok itu. Di peringkat awal belajar kepada Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I). Tok Kelaba hanya sedikit memperoleh ilmu daripada hulubalang tersebut, kerana umur beliau yang ketika itu sudah sangat tua dan tidak berapa lama setelah Tok Kelaba datang ke Bendang Daya, hulubalang itu meninggal dunia dalam usia 120 tahun. Pimpinan Pondok Bendang Daya sesudah itu diserahkan kepada anak beliau bernama Syeikh Wan Abdul Qadir yang selanjutnya digelar dengan Tok Bendang Daya II. Dalam tahun 1312 Hijrah/1895 Masihi, Tok Bendang Daya II mendapat tugas daripada Sultan Patani Darus Salam untuk menghaji dan mengumrahkan beberapa orang keluarga diraja yang telah meninggal dunia, maka beberapa murid kesayangannya dibawa serta, terutama sekali Tok Kelaba. Keberangkatan ke Mekah itu merupakan panggilan ajal bagi gurunya Tok Bendang Daya II, beliau wafat di Mekah. Dengan demikian Tok Kelaba tidak langsung pulang ke Kelaba, beliau mendekati keluarga besar gurunya termasuk Syeikh Muhammad Zain al-Fathani yang telah lama berpindah ke Mekah. Pada waktu itu sahabatnya Syeikh Daud bin Mustafa al- Fathani (saudara bongsu Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dan Tok Bendang Daya II) telah menjadi seorang ulama di Mekah tetapi masih juga belajar kepada anak saudaranya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Maka Tok Kelaba pun ikut belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani yang lebih tua daripadanya sekitar lapan tahun saja (Syeikh Ahmad al-Fathani lahir 1272 Hijrah, Tok Kelaba lahir 1280 Hijrah). Ketika belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah, Tok Kelaba bersahabat dengan beberapa orang terkenal di antaranya Tok Kenali Kelantan, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, dan lain-lain. Tok Kelaba belajar juga kepada Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani. Ketika belajar di Mekah itu Tok Kelaba juga menyempatkan diri menadah ilmu kepada ulama-ulama Arab yang terkenal iaitu Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Walau bagaimanapun yang sangat berkesan bagi Tok Kelaba ialah Tok Bendang Daya II, hampir semua kitab yang beliau tulis mahupun salinan karya orang lain sentiasa menyelitkan fatwa atau pendapat yang berasal daripada Tok Bendang Daya II. Demikian juga dalam setiap kali mengajar selalu menyebut nama Tok Bendang Daya II tak ubahnya dengan Tok Kenali Kelantan yang sentiasa menyebut nama gurunya Syeikh Ahmadal-Fathani.

KARYA

Karya-karya Tok Kelaba dibahagi kepada dua bentuk; Karya Asli dan Karya Salinan. Disebabkan kekurangan ruangan yang dapat diperkenalkan di sini hanyalah Muqaddimatul Athfal fi Shifatillahi zil Jalal saja, diselesaikan di Patani pada 8 Rabiulawal 1305 Hijrah. Semua halaman kitab ini penuh dengan nota atas, nota tepi kiri-kanan dan nota kaki. Dua muka setengah di bahagian dalam pula terdapat judul baru yang disebut Faedah yang membicarakan pelbagai wirid dan doa. Tentang ini diselesaikan pada tahun 1322 Hijrah. Di bahagian tepi juga beliau memperkenalkan beberapa pemikiran gurunya, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang beliau sebut dengan Syaikhuna saja. Juga terdapat rujukan kitab-kitab Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Umar Makkah dan lain-lainnya. Kitab ini diterbitkan oleh Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Fathani dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1331 Hijrah/1912 Masihi.

SYEIKH ARSYAD THAWIL AL-BANTANI

Ulama jihad di Banten
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA yang berasal dari Banten, Jawa Barat, yang paling terkenal ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, yang banyak menulis syarah kitab yang semuanya ditulis dalam bahasa Arab. Oleh kerana banyak menghasilkan karya, maka beliau digelar sebagai Imam Nawawi Tsani (Imam Nawawi Kedua).

Mengenai Syeikh Nawawi al-Bantani telah diperkenalkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia pada 7 Februari 2005. Artikel ini pula memperkenalkan dua orang ulama Banten yang lain. Yang pertama, Syeikh Muhammad Arsyad bin As'ad bin Mustafa bin As'ad al-Bantani al-Jawi. Nama popularnya ialah Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani.

