ULAMA NUSANTARA

Thursday, August 25, 2005

WAN FATIMAH AL-KALANTANI

Wanita Melayu Alim di Mekah
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM Ruangan Agama, Utusan Malaysia bertarikh 27 September 2004, diperkenalkan nama orang tuanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani. Ruangan Agama, Utusan Malaysia bertarikh 11 Oktober 2004 pula memperkenalkan riwayat suaminya, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani atau Tok Daud Katib al-Kalantani.

Artikel ini secara langsung memperkenalkan seorang alimah, yang nama lengkapnya ialah Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani bin Abdul Ghafur bin Syeikh Izzuddin. Syeikh Izzuddin juga bernama Syeikh Taqiyuddin. Wan Fatimah adalah di antara wanita teralim dan kuat beramal, seperti tilawah al-Quran, wirid, zikir, dan selawat dalam keluarga besar ulama Patani dan Kelantan pada zamannya.

Selain itu beliau aktif mengajar di rumahnya di Mekah. Sebahagian besar wirid ayahnya, Syeikh Wan Ali Kutan, terutama amalan-amalan yang termaktub dalam Lum'atul Aurad yang bersambung sampai sekarang adalah diijazahkan oleh Wan Fatimah. Wan Fatimah tidak menghasilkan penulisan tetapi bertanggungjawab atas penerbitan karya-karya ayahnya, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan. Selanjutnya Wan Fatimah pindah ke Kota Bharu, Kelantan mengikut suaminya, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani (Tok Daud Katib).

Mereka tinggal di Kampung Atas Paloh. Perpindahan mereka ke Kelantan adalah kerana menjalankan tugas daripada Syeikh Ahmad al-Fathani yang mendirikan Mathba'ah al-Miriyah al-Kalantaniyah dalam rangka mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab untuk disebarluaskan ke seluruh dunia Melayu.

KEKELUARGAAN

Wan Fatimah mempunyai tiga orang saudara; seorang lelaki, iaitu Wan Abdur Rahman adalah sahabat karib kepada Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.
Dua orang saudaranya yang lain ialah Wan Maryam binti Syeikh Wan Ali Kutan, yang berkahwin dengan Syeikh Abdullah bin Syeikh Nik Mat Kecik al- Fathani. Seorang lagi Wan Shafiyah binti Syeikh Wan Ali Kutan, berkahwin dengan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani.

Syeikh Abdullah dan Syeikh Muhammad Nur tergolong dalam kumpulan ulama. Mereka adalah anak-anak kepada ulama yang terkenal, iaitu Syeikh Nik Mat Kecik atau Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, satu-satunya ulama Melayu yang menjadi Hakim Mahkamah Syarie di Mekah pada zamannya (ulama yang pernah diperkenalkan dalam ruangan ini pada 25 April 2005). Wan Fatimah sendiri berkahwin dengan sepupunya, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani atau Tok Daud Katib Kelantan (telah diperkenalkan dalam Utusan Malaysia pada 11 Oktober 2004).

Kekeluargaan

Mereka semua dalam lingkungan kekeluargaan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dari segi lain Wan Fatimah juga adalah sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana ibu Syeikh Ahmad al-Fathani bernama Wan Cik binti Haji Wan Muhammad Shalih al-Fathani adalah adik beradik dengan ibu Wan Fatimah, yang bernama Wan Aisyah binti Haji Wan Muhammad Shalih al-Fathani. Datuk nenek dari pihak ibunya adalah keturunan Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, keturunan Bani Abbas melalui Khalifah Mu'tasim Billah. Keturunan tersebut telah lama tinggal di Aceh dan selanjutnya Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi berpindah ke Patani. Beliau bersama sahabatnya, Syeikh Muhammad Sa'id telah berhasil mengislamkan Raja Antira, Raja Patani.

AKTIVITI KELUARGA

Sebagaimana disebutkan bahawa saudara lelaki Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani hanya seorang, iaitu Wan Abdur Rahman. Sebenarnya Wan Abdur Rahman adalah seorang ulama dan cendekiawan tetapi beliau tidak mahu ditonjolkan. Pemikiran beliau banyak dimanfaatkan oleh Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan itu. Wan Abdur Rahman menghasilkan tiga buah karangan, iaitu:
1. Seribu satu Malam. Karya ini atas permintaan Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka Kelantan.
2. Syair Sifat Dua Puluh, iaitu digubah dalam 50 bait syair dalam bahasa Melayu.
3. Syair Nasihat, digubah dalam 40 bait, juga dalam bahasa Melayu. Ketiga-tiga karya Wan Abdur Rahman bin Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani itu masih dalam bentuk manuskrip, asli tulisan tangan beliau, dan belum ditemukan yang berupa salinan. Saya sendiri pernah membaca karya-karya tersebut semalam suntuk di rumah cucu beliau di Kampung Kutan tahun 1995.
Perkahwinan antara Wan Fatimah dengan Tok Daud Katib dianugerahkan anak-anak; Wan Abdul Qadir (pernah menjadi Penggawa di Pasir Mas) dan Tuan Guru Haji Mahmud yang menjadi ulama. Adapun Wan Abdul Qadir diberkati oleh Allah dapat mengerjakan haji setiap tahun sejak berumur tujuh tahun hinggalah tahun terakhir beliau meninggal dunia. Cara hidupnya juga berlainan daripada kebanyakan orang. Setelah beliau tidak menjadi penggawa lagi, beliau hanya tinggal di rumahnya Atas Paluh selama enam bulan dan enam bulan lagi mengembara ke mana saja yang disukainya.

Pekerjaan

Wan Abdul Qadir tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, beliau sangat kuat mengamalkan wirid. Setiap hari sesudah Subuh hingga selesai solat Dhuha, barulah beliau beredar dari tempat wiridnya. Yang diamalkannya hanya wirid-wirid yang termaktub dalam Lum'atul Aurad yang disusun oleh datuknya, Syeikh Wan Ali Kutan yang mana amalan-amalan itu diterima ijazah daripada ibunya sendiri, iaitu Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan. Wan Abdul Qadir pula telah mengijazahkan amalan tersebut kepada ramai orang di Malaysia, Patani, Sumatera dan Mekah. Pada zamannya, masyarakat Islam di Malaysia menunaikan haji ke Mekah masih menggunakan kapal laut. Pada kesempatan itu ramai yang berada dalam kapal yang dinaikinya untuk menerima ijazah amalan Lum'atul Aurad itu. Sungguhpun masanya lebih banyak digunakan untuk melakukan wirid, zikir, selawat dan sejenisnya jika dibandingkan dengan waktu yang digunakan untuk bekerja mencari nafkah, namun perbelanjaan hariannya sama juga dengan orang-orang lain yang berada di persekitarannya. Beliau tidak pernah mengalami kesempitan perbelanjaan, walaupun beliau juga mempunyai tujuh orang anak. Semua anaknya memperoleh pendidikan. Beberapa orang di antaranya menjadi guru dan aktif bergerak dalam bidang kemasyarakatan.

Penulis

Anak Wan Fatimah yang menjadi ulama ialah Tuan Guru Haji Mahmud. Beliau termasuk anggota Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, guru di Ma'ahad Al-Muhammadi, menjadi penulis dalam majalah Pengasuh dan menulis beberapa buah buku. Dalam koleksi saya terdapat dua buah buku karangan beliau, iaitu Kerana Kemerdehekaan atau Dasar Setia Merusakkan Kerajaan, diselesaikan di Kota Bharu, Kelantan pada 13 Rabiulakhir 1358 H/1 Jun 1939 M. Kandungannya membicarakan sebab-sebab kejatuhan pemerintahan Turki-'Utsmaniyah pada tahun 1914 M-1918 M. Mengenai buku ini diberi komentar oleh pihak penerbitnya, ``Ialah suatu riwayat dan tarikh yang belum ada seumpamanya di dalam bahasa Melayu, iaitu berlaku di negeri Turki pada masa as-Sultan Abdul Hamid. Mengandungi perihal punca-punca kejatuhan kerajaan Turki, perlawanan siasat, perasaan cinta berahi, keberanian dan perasaan kewatanan, peperangan Balkan, dan ringkasan tarikh peperangan besar 1914 - 1918''. Dicetak oleh Mustafa Press, Kelantan, 1939 M.

