ULAMA NUSANTARA

Monday, September 26, 2005

SYEIKH ABDUL HAMID

Berguru di Mekah Tentang Golongan Tajdid
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PADA zaman raja-raja Melayu masih berkuasa, di sekitar Sumatera Utara yang terdiri daripada beberapa kerajaan, seperti Deli, Serdang, Asahan, Binjai, Langkat dan lain-lain, sangat ramai melahirkan para ulama besar yang keilmuan dan kemasyhuran namanya menjangkau ke seluruh dunia Melayu, kerana di antara mereka juga menghasilkan kitab yang sempat beredar dengan luasnya. Di antara ulama-ulama yang berasal dari daerah tersebut seumpama Syeikh Hasanuddin bin Ma'shum @ Syeikh Hasan Ma'shum, Mufti Syeikh Muhammad Isa, Syeikh Abdul Wahhab Rokan, Syeikh Muhammad Zain Nuruddin bin Syeikh Imam Abbas al-Khalidi Batu Bahara Pasir Dahari Inderapura, Mufti Haji Muhammad Nur Langkat, Kadi Haji Muhammad Nur bin Ismail Langkat dan masih ramai lagi.

Di antara sekian ramai ulama yang berasal dari kerajaan-kerajaan tersebut termasuk juga ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini. Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud. Ayah dan datuk neneknya berasal dari Talu, Minangkabau. Abdul Hamid dilahirkan di Tanjung Balai Asahan tahun 1298 H/1880 M. Wafat pada hari Khamis, petang Jumaat pada 10 Rabiulakhir 1370 H/18 Februari 1951 M.

Murid-murid para ulama yang tersebutlah yang mengasaskan Jam'iyatul Washliyah, iaitu sebuah organisasi Islam yang ditubuhkan di Sumatera Utara. Jam'iyatul Washliyah berfahaman mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah pada pegangan akidah, Mazhab Syafie dalam fikah. Jam'iyatul Washliyah dalam pegangannya banyak persamaan dengan Persatuan Tarbiyah Islamiyah (PERTI) yang diasaskan oleh para ulama Sumatera Barat (Minangkabau). Para ulama pengasas PERTI bersahabat dengan para ulama Sumatera Utara yang tersebut di atas kerana seperguruan di Mekah, termasuk juga Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan.
Perlu juga saya sentuh di sini, bahawa para ulama Sumatera Utara termasuk juga Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan dan para ulama yang bergabung dalam PERTI sangat menentang golongan tajdid/reformis, fahaman yang tidak mengikut mazhab itu dibawa ke dunia Melayu terutama di Minangkabau oleh sahabat-sahabat mereka juga. Di antara tokoh tajdid di Minangkabau ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah (ayah Prof. Dr. Hamka). Beliau mendapat tentangan hebat daripada sahabatnya, Syeikh Hasan Ma'shum sahabat Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan. Guru mereka, Syeikh Ahmad al-Fathani ketika itu telah meninggal dunia, tetapi Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi ketika itu masih hidup. Dalam peristiwa polemik antara Dr. Haji Abdul Karim Amrullah dengan Syeikh Hasan Ma'shum, ternyata Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi membenarkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Syeikh Hasan Ma'shum. Dalam satu tulisan Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi mengakui bahawa kedua-dua ulama yang seorang berasal dari Minangkabau dan yang seorang lagi berasal dari Deli itu adalah sama-sama murid beliau. Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi dalam tulisannya menyatakan juga bahawa anak beliau Haji Abdul Karim Amrullah beranggapan bahawa orang lain tidak pernah faham dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiyah, padahal menurut Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, para ulama telah meneliti beberapa karangan Ibnu Taimiyah, ternyata terdapat kelemahan-kelemahan, maka ramai golongan ulama Syafi`iyah dan ulama-ulama lainnya menolak hujah-hujah Ibnu Taimiyah itu.

PENDIDIKAN

Sejak kecil beliau belajar kepada saudara iparnya bernama Haji Zainuddin, Kadi Asahan. Sesudah itu beliau memperdalam pelbagai ilmu kepada Syeikh Hasyim Tua dan selanjutnya belajar kepada seorang ulama yang paling terkenal di Asahan ketika itu, beliau ialah Syeikh Muhammad Isa, Mufti Kerajaan Asahan di Tanjung Balai Asahan. Setelah beberapa tahun belajar kepada Syeikh Muhammad Isa, beliau menganjurkan supaya Abdul Hamid melanjutkan pelajarannya ke Mekah kerana pada firasatnya Abdul Hamid merupakan bumi yang subur untuk persemaian ilmu-ilmu yang ada pada para ulama. Ketika sampai di Mekah, beliau terus diterima belajar dalam halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani, tetapi hanya sekitar dua tahun saja kerana Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia (1325 H/1908 M). Suasana sedih menyelubungi sekujur tubuh, zahir dan batinnya, kerana walaupun bergaul hanya sekitar dua tahun, namun rasa kasih sayang terhadap Syeikh Ahmad al-Fathani adalah sebati dan mesra ke jiwa rohaninya.

Walaupun perasaan sedih sangat sukar dihilangkan, namun Abdul Hamid tiada kehilangan pedoman. Beliau terus memasuki halaqah pengajian beberapa ulama, di antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau, Syeikh Muhammad bin Ismail @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani @ Tok Cik Wan Daud al-Fathani, dan ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu lainnya. Abdul Hamid juga belajar kepada beberapa ulama Arab, di antaranya ialah Sayid Abdullah az-Zawawi. Pembelajarannya terganggu disebabkan terjadi perang dunia pertama (1914 M - 1918 M). Abdul Hamid terpaksa pulang ke tanah kelahirannya Tanjung Balai Asahan.
Kemungkinan Abdul Hamid Asahan turun dari Mekah bersama gurunya Sayid Abdullah az-Zawawi dalam peristiwa diburu oleh pihak yang mengikut pegangan Muhammad bin Abdul Wahhab, bahawa Mufti Mekah Sayid Abdullah az-Zawawi bersama muridnya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Sayid Abdullah az-Zawawi seterusnya ke Riau dan terakhir sekali dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak. Di antara ulama yang seangkatan dengan Abdul Hamid Asahan (lahir 1298 H/1880 M) ketika belajar di Mekah ialah Haji Muhammad Nur bin Ismail (lahir 1296 H/1879 M), Kadi Langkat yang lebih tua sekitar lebih setahun saja daripada beliau. Syeikh Muhammad Zain Nuruddin bin Syeikh Abbas al-Khalidi Batu Bahara Pasir Dahari Inderapura juga seangkatan dengan Abdul Hamid Asahan tetapi Syeikh Muhammad Zain Nuruddin tidak sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, kerana sewaktu beliau sampai ke Mekah Syeikh Ahmad al-Fathani telah meninggal dunia.

Selain seangkatan dengan kedua-dua orang ulama tersebut, Abdul Hamid Asahan juga seangkatan dengan beberapa ulama dunia Melayu yang berperanan di negeri-negeri kelahiran mereka atau di tempat-tempat lain yang ditujunya. Mereka ialah; Abu Bakar bin Hasan al-Muari (lahir 1292 H/1875 M), Syeikh Muhammad Said bin Syeikh Jamaluddin Linggi (lahir 1292 H/1875 M), Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani (lahir 1293 H/1876 M), Ismail bin Abdul Majid (lahir 1293 H/1876 M, Umar bin Cik Ahmad Besut, Terengganu (lahir 1295 H/1878 M) dan masih ramai lagi.

AKTIVITI DI ASAHAN

Sekitar dua tahun selepas perang dunia pertama, tepatnya pada tahun 1916 M, Syeikh Abdul Hamid dan kawan-kawan mengasaskan Madrasah 'Ulumil 'Arabiyah, sekali gus beliau adalah sebagai mudirnya yang pertama.

Dari sehari ke sehari nama Abdul Hamid tambah masyhur dalam kerajaan Asahan, bahkan seluruh Sumatera Timur. Dalam tahun 1930 M Abdul Hamid dikirim oleh kerajaan Asahan mengunjungi Mekah dan Mesir. Di Mekah, Abdul Hamid mendapat kehormatan sebagai anggota pemeriksa Ma'ahad Su'udiyah, sebuah sekolah tinggi di kerajaan Saudi pada zaman itu.
Madrasah Ulumil Arabiyah adalah termasuk pusat pendidikan Islam penting di Asahan, bahkan termasuk di antara madrasah yang terkenal di Sumatera Utara yang seganding dengan Madrasah Islam Stabat, Langkat, Madrasah Islam Binjai, Madrasah al-Hasaniyah Medan dan lain-lain. Sangat ramai ulama besar Sumatera Utara yang belajar di madrasah-madrasah tersebut, di antara mereka yang sangat terkenal seperti Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis (lahir Ramadan 1326 H/Oktober 1908 M, wafat 25 Jamadilawal 1392 H/6 Julai 1972 M). Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis melibatkan diri dalam banyak aktiviti, di antaranya sebagai seorang pendidik mulai daripada golongan rendah sampai yang tertinggi, menghasilkan banyak karangan dalam pelbagai bidang ilmu, tokoh yang mampu berdialog/berdebat dengan pihak Kristian dan banyak lagi. Ulama besar dan tokoh ini belajar di Madrasah Ulumil Arabiyah yang diasaskan oleh Abdul Hamid Asahan tersebut dalam tahun 1923 M - 1924 M. Dipercayai beberapa orang ulama Sumatera Utara terkenal yang seangkatan dengan Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis juga pernah belajar kepada Abdul Hamid Asahan. Di antara mereka seperti; Zainal Arifin Abbas, Al-Ustaz Abdul Halim Hasan, Abdul Rahim Haitami dan lain-lain.

PENULISAN

Menjelang perang dunia kedua, sekitar tahun 1930an, Abdul Hamid menyelesaikan beberapa buah karangan, yang dapat diketahui ialah:
1. Ad-Durusul Khulasiyah,
pernah dicetak di Mekah.
2. Al-Mathalibul Jamaliyah,
pernah dicetak di Mekah.
3. Al-Mamlakul `Arabiyah.
4. Nujumul Ihtiba.
5. Tamyizut Taqlidi minal Ittiba.
6. Al-Ittiba.
7. Al-Mufradat.
8. Mi'rajun Nabi.

Oleh sebab semua karangan beliau yang tersebut di atas belum saya miliki, maka data lengkap belum dapat diperkenalkan dalam artikel ini. Selain mengarang kitab, Abdul Hamid juga pernah menerbitkan majalah bahasa Arab dan Melayu yang diberi judul Majallah `Ulumil Islamiyah. Majalah ini tidak berumur panjang, hanya dua kali terbitan dalam tahun 1939 M. Di dalamnya terdapat tulisan-tulisan Syeikh Mustafa al-Maghari, Syeikhul Azhar, Mesir, Syeikh Abdul Quddus, guru Madrasah Ulumis Syar'iyah Madinah.

Saya berkesimpulan bahawa Abdul Hamid Asahan termasuk salah seorang ulama besar Sumatera Utara, walaupun ilmu beliau dalam pelbagai bidang namun tetap bertahan dalam golongan Ahlus Sunnah wal Jama'ah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dalam pegangan akidah, pengikut yang setia kepada Mazhab Syafie dalam fikah dan dalam ajaran tasawuf berpegang dengan imam-imamnya yang muktabar seperti Syeikh Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali dan lain-lain. Pemikiran tokoh tajdid/ reformis dalam karya-karya mereka sebagai perbandingan bukan menjadi satu pegangan asas akidah dan amalan.

TUAN MINAL AL-FATHANI

Karangannya Rujukan Ulama Melayu
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MERUJUK kepada judul di atas, ulama yang menjalankan aktiviti terakhirnya di Sungai Dua, Seberang Perai ini terkenal di seluruh dunia Melayu sekurang-kurangnya kerana dua buah karyanya, ialah Kasyaful Litsam dan Aqidatun Najin. Terdahulu daripada ini, mengenai beliau pernah saya tulis dalam Jurnal Dewan Bahasa, Februari 1991 dan majalah Dakwah. Kerana banyak penemuan terkini maka dirasakan perlu ditulis kembali. Tuan Minal adalah gelarannya. Nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Zainal Abidin bin Wan Muhammad al-Fathani bin Wan Muhammad Dahan bin Wan Syamsuddin bin Wan Ja'far bin Wan Husein bin Ali. Pertikaian pendapat, salasilah yang lain menyebut Wan Muhammad Dahan Syeikh Wan Muhammad Muhyiddin bin Syeikh Yahya bin Syeikh Ibrahim Hadhrami.

PENDIDIKAN

Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani diceritakan asal usulnya dari Kampung Anak Ru Patani, mendapat pendidikan dimulai daripada orang tuanya di kampung halaman sendiri. Pernah memasuki Pondok Bendang Daya Patani dan sempat berguru kepada pengasas pertamanya, iaitu Syeikh Haji Wan Mustafa bin Muhammad al-Fathani. Sahabat-sahabatnya di antaranya Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (ayah Syeikh Ahmad al-Fathani), Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya ke-2), Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Jamaluddin Negeri Sembilan, Haji Abdus Samad Kelumbung dan ramai lagi.

Belajar

Guru beliau yang lain ialah Syeikh Abdur Rasyid al-Fathani, iaitu Abdur Rasyid Keramat Pulau Bidan. Di dalam kitab Miftah ash-Shibyan oleh Syeikh Muhammad Nuruddin bin Syeikh Abbas al-Khalidi, Batu Bahara, Pasir Dahari, Inderapura, diriwayatkan bahawa Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani belajar ilmu usuluddin kepada Syeikh Muhammad Thaiyib bin Mas'ud al-Banjari al-Qad-hi (Kedah). Syeikh Muhammad Thaiyib al-Banjari al-Qad-hi mempelajari ilmu yang sama daripada Syeikh Ali al-Qad-hi (Kedah). Sanad beliau sampai kepada dua imam besar Ahlus Sunnah wal Jama'ah, iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

Untuk membolehkan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani diakui sebagai seorang ulama besar dan digelar dengan Al-'Alim al-Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin adalah beliau mendapat pendidikan terakhir ialah di Mekah. Di antara gurunya di Mekah termasuk Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

KEPERIBADIAN

Gelaran keilmuan yang diperolehnya ialah Al-'Alim al-'Allamah al- Mudaqqiq al-Fahamah Sirajuddin. Sirajuddin yang bererti `Lampu Agama' adalah tidak diragukan. Kalau Kasyful Litsam merupakan karya beliau yang terbesar bahkan merupakan kitab fikah yang membicarakan furuk-furuk fikah yang paling lengkap dalam bahasa Melayu, maka daripada bidang usuluddin pula karya beliau, `Aqidatun Najin merupakan yang kedua besar sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Selain digelar dengan Sirajuddin, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani digelar juga dengan al-Alim atau lebih tinggi daripada sebutan itu ditambah lagi dengan gelar al-'Allamah. Ditambah lagi dengan `al-Mudaqqiq', yang bermaksud seorang yang sangat teliti. Ditambah lagi dengan `al-Fahamah', yang bermaksud mempunyai kefahaman tentang keIslaman terutama dalam fikah.
Digelar pula dengan Tuan Minal. Ada sebab maka beliau digelar Tuan Minal, ada beberapa orang penulis menyebut ia berasal daripada singkatan nama beliau Zainal. Pendapat ini jauh daripada kesahihan, kerana hampir semua Tok Guru pondok di Patani yang pernah penulis temui di sekitar tahun 1970an meriwayatkan lain. Tuan Minal berasal daripada serangkaian peristiwa yang pernah berlaku kepada beliau iaitu apabila beliau merasa marah dan gusar kepada murid-muridnya, beliau sering membaca surah An-Nas. Apabila sampai kepada ayat ``Minal jinnati wan nas'' beliau mengeraskan tekanan suaranya. Semakin kuat perasaan marah menyerang perasaannya beliau lebih keras menekan suaranya apabila sampai kepada ayat itu. Walau bagaimanapun marahnya hanyalah diketahui dengan kelakuan demikian, sedangkan air mukanya tetap menampakkan kelembutan dan ramah tamah seolah-olah beliau tidak marah.
Beliau adalah seorang ulama yang tidak pernah bermasam muka atau memperlihatkan gejolak emosi tinggi yang tidak terkawal. Hal ini adalah suatu corak yang mencerminkan bahawa Syeikh Zainal Abidin al-Fathani seorang ulama yang mendalami pengetahuan tasawuf serta mempraktikkannya sekali.