Dinamakan Thawil yang bererti panjang kerana ada seorang sahabatnya bernama Syeikh Arsyad Qashir al-Bantani. Qashir bererti pendek. Syeikh Arsyad Thawil dilahirkan di Banten pada Zulkaedah 1255 Hijrah/Januari 1840 Masihi. Riwayat lain menyebut bahawa beliau lahir tahun 1263 Hijrah/1847 Masihi.

PENDIDIKAN

Ayahnya tinggal di Mekah kerana ketika kecil beliau diasuh oleh beberapa orang ayah saudaranya. Kepadanya diberi pengenalan tentang bacaan al-Quran. Dalam usia 8 tahun mengikut orang tuanya ke Mekah. Beliau mendapat pendidikan asas khatam mengaji al-Quran daripada beberapa orang ayah saudara dan ayahnya sendiri. Beberapa buah matan terutama matan nahu, saraf, fikah dan tauhid juga dipelajarinya daripada ayahnya. Di Masjid al-Haram, Arsyad Thawil sentiasa mengikuti pengajian yang diberikan oleh Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mekah, terutama mengenai nahu, fikah dan sirah. Selain belajar kepada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani juga belajar kepada beberapa ulama, di antaranya Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal, Sayid Abu Bakri Syatha, di bawah bimbingan dua orang anak ulama itu, iaitu Sayid Umar Syatha dan Sayid Utsman Syatha. Syeikh Arsyad Thawil mendalami ilmu hadis daripada Habib Muhammad bin Husein al-Habsyi al-Makki di bawah bimbingan anak ulama itu, iaitu Mufti al-Muhaddits al-Habib Husein bin Muhammad al-Habsyi al-Makki (wafat 1330 Hijrah/1911 Masihi). Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani memperdalam ilmu fikah pula daripada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Mengenai ilmu hadis selain belajar kepada ulama yang telah disebutkan tadi, Syeikh Arsyad Thawil sewaktu berkali-kali berulang-alik ke Madinah mempelajarinya juga daripada Syeikh Abdul Ghani bin Abi Sa'id al-Mujaddidi, di bawah bimbingan beberapa orang murid ulama itu, iaitu Sayid Ali bin Zhahir al-Watri, Syeikh Shalih bin Muhammad az-Zhahiri, dan Syeikh Abdul Jalil Barradah. Daripada semua ulama yang tersebut, Syeikh Arsyad Thawil menerima ijazah dalam ilmu hadis. Guru-guru beliau yang lain pula, yang pernah dicatatkan ialah: Syeikh Ibrahim al-Saqa asy-Syabrabakhumi (wafat 1298 Hijrah/1880 Masihi), Saiyid Ja'afar bin Idris al-Kattani, al-'Allamah Abi Jaiyidah bin Abdul Kabir al-Fasi, al-'Allamah Abdullah bin Darwisy asy-Syakri, Sayid Muhammad ibnu Muhammad Murtadha az-Zabidi al-Hanafi (wafat 1305 Hijrah/1887 Masihi, Sayid Muhammad bin Ali as-Sanusi (wafat 1276 Hijrah/1859 Masihi). Syeikh Arsyad Thawil, dalam usia 14 tahun, bersama-sama datuknya, Syeikh Mustafa al-Bantani, ketika itu berusia hampir seratus tahun, pergi ke Mesir. Di sana pernah mendapat berkat (tabarruk) daripada Syeikh Syinwani dan Syarqawi, kedua-dua ulama Mesir yang sangat terkenal ketika itu.

