Monday, September 26, 2005

SYEIKH ABDUL HAMID

Berguru di Mekah Tentang Golongan Tajdid
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PADA zaman raja-raja Melayu masih berkuasa, di sekitar Sumatera Utara yang terdiri daripada beberapa kerajaan, seperti Deli, Serdang, Asahan, Binjai, Langkat dan lain-lain, sangat ramai melahirkan para ulama besar yang keilmuan dan kemasyhuran namanya menjangkau ke seluruh dunia Melayu, kerana di antara mereka juga menghasilkan kitab yang sempat beredar dengan luasnya. Di antara ulama-ulama yang berasal dari daerah tersebut seumpama Syeikh Hasanuddin bin Ma'shum @ Syeikh Hasan Ma'shum, Mufti Syeikh Muhammad Isa, Syeikh Abdul Wahhab Rokan, Syeikh Muhammad Zain Nuruddin bin Syeikh Imam Abbas al-Khalidi Batu Bahara Pasir Dahari Inderapura, Mufti Haji Muhammad Nur Langkat, Kadi Haji Muhammad Nur bin Ismail Langkat dan masih ramai lagi.

Di antara sekian ramai ulama yang berasal dari kerajaan-kerajaan tersebut termasuk juga ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini. Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud. Ayah dan datuk neneknya berasal dari Talu, Minangkabau. Abdul Hamid dilahirkan di Tanjung Balai Asahan tahun 1298 H/1880 M. Wafat pada hari Khamis, petang Jumaat pada 10 Rabiulakhir 1370 H/18 Februari 1951 M.

Murid-murid para ulama yang tersebutlah yang mengasaskan Jam'iyatul Washliyah, iaitu sebuah organisasi Islam yang ditubuhkan di Sumatera Utara. Jam'iyatul Washliyah berfahaman mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah pada pegangan akidah, Mazhab Syafie dalam fikah. Jam'iyatul Washliyah dalam pegangannya banyak persamaan dengan Persatuan Tarbiyah Islamiyah (PERTI) yang diasaskan oleh para ulama Sumatera Barat (Minangkabau). Para ulama pengasas PERTI bersahabat dengan para ulama Sumatera Utara yang tersebut di atas kerana seperguruan di Mekah, termasuk juga Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan.
Perlu juga saya sentuh di sini, bahawa para ulama Sumatera Utara termasuk juga Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan dan para ulama yang bergabung dalam PERTI sangat menentang golongan tajdid/reformis, fahaman yang tidak mengikut mazhab itu dibawa ke dunia Melayu terutama di Minangkabau oleh sahabat-sahabat mereka juga. Di antara tokoh tajdid di Minangkabau ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah (ayah Prof. Dr. Hamka). Beliau mendapat tentangan hebat daripada sahabatnya, Syeikh Hasan Ma'shum sahabat Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan. Guru mereka, Syeikh Ahmad al-Fathani ketika itu telah meninggal dunia, tetapi Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi ketika itu masih hidup. Dalam peristiwa polemik antara Dr. Haji Abdul Karim Amrullah dengan Syeikh Hasan Ma'shum, ternyata Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi membenarkan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Syeikh Hasan Ma'shum. Dalam satu tulisan Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi mengakui bahawa kedua-dua ulama yang seorang berasal dari Minangkabau dan yang seorang lagi berasal dari Deli itu adalah sama-sama murid beliau. Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi dalam tulisannya menyatakan juga bahawa anak beliau Haji Abdul Karim Amrullah beranggapan bahawa orang lain tidak pernah faham dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiyah, padahal menurut Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, para ulama telah meneliti beberapa karangan Ibnu Taimiyah, ternyata terdapat kelemahan-kelemahan, maka ramai golongan ulama Syafi`iyah dan ulama-ulama lainnya menolak hujah-hujah Ibnu Taimiyah itu.