AKTIVITI

Setelah pulang dari Mekah, Syeikh Zainal Abidin al-Fathani terus mengasaskan sebuah pusat pengajian sistem pondok di suatu kampung dalam negeri Patani. Ada orang meriwayatkan pondok pengajian yang diasaskannya terletak di Bendang Badang, Patani. Setelah pondok yang diasaskannya kukuh, beliau berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai dan menangani pondok pengajian yang diasaskan oleh Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani.

Berhijrah

Ada orang meriwayatkan bahawa beliau mulai membuka pondok pengajian di Sungai Dua, Seberang Perai pada tahun 1292 H/1875 M. Penulis ragu dengan tahun 1292 H/1875 M tersebut kerana tahun 1304 H/1887 M Syeikh Zainal Abidin al-Fathani masih berada di Patani dan belum berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai.

Walau bagaimanapun penulis yakin bahawa beliau berhijrah ke Sungai Dua, Seberang Perai sebelum tahun 1900 M lagi. Ataupun barangkali kedua-dua pengajian pondok di Patani dan di Sungai Dua, Seberang Perai itu dibuka secara serentak dalam tahun yang sama. Kemungkinan Syeikh Zainal Abidin al-Fathani berulang alik mengajar di kedua-dua pengajian itu. Atau pun kemungkinan sewaktu beliau kembali ke Patani pengajian pondok yang terletak di Sungai Dua, Seberang Perai itu ditangani oleh sahabatnya, Haji Abdus Samad Kelumbung al-Fathani. Beliau ini berasal dari Paya Bemban Jeringo, Teluk Manuk, dalam Wilayah Menara. Syeikh Zainal Abidin al-Fathani dan Haji Abdus Samad Kelumbung kedua-duanya meninggal dunia di Sungai Dua, Seberang Perai. Tahun wafat kedua-duanya masih belum diketahui dengan pasti.

PENULISAN

Jika kita teliti semua karya Tuan Minal memang banyak terdapat perkara-perkara yang penting sama ada bersumber dari al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias dengan penafsiran-penafsiran dan perbandingan-perbandingan mahu pun berupa pendapat beliau yang disimpulkan daripada pengetahuan beliau yang luas dan pembacaannya yang banyak. Karya-karya Tuan Minal ialah:
1. Kasyful Ghaibiyah fi Ahwali Yaumil Qiyamah, 1301 H/1883M. Kandungannya membicarakan mulai kejadian alam seluruhnya, tanda-tanda kiamat dan peristiwa dahsyat kejadian Hari Kiamat. Cetakan pertama Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1302 H. Ditashhih dan diusahakan penerbitannya oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Cetakan Matba'ah at-Taraqqil Majidiyah `Utsmaniyah, Mekah, 1332 H/1913 M, diusahakan oleh anak beliau, Syeikh Muhammad Saleh al-Fathani dengan tashhih Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
2.Kasyful Litsam `an As-ilatil Anam, diselesaikan pada tahun 1307 H/1889 M. Kitab ini dijadikan penonjolan nama Tuan Minal seperti tersebut pada judul artikel ini. Tentangnya sudah cukup jelas dimuat dalam Jurnal Dewan Bahasa, Februari 1991.
3. `Aqidatun Najin fi `Ilmi Ushuliddin diselesaikan pada hari Sabtu, Jamadilakhir tahun 1308 H/1890 M. Kitab ini bukan hanya setakat untuk rujukan tetapi masih banyak diajar di surau-surau dan di masjid-masjid bahkan di beberapa pondok di seluruh dunia Melayu. Sebagaimana telah tersebut bahawa kitab ini yang kedua besar tentang akidah dalam bahasa Melayu sesudah Warduz Zawahir karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetapi adalah yang pertama besar yang masih beredar di pasaran dan yang diajarkan. Cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1319 H/1901 M, ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
4. Irsyadul `Ibad ila Sabilil Rasyad, tanpa tarikh. Pernah dicetak dalam beberapa edisi, iaitu Matba'ah al-Miriyah, Mekah, Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutubal `Arabiyah, Mesir, Matba'ah Al-Ahmadiyah, Singapura, Persama Press, Pulau Pinang dan lain-lain.
5.Tabassumusy Syaribin, dicetak oleh Al-Ahmadiyah Press, Singapura yang dikombinasikan dengan cetakan Irsyadul `Ibad.
6. Miftahul Murid fi `Ilmit Tauhid, tanpa tarikh, cetakan pertama Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Makkah 1330 H. Cetakan pertama Pulau Pinang, 1373H/1954M. Kitab ini dicetak kombinasi dengan karya anak beliau, Syeikh Umar, judulnya Risalah Pada Menyata- kan Sebab Jadi Murtad.
7.Sembahyang Jumaat, nombor kelas MS 111, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.
8.Tahqiqul Kalam fi Bayani Ibtidais Shiyam, nombor kelas MS 112, Koleksi Pusat Manuskrip Perpustakaan Negara Malaysia. Naskhah tidak lengkap, hanya enam muka surat. Belum pernah diterbitkan.

PENYAMBUNG AKTIVITI

Semua anak Tuan Minal sempat menerima pendidikan langsung daripada Tuan Minal sendiri, sama ada menetap di Pondok Patani mahupun di Pondok Sungai Dua, Seberang Perai. Mereka merupakan ka-der-kader pendidik dan pendakwah langsung daripada ayahnya sendiri. Ada pun anak-anak Tuan Minal adalah sebagai yang berikut di bawah:
1. Al-'Alim al-'Allamah Haji Daud.
2. Al-'Alim al-'Allamah Haji `Abdul Qadir.
3. Al-'Alim al-'Allamah Haji Muhammad Saleh.
4. Al-'Alim al-'Allamah Haji Umar.
5. Al-'Alim al-'Allamah Haji Hasan.
6. Hajah Fatmah.

Empat orang anak Tuan Minal yang tersebut di atas adalah ulama, tiga orang di antara mereka menghasilkan karangan. Syeikh Muhammad Saleh karyanya berjudul Risalah Yang Kecil Pada Bicarakan Ilmu Tajwid Al-Quran dan Sirajul Qari. Haji Umar, karya beliau ialah Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad. Karya Haji Hasan bin Tuan Minal yang telah diketahui ialah Pungutan Kanak-Kanak.

Keturunan Tuan Minal ramai di Malaysia, Patani dan Mekah. Haji Abdul Qadir pernah berkahwin dengan anak seorang hartawan Muar yang bernama Shafiyah @ Mik Muar. Memperoleh tujuh orang anak. Ramai keturunannya di Patani dan Kelantan, walau bagaimana pun keluarga di Muar terputus kerana tidak terdapat alamat yang jelas. Haji Abdul Qadir adalah ayah Haji Sulung, ulama dan pejuang Patani yang sangat terkenal, tetapi ibunya bukan Mik Muar. Shafiyah @ Mik Muar itu adalah ibu tiri kepada Haji Sulung.

Sunday, September 25, 2005

SYEIKH JALALUDDIN AL-KALATANI

Perintis Pengajian Pondok Seberang Perai
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

MAKLUMAT sebelum ini diriwayatkan bahawa dua orang ulama telah membuka pondok pengajian di Sungai Dua, Seberang Perai. Kedua dua ulama itu ialah Syeikh Abdus Shamad bin Abdul Malik Kelombong berasal dari Jeringa, Patani dan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, atau digelar dengan Tuan Minal. Penyelidikan terkini didapati bahawa sebelum kedatangan kedua-dua ulama itu yang membuka pondok pengajian di Sungai Dua, Seberang Perai itu ialah seorang ulama berasal dari Kelantan. Beliau ialah Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani.

Selanjutnya sama ada pertalian nasab ke atas mahu pun keturunan ke bawah Syeikh Jalaluddin al-Kalantani menyentuh kekeluargaan besar para ulama terkenal. Di antara ulama yang ada hubungan kekeluargaan itu ialah Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman bin Abdul Ghafur al-Kalantani, Syeikh Abdus Shamad Kelombong, Tuan Minal al-Fathani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani, Haji Abdullah Fahim, Syeikh Usman Jalaluddin Penanti, Tuan Guru Haji Zakaria, Kampung Rambai, Tokai, Kedah dan ramai lagi. Artikel ini menyentuh perhubungan kekeluargaan para ulama tersebut, yang merupakan satu penyelidikan dan pengenalan ringkas peringkat awal.

Riwayat Penyelidikan

Sejak tahun 1962 penulis mendapat informasi bahawa Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, Pengarang kitab al-Jauhar al-Mauhub dan Lum'atul Aurad mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kebanyakan ulama di Pulau Pinang. Tahun 1970 penulis cuba melakukan penyelidikan di Pondok Syeikh Usman Jalaluddin Penanti, menemui anak beliau bernama Haji Saleh. Tahun 1989 di pondok yang sama, penulis dua kali menemui menantu ulama tersebut, beliau ialah Tuan Guru Haji Abdul Wahhab. Beliau adalah murid kepada Tuan Guru Haji Wan Ibrahim bin Abdul Qadir al-Fathani (Pak Cu Him), Gajah Mati, Kedah. Penyelidikan di pondok tersebut tidak banyak memperoleh maklumat.

Maklumat terbanyak diperoleh ialah pukul 10.00 malam Sabtu, 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi hingga pukul 11.35 malam Ahad, tarikh 6 Rejab 1425 Hijrah/22 Ogos 2004 Masihi. Selain wawancara terhadap beberapa orang, yang berupa bahan bertulis ialah;
1. Salinan surat jual beli rumah di Mekah milik Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Gha-fur al-Jawi al-Kalantani, bertarikh 23 Safar 1281 Hijrah.
2. Salasilah Zuriat Allahyarham Hj. Muhammad Yusya' dan Allahyarham Hj. Tahir susunan Yahaya bin Haji Awang
3. Salasilah Awang Kecik Setol susunan Haji Ismail, penulis peroleh melalui Cikgu Mustafa bin Hj. Hasein bin Hj. Tahir, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Nama lengkap ulama yang diriwayatkan ini ialah Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' bin Abdul Ghafur al-Jawi al-Kalantani. Syeikh Jalaluddin al-Kalantani kemungkinan adalah saudara sepupu Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman bin Abdul Ghafur al-Kalantani. Mengenai ini berdasarkan nama datuk kedua-keduanya adalah Abdul Ghafur al-Kalantani yang termaktub dalam surat jual beli rumah di Mekah seperti tersebut di atas. Selanjutnya berdasarkan cerita yang mutawatir dapat dipastikan bahawa antara Syeikh Jalaluddin al-Jawi al-Kalantani dan Syeikh Wan Ali al-Kalantani memang ada pertalian keluarga yang sangat dekat. Oleh itu, boleh dipastikan kedua-duanya adalah saudara sepupu.

Daripada surat jual beli rumah di Mekah di atas dapat diketahui beberapa orang ulama yang sezaman dengan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani. Sebagai wakil Syeikh Jalaluddin al-Kalantani dalam urusan jual beli rumah di Mekah itu, seorang ulama besar yang sangat terkenal, iaitu Sayid Umar asy-Syami al-Baqa'ie bin Sayid Muhammad Barakat al-Baqa'ie. Belum jelas hubungan antara Syeikh Jalaluddin al-Kalantani dengan Sayid Umar asy-Syami al-Baqa'ie itu, apakah kedua-duanya bersahabat atau Syeikh Jalaluddin al-Kalantani sebagai murid ulama yang sangat masyhur itu. Yang sudah pasti Sayid Umar asy-Syami al-Baqa'ie yang hidup antara dalam lingkungan tarikh lahir 1245 Hijrah/1829 Masihi dan wafat di Mekah, 18 Syawal 1313 Hijrah/2 April 1896 Masihi adalah guru kepada ramai ulama, di antaranya ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Surat jual beli di atas ditandatangani oleh ramai orang, hanya seorang ulama dunia Melayu yang turut menandatanganinya sebagai saksi, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (Pengarang kitab Mathla' al-Badrain, yang terkenal), ketika menandatangani surat itu disebut sebagai al-Hakim Syari'ie. Syeikh Jalaluddin al-Kalantani umurnya diperkirakan lebih tua sedikit daripada Syeikh Wan Ali al-Kalantani dan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani.

Syeikh Jalaluddin al-Kalantani pada mulanya tinggal di Mekah, memperoleh kewarganegaraan Turki Usmaniyah pada 10 Jamadilawal 1299 Hijrah. Selanjutnya pulang ke tanah Jawi menyebarkan agama Islam di beberapa kampung di Pendang, di antaranya Kampung Tobiak, Guar Kepayang dan lain-lain. Setelah itu Syeikh Jalaluddin al-Kalantani pergi ke Sungai Dua, Seberang Perai. Sewaktu beliau berangkat ke Mekah untuk melanjutkan pelajaran tiga orang anaknya, pada waktu itulah beliau menyerahkan pusat pendidikan pondok itu kepada Haji Abdus Shamad bin Abdul Malik Kelombong al-Fathani. Haji Abdus Shamad mengajak sahabatnya, Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad (Tuan Minal) al-Fathani membina pengajian itu, selanjutnya berkembang dengan sangat pesat. Tuan Minal al-Fathani termasuk ulama besar yang sangat terkenal di dunia Melayu kerana beberapa buah karangannya, di antaranya ialah Kasyful Litsam, `Aqidatun Najin dan lain-lain.