Sebuah lagi karangan Wan Mahmud ialah Siasat Perniagaan atau Kaedah dan Peraturan Berjual Beli, yang tarikh penulisannya belum diketahui kerana beberapa halamannya tidak ditemui. Kandungannya membicarakan pelbagai aspek, etika dan tatacara melaksanakan perniagaan. Dinyatakan pada halaman depan, ``... iaitu menunjukkan bagaimana memajukan perniagaan runcit-runcit mengikut ilmu jiwa, falsafah perangai, dan ijtima' ...'' Kandungannya juga terdapat petikan perkataan hikmah daripada Saidina Umar bin Khattab, ``Jangan kamu dikalahkan oleh bangsa lain dalam bab perniagaan kerana sesungguhnya dialah sepertiga kekuasaan dan pemerintahan.'' Cetakan kedua, Mustafa Press, Kelantan, 1952 M. Pandangan dan taqriz diberi oleh Datuk Nik Mahmud bin Ismail, Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, ditulis di Kota Bharu, Kelantan pada 4 Januari 1941 M.

Saya mendapat maklumat, sewaktu saya menulis artikel ini terdapat 20 orang keturunan Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani yang menghafaz al-Quran tiga puluh juzuk (hafiz dan hafizah). Salah seorang cucu beliau, iaitu Wan Khadijah binti Haji Wan Abdul Qadir bersama suaminya Abdul Rahman bin Abdul Samad yang sekarang sedang giat membina tempat pendidikan tahfiz yang dinamakan Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Hilmiah di Taman Kenangan, Kota Bharu, Kelantan. Selain itu juga beliau membina satu pertubuhan yang dinamakan Kelab Balkis.

Ceramah

Pada tarikh 18 Jamadilawal 1426 H/25 Jun 2005 M dalam rangka Memperingati 100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani, Pemikir Agung Melayu dan Islam yang ke-5, Kelab Balkis dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (Pengkaji) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, dan lain-lain telah menganjurkan satu cera-mah di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan. Dua kertas kerja telah dibentangkan. Kertas kerja pertama banyak menyentuh tentang Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, anak beliau Wan Fatimah dan ulama-ulama Kelantan lainnya terutama Tok Kenali. Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Prof. Madya Dr. Ismail Bakar, pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Secara kebetulan pula Prof. Madya Dr. Ismail Bakar mempunyai pertalian keluarga melalui perkahwinan dengan keturunan Wan Fatimah binti Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani.

Sebagai penutup artikel ini saya berkesimpulan bahawa 71 orang ulama yang telah diperkenalkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia ini semuanya adalah kaum lelaki. Wan Fatimah yang diriwayatkan di atas merupakan tokoh ke-72. Ini bererti beliau merupakan tokoh wanita pertama yang diperkenalkan dalam ruangan ini. Jika kita semak dengan teliti bererti dari kalangan keluarga ulama dunia Melayu sejak lama, telah melahirkan golongan anak dan cucu mereka daripada golongan wanita yang berminat terhadap ilmu pengetahuan. Mereka berjaya mempelajari dan mengajar ilmu pengetahuan sekali gus menyepadukan ilmu dan amal. Sangatlah hampa, kosong tiada bermanfaat, jika seseorang itu mempunyai ilmu yang banyak tetapi tiada mengamalkan ilmu pengetahuan yang ada padanya. Orang-orang berilmu yang paling bijak ialah yang dapat memanfaatkan ilmunya untuk kebahagiaan diri, keluarga dan masyarakat dalam erti kata yang luas kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Monday, August 22, 2005

SYARIF ABDUR RAHMAN AL-QADRI

Sultan Pertama Kerajaan Pontianak
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

KERAJAAN Pontianak adalah salah satu di antara kerajaan Melayu yang terakhir didirikan. Pendirinya adalah seorang keturunan Arab-Melayu, zuriat Nabi Muhammad s.a.w. Kekukuhannya sebagai Sultan Pontianak yang pertama adalah dilantik oleh Raja Haji bin Upu Daeng Celak Yang Dipertuan Muda Riau.

Pendiri kerajaan Pontianak itu ialah Syarif Abdur Rahman bin al-Habib Husein al-Qadri. Habib Husein al-Qadri, ayah beliau seorang ulama besar, bahkan ramai orang meriwayatkan Habib Husein al-Qadri adalah seorang `Wali Allah' yang dibuktikan banyak `karamah'.
Oleh itu, anak beliau Syarif Abdur Rahman al-Qadri adalah seorang `sultan' dan sekali gus beliau adalah seorang `ulama'.

Riwayat di bawah ini adalah berasal dari sebuah manuskrip yang diperoleh di Pontianak yang saya ringkaskan dan di beberapa tempat disesuaikan dengan bahasa sekarang.

Pengembaraan

Apabila sampai umur Syarif Abdur Rahman 16 tahun, beliau dibawa oleh ayahnya berpindah dari negeri Matan ke negeri Mempawah. Setelah berumur 18 tahun, beliau dikahwinkan oleh ayahnya dengan Utin Cenderamidi, anak Upu Daeng Menambon.

Tatkala umurnya 22 tahun, Syarif Abdur Rahman pergi ke Pulau Tambelan selanjutnya ke Siantan dan terus ke pusat pemerintahan Riau di Pulau Penyengat. Beliau tinggal di sana selama kira-kira dua bulan. Kemudian, ke negeri Palembang dan tinggal di situ sebelas bulan. Sewaktu hendak kembali ke negeri Mempawah dihadiahkan oleh Sultan Palembang, Sultan Pelakit sebuah perahu selaf dan seratus pikul timah.

Dan pada ketika itu juga bermuafakat Tuan Saiyid dan sekelian bangsa Arab di negeri Palembang dan bersetuju memberi hadiah kepada Syarif Abdur Rahman, dua ribu ringgit. Kemudian Syarif Abdur Rahman belayar pulang ke negerinya, Mempawah.
Setelah dua bulan Syarif Abdur Rahman al-Qadri di Mempawah, beliau belayar pula ke negeri Banjar dan tinggal di sana selama empat bulan. Kemudian, belayar pula ke negeri Pasir dan berhenti di situ selama tiga bulan.

Setelah itu, kembali lagi ke negeri Banjar. Setelah dua bulan di Banjar, Syarif Abdur Rahman dikahwinkan dengan puteri Sultan Sepuh, saudara pada Penembahan Batu yang bernama Ratu Syahbanun. Sebelum berkahwin, Syarif Abdur Rahman al-Qadri telah dilantik oleh Panembahan Batu menjadi Pangeran dengan nama Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam.
Dua tahun kemudian, Syarif Abdur Rahman al-Qadri kembali ke negeri Mempawah. Setahun kemudian, kembali lagi ke negeri Banjar. Selama empat tahun di Banjar, beliau memperoleh dua orang putera, seorang laki-laki diberi nama Syarif Alwi diberi gelar Pangeran Kecil dan yang seorang perempuan bernama Syarifah Salmah diberi gelar Syarifah Puteri.

Tarikh 11 Rabiulakhir 1185 H/24 Jun 1771 M Syarif Abdur Rahman keluar dari negeri Banjar kembali ke negeri Mempawah. Ketika sampai di Mempawah didapatinya Tuan Besar Mempawah, Habib Husein al-Qadri ayahnya, telah kembali ke rahmatullah. Syarif Abdur Rahman al-Qadri berhenti di Mempawah selama tiga bulan bermesyuarat dengan adik- beradiknya, ialah Syarif Ahmad, Syarif Abu Bakar, Syarif Alwi bin Habib Husein al-Qadri dan seorang kerabat mereka, Syarif Ahmad Ba'abud. Keputusan mesyuarat bahawa Syarif Abdur Rahman akan keluar dari negeri Mempawah hendak membuat kedudukan di mana-mana yang patut.