JIHAD DI BANTEN

Dalam tahun 1311 Hijrah/1893 Masihi, Syeikh Arsyad Thawil pergi ke Banten. Pada ketika itu terjadi peristiwa pertentangan antara orang-orang Islam dengan penganut agama Budha di Banten. Pemerintah Belanda mencampuri perselisihan itu dengan alasan untuk mendamaikan dua golongan yang sedang bermusuhan. Tetapi kolonial Belanda menjalankan hukuman yang tidak adil, bahawa Belanda memihak kepada golongan agama Budha. Oleh yang demikian pemimpin-pemimpin Muslimin sepakat untuk mengadakan perang total terhadap semua golongan yang bukan Islam termasuk terhadap pemerintah kolonial Belanda juga. Secara serentak kaum Muslimin mengangkat senjata ikut dalam pemberontakan jihad itu, termasuk Syeikh Arsyad Thawil. Beliau termasuk salah seorang pemimpin mereka. Jihad terhadap golongan kafir itu dipersetujui oleh Syeikh Nawawi al-Bantani di Mekah dan beberapa orang ulama lainnya. Namun Sayid Utsman Betawi tidak merestuinya, kerana beliau mempunyai pandangan siasah yang tersendiri pula. Kaum Muslimin berhasil membunuh ramai golongan kafir, pihak kolonial Belanda mengerahkan segala kekuatannya untuk mematahkan perang jihad itu, kemudian pihak kolonial Belanda berhasil menangkap pemimpin-pemimpin Islam Banten termasuklah Syeikh Arsyad Thawil sendiri lalu mereka dibuang ke Menado (Sulawesi Utara). Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani berkali-kali mencuba untuk kembali ke Mekah atau ke negerinya Banten namun tidak berhasil. Berbagai-bagai bencana dan cubaan menimpa Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani pada masa pembuangan itu, di antaranya salah seorang anak beliau yang menjadi Syeikh Haji di Mekah meninggal dunia (tahun 1328 Hijrah/1910 Masihi).

MENGAJAR DAN WAFAT

Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani selain pernah terlibat dalam jihad yang terjadi di Banten itu, akhirnya beliau ditangkap oleh Belanda dan dibuang ke Menado, Sulawesi Utara. Di negeri pembuangannya Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani aktif mengajar masyarakat di Menado. Beliau mengajar dalam bidang ilmu-ilmu keislaman. Di antara ilmu-ilmu yang pernah dicurahkannya kepada murid-muridnya ialah: fikah, nahu, saraf, tasawuf, hadis dan lain-lain. Ramai alim-ulama dunia Melayu yang bersanad ilmu (musalsal) mulai daripada Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani hingga ke atas. Mereka ialah: al-'Allamah as- Sayid Ahmad bin Husein bin Salim Ba Jindan al-'Alawi dan anaknya yang terkenal sebagai Musannid Indonesia, iaitu as-Sayid Salim bin Ahmad bin Husein Ba Jindan. Selain itu ialah al-'Allamah as-Sayid `Alawi bin Abdur Rahman bin Semit. Daripada sanad ini pula akan menurunkan Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad `Isa al-Fadani (Padang) al-Makki.

Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani dirahmati dengan umur yang panjang, wafat di Menado (Sulawesi Utara), pada malam Isnin, 14 Zulhijjah 1353 Hijrah/19 Mac 1935 Masihi, dalam usia 98 tahun. Yang menjadi imam sembahyang jenazahnya ialah al-Habib Hasan bin Abdur Rahman Maula Khailah al-'Alawi.

GENERASI PENERUS

Ulama Banten yang kedua ialah al-'Allamah Tubagus Bakri bin Tubagus Sid bin Tubagus Arsyad al-Syafi'ie al-Bantani al-Jawi. Lahir sekitar tahun 1268 Hijrah/1851 Masihi, di daerah Peleret, Porwokerto, Jawa Barat. Sejak kecil dipelihara oleh Raden Raji Ghanim. Sejak berumur enam tahun diberi pelajaran membaca al-Quran dan tajwid. Dalam masa itu pula beliau telah mulai menghafal matan-matan: fikah, tauhid dan mengenal lughat Arabiyah. Dalam masa pertumbuhan umur menjelang baligh beliau mulai memasuki pondok-pesantren, berpindah-pindah dari satu pondok-pesantren ke satu pondok-pesantren yang lain. Beliau belajar dengan cara demikian hingga sampai umurnya 40 tahun. Di antara ulama yang berada di Jawa yang beliau pernah belajar kepadanya ialah: Syeikh Khalil al-Bankalani al-Manduri (Madura), Kiyai Hasan Mustafa Sukabumi, dan Syeikh Saleh as-Samarani (Semarang), iaitulah ulama yang digelar dengan Imam al-Ghazali as-Tsani (Imam Ghazali Kedua) sebagaimana Syeikh Nawawi al-Bantani digelar dengan Imam Nawawi as-Tsani. Sungguh pun sudah demikian banyak ilmu pengetahuan yang diterima daripada ulama-ulama di Jawa dan Madura yang cukup terkenal itu, namun Tubagus Bakri sentiasa terus menerus haus dan laparkan ilmu pengetahuan, sentiasa ingin menambahnya. Oleh itu beliau berangkat ke Mekah dan tinggal di sana dalam masa yang agak lama. Selama di Mekah belajar lagi kepada beberapa orang ulama yang terkenal dan ulama-ulama itu ada yang berumur lebih muda daripada beliau, mereka ialah: Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid al-Bughri (Bogor, lahir 1278 Hijrah/1861 Masihi), Sayid Abdul Hamid Kudus (lahir 1280 Hijrah/1863 Masihi), Syeikh Mahfuz at-Tarmasi (lahir Muhammad Mahfuzh bin Abdullah at-Tarmasi/ Termas (lahir 1285 Hijrah/1868 Masihi) Syeikh Abdul Haq al-Bantani (cucu Syeikh Nawawi al-Bantani), Syeikh Ahmad al-Fathani (lahir 1272 Hijrah/1856 Masihi), Mufti Syafi'iyah Mekah Syeikh Umar bin Abi Bakar Ba Junaid, Mufti Hanafiyah Mekah Syeikh Shalih bin Shiddiq Kamal al-Hanafi, Syeikh Shalih bin Muhammad Ba Fadhal al-Hadhrami, dan ramai lagi. Daripada ulama-ulama tersebut diterima ijazah dan riwayat-riwayat baik yang bercorak falsafah, pemikiran dan lain-lain, lebih-lebih lagi yang dibangsakan kepada dalil-dalil al-Quran, hadis, ijma' ulama dan qias yang sahih.