Tiga orang anak Syeikh Jalaluddin al-Kalantani setelah ketiga-tiganya menjadi ulama, membuka perkampungan baru dan institusi pengajian pondok yang baru pula. Mereka ialah Haji Zakaria tatap di Pondok Pematang Sungai Dua, Haji Muhammad Saleh membuka Pondok Kampung Setol dan Haji Abdullah membuka Pondok Pematang Buluh. Jarak ketiga-tiga pondok pengajian berdekatan, semuanya dalam kawasan Serang Perai.

Kekeluargaan

Abdul Ghafur al-Kalantani mempunyai beberapa orang anak, di antaranya ialah Muhammad Yusya' dan Abdur Rahman. Syeikh Muhammad Yusya' memperoleh tiga orang anak, ialah Haji Mustafa, Hajah Sarahi dan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani.
Haji Mustafa bin Muhammad Yusya' al-Kalantani menurut riwayat beliau adalah salah seorang yang membuka perkampungan Sabak Bernam. Beliau memperoleh tiga orang anak iaitu; Haji Abdur Rahman, Hajah Fatimah dan Hajah Zubaidah. Hajah Sarahi binti Muhammad Yusya' al-Kalantani kahwin dengan Haji Muhammad Arsyad memperoleh tiga orang anak. Salah seorang di antaranya bernama Hajah Khatijah (Tok Itam) berkahwin dengan Haji Abdus Shamad bin Abdul Malik. Beliau memperoleh anak di antaranya Syeikh Abdullah Shamad al-Filfulani (ulama di Mekah) dan Haji Syahabuddin (Tok Ayah). Salah seorang anak Haji Syahabuddin yang perempuan bernama Hajah Habibah yang berkahwin dengan Tuan Guru Haji Ahmad, Sungai Petai, Perak. Memperoleh anak Datuk Haji Hasan Haji Ahmad (Mufti Pulau Pinang sekarang), Prof. Madya Saleh Haji Ahmad (Pensyarah di Universiti Malaya), dan lain-lain.

Syeikh Jalaluddin bin Muhammad Yusya' al-Kalantani kahwin dengan Hajah Sara binti Haji Muhammad Tahir al-Fathani. Hajah Sara adalah adik-beradik dengan Haji Ibrahim (Pak Him). Haji Ibrahim (Pak Him) ini ialah ayah kepada Mufti Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang, iaitu datuk kepada Datuk Seri Abdullah Badawi Perdana Menteri Malaysia) dan Haji Tahir (Kadi Pulau Pinang, di Balik Pulau).

Perkahwinan Syeikh Jalaluddin al-Kalantani dengan Hajah Sara binti Haji Muhammad Tahir al-Fathani memperoleh tiga orang anak, ketiga-tiganya adalah ulama. Mereka ialah Haji Zakaria, Haji Muhammad Saleh, Haji Abdullah. Haji Zakaria bin Jalaluddin al-Kalantani kahwin dengan Rabi'ah binti Lebai Din, memperoleh tujuh orang anak, di antaranya Arsyad, Arsyad memperoleh anak bernama Haji Ja'afar, tok guru di Pondok Padang Lalang. Anaknya yang kedua ialah Hajah Asma kahwin dengan Haji Awang, anaknya bernama Haji Yahaya (dari beliau saya peroleh silsilah keluarga ini, pada malam Sabtu, 5 Rejab 1425 Hijrah/21 Ogos 2004 Masihi, sebagai pelengkap maklumat yang telah saya miliki sejak tahun 1962 dari Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani, dll).

Haji Muhammad Saleh bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani, memperoleh tujuh orang anak, enam orang di antaranya tinggal di Mekah. Anaknya bernama Hajah Sara kahwin dengan Syeikh Usman Jalaluddin Penanti, seorang ulama besar yang terkenal serta pengasas pusat Pondok Pengajian Manabi'ul `Ulum, Penanti, Bukit Mertajam.

Haji Abdullah bin Syeikh Jalaluddin al-Kalantani berkahwin dengan Wan Maimunah binti Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani (ulama ini adalah Kader Syeikh Ahmad al-Fathani, khusus dalam bidang pentashhihan kitab). Beliau juga memperoleh tujuh orang anak, salah seorang di antaranya bernama Hajah Sa'diyah. Hajah Sa'diyah berkahwin pertama kali dengan Haji Abdul Hamid, anaknya bernama Nik Abdur Rasyid. Perkahwinan kedua dengan salah seorang keluarga ulama yang berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat, iaitu Haji Ali bin Muhammad Nur. Perkahwinan tersebut memperoleh empat orang anak, salah seorang di antaranya ialah Aisyah. Beliau inilah yang memandikan dan mengkapankan Hajah Kailan binti Haji Hasan, ibu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri Malaysia), ketika meninggal dunia.

Penutup

Untuk mengakhiri artikel ini, di bawah ini penulis petik tulisan Haji Yahaya bin Haji Awang, pada bahagian bawah silsilah keluarga ini, katanya, ``Saya berharap semua zuriat Allahyarham Haji Muhammad Yusya' dan Allahyarham Haji Tahir merendangkan susur galur zuriat masing-masing dengan berpandukan asas salasilah yang tercatat dalam buku ini. Saya yakin Allahyarham Haji Muhammad Yusya' dan Allahyarham Haji Tahir mempunyai hubungan darah keluarga selain daripada menjadi besan. Adalah menjadi amalan generasi zaman dahulu mengambil sanak saudara untuk menjadi menantu mereka.''

Sebagai tambahan, penulis berpendapat bahawa setiap keluarga yang besar adalah terdiri daripada golongan ulama, yang berpangkat, yang kaya, yang miskin dan sebagainya. Tugas ulama adalah yang paling berat kerana mereka wajib memberi pengenalan Islam, agamanya kepada semua golongan keluarga besarnya. Golongan berpangkat dan kaya perlulah menyelamatkan keluarga besarnya daripada kemiskinan dan kehinaan supaya sampai pada tahap mudah melakukan ibadah yang diredhai Allah s.w.t.

HAJI MUHAMMAD NUR

Kadi Kerajaan Langkat
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DALAM Persidangan Antarabangsa Melayu Kedua, 15 - 20 Ogos 1989, saya diberikan kepercayaan oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, menulis nota biografi beberapa orang ulama dunia Melayu untuk dipamerkan dalam persidangan itu. Dari sekian ramai pengunjung pameran salah seorang di antaranya ialah seorang pemuda, cucu ulama yang dibicarakan ini. Pemuda ini telah menyerahkan kepada saya riwayat hidup ulama ini serta beberapa buah gambar yang dianggap penting.

Paparan riwayat ulama yang dibicarakan ini adalah merupakan gabungan catatan tahun 1989 dan karangan yang diserahkan kepada saya bulan Julai 2004. Pemuda tersebut bernama Shahrir bin Mohd Kamil bin Haji Muhammad Nur Ismail. Kepadanya diucapkan ribuan terima kasih.

Apabila kita membicarakan ulama Langkat maka terlebih dulu perlu dicatat bahawa pada zaman yang sama ada dua orang ulama bernama Muhammad Nur Langkat. Yang seorang sebagai Mufti Kerajaan Langkat dan yang seorang menjadi Kadi Kerajaan Langkat. Kedua-duanya adalah ulama besar dan seperguruan di Mekah. Yang diriwayatkan dalam artikel ini ialah yang menjadi kadi.

Nama lengkapnya ialah Haji Muhammad Nur bin Haji Ismail. Ayah dan ibunya berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat. Haji Muhammad Nur juga lahir di Minangkabau dalam tahun 1296 H/1879 M. Beliau meninggal dunia di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada hari Rabu, 18 Zulhijjah 1362 H/15 Disember 1943 M, dalam usia 65 tahun. Dikebumikan di Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur.

Haji Muhammad Nur mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri Ismail al-Minankabawi. Ayahnya itu adalah termasuk salah seorang pembesar di Kerajaan Langkat. Setelah banyak memperoleh ilmu dari ayah dan ulama-ulama di Langkat, Haji Muhammad Nur dihantar ke Mekah untuk lebih mendalami pelbagai bidang ilmu. Haji Muhammad Nur belajar di Mekah sekitar 10 tahun. Walau pun, para ulama yang menjadi gurunya telah banyak kali saya sebut dalam tulisan-tulisan yang terdahulu. Di sini, saya kekalkan kerana ditulis oleh Shahrir bin Mohd Kamil, cucu Haji Muhammad Nur dari hasil penyelidikannya. Ulama-ulama yang disebut oleh Shahrir bin Mohd Kamil guru kepada datuknya itu ialah Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan Syeikh Usman Sarawak.
Setelah menyebut barisan ulama yang berasal dari dunia Melayu, Shahrir bin Mohd Kamil menyebut pula para ulama Arab yang pernah menjadi guru kepada Haji Muhammad Nur Langkat, mereka ialah Syeikh Muhammad Said Babshail (Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin Yusuf Khaiyath, Syeikh `Umar Bajunid dan Syeikh Muhammad Sa'id al-Yamani.

Amalan

Haji Muhammad Nur Langkat ketika di Mekah juga menerima amalan Tarekat Naqshabandiah. Diriwayatkan juga bahawa sejak berada di Mekah hingga ke akhir hayatnya, Haji Muhammad Nur Langkat berkekalan mengamalkan selawat dan seluruh wirid yang termaktub dalam Lum'atul Aurad karya Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani.
Shahrir bin Mohd Kamil juga menyebut nama para sahabat Syeikh Muhammad Nur bin Ismail Langkat ketika di Mekah ialah; Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Hasan Maksum Deli, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli Bukit Tinggi, Dr. Abdul Karim Amrullah (ayah Prof. Hamka), Kiyai Haji Hasyim Asy'ari (datuk kepada Gus Dur, bekas Presiden Indonesia), Tok Kenali, Tok Kelaba, Syeikh Abdullah Fahim (datuk kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia sekarang), Syeikh Wan Sulaiman (Syeikhul Islam Kedah) dan sekalian ulama Melayu yang menuntut di Masjidil Haram pada akhir kurun ke 19 dan awal kurun ke 20.

Aktiviti

Setelah 10 tahun di Mekah, Haji Muhammad Nur pulang ke Sumatera. Kepulangannya telah diketahui oleh Sultan Langkat, iaitu Sultan Abdul Aziz ibni Sultan Musa. Sultan Abdul Aziz tersebut adalah termasuk salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh itu merupakan sahabat seperguruan dengan Haji Muhammad Nur. Sultan Abdul Aziz, Sultan Langkat melantik Haji Muhammad Nur menjadi Kadi Kerajaan Langkat Bahagian Hulu. Ketika itu Mufti Kerajaan Langkat adalah dipegang oleh sahabat beliau bernama Syeikh Muhammad Nur, serupa nama dan sama-sama mengaji di Mekah.

Sewaktu Haji Muhammad Nur menjadi Kadi Kerajaan Langkat mulai muncul istilah Kaum Tua dan Kaum Muda. Haji Muhammad Nur bin Ismail (Kadi), Syeikh Muhammad Nur (Mufti), dan ulama-ulama Langkat lainnya, masih tetap bertahan dengan pegangan Kaum Tua.
Sebaliknya, beberapa orang sahabatnya seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Abdul Karim Amrullah, dan lain-lainnya adalah penyebar dan tokoh Kaum Muda. Seperti di negeri-negeri lain, di Kerajaan Langkat juga terjadi beberapa siri perdebatan antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Haji Muhammad Nur bin Ismail sebagai seorang kadi sekali gus adalah merupakan benteng yang kukuh mempertahankan mazhab Syafie dan Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah dari semua jurusan serangan Kaum Muda.

Di samping tugasnya sebagai kadi, Haji Muhammad Nur bin Ismail juga aktif mengajar putera dan puteri dalam Kerajaan Langkat. Dalam pengajaran yang disampaikan Haji Muhammad Nur mengutamakan ilmu-ilmu asas; tauhid, fikh, tasawuf, nahu, saraf dan pelbagai ilmu Islam yang lainnya.

Selain mengajar di Langkat, setelah beliau pindah ke Kuala Lumpur, sahabatnya Tengku Mahmud Zuhdi yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor, memberi tugas kepada beliau mengajar di beberapa tempat di Kuala Lumpur di antaranya di Masjid Jamik, di Kampung Baru, dan tempat-tempat lainnya.

Muridnya

Murid Haji Muhammad Nur bin Ismail boleh dikatakan ramai juga. Di antara sekian ramai muridnya yang sangat terkenal termasuk tokoh besar Indonesia dan Malaya (sekarang Malaysia).
1. Haji Zainal Ariffin Abbas, beliau adalah pengarang buku-buku agama termasuk dalam jumlah yang banyak. Di antara karangannya Peri Hidup Rasulullah s.a.w, yang merupakan sirah Nabi Muhammad s.a.w. yang paling lengkap dan ilmiah dalam bahasa Indonesia. Kemunculannya bersama-sama dengan tokoh-tokoh terkenal seperti Hamka, Mahmud Yunus, Haji Abu Bakar Aceh, Kiyai Haji Sirajuddin Abbas dan lain-lain.
2. Al-Ustaz Haji Abdul Halim Hasan
3. Haji Abdul Rahim Haitami
4. Syeikh Abdullah Afifuddin, ulama terkenal di Langkat.
5. Tengku Amir Hamzah, ialah seorang pujangga, penyair Melayu yang sangat terkenal pada awal abad ke 20.
6. Tengku Fakhruddin, 1885 - 1937, beliau ini adalah Ketua Majlis Syar'ie Kerajaan Serdang pada awal abad ke 20. Merujuk tulisan T. Jafizham SH, bahawa Tengku Fakhruddin belajar kepada Haji Muhammad Nur mulai awal sekali, ialah ilmu-ilmu nahu, sharaf, tauhid, fikh, ushul fiqh, balaghah, tafsir, hadis, dan sebagainya.
7. Ulama-ulama di Sumatera Timur.
Haji Zainal Ariffin Abbas, Ustaz Haji Abdul Halim Hasan dan Haji Abdul Rahim Haitami pernah mengarang bersama dan menghasilkan terjemahan dan tafsir al-Quran pada tahun 1355 H/1936 M.

Karya-Karyanya

Haji Muhammad Nur juga menghasilkan beberapa buah karangan yang ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab. Walau bagaimanapun karya yang baru dijumpai hanya dua buah, iaitu;
1. Ilmoe Tashauwoef, diselesaikan di Medan, Sumatera Utara, pada pagi Isnin 15 Syawal 1357 H/7 Disember 1938 M. Kandungan merupakan petikan dari dua buah kitab Ihya' `Ulumiddin karya Imam al-Ghazali dan Mau'izhatul Mu'min karya Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasyqi. Diterbitkan oleh Boekhandel Islamyah, Medan, dicetak dalam tulisan Rumi/ Latin, ejaan lama.
2. Puasa, diselesaikan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Jumaat, 9 Rejab 1360 H/1 Ogos 1941 M. Kandungan membicarakan puasa dan zakat. Diterbitkan dalam tulisan Melayu/Jawi, tanpa menyebut nama pencetak dan cetakan.
Selain mengarang, Haji Muhammad Nur bin Ismail juga ahli membuat minyak dan jamu. Sebelum tahun 1927 sudah terkenal dengan nama Jamu Cap Payung di Sumatera Timur dan Tanah Melayu. Sekarang masih berada di pasaran dengan nama Minyak Mirat.

