Sunday, May 22, 2005

TOK KELABA AL-FATHANI

Menyalin pelbagai manuskrip Melayu
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA dan tokoh yang diperkenalkan dalam artikel ini ialah orang yang paling banyak menyalin pelbagai karya yang dihasilkan oleh ulama-ulama terdahulu daripadanya. Beliau ialah Muhammad Husein bin Abdul Lathif al-Fathani atau lebih popular dengan gelaran Tok Kelaba Beris al-Fathani. Beliau bukan hanya menyalin karya ulama yang berasal dari Patani tetapi meliputi karya ulama-ulama Aceh, Banjar, Palembang dan lain-lain. Tidak juga setakat menyalin, tetapi menambah komentar di bahagian tepi dan bawah sesuatu kitab yang disalinnya dan selanjutnya disebut dhabith, atau boleh juga disebut nota tepi dan nota kaki. Pada nota tepi dan nota kaki sentiasa disebut nama kitab yang dirujuk dan nama pengarangnya serta banyak menyebut nama guru yang diutamakannya iaitu: Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani. Bukan hanya sebagai penyalin, tetapi beliau juga meninggalkan beberapa buah karangan yang berharga, namun yang sempat dicetak hanya lima buah. Bukan hanya mengarang dalam bahasa Melayu, tetapi juga meninggalkan karya yang dikarang dalam bahasa Arab.

Ada dua macam perkhidmatan dalam bidang penulisan dan keilmuan yang dicontohi oleh Tok Kelaba, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang menulis terus menerus sehingga tertidur di hadapan sesuatu karya yang sedang dikerjakan, tidak pernah tidur di atas tempat tidur yang khusus seperti kita sekarang ini. Syeikh Ahmad al-Fathani yang membaca dan menulis terus menerus sehingga mengantuk. Jika mengantuk beliau tidak langsung tidur tetapi terus berdiri dan menghafal kalimat yang sedang dibaca atau kalimat terakhir yang ditulisnya. Hal ini dilakukan hingga hilang mengantuk atau terus terjatuh kerana mengantuk, pada waktu itulah beliau tertidur sebentar. Lain halnya dengan Tok Kelaba, beliau mencuba meniru kedua-dua ulama asal Patani yang beliau kagumi itu sehingga pada siku beliau berbekas hitam menebal (membelulang) kerana bertekan sewaktu melakukan penulisan yang terlalu banyak.

Sumber ilham pertama sehingga Tok Kelaba terjun ke bidang penyalinan manuskrip merupakan wasiat daripada gurunya, Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (saudara kandung Syeikh Abdul Qadir) kerana Syeikh Muhammad Zain al-Fathani tersebut yang pertama sekali mengambil inisiatif supaya semua karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani mesti diabadikan dengan cara membuat sekurang-kurangnya dua salinan. Sumber kedua adalah suatu penekanan daripada gurunya yang terakhir, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, dan Tok Kelaba sendiri mengikuti perkembangan hampir seluruh aktiviti Syeikh Ahmad al-Fathani mulai proses penyalinan hingga penerbitan pelbagai kitab Melayu/Jawi dan penyebarannya secara meluas.

Daripada hal-hal tersebut, Tok Kelaba mencurahkan fikiran, menggandakan kekuatan tenaga dan menghabiskan masa semata-mata berkhidmat kepada ilmu pengetahuan dengan jalan mengarang kitab, menyalin karya orang lain, menyebarkannya kepada masyarakat, mengajar dan menambah ilmu yang belum diketahuinya

