ULAMA NUSANTARA

Tuesday, December 27, 2005

RAJA BADARIYAH

Cendekiawan Istana Riau
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

RAJA Badariyah binti Raja Muhammad Tahir bin Tengku Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau ke IX adalah seorang pengarang, yang menulis karya berjudul Adab al-Fatah, tahun selesai penulisannya tidak dinyatakan. Cetakan pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, Singapura 1344 H/1925 M. Raja Badariyah adalah adik dan murid Raja Muhammad Sa'id bin Raja Muhammad Tahir. Beliau berkahwin dengan saudara sepupunya, Raja Ali/Tengku Selat. Daripada perkahwinan itu beliau dikurniakan anak, Raja Fatimah. Keturunannya ramai di Singapura dan Malaysia. Mengenai Raja Ali/Tengku Selat dapat dirujuk dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 29 November 2004, Seksyen 3 halaman 9. Mengenai orang tuanya, Raja Muhammad Tahir dapat dirujuk dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan Isnin, 25 Oktober 2004, Seksyen 3, halaman 10.

Sumber asli

Raja Badariyah adalah seorang 'alimah, termasuk tokoh perempuan Riau-Lingga yang penting. Ketika beliau akan meninggal dunia, Raja 'Umar bin Raja Hasan, saudara sepupunya dari sebelah ibunya, mencatat dengan lengkap riwayatnya, yang dimuatnya dalam satu jurnal. Kemudian jurnal tersebut disalin oleh Raja Ali/Tengku Selat. Di bawah ini saya transliterasikan daripada salinan Raja Ali/Tengku Selat itu, sebagai berikut:
"Disalin daripada jurnal almarhum Raja Umar, dengan khatnya sendiri. Pada 10 Rabiulawal, malam Ahad 71/2 (7.30, pen:) 1347 (Hijrah) bersamaan 26 Ogos 1928 (Masihi), datang Husein bin Raja Abdullah disuruh Tengku Ali memberi khabar kepada hamba menyatakan Raja Badariyah uzur benar. "Jika hendak berjumpa segeralah datang !". Padahal alhaqir di dalam sakit dada dan belikat, belum dapat bangun.

Maka telah dijawab, "Baiklah!". Sejurus hamba pun berkhabar kepada ahli hamba Raja Khazanah, "Baik kita naik ke darat bawa sekali anak-anak, dan tidur di sana sekali kerana Encik Badariyah itu berat sakitnya." Jawabnya, "Baiklah!" Terus mencari motokar. Pukul 8 datang lagi Husein berkhabar bertambah uzur Raja Badariyah. Maka hamba pun turun ke motokar serta anak-anak isteri. Kami ke rumah besar Batu Lima . Hamba lihat Raja Badariyah terlantar sakit di sebelah luar majlis rumah itu dihadapi oleh suaminya Tengku Ali, dan bondanya, Raja Maimunah, dan bonda saudaranya, Raja Putri, dan kerabat-kerabat lelaki dan perempuan, dan isi rumah hadir semuanya. Iaitu hal keadaan ingat dan kenal akan hamba datang dan yang datang kemudian daripada hamba daripada kerabat dan lain-lainnya, dan di dalam berkata memberi nasihat kepada sekalian yang hadir. "Kalau ia mati janganlah ia ditangiskan kerana semua yang bernafas merasai mati."

Hutang

Dan mana-mana hutangnya terutama hutang beras disuruhnya Tengku Ali membayarnya. Dan berulang-ulang meminta ampunkan segala dosanya kepada suaminya, Tengku Ali dan ibunya, Raja Maimunah, dan ibu saudaranya, Raja Putri dan Raja Umar, Raja Andi, Raja Manshur dan kepada sekalian yang hadir. Maka semuanya mengaku memaafkan. Dan hamba berkhabar kepadanya, "Ingat-ingatlah, kita di dalam sihat dilebihkan takut daripada harap. Tetapi di dalam sakit lebihkan harap kepada Allah dan taubat daripada sekalian dosa." Jawabnya, "Patik turutlah dan harap tempat patik di dalam jannah. Doakan patik!"

Dan dibacakan Yasin oleh suaminya, Tengku Ali dengan hafaz, maka diikutinya. Dan mana tersalah baca oleh Tengku Ali diperbetulkannya hingga akhirnya. Kemudian berulang-ulang mengucap ia berpuluh-puluh kali "Asyhadu an la ilaha illallah wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah" dengan maknanya. Dan bertanya pula, "Betul(kah) tidak?"

Apabila sudah dijawab betulnya, berulanglah ia mengucap pula. Kemudian meminta ampunkan segala dosanya dan beberapa kali pula. Ingat sangat ia akan kerabat-kerabat hampir, jauh. Dipintanya Tengku Ali memeliharakan baginya yang telah lalu jua, jangan berubah-ubah apa lagi ibunya dan ibu saudaranya, Raja Putri, dan isi rumah semuanya. Jawab Tengku Ali, "Insya-Allah Taala, mana-mana sekuasanya. Dan tolonglah awak doakan, mohonkan kepada Allah Taala akan keselamatan sekalian kerabat-kerabat kita semuanya!"

Maka ia pun mengangkatkan kedua-dua belah tangannya dengan membaca doa yang panjang dengan bahasa Arab memohonkan keselamatan dirinya dan segala kerabatnya semuanya. Kemudian ia memberi selamat tinggal kepada yang hadir, istimewa kepada Tengku Ali, Raja Andi, Raja Umar, ketiga-tiganya diakui sahabat padanya. Dan mengingatkan, "Masa kita semua di dalam senang, sentosa semuanya di Riau, kemudian ditakdirkan (oleh) Allah Taala keluar kita semua ke Singapura ini di dalam faqir dan dagang. Sekarang alhamdulillah dengan sebab sabar kita, dapat kita semua keluasan."

Demikianlah, semalam-malaman ia tidur-tidur sebentar-sebentar kemudian mengucap pula dan bercakap pula, "Janganlah susah-susah!" Nampak-nampaknya sahaja dia sakit, tetapi tidak ada sakit apa-apa hanyalah pada pandangan ramai sahaja. Kemudian tidur sebentar, bangun mengucap dan bercakap-cakap dan berpesan dengan suaminya, (bahawa) apabila ia telah mati bila cukup setahun-setahun hendaklah ingat akan dia dan mintakan ampun sekalian dosanya. Dan jangan memberat-beratkan diri menjamu orang ramai atau memanggil orang-orang ramai bertahlil. "Memadailah dengan abang Ali sahaja."

Kemudian mengucap dia dengan berulang-ulang. Akhirnya sehingga pukul 4.30, terlena ia dengan tersenyum, maka diajar oleh Tengku Ali dengan talkin. Maka diturutnya dengan fashahatnya tiada telor-telor, (ialah) "La ilaha illallah" sambil ia memalingkan badannya dan mukanya ke sebelah kiblat dengan meletakkan tangannya ke atas paha Tengku Ali. Maka inilah akhir ucapannya tiada ia berkata-kata lagi. Lebih kurang lima minit kemudian, tersenyum mukanya, melayanglah rohnya mengadap hadrat Tuhan Yang Maha Tinggi dengan nyatanya 'husnul khatimah'nya, insya-Allah Taala."

Raja 'Ali/Tengku Selat menutup catatannya dengan katanya, "Dan pada 27 Rabiulawal 1347 berbetulan 12 September 1928 siang Arba' (Rabu, pen:) pukul 121/4 waktu itulah berlaku kudrat Allah Taala atas Raja 'Umar bin al-Marhum Raja Hasan Riau kembali ke rahmatullah Taala. Dikuburkan berhampiran dengan kubur Marhumah Raja Badariyah, Perkuburan Qasim Keling, Batu Enam Sigelap."

Petikan pemikiran

Raja Badariyah termasuk pemikir dalam usaha menerbitkan penulisan-penulisan Kerabat Diraja Riau-Lingga, sewaktu mula-mula diasaskan Mathba'ah al-Usrah dan Mathba'ah Al-Ahmadiah yang kedua-duanya di Singapura. Raja Badariyah bersama-sama Raja Ali/Tengku Selat (suaminya) dan Raja 'Umar bin Raja Hasan (saudara sepupu kedua-duanya) dengan mengambil tempat berfikir dan bekerja keras di nombor 50 Minto Road, Singapura, iaitulah Mathba'ah Al-Ahmadiah.

Pada mukadimah Adab al-Fatah mengawali tulisannya, "Manakala telah menterjemahkan oleh guruku dan saudaraku, yang aku kasihi akan kitab Adab al-Fata, dan dithaba' akan dia akan thaba' yang pertama di dalam Mathba'ah Al-Ahmadiah, 50 Minto Road, Singapura, maka tergeraklah pula khatirku pada menterjemah Adab al-Fatah dan menthaba' akan dia di dalam mathba'ah yang tersebut jua." Yang dimaksudkan dengan perkataannya "guruku dan saudaraku" ialah Raja Muhammad Sa'id. Dari sini dapat diketahui pendidikannya bahawa Raja Badariyah mendapat pendidikan sama dengan golongan para putera dan puteri Diraja Riau-Lingga lainnya. Diriwayatkan bahawa Raja Badariyah juga mendapat pendidikan langsung daripada ayahnya Raja Muhammad Tahir bin al-Marhum Mursyid yang terkenal itu.
Kalimat Raja Badariyah dalam Adab al-Fatah sebahagian bertujuan ke arah pendidikan akhlak, pada mukadimah beliau tulis ".Kehendakku menterjemahkan kitab ini kerana anak-anak bangsaku yang dikasihi, dan tanah airku yang disayangi, istimewa pula memelihara, dan mengajar, dan melatih, dan membiasakan kanak-kanak pada semula jadinya dengan perangai yang elok dan tingkah laku yang baik. Itu adalah wajib dipersungguhkan lebih daripada mengajar ilmu pengetahuan. "

Memperhatikan perkembangan zaman kita sekarang, bahawa sangat ramai orang berilmu pengetahuan, tetapi tidak sedikit ilmu pengetahuan itu tidak bermanfaat pada dirinya dan masyarakat disebabkan akhlaknya bejat atau tidak senonoh. Jalan pemikiran Raja Badariyah mengenai yang tersebut patut diambil iktibar, oleh itu salinan kalimat beliau selanjutnya perlu diperkenalkan.

Kata beliau, "Maka ilmu pengetahuan dengan tiada beserta perangai kepujian itu tiadalah boleh diharap mendapat kejayaan di dalam tubuh perhimpunan manusia ini kerana selalu kedapatan orang yang berilmu yang tiada baginya adab dan perangai yang baik. Terkadang dengan ilmu yang semata-mata itulah yang menolong ia berbuat kejahatan."

Pandangan

Selanjutnya Raja Badariyah mengemukakan pandangan untuk saudara-saudara, dan secara umum ditujukan kepada putera dan puteri bangsa Melayu, katanya, "Wahai segala saudara-saudaraku dan segala anak bangsaku, belajarlah kamu dengan bersungguh-sungguh, supaya tertanamlah perangai yang baik itu di dalam hati kita. Maka pengajaran perangai itu atasnyalah peredaran ketuahan dan manfaat yang sebenar."

Ketepatan pandangan Raja Badariyah yang beliau tulis tahun 1344 H/1925 M, dapat kita saksikan pada masa kini (1426 H/ 2005 M), yang mana pada zaman kita orang berlumba-lumba dengan pelbagai kepandaian dan diakui banyak keberhasilannya. Walau bagaimanapun ramai orang yang sedar akan kegagalan memperbaiki akhlak generasi muda yang terlibat dalam banyak hal yang merosakkan diri sendiri dan masyarakat, apatah lagi ditinjau dari sudut hukum syarak boleh dikatakan mengalami kegagalan.

Persoalan kecanduan atau ketagihan dadah, pergaulan remaja lelaki dan perempuan secara bebas tanpa batas termasuk yang masih sukar dibendung. Apa yang disebut di atas adalah sebagai cemeti untuk kita belajar, berfikir dan melaksanakan ajaran agama Islam yang sangat menekankan supaya pelajaran akhlak atau berperangai elok didahulukan sejak kanak-kanak masih kecil lagi. Kita belum terlambat, oleh itu marilah berjuang ke arah berperangai yang baik demi menyelamatkan Islam yang dianut, bangsa dan negara yang dicintai.