Keturunan

Haji Muhammad Nur mengalami dua kali perkahwinan.
Perkahwinan yang pertama dengan Juriah binti Muhammad berasal dari Kota Tinggi, Johor, tidak mempunyai anak. Manakala, perkahwinan kedua dengan Hajah Nafiah binti Haji Abdur Rauf bin Tok Engku Syeikh Haji Muhammad Yusuf Minangkabau dikurniakan seramai 8 orang anak:
1. Muhammad Kamil, salah seorang pejuang kemerdekaan Indonesia dan Malaya. Beliau pernah menjadi Ketua Umum Persatuan Indonesia Merdeka di Malaya (1946 - 1948). Meninggal dunia di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 3 Safar 1396 H/3 Februari 1976 M.
2. Hajah Halimah Nur, Pengasas Sekolah Taman Pendidikan Islam (TAPIS) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Tokoh ini terkenal sekitar tahun 1950 an hingga 1960 an. Meninggal dunia di Jakarta pada hari Isnin, 26 Safar 1424 H/28 April 2003 M.
3. Abdullah Kamil, beliau ini juga seorang pejuang kemerdekaan. Beliau bersama-sama dengan Ibrahim Ya'qub, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam dan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad pernah mengasaskan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Selain itu, Abdullah Kamil juga melibatkan diri dalam kewartawanan. Di antara akhbar yang pernah ditanganinya ialah Pengarang Akhbar Perwata Deli, Majlis Berita Malaya dan Semangat Asia. Beliau juga pernah menjadi Duta Republik Indonesia ke PBB. Meninggal dunia di Jakarta pada 11 Julai 1991.
4. Ahmad Imran, meninggal dunia dia Kuala Lumpur pada 16 Disember 1991.
5. Abdul Hadi Nur, juga seorang pejuang kemerdekaan. Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Indonesia Merdeka (1945 - 1949), wartawan Mimbar Umum (1947 - 1948) dan Times of Indoensia (1953-1959). Meninggal dunia di Jakarta.
6. Haji Usman Nur
7. Hajah Rahmah
8. Ahmad Ismet Nur

Keturunan daripada lapan orang anaknya itu dipercayai bahawa Haji Muhammad Nur mempunyai keturunan yang ramai dan bertebaran sekurang-kurangnya di Indonesia dan Malaysia.

Sebagai penutup inilah suatu pesan, bahawa ``orang-orang yang berpegang kepada Islam sentiasa berusaha berhubungan silaturahim terutama terhadap sanak saudara keluarga dekatnya.''

IMAM HAJI MURSYIDI

Tokoh Pentadbir Islam Sarawak
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DI DALAM ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan 29 Mac 2004, Seksyen 3, halaman 9 telah diperkenalkan riwayat Syeikh Usman, seorang ulama besar yang berasal dari Sarawak. Kali ini diperkenalkan pula titihan keilmuan ulama Sarawak itu, yang dimaksudkan di sini ialah Datuk Hakim Imam Abang Haji Mursyidi bin Abang Haji Nuruddin bin Datuk Bandar Bolhasan. Nasab dari sebelah ibunya pula, bahawa ibunya bernama Dayang Aisyah binti Abang Pata bin Temenggong Marsal.

Abang Mursyidi dilahirkan di tengah-tengah Bandar Kuching, iaitu dekat Masjid India, Jalan Gambir, Kuching. Kerana beliau dilahirkan berhampiran dengan tempat peribadatan Islam, maka tidak diragukan bahawa Abang Mursyidi sejak kecil lagi telah berjinak-jinak dan mesra dengan tatacara hidup tradisi umat Islam. Dengan demikian ia membentuk keperibadiannya sepanjang hayat hinggalah beliau menemui ajalnya. Abang Mursyidi lahir pada tahun 1294 Hijrah/1877 Masihi, wafat pada hari Ahad, 29 Jamadilawal 1358 Hijrah/16 Julai 1939 Masihi.

PENDIDIKAN

Abang Mursyidi melanjutkan pengajiannya di Mekah. Dipercayai beliau belajar kepada beberapa orang ulama yang mengajar di Masjidul Haram, Mekah terutama Syeikh Usman bin Abdul Wahhab Sarawak kerana sama-sama berasal dari tempat yang sama.

Abang Mursyidi juga sempat mengikuti pelajaran yang diberikan oleh guru kepada gurunya, Syeikh Usman bin Abdul Wahhab Sarawak seperti Syeikh Ahmad al-Fathani, Sayid Bakri Syatha dan lain-lain. Beliau belajar kepada ulama-ulama yang tersebut dipercayai di bawah dua orang ketua tela`ah, iaitu Syeikh Usman bin Abdul Wahhab Sarawak dan Tok Kenali Kelantan.
Ulama yang telah diceritakan riwayatnya di dalam ruangan ini yang sebaya dengan Abang Mursyidi (lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi), yang sama-sama belajar di Mekah ialah Syeikh Muhammad Sa'id, Negeri Sembilan (lahir 1292 Hijrah/1875 Masihi), Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar, Johor (lahir pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi), Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani (1293 Hijrah/1876 Masihi), Haji Muhammad Sa'id Yan, Kedah (lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi), Haji Umar Besut (lahir 1295 Hijrah/1878 Masihi).

Memperhatikan tahun kelahiran ulama-ulama yang tersebut, maka yang benar-benar sama tahun lahir dengan Abang Mursyidi Sarawak ialah Haji Muhammad Sa'id Yan, Kedah. Kedua-duanya lahir pada tahun 1294 Hijrah/1877 Masihi.

Abang Mursyidi ketika di Mekah lebih banyak belajar kepada Syeikh Usman bin Abdul Wahhab Sarawak (lahir 1281 Hijrah/1864 Masihi) dan ulama-ulama sebaya dengannya, antaranya ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (lahir 1283 Hijrah/1866 Masihi), dan ramai lagi.

Selain belajar kepada dua orang ulama dunia Melayu yang sebaya umurnya, Abang Mursyidi juga belajar kepada ulama dunia Melayu yang lebih tua, yang sangat masyhur namanya ialah Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atarid Bogor (lahir 1278 Hijrah/1862 Masihi). Beliau juga belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab, antaranya Syeikh Muhammad Sa'id Babshail, Mufti Mazhab Syafie di Mekah pada zaman itu.

AKTIVITI

Setelah memperoleh ilmu-ilmu teras keIslaman di Mekah, Abang Mursyidi pulang ke Kuching. Peringkat awal kepulangannya, beliau dilantik menjadi imam, khatib dan guru agama. Ketiga-tiga jawatan itu dilaksanakannya di Masjid India, iaitu masjid kawasan yang berdekatan kelahirannya.

Sebagai seorang guru agama di masjid, di surau dan di rumah, Abang Mursyidi nampaknya belum begitu puas, lalu dalam tahun 1917 Masihi dilanjutkannya dengan mendirikan sebuah madrasah yang dinamakan dengan Al-Madrasatul Mursyidiyah.

Madrasah yang diasaskan oleh Abang Mursyidi tersebut merupakan madrasah pertama di Kuching, bahkan yang pertama di negeri Sarawak. Nama Mursyidiyah diberikan adalah sempena nama Abang Mursyidi, namun beliau adalah seorang warak yang tidak suka menonjolkan diri, senantiasa mengelakkan diri daripada riyak, barangkali kerana itulah tindakan beliau selanjutnya menukar nama madrasah tersebut daripada Al-Madrasatul Mursyidiyah menjadi Al-Madrasatul Islamiyah.

Untuk lebih memperkemas pendidikan Islam bagi kaum perempuan, Abang Mursyidi bersama dua orang sahabatnya, Datuk Petinggi Abang Haji Abdullah dan Abang Haji Bolhasan telah berhasil mendirikan tempat pendidikan itu. Tempat pendidikan perempuan dalam bidang al-Quran, akidah, fikah dan lain-lain pengetahuan Islam asasi yang mereka dirikan itu dikenali dengan nama Sekolah Kajang.

Aktiviti Abang Mursyidi sebagai seorang Datuk Hakim, diriwayatkan bermula pada 23 Februari 1925. Dalam masa yang sama dilantik juga sebagai Supreme Council dan Council Negeri. Kemudian diangkat pula dengan gelar Datuk Imam pada 1 Julai 1932. Dilantik menjadi pengadil darjah yang keempat pada 1 Ogos 1933.

Beliau menjadi ahli jawatan Lembaga Peperiksaan bagi pegawai-pegawai tinggi kerajaan pada 26 September 1936. Memperhatikan maklumat tersebut bererti Abang Mursyidi adalah seorang ulama yang sangat aktif dalam seluruh sektor aktiviti kepentingan pentadbiran dan kemajuan kerajaan negeri Sarawak pada zamannya.

Selain aktiviti-aktiviti yang tersebut di atas, Abang Mursyidi bersama beberapa orang ulama di Sarawak menubuhkan Majlis Syuyukhil Islami. Kemudian pada 1 Mei 1955 nama itu bertukar menjadi Majlis Agama Islam Sarawak. Mereka yang dianggap sebagai pengasas pertubuhan tersebut ialah Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi sebagai pencetus idea dan sebagai ketua pertubuhan. Sebagai anggota ialah Mufti Abang Haji Nawawi, Tuan Haji Burhan, Abang Haji Julaihi, dan Tuan Haji Muhammad Saleh.

Langkah Abang Mursyidi dalam memperjuangkan pendidikan Islam dan lain-lain kepentingan Islam dan suku kaum Melayu di Sarawak dalam zaman penjajah Inggeris ketika itu adalah dipandang sangat bijak yang tidak akan ditemui pada peribadi yang tidak bertanggungjawab terhadap agama Islam yang dianutnya, negeri kelahiran dan bangsanya.

Walaupun Abang Mursyidi adalah Datuk Imam dan Datuk Hakim, kemungkinan kedudukan yang tertinggi untuk orang Islam dan Melayu di bumi Sarawak yang sedang dijajah oleh Inggeris ketika itu, namun beliau tidak mengabaikan dan melalaikan tanggungjawabnya sebagai ulama penyebar ilmu mengajar di masjid dan madrasah yang diasaskannya.

MURID-MURIDNYA

Ramai murid Datuk Hakim Imam Mursyidi yang menjadi ulama dan tokoh di Sarawak. Mereka adalah generasi penerus penyebaran Islam. Sama ada murid-murid Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi sendiri atau pun murid-murid Al-Madrasatul Islamiyah yang beliau asaskan menurunkan murid yang ramai pula, sambung bersambung sampai sekarang ini.
Bererti pahala amal jariyah untuk Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi berjalan terus kerana ilmu bermanfaat yang disebarkan dan madrasah tempat belajar ilmu yang diwakafkan.
Antara murid Datuk Hakim Imam Mursyidi yang sempat penulis temui berulang kali (tahun 1976 di Johor Bahru, terakhir di Kuching, tahun 2003) ialah Haji Ataillah bin Syeikh Zainuddin as-Sarawaqi.

Beliau adalah cucu Syeikh Usman Sarawak yang sangat terkenal itu. Daripada Tuan Haji Ataillah, penulis banyak memperoleh maklumat tentang ulama Sarawak terutama datuknya Syeikh Usman Sarawak dan Haji Mursyidi yang diriwayatkan ini.

Ada hal menarik yang masih dalam penelitian penulis, bahawa antara orang yang terdekat hubungan dengan Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi adalah seorang ulama yang berasal dari Sarawak bernama Haji Muhammad Saleh Sarawak. Penulis belum dapat mempastikan apakah pada zaman yang sama terdapat beberapa orang ulama Sarawak yang bernama Haji Muhammad Saleh atau hanya seorang.

Diriwayatkan bahawa Haji Muhammad Saleh (belum diketahui nama orang tuanya) turut bersama Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi mengasaskan Majlis Syuyukhil Islami atau yang kemudian dinamakan Majlis Islam Sarawak. Haji Muhammad Saleh ini belum diketahui secara jelas apakah murid beliau atau pun sahabatnya.

Ada lagi yang bernama Haji Muhammad Saleh Arif, beliau benar-benar murid Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi. Haji Muhammad Saleh Arif diriwayatkan adalah seorang ulama yang suka merantau dan pernah sampai ke Sambas, Kalimantan Barat.

Dengan maklumat di atas, penulis masih tertanya-tanya, kerana adalagi se-orang ulama Sarawak bernama Haji Muhammad Saleh yang hidup sezaman dengan Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi yang menyebarkan Islam di Kalimantan Barat. Haji Muhammad Saleh ini sangat terkenal, merantau dan menguasai penyebaran Islam di beberapa tempat yang berjauhan, dan meninggalkan keturunan pula. Tempat-tempat Haji Muhammad Saleh Sarawak pernah mengajar yang pernah penulis jejaki ialah Pontianak, Ketapang, Sintang, Semitau dan Sungai Bundung (Mempawah).

Oleh kerana terkenalnya ulama Sarawak itu, maka penulis pernah berjalan kaki mulai Sambas, Seluas, memasuki Jagoi Babang ke Serikin seterusnya sampai Kuching awal tahun 1970. Maklumat yang diperoleh di Kuching tentang beliau tidak seimbang dengan jerih payah merentas sungai dan jalan kaki yang demikian jauh.

KEKELUARGAANNYA

Datuk Hakim Imam Haji Mursyidi mempunyai 8 orang adik beradik; Abang Ikram, Abang Saad, Abang Asnawi, Abang Haji Azhari, Abang Juwaini, Datuk Hakim Imam Abang Haji Mursyidi, Dayang Jinu dan Dayang Atut.

Beliau mendirikan rumah tangga beberapa kali dan meninggalkan anak dan zuriat. Perkahwinan yang pertama dengan Dayang Yong binti Abang Haji Matusin bin Patinggi Gapur, memperoleh seorang anak, Abang Fadail. Setelah isteri yang pertama meninggal dunia, Abang Mursyidi berkahwin lagi dengan Dayang Hafidah dan memperoleh 8 orang anak; Abang Zainurin, Abang Muhammad Zain, Abang Syafi'ie, Abang Usman, Dayang Munah, Abang `Abdul Malik, Dayang Minah dan Dayang Diyun. Setelah Dayang Hafidah (isteri kedua) meninggal dunia, Abang Mursyidi berkahwin pula dengan Dayang Siah tetapi tiada memperoleh anak.

Daripada maklumat di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Datuk Hakim Imam Abang Haji Mursyidi mempunyai ramai adik beradik dan ramai anak dan keturunan.