PENDIDIKAN

Sejak kecil beliau belajar kepada saudara iparnya bernama Haji Zainuddin, Kadi Asahan. Sesudah itu beliau memperdalam pelbagai ilmu kepada Syeikh Hasyim Tua dan selanjutnya belajar kepada seorang ulama yang paling terkenal di Asahan ketika itu, beliau ialah Syeikh Muhammad Isa, Mufti Kerajaan Asahan di Tanjung Balai Asahan. Setelah beberapa tahun belajar kepada Syeikh Muhammad Isa, beliau menganjurkan supaya Abdul Hamid melanjutkan pelajarannya ke Mekah kerana pada firasatnya Abdul Hamid merupakan bumi yang subur untuk persemaian ilmu-ilmu yang ada pada para ulama. Ketika sampai di Mekah, beliau terus diterima belajar dalam halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani, tetapi hanya sekitar dua tahun saja kerana Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia (1325 H/1908 M). Suasana sedih menyelubungi sekujur tubuh, zahir dan batinnya, kerana walaupun bergaul hanya sekitar dua tahun, namun rasa kasih sayang terhadap Syeikh Ahmad al-Fathani adalah sebati dan mesra ke jiwa rohaninya.

Walaupun perasaan sedih sangat sukar dihilangkan, namun Abdul Hamid tiada kehilangan pedoman. Beliau terus memasuki halaqah pengajian beberapa ulama, di antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau, Syeikh Muhammad bin Ismail @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani @ Tok Cik Wan Daud al-Fathani, dan ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu lainnya. Abdul Hamid juga belajar kepada beberapa ulama Arab, di antaranya ialah Sayid Abdullah az-Zawawi. Pembelajarannya terganggu disebabkan terjadi perang dunia pertama (1914 M - 1918 M). Abdul Hamid terpaksa pulang ke tanah kelahirannya Tanjung Balai Asahan.
Kemungkinan Abdul Hamid Asahan turun dari Mekah bersama gurunya Sayid Abdullah az-Zawawi dalam peristiwa diburu oleh pihak yang mengikut pegangan Muhammad bin Abdul Wahhab, bahawa Mufti Mekah Sayid Abdullah az-Zawawi bersama muridnya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Sayid Abdullah az-Zawawi seterusnya ke Riau dan terakhir sekali dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak. Di antara ulama yang seangkatan dengan Abdul Hamid Asahan (lahir 1298 H/1880 M) ketika belajar di Mekah ialah Haji Muhammad Nur bin Ismail (lahir 1296 H/1879 M), Kadi Langkat yang lebih tua sekitar lebih setahun saja daripada beliau. Syeikh Muhammad Zain Nuruddin bin Syeikh Abbas al-Khalidi Batu Bahara Pasir Dahari Inderapura juga seangkatan dengan Abdul Hamid Asahan tetapi Syeikh Muhammad Zain Nuruddin tidak sempat belajar kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, kerana sewaktu beliau sampai ke Mekah Syeikh Ahmad al-Fathani telah meninggal dunia.

Selain seangkatan dengan kedua-dua orang ulama tersebut, Abdul Hamid Asahan juga seangkatan dengan beberapa ulama dunia Melayu yang berperanan di negeri-negeri kelahiran mereka atau di tempat-tempat lain yang ditujunya. Mereka ialah; Abu Bakar bin Hasan al-Muari (lahir 1292 H/1875 M), Syeikh Muhammad Said bin Syeikh Jamaluddin Linggi (lahir 1292 H/1875 M), Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani (lahir 1293 H/1876 M), Ismail bin Abdul Majid (lahir 1293 H/1876 M, Umar bin Cik Ahmad Besut, Terengganu (lahir 1295 H/1878 M) dan masih ramai lagi.

AKTIVITI DI ASAHAN

Sekitar dua tahun selepas perang dunia pertama, tepatnya pada tahun 1916 M, Syeikh Abdul Hamid dan kawan-kawan mengasaskan Madrasah 'Ulumil 'Arabiyah, sekali gus beliau adalah sebagai mudirnya yang pertama.