SYEIKH SULAIMAN AR-RASULI

Pahlawan Mazhab Syafie
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

AKHIR-akhir ini, baik dalam percakapan mahupun dalam siaran akhbar, banyak dibicarakan tentang Wahabi. Sebenarnya kadang-kadang orang yang menggunakan istilah tersebut ataupun mereka yang menulis mengenainya sendiri tidak mengerti apa yang mereka perkatakan. Ketika pertama kali perkara 'khilafiyah' melanda dunia Melayu, terutama di Jawa dan Sumatera pada 1912 dan hangat dibicarakan tahun 1930-an, istilah Wahabi belum begitu popular. Yang popular ialah istilah 'Kaum Muda'. Kaum Muda sangat kontroversi dengan 'Kaum Tua'.
Yang dimaksudkan dengan istilah 'Kaum Muda' ialah golongan yang terpengaruh dengan pemikiran Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya, Sayid Rasyid Ridha, kedua-duanya pemikir Islam terkenal di Mesir. Istilah 'Kaum Muda' disebut juga dengan istilah 'Tajdid' (pembaharuan) atau juga istilah 'Reformis'. Dalam konteks ketiga-tiga istilah tersebutlah, muncul apa yang akhir-akhir ini diistilahkan orang dengan Wahabi atau Wahabiyah.

Istilah tersebut digunakan oleh orang yang tidak menyukai mereka, namun golongan yang dipanggil Wahabi itu lebih suka kepada istilah 'Salafi' atau 'Salaf'. Istilah 'Salafi' banyak dibicarakan di Indonesia, dan belum begitu dikenali di Malaysia dan Patani.

Istilah 'Kaum Tua' adalah golongan ulama yang tetap mengikut salah satu mazhab yang empat dalam fiqh. Dalam konteks dunia Melayu ialah Mazhab Syafie. Dalam akidah pula ialah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang berpedomankan dua orang imam iaitu Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Dalam tasawuf Kaum Tua berimamkan Syeikh Junaid al-Baghdadi.

Tokoh yang diriwayatkan dalam rencana kali ini adalah seorang ulama besar Indonesia yang berasal dari Minangkabau, Sumatera Barat. Beliau adalah golongan Kaum Tua yang sangat gigih mempertahankan Mazhab Syafie.

Nama beliau ialah Syeikh Sulaiman ar-Rasuli al-Minankabawi, lahir di Candung, Sumatera Barat, 1287 H/1871 M, wafat pada hari Sabtu, 29 Jumadilawal 1390 H/1 Ogos 1970 M.

Pendidikan

Pendidikan terakhir Syeikh Sulaiman ar-Rasuli al-Minankabawi adalah di Mekah. Ulama Malaysia yang seangkatan dengan beliau dan sama-sama belajar di Mekah di antaranya ialah Syeikh Utsman Sarawak (1281 H/1864 M - 1339 H/1921 M), Tok Kenali (1287 H/1871 M - 1352 H/1933 M) dan ramai lagi. Yang berasal dari Indonesia pula di antaranya ialah Kiyai Haji Hasyim Asy'ari, Jawa Timur (1287 H/1871 M - 1366 H/1947 M), Syeikh Hasan Maksum, Sumatera Utara (wafat 1355 H/1936 M), Syeikh Khathib Ali al-Minankabawi, Syeikh Muhammad Zain Simabur al-Minankabawi (bersara menjadi Mufti Kerajaan Perak tahun 1955 dan wafat di Pariaman pada 1957), Syeikh Muhammad Jamil Jaho al-Minankabawi, Syeikh Abbas Ladang Lawas al-Minankabawi dan ramai lagi.

Ketika tinggal di Mekah, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli al-Minankabawi selain belajar dengan Syeikh Ahmad Khatib Abdul Lathif al-Minankabawi, beliau juga mendalami ilmu-ilmu daripada ulama Kelantan dan Patani. Antaranya, Syeikh Wan Ali Abdur Rahman al-Kalantani, Syeikh Muhammad Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.

Perjuangan

Jalan cerita Syeikh Sulaiman ar-Rasuli kembali ke Minangkabau sama dengan kisah kepulangan sahabatnya Tok Kenali ke Kelantan, iaitu setelah kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani (11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M). Tok Kenali sesampainya di Kelantan langsung memulakan penyebaran ilmunya melalui sistem pendidikan pondok yang dinamakan 'Jam'iyah al-'Ashriyah' (nama ini adalah maklumat terkini yang saya peroleh melalui telefon daripada Zaidi Hasan di Kota Bharu, Kelantan).

Demikian juga dengan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli. Sesampainya beliau di Bukit Tinggi, Sumatera, beliau mula mengajar menurut sistem pondok. Walau bagaimanapun, pengajian sistem pondok secara halaqah iaitu bersila di lantai dalam pendidikan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli berubah menjadi sistem persekolahan duduk di bangku pada 1928, namun kitab-kitab yang diajar tidak pernah diubah.

Pada tahun 1928 itu juga, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli bersama sahabat-sahabatnya Syeikh Abbas Ladang Lawas dan Syeikh Muhammad Jamil Jaho mengasaskan Persatuan Tarbiyah Islamiyah. Kemudian persatuan tersebut menjadi sebuah parti politik yang mempunyai singkatan nama PERTI. Baik dalam sistem pendidikan mahupun perjuangan dalam parti politik, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli dan kawan-kawannya secara tegas dan berani mempertahankan dan berpegang dengan satu mazhab, iaitu Mazhab Syafie.

Ini bererti PERTI agak berbeza dengan Nahdhatul Ulama (NU) yang diasaskan oleh Kiyai Haji Hasyim Asy'ari dan kawan-kawan di Jawa Timur. Dasar Nahdhatul Ulama (NU) adalah berpegang pada salah satu mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali). Ia tidak menegaskan mesti berpegang pada Mazhab Syafie seperti PERTI.

Kiyai Haji Sirajuddin Abbas dalam bukunya, Sejarah dan Keagungan Mazhab Syafie, menulis, "Beliau seorang ulama besar yang tidak menerima faham Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha." (Lihat cetakan kedua, Aman Press, 1985, hlm. 298.) Di antara ulama Minangkabau yang gigih menyokong pemikiran kedua-dua ulama Mesir itu ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah dan Syeikh Thahir Jalaluddin al-Azhari. Ini bermakna, kedua-dua ulama yang sama-sama berasal dari Minangkabau dan semuanya seperguruan itu adalah musuh polemik Syeikh Sulaiman ar-Rasuli dan ulama-ulama dalam PERTI lainnya.

Prof. Dr. Hamka dalam bukunya yang berjudul Ayahku menulis, "Cuma beliau (maksudnya Dr. Haji Abdul Karim Amrullah) berselisih dalam satu perkara, iaitu Syeikh Sulaiman ar-Rasuli mempertahankan Thariqat Naqsyabandiyah, dan salah seorang di antara Syeikhnya (mungkin maksudnya Syeikh Saad Mungka, musuh polemik Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau, pen:), sedangkan pihak Dr. Haji Abdul Karim Amrullah dan Syeikh Jambek tidak suka kepada tarekat itu.”

Demikian juga dalam hal puasa dengan hisab. Syeikh Sulaiman ar-Rasuli lebih menyetujui rukyah. Pernah beliau berkata, "Bagaimana tuan-tuan Kaum Muda! Kata tuan hendak kembali kepada sunah, tetapi dalam hal puasa yang nyata-nyata diperintahkan rukyah, tuan-tuan kembali mengemukakan ijtihad." (Lihat cetakan ketiga, Djajamurni, Jakarta, 1963, hlm. 247.)
Pertikaian pendapat yang disebut oleh Buya Hamka antara beliau (Dr. Haji Abdul Karim Amrullah) dengan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli berdasarkan petikan tulisan di atas tidak banyak. Sebenarnya pertikaian pendapat antara 'Kaum Tua' dengan 'Kaum Muda' pada peringkat awal sangat banyak. Sekurang-kurangnya ada 19 perkara. Contohnya perkara 'muqaranah niat sembahyang' dan 'menjiharkan lafaz niat', Syeikh Sulaiman ar-Rasuli dan semua ulama Kaum Tua mewajibkan 'muqaranah niat sembahyang' dan 'menjiharkan lafaz niat' adalah sunat.
Berdasarkan sepakat semua ulama, 'zakat fitrah' wajib dibayar dengan makanan yang mengenyangkan. Tidak sah dibayar dengan nilai berupa wang. Perkara ini tetap dipertahankan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli, semua ulama dalam PERTI, di samping ulama dalam Nahdhatul Ulama (NU), dan semua ulama di seluruh dunia Islam yang masih tetap berpegang teguh kepada Mazhab Syafie. Perdebatan mengenai zakat gaji atau zakat pendapatan tidak pernah muncul pada zaman Syeikh Sulaiman ar-Rasuli kerana ia baru muncul pada awal 1990-an, bertitik mula daripada pendapat Syeikh Yusuf al- Qardhawi.

Mengenai sembahyang tarawih dalam bulan Ramadan, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli dan Kaum Tua mempertahankan 20 rakaat atau 23 rakaat dengan witir. Kaum Muda mengerjakan tarawih 8 rakaat atau 11 dengan witir. Sungguhpun ramai orang melemparkan segala yang dipertikaikan adalah berasal daripada golongan yang mereka namakan Wahabi, ternyata di Masjid al-Haram, Mekah, sembahyang tarawih dan witir juga dilakukan 23 rakaat, bukan 11 rakaat tarawih dengan witir.

Bahkan Syeikh Abdul Aziz Abdullah Baz (ulama kerajaan Arab Saudi) dalam menjawab perkara tersebut berfatwa bahawa sembahyang tarawih dan witir 23 rakaat adalah sepakat para sahabat Nabi Muhammd s.a.w.. Terlalu banyak perkara khilafiyah untuk dibicarakan, rasanya contoh ini sudah cukup memadai.

Kenyataan Buya Hamka yang menyebut bahawa "Syeikh Sulaiman ar-Rasuli mempertahankan Thariqat Naqsyabandiyah, dan salah seorang di antara Syeikhnya" memang benar, tetapi dalam satu riwayat lain, Syeikh Sulaiman ar-Rasuli membantah Thariqat Naqsyabandiyah yang diperkenalkan oleh Dr. Syeikh Jalaluddin. Bantahan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli tersebut dituangkan dalam Tabligh al-Amanat fi Izalah al-Munkarat wa asy-Syubuhat, bertarikh 19 Jumadilakhir 1373 H pada 23 Januari 1954 M. Buku ini dicetak oleh Mathba'ah Nusantara, Bukit Tinggi pada 1373 H/1954 M.

Pengaruh

Pada tahun 1950-an Indonesia pernah mengadakan pilihan raya membentuk sebuah badan atau lembaga yang dinamakan 'Konstituante'. Tujuan Konstituante ialah untuk menentukan Indonesia sama ada membentuk negara Islam ataupun negara nasional. Syeikh Sulaiman ar-Rasuli, salah seorang anggota Konstituante dari PERTI, telah dilantik mengetuai sidang pertama badan itu. Konstituante dibubarkan oleh Presiden Soekarno dengan Dekri Presiden 5 Julai 1959. Jadi Indonesia sebagai negara nasional bukan ditentukan oleh Sidang Konstituante tetapi ditentukan oleh Presiden Soekarno.

Beberapa orang ahli sejarah telah mencatatkan bahawa Syeikh Sulaiman ar-Rasuli adalah memang seorang ulama besar yang berpengaruh terhadap kawan dan lawan. Sejak zaman pemerintah Belanda, pembesar-pembesar Belanda datang menziarahi beliau. Demikian juga pemimpin-pemimpin setelah kemerdekaan Indonesia. Soekarno sejak belum menjadi Presiden Indonesia hingga setelah berkuasa memang sering berkunjung ke rumah Syeikh Sulaiman ar-Rasuli. Pada hari pengkebumian beliau, dianggarkan 30,000 orang hadir termasuk ramai pemimpin dari Jakarta, bahkan juga dari Malaysia.