Mengasaskan kerajaan Pontianak

Tarikh 14 Rejab 1185 H/23 Oktober 1771 M, Syarif Abdur Rahman berangkat dari negeri Mempawah de-ngan 14 buah perahu kecil bernama kakab. Kemudian, sampailah ia di Sungai Pontianak yang kebetulan tempat itu dengan masjid yang ada sekarang ini. Syarif Abdur Rahman dan rombongan berhenti di tempat itu pada waktu malam.

Keesokan harinya, Syarif Abdur Rahman pun masuk ke Selat Pontianak dan berhenti di situ selama lima malam. Pada hari Rabu kira-kira pukul 4.00 pagi, Syarif Abdur Rahman memberi perintah menyerang Pulau Pontianak. Masing-masing mereka mengisi meriamnya dan menembak pulau itu. Kata Syarif Abdur Rahman, ``Berhenti perang kerana sekalian hantu dan syaitan yang berbuai pada malam hari di pulau itu telah habis lari, janganlah tuan-tuan takut, marilah kita turun menebas pulau itu''.

Semua anak buah perahu pun turun bersama-sama Syarif Abdur Rahman menebas pulau itu. Setelah habis ditebas, lalu didirikan sebuah rumah dan sebuah balai. Kira-kira lapan hari dikerjakan, di dalam antara itu Syarif Abdur Rahman kembalilah ke Mempawah mengambil sebuah kapal dan sebuah tiang sambung. Tarikh 4 Ramadhan 1185 H/11 Disember 1771 M Syarif Abdur Rahman pindah ke pulau itu.

Perang Pontianak Sanggau

Tiada berapa lama negeri itu berdiri, pada bulan Jumadilakhir 1191 H/ 10 Jun 1777 M, Syarif Abdur Rahman berangkat, mudik ke negeri Sanggau dengan 40 buah perahu kecil hendak terus ke negeri Sekadau. Setelah sampai di Sanggau, maka ditahanlah oleh Penembahan Sanggau tiada diberikannya mudik ke hulu, jauh dari negeri Sanggau. Tetapi Syarif Abdur Rahman, berkeras hendak mudik.

Oleh sebab itu, Penembahan Sanggau sangat marah, lalu menembak perahu itu, hingga terjadi peperangan antara kedua-dua pihak. Setelah tujuh hari berperang, Syarif Abdur Rahman mengundurkan diri kembali ke negeri Pontianak, untuk persiapan membuat perahu besar.
Kira-kira lapan belas bulan sesudah itu bersamaan, 2 Muharram 1192 H/31 Januari 1778 M berangkat lagi ke negeri Sanggau dengan sebuah sekuci, dua buah kapal dan 28 buah penjajab. Ketika sampai di Tayan, bertemulah dengan angkatan Sanggau yang menanti kedatangan angkatan Pontianak di situ.

Angkatan Sanggau kalah, terus lari ke Sanggau. Tetapi ada lagi angkatan Sanggau di Kayu Tunu, angkatan Sanggau sudah siap berperang di tempat. Tarikh 26 Muharram 1192 H/24 Februari 1778 M bermulalah perang di Kayu Tunu. Sanggau kalah pada 11 Safar 1192 H/11 Mac 1778 M.
Syarif Abdur Rahman pun mudik ke Sanggau dan berhenti di situ selama 12 hari. Syarif Abdur Rahman bersama Raja Haji, Yang Dipertuan Muda Riau membuat benteng pertahanan di Pulau Simpang Labi, menempatkan enam pucuk meriam di pintunya.

Pulau itu ditukar nama dengan Jambu-Jambu Taberah. Setelah selesai pekerjaan di Pulau Jambu-Jambu Taberah itu, Sultan Syarif Abdur Rahman pulang ke Pontianak bersama-sama dengan Yang Dipertuan Muda Raja Haji.

Penabalan Sultan

Setelah sampai di Pontianak, Raja Haji, Yang Dipertuan Muda Riau memanggil semua orang di dalam negeri Pontianak untuk memeriksa hal Pa-duka Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam akan dijadikan sultan. Semua isi negeri Pontianak, bersetuju. Raja Haji mengirim utusan ke negeri Mempawah, Matan, Landak dan Kubu.

Raja-raja itu pun mengaku di hadapan Yang Dipertuan Muda Raja Haji mengatakan bahawa mereka menerima dengan gembira. Pada ketika dan tarikh yang baik, hari Isnin, 8 Syaban 1192 H/1 September 1778 M, sekalian tuan-tuan sayid, raja-raja dan rakyat negeri Pontianak berkumpul di Pontianak.

Yang Dipertuan Muda Raja Haji dengan suara yang keras, bertitah, ``Adapun kami memberitahu kepada sekalian tuan-tuan sayid, raja-raja, dan sekalian isi negeri Pontianak ini, pada hari ini, Paduka Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam kita sahkan berpangkat dengan nama Paduka Sultan Syarif Abdur Rahman al-Qadri, iaitu raja di atas takhta kerajaan Negeri Pontianak, demikianlah adanya''

Adalah pada tahun 1194 H/1780 M utusan Kompeni Belanda datang dari Betawi dengan satu sekuci dan dua buah pencalang. Utusan Belanda itu bernama Ardi William Palam Petter dari Rembang serta berbicara meminta kepada Sultan Syarif Abdur Rahman untuk mendiami negeri Pontianak.

Bersamanya ada lagi utusan Sultan Banten hendak menyerahkan pemerintahan negeri Landak kepada Sultan Syarif Abdur Rahman. Maka Kompeni Holanda pun tetaplah duduk bersetia bersama-sama di dalam negeri Pontianak.

Pada tahun 1198 H/1784 M Kompeni Belanda bermusuh dengan Yang Dipertuan Muda Raja Ali Riau. Kom-peni Belanda menyerang Yang Dipertuan Muda Raja Ali Riau di negeri Sukadana. Negeri Sukadana kalah dalam perang itu.

Pada tahun 1200 H/1785 M, Sultan Syarif Abdur Rahman bersengketa de-ngan saudara iparnya Raja Mempawah, Penembahan Adi Wijaya, kerana perkara Sultan Sambas.
Disingkatkan ceritanya, akhirnya Sultan Syarif Abdur Rahman terpaksa memerangi negeri Mempawah. Setelah berperang selama lapan bulan, negeri Mempawah kalah dalam peperangan itu. Setelah selesai perang, Sultan Syarif Abdur Rahman mengangkat puteranya yang bernama Pangeran Syarif Qasim berpangkat Penembahan Memerintah Diatas Takhta Kerajaan Negeri Mempawah.

Selanjutnya, terjadi perselisihan Pontianak dengan Sambas mulai 3 Rabiulakhir 1206 H/30 November 1791 M. Sultan Syarif Abdur Rahman bersama Yang Dipertuan Sayid Ali bin Utsman, Raja Siak memerangi negeri Sambas. Perang yang terjadi selama lapan bulan itu, berakhir dengan seri iaitu tiada yang kalah atau pun menang.

Wafat

Demikianlah kisah Sultan Syarif Abdur Rahman al-Qadri yang dilahirkan pada 15 Rabiulawal 1151 H/3 Julai 1738 M dan wafat pada malam Sabtu, pukul 11.00, tarikh 1 Muharram 1223 H/28 Februari 1808 M.

Pada hari itu juga, Penembahan Syarif Qasim yang berkedudukan di Mempawah, ditabalkan menjadi Sultan Pontianak dengan menggunakan nama Paduka Sultan Syarif Qasim Raja Duduk Diatas Takhta Kerajaan Negeri Pontianak.

Pada tarikh 19 Safar 1223 H/16 April 1808 M, Pangeran Mangku Negara Syarif Husein bin al-Marhum Sultan Syarif Abdur Rahman dilantik menggantikan Syarif Qasim menjadi raja kerajaan negeri Mempawah.

Pada hari Khamis, pukul 9.00, tarikh 11 Muharram 1228 H/14 Januari 1813 M, Pangeran Syarif Husein kembali ke rahmatullah.