ASAL USUL

Setelah saya mengetahui daripada maklumat yang masih mentah berupa catatan-catatan, manuskrip-manu-skrip dan pelbagai bahan bercetak, saya mulai mengadakan penelitian tentang ulama ini sejak tahun 1972 Masihi, dan terakhir sekali menemui seorang anak beliau dan beberapa cucunya, maka dapat diambil data-datanya yang boleh dianggap lengkap. Datuk-neneknya berasal dari negeri Khurasan. Yang pertama datang ke dunia Melayu bernama Syarif Zainal Abidin. Beliau merantau ke Pulau Jawa lalu berkahwin dengan seorang wanita berasal dari Minangkabau. Oleh sebab terjadi peperangan di Jawa, Syarif Zainal Abidin bersama salah seorang Raja Jawa keluar dari Pulau Jawa lalu terdampar di Kelaba, iaitu sebuah negeri dalam Daulah Islam Patani Darus Salam. Syarif Zainal Abidin adalah seorang ulama, sebab itu mudah baginya mendapat pengaruh di Kelaba. Beliau meninggal dunia di Kelaba. Anak kepada Syarif Zainal Abidin yang bernama Abu Bakar, berpindah ke Kelantan dan menetap di Kampung Laut. Di Kampung Laut, Kelantan beliau memperoleh anak bernama Abdullah. Abdullah memperoleh anak bernama Abdus Shamad. Abdus Shamad berpindah pula ke Kelaba. Beliau mendapat anak bernama Abdul Mu'min. Abdul Mu'min mendapat anak bernama Abdul Lathif. Abdul Lathif mendapat anak bernama Muhammad Husein (Tok Kelaba) yang diriwayatkan ini.

Berdasarkan tulisan Tok Kelaba sendiri yang tercatat di bahagian tepi manuskrip Fat-hul Mannan karya Syeikh Daud bin Abdullah, salinan beliau adalah Muhammad Husein, kuniyahnya Abu Bakar. Dan namanya Abdullah. Kemudian digelar Muhammad Husein oleh isteri gurunya. Dengan dialah makruf antara manusia yang kemudian-kemudian. Dan segala manusia yang dahulu-dahulu dimakrufkan dengan Abdullah, hanyalah cicit bagi abid Abdul Karim, iaitu bapa kepada Nik Mik, iaitu ibu bagi Abdul Latif yang tersebut dahulu itu.''

Abdul Karim yang disebutkan itu bersabit keluarga antara beliau dengan keluarga besar Sena Janjar dan Bendang Daya, iaitu keluarga besar Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Ismail bin Abdur Qadir al-Fathani dan ulama-ulama Patani yang terkenal lainnya. Dalam salah sebuah salinan manuskrip Ghayatut Taqrib karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, pada bahagian tepi halaman terakhir Tok Kelaba mencatat, ``... Muhammad Husein bin Abdul Lathif, dan adalah Abdul Lathif itu mati pada Khamis delapan hari bulan Rejab (8 Rejab) pada sanah 1307 (Hijrah). Beliau dikuburkan di Kubur Tanjung, Bukit Kecil bersama bapanya, ibunya dan lain-lainnya. Dan diperanakkan Muhammad itu pada sanah 1280 (Hijrah). Maka umurnya hingga sampaikan sanah 1340 (Hijrah) ini 69 tahun. Telah putih segala bulunya dan tanggal giginya.'' Nampaknya catatan Tok Kelaba itu ada sedikit perbezaan dengan catatan Abdul Lathif, anak beliau yang pernah saya tulis riwayatnya sebelum ini, iaitu, ``Pada sanah 1330 maka umur Haji Muhammad Husein 52 tahun pada waktu itu (iaitu lahir pada sanah 1278) jumlah umurnya 89 tahun. Peringatan ! Tuan guru Muhammad Husein Tok Kelaba ke rahmatullah pada hari Selasa 21 Syaaban, pukul 4 sanah l367.'' Oleh sebab tahun kelahiran daripada catatan beliau sendiri ditemui, maka yang lebih dapat dipegang ialah catatan beliau sendiri, iaitu tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi itu, bukan tahun 1278 Hijrah/1861 Masihi seperti yang diperkenalkan sebelum ditemui catatan ini. Oleh kerana Tuan Guru Haji Muhammad Husein berasal dari Kelaba, Beris, maka terkenallah sebutan beliau dengan Tok Kelaba saja. Kerana beliau banyak menghafal hadis dan pakar dalam ilmu tersebut, digelar juga Tok Hadis. Setelah kerajaan Patani Darus Salam dijajah, kelaba dimasukkan dalam pemerintahan Saiburi atau nama pada zaman dahulu disebut Selindung Bayu. Pada zaman mutakhir nama Selindung Bayu dipakai untuk nama negeri Teluban, iaitu Teluban yang namanya masih digunakan sampai sekarang. Dalam catatan Tok Kelaba, beliau tidak menggunakan nama Teluban tetapi masih menggunakan Selindung Bayu, seperti kata beliau, ``Mula saya Haji Muhammad Husein duduk di Selindung Bayu pada hari Sabtu 15 bulan Zulkaedah pada sanah 1323 Hijrah.''