Pandangan

Paparan mengenai khilafiyah yang saya sentuh dalam artikel ini tiada bermaksud untuk berpihak kepada sesuatu pihak. Kita yang hidup pada zaman sekarang sewajarnya cukup matang untuk membuat penilaian. Pertikaian pendapat (khilafiyah) jika ditinjau dari satu segi, adalah merugikan umat Islam kerana ia boleh mengakibatkan permusuhan sesama Islam yang dilarang oleh agama Islam itu sendiri. Ditinjau dari segi yang lain, ia mungkin menguntungkan kerana dengan adanya khilafiyah bererti mencambuk mereka yang rajin membuat penelitian.
Orang-orang yang jujur dalam penilaian ilmu, yang berdepan dengan khilafiyah, mestilah rajin membaca banyak kitab dan buku berbagai-bagai ilmu.

Orang yang mempunyai ilmu yang pelbagai dan banyak pengalaman akan adil dalam penilaian, tetapi orang yang mempunyai ilmu sejenis dan kurang pengalaman akan sukar untuk berlaku adil dalam segala persoalan.

Tuesday, December 20, 2005

KIYAI MUHAMMAD SHALIH AL FATHANI

Ahli Falak Nusantara
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

BARANGKALI ramai yang menyangka bahawa hanya sedikit sekali ulama dunia Melayu yang ahli atau pakar dalam disiplin ilmu falak. Ak- hir-akhir ini sebahagian besar seminar mengenai falak di Malaysia yang sangat ditonjolkan ialah Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Fahim. Oleh itu melalui Ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan yang lalu saya cuba memperkenalkan Raja Muhammad Sa'id bin Raja Muhammad Tahir Riau, sebagai intelektual dan ulama yang ahli dalam bidang falak, yang mendahului kedua-dua ulama yang berasal dari Minangkabau (Syeikh Tahir Jalaluddin) dan Patani (Syeikh Abdullah Fahim) itu. Artikel ini pula memperkenalkan intelektual dan ulama yang ahli dalam bidang falak, yang sezaman dengan Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Fahim.

Ulama ahli falak dunia Melayu yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Kiyai Muhammad Shalih bin Syeikh Abdur Rahman Gudang bin Muhammad Ali bin Ismail al-Fathani. Menurut riwayat, beliau dilahirkan di atas kapal di Sabang, di bahagian utara Aceh. Tarikh tepat kelahiran belum diketahui. Nasab dari sebelah lelaki yang dapat dijejaki ialah berasal dari Patani. Berdasarkan tulisan Kiyai Muhammad Shalih bahawa beliau berasal dari Kampung Cabang Tiga Patani. Diriwayatkan pula nasab yang lebih ke atas adalah berasal daripada salah seorang keturunan raja di Aceh. Berdasarkan tulisan Kiyai Muhammad Shalih juga bahawa beliau tinggal di beberapa tempat, iaitu di Mekah, Johor, Kampung Sawah, Tanjung Karang (Sumatera Selatan), Bengkalis (Riau), Ranai, Bunguran Timur, Tanjung Pinang (Riau) dan terakhir sekali di Palembang (Sumatera Selatan).

PENDIDIKAN

Dalam bidang khusus tentang falak, ada persamaan riwayat Kiyai Muhammad Shalih jika kita bandingkan dengan riwayat Raja Muhammad Sa'id. Ayah Raja Muhammad Sa'id, bernama Raja Muhammad Tahir Riau adalah seorang ahli falak yang menghasilkan penulisan mengenai ilmu itu, demikian halnya dengan Kiyai Muhammad Shalih. Ayahnya Syeikh 'Abdur Rahman Gudang al -Fathani, juga seorang ahli falak yang menghasilkan penulisan tentang falak.

Kiyai Muhammad Shalih selain mendapat pendidikan ilmu falak daripada ayahnya, beliau juga mendapat pendidikan ilmu-ilmu keislaman yang mendalam daripada ayahnya di Mekah. Oleh itu Kiyai Muhammad Shalih dalam bidang-bidang tertentu juga dianggap sebagai seorang ulama yang pakar. Ilmu-ilmu yang dianggap Kiyai Muhammad Shalih sangat pakar ialah ilmu-ilmu bahasa Arab, seperti nahu, sharaf, balaghah, dan lain-lain. Kerana Kiyai Muhammad Shalih dipandang sangat ahli dalam bidang ilmu-ilmu Arabiah, sebab itulah beliau diminta menjadi guru oleh pihak Kuliyah Al- Attas Johor Bahru, Bahagian Arab mengajar di sekolah Arab yang sangat terkenal di Johor pada zaman itu.

Mengenai Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani mengajar di Kuliyah Al-Attas Johor Bahru, Bahagian Arab pernah dimuat dalam majalah Pengasuh, bilangan 454, 5 Safar 1353 H/17 Mei 1934 M. Setelah Indonesia merdeka (1945), Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani dilantik sebagai pegawai tinggi di Departemen Agama Republik Indonesia, mulai bertugas di Palembang tahun 1948, selanjutnya di beberapa tempat di Riau. Selanjutnya di Palembang lagi, sehingga beliau meninggal dunia di sana.

PENULISAN

Dalam tahun 1980an saya memiliki dan mendapat maklumat beberapa buah karangan Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani, ialah Risalah Sullam at-Tarsyid fi Ahkam at-Tajwid, cetakan pertama Anglo Asiatic Press, Singapura, 1932, Almanak Arabi Dan Masehi Buat Selama-Lamanya. Karya ini diselesaikan di Kampung Sawah, Tanjung Karang, Sumatera Selatan pada 18 Safar 1368 H/19 Disember 1948 M. Diterbitkan sendiri oleh penyusunnya ketika tinggal di Bengkalis, Riau pada 17 Julai 1952 M. Dalam karya ini Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani menulis pandangan dan pesan untuk bangsanya, kata beliau, "Hargailah usaha daripada bangsa sendiri". Tulisan beliau pula, "Hargailah tenaga pengetahuan bangsa sendiri."
Sebuah karangan Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani yang belum dijumpai, yang pernah diiklan dalam sebuah karya beliau ialah tentang ilmu balaghah. Karya tersebut diberi judul Mabadi al-Balaghah li al-Madrasah al-'Arabiyah. Berdasarkan iklan yang dikeluarkan dapat diketahui bahawa juzuk yang pertama mengandungi ilmu al-ma'ani. Juzuk yang kedua tentang ilmu al-bayan. Juzuk yang ketiga tentang ilmu al-badi.

Ketika diadakan Seminar Ilmu Falak Sheikh Tahir Jalaluddin dan Sheikh Abdullah Fahim: Perintis Ilmu Falak Moden, beberapa karya Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani, koleksi saya telah dipamerkan. Koleksi mengenai ilmu falak mendapat sambutan yang menggalakkan terutama bagi para pengkaji ilmu falak. Dalam seminar anjuran Jabatan Mufti Pulau Pinang, Unit Penyelidikan Ilmu Falak & Sains Atmosfera, USM dan Pusat Islam USM, 1 Syaaban 1426 H/5 September 2005 M, di Hotel Gurney, Pulau Pinang itu saya perolehi sebuah karya Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani mengenai falak yang selama ini belum saya miliki. Karya tentang falak yang saya anggap sangat penting itu saya terima daripada salah seorang pemakalah, Baharruddin bin Zainal (Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) Universiti Putra Malaysia). Kepada beliau saya ucapkan terima kasih kerana di samping kajian moden beliau ambil peduli terhadap khazanah yang bercorak klasik yang pernah ditulis oleh ulama kita dunia Melayu. Karya Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani yang dimaksudkan ialah Risalah Durar al-Azman Pada Mengirakan Pang kal Tiap-Tiap Tahun Dan Bulan. Mengenai karya yang tersebut perlu dibahas agak panjang, seperti yang diulas di bawah ini.

Pada halaman pertama setelah judul beliau menggunakan nama Abi 'Abdir Rahman Muhammad Shalih 'Abdur Rahman al-Fathani. Di bawah nama diberi keterangan bahawa beliau adalah Guru Bahagian Bahasa Arab di Sekolah Tinggi atau Kolej Islam Johor Baharu Darul Ta'zim. Pada halaman berikutnya, pada bahagian atas dinyatakan, "Berbahagialah risalah ini dapat dikarang pada masa yang sangat berbahagia Maulana as-Sultan Ibrahim bin al-Marhum as-Sultan Abu Bakar Sultan Johor". Diiringi dengan doa, "Dikekalkan oleh Allah akan kerajaannya selama ada bulan dan bintang, Amin, Amin, Amin". Di bawah kalimat di atas terdapat gambar beliau. Diberi keterangan "Dikemukakan gambar ini supaya kita berkenal-kenalan".

Pada mukadimah Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani, bahawa yang menggalakkan beliau menyusun risalah tersebut ialah al-Mu'allim Ismail 'Umar, Batu Pahat, Sekreteri Kulliah al-'Attas, pada masa Johor diperintah oleh Sultan Ibrahim. Sesudah mukadimah disebut beberapa nama kitab hisab dan falak yang dirujuk, ialah Minhaj al-Qawim Pada Menyatakan Hisab dan Taqwim, al-Fawaid al-Fikriyah, Miftah at-Ta'lim Berkenaan Dengan Hisab Dan Taqwim, Karangan Yang Mulia Raja Muhammad Thahir Bin al-Marhum Raja 'Abdullah al-Falaki, Kitab Syams al-Ma'arif al-Kubra dan Syams al-Fathiyah Berkenaan Dengan A'mal Jaibiyah.
Ada pun rujukan yang berjudul Minhajul Qawim adalah karangan orang tua beliau, iaitu Syeikh 'Abdur Rahman Gudang al-Fathani. Risalah tersebut selesai ditulis pada 14 Ramadan 1310 H/1892 M, ditemui cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah 1314 H/1896 M. Rujukan yang berjudul Miftah at-Ta'lim adalah karangan Tuan Guru 'Umar brangan Tuan Guru 'Umar bin Ismail Nuruddin Sungai Keladi yang selesai penulisannya di Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan pada waktu Zuhur, hari Khamis, 18 Zulhijjah 1343 H/9 Jun 1925 M. Cetakan yang pertama Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan, 6 Rejab 1344 H/19 Januari 1926 M. Syeikh Tahir Jalaluddin walau pun dikatakan sangat terkenal, namun tidak disentuh oleh Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani. Mengenai ini barangkali kemunculan karangan dalam bentuk buku Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani lebih dulu daripada Syeikh Tahir Jalaluddin. Risalah Durar al-Azman Pada Mengirakan Pangkal Tiap-TiapTahun Dan Bulan, karangan Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani yang dibicarakan ini diselesaikan pada pagi hari Isnin, 1 Muharam 1353 H/16 April 1934 M bererti mendahului karangan Syeikh Tahir Jalaluddin yang berjudul Natijatul 'Umur, selesai penulisan tahun 1355 H/1936 M. Tetapi jika dibandingkan dengan tulisan Syeikh Tahir Jalaluddin yang mulai dimuat dalam Natijah terbitan Mathba'ah AI- Ahmadiah, Singapura, tahun 1346 H/1927-1928 M bererti karangan falak Syeikh Tahir Jalaluddin telah mendahului karangan falak Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani.

KETURUNAN

Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani berkahwin pertama kali dengan anak pembesar Kerajaan Siak Seri Inderapura, iaitu anak Datuk Hamzah bin Endut, Bentara Kiri Kerajaan Siak Seri Inderapura. Daripada perkahwinan itu beliau memperoleh empat orang anak; 1. 'Abdur Rahman Shalih al-Fathani. Beliau ini saya jumpa di rumahnya di Jakarta Barat, pada 18 Februari 1986. Selanjutnya adik-adiknya yang dicatatkan di bawah ini adalah berdasarkan yang saya peroleh darpada beliau pada tarikh tersebut di atas. 2. Siti Aisyah Shalih, di Pekanbaru, Riau. 3. Ahmad Bustami Shalih di Bandung. 4. Faridah Kartini Shalih, di Pekanbaru, Riau. Perkahwinan dengan isteri yang berasal dari Palembang, Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani memperoleh anak sebagai yang berikut: 5. Drs. M. Hatta, di Jakarta. 6. Jamal. 7. Farid. 8. Faishal. 9. Hamidah dan 10. Jamilah.