Beliau diganti oleh Penembahan Anom, puteranya Penembahan Adi Wijaya, menjadi wakil memegang kuasa di dalam negeri Mempawah. Pada tahun 1241 H/ 1825 M, Penembahan Anom kembali ke rahmatullah. Pada tahun 1243 H/1828 M, Pangeran Adi Pati Geram menjadi wakil menggantikan memegang kuasanya di dalam negeri Mempawah berpangkat nama Penembahan.

Demikianlah riwayat yang saya ringkaskan dan ubah bahasa dari salah satu manuskrip yang berasal dari tulisan Syarif Abu Bakar bin Syarif Umar bin Sultan Utsman bin Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang bertarikh 28 Rabiulakhir 1350 H/9 September 1931 M.

Manuskrip tersebut telah disalin oleh Sayid Alwi bin Sayid Ahmad bin Sayid Ismail al-Qadri. Tarikh salinan, 7 Jumadilakhir 1354 H/7 Ogos 1935 M.

Saya, Wan Mohd. Shaghir Abdullah selesai mentransliterasi daripada Melayu/Jawi ke Latin/Rumi pada, 9 Muharram 1421 H/14 April 2000 M dan selanjutnya diubah bahasa dimuat dalam bahagian Agama, Utusan Malaysia, pada terbitan hari ini.

HUSEIN AL-QADRI

Penyebar Islam Kalimantan Barat
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENGENAI Habib Husein al-Qadri, tidak terlalu sukar membuat penyelidikan kerana memang terdapat beberapa manuskrip yang khusus membicarakan biografinya. Walau bagaimana pun semua manuskrip yang telah dijumpai tidak jelas nama pengarangnya, yang disebut hanya nama penyalin. Semua manuskrip dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi. Nama lengkapnya, As-Saiyid/as-Syarif Husein bin al-Habib Ahmad/Muhammad bin al-Habib Husein bin al-Habib Muhammad al-Qadri, Jamalul Lail, Ba `Alawi, sampai nasabnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sampai ke atas adalah melalui perkahwinan Saidatina Fatimah dengan Saidina Ali k.w. Nama gelarannya ialah Tuan Besar Mempawah. Lahir di Tarim, Yaman pada tahun 1120 H/1708 M. Wafat di Sebukit Rama Mempawah, 1184 H/ 1771M. ketika berusia 64 tahun. Dalam usia yang masih muda beliau meninggalkan negeri kelahirannya untuk menuntut ilmu pengetahuan bersama beberapa orang sahabatnya.

PENDIDIKAN, PENGEMBARAAN DAN SAHABAT

Mengembara ke negeri Kulaindi dan tinggal di negeri itu selama empat tahun. Di Kulaindi beliau mempelajari kitab kepada seorang ulama besar bernama Sayid Muhammad bin Shahib. Dalam waktu yang sama beliau juga belajar di Kalikut. Jadi sebentar beliau tinggal di Kulaindi dan sebentar tinggal di Kalikut. Habib Husein al-Qadri termasuk dalam empat sahabat. Mereka ialah, Saiyid Abu Bakar al-`Aidrus, menetap di Aceh dan wafat di sana. Digelar sebagai Tuan Besar Aceh. Kedua, Saiyid Umar as-Sagaf, tinggal di Siak dan mengajar Islam di Siak, juga wafat di Siak. Digelar sebagai Tuan Besar Siak. Ketiga, Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Qudsi yang tinggal di Terengganu dan mengajar Islam di Terengganu. Digelar sebagai Datuk Marang. Keempat, Saiyid Husein bin Ahmad al-Qadri (yang diriwayatkan ini)

Maka Habib Husein pun berangkatlah dari negeri Kulaindi menuju Aceh. Di Aceh beliau tinggal selama satu tahun, menyebar agama Islam dan mengajar kitab. Selanjutnya perjalanan diteruskan ke Siak, Betawi dan Semarang. Saiyid Husein tinggal di Betawi selama tujuh bulan dan di Semarang selama dua tahun. Sewaktu di Semarang beliau mendapat sahabat baru, bernama Syeikh Salim bin Hambal. Pada suatu malam tatkala ia hendak makan, dinantinya Syeikh Salim Hambal itu tiada juga datang. Tiba-tiba ia bertemu Syeikh Salim Hambal di bawah sebuah perahu dalam lumpur. Habib Husein pun berteriak sampai empat kali memanggil Syeikh Salim Hambal. Syeikh Salim Hambal datang menemui Habib Husein berlumuran lumpur. Setelah itu bertanyalah Habib Husein, ``Apakah yang kamu perbuat di situ?''
Jawabnya: ``Hamba sedang membaiki perahu.'' Habib Husein bertanya pula, ``Mengapa membaikinya malam hari begini?'' Maka sahutnya, ``Kerana siang hari, air penuh dan pada malam hari air kurang.'' Kata Habib Husein lagi, ``Jadi beginilah rupanya orang mencari dunia.'' Jawabnya, ``Ya, beginilah halnya.''

Kata Habib Husein pula, ``Jika demikian sukarnya orang mencari atau menuntut dunia, aku haramkan pada malam ini juga akan menuntut dunia kerana aku meninggalkan tanah Arab sebab aku hendak mencari yang lebih baik daripada nikmat akhirat.''

Habib Husein kembali ke rumah dengan menangis dan tidak mahu makan. Keesokan harinya wang yang pernah diberi oleh Syeikh Salim Hambal kepadanya semuanya dikembalikannya. Syeikh Salim Hambal berasa hairan, lalu diberinya nasihat supaya Habib Husein suka menerima pemberian dan pertolongan modal daripadanya. Namun Habib Husein tiada juga mahu menerimanya. Oleh sebab Habib Husein masih tetap dengan pendiriannya, yang tidak menghendaki harta dunia, Syeikh Salim Hambal terpaksa mengalah. Syeikh Salim Hambal bersedia mengikuti pelayaran Habib Husein ke negeri Matan.

Setelah di Matan, Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal menemui seorang berketurunan saiyid juga, namanya Saiyid Hasyim al-Yahya, digelar orang sebagai Tuan Janggut Merah. Perwatakan Saiyid Hasyim/ Tuan Janggut Merah itu diriwayatkan adalah seorang yang hebat, gagah dan berani. Apabila Saiyid Hasyim berjalan senantiasa bertongkat dan jarang sekali tongkatnya itu ditinggalkannya. Tongkatnya itu terbuat daripada besi dan berat. Sebab Saiyid Hasyim itu memakai tongkat demikian itu kerana ia tidak boleh sekali-kali melihat gambaran berbentuk manusia atau binatang, sama ada di perahu atau di rumah atau pada segala perkakas, sekiranya beliau terpandang atau terlihat apa saja dalam bentuk gambar maka dipalu dan ditumbuknya dengan tongkat besi itu.

KEDUDUKAN DI MATAN

Setelah beberapa lama Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal berada di Matan, pada suatu hari Sultan Matan menjemput kedua-duanya dalam satu jamuan makan kerana akan mengambil berkat kealiman Habib Husein itu. Selain kedua-duanya juga dijemput para pangeran, sekalian Menteri negeri Matan, termasuk juga Saiyid Hasyim al-Yahya. Setelah jemputan hadir semuanya, maka dikeluarkanlah tempat sirih adat istiadat kerajaan lalu dibawa ke hadapan Saiyid Hasyim. Saiyid Hasyim al-Yahya melihat tempat sirih yang di dalamnya terdapat satu kacip besi buatan Bali. Pada kacip itu terdapat ukiran kepala ular. Saiyid Hasyim al-Yahya sangat marah. Diambilnya kacip itu lalu dipatah-patah dan ditumbuk-tumbuknya dengan tongkatnya. Kejadian itu berlaku di hadapan Sultan Matan dan para pembesarnya. Sultan Matan pun muram mukanya, baginda bersama menteri-menterinya hanya tunduk dan terdiam saja. Peristiwa itu mendapat perhatian Habib Husein al-Qadri. Kacip yang berkecai itu diambilnya, dipicit-picit dan diusap-usap dengan air liurnya. Dengan kuasa Allah jua kacip itu pulih seperti sediakala. Setelah dilihat oleh Sultan Matan, sekalian pembesar kerajaan Matan dan Saiyid Hasyim al-Yahya sendiri akan peristiwa itu, sekaliannya gementar, segan, berasa takut kepada Habib Husein al-Qadri yang dikatakan mempunyai karamah itu.