PENDIDIKAN

Keterangan anak beliau, Abdul Lathif, bahawa Tok Kelaba pertama sekali belajar membaca al-Quran kepada abang sepupunya Abdur Rahman Pancor, Kelaba. Sejak berumur tujuh tahun telah memondok di Semala (Patani). Pengetahuan yang sangat mendalam diperolehnya di Pondok Bendang Daya. Beliau merupakan kader tertua dalam pondok itu. Di peringkat awal belajar kepada Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I). Tok Kelaba hanya sedikit memperoleh ilmu daripada hulubalang tersebut, kerana umur beliau yang ketika itu sudah sangat tua dan tidak berapa lama setelah Tok Kelaba datang ke Bendang Daya, hulubalang itu meninggal dunia dalam usia 120 tahun. Pimpinan Pondok Bendang Daya sesudah itu diserahkan kepada anak beliau bernama Syeikh Wan Abdul Qadir yang selanjutnya digelar dengan Tok Bendang Daya II. Dalam tahun 1312 Hijrah/1895 Masihi, Tok Bendang Daya II mendapat tugas daripada Sultan Patani Darus Salam untuk menghaji dan mengumrahkan beberapa orang keluarga diraja yang telah meninggal dunia, maka beberapa murid kesayangannya dibawa serta, terutama sekali Tok Kelaba. Keberangkatan ke Mekah itu merupakan panggilan ajal bagi gurunya Tok Bendang Daya II, beliau wafat di Mekah. Dengan demikian Tok Kelaba tidak langsung pulang ke Kelaba, beliau mendekati keluarga besar gurunya termasuk Syeikh Muhammad Zain al-Fathani yang telah lama berpindah ke Mekah. Pada waktu itu sahabatnya Syeikh Daud bin Mustafa al- Fathani (saudara bongsu Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dan Tok Bendang Daya II) telah menjadi seorang ulama di Mekah tetapi masih juga belajar kepada anak saudaranya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Maka Tok Kelaba pun ikut belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani yang lebih tua daripadanya sekitar lapan tahun saja (Syeikh Ahmad al-Fathani lahir 1272 Hijrah, Tok Kelaba lahir 1280 Hijrah). Ketika belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah, Tok Kelaba bersahabat dengan beberapa orang terkenal di antaranya Tok Kenali Kelantan, Syeikh Abdur Rahman Gudang al-Fathani, dan lain-lain. Tok Kelaba belajar juga kepada Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani. Ketika belajar di Mekah itu Tok Kelaba juga menyempatkan diri menadah ilmu kepada ulama-ulama Arab yang terkenal iaitu Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Walau bagaimanapun yang sangat berkesan bagi Tok Kelaba ialah Tok Bendang Daya II, hampir semua kitab yang beliau tulis mahupun salinan karya orang lain sentiasa menyelitkan fatwa atau pendapat yang berasal daripada Tok Bendang Daya II. Demikian juga dalam setiap kali mengajar selalu menyebut nama Tok Bendang Daya II tak ubahnya dengan Tok Kenali Kelantan yang sentiasa menyebut nama gurunya Syeikh Ahmadal-Fathani.

KARYA

Karya-karya Tok Kelaba dibahagi kepada dua bentuk; Karya Asli dan Karya Salinan. Disebabkan kekurangan ruangan yang dapat diperkenalkan di sini hanyalah Muqaddimatul Athfal fi Shifatillahi zil Jalal saja, diselesaikan di Patani pada 8 Rabiulawal 1305 Hijrah. Semua halaman kitab ini penuh dengan nota atas, nota tepi kiri-kanan dan nota kaki. Dua muka setengah di bahagian dalam pula terdapat judul baru yang disebut Faedah yang membicarakan pelbagai wirid dan doa. Tentang ini diselesaikan pada tahun 1322 Hijrah. Di bahagian tepi juga beliau memperkenalkan beberapa pemikiran gurunya, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang beliau sebut dengan Syaikhuna saja. Juga terdapat rujukan kitab-kitab Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Umar Makkah dan lain-lainnya. Kitab ini diterbitkan oleh Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Fathani dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1331 Hijrah/1912 Masihi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home