Memperhatikan Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani memperoleh anak sepuluh orang, bererti ramai keturunan beliau di Indonesia. Sedangkan keturunan adik beradik Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani ramai pula di Patani, Malaysia dan Mekah. Hingga artikel ini saya tulis usaha-usaha keluarga ini mencatat nama-nama, tempat tinggal dan pelbagai aktiviti mereka sedang dijalankan. Pada pandangan saya usaha yang demikian adalah termasuk dalam rangka menghubungkan silaturrahim yang dianjurkan oleh agama Islam, apatah lagi terhadap seseorang yang bersejarah. Berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w. bahawa menghubungkan silaturrahim termasuk salah satu sebab yang boleh memanjangkan umur seperti juga memperbanyak sedekah dan doa. Demikianlah riwayat Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani, ulama besar Nusantara, yang wafat di Palembang, Sumatera Selatan, tarikh kewafatannya belum diketahui.

RAJA AHMAD THABIB

Doktor Kerajaan Riau
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA dan tabib atau doktor perubatan yang diriwayatkan dalam artikel ini adalah cucu daripada tokoh besar dalam sejarah Melayu. Dari sebelah ayah beliau adalah cucu Raja Ali Haji, ahli bahasa dan sejarah yang cukup terkenal. Dari sebelah ibunya pula ialah keturunan daripada Raja Abdullah atau al-Marhum Mursyid, Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke IX. Ulama dan tabib yang dimaksudkan ialah Raja Ahmad Thabib bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji Riau. Ibunya Raja Maimunah adalah puteri Raja Abdullah atau al-Marhum Mursyid. Berdasarkan tulisan Raja Muhammad Yunus Ahmad, dalam Peringatan dinyatakan bahawa Raja Ahmad Thabib lahir tahun 1282 H/1865 M. Dari sumber yang lain diriwayatkan beliau lahir di Pulau Penyengat Indera Sakti.

Berdasarkan sebuah buku catatan tulisan Raja Muhammad Sa'id bin Raja Jaafar dengan lengkap bahawa adik beradik Raja Ahmad Thabib ada 12 orang. Mereka ialah: 1. Raja Abdullah Hakim (seorang ulama besar, Hakim Kerajaan Riau-Lingga), 2. Raja Khalid Haitami (ulama dan tokoh politik, meninggal dunia di Jepun sewaktu menjalankan urusan rahsia/sulit demi memerdekakan seluruh dunia Melayu yang sedang dijajah), 3. Raja Ahmad Thabib (yang sedang diriwayatkan dalam artikel ini), 4. Raja Manshur, 5. Raja Mariyah, 6. Raja Qamariah, 7. Raja Umar (Mudir Mathba'ah Al-Ahmadiah yang pertama), 8. Raja Ali Andi, 9. Raja 'Abdur Rasyid, 10. Raja Kaltsum, 11. Raja Rahah, dan 12. Raja 'Amimah

Sumber terawal tentang Raja Ahmad Thabib ditulis agak ringkas oleh Raja Muhammad Yunus bin Raja Ahmad dalam Peringatan, No.1, th.1, Mei 1939, dicetak oleh Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan, Singapura. Dalam tulisan tersebut terdapat gambar Raja Ahmad Thabib ketika berusia 77 tahun. Di sini saya salin selengkapnya tanpa perubahan bahasa, kecuali ejaan lama diganti dengan ejaan sekarang, adalah sebagai berikut, "Yang Mulia Raja Haji Ahmad bin Raja Hasan, bekas Thabib Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdur Rahman al-Muazzam Syah, bekas Sultan Riau. Yang Mulia ini diputerakan tahun 1282 H (1865 M, pen:). Dalam tahun 1299 H (1881 M, pen:) berangkat ke Mekah. Setelah mengerjakan haji dan melawat seluruh Tanah Arab baharu kembali ke Penyengat, iaitu dalam tahun 1300 H (1882 M, pen:).
''Dalam tahun 1301 H (1883 M, pen:) setelah Yang Mulia ini dapat akuan daripada tabib yang masyhur di Penyengat mulai menjadi Thabib patikuler (maksudnya: swasta, pen:). Dan dalam tahun 1319 H (1901 M, pen:) diangkat menjadi tabib kerajaan dan bagi Duli Yang Mulia Sultan dengan besluit (maksudnya: pengesahan menjadi pegawai kerajaan) bertarikh 25 Rabiulawal 1319 H, No. 6/8. Kemudian setelah terpecat Sultan Riau dari tahta kerajaannya maka Yang Mulia dikurnia oleh Governement Holanda pensiun (pencen, pen:) dimulai dari tahun 1911 M hingga sampai sekarang (maksudnya hingga tahun 1939, sewaktu Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad, riwayat dalam Peringatan, pen:).
''Di Penyengat rupanya dahulu telah menjadi satu negeri yang mempunyai beberapa orang tabib yang masyhur di antaranya banyak orang masih ingat akan kebijakan Thabib Engku Haji Daud P", demikianlah tulisan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad dalam Peringatan.

Daripada beberapa maklumat yang telah dikumpulkan, Raja Ahmad Thabib menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah: 1. Syair Nasihat Pengajaran Untuk Memelihara Diri, 2. Syair Tuntutan Kelakuan, 3. Risalah Rumah Ubat Raja Haji Ahmad Pulau Penyengat Riau.

Praktik penelitian langsung di lokasi yang saya lakukan di rumah Raja Abdullah Hakim (adik beradik Raja Ahmad Thabib), di Pulau Penyengat, Riau, pada 2 Syaaban 1418 H/2 Disember 1997 M ternyata lebih banyak bahan untuk dibicarakan. Penelitian saya lakukan bersama salah seorang waris tersebut bernama Tengku Fuad bin Tengku Muhammad Yusuf dapat mengesan beberapa buah risalah ilmu perubatan yang ditinggalkan oleh Raja Ahmad Thabib masih dalam bentuk manuskrip dan catatan tersimpan dalam rumah saudaranya itu.

Sebenarnya jauh sebelum tarikh tersebut di atas, dalam tahun 1962 rumah tersebut memang tempat saya berulang alik. Beberapa buah kitab dalam koleksi Raja Abdullah Hakim tamat saya baca, namun ketika itu saya belum tahu membuat penilaian. Beberapa perkara mengenai perubatan Raja Ahmad Thabib saya perkenalkan sebagai berikut: Khasiat Dan Kaifiat Guna Ubat Tuan Brokdes Dan Tuan Setman Napal Negeri Holanda.

Walaupun karya ini disusun oleh Raja Sa'id bin al-Marhum Raja Ahmad, namun ia merupakan dokumen yang terdapat dalam Rumah Ubat Raja Ahmad Thabib Riau. Hanya ditemui berupa lembaran-lembaran, tetapi tarikh penulisan dapat dikesan ialah pada, 1 Muharam 1323 H bersamaan 7 Mac 1905 M sampai 29 Jamadilakhir 1336 H bersamaan 11 April 1918 M. Penulisan dilakukan di Penyengat Riau. Kandungan nama-nama ubat dalam bahasa asing dan kegunaannya.

Beberapa lembar membicarakan perubatan selain yang tersebut di atas, dapat dipastikan karangan Raja Ahmad Thabib, judul sebenar belum diketahui. Kandungannya membicarakan tentang nadi. Manuskrip yang tidak lengkap tersebut dijumpai dalam kitab Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan karya Syeikh Ahmad al-Fathani. Dari sini dapat dipastikan bahawa Raja Ahmad Thabib sempat belajar kitab Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan kepada Syeikh Ahmad al-Fathani kerana mulai kulit depan kitab tersebut hingga akhir terdapat catatan-catatan tulisan tangan Raja Ahmad Thabib. Sebagaimana manuskrip Raja Ahmad Thabib membicarakan nadi dan pemeriksaan penyakit melalui air kencing, dalam karya Syeikh Ahmad al-Fathani juga terdapat bahasan mengenainya.

Untuk mengetahui sedikit pengetahuan perubatan tradisional, untuk kita bandingkan dengan perubatan moden dan jalan bahasa klasik menurut gaya bahasa Melayu Riau, kiranya baik juga saya transliterasikan di antara kandungannya, ialah: "Sebermula jika orang laki-laki nadinya itu besar sebelah kanan, alamat sakit. Dan jika besar sebelah kiri, alamat sihat. Dan jika perempuan besar nadinya itu pada tangan kiri, alamat sakit. Dan jika besar tangan kanan, alamat sihat.
Tulisan Raja Ahmad Thabib selanjutnya, "Fasal Yang Pertama Pada Menyatakan Nadi Yang Bernama Zahabi: Jika ditekan perlahan-lahan, maka keras pukulnya di atas, alamat banyak angin panas dalam anggotanya.

Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka ada pukulnya jatuh, barangkali terasa sedikit-sedikit, alamatnya paru-parunya kembang, banyak sejuk.

Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka tidak ia memukul di atas, maka ada ia memukul di dalam sedikit-sedikit, alamat banyak balghamnya (balgham = lendir atau dahak, pen:) bercampur angin dan ketul balghamnya itu.

Dan Fasal Yang Kedua Pada Menyatakan Nadi Yang Bernama Turabi: Jika ditekan perlahan-lahan, maka ada pukulnya perlahan-lahan di atas, alamat ada angin sejuk, maka menjadi lesu tubuhnya. Dan jika ditekan keras, maka pukulnya pun keras, alamat ada angin panas pada tubuh.

Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka pukulnya itu keras, alamat dalam perutnya terlalu sangat panas.

Dan jika ditekan perlahan-lahan, maka tiada sekali-kali ia memukul...'' (naskhah rosak, tidak dapat dibaca, pen:).
Ada pun pemeriksaan melalui air kencing Raja Ahmad Thabib menulis sebagai berikut, "Fasal Yang Ketiga Pada Menyatakan Melihat Kepada Air Kencing: Bermula jika warna air kencingnya itu kuning pertengahan alamat tabiatnya itu sederhana. Dan jika sangat kuningnya, hampir kepada merah, alamat panas tubuhnya.

Dan jika warna itu sangat merahnya, alamat sakitnya itu di dalam dada, tetapi sejuk. Dan jika warnanya merah bercampur kuning, alamat panas sekalian badan, dan angin, dan demam, dan terkadang yang demikian itu lendir dan darah, maka bisa, serba salah. Tidur pun tidak boleh. Jika tidak boleh, panas, kencing sakit, huap semuanya sampai ke hati.

Dan jika warnanya merah semua, lagi cair, alamat hangus segala badan, darah dan tulang di dalam badan semuanya buruk. Dan tempat kencing sudah luka, ke sungai kecil sakit dan terkadang keluar nanah, atau darah, atau keluar kura kuning-kuning. Dan tiada boleh tidur dan bisa ari-ari. Dan jika warnanya merah atau pekat, alamat luka tempat kencing dan demam siang malam, dan kurus badannya. Tiada boleh tidur, dan hatinya rosak. Lagi tabiatnya ketakutan sentiasa seperti gila. Dan batuk selama-lamanya kemudian keluar darah ... "

Di antara jenis ubat yang dicipta oleh Raja Ahmad Thabib yang paling mujarab dan pada satu ketika dulu pernah terkenal di Riau, Singapura dan Johor terutama dalam lingkungan masyarakat Melayu ialah dinamakan Syarbat Zanjabil. Syarbat Zanjabil ialah sejenis ubat berupa cairan yang dibuat daripada bahan rempah-rempah, berbau agak harum dan dijual dalam botol. Ubat tersebut telah banyak bukti boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dalaman seumpama sakit jantung, sakit tulang, sakit kuning dan lain-lain. Selain Syarbat Zanjabil dalam koleksi Raja Ahmad Thabib juga dikenali dua jenis minyak yang dipusakai turun temurun oleh keluarga tersebut, kedua-dua minyak itu ialah Minyak Mengkasar dan Minyak Bau. Kedua-dua jenis minyak tersebut berfungsi untuk jenis sakit luar, seumpama kembung perut, disengat binatang berbisa, bahkan kedua-duanya juga berfungsi untuk ubat kerasukan, kekejangan dan lain-lain.

Ada lagi satu kepakaran Raja Ahmad Thabib yang mungkin tidak dialami oleh pakar perubatan moden sekarang ini, kerana pada satu peristiwa Raja Ahmad Thabib pernah membedah pesakit hanya dengan sembilu (buluh yang ditajamkan seperti pisau). Peristiwa tersebut ketika itu di Pulau Penyengat dan Tanjungpinang belum terdapat peralatan perubatan moden. Diriwayatkan bahawa sebelum melakukan pembedahan yang mendesak dan mendadak Raja Ahmad Thabib menggambarkan pembedahan itu hanyalah untuk pertolongan sementara saja, kerana ketahanan pesakit hanya sekitar antara tujuh sampai sepuluh jam saja.