Dari sehari ke sehari nama Abdul Hamid tambah masyhur dalam kerajaan Asahan, bahkan seluruh Sumatera Timur. Dalam tahun 1930 M Abdul Hamid dikirim oleh kerajaan Asahan mengunjungi Mekah dan Mesir. Di Mekah, Abdul Hamid mendapat kehormatan sebagai anggota pemeriksa Ma'ahad Su'udiyah, sebuah sekolah tinggi di kerajaan Saudi pada zaman itu.
Madrasah Ulumil Arabiyah adalah termasuk pusat pendidikan Islam penting di Asahan, bahkan termasuk di antara madrasah yang terkenal di Sumatera Utara yang seganding dengan Madrasah Islam Stabat, Langkat, Madrasah Islam Binjai, Madrasah al-Hasaniyah Medan dan lain-lain. Sangat ramai ulama besar Sumatera Utara yang belajar di madrasah-madrasah tersebut, di antara mereka yang sangat terkenal seperti Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis (lahir Ramadan 1326 H/Oktober 1908 M, wafat 25 Jamadilawal 1392 H/6 Julai 1972 M). Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis melibatkan diri dalam banyak aktiviti, di antaranya sebagai seorang pendidik mulai daripada golongan rendah sampai yang tertinggi, menghasilkan banyak karangan dalam pelbagai bidang ilmu, tokoh yang mampu berdialog/berdebat dengan pihak Kristian dan banyak lagi. Ulama besar dan tokoh ini belajar di Madrasah Ulumil Arabiyah yang diasaskan oleh Abdul Hamid Asahan tersebut dalam tahun 1923 M - 1924 M. Dipercayai beberapa orang ulama Sumatera Utara terkenal yang seangkatan dengan Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis juga pernah belajar kepada Abdul Hamid Asahan. Di antara mereka seperti; Zainal Arifin Abbas, Al-Ustaz Abdul Halim Hasan, Abdul Rahim Haitami dan lain-lain.

PENULISAN

Menjelang perang dunia kedua, sekitar tahun 1930an, Abdul Hamid menyelesaikan beberapa buah karangan, yang dapat diketahui ialah:
1. Ad-Durusul Khulasiyah,
pernah dicetak di Mekah.
2. Al-Mathalibul Jamaliyah,
pernah dicetak di Mekah.
3. Al-Mamlakul `Arabiyah.
4. Nujumul Ihtiba.
5. Tamyizut Taqlidi minal Ittiba.
6. Al-Ittiba.
7. Al-Mufradat.
8. Mi'rajun Nabi.

Oleh sebab semua karangan beliau yang tersebut di atas belum saya miliki, maka data lengkap belum dapat diperkenalkan dalam artikel ini. Selain mengarang kitab, Abdul Hamid juga pernah menerbitkan majalah bahasa Arab dan Melayu yang diberi judul Majallah `Ulumil Islamiyah. Majalah ini tidak berumur panjang, hanya dua kali terbitan dalam tahun 1939 M. Di dalamnya terdapat tulisan-tulisan Syeikh Mustafa al-Maghari, Syeikhul Azhar, Mesir, Syeikh Abdul Quddus, guru Madrasah Ulumis Syar'iyah Madinah.

Saya berkesimpulan bahawa Abdul Hamid Asahan termasuk salah seorang ulama besar Sumatera Utara, walaupun ilmu beliau dalam pelbagai bidang namun tetap bertahan dalam golongan Ahlus Sunnah wal Jama'ah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi dalam pegangan akidah, pengikut yang setia kepada Mazhab Syafie dalam fikah dan dalam ajaran tasawuf berpegang dengan imam-imamnya yang muktabar seperti Syeikh Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali dan lain-lain. Pemikiran tokoh tajdid/ reformis dalam karya-karya mereka sebagai perbandingan bukan menjadi satu pegangan asas akidah dan amalan.

1 Comments:

Blogger baam58 said...

Bisa nggak saya dapatkan data yg lebih lengkap mengenai Syeikh Abdul Hamid. Istrinya dan keturunannya serta alamat dan kalau masih ada pesantrennya.

7:11 PM  

Post a Comment

<< Home