PERKHIDMATAN SEBAGAI ULAMA

Setelah demikian lama tinggal di Mekah, ilmu dan pengalaman dirasakan cukup memadai, ditambah lagi umurnya yang sudah agak lanjut, maka Tubagus Bakri pulang ke negerinya. Kemudian menetap di Kampung Sempura. Pada mulanya beliau hanya membina sebuah rumah kecil sebagai tempat tinggalnya, sungguh pun demikian beberapa orang datang belajar kepadanya. Dalam masa yang agak lama sesudah itu rumahnya penuh sesak dikunjungi pelajar yang datang daripada pelbagai jurusan, maka beliau berhasil mendirikan pondok-pesantren. Di pondok-pesantren itu Tubagus Bakri mengutamakan ilmu-ilmu Arabiyah, tafsir, hadis, fikah dan ilmu-ilmu asas yang lain. Pelajaran diberikan tanpa berhenti siang dan malam. Setiap hari, siang dan malam perjalanan hidup beliau hanyalah mengajar dan beribadat. Apabila bukan waktu mengajar beliau terus melakukan peribadatan. Secara spontan apabila berhenti pada jam pelajaran beliau langsung masuk ke tempat peribadatannya. Hampir-hampir tidak diketahui bila waktu beliau tidur. Salah satu kebiasaan peribadinya bahawa setiap malam Selasa awal setiap bulan Arabiyah beliau menghidupkannya dengan memberikan limpahan ilmu kepada murid-muridnya mulai awal malam hingga terbit fajar. Kemudian sesudah Subuh disambung lagi hingga waktu Dhuha. Bererti semalam-malaman itu beliau dan murid-muridnya yang khusus memang tidak tidur. Pada malam itu diajarkan tujuh kitab yang besar-besar pada persekitaran ilmu-ilmu: tafsir, hadis, fikah, nahu, saraf, akidah dan tasawuf. Pada malam tersebut hampir semua ulama-ulama terkenal di Jawa Barat datang mengambil barakah daripada beliau.

MENGASIHANI

Salah satu akhlak mulia yang ada pada peribadi Tubagus Bakri al-Bantani ialah bahawa beliau sangat mengasihi zuriat Rasulullah s.a.w. serta sangat hormat kepada mereka. Tradisi demikian kemungkinan merupakan fitrah semulajadinya atau pun memang dipusakai daripada datuk-neneknya dan ada kemungkinan bahawa beliau sendiri termasuk keturunan Syarif Hidayatullah @ Sunan Gunung Jati yang riwayat datuk-nenek mereka diperkenalkan dalam buku saya Tabaqat Ulama Asia Tenggara, jilid 1. Tubagus Bakri al-Bantani wafat pada malam Isnin, 27 Zulkaedah 1395 Hijrah/30 November 1975 Masihi, dalam usia 128 tahun di Kampung Sampura, Jawa Barat.