Untuk menyelamatkannya mesti dibawa ke Singapura supaya diberi ubat-ubat yang lebih sesuai. Pelayaran dari Tanjungpinang ke Singapura ketika itu memakan masa tujuh jam, bererti mesti memburu baki waktu tiga jam yang dikatakan beliau itu. Ternyata pesakit selamat ketika dibedah dan selanjutnya selamat pula dalam perawatan moden di Singapura. Cerita ini saya catat daripada ramai Kerabat Diraja Riau sejak tahun 1962, dan hingga sekarang yang menceritakan masih ada yang hidup, yang telah berumur melebihi 90 tahun.

Sunday, December 18, 2005

SYEIKH MUHAMMAD AL-FATHANI

Ulama Pembesar Turki
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SALAH seorang anak Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani yang menjadi ulama besar di Mekah sekali gus adalah seorang pembesar Mekah pada zaman pemerintahan Turki 'Utsmaniyah, ialah Syeikh Muhammad al-Fathani. Syeikh Muhammad al-Fathani termasuk dalam lingkungan keluarga besar ulama-ulama Patani yang terkenal, mulai ayah hingga beberapa lapis ke atas, sama ada dari pihak ayah mahu pun dari pihak ibu semuanya ulama belaka. Ayahnya Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman bin 'Utsman al-Fathani adalah saudara sepupu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (penulis Mathla' al-Badrain). Kedua-duanya adalah ulama besar yang cukup besar pengaruhnya di Mekah mahu pun di seluruh dunia Melayu. Kedua-duanya pula adalah cucu saudara Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.
Syeikh Muhammad bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani mempunyai beberapa orang adik beradik, di antaranya Syeikh Daud bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani. Syeikh Daud bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani memperoleh seorang anak bernama Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani, beliau ini banyak disebut oleh Syeikh Yasin bin 'Isa al-Fadani dalam karangan-karangannya yang membicarakan sanad-sanad hadis. Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani selain anak saudara Syeikh Muhammad al-Fathani, sekali gus adalah anak angkat, anak didik, bahkan hampir keseluruhan ilmu yang dikuasai oleh Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani adalah diperoleh daripada ayah saudaranya itu. Syeikh Muhammad al-Fathani mengajar anak saudara itu dan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu mulai kitab yang paling asas hinggalah kitab yang tinggi-tinggi, di antara kitab yang tinggi-tinggi itu tidak semua orang berkemampuan mengajarkannya.

SANAD ILMU

Apabila kita jejaki pendidikan yang dialami Syeikh Muhammad al-Fathani dapat diambil kesimpulan sekurang-kurangnya melalui dua jalur yang besar. Jalur pertama melalui lingkungan keluarga sendiri atau keluarga Patani di Mekah. Dan jalur yang kedua melalui ulama-ulama bangsa Arab yang berada di Mekah. Jalur daripada keluarga sendiri sekurang-kurangnya belajar kepada tiga orang. Yang pertama, kepada ayah beliau sendiri, iaitu Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Jalur yang melalui ulama-ulama Mekah sangat panjang untuk diceritakan. Di bawah ini saya salin satu sanad yang beliau berikan kepada muridnya yang bernama Muhammad Sa'id bin Ahmad yang berasal dari Melaka. Sungguh pun sanad tersebut hanya membicarakan Hizib an-Nawawi dibaca setiap selesai sembahyang Subuh dan Maghrib, namun sanad ini juga ada kaitan dengan pelbagai disiplin ilmu. Salinan selengkapnya adalah sebagai berikut: 1. Syeikh Muhammad bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, belajar kepada, 2. Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha, belajar kepada, 3. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada, 4. Syeikh 'Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada, 5. Syeikh Abi Muhammad Muhammad bin Muhammad al-Amir al-Kabir, belajar kepada, 6. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada, 7. Syeikh Muhammad bin 'Ali al-'Alawi, belajar kepada, 8. Saiyidi Muhammad ibnu Sa'aduddin, belajar kepada, 9. Saiyidi Muhammad ibnu at-Turjuman, belajar kepada, 10. Saiyidi Syeikh 'Abdul Wahhab asy-Sya'rani, belajar kepada, 11. Al-Burhan ibnu Abi Syarif al-Qudsi, belajar kepada, 12. Al-Badru al-Qubban, belajar kepada, 13. Saiyidi Muhammad ibnu al-Khabbaz, belajar kepada, 14. Al-Imam Muhyuddin Abi Zakaria bin Syarfun Nawawi (wafat tahun 670 H/1271 M.

Berdasarkan sanad di atas, dapat diketahui Syeikh Muhammad al-Fathani belajar kepada Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Beliau adalah adik beradik dengan Saiyid Abi Bakri Syatha (pengarang kitab I'anah ath-Thalibin yang terkenal), dipercayai Syeikh Muhammad al-Fathani juga belajar kepada ulama ini yang sanadnya sama dengan yang di atas. Sebahagian besar ulama dunia Melayu mengaku mereka adalah murid kepada Saiyid Abi Bakri Syatha, hampir-hampir tidak ada yang menyebut mereka belajar kepada Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Setakat ini ulama dunia Melayu daripada catatannya sendiri, yang menyebut dirinya murid Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha hanya dua orang. Selain Syeikh Muhammad al-Fathani ialah Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Bahkan, Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin yang pertama di Mekah yang mengangkatkan nikahnya ialah Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad al-Fathani adalah bersahabat dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi ahli falak yang terkenal itu.

Syeikh Muhammad al-Fathani juga bersahabat dan seperguruan dengan Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki. Kedua-duanya sama-sama belajar kepada Saiyid Abi Bakri Syatha yang bersanadkan kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan seterusnya. Ramai ulama dunia Melayu yang datang kemudian tercatat sebagai murid Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki itu, tetapi hanya sebahagian saja yang sempat belajar kepada Syeikh Muhammad al-Fathani. Mengenainya disebabkan Syeikh Muhammad al-Fathani meninggal dunia jauh lebih awal daripada Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki. Walau bagaimana pun dalam masa-masa kemasyhuran ulama Arab itu dari Patani muncul dua nama, ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud) dan anak saudaranya, ialah Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani (Pak De 'El).

KITAB-KITAB YANG DIAJARKAN

Syeikh Muhammad al-Fathani sangat mengambil perhatian kepada murid-muridnya dalam penekanan ilmu-ilmu Arabiah yang terdiri daripada kitab-kitab ilmu nahu, mulai Matn al-Ajrumiyah dan syarahnya Mukhtashar Jiddan oleh guru daripada gurunya, iaitu Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan. Dalam rangkaian ilmu nahu dimestikannya pula belajar kitab-kitab al-Kafrawi, al-Kawakib, al-Qathar, asy-Syuzur, Ibnu 'Aqil dan syarahnya, Asymuni dan lain-lain. Dilanjutkan dengan ilmu Bayan dengan kitab-kitab seperti Risalah ad-Dardir, Jauhar al-Maknun, Hasyiyah ash-Shabban, Jamul Jawami', dan lain-lain. Kitab-kitab fiqh Syafi'iyah yang diajarkan oleh Syeikh Muhammad al-Fathani ialah al-Minhaj, al-Bahjah, at-Tuhfah, an-Nihayah, dan lain-lain. Semua yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Walau bagaimanapun dalam lingkungan keluarga ini termasuk Syeikh Muhammad al-Fathani tidak mengabaikan pengajaran kitab-kitab Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Mengenai tafsir al-Quran juga beliau ajar, di antaranya ialah Tafsir al-Jalalain. Sebagaimana penekanan dalam ilmu-ilmu yang tersebut, demikianlah penekanan ilmu-ilmu hadis. Kitab as-Sittah yang sangat terkenal di kalangan ahlus sunah itu tidak ketinggalan dalam senarai yang mesti diajarkan.

AKTIVITI

Selain mengajar dan menjadi pembesar Mekah zaman pemerintahan Syarif Husein di Mekah, di bawah naungan kerajaan Turki 'Utsmaniyah, Syeikh Muhammad al-Fathani duduk pula sebagai ahli jawatankuasa menangani karangan-karangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mulai penyalinan semula untuk diperbanyak, penyemakan salinan, mengenalpasti kitab Arab yang dirujuk, memberi keterangan pada perkataan-perkataan yang nadir dan lain-lain. Pekerjaan demikian dikelola oleh ayah beliau, Syeikh Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad Ismail al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, kedua-duanya adalah cucu saudara Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.

Pekerjaan kedua-dua ulama itu adalah menanggapi dan menyetujui inisiatif dan program kerja Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Mereka mengumpulkan koleksi secara keseluruhan dan dibuat perencanaan bahawa karya-karya Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani yang paling utama dan didahulukan untuk diterbitkan daripada karya-karya selain beliau. Walau bagaimanapun karya-karya ulama dunia Melayu lainnya tidak diabaikan. Kitab-kitab Syeikh Daud al-Fathani mulai ditash-hih, kitab-kitab fikanya dimulai dengan tash-hih Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani dan Syeikh Muhammad al-Fathani membantu kerja-kerja ayahnya itu.

Kitab

Di antara kitab karangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani yang ditangani oleh Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani yang sekali gus melibatkan anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani dalam perkara kerja-kerja yang telah disebutkan di atas, ialah kitab Hidayah al-Muta'allim, Bughyah ath-Thullab dan Furu' al-Masail Dalam Furu' al-Masail lebih 70 perkara fiqhiyah diberi keterangan atau dikomentari oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, dan di antara yang 70 perkara itu ada yang menyebut nama anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani yang diriwayatkan ini. Di antara perkara yang menyebut nama Syeikh Muhammad bin 'Abdul Qadir al-Fathani dalam Furu' al-Masail ialah salah sebuah edisi cetakan Furu' al-Masail ada catatan, "Dan pada tepinya beberapa taqrirat bagi asy-Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani dan bagi asy-Syeikh Muhammad bin 'Abdul Qadir al-Fathani, dan fawaid, dan lainnya".
Furu' al-Masail halaman 212, "Orang yang kedatangan haid dahulu daripada tawaf rukun dan tiada kuasa tinggal di Mekah sebab ketiadaan nafkah ... " Jawabnya, "Harus ia kembali ke negerinya. Kemudian apabila sampai pada tempat, yang ketiadaan boleh dengan kemudahan kembali ke Mekah hendaklah ia tahallul ... Dan tinggallah tawaf pada zimmahnya, maka datanglah hukumnya seperti orang yang dahulu ... " Kalimat ini telah dibahas oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, dan kalimat beliau itu kemudian dibahas lagi oleh anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani, tulisnya, "Dan bahawasanya yang terlebih memeliharakan...hingga akhir, ibaratnya (susunan kalimat), kata Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, "Adalah perkataan Tuan Syeikh Daud itu tiada ada maujud pada asal, dan tidak munasabah perkataannya bagi tawaf rukun. Hanya ada munasabah bagi perempuan yang tiada haid, maka masalah ini, masalah haid. Maka perempuan yang haid ketika ia hendak musafir itu gugur wajib tawaf wida'nya." Syeikh Muhammad al-Fathani, menjelaskan perkataan ayahnya itu, tulis beliau," kata walid (ayahku, maksudnya Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, pen:), "Perkataan ini tiada ada pada asalnya", maka hamba dapat akan dia pada Hasyiah Jamal atas Fath al- Wahab ... " Daripada kalimatnya yang terakhir, iaitu, "..., maka hamba dapat akan dia pada Hasyiah Jamal atas Fath al-Wahab ... " adalah sebagai bukti bahawa Syeikh Muhammad al-Fathani seorang ulama yang rajin dalam penelitian, rajin membaca dan bukan taklid. Saya berkesimpulan walaupun Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani dan ayahnya ulama besar, namun apa yang ditulis tetap diteliti dan dicari di mana sumber rujukan. Mengenai ini bukan bererti menyalahkan ulama terdahulu, tetapi adalah untuk lebih memperjelas dan mengukuhkan kedudukan sesuatu hukum Islam yang akan diamalkan oleh masyarakat Islam yang luas tanpa ragu.