SYEIKH MUHAMMAD NAFIS AL-BANJARI

Ulama Sufi Dunia Melayu
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


ULAMA sufi berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan ini nama lengkapnya ialah Syeikh Muhammad Nafis bin Idris bin Husein al-Banjari. Seperti ulama-ulama sufi lain, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari juga mendapat tentangan daripada orang-orang yang tidak sependapat dengan ajaran tasawufnya. Namun tidak sehebat tentangan terhadap Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Dalam perkembangan mutakhir golongan sufi dunia Melayu cukup rancak dibicarakan.

Sebelum berkembangnya aliran tajdid di dunia Melayu, boleh dikatakan tidak ada ulama besar dunia Melayu menyalahkan kandungan yang termaktub dalam ad-Durr an-Nafis, iaitu sebuah kitab perbahasan yang tinggi jalan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan permulaan jalan tasawuf ketuhanan dalam bahasa Melayu yang dihasilkan oleh ulama berasal dari Banjar yang dibicarakan ini.

Bagi ulama abad ke 18-19 dunia Melayu, ajaran semacam itu cukup mereka fahami kerana memang ada kitab-kitab tasawuf peringkat tinggi (muntahi) yang dirujuk dan mengimbangi kitab ad-Durr an-Nafis itu sebagai pegangan yang kukuh bagi kaum sufi. Yang termaktub dalam karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari itu adalah relevan dengan karya-karya Syeikh Abdul Karim al-Jili, Syeikh Muhyuddin Ibnu Arabi (17 Ramadan 560 H/29 Julai 1165 M-28 Rabiulakhir 638 H/21 November 1240 M) dan lain-lain. Lebih dua ratus tahun kitab ad-Durr an-Nafis itu diajarkan oleh para ulama di dunia Melayu, kemudian pada waktu akhir-akhir ini, sama ada di Indonesia mahu pun di Malaysia, ada pihak-pihak tertentu menyalahkan dan melarang mengajarkannya.

Di satu pihak kitab itu dilarang atau diharamkan menggunakannya, di pihak lain ternyata lebih banyak surau mahu pun masjid atau pun di rumah-rumah orang mengajarkannya. Bahkan K.H Haderanie H.N., seorang ulama di Surabaya berusaha melatin/merumikan kitab tersebut, yang diberi kata sambutan oleh seorang ulama dan tokoh atau ahli politik Islam Indonesia, K. H. Dr. Idham Chalid. Ad-Durr an-Nafis yang dilatin/dirumikan itu diberi judul Ilmu Ketuhanan Permata Yang lndah (Ad-Durrunnafis).

Saya, selaku penulis riwayat ini, tetap menilai bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari adalah seorang ulama besar sufi dunia Melayu. Memang tidak boleh terlalu mudah menilai beliau sebagai seorang yang tidak berilmu, zindiq, sesat dan sebagainya, seperti yang pernah dilemparkan oleh orang-orang tertentu kepada beliau. Bagi saya bertindak adil dan jujur terhadap ilmu pengetahuan itulah yang lebih baik dilakukan daripada menyalahkan orang, sedangkan kita sendiri tidak tahu dengan tepat dan pasti apa yang disalahkan itu. Apabila berbeza sistem dan penerapan sesuatu disiplin ilmu antara satu pihak dengan pihak lain, maka itu juga boleh mengakibatkan berbeza pandangan dan pendapat.

Ilmu

Oleh itu sistem dan penerapan ilmu sufi pada abad 18-19 jauh berbeza dengan pihak-pihak yang tidak pernah belajar sufi tradisional Islam pada penghujung abad 20 dan abad ini. Orang sufi memang berlapang dada, mereka berjiwa besar dan tidak suka bertengkar atau berdebat kerana agama Islam bukan bertujuan ke arah pertengkaran atau perdebatan tetapi untuk diamalkan oleh setiap insan Muslim yang berjiwa dan bercita-cita takwa. Pertengkaran atau perdebatan membawa kepada perpecahan umat. Ulama sufi dunia Melayu yang belajar di Mekah berpuluh-puluh tahun seperti Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari tidak dapat disamakan dengan peribadi-peribadi yang tiada mendalami Islam, tetapi mengaku dirinya dengan pelbagai pengakuan seperti yang terjadi pada akhir-akhir ini.

ASAL-USUL DAN PENDIDIKAN

Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari berasal dari Banjar, Kalimantan Selatan. Hidup sezaman dan seperguruan dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Sama-sama belajar di Mekah dan Madinah. Yang seperjuangan dengannya termasuk Syeikh Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi (Jakarta), Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan lain-lain. Tentang dirinya hanya beberapa hal beliau sebut, ``Di negeri Banjar tempatnya jadi. Mekah tempat diamnya. Syafie akan mazhabnya, iaitu pada fikah. Asy`ari iktikadnya, iaitu pada ushuluddin. Junaid ikutannya, iaitu pada ilmu tasawuf. Qadiriyah thariqatnya, Syathariyah pakaiannya, Naqsyabandiyah amalan-nya, Khalwatiyah makanannya, Sammaniyah minumannya''.
Para gurunya juga beliau sebut dalam karyanya ad-Durr an-Nafis yang tersebut, senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:
1. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi. 2. Syeikh Shiddiq bin Umar Khan. Beliau adalah murid kepada Syeikh Muhammad bin Abdul Karim Samman, iaitu murid ulama sufi yang lebih dulu daripada Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan kawan-kawannya. 3. Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samani al-Madani. 4. Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Aziz al-Maghribi. 5. Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Juhuri. Dan ramai lagi yang belum disebutkan di sini.
Setelah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari diizinkan para gurunya, terutama sekali Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, bahawa beliau boleh mengajar ilmu-ilmu batin dengan beberapa aspek tarekat dan furu'-furu'nya, maka berusahalah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari mengajak manusia mentauhidkan Allah daripada satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dan mendalam. Di manakah Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menjalankan aktiviti dakwah dan pendidikan, terjadi pertikaian pendapat daripada beberapa orang periwayat. Ada orang menceritakan bahawa beliau menyampaikan dakwah dan pendidikan Islam di Pulau Bali, Pulau Sumbawa dan pulau-pulau yang berdekatan dengannya. Riwayat yang lain pula mengatakan bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebarkan ajarannya di Pulau Laut, Kalimantan Selatan. Riwayat yang lain mengatakan di Kusan, Kota Baru, juga dalam Pulau Laut itu. Akhirnya dikatakan bahawa Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari meninggal dunia di Sigam, juga di Pulau Laut. Pendapat lain menyebut beliau wafat di Kalua, juga di Pulau Laut.

PENULISAN

Ketika artikel ini saya tulis, baru dua buah saja karangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang ditemui, selain ad-Durr an-Nafis, yang sebuah lagi masih berupa manuskrip ialah Majmu' al-Asrar li Ahlillahil Athyar. Mengenai ad-Durr an-Nafis beberapa maklumat tentangnya, bahawa selesai ditulis pada 27 Muharam 1200 H/30 November 1785 M. Cetakan pertama kitab ini ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, di Mathba'ah al-Miriyah bi Bulaq, Mesir al-Mahmiyah. Pada terbitan pertama tercantum syair Syeikh Ahmad al-Fathani: ``Berpeganglah kamu dengan ilmu orang sufi,
Nescaya kamu menyaksikan bagi Tuhanmu itu keesaan.
Wahai yang meninggalkan sebaik-baik teman sekedudukan,
Adalah kitab ini mengandung maksud keseluruhan,
Seperti lautan,
daripadanya tiap-tiap yang berharga penilaian''.

Sebagai keterangan lanjut Syeikh Ahmad al-Fathani mencatatkan, ``Ketahui olehmu hai yang waqif atas kitab ini. Bahawa segala naskhah kitab ini sangatlah bersalah-salahan setengah dengan setengahnya, dan tiada hamba ketahuikan mana-mana yang muafakat dengan asal naskhah Muallifnya. Maka hamba ikutkan pada naskhah yang hamba cap ini akan barang yang terlebih elok dan munasabah. Dan tiada hamba kurangkan daripada salah suatu daripada beberapa naskhah itu akan sesuatu kerana ihtiyat''.

Ad-Durr an-Nafis cetakan pertama Syeikh Ahmad al-Fathani telah memberi keterangan beberapa istilah seperti terdapat pada kalimat-kalimat: 1. ``... maka hendaklah lihat olehmu kepada Abi Bakar, iaitu ibarat daripada mati nafsu yang ammarah ...''. Syeikh Ahmad al-Fathani menjelaskan, bahawa nafsu ammarah, ialah ``nafsu yang cenderung kepada kejahatan''.
2. ``Bermula hasilnya segala wujud sesuatu itu dengan dinisbahkan kepada wujud Allah Taala yang haqiqi itu khayal, dan waham, dan majaz jua, kerana wujudnya antara dua `adam Bermula wujud yang antara dua `adam itu `adam jua adanya ...''. Keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ``Dua `adam, ertinya `adam lahiq dan `adam sabiq. Pengertian `adam lahiq, ialah tiada yang mengikut. Pengertian `adam sabiq, ialah tiada yang mendahului''.
3. ``Dan pada sekira-kira zahir mumkin itu lain daripada Allah Taala. Dan sekira-kira haqiqatnya wujud mumkin itu, iaitu `ain wujud Allah Taala. Dan misalnya seperti buih dan ombak...''. Keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani, ``Katanya, ``Dan pada sekira-kira zahir dan pada sekira-kira haqiqat ...'', maka kedua (-dua) itu `athaf. Katanya, ``Pada sekira-kira wujud, dan dhamir pada haqiqatnya dan dhamir pada nyatanya. Kedua (-dua) itu kembali kepada buih, dan dhamir daripadanya itu kembali kepada air''.
4. Syeikh Ahmad al-Fathani menjelaskan istilah ma'iyah, kata beliau, ``Yakni berserta: a. ittihad = bersuatu. b. hulul = bertempat. c. khayal, yakni apabila kita lihat jauh ada sesuatu, dan kita lihat dekat tiada ada, seperti alung-alung di tengah jalan Madinah''. Ad-Durr an- Nafis setelah cetakan pertama oleh Matba'ah al-Miriyah di Bulaq, Mesir tahun 1302 H/1884 M yang diusahakan dan ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani itu terdapat berbagai-bagai edisi.

Karya

Karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang kedua, yang masih belum diketahui umum, dalam bentuk manuskrip ialah Majmu' al-Asrar, salinan Muhammad Zain bin Hasan. Selesai menyalin pada waktu Zuhur, hari Sabtu 21 Syaaban 1355 H/1936 M. Kitab Majmu' al-Asrar ini juga membicarakan masalah tasawuf. Sampai riwayat ini ditulis kitab yang tersebut baru dijumpai dua versi, yang sebuah lagi dengan judul Majmu' as-Sarair, atau judul dalam bahasa Melayu yang diberi oleh beliau Perhimpunan Sekalian Rahasia.

Versi yang pertama, koleksi Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia, dan versi yang sebuah lagi adalah koleksi peribadi saya sendiri. Yang menjadi milik saya itu terdapat tiga buah risalah lain, yang dipercayai juga karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari. Risalah-risalah itu ialah Penjelasan Huruf-Huruf Abjad Dalam Al-Quran, llmu Haqiqat Yang Sebenar-Benar dan Masalah Orang Yang Dijadikan Imam.

Pada risalah yang terakhir tercatat tahun selesai menulisnya pada waktu Dhuha, 8 Ramadan 1245 H/1829 M. Dengan dijumpai manuskrip yang terdapat tahun itu maka dapatlah diagak-agak jarak waktu sementara penulisan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang telah diketahui, iaitu 1200 H/1785 M (Ad-Durr an-Nafis) hingga 1245 H/1829 M (manuskrip yang tersebut di atas). Jadi bererti sekitar 45 tahun. Dengan demikian pada jarak waktu yang demikian lama masih banyak karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari yang belum kita jumpai dan ketahui.

SYEIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI

Pengarang Sabil al-Muhtadin
Oleh WAN MOHD. SHAGIR ABDULLAH

NAMA lengkap Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah bin Abdur Rahman al-Banjari bin Saiyid Abu Bakar bin Saiyid Abdullah al-'Aidrus bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran bin Saiyid Abdur Rahman as-Saqaf bin Saiyid Muhammad Maula ad-Dawilah al-'Aidrus, dan seterusnya sampai kepada Saidina Ali bin Abi Thalib dan Saidatina Fatimah bin Nabi Muhammad s.a.w. Riwayat kedatangan datuk nenek Syeikh Muhammad Arsyad ke dunia Melayu terjadi pertikaian pendapat. Ada riwayat mengatakan bahawa yang pertama datang ialah Saiyid Abdullah bin Saiyid Abu Bakar as-Sakran.

Beliau telah datang ke Filipina, dan berhasil mendirikan Kerajaan Mindano. Menurut H.M Syafie bahawa ayah Abdullah bernama Saiyid Abu Bakar (bererti datuk kepada Syeikh Muhammad Arsyad) adalah Sultan Mindano.

Abdullah pula pernah sebagai pemimpin peperangan melawan Portugis, kemudian ikut melawan Belanda lalu melarikan diri bersama isterinya ke Lok Gabang (Martapura).

Dalam riwayat yang kurang jelas, apakah Saiyid Abu Bakar as-Sakran atau pun Saiyid Abu Bakar bin Saiyid `Abdullah al-'Aidrus, dikatakan berasal dari Palembang pindah ke Johor, selanjutnya ke Brunei Darussalam, Sabah dan Kepulauan Sulu.

Yang terjadi pertikaian pendapat pula nama ayah Abdullah, selain dikatakan Abdullah bin Abdur Rahman dan Abdullah bin Saiyid Abu Bakar, ada lagi riwayat yang menyebut bahawa Abdullah itu adalah anak Kerta Suta. Kerta Suta anak Muslihuddin. Muslihuddin anak Muhammad Aminuddin.

Pendidikan

Muhammad Arsyad al-Banjari lahir pada malam Khamis, pukul 3.00 (waktu sahur), 15 Safar 1122 H/17 Mac 1710 M, wafat pada 6 Syawal 1227 H/3 Oktober 1812 M. Pendidikannya ketika kecil tidak begitu jelas, tetapi pendidikannya dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Sangat popular bahawa beliau belajar di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah sekitar lima tahun. Sahabatnya yang paling penting yang banyak disebut oleh hampir semua penulis ialah Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi dan Syeikh Abdul Wahhab Bugis, yang terakhir ini menjadi menantu beliau. Gurunya pula yang banyak disebut ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi, Syeikh `Athaullah dan Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani al-Madani. Selama belajar di Mekah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan Banjar. Rumah tersebut terletak di kampung Samiyah yang disebut juga dengan Barhat Banjar. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan kawan-kawannya selain belajar kepada ulama-ulama bangsa Arab, juga belajar kepada ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu. Di antara guru mereka yang berasal dari dunia Melayu ialah: Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh dan Syeikh Muhammad `Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani, dan barangkali ramai lagi.