Beberapa hari setelah peristiwa di majlis jamuan makan itu, Sultan Matan serta sekalian pembesarnya mengadakan mesyuarat. Keputusan mesyuarat bahawa Habib Husein dijadikan guru dalam negeri Matan. Sekalian hukum yang tertakluk kepada syariat Nabi Muhammad s.a.w. terpulanglah kepada keputusan Habib Husein al-Qadri. Selain itu Sultan Matan mencarikan isteri untuk Habib Husein. Beliau dikahwinkan dengan Nyai Tua. Daripada perkahwinan itulah mereka memperoleh anak bernama Syarif Abdur Rahman al-Qadri yang kemudian dikenali sebagai Sultan Kerajaan Pontianak yang pertama. Semenjak itu Habib Husein al-Qadri dikasihi, dihormati dan dipelihara oleh Sultan Matan. Setelah sampai kira-kira dalam dua hingga tiga tahun diam di negeri Matan, datanglah suruhan Raja Mempawah dengan membawa sepucuk surat dan dua buah perahu akan menjemput Habib Husein untuk dibawa pindah ke Mempawah. Tetapi pada ketika itu Habib Husein masih suka tinggal di negeri Matan. Beliau belum bersedia pindah ke Mempawah. Kembalilah suruhan itu ke Mempawah. Yang menjadi Raja Mempawah ketika itu ialah Upu Daeng Menambon, digelar orang dengan Pangeran Tua. Pusat pemerintahannya berkedudukan di Sebukit Rama.

HABIB HUSEIN PINDAH KE MEMPAWAH

Negeri Matan dikunjungi pelaut-pelaut yang datang dari jauh dan dekat. Di antara ahli-ahli pelayaran, pelaut-pelaut yang ulung, yang datang dari negeri Bugis-Makasar ramai pula yang datang dari negeri-negeri lainnya. Salah seorang yang berasal dari Siantan, Nakhoda Muda Ahmad kerap berulang alik ke Matan. Terjadi fitnah bahawa dia dituduh melakukan perbuatan maksiat, yang kurang patut, dengan seorang perempuan. Sultan Matan sangat murka, baginda hendak membunuh Nakhoda Muda Ahmad itu. Persoalan itu diserahkan kepada Habib Husein untuk memutuskan hukumannya. Diputuskan oleh Habib Husein dengan hukum syariah bahawa Nakhoda Muda Ahmad lepas daripada hukuman bunuh. Hukuman yang dikenakan kepadanya hanyalah disuruh oleh Habib Husein bertaubat meminta ampun kepada Allah serta membawa sedikit wang denda supaya diserahkan kepada Sultan Matan. Sultan Matan menerima keputusan Habib Husein. Nakhoda Muda Ahmad pun berangkat serta disuruh hantar oleh Sultan Matan dengan dua buah sampan yang berisi segala perbekalan makanan. Setelah sampai di Kuala, Nakhoda Muda Ahmad diamuk oleh orang yang menghantar kerana diperintah oleh Sultan Matan. Nakhoda Muda Ahmad dibunuh secara zalim di Muara Kayang. Peristiwa itu akhirnya diketahui juga oleh Habib Husein al-Qadri. Kerana peristiwa itulah Habib Husein al-Qadri mengirim surat kepada Upu Daeng Menambon di Mempawah yang menyatakan bahawa beliau bersedia pindah ke Mempawah.

Tarikh Habib Husein al-Qadri pindah dari Matan ke Mempawah, tinggal di Kampung Galah Hirang ialah pada 8 Muharam 1160 H/20 Januari 1747 M. Setelah Habib Husein al-Qadri tinggal di tempat itu ramailah orang datang dari pelbagai penjuru, termasuk dari Sintang dan Sanggau, yang menggunakan perahu dinamakan `bandung' menurut istilah khas bahasa Kalimantan Barat. Selain kepentingan perniagaan mereka menyempatkan diri mengambil berkat daripada Habib Husein al-Qadri, seorang ulama besar, Wali Allah yang banyak karamah. Beliau disegani kerana selain seorang ulama besar beliau adalah keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam tempoh yang singkat negeri tempat Habib Husein itu menjadi satu negeri yang berkembang pesat sehingga lebih ramai dari pusat kerajaan Mempawah, tempat tinggal Upu Daeng Menambon/Pangeran Tua di Sebukit Rama. Manakala Upu Daeng Menambon mangkat puteranya bernama Gusti Jamiril menjadi anak angkat Habib Husein al-Qadri. Dibawanya tinggal bersama di Galah Hirang/Mempawah lalu ditabalkannya sebagai pengganti orang tuanya dalam tahun 1166 H/1752 M. Setelah ditabalkan digelar dengan Penembahan Adiwijaya Kesuma.

Akan kemasyhuran nama Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu tersebar luas hingga hampir semua tempat di Asia Tenggara. Pada satu ketika Sultan Palembang mengutus Saiyid Alwi bin Muhammad bin Syihab dengan dua buah perahu untuk menjemput Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah datang ke negeri Palembang kerana Sultan Palembang itu ingin sekali hendak bertemu dengan beliau. Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah tidak bersedia pergi ke Palembang dengan alasan beliau sudah tua.

WAFAT

Dalam semua versi manuskrip Hikayat Habib Husein al-Qadri dan sejarah lainnya ada dicatatkan, beliau wafat pada pukul 2.00 petang, 2 Zulhijjah 1184 H/19 Mac 1771 dalam usia 64 tahun. Wasiat lisannya ketika akan wafat bahawa yang layak menjadi Mufti Mempawah ialah ulama yang berasal dari Patani tinggal di Kampung Tanjung Mempawah, bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.

MUFTI JAMALUDIN AL-BANJARI

Dari kanan: Muhammad Saman (keturunan ulama Banjar), penulis dan Datuk Mohd Ainal Abdul Fatah Sabah (keturunan ulama Banjar).

Ahli Undang-Undang Kerajaan Banjar
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
SYEIKH Muhammad Arsyad al-Banjari memperoleh anak dan keturunan yang sangat ramai menjadi ulama. Dalam artikel ini mengungkapkan anak beliau yang bernama Jamaluddin. Ibu Jamaluddin bernama Go Hwat Nio atau sebutan popular dipanggil Tuan Guat saja. Tuan Guat adalah seorang Cina yang memeluk Islam oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari sendiri. Adik beradik daripada ibu ini ada enam orang, yang menjadi ulama besar dan terkenal di antara mereka ialah: 1. Al-`Alim al-`Allamah Khalifah Hasanuddin. 2. Al-`Alim al-`Allamah Khalifah Zainuddin. 3. Al-`Alim al-`Allamah Mufti Haji Jamaluddin. Tiga orang lagi yang perempuan, ialah 4. Aisyah 5. Raihanah 6. Hafsah.

Al-`Alim al-`Allamah Khalifah Hasanuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari (yang pertama), zuriatnya yang menjadi ulama, ialah al-`Alim al-`Allamah Mufti Haji Muhammad Khalid, al-`Alim al-Fadhil Haji Muhammad Qaim. Al-`Alim al-`Allamah Mufti Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari (ketiga), zuriatnya yang menjadi ulama, ialah al-`Alim al-`Allamah Mufti Haji Muhammad Husein, al-`Alim al-Fadhil Qadi Haji Muhammad Amin, al-`Alim al-`Allamah Qadi Haji Abdus Shamad dan al-`Alim al-'Allamah Haji Muhammad Thasin. Haji Jamaluddin al-Banjari digelar juga dengan `Surgi Mukti', lahir sekitar tahun 1780 M. Tahun wafatnya belum diketahui. Makamnya terletak di Sungai Jingah (Ku'bah), Banjar.