SYEIKH AHMAD YUNUS LINGGA

Pakar Bahasa Melayu di Mekah
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

HANYA seorang ulama berasal dari Kepulauan Riau yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah yang diakui sebagai ulama besar. Ulama berasal dari Pulau-Lingga, Kepulauan Riau ini pada mulanya dapat dikesan melalui sebuah karyanya berjudul Daqaiqul Akhbar.

Kitab Daqaiqul Akhbar merupakan sebuah kitab Melayu/Jawi yang tersebar luas di seluruh dunia Melayu. Hasil penyelidikan awal yang saya laksanakan dijumpai hanya beberapa buah karya beliau selain Daqaiqul Akhbar. Sekitar tahun 1970an, salah sebuah majalah yang diterbitkan di Jakarta mengupas kitab Daqaiqul Akhbar itu dengan agak panjang lebar tetapi mengatakan bahawa pengarangnya berasal dari Lanka atau Sri Lanka atau Ceylon.
Nampaknya penulis artikel dalam majalah itu tidak pernah tahu tentang Pulau Lingga. Padahal sejarah kerajaan-kerajaan Melayu cukup jelas meriwayatkan wujudnya sebuah kerajaan Melayu yang pernah berpusat di Lingga. Nama lengkap kerajaan itu ialah kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan sekalian daerah takluknya.

Pengasas kerajaan itu ialah Sultan Mahmud, yang makamnya masih ada sampai sekarang terletak di belakang Masjid Lingga. Selanjutnya di Lingga adalah tempat bersemayamnya Sultan, sedangkan di Pulau Penyengat tempat kedudukan Yamtuan Muda atau Yang Dipertuan Muda melaksanakan pentadbiran ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini, yang kemuncak namanya di Mekah, berasal daripada bekas pusat kerajaan Melayu itu.

Tiada siapa tahu riwayat ulama yang berasal dari Lingga tersebut secara terperinci. Namun pada tahun 1979 di Mekah saya berjumpa dengan salah seorang murid ulama tersebut, iaitu Abdur Rahman bin Syeikh Yahya Raman al-Fathani dalam usia hampir 100 tahun; dia termasuk orang Melayu tertua Mekah yang masih hidup dalam tahun 1979 itu. Abdur Rahman bercerita tentang riwayat hidup Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga itu dengan jelas termasuk beberapa ulama dunia Melayu lainnya. Cerita yang bersumber daripada Abdur Rahman bin Syeikh Yahya Raman itu didokumentasikan seperti berikut: Nama lengkapnya ialah al-'Alim al-'Allamah asy-Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Asal usulnya dari Pulau Lingga di Kepulauan Riau.

Riwayat terkini setelah saya pergi ke Lingga ada yang meriwayatkan bahawa datuk nenek ulama yang diriwayatkan ini berasal dari Kelantan. Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga mempunyai dua orang adik bernama Abdul Hamid dan Ibrahim. Abdul Hamid adalah seorang ulama yang mempunyai dua orang anak, iaitu Ahmad dan Muhammad, manakala Ibrahim tidak mempunyai anak.

Yang berupa bahan bertulis pula hanya sedikit tentang Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga disentuh oleh Syeikh Muhammad Zainuddin bin Syeikh 'Utsman Sarawak dalam Nafahat ar-Ridhwan. Sungguh pun demikian sekurang-kurangnya dua maklumat yang cukup mengagungkan nama ulama yang berasal dari Pulau Lingga itu.

Keagungan pertama ditonjolkan bahawa Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga sebagai "Qus bahasa Melayu, iaitu satu istilah yang sangat terpandang di kalangan orang-orang Arab." Bukti keagungan ilmunya pula sehingga Syeikh 'Utsman Sarawak dan anaknya Syeikh Muhammad Zainuddin Sarawak, kedua-duanya adalah ulama besar bekas murid Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Sekiranya Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga bukan seorang ulama besar atau pengetahuannya sedikit atau dangkal, tidaklah ulama besar yang sangat terkenal seperti Syeikh 'Utsman Sarawak belajar kepadanya.

Seorang ulama besar yang berasal dari Muar, Johor, Qadhi Abu Bakar bin Hasan lebih banyak menulis catatan tentang Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Hampir semua kitab yang dipelajari dan dikhatamnya daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga terdapat catatan tarikh mulai belajar dan tarikh selesai belajar. Di antara kitab hadis yang diajar oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga ialah kitab Sahih Bukhari dan kitab-kitab hadis selainnya yang dikenali dengan Kitab as-Sittah. Sekiranya tidak dijumpai catatan Abu Bakar bin Hasan Muar, akan hilanglah sejarah sebenar bahawa Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga adalah seorang ulama ahli dalam bidang ilmu hadis di Mekah pada zamannya. Abu Bakar bin Hasan Muar sendiri sempat mengkhatamkan kitab Shahih Bukhari daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.

PENDIDIKAN

Pada abad ke-19 Masihi, Kerajaan Riau-Lingga merupakan pusat tamadun Melayu dan Islam. Perkembangan budaya, bahasa dan sastera di Riau-Lingga tersebar ke serata ceruk dan rantau dunia Melayu. Ketokohan beberapa orang pengarang yang berasal dari sana, terutamanya Raja Ali begitu ketara sepanjang zaman itu. Raja Abdullah yang terkenal dengan gelaran Marhum Mursyid, Yamtuan Muda Riau yang ke-9 (1857-1858 M), memimpin Thariqat Naqsyabandiyah begitu menggalakkan pengajian dalam bidang Islam. Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga lahir pada zaman pemerintahan baginda. Dipercayai bahawa Syeikh Ahmad Lingga mendapat pendidikan asas sistem pendidikan Riau-Lingga yang bersifat terbuka dalam segala bidang. Pada peringkat awal beliau lebih mendalami kaedah bahasa Melayu dan sejarah. Menurut cerita Abdur Rahman Raman, bahawa pendidikan agama secara mendalam diperolehnya di Pondok Bendang Daya, Patani. Selepas itu dilanjutkan di Mekah. Di Mekah beliau belajar dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1231 H/1815 M-1304 H/1886 M), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (wafat 10 Jamadilawal 1335 H), Saiyid Ahmad an-Nahrawi dan ramai lagi.

PENULISAN

Karya Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga yang telah dijumpai hanya empat iaitu:
1. Daqaiq al-Akhbar fi Zikri al-Jannah wa an-Nar. Kandungannya merupakan karya terjemahan kitab Daqaiq al-Akhbar fi Zikri al-Jannah wa an-Nar dalam bahasa Arab yang pertama sekali diterjemahkan ke bahasa Melayu. Kitab ini menceritakan kejadian alam ghaib terutama tentang syurga dan neraka. Masyarakat Melayu zaman dulu jika membaca kitab ini cukup mengasyikkan kerana mempunyai gaya seni yang tersendiri. Membaca kitab Daqaiq al-Akhbar boleh menyebabkan kita lebih rajin menyiapkan bekal untuk akhirat dan meninggalkan pelbagai bentuk dosa yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Diselesaikan hari Selasa, 20 Muharam 1312 H, di Mekah. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Jamadilakhir 1312 H, dicetak atas usaha Syeikh Ismail Aceh. Cetakan yang ketiga oleh percetakan yang sama tahun 1320 H. Cetakan yang keempat oleh percetakan yang sama tahun 1322 H. Hingga sekarang terdapat pelbagai edisi cetakan.
2. Ats-Tsimar al-Lazizah 'ala ar-Riyadh al-Badi'ah). Judul terjemahan oleh pe
ngarangnya, Segala Buah Kayu Yang Sedap-Sedap Atas Segala Kebun Yang Indah-indah. Kandungannya mulai dengan pembicaraan akidah. Kandungan utama ialah fikah bahagian ibadat menurut Mazhab Syafie. Pada bahagian akhir membicarakan perkara sumpah dan nazar. Kemudian dilanjutkan dengan ziarah Rasulullah s.a.w. dan
terakhir sekali mengenai zikrullah. Diselesaikan 21 Safar 1312 H. Cetakan yang ketiga Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1322 H. Dicetak juga oleh Mathba'ah Dar Ihya' Kutub al-'Arabiyah, Safar 1344 H.
3. Nasihat al-Ahli al-Wafa ila Washiyat al-Mushthafa. Kandungannya merupakan terjemahan hadis wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Saidina Ali k.w. Memperhatikan pengkhususan hadis hanyalah wasiat untuk Saidina Ali k.w., dalam perkembangan sekarang ada golongan tertentu terlalu murah menuduh bahawa hadis yang demikian terlalu memihak atau terdapat pengaruh Syiah. Pada pandangan saya, tuduhan yang tidak berasaskan penelitian dan keadilan dalam menilai serta berpegang pelbagai aspek ilmu tidak perlu dilayani. Seseorang yang tidak sampai pada sesuatu tahap keilmuan tiadalah layak menilai keilmuan seseorang ulama. Diselesaikan hari Sabtu, pukul 9.30, 11 Syawal 1312 H, di Mekah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, akhir Zulhijjah 1323 H.
4. Hadiqah ar-Raihan fi Qishshah Saidina Sulaiman. Kandungannya mengenai kisah Nabi Sulaiman a.s. Karya ini dapat dikategorikan dalam sastera klasik Melayu-Islam. Diselesaikan pada 24 Jamadilawal 1313 H di Mekah. Cetakan yang kedua Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, awal Muharam 1324 H.

AKTIVITI

Oleh sebab Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga seorang yang dianggap pakar dalam bahasa Melayu, dia digelar "Qus Bahasa Melayu".

Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sarawaqi menulis, "...Asy-Syeikh yang alim, yang sampai kepada kepandaiannya ialah seperti Qus pada masanya tentang bahasa Melayu, iaitu seorang yang cerdik pada orang-orang Arab yang memegang tali lagam segala ilmu adab. Orang yang berkhidmat akan Tuhannya terlampau cermat dan jaga, iaitu Asy-Syeikh Ahmad orang Lingga ..." Oleh kerana kepakarannya Syeikh Ahmad al-Fathani memasukkannya sebagai ahli pentashhih kitab Melayu/Jawi. Dalam perbahasan tentang pemakaian bahasa Melayu untuk kitab-kitab yang akan diterbitkan, telah terjadi muzakarah antara kedua-dua ulama itu secara terus-menerus. Keterlibatan Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga dalam dunia pentashhihan kitab Melayu/Jawi seolah-olah tidak diketahui orang kerana namanya memang tidak tercatat dalam semua cetakan kitab Melayu/Jawi. Mengenai Syeikh Ahmad Lingga hanya sedikit saja disentuh oleh Syeikh Zainuddin Sarawak dalam kitabnya Nafahat ar-Ridhwan.
Selain menjadi seorang penulis, Syeikh Ahmad Lingga juga seorang ulama yang aktif mengajar, sama ada di rumahnya mahu pun di Masjidil Haram, Mekah. Beliau bersahabat dengan ulama-ulama lain, di antaranya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/ 1856 M-1325 H-1908 M), Syeikh Ahmad Khatib bin Lathif Minangkabau (1276 H/1860 M-1334 H/1916 M), Syeikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani dan ramai lagi.

Di antara murid Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, yang menjadi ulama besar ialah Abu Bakar bin Hasan (1875 M-1938 M), beliau adalah Kadi Muar, Johor, Syeikh 'Utsman bin 'Abdul Wahhab as-Sarawaqi (1281 H/1863 M-1339 H/1921 M). Termasuk juga Abdullah Fahim, Tok Kenali, Kiyai Hasyim Asy'ari dan semua ulama yang sezaman dengan mereka, yang belajar di Mekah ketika itu adalah murid Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.
Selain yang disebutkan, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga juga seorang Syeikh Haji. Sebahagian besar jemaah haji dari Kepulauan Riau, Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor yang menunaikan haji pada zaman itu diurus oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.

SYEIKH HAMZAH AL-FANSURI

Sasterawan Sufi Agung
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SYEIKH Hamzah al-Fansuri telah banyak dibicarakan orang, namun tidak dapat dinafikan perkara-perkara baru sentiasa ditemui oleh para peneliti. Pada mukadimah ini saya nyatakan bahawa tanpa diketahui siapakah yang pertama mengkhayal rupa tokoh agung sufi Nusantara itu, sehingga ditemui gambar imaginasi beliau.

Gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat dipastikan sebagai gambar imaginasi, kerana pada zaman beliau memang belum ada kamera. Sebenarnya ia berlaku bukan pada Syeikh Hamzah al-Fansuri saja, tetapi juga terjadi pada ulama-ulama lainnya, termasuk Imam al-Ghazali, Syeikh 'Abdul Qadir al-Jilani, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Wali Sembilan dan lain-lain. Sungguh pun dipastikan gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri adalah gambar imaginasi, namun dalam artikel ini disiarkan juga, dan ia merupakan pertama kali disiarkan dalam media cetak secara meluas.

Hampir semua pengkaji yang mem bicarakan tokoh ulama ini pada zaman moden, selalu merujuk kepada karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas. Barangkali dunia memang mengakui bahawa beliaulah orang yang paling banyak memperkenalkan Syeikh Hamzah al-Fansuri ke peringkat antarabangsa. Walau bagaimanapun apabila kita membaca keseluruhan karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas yang membicarakan Syeikh Hamzah al-Fansuri, bukanlah bererti kita tidak perlu mentelaah karya-karya lain lagi, kerana apabila kita mentelaah karya-karya selainnya, terutama sekali yang masih berupa manuskrip, tentu sedikit sebanyak kita akan menemukan perkara-perkara baru yang belum dibicarakan. Karya terkini tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri ialah buku yang diberi judul Tasawuf Yang Tertindas Kajian Hermeneutik Terhadap Karya-Karya Hamzah Fansuri. Buku setebal 444 halaman itu dikarang oleh Dr. Abdul Hadi W.M. dan terbitan pertama oleh Penerbit Paramadina, Jakarta, 2001. Sama ada karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas mahupun karya Dr. Abdul Hadi W.M., sedikit pun tiada menyentuh gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri seperti yang tersebut di atas.

Asal-usul dan pendidikan

Prof. A. Hasymi pada penyelidikannya yang lebih awal bertentangan dengan hasil penyelidikannya yang terakhir. Penyelidikan awal, ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri nampaknya tidak ada hubungan adik beradik dengan ayah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Penyelidikan terakhir beliau mengatakan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri itu adalah adik beradik dengan Syeikh Ali al-Fansuri. Syeikh Ali al-Fansuri adalah ayah kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Penyelidikan awal yang saya maksudkan ialah yang ditulis oleh Prof. A. Hasymi dalam Ruba'i Hamzah Fansuri yang dapat diambil pengertian daripada kalimatnya, "Ayah Hamzah pindah dari Fansur (Singkel) ke Barus untuk mengajar, kerana beliau juga seorang ulama besar, seperti halnya ayah Syeikh Abdur Rauf Fansuri yang juga ulama, sama-sama berasal dari Fansur (Singkel)" (terbitan DBP, 1976, hlm. 11). Mengenai penyelidikan Prof. A. Hasymi yang menyebut Syeikh Hamzah al-Fansuri saudara Syeikh Ali al-Fansuri atau Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri adalah anak saudara kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri, dapat dirujuk kepada kata pengantar buku Hamzah Fansuri Penyair Sufi Aceh karya Abdul Hadi W.M. Dan L. K. Ara, diterbitkan oleh Penerbit Lotkala, tanpa menyebut tempat dan tarikh.

Walaupun Prof. A. Hasymi belum memberikan suatu pernyataan tegas bahawa beliau memansukhkan tulisannya yang disebut dalam Ruba'i Hamzah Fansuri, namun kita terpaksa memakai penyelidikan terakhir seperti yang telah dijelaskan di atas. Dr. Azyumardi Azra dalam bukunya, Jaringan Ulama mengatakan bahawa beliau tidak yakin bahawa Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu benar-benar keponakan (anak saudara) Syeikh Hamzah al-Fansuri. "Sebab, menurutnya, tidak ada sumber lain yang mendukung hal itu." Bagi saya ia masih boleh dibicarakan dan perlu penelitian yang lebih sempurna dan berkesinambungan. Sebab yang dinamakan sumber pendukung sesuatu pendapat, bukan hanya berdasarkan tulisan tetapi termasuklah cerita yang mutawatir. Kemungkinan Prof. A. Hasymi yang berasal dari Aceh itu lebih banyak mendapatkan cerita yang mutawatir berbanding penelitian barat yang banyak disebut oleh Azra. Diterima atau tidak oleh pengkaji selain beliau, terpulanglah ijtihad masing-masing orang yang berkenaan.

Dalam buku Hamzah Fansuri Penyair Aceh, Prof. A. Hasymi menyebut bahawa Syeikh Hamzah Fansuri hidup sampai akhir pemerintahan Sultan Iskandar Muda ternyata juga ada perubahan daripada tulisan beliau yang termaktub dalam Ruba'i Hamzah Fansuri‚ selengkapnya, "Hanya yang sudah pasti, bahawa beliau hidup dalam masa pemerintahan Sultan Alaidin Riayat Syah IV Saiyidil Mukammil (997-1011 H-1589-1604 M) sampai ke permulaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda Darma Wangsa Mahkota Alam (1016-1045 H-1607-1636 M)." Yang dimaksudkan dengan "ternyata juga ada perubahan", ialah pada kalimat, " sampai ke permulaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda," menjadi kalimat "akhir pemerintahan Sultan Iskandar Muda."

Tarikh lahir Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat belum dapat dipastikan, adapun tempat kelahirannya ada yang menyebut Barus atau Fansur. Disebut lebih terperinci oleh Prof. A.
Hasymi bahawa Fansur itu satu kampung yang terletak antara Kota Singkel dengan Gosong Telaga (Aceh Selatan). Dalam zaman Kerajaan Aceh Darussalam, kampung Fansur itu terkenal sebagai pusat pendidikan Islam di bahagian Aceh Selatan. Pendapat lain menyebut bahawa beliau dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam dan berhijrah serta menetap di Barus.
Drs. Abdur Rahman al-Ahmadi dalam kertas kerjanya menyebut bahawa ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh bersama Wan Ismail dan Po Rome atau Po Ibrahim (1637- 1687 M) meninggal dunia dalam pertempuran melawan orang Yuwun (Annam) di Phanrang. Bahawa Syeikh Ismail Aceh itu pernah menjadi gabenor di Kota Sri Banoi menggantikan Gabenor Wan Ismail asal Patani yang melepaskan jabatan itu kerana usianya yang lanjut. Drs. Abdur Rahman Al-Ahmadi berpendapat baru, dengan menambah Syahrun Nawi itu di Sri Banoi Sri Vini, selain yang telah disebutkan oleh ramai penulis bahawa Syahrun Nawi adalah di Siam atau Aceh. Dalam Patani, iaitu antara perjalanan dari Patani ke Senggora memang terdapat satu kampung yang dinamakan Nawi, berkemungkinan dari kampung itulah yang dimaksudkan seperti yang termaktub dalam syair Syeikh Hamzah al-Fansuri yang menyebut nama Syahrun Nawi itu. Kampung Nawi di Patani itu barangkali nama asalnya memang Syahrun Nawi, lalu telah diubah oleh Siam hingga bernama Nawi saja. Syahrun Nawi adalah di Patani masih boleh diambil kira, kerana pada zaman dulu Patani dan sekitarnya adalah suatu kawasan yang memang ramai ulamanya. Saya telah sampai ke kampung tersebut (1992), berkali-kali kerana mencari manuskrip lama. Beberapa buah manuskrip memang saya peroleh di kampung itu. Lagi pula antara Aceh dan Patani sejak lama memang ada hubungan yang erat sekali. Walau bagaimanapun Prof. A. Hasymi menyebut bahawa Syahrun Nawi itu adalah nama dari Aceh sebagai peringatan bagi seorang Pangeran dari Siam yang datang ke Aceh pada masa silam yang bernama Syahir Nuwi, yang membangun Aceh pada zaman sebelum Islam.
Daripada berbagai-bagai sumber disebutkan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri telah belajar berbagai-bagai ilmu yang memakan masa lama. Selain belajar di Aceh sendiri beliau telah mengembara ke pelbagai tempat, di antaranya ke Banten (Jawa Barat), bahkan sumber yang lain menyebut bahawa beliau pernah mengembara keseluruh tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi dan Arab. Dikatakan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula beliau menguasai dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah, fasih dalam ucapan bahasa itu, berkebolehan berbahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa.

Karya-keryanya

Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat digolongkan kepada peringkat awal dalam menghasilkan karya puisi/sastera dalam bahasa Melayu, sangat menonjol terutama sekali dalam sektor sufi. Lebih terserlah lagi kemasyhurannya kerana terjadi kontroversi yang dilemparkan oleh orang-orang yang tidak sependapat dengannya yang dimulai dengan karya-karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, berlanjutan terus hingga sampai ke hari ini karya-karya Syeikh Hamzah al-Fansuri selalu dibicarakan dalam forum-forum ilmiah. Di bawah ini saya cuba menyenaraikan karya beliau yang telah diketahui, iaitu: 1). Syarb al- 'Asyiqin atau Zinatul Muwahhidin. 2). Asrar al-'Arifin fi Bayan 'Ilm as-Suluk wa at-Tauhid. 3). Al-Muntahi. 4). Ruba'i Hamzah Fansuri. 5). Kasyf Sirri Tajalli ash-Shibyan. 6). Kitab fi Bayani Ma'rifah. 7). Syair Si Burung Pingai. 8). Syair Si Burung Pungguk. 9). Syair Sidang Faqir. 10). Syair Dagang. 11). Syair Perahu. 12). Syair Ikan Tongkol. Keterangan lengkap mengenai data karya Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat dirujuk dalam buku yang saya susun berjudul Al-Ma'rifah Pelbagai Aspek Tasawuf Nusantara, jilid 1. Senarai yang tersebut di atas merupakan maklumat yang terlengkap buat sementara dan akan ditambah lagi jika terdapat maklumat baru yang belum termuat dalam senarai di atas.

Mengakhiri artikel ini di sini perlu dijelaskan bahawa makam Syeikh Hamzah al-Fansuri telah ditemui sebagaimana ditulis oleh Dada Meuraxa: "Di satu kampung yang bernama Obor terletak di hulu Sungai Singkil, terdapat makam ulama dan pujangga Hamzah Fansuri. Makam itu bertulis: Inilah makam Hamzah Fansuri mursit Syeikh Abdurrauf = Hamzah Fansuri guru Syeikh Abdur Rauf."

Mengenai tahun wafat Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat selama ini tidak pernah disebut. Tetapi Azra dalam Jaringan Ulama menyebut bahawa ulama sufi itu wafat pada tahun 1016 H/1607 M. Disebutkan tahunnya itu disekalikannya membantah bahawa Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri (Al-Sinkili, menurut istilahnya) "tidak mungkin bertemu dengan ulama sufi itu", menurutnya "Al-Sinkili bahkan belum lahir".

Seolah-olah Azra menolak mentah-mentah tahun kelahiran Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri yang disebut oleh A. Hasymi tahun 1001 H/1592 M itu, kemungkinan dia berpegang pada tahun kelahiran 1024 H/1615 M, atau pendapat lain 1620 M, sedangkan tahun kewafatan Syeikh Hamzah al-Fansuri yang disebutnya 1016 H/1607 M itu belum juga tentu betul. Wallahu a'lam.

Penutup

Gambar imaginasi Syeikh Hamzah al-Fansuri yang saya sebut pada mukadimah, walau pun saya sendiri lebih mengutamakan sesuatu yang asli, namun terpaksa disiarkan juga. Pada zaman kita selain orang yang suka kepada keaslian, sebaliknya sangat ramai yang suka kepada sesuatu yang bercorak tiruan.

Bunga tiruan lebih mendapat pasaran daripada bunga yang asli. Ramai yang menyanggah ilmu yang bercorak rohani, kerana terpengaruh dengan persekitaran yang bercorak fantasi. Pembangunan fizikal lebih meluas dibicarakan berbanding pembinaan iman dan makrifat.

SYEIKH NURUDDIN ar- RANIRI

Ahli Debat
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PADA mukadimah dan penutup tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri keluaran yang lalu, telah saya singgung gambar imaginasi. Dalam artikel ini disiarkan gambar imaginasi Syeikh Nuruddin ar- Raniri yang juga tiada siapa yang tahu penciptanya, seperti Syeikh Hamzah al-Fansuri juga. Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri, nama Syeikh Nuruddin ar-Raniri cukup banyak mendapat perhatian dan ditulis orang. Jauh sebelum kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri ke Aceh, pada masa pemerintahan Sultan Husein (pengganti Sultan sebelumnya), yang mangkat tahun 975 H/1567 M, di Aceh telah ada seorang ulama yang digelar Syeikh Nuruddin. Mengenainya disebut dalam Hikayat Aceh.

Perlu dibezakan, apabila kita menulis nama lengkap Syeikh Nuruddin ar-Raniri dengan nama ayah saudaranya yang pernah datang ke Aceh. Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diriwayatkan ini nama lengkapnya berdasarkan kepada karya-karyanya ialah Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu 'Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi. Syeikh Nuruddin ar-Raniri walau pun berasal daripada keturunan Arab di India dari pihak ayahnya dan bangsa Melayu dari sebelah ibu, namun beliau lama tinggal di Pahang dan Aceh, dan banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar karangannya ditujukan membantah fahaman 'Wahdatul Wujud' yang diajarkan oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.

Banyak perkara menarik mengenai ulama ini, di antaranya kitab fikah dalam bahasa Melayu yang pertama sekali berjudul ash-Shirath al-Mustaqim adalah karya beliau. Demikian juga mengenai kitab hadis yang berjudul al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadits an-Nabawiyah atau judul lainnya Hidaya al-Habib fi at-Targhib wa at-Tarhib, adalah kitab membicarkan hadis yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.

Hampir semua penulis menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilahirkan di Ranir, berdekatan dengan Gujarat. Asal usul beliau ialah bangsa Arab keturunan Quraisy yang berpindah ke India. Tetapi salah seorang muridnya bernama Muhammad 'Ali atau Manshur yang digelarkan dengan Megat Sati ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa'id Ja'far Shadiq ibnu 'Abdullah dalam karyanya Syarab al-'Arifin li Ahli al-Washilin menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah "Raniri negerinya, Syafi'ie nama mazhabnya, Bakri bangsanya."
Pendidikan asasnya dipercayai diperolehnya di tempat kelahirannya Raniri atau Rander. Raniri/Rander, sebahagian riwayat mengatakan berdekatan dengan Kota Surat, dan riwayat lain mengatakan dekat Bikanir, kedua-duanya di negeri India. Syeikh Nuruddin ar-Raniri berhasil berangkat ke Mekah dan Madinah dalam tahun 1030 H/1621 M dan di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Abu Hafash 'Umar bin 'Abdullah Ba Syaiban atau nama lain ulama ini ialah Saiyid 'Umar al-'Aidrus. Kepada ulama ini beliau mengambil bai'ah Thariqat Rifa'iyah. Dalam sektor Thariqat Rifa'iyah itu syeikh yang tersebut adalah murid kepada Syeikh Muhammad al-'Aidrus. Selain Thariqat Rifa'iyah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri juga pengamal Thariqat Qadiriyah.

Kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri buat pertama kalinya ke Aceh diriwayatkan dalam tahun 1577 M, tetapi ada juga ahli sejarah mencatat bahawa beliau sampai di Aceh pada tahun 1637 M. Ini bererti setahun setelah mangkatnya Sultan Iskandar Muda (memerintah dari tahun 1606 M hingga 1636 M). Syeikh Nuruddin ar-Raniri seakan-akan kedatangan pembawa satu pendapat baru, yang asing dalam masyarakat Aceh. Setiap sesuatu yang baru selalu menjadi perhatian dan pengamatan orang, sama ada pihak kawan atau pun pihak lawan. Fahaman baru yang dibawa masuk oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu ialah fahaman anti atau penolakan tasawuf ajaran model Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Kedua-dua ajaran ulama sufi itu adalah sesat menurut pandangan beliau.

Syeikh Nuruddin ar-Raniri mendapat tempat pada hati Sultan Iskandar Tsani, yang walaupun sebenarnya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda beliau tidak begitu diketahui oleh masyarakat luas.

Oleh sebab ketegasan dan keberaniannya ditambah lagi, Syeikh Nuruddin ar-Raniri menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama Islam, mengakibatkan beliau sangat cepat menonjol pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani itu. Akhirnya Syeikh Nuruddin ar-Raniri naik ke puncak yang tertinggi dalam kerajaan Aceh, kerana beliau mendapat sokongan sepenuhnya daripada sultan. Beliau memang ahli dalam bidang ilmu Mantiq (Logika) dan ilmu Balaghah (Retorika). Dalam ilmu Fikah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah penganut Mazhab Syafie, walaupun beliau juga ahli dalam ajaran mazhab-mazhab yang lainnya. Dari segi akidah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah pengikut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang berasal daripada Syeikh Abul Hasan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Manshur al-Maturidi. Pegangannya dalam tasawuf ialah beliau adalah pengikut tasawuf yang mu'tabarah dan pengamal berbagai-bagai thariqah sufiyah. Tetapi suatu perkara yang aneh, dalam bidang tasawuf beliau menghentam habis-habisan

Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Walau bagaimanapun Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak pernah menyalahkan, bahkan menyokong Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Abi Yazid al-Bistami, 'Abdul Karim al-Jili, Abu Manshur Husein al-Hallaj dan lain-lain. Perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang keluar daripada ulama-ulama sufi yang tersebut itu tidak pernah beliau salahkan tetapi sebaliknya perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang berasal daripada Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i selalu ditafsirkan secara salah oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Di dalam karyanya Fath al-Mubin 'ala al-Mulhidin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri berpendapat bahawa al-Hallaj mati syahid. Katanya: "Dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua." Padahal jika kita teliti, sebenarnya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu pegangannya tidak ubah dengan al-Hallaj.
Ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i berpunca daripada ajaran Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Syeikh Abi Yazid al-Bistami, Syeikh 'Abdul Karim al-Jili dalam satu sektor. Dan bahagian lain juga berpunca daripada ajaran Imam al-Ghazali, Syeikh Junaid al-Baghdadi dan lain-lain, adalah dipandang muktabar, sah dan betul menurut pandangan ahli tasawuf. Bahawa ajaran tasawuf telah berurat dan berakar di kalbi, bahkan telah mesra dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dari kulit hingga daging, dari tulang hingga ke sumsum pencinta-pencintanya, yang tentu saja mereka mengadakan tentangan yang spontan terhadap Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Bahkan kepada siapa saja yang berani menyalah-nyalahkan pegangan mereka. Pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i menganggap kedua-dua guru mereka adalah wali Allah, yang faham terhadap pengetahuan syariat, tarekat, haqiqat dan makrifat. Mereka beranggapan, walaupun diakui bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai seorang ulama besar, yang dikatakan juga telah mengetahui ilmu tasawuf, namun tasawuf yang diketahui oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu hanyalah tasawuf zahir belaka. Bahawa beliau hanyalah mengetahui kulit ilmu tasawuf, tetap tidak sampai kepada intipati tasawuf yang sebenar-benarnya. Bahawa beliau baru mempunyai ilmu lisan sebagai hujah belaka, tetapi belum mempunyai ilmu kalbi, yang dinamakan juga dengan ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, wajiblah mereka membela guru mereka yang mereka sanjung tinggi itu.

Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar yang berasal dari India itu, namun sampai riwayat ini saya tulis, belum dijumpai tulisan yang menyenaraikan nama murid-murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Untuk memulakan penjejakan mengenainya di sini dapat saya perkenalkan hanya dua orang, iaitu: Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi/al-Maqasari al-Khalwati yang berasal dari Makasar/tanah Bugis. Tidak begitu jelas apakah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati ini belajar kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu beliau masih di Aceh atau pun Syeikh Yusuf datang menemui Syeikh Nuruddin ar-Raniri di negerinya, India. Sementara pendapat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Khalwati benar-benar dapat berguru kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu masih di Aceh lagi, dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati menerima bai'ah Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Yang seorang lagi ialah Syeikh Muhammad 'Ali, ulama ini berasal dari Aceh.

Ada yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia di India. Pendapat lain menyebut bahawa beliau meninggal dunia di Aceh. Ahmad Daudi, menulis: "Maka tiba-tiba dan tanpa sebab-sebab yang diketahui, Syeikh Nuruddin ar-Raniri meninggalkan Serambi Mekah ini, belayar kembali ke tanah tumpah darahnya yang tercinta, Ranir untuk selama-lamanya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1054 H (1644 M)." Bahawa beliau meninggal dunia pada 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M. Tetapi Karel A. Steenbrink dalam bukunya, Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat berpendapat lain, bahawa hingga tahun 1644 M bererti Syeikh Nuruddin masih berada di Aceh. Menurutnya terjadi diskusi yang terlalu tajam antara beberapa kelompok pemerintah: Seorang uskup agung (ar-Raniri) di satu pihak dan beberapa hulubalang dan seorang ulama dari Sumatera Barat di pihak lain. Pihak yang anti ar-Raniri akhirnya menang, sehingga ar-Raniri dengan tergesa-gesa kembali ke Gujarat. Tulisan Karel itu barangkali ada benarnya, kerana secara tidak langsung Syeikh Nuruddin mengaku pernah kalah berdebat dengan Saiful Rijal, penyokong fahaman Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, perkara ini beliau ceritakan dalam kitab Fath al-Mubin.
Ada pun tempat meninggalnya, H.M. Zainuddin, berbeza pendapat dengan Ahmad Daudi di atas. Menurut Zainuddin dalam Tarich Atjeh Dan Nusantara, jilid 1, bahawa terjadi pertikaian di istana, dalam perebutan itu telah terbunuh seorang ulama, Faqih Hitam yang menentang tindakan Puteri Seri Alam. Dalam pada itu Syeikh Nuruddin diculik orang, kemudian mayatnya diketemukan di Kuala Aceh. Menurut H.M. Zainuddin pula, bahawa makam Syeikh Nuruddin itu dikenal dengan makam keramat Teungku Syiahdin (Syeikh Nuruddin ar-Raniri) terletak di Kuala Aceh.

Dalam masa pemerintahan Iskandar Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak menghalang kemajuan yang berasaskan Islam. Sebaliknya masa pemerintahan Iskandar Tsani, ajaran sufi dianggap sesat, ternyata kerajaan Aceh mulai menurun. Bantahan terhadap sesuatu pegangan yang pernah berkembang di dunia Islam perlulah ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Siapa saja yang memegang urusan keislaman janganlah tersalah penilaian, sering terjadi yang benar menjadi salah, atau sebaliknya yang salah menjadi benar.

SAIYID UTSMAN BETAWI

Mufti Paling Masyhur
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SAIYID Utsman Betawi seorang mufti di dunia Melayu yang paling banyak dipercakapkan orang. Realiti tersebut tidak dapat kita nafikan kerana memang banyak sebab orang bercakap mengenainya, sama ada orang yang suka mahu pun yang kontroversi. Setiap langkah kebijaksanaan seseorang ulama atau tokoh besar memang demikianlah yang akan berlaku.
Nama lengkap beliau ialah Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Umar bin Yahya al-Alawi, yang dipopularkan dengan "Habib Utsman Mufti Batawi". Lahir di Pekojan Betawi (Jakarta), 17 Rabiulawal 1238 Hijrah/2 Disember 1822 Masihi. Ibunya bernama Aminah anak Syeikh Abdur Rahman al-Mashri. Saiyid Utsman termasuk seorang ulama keturunan Nabi Muhammad s.a.w, masih asli darah Arab mengalir ditubuhnya. Beliau adalah sahabat ulama besar yang terkenal, ialah Saiyid Yusuf an-Nabhani, Mufti di Beirut.

Karangan Saiyid Utsman sangat banyak berbentuk naskhah, risalah-risalah dan kitab kecil. Kitab yang tebal kurang diketahui, namun keseluruhan karyanya, berjumlah 109 buah. Selain aktiviti mengarang, beliau adalah mufti di Betawi, di samping itu, di bidang bisnes Saiyid Utsman membuka perusahaan cetak sendiri. Dalam memutuskan sesuatu hukum Saiyid Utsman sangat tegas sekali, tanpa pandang siapapun sehingga mungkin kurang mendapat tempat dalam perkembangan kebudayaan asli