Hampir semua ilmu keislaman yang telah dipelajari di Mekah dan Madinah mempunyai sanad atau silsilah yang musalsal mulai daripada beliau hingga ke atasnya. Hal ini cukup jelas seperti yang ditulis oleh Syeikh Yasin Padang dalam beberapa buah karya beliau. Lama masa belajar di Mekah dan Madinah, dalam jumlah pelajaran dan jenis kitab yang banyak dipelajari, ditambah lagi belajar kepada ulama yang benar-benar ahli di bidangnya masing-masing, di tempat sumber agama Islam itu sendiri, serta diperoleh daripada ulama-ulama yang warak, maka tidaklah diragui bahawa Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari akhirnya menjadi seorang ulama besar tanah Jawi atau dunia Melayu. Kewarakannya diakui oleh ulama-ulama yang datang kemudian daripada beliau kerana banyak bukti-buktinya. Selain bukti berupa karya-karyanya, juga dapat diambil kira tentang jasa-jasanya mencelikkan mata terutama rakyat Banjar atau seluruh dunia Melayu melalui karangannya yang paling terkenal Sabil al-Muhtadin. Selain itu ternyata keturunan beliau sangat ramai yang menjadi ulama. Ini sebagai bukti bahawa Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari telah berhasil membasmi kejahilan selain untuk dirinya peribadi, untuk keturunannya, keluarga besar Banjar, bahkan juga pengaruhnya dirasakan di seluruh dunia Melayu. Hal ini dikeranakan memang hampir tidak ada ulama dunia Melayu yang tidak kenal dengan karyanya Sabil al-Muhtadin yang tersebut itu.

Sahabat-sahabat

Walaupun nama-nama sahabatnya yang banyak disebut oleh beberapa orang pengarang, namun untuk melengkapi maklumat ini, di bawah ini saya salin kembali senarai nama sahabatnya yang telah diketahui. Mereka ialah: 1. Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani. 2. Syeikh `Abdur Rahman al-Mashri al-Batawi, iaitu datuk kepada Saiyid `Utsman Mufti Betawi yang terkenal. 3. Syeikh `Abdul Wahhab Sadenreng Daeng Bunga Wardiyah berasal dari Bugis, yang kemudian menjadi menantu kepada Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al Banjari. 4. Syeikh Ahmad Razzah orang Mesir. 5. Syeikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari, pengarang kitab ad-Durr an-Nafis. 6. Syeikh Mahmud bin Kinan al-Falimbani. 7. Syeikh Muhammad `Asyiquddin bin Shafiyuddin al-Falimbani. 8. Syeikh Muhammad Shalih bin `Umar as-Samarani (Semarang) yang digelar dengan Imam Ghazali Shaghir (Imam Ghazali Kecil). 9. Syeikh `Utsman bin Hasan ad-Dimyati. 10. Syeikh `Abdur Rahman bin `Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi 11. Syeikh Haji Zainuddin bin `Abdur Rahim bin `Abdul Lathif bin Muhammad Hasyim bin `Abdul Mannan bin Ahmad bin `Abdur Rauf al-Fathani. 12. Kiyai Musa Surabaya dan ramai lagi.

Penulisan

Tradisi kebanyakan ulama, ketika mereka belajar dan mengajar di Mekah, sekali gus menulis kitab di Mekah juga. Lain halnya dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari, walaupun dipercayai bahawa beliau juga pernah mengajar di Mekah, namun karya yang dihasilkannya ditulis di Banjar sendiri. Lagi pula nampaknya beliau lebih mencurahkan khidmat derma baktinya di tempat kelahirannya sendiri yang seolah-olah tanggungjawab rakyat Banjar terbeban di bahunya. Ketika mulai pulang ke Banjar, sememangnya beliau sangat sibuk mengajar dan menyusun segala macam bidang yang bersangkut-paut dengan dakwah, pendidikan dan pentadbiran Islam. Walaupun begitu beliau masih sempat menghasilkan beberapa buah karangan. Karangannya yang sempat dicatat adalah seperti berikut di bawah ini:
1. Tuhfah ar-Raghibin fi Bayani Haqiqah Iman al-Mu'minin wa ma Yufsiduhu Riddah ar-Murtaddin, diselesaikan tahun 1188 H/1774 M
2. Luqtah al-'Ajlan fi al-Haidhi wa al-Istihadhah wa an-Nifas an-Nis-yan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M.
3. Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquhi fi Amri ad-Din, diseselesaikan pada hari Ahad, 27 Rabiulakhir 1195 H/1780 M
4. Risalah Qaul al-Mukhtashar, diselesaikan pada hari Khamis 22 Rabiulawal 1196 H/1781 M.
5. Kitab Bab an-Nikah.
6. Bidayah al-Mubtadi wa `Umdah al-Auladi
7. Kanzu al-Ma'rifah
8. Ushul ad-Din
9. Kitab al-Faraid
10. Hasyiyah Fat-h al-Wahhab
11. Mushhaf al-Quran al-Karim
12. Fat-h ar-Rahman
13. Arkanu Ta'lim as-Shibyan
14. Bulugh al-Maram
15. Fi Bayani Qadha' wa al-Qadar wa al-Waba'
16. Tuhfah al-Ahbab
17. Khuthbah Muthlaqah Pakai Makna. Kitab ini dikumpulkan semula oleh keturunannya, Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari. Dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, tanpa dinyatakan tarikh cetak.

Ada pun karyanya yang pertama, iaitu Tuhfah ar-Raghibin, kitab ini sudah jelas atau pasti karya Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari bukan karya Syeikh `Abdus Shamad al-Falimbani seperti yang disebut oleh Dr. M. Chatib Quzwain dalam bukunya, Mengenal Allah Suatu Studi Mengenai Ajaran Tasawuf Syeikh Abdus Samad AI-Falimbani, yang berasal daripada pendapat P. Voorhoeve. Pendapat yang keliru itu telah saya bantah dalam buku Syeikh Muhammad Arsyad (l990). Dasar saya adalah bukti-bukti sebagai yang berikut:
1. Tulisan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ``Maka disebut oleh yang empunya karangan Tuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imanil Mu'minin bagi `Alim al-Fadhil al-'Allamah Syeikh Muhammad Arsyad.''
2. Tulisan Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, ``Maka mengarang Maulana (maksudnya Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, pen:) itu beberapa kitab dengan bahasa Melayu dengan isyarat sultan yang tersebut, seperti Tuhfatur Raghibin ...'' Pada halaman lain, ``Maka Sultan Tahmidullah Tsani ini, ialah yang disebut oleh orang Penembahan Batu. Dan ialah yang minta karangkan Sabilul Muhtadin lil Mutafaqqihi fi Amrid Din dan Tuhfatur Raghibin fi Bayani Haqiqati Imani Mu'minin wa Riddatil Murtaddin dan lainnya kepada jaddi (Maksudnya: datukku, pen :) al-'Alim al-'Allamah al-'Arif Billah asy-Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari.''
3. Pada cetakan Istanbul, yang kemudian dicetak kembali oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura tahun 1347 H, iaitu cetakan kedua dinyatakan, ``Tuhfatur Raghibin ... ta'lif al-'Alim al-'Allamah asy-Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.'' Di bawahnya tertulis, ``Telah ditashhihkan risalah oleh seorang daripada zuriat muallifnya, iaitu `Abdur Rahman Shiddiq bin Muhammad `Afif mengikut bagi khat muallifnya sendiri ...''. Di bawahnya lagi tertulis, ``Ini kitab sudah cap dari negeri Istanbul fi Mathba'ah al-Haji Muharram Afandi''.
4. Terakhir sekali Mahmud bin Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari mencetak kitab Tuhfah ar-Raghibin itu disebutnya cetakan yang ketiga, nama Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari tetap dikekalkan sebagai pengarangnya.

Daripada bukti-bukti di atas, terutama yang bersumber daripada Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani dan Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq adalah cukup kuat untuk dipegang kerana kedua-duanya ada hubungan dekat dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari itu. Syeikh Daud bin `Abdullah al-Fathani adalah sahabat Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari sedangkan Syeikh `Abdur Rahman Shiddiq pula adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari. Mengenai karya-karya Syeikh Muhammad Arsyad bin `Abdullah al-Banjari yang tersebut dalam senarai, insya-Allah akan dibicarakan pada kesempatan yang lain.

Wednesday, September 07, 2005

SYEIKH ABU BAKAR PALAKKA

Penyambung Aktiviti Syeikh Yusuf Makasar
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

AKHIR-akhir ini mulai ramai intelektual kita membicarakan seorang ulama yang berasal dari negeri Bugis. Beliau ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi (al-Maqassari). Dalam tahun 1980 sewaktu buku saya berjudul Perkembangan Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Nusantara, yang juga memuatkan ulama tersebut diterbitkan, dalam tahun tersebut masih sangat langka orang membicarakan ulama itu.

Beberapa orang sarjana telah memetik tentang Syeikh Yusuf daripada buku saya itu, di antara mereka ialah, Martin van Bruinessen (Belanda) ketika menyusun buku Tarekat Naqsyabandiyah di Indonesia (cetakan pertama, Mizan, 1413/1992), Dr. Azyumardi Azra ketika menyusun Jaringan Ulama (cetakan pertama, Mizan, 1415/1994) dan ramai lagi.

Penyelidikan saya dalam tahun 1980 itu boleh dikatakan masih sangat dangkal, kerana setelah tahun yang tersebut itu, bahan-bahan baru banyak saya temui. Orang lain menulis di hujung nama Syeikh Yusuf dengan ``al-Maqassari'' tetapi dalam penyelidikan yang terakhir ini, saya menggunakan perkataan ``al-Mankatsi''. Ini adalah berdasarkan sebuah manuskrip yang ada pada saya. Sebagaimana pernah saya tegaskan, bahawa saya tidak menggunakan istilah ``al-Sinkili'' sesudah nama Syeikh Abdur Rauf tetapi menggunakan istilah ``al-Fanshuri'' atau ``al-Fansuri''. Demikian juga saya tidak memakai istilah as-Sumatrani'' atau ``as-Samatrani'' di hujung nama Syeikh Syamsuddin tetapi menggunakan istilah ``as-Sumathra-i'' atau ``as-Sumatra-i''.

Bagi saya, sesuatu penyelidikan bukanlah perkara untuk diperniagakan dengan harga murahan dan mengikut kata-kata orang semata-mata, tetapi perlu merujuk kepada bahan-bahan yang bercorak asli terutama sekali, manuskrip yang disusun sendiri oleh siapa sahaja yang akan kita riwayatkan.

Di bawah ini adalah, riwayat salah seorang keturunan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi yang menyambung aktiviti ulama besar yang berasal dari Bugis-Makasar yang sangat terkenal itu. Dalam tahun 1976, saya telah memperoleh beberapa buah manuskrip salinan keturunan Syeikh Yusuf al-Mankasti yang tinggal di Punggur, Kalimantan Barat. Manakala manuskrip-manuskrip itu saya teliti, sejak saya milikinya pada tahun 1976, berulang kali hingga sekarang (1426 H/2005 M), banyak informasi yang diperoleh daripadanya. Beberapa buah di antaranya, adalah karya Syeikh Yusuf al-Mankatsi, sebuah karya murid beliau. Yang berperanan sebagai penyalin pula beberapa orang ulama Bugis termasuk keturunan beliau.

Aktiviti penyalinan dilaksanakan di beberapa tempat iaitu: Mekah, Bone, Palakka dan Pontianak. Ada beberapa orang penyalin manuskrip, berdasarkan catatan tahun pada manuskrip adalah hidup se zaman dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Abdul Wahhab Sadenreng Daeng Bunga Wardiyah, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari dan ramai lagi.

Nama, gelar dan pendidikan

Nama yang sebenar penyalin yang pertama ialah Haji Abu Bakar. Nama gelarannya ialah ``Al-Khathib Bone''. Namanya yang lain, dikenali dengan Haji Abu Bakar Wajo (Wajok). Ayahnya bernama Khathib al-Bathualaq Ibrahim al-Buni. Salah seorang saudaranya bernama Ahmad bin al-Bathualaq Ibrahim al-Buni, juga terdapat salinan manuskrip.

Beliau mendapat pendidikan di Mekah, pada salah sebuah salinan manuskrip ada dicatatkan bahawa beliau memiliki sebuah rumah di Mekah, kemudian rumah itu dijadikan rumah wakaf. Rumah tersebut terletak di al-Qararah, di Zuqaqul Arab. Setelah beliau turun ke negeri Bugis, rumah wakaf itu dinaziri oleh Syeikh Muhammad ibnu al-Marhum Syeikh Yahya Bugis. Di rumah itulah salah seorang kerabat mereka bernama Haji Muhammad Mustahyi ibnu Qasim al-Buqisi al-Buni menyambung aktiviti Haji Abu Bakar itu menyalin berbagai-bagai judul manuskrip yang dikarang oleh ulama-ulama terkenal di antaranya, Syarh Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi yang terkenal itu. Semua kitab yang disalinnya adalah mengenai tasawuf dan beliau adalah seorang pengamal berbagai-bagai tarekat, yang dipegang dengan kuat ialah Thariqat Syathariyah. Menurut keterangan Haji Muhammad Nur Punggur (penyimpan manuskrip ulama yang diriwayatkan), silsilah tarekat beliau (Haji Muhammad Nur) bersambung kepada Haji Abu Bakar Bugis itu, bersambung terus hingga kepada datuk nenek mereka, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi yang terkenal dan meninggal dunia di Afrika Selatan itu.

Oleh sebab di Mekah Haji Abu Bakar Wajo al-Buqisi seperguruan dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Muhammad Ali al-Asyi (Aceh) yang membai'ah dan mentawajjuhkan mereka zikrullah kaedah Thariqat Syathariyah itu ialah Syeikh Muhammad As'ad, silsilah selanjutnya sama dengan silsilah Thariqat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Salinan manuskrip

Kitab-kitab yang pernah disalin oleh Haji Abu Bakar Bugis, dalam bahasa Arab dan semuanya mengenai ilmu tasawuf. Selain itu, terdapat juga naskhah-naskhah dalam bahasa Bugis. Naskhah dalam bahasa Bugis tidak dibicarakan dalam artikel ini. Salinan-salinan tersebut disenaraikan di bawah ini, iaitu;
1. Risalatul Wudhu karya Tajuddin yang digelar dengan Tajul bin Arifin ibnu Sultan Utsman an-Naqsyabandi, yang nasabnya sampai kepada Saiyidina Utsman ibnu Affan R. A. Haji Abu Bakar Bugis mencatat pada akhir salinannya bahawa diselesaikan pada hari Sabtu, waktu Asar, 26 Jamadilawal di rumah negeri Palakka, tanpa menyebut tahun.
2. Ar-Risalah an-Naqsyabandiyah karya Syeikh Yusuf Tajul al-Khalwati Mankatsi. Dicatat pada halaman akhir, selesai penyalinan pada, hari Sabtu, bulan Muharam, tanpa menyebut tahun. Pada salinan menggunakan nama ``al-Faqir Khathib Bone'', tanpa menyebut nama asli Haji Abu Bakar Wajo Bugis.
3. Jam'ul Fawaid as-Sunbuliyah al-Muwashshalah ila Maratibh al-'Aliyah karya gurunya, al-'Alim al-'Allamah al-'Arif ar-Rabbani Syeikh Muhammad As'ad bin Syeikh Muhammad Thahir as-Sunbul bin al-Allamah Syeikh Muhammad Sa'id al-Makki.
4. Daqaiq al-Asrar fi Tahqiqi Qawa'id as-Sirriyah wa Bayani Ahlillahil Arifin karya Syeikh Abul Fattah Abu Yahya Abdul Bashir ad-Dhariri iaitu seorang murid Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi. Di akhir salinan dicatatkan, ``...Khathib Bone di rumah di negeri Palakka, selesai menyalin pada waktu Dhuha, hari Rabu, 9 Zulkaedah 1233 H''.
5. Zubdah al-Asrar fi Tahqiqi Ba'dhi Masyarib al-Akhyar karya Syeikh Yusuf at-Tajul Khalwati al-Mankatsi. Dicatat selesai menyalinnya pada 9 Ramadan 1235 H oleh Khatib Bone namanya Abu Bakar.