Adik beradik Mufti Haji Jamaluddin yang seayah tetapi berlainan ibu ialah Syarifah, ibunya bernama Tuan Bajut. Adik beradik Mufti Haji Jamaluddin daripada ibu yang lain pula ialah al-`Alim al-`Allamah Qadi Haji Abu Su`ud, al-`Alim al-`Allamah Khalifah Haji Abu Na`im, dan al-`Alim al-`Allamah Khalifah Haji Syihabuddin. Ibu mereka bernama Tuan Baiduri. Al-`Alim al-`Allamah Qadi Haji Abu Su`ud bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, sewaktu kembali daripada menunaikan haji, berkahwin lagi di Kedah dan memperoleh seorang putera, Mas`ud. Zuriatnya Tuan Husein Kedah, ulama yang terkenal di Malaysia. Mengenainya telah diperkenalkan di Ruangan Agama, Utusan Malaysia, dengan judul Husein Kedah Al-Banjari, Generasi Penerus Ulama Banjar pada 16 Ogos 2004. Al-`Alim al-`Allamah Haji Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari di Mekah, belajar kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Tahun 1258 H./1842 M. raja-raja Riau di Pulau Penyengat Indera Sakti meminta kesediaannya menjadi guru di Kerajaan Riau. Adik beradik Mufti Haji Jamaluddin daripada ibu yang lain pula ialah al-`Alim al-`Allamah Haji Abdullah (wafat di Madinah) dan al-`Alim al-Fadhil Abdur Rahim. Beliau menunaikan haji dengan menaiki kapal layar, kapalnya pecah dan beliau wafat. Ibu kedua-duanya bernama Tuan Lipur. Adik beradik Mufti Haji Jamaluddin daripada ibu yang lain pula ialah al-`Alim al-`Allamah Mufti Haji Ahmad dan yang perempuan bernama Shafiyah. Ibu kedua-duanya bernama Ratu Aminah binti Pangeran Thaha bin Sultan Tahmidullah. Pada tarikh 9 Julai 2005, saya dan ahli PENGKAJI bertemu dengan keturunan Shafiyah, Kiyai Haji Muhammad Saman bin Muhammad Saleh di Hotel Pan Pacific, Kuala Lumpur. Pertemuan yang melibatkan beberapa keturunan tersebut yang berasal dari Sabah dan Banjar adalah atas kehendak dan diatur oleh Datuk Mohd Ainal bin Haji Abdul Fattah dan kawan-kawan. Kiyai Haji Muhammad Saman adalah guru agama dari Pesantren Yayasan Nurul Hikmah dan beliau juga aktif mengajar di Sabah. Kami merumuskan kerjasama penyelidikan dan pengembangan khazanah ulama silam dunia Melayu yang perlu diperkasakan. Disingkatkan riwayatnya bahawa semua adik beradik Mufti Haji Jamaluddin ada 30 orang daripada ibu seramai 11 orang.

Keluarga jadi mufti

Lingkungan keluarga dekat Mufti Haji Jamaluddin yang menjadi mufti disebut oleh Syeikh Abdur Rahman Shiddiq dalam Syajarah al-Arsyadiyah, ada 10 orang; 1. Al-`Alim al-`Allamah Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 2. Al-`Alim al-`Allamah Haji Ahmad bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 3. Al-`Alim al-`Allamah Haji Muhammad As`ad bin Utsman. 4. Al-`Alim al-`Allamah Haji Muhammad Arsyad bin Mufti Haji Muhammad As`ad. 5. Al-`Alim al-`Allamah Haji Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 6. Al-`Alim al-`Allamah Haji Muhammad Khalid bin `Allamah Hasanuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 7. Al-`Alim al-`Allamah Haji Muhammad Nur bin al-'Alim al-'Allamah Qadi Haji Mahmud. 8. Al-`Alim al-`Allamah Haji Muhammad Husein bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 9. Al-`Alim al-`Allamah Haji Jamaluddin bin Haji Abdul Hamid. 10. Al-`Alim al-`Allamah Syeikh Abdur Rahman Shiddiq bin Haji Muhammad `Afif bin `Alimul `Allamah Qadi Abu Na`im bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Daripada yang pertama hingga kelima pada zaman pemerintahan Sultan Banjar. Sedangkan keenam hingga 10 pada zaman penjajahan Belanda.

Daripada maklumat yang lain, golongan keluarga ini yang menjadi Mufti, ialah : 1. Haji Muhammad Husein bin Mufti Haji Jamaluddin. 2. Haji Abdul Jalil bin Mufti Haji Syihabuddin. 3. Haji Muhammad Yunan bin Mufti Haji Muhammad Amin. 4. Haji Sa`id bin Haji Abdur Rahman. 5. Haji Mukhtar bin Qadi Haji Hasan. Jadi, bererti 10 orang yang di atas ditambah 5 orang, kesemuanya 15 orang. Kemungkinan masih ramai yang belum diketahui.

Keluarga jadi qadi

Keluarga ini yang menjadi qadi, yang telah diketahui sekurang-kurangnya 25 orang, ialah: 1. Al-`Alim al-`Allamah Qadi Abu Su`ud bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 2. Al-`Alim al-`Allamah Qadi Abu Na`im bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 3. Al-`Alim al-`Allamah Haji Mahmud bin Haji Muhammad Yasin. 4. Al-`Alim al-`Allamah Haji Muhammad Amin bin Mufti Haji Jamaluddin al-Banjari. 5. Al-`Alim al-Fadhil Haji Muhammad Ali al-Junaidi bin Qadi Haji Muhammad Amin. 6. Al-`Alim al-`Allamah Haji Muhammad Sa`id al-Jazuli bin Qadi Haji Su`ud. 7. Al-`Alim al-`Allamah Haji Muhammad Amin bin Qadi Haji Mahmud. 8. Al-`Alim al-`Allamah Haji Abdus Shamad bin Mufti Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. 9. Al-`Alim al-`Allamah Haji Muhammad Jafri bin Qadi Haji Abdus Shamad. 10. Al-`Alim al-Fadhil Qadi Haji Bajuri. 11. Al-`Alim al-Fadhil Haji Muhammad As`ad bin Mufti Haji Muhammad Nur bin Qadi Haji Mahmud. 12. Haji Ibrahim bin Mufti Haji Jamaluddin. 13. Haji Abu Talhah bin Qadi Abdus Shamad. 14. Haji Muhammad Thaiyib bin Haji Muhammad Qasim. 15. Haji Muhammad bin Haji Muhammad Qasim. 16. Haji Zainal bin Lebai Darun. 17. Haji Abdur Rahman bin Qadi Haji Muhammad Sa`id. 18. Haji Qasim bin Mu'min. 19. Haji Muhammad Sa`id bin Mu'min. 20. Haji Muhammad Arsyad bin Qadi Haji Abdur Rahman. 21. Haji Hasan bin Mufti Haji Muhammad Sa`id. 22. Haji Abdur Rauf. 23. Haji Abdul Jalil bin Qadi Haji Muhammad Arsyad. 24. Haji Ahmad bin Abu Naim. 25. Haji Muhammad Arsyad bin Qadi Haji Abdur Rauf.

Aktiviti

Haji Jamaluddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari mendapat pendidikan Islam secara mendalam daripada ayahnya, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Selain sebagai Mufti Martapura, Haji Jamaluddin juga giat mengajar sama ada orang awam atau pun golongan istana kesultanan Banjar. Haji Jamaluddin, Mufti Martapura yang paling besar pengaruhnya pada masa pemerintahan Sultan Adam (1825 M - 1857 M), beberapa orang peneliti sejarah berpendapat bahawa Undang-Undang Sultan Adam (1251 H / 1835 M) adalah banyak dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan Mufti Haji Jamaluddin. Sebagai bukti pada Fasal 31, terdapat nama beliau, tertulis sebagai berikut, ``Sekalian kepala-kepala jangan ada yang menyalahi pitua Haji Jamaluddin ini namun orang lain yang menyalahi apabila ikam tiada kawa manangat lekas-lekas bapadah kayah di aku.'' Fasal 31 tersebut ditulis dengan sangat panjang. Menurut kertas kerja Abdurrahman S.H. (sekarang Hakim Agung Indonesia) tertulis dalam bahasa Banjar huruf Latin / Rumi ejaan lama, seperti huruf `u' masih menggunakan `oe'. Abdurrahman S.H. juga mencantumkan dalam kertas kerjanya itu teks dalam bahasa Belanda. Beliau menyimpulkan Fasal 31 tersebut bahawa ``tentang tata pemerintahan hanyalah bagian pertama saja sedang bagian akhir adalah mengenai nazar.'' Selanjutnya Abdurrahman S.H. memberi komentar, ``Tetapi yang penting di sini adalah suatu hal yang luar biasa bagi seorang ulama kalau fatwanya dimasukkan ke dalam salah satu pasal daripada undang-undang kerajaan sehingga mempunyai otoritas tersendiri sebagai hukum negara. Suatu hal yang jarang terjadi di mana-mana.''

Selain hal-hal yang tersebut di atas, Mufti Haji Jamaluddin al-Banjari adalah seolah-olah sebagai seorang pendamai perselisihan keluarga Diraja Banjar dan pemegang ``Surat Wasiat Sultan Adam''. Dalam bulan Disember 1855 Sultan Adam menulis surat wasiat yang kandungannya bertujuan pengganti Sultan Adam sebagai sultan ialah Pangeran Hidayatullah. Kepada puteranya Pangeran Prabu Anom, dan cucunya Pangeran Tamjidillah diancam dengan hukuman mati, jika menghalangi surat wasiat itu. Surat Wasiat Sultan Adam yang tersebut juga dipegang oleh Mufti Haji Jamaluddin al-Banjari.

Penulisan

Karya Mufti Haji Jamaluddin al-Banjari yang paling terkenal di seluruh dunia Melayu ialah `Perukunan Jamaluddin'. Pada semua cetakan `Perukunan Jamaluddin' dapat dipastikan bahawa kitab yang tersebut memang karya beliau. Namun masih ada pendapat yang mengatakan bahawa kitab tersebut adalah karya saudara perempuannya bernama Syarifah binti Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Pendapat yang lain pula ada yang mengatakan adalah karya anak saudaranya yang bernama Fatimah. Pada pandangan saya, sebelum menghuraikan mengenai ini perlulah kita mengenali pelbagai versi kitab yang dinamakan Perukunan. Setelah kita mengenali pelbagai versi, barulah kita dapat menentukan pengarangnya. Ada yang dinamakan `Perukunan' saja. Ada yang dinamakan Perukunan Jamaluddin. Ada yang dinamakan Perukunan Besar. Ada yang dinamakan Perukunan Melayu. Ada yang dinamakan Perukunan Jawa. Ada yang dinamakan Perukunan Sunda. Dan terakhir sekali ada yang dinamakan Perukunan Bugis. Tiga jenis `Perukunan' yang terakhir Jawa,Sunda dan Bugis tidak perlu dibicarakan di sini kerana ketiga-tiganya hanyalah merupakan terjemahan saja daripada Perukunan Melayu. Terlebih dulu di bawah ini diambil data beberapa buah cetakan awal `Perukunan' yang dinisbahkan sebagai karya Mufti Haji Jamaluddin al-Banjari, iaitu yang dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 H/1897 M. Pada kulit depan tertulis, ``Ini kitab yang bernama Perukunan karangan asy-Syeikh al-`Alim Mufti Haji Jamaluddin ibnu al-Marhum al-`Alim al-Fadhil asy-Syeikh Muhammad Arsyad Mufti Banjari.'' Karya Mufti Haji Jamaluddin al-Banjari yang lain, yang kurang diketahui umum, Bulugh al-Maram fi Takhalluf al-Muafiq fi al-Qiyam (1247 H/1831 M).


YUSUF SAIGON AL-BANJARI

Ulama Hartawan
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SALAH seorang anak Mufti Jamaluddin bin Muhammad Arsyad al-Banjari, ialah Muhammad Thasin al-Banjari. Beliau mengembara ke beberapa buah negeri kerana menyebarkan agama Islam terutama sekali dalam bidang ilmu tajwid. Sewaktu beliau merantau ke Brunei, berkahwin di sana, memperoleh anak bernama Ramli. Diriwayatkan ramai keturunannya di Brunei dan Sabah. Muhammad Thasin al-Banjari meneruskan perantauannya ke Pontianak, Kalimantan Barat memperoleh tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad Yusuf, Muhammad Arsyad dan Abdur Rahman.

Diriwayatkan, bahawa Muhammad Yusuf bin Haji Thasin setelah belajar ilmu-ilmu keislaman secara mendalam, beliau meneruskan usaha akhirnya menjadi saudagar intan. Muhammad Yusuf juga merantau ke seluruh tanah Kalimantan. Selanjutnya Muhammad Yusuf merantau ke Sumatera, hingga beliau meneruskan perantauannya ke luar negeri, iaitu ke Saigon dan Kemboja. Di Kampung Melayu, Kemboja, Muhammad Yusuf berkahwin lagi. Beliau seorang yang berpengalaman dalam perkahwinan. Diriwayatkan, sepanjang hidupnya Muhammad Yusuf pernah berkahwin sebanyak empat puluh kali. Isterinya ke empat puluh yang berasal dari Kemboja itulah yang dibawanya pulang ke Kalimantan Barat. Di Pontianak, Muhammad Yusuf membuka tanah perkebunan getah yang sangat luas. Setelah usahanya menjadi, diberinya nama kampung itu sebagai ``Kampung Saigon''. Akhirnya beliau sendiri terkenal dengan panggilan Yusuf Saigon dan hilanglah nama Banjarnya. Oleh itu ramai orang menyangka Muhammad Yusuf adalah orang Saigon bukan orang Banjar.

INSTITUSI PENDIDIKAN

Kedua-dua anak Muhammad Thasin al-Banjari yang tersebut di atas, iaitu Muhammad Yusuf dan Muhammad Arsyad Pontianak, setelah mereka melihat kesuburan pohon-pohon getah hasil usaha gigih dan susah payah mereka sendiri, bangkitlah kembali cita-cita untuk meneruskan perjuangan moyang mereka, iaitu Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang sangat masyhur itu. Mereka berdua beriktikad, bahawa tiada satu perjuangan pun yang lebih mulia, dapat menyelamatkan seseorang sama ada di dunia mahu pun akhirat, melainkan perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para nabi dan rasul Allah. Bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., nabi dan rasul akhir zaman, tidak syak lagi adalah satu-satunya agama yang wajib diperjuangkan oleh setiap insan Muslim. Urusan mencari dana untuk kepentingan umat Islam ditangani oleh Muhammad Yusuf, sedangkan untuk propaganda dan dakwah dilakukan oleh saudaranya, Muhammad Arsyad.

Cita-cita kedua-dua adik beradik itu dikabulkan oleh Allah, kerana dalam tahun 1925 M. datanglah seorang pemuda yang alim dari Ketapang bernama Abdus Shamad yang mendapat pendidikan di Madrasah Shaulatiyah, Mekah. Salah seorang guru beliau di Madrasah Shaulatiyah, Mekah ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman, yang kemudian dikenali sebagai Syeikhul Islam di Kerajaan Selangor. Abdus Shamad ditampung oleh Muhammad Yusuf Saigon, lalu didirikanlah pondok-pondok tempat tinggal para pelajar, ketika itu berdirilah Pondok Pesantren Saigoniyah yang dianggap sebagai pondok pesantren yang pertama di Kalimantan Barat. Sungguhpun demikian, sebenarnya sistem pendidikannya bukan sistem pondok, kerana ia juga mempunyai bangku-bangku tempat duduk para pelajar. Dikatakan sebagai pondok pesantren yang pertama di Kalimantan Barat hanyalah kerana di Pondok Pesantren Saigoniyah yang pertama sekali terdapat pondok-pondok tempat tinggal para pelajar yang dimodali oleh Muhammad Yusuf Saigon. Ada pun pengajian pondok selain itu ialah Dar al-'Ulum yang diasaskan oleh Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, murid Tok Kenali. Pengajian pondok beliau terletak di Kampung Terusan, Mempawah. Hanya pondok pengajian inilah satu-satunya pondok pengajian tanpa kelas dan tanpa bangku, sistem pendidikannya sama dengan di Patani, Kelantan, Kedah dan Pulau Jawa. Dalam tahun 1975, beberapa orang kader Pondok Pesantren Saigoniyah dan Dar al-'Ulum bergabung, sama-sama mengajar di Pondok Pesantren Al-Fathaanah di Kuala Mempawah. Oleh itu bererti kelanjutan daripada kedua-dua institusi yang tersebut, masih berjalan terus sampai sekarang.

Kader-kader

Pondok Pesantren Saigoniyah banyak mengeluarkan kader-kader yang mengajar di beberapa tempat di Kalimantan Barat tetapi sekarang hampir semuanya telah meninggal dunia. Pondok Pesantren Saigoniyah hilang atau tenggelam namanya akibat perang dunia yang kedua, tentera Jepun sangat ganas di Kalimantan Barat. Setelah Jepun kalah, nama itu tidak muncul lagi, nama baru yang muncul dalam tahun 1977 ialah Madrasah Al-Irsyad. Nama baru ini diberikan bertujuan mengabadikan nama Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan nama keturunan beliau, iaitu Muhammad Arsyad. Beliau adalah satu-satunya ulama yang dihormati di Kampung Saigon ketika itu.

Memandangkan institusi-institusi pendidikan pondok di beberapa tempat di Pulau Jawa mencapai kemajuan, sebaliknya di tempat-tempat yang lain termasuk di Malaysia mengalami kemerosotan, bahkan ada yang hanya dikenang namanya saja, rasanya perlulah insan-insan yang sedar dan insaf berjuang menghidupkannya kembali. Ini kerana sistem pengajian pondok satu ketika dulu diakui oleh ramai pihak sebagai institusi yang mencerdaskan umat Melayu sejagat. Dengan perkembangan dunia yang serba canggih dan moden, institusi pondok perlu canggih dan moden juga. Pondok Pesantren Saigoniyah yang satu ketika dulu pernah terkenal di Kalimantan Barat, bahkan menjadi dipuji oleh masyarakat Banjar di mana saja mereka berada, sekarang telah tiada. Kita mengharapkan pejuang-pejuang pendidikan sistem pondok dunia Melayu tetap berfikir dan berusaha ke arah sesuatu yang hilang akan ada gantinya.
Sebagaimana kita ketahui, Muhammad Yusuf Saigon, yang berperanan dalam pembinaan Pondok Pesantren Saigoniyah, adalah salah seorang keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Perlu juga kita ketahui, dalam zaman yang sama keluarga ini juga menjalankan aktiviti serupa di tempat-tempat lainnya di dunia Melayu, bahkan termasuk juga Mekah. Sebagai contoh Mufti Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari mengasaskan pengajian pondok di Parit Hidayat, Sapat, Inderagiri Hilir, Sumatera. Tuan Husein Kedah al-Banjari mengasaskan beberapa tempat pendidikan sistem pondok di Malaysia. Beliau memulakan aktivitinya di Titi Gajah, Kedah, selanjutnya di Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau Pinang yang dikenali dengan Yayasan Pengajian Islam Madrasah Al-Khairiah.

Selain institusi pendidikan di Pontianak, Kalimantan Barat, Sapat, Inderagiri dan Malaysia sebagaimana yang disebutkan di atas, masih banyak lagi institusi pendidikan keluarga ulama Banjar tersebut di tempat-tempat lain, sama ada di Banjar mahu pun di Pulau Jawa. Di Bangil, Jawa Timur ada pondok pesantren yang diasaskan keluarga ini, seperti Pesantren Datuk Kelampayan. Pondok tersebut diasaskan oleh al-`Alim al-Fadhil Kiyai Haji Muhammad Syarwani Abdan al-Banjari. Datuk Kelampayan adalah gelaran untuk Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari kerana beliau dimakamkan di Kelampayan. Di Dalampagar (Banjar) sekurang-kurangnya terdapat dua buah institusi pendidikan yang diasaskan oleh keluarga ini, demikian pula di Teluk Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Dua buah madrasah di Dalampagar diberi nama Madrasah Sullam Al-'Ulum dan Madrasah Mir'ah ash-Shibyan. Yang di Teluk Selong diberi nama Madrasah Sabil Ar-Rasyad. Yang di Sungai Tuan diberi nama Madrasah Al-Irsyad.

Yayasan yang diasaskan oleh keluarga ulama Banjar tersebut juga terdapat di beberapa tempat, seumpama Yayasan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari. Yayasan terbentuk dalam rangka haul ulama tersebut yang ke 160 kali oleh panitia (jawatan kuasa) pada 30 November 1967, hari kewafatan beliau yang jatuh pada 7 Syawal 1387 H/7 Januari 1968 M, diadakan di Kompleks Kubah Kelampayan, Kalimantan Selatan. Guru agama dalam keluarga ulama Banjar ini bernama Kiyai Haji Muhammad Saman bin Muhammad Saleh (lahir 3 November 1919) yang telah berhasil mengasaskan Yayasan Pendidikan dan Pengembangan Ilmu Makrifatullah wa Makrifatur Rasul Nurul Islam di Banjar dan sejak tahun 1972 telah berhasil mengajar dan berdakwah di negeri Sabah. Ada beberapa orang besar dan tokoh terkemuka di Sabah yang merupakan murid beliau, di antaranya ialah Datuk Mohd Ainal bin Haji Abdul Fattah, PGDK, LLB, MBA (UMS), penyusun buku Dokumentasi Pilihan Raya Ke-11, cetakan pertama tahun 2005 yang lengkap dengan pelbagai gambar. Buku tersebut telah dilancarkan oleh Datuk Seri Abdullah Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat 22 Julai 2005 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC).

PENULISAN

Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin al-Banjari adalah seorang ulama. Beliau juga menyebarkan Islam dengan cara berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Sungguh pun beliau merantau namun sempat juga menghasilkan beberapa buah karangan. Di antaranya yang diberi judul Tajwid Fatihah. Karya beliau pula ialah Tajwid al-Quran, diselesaikan di Pontianak, hari Isnin, 8 Ramadan 1347 H. Cetakan pertama kedua-dua karya tersebut dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 29 Jamadilawal 1348 H. Menurut keterangan anak beliau, Fauzi Arsyad masih ada beberapa buah karangan Muhammad Arsyad, ayahnya itu, di antaranya ialah Ilmu Ushul Fiqh. Dengan sangat disesali saya hanya memperoleh dua judul yang tersebut di atas saja, ketika saya menyusun buku Syeikh Muhd. Arsyad Al-Banjari Matahari Islam (1402 H/1982 M) beliau berjanji akan membongkar kitab-kitab yang ada dalam simpanan untuk mendapatkan semua karangan ayahnya, namun hingga beliau meninggal dunia karangan-karangan yang dimaksudkan gagal diperoleh.
Ilmu Ushul Fiqh termasuk salah satu ilmu yang tidak banyak ditulis dalam bahasa Melayu, Prof. Dr. Hamka menulis, ``Orang pertama menulis Ilmu Ushul Fiqh dalam bahasa Melayu ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah yang diberinya judul Sullamul Ushul Yurqabihi Samma'u Ilmul Ushul, selesai ditulis pukul 6.30 pagi, hari Sabtu, 24 Muharam 1333 H atau 12 Disember 1914 M di Jambatan Besi, Padang Panjang.'' Jika ushul fiqh karya Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin dapat ditemui tentu kita dapat membandingkannya dengan karya ayah atau orang tua Buya Hamka itu. Kemungkinan karya ulama keturunan Banjar itu lebih dulu atau pun jika terkemudian rasanya dalam jarak tahun yang tidak begitu jauh. Kerana kedua-dua ulama yang berasal dari Banjar dan Minangkabau itu menjalankan aktiviti pendidikan, dakwah dan penulisan adalah dalam tahun-tahun yang bersamaan.