Kesinambungan aktiviti

Apabila diteliti manuskrip-manuskrip yang berasal dari Haji Abu Bakar Bugis yang telah dijumpai, dapat diambil kesimpulan bahawa, aktiviti penyalinan manuskrip dimulai dari di Mekah dan Thaif. Aktiviti di Mekah dilakukan di sebuah rumah wakaf keluarga Wajo.
Manakala Haji Abu Bakar Bugis pulang ke negerinya, tempat bekerja dijalankan di sebuah rumah di negeri Palakka. Di rumah yang di Bone milik Haji Abu Bakar pula, aktivitinya diteruskan oleh adiknya, Haji Ahmad ibnu Khathib al-Bathuwalaq Ibrahim. Sebuah salinan karya Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi, judul Asrar ash-Shalah fi Tabyin Muqaranah an-Niyah bi Takbirah al-Ihram fi al-Fiqh wa at-Tashawuf `ala I'tiqad Ahli as-Sunnah wa al-Jama'ah wa Mazhab as-Syafi'i, adalah dilakukan oleh adiknya itu. Tarikh selesai penyalinan waktu Asar, tahun Jim, 25 bulan Haji, 1237 H.

Jika kita bandingkan tahun terakhir Haji Abu Bakar Bugis melakukan penyalinan (1235 H/1819 M) dengan dijumpai salinan adiknya tahun 1237 H/1821 M, dapat diambil kesimpulan bahawa aktiviti beliau disambung oleh adiknya. Kesimpulan yang lain pula mungkin sesudah tahun 1235 H/1819 M, Haji Abu Bakar Bugis itu telah meninggal dunia atau pun kembali ke Mekah atau pun pindah ke Pontianak. Ini semua belum jelas, masih memerlukan penyelidikan lanjut.
Dalam hal yang sama nampaknya aktiviti Haji Abu Bakar Bugis dilanjutkan juga oleh Muhammad Mustahyi ibnu Qasim al-Buqisi al-Buni yang menyelesaikan beberapa salinan manuskrip sebagai yang berikut di bawah ini;
1. Syarh Tuhfatul Mursalah karya Syeikh Abdul Ghani an-Nablusi di rumah wakaf Haji Abu Bakar Wajo di Qararah, di Zuqaqul Arab, Mekah. Rumah wakaf tersebut nazirnya ialah Syeikh Muhammad ibnu al-Marhum Syeikh Yahya Bugis. Muhammad Mustahyi al-Buqisi al-Buni selesai melakukan penyalinan kitab tersebut pada waktu Dhuha, tahun 1245 H, tanpa menyebut tanggal dan bulan. Sesudah itu Haji Muhammad Mustahyi al-Buqisi al-Buni pergi ke Pontianak, Kalimantan Barat.
2. Bidayah al-Hidayah karya Hujjatul Islam Imam al-Ghazali yang diselesaikan pada hari Ahad, waktu Asar 27 Rabiulawal, waktu Jim tahun 1253 H. Secara kebetulan pula dalam tahun yang sama (1253 H) terdapat sebuah salinan Bidayah Hidayah itu oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang dilakukan di Mekah. Kedua-dua manuskrip salinan tersebut ada dalam simpanan saya.
3. Anis al-Muttaqin karya Syeikh Abdus Shamad ibnu Faqih al-Husein bin Faqih Abdullah. Penyalinan diselesaikan pada waktu Asar, hari Sabtu, 6 Jamadilawal 1254 H di Pontianak.
4. Tanbih ath-Tullab karya Syeikh Syamsuddin bin Abdullah as-Sumatra-i. Penyalinan diselesaikan pada waktu Asar, hari Isnin, 15 Jamadilawal 1254 H di Pontianak. Apabila kita semak tarikh penyalinan nombor tiga dengan nombor empat, ini bererti ketika selesai menyalin nombor tiga langsung disambung dengan nombor empat. Ini adalah mencerminkan satu kesungguhan, kerajinan dan bertanggungjawabnya Haji Muhammad Mustahyi Bugis yang tersebut.

Ternyata Haji Muhammad Mustahyi al-Buqisi al-Buni menyelesaikan salinan manuskrip yang banyak di Pontianak. Tiada dapat dinafikan bahawa keturunan ulama-ulama Bugis yang tersebut sangat ramai di Pontianak khususnya, dan Kalimantan Barat, umumnya.
Di antara mereka ialah, Haji Muhammad Nur yang menyerahkan beberapa buah manuskrip dalam bahasa Arab tersebut kepada saya pada tahun 1976. Masih banyak manuskrip dalam simpanan beliau, terutama sekali yang ditulis oleh Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi dengan huruf Bugis, dalam bahasa Bugis yang beliau sangat menyayanginya, dipelihara dengan baik dibungkus dengan kain kuning.

Setelah Haji Muhammad Nur tersebut meninggal dunia, saya tidak mengetahui khazanah tersebut diserahkan kepada siapa. Selain Haji Muhammad Nur, keturunan ulama-ulama Bugis yang tersebut ialah Tuan Guru Haji Ismail al-Buqisi, beliau ini adalah Mufti Kerajaan Kubu, Kalimantan Barat. Tuan Guru Haji Ismail al-Buqisi pada satu ketika, bersama Mufti Haji Ismail bin Abdul Majid yang berasal dari Kelantan berperanan penting di kerajaan Pontianak.

FAKHRUDDIN AL-FALIMBANI

Ulama Kesultanan Palembang Darus Salam
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

FAKTA untuk menjejaki ulama yang berasal dari Palembang ini ialah sebuah manuskrip karya beliau yang selesai ditulis pada 16 Syaaban 1297 H/24 Julai 1880 M, selanjutnya disebut MS 1731 (PMM-PNM). Tarikh tersebut saya jadikan bukti bahawa saya tidak sependapat dengan beberapa pendapat yang menyebut bahawa usia Kemas Fakhruddin lebih tua daripada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.

Menurut penyelidikan saya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani lebih dulu menghasilkan karya, iaitu, Zahrah al-Murid tahun 1178 H/1764 M dan Risalah Nikah tahun 1179 H/1764 M. Pada hari Ahad, 8 Rabiulawal 1421 H/11 Jun 2000 M, sewaktu saya ke Ranai, Pulau Natuna/Bunguran Timur saya peroleh sebuah karya besar Kemas Fakhruddin berjudul Futuh asy-Syam, jilid pertama.

Kitab Futuh asy-Syam tersebut dicetak dengan huruf batu (litografi) milik Datuk Kaya Wan Husein, Datuk Kaya Bunguran/Natuna di Ranai. Kitab tersebut diserahkan kepada saya oleh cucunya, Urai Nurseha binti Urai Utsman di rumahnya di Ranai pada hari dan tarikh seperti tersebut di atas. Oleh sebab kitab tersebut hanya dijumpai jilid pertama, maka belum diketahui tahun selesai penulisan dan nama tempat mencetak juga tidak jelas.

PERBANDINGAN TAHUN

Berdasarkan informasi, manuskrip Futuh asy-Syam yang lengkap dapat dikesan tersimpan di School of Oriental and African Studies (Universiti London) dengan nombor kelas MS 11505. Sebagaimana telah saya sebutkan bahawa Futuh asy-Syam cetakan huruf batu (litografi) yang dijumpai di Pulau Natuna belum diketahui tarikhnya. Namun, kerana dapat dikesan manuskripnya yang bernombor kelas MS 11505 ada dinyatakan tarikh, iaitu diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar 1183 H/Jun 1769 M, maka dirasakan perlu membuat analisis perbandingan.

Di atas telah saya sebutkan sebuah naskhah MS 1731 (PMM-PNM) karya Syeikh Kemas Fakhruddin yang diselesaikan pada 16 Syaaban 1297 H/24 Julai 1880 M. Memperhatikan jarak tahun pengkaryaan antara tahun 1183 H dengan 1297 H yang bererti sekitar 114 tahun, bererti ulama yang berasal dari Palembang tersebut berusia sangat panjang. Atau kemungkinan terjadi kekeliruan penulisan tahun yang diberikan. Atau kemungkinan terdapat dua orang ulama bernama Kemas Fakhruddin di Palembang.

Jika kita dapat menerima tahun yang diberikan oleh Dr. Aryumardi Azra bahawa Syeikh Fakhruddin hidup antara tahun 1133 H/1719 M - 1177 H/1763 M, ini bererti Syeikh Fakhruddin hanya berusia 44 tahun. Dengan perbandingan ini bererti bertambah sukar mencari data yang tepat tentang Syeikh Kemas Fakhruddin. Dengan diperoleh tahun penulisan Futuh asy-Syam, 1183 H/1769 M, ternyata juga ia tidak lebih dahulu daripada kedua-dua karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Zahrah al-Murid tahun 1178 H/1764 M dan Risalah Nikah tahun 1179 H/1764 M. Daripada pelbagai informasi ada diriwayatkan bahawa karya-karya Syeikh Kemas Fakhruddin dihasilkan atas permintaan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo (1171 H/1758 M-1190 H/1776 M).

Penulisan

Jika kita perhatikan tahun penulisan Futuh asy-Syam, 1183 H/1769 M, bererti memang dalam masa pemerintahan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo, tetapi di Futuh asy-Syam MS 11505 terdapat catatan bahawa ``atas kehendak Pangeran Ratu ibni Paduka Seri Sultan Ahmad Najamuddin Kerajaan Palembang Darul Ihsan''. Ini sangat meragukan kerana dalam pemerintahan Palembang terdapat lagi nama Sultan Ahmad Najamuddin Pangeran Ratu yang memerintah tahun 1234 H/1819 M-1236 H/1821 M dan Sultan Ahmad Najamuddin Prabu Anom yang memerintah 1236 H/1821 M-1238 H/1823 M.

Ada pun penulisan MS 1731 (PMM-PNM), 1297 H/1880 M, adalah bukan pada zaman pemerintahan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo (1171 H/1758 M - 1190 H/1776 M), tetapi tahun yang berdekatan ialah pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Najamuddin Pangeran Ratu (1234 H/1819 M-1236 H/1821 M) dan Sultan Ahmad Najamuddin Prabu Anom (1236 H/1821 M-1238 H1823 M). Penulisan MS 1731 (PMM-PNM), 1297 H/1880 M bererti terjadi pada tahun kesultanan Palembang telah dimansuhkan oleh Belanda (pemansuhan terjadi tahun 1825 M). Daripada hal-hal yang tersebut di atas saya berkesimpulan bahawa masih sukar menentukan tahun-tahun kehidupan Syeikh Kemas Fakhruddin yang sedang dibicarakan ini, walau pun beliau telah menghasilkan karangan yang cukup memadai.

SENARAI KARYA DAN KETERANGAN

Informasi karya-karya Syeikh Kemas Fakhruddin berdasarkan tulisan Salman Aly setakat ini baru diketahui empat buah. Sungguh pun demikian bagi saya dua buah di antaranya masih belum jelas sebagai karyanya, yang akan dijelaskan sebagai berikut di bawah ini:
1. Tuhfah az-Zaman fi Zharfi Ahli al-Yaman. Kitab ini dikatakan karya Syeikh Kemas Fakhruddin disebut oleh Salman Aly. Walau bagaimana pun manuskrip judul ini yang tersimpan di Perpustakaan Bodleian Universiti Oxford MS. Malay ternyata nama penterjemah tidak terdapat. Oleh itu masih diragukan sebagai karya Syeikh Kemas Fakhruddin.

Mengenai tahun selesai penulisan ada catatan dinyatakan di Palembang tahun 1175 H/1761 M. Karya ini bererti mendahului karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani berjudul Zahrah al-Murid (1178 H/1764 M) sekitar tiga tahun. Manuskrip setebal 324 halaman di atas kandungan keseluruhannya ialah mengenai ilmu falakiyah / astronomi. Pada mukadimah digubah puisi dalam bahasa Melayu, adalah sebagai berikut: ``Bahawa ini kitab ramal namanya, karangan Syeikh Syaddadiyah namanya Negeri Yaman tempat kediamannya, telah masyhurlah di dalam zamannya Tersurat ia pada hari Jumaat, pada bulan Safar ketika Zuhrah. Seribu seratus diperhijrah, tujuh puluh lima tarikh Nubuwah. Adalah yang menyurat kitab ini, faqir yang hina dalam negeri. Daripada surat ibni as-Sulthani, Pangeran Ratu negeri Falimban. Hai sekalian orang `arif yang ikhwan, jika dikau lihat maknanya bersalahan. Perbaiki olehmu supaya bayan, kepada yang thalib berteman kesukaan. Kerana Pangeran sangat bebalnya, belum tahu pada bahasa Arabnya. Melayu pun lagi belum didapatnya, daripada sangat berkehendak padanya.''
2. Khawash al-Quranil `Azhim. Salman Aly menulis, ``... sebuah kitab yang penuh kutipan-kutipan al-Quran terutama yang berkenaan dengan nilai-nilai luhur. Kitab yang ditulis pada tahun 1769 ini dianggap oleh van Ronkel sebagai sebuah karya terjemahan dari Tamimi''. Saya memiliki sebuah manuskrip yang tersebut ini yang diperoleh di Pontianak pada 17 Ramadan 1420 H/20 Disember 1999 M. melalui Rahmatillah dan Muhammad Safar yang diperoleh di persekitaran istana kesultanan Pontianak.

Benar

Pendapat Salman Aly di atas masih belum dapat diterima sepenuhnya kerana pada manuskrip tersebut tidak terdapat nama Syeikh Kemas Fakhruddin sebagai penterjemahnya. Yang dapat disepakati ialah kandungannya memang benar membicarakan fadhilat-fadhilat ayat-ayat dalam al-Quran. Mulai penulisan 1183 H/1769 M. Bererti dalam tahun yang sama dengan penulisan Futuh asy-Syam. Pada mukadimah dinyatakan bahawa kitab ini diterjemahkan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu adalah disuruh oleh Paduka Seri Ratu Ahmad Najamuddin. Karya asal disusun oleh asy-Syeikh al-Imam al-'Alim al-Hakim al-Fadhil Ahmad bin Muhammad at-Tamimi Radhiyallahu `anhu.

3. Futuh asy-Syam, 1183 H/1780 M, kandungannya merupakan hikayat lengkap peperangan yang dilakukan oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. sehingga berhasil menakluk negeri Syam. Keseluruhan kandungannya merupakan petikan daripada karangan Syeikh Abu Abdullah Muhammad bin Umar al-Waqidi (lahir 130 H/747 M, wafat 207 H/823 M). Halaman akhir jilid pertama ditutup dengan kalimat, ``Syahdan kemudian daripada perang Hamash ini, maka iaitu menyambutkanlah waqi'ah perang tempat yang bernama Yarmuk. Maka di dalam perang itu, iaitu terlalu besar. Dan perang Yarmuk apabila tampaklah beberapa kelebihan dan ketinggian agama Islam dan tampaklah beberapa mukjizat Rasulullah Shallallahu alaihi kemudian daripada wafatnya di dalam perang. Inilah nyata shadaqal Quran al-'Azhim ... Dan perang inilah hampir-hampir habis kekuatan ahlir Rum adanya''. Kalimat terakhir daripada keseluruhan judul ini ditulis dalam bentuk puisi:
``Selesai kitab Futuh asy-Syam tersebut, pada bulan Safar, pada malam Jumaat.
Seribu seratus daripada hijrat, delapan puluh tiga tarikh Nubuwat
Dan adalah yang menyurat kitab ini, yang bernama Kemas Fakhruddini.
Dengan disuruh Pangeran Ratu ibni Paduka Seri Sulthan Ahmad Najamuddini.
Yang duduk di atas Kerajaan Negeri Palembang Jawi Darul Ihsan''.
4. Mukhtashar Fat-hir Rahman, 16 Syaaban 1297 H/1879 M.

KEKELUARGAAN KEMAS

Sekian banyak tulisan yang telah saya baca mengenai Syeikh Kemas Fakhruddin maka tidak seorang pun menyebut nama orang tua ulama Palembang tersebut, demikian juga keturunannya. Yang pasti istilah `Kemas' barangkali digunakan untuk golongan kaum bangsawan yang berasal dari Palembang.

Beberapa orang ulama Palembang yang menggunakan istilah `Kemas' untuk namanya, di antaranya ialah: Kiyai Haji Kemas Muhammad Azhari (Kiyai Pedatukan), Kiyai Haji Kemas Abdur Rahman (Kiyai Delamat), Kemas Muhammad bin Ahmad dan ramai lagi. H. Rusdhy Cosim dalam Sejarah Kerajaan Palembang dan Perkembangan Hukum Islam menulis nama Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga meletakkan istilah `Kemas' pada awal nama. Saya berkesimpulan kemungkinan Syeikh Kemas Fakhruddin memang ada pertalian dekat dengan semua ulama Palembang yang layak diletakkan istilah `Kemas' pada awal namanya itu.

Tuesday, September 06, 2005

IMAM MUHAMMAD DAHLAN


Ulama Jawa termasyhur di Selangor
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SEWAKTU Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani sebagai Syeikhul Islam Selangor, pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman, terdapat ramai ulama yang datang dari pelbagai pelosok dunia Melayu di kerajaan Selangor. Di antara mereka ada yang sengaja diajak oleh Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, dan ada juga yang datang dengan kemahuan sendiri. Sebagaimana beberapa siri yang lalu telah diperkenalkan ulama yang berasal dari Jawa yang terkenal di peringkat antarabangsa, kali ini diperkenalkan pula ulama yang berasal dari Jawa yang berperanan di Kerajaan Selangor dan sekitarnya. Beliau aktif dalam penyalinan kitab-kitab bahasa Arab, menterjemah beberapa kitab yang dipandang penting ke bahasa Jawa, menulis karangan sendiri dalam bahasa Jawa dan hanya sedikit jumlahnya yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Sebelum membicarakan ulama yang dimaksudkan lebih terperinci di bawah ini, saya petik tulisan beliau sendiri yang ditulis dalam bahasa Arab dan di bawahnya diberi gantungan bahasa Jawa, terjemahan maksudnya sebagai berikut, ``... Haji Muhammad Dahlan bin Kiyahi Hasan al- Minhaj Perumpung, Kebumen, Jawa. Orang tua lelaki berasal dari Banjarnegara. Kemudian berpindah ke Kampung Perumpung, Kebumen. Kemudian berpindah ke Negeri Si-
ngapura. Kemudian berpindah ke Klang. Kemudian beliau meninggal dunia, dikuburkan di Simpang Lima, Klang, Selangor.'' Haji Muhammad Dahlan lahir pada 26 Rejab 1313 H/12 Januari 1894 M dan wafat di Madinah, Zulhijjah 1398 H/November 1978 M

Imam Muhammad Dahlan mempunyai ramai keturunan yang belum sempat saya ungkapkan, tetapi yang dapat disentuh adalah seorang cucunya Ahmad Shukri bin Haji Ghazali, iaitu Imam Masjid Bandar Baru Sungai Buloh. Bahawa ibu Ahmad Shukri bernama Hajah Badariah, iaitu anak kepada Imam Haji Muhammad Dahlan yang dibicarakan ini. Haji Ghazali bin Haji Siraj, ayah Ustaz Haji Ahmad Shukri, adalah salah seorang murid Imam Haji Muhammad Dahlan. Haji Ghazali bin Haji Siraj dalam tahun 2005 ini memperoleh Tokoh Keluarga Mithali Negeri Selangor 2005.

KARYA-KARYANYA BERBAHASA ARAB

1. Kitabul Faraidh, diselesaikan malam Sabtu, Rabiulawal 1341 H/November 1921 M. dalam bentuk manuskrip asli. Kandungannya membicarakan kaedah membahagi pusaka
2. Mukhtasharut Tarkibil Jurumiyah, mulai menulis pada 14 Zulhijjah 1347 H di Kapar Road Klang, Selangor. Dalam bentuk manuskrip asli. Kandungannya membicarakan ilmu nahu untuk peringkat kanak-kanak.
3. Khutbah Jumaat, diselesaikan pada hari Isnin, akhir Syawal 1350 H. Kandungan khutbah Jumaat yang pertama dan kedua yang ditulis dalam bahasa Arab untuk Kerajaan Selangor dalam masa pemerintahan Sultan Sulaiman bin Sultan Musa bin Sultan Abdus Samad. Dalam bentuk manuskrip asli.

Karya salinan dalam bahasa Arab pula adalah sebagai berikut:
1. Qazhun Niyam fima yata'allaqu bish Shiyam, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Manuskrip salinan daripada cetakan awal bulan Syaaban 1321 H, tanpa menyebut nama percetakan. Karangan Saiyid Utsman Betawi. Nama penyalin yang pertama Ahmad Dahlan bin Abdullah, disalin pada 2 Rejab 1324 H. di Darat Semarang. Disalin yang kedua daripada salinan yang pertama oleh Muhammad Dahlan bin Muhammad Minhaj berasal dari Kampung Perumpung, Kebumen, pada 25 Rabiulawal 1340 H. Kandungannya membicarakan tentang ilmu falak.
2. Shiaghu Shalawati `alan Nabiyi Shallallahu alaihi wa Sallam, tanpa tarikh. Nama pengarang asal Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Salinan di-
selesaikan pada malam Selasa, awal Safar 1350 H. Salinan ini ialah daripada naskhah yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1316 H. Kandungannya membicarakan pelbagai selawat atas Nabi s.a.w. terutama Shalawat Saiyidi Syeikh Ahmad al-Badawi dan Shalawat Saiyidi Syeikh Abdul Qadir al-Jilani. Kandungan tambahan ialah mengenai tasawuf.
3. Syarhu `Uqudil Lujjain fi Bayani Huquqiz Zaujain oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Diselesaikan waktu Dhuha, hari Ahad 27 Muharam 1294 H. Salinan diselesaikan di Sungai Pinang, Klang, Selangor pada hari Khamis, waktu Dhuha, 25 Zulkaedah 1351 H. Kandungannya membicarakan hak-hak dan adab orang yang bersuami dan beristeri
4. Sulukul Jadah wa zalatuz Zulumah wal Mu'anadah liman Raghaba fi Iqamatil Jum'ati ma'al I'adah, tanpa tarikh. Salinan diselesaikan pada malam Ahad, 24 Syaaban 1362 H. Kandungannya membicarakan sembahyang Jumaat, perbahasan yang terpenting mengulangi sembahyang Zuhur sesudah Jumaat (i`adah). Merupakan syarah karya Syeikh Salim bin Samir al-Hadhrami (wafat di Betawi) yang berjudul Lum'atul Mafadah fi Bayanil Jum'ati wal Mu'adah.
5. Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah, tanpa tarikh. Kitab ini adalah karya Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Manuskrip salinan daripada yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 H. Keadaan manuskrip sangat uzur. Kandungannya merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadis Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh Syihabuddin Ahmad al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqaini .
6. Tuhfatul Murid `ala Jauharatit Tauhid, tanpa tarikh. Salinan oleh Haji Muhammad Dahlan bin Kiyahi Hasan Minhaj, juga tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan akidah Ahlis Sunnah wal Jama'ah
7. Bab Hawasyi minar Rumuz `ala Jauharatit Tauhid, tanpa tarikh. Salinan oleh Haji Muhammad Dahlan bin Kiyahi Hasan Minhaj, juga tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan rumuz nama beberapa orang ulama yang terkenal, cukup menyebut beberapa huruf saja, tanpa menggunakan nama yang panjang. Kegunaannya adalah untuk memudahkan membaca kitab-kitab syarah dan hasyiyah yang hanya menggunakan huruf-huruf Abjad.

Setelah kita mengetahui karya Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj dalam bahasa Arab dan karya salinan, terdapat lagi karya yang beliau tulis dalam bahasa Jawa. Hasil karya beliau yang ditulis dalam bahasa Jawa lebih banyak. Nampaknya tentang bahasa Melayu kurang beliau kuasai jika dibandingkan dengan bahasa Arab, apatah lagi jika dibandingkan dengan bahasa Jawa. Sewaktu saya menulis artikel ini, saya belum menemui kitab karya beliau dalam bahasa Melayu.

Yang ada beliau tulis dalam bahasa Melayu hanyalah berupa catatan yang pendek-pendek. Sungguh pun karya-karya Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj dalam bahasa Jawa banyak yang penting-penting, namun saya tinggalkan saja kerana kekurangan ruangan untuk membicarakannya. Insya-Allah mengenainya akan dibicarakan dalam sejarah hidup beliau yang lebih lengkap pada waktu-waktu yang akan datang.

ULAMA DUNIA MELAYU

Daripada semua karya Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj, terdapat nama-nama penting para ulama yang berasal dari dunia Melayu atau ulama dunia luar yang ada hubungannya dengan dunia Melayu.

Daripada informasi ini dapat dihubungkaitkan untuk menjejaki sanad atau salasilah dengan keilmuan Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj. Nama-nama yang dimaksudkan ialah seumpama Sayid Utsman Betawi, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Ulama Arab pula di antaranya ialah Saiyid Abi Bakri Syatha, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Utsman ad-Dimyathi dan lain-lain.
Dapat dipastikan semua ulama yang tersebut mempunyai hubungan sanad atau salasilah pelbagai bidang keilmuan Islam. Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj mempu-
nyai pertalian sanad/salasilah dengan Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Kemungkinan Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj adalah murid kepada adik ulama ini, ialah Kiyai Haji Muhammad Dimyathi bin Abdullah at-Tarmasi (wafat 1934 M) kerana nama ini ada beliau sebut dalam tulisannya.

Sahabat

Oleh itu sekurang-kurangnya sebuah karya Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi, mengenai hadis yang berjudul Al-Khal'atul Fikriyah telah beliau salin. Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi adalah sahabat Tok Kenali Kelantan, Mufti Haji Abdullah Fahim dan lain-lain. Semua mereka adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani adalah murid Sayid Abi Bakri Syatha.

Sekali gus beberapa orang murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk ulama-ulama yang tersebut juga sempat belajar kepada Sayid Abi Bakri Syatha. Dari sini bermula sanad pelbagai keilmuan Islam yang naik kepada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mekah pada zaman itu. Syeikh Ahmad al-Fathani dan gurunya Sayid Abi Bakri Syatha sebagai murid kepada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Syeikh Nawawi al-Bantani juga murid Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan walau pun kedua-duanya sebaya umur. Daripada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan naik kepada Syeikh Utsman ad-Dimyathi dan seterusnya hingga akhir sanad.

Ada persamaan jenis tarekat yang diamalkan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani, Syeikhul Islam, Selangor dan Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj. Kedua-duanya mengamalkan Thariqat Syathariyah. Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani mendapat tawajjuh dan bai`ah Thariqat Sythariyah daripada Syeikh Wan Ali Abdur Rahman Kutan al-Kalantani, tetapi Imam Muhammad Dahlan Hasan Minhaj mendapat tawajjuh dan bai`ah Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Haji Muhammad Ali Sejangkang.

Penyelidikan

Bagaimanakah biografi Syeikh Haji Muhammad Ali Sejangkang masih memerlukan penyelidikan. Sejangkang berada di dalam Selangor, sedangkan ulama yang tersebut masih di dalam `selubung' yang masih belum `terselakkan'. Kedua-dua salasilah di atas bertemu pada Syeikh Muhammad As'ad. Daripada Syeikh Muhammad As'ad melalui muridnya, ulama yang sa
ngat terkenal, iaitu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani turun ke bawah termasuklah Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Daripada Syeikh Muhammad As'ad melalui muridnya Syeikh Haji Asy'ari, yang juga masih belum terungkapkan, turun ke bawah termasuklah Imam Muhammad Dahlan bin Hasan Minhaj.

Untuk lebih jelas tentang Silsilah Thariqat Syathariyah Imam Muhammad Dahlan dapat dibaca dalam kertas kerja yang berjudul Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad Al-Fathani dan Ulama Selangor, yang dibahas (dibentangkan) pada hari Ahad, 20 Rabiulakhir 1426 H/29 Mei 2005 M. di Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor Darul Ehsan.

Selain mengamalkan Thariqat Syathariyah, Imam Muhammad Dahlan bin Muhammad Minhaj juga mengamalkan dua tarekat yang lain, iaitu Thariqat Khalwatiyah dan Thariqat `Ulwiyah /Thariqat `Alawiyah. Keterangan lanjut kedua-dua tarekat ini terpaksa ditangguhkan kerana kekurangan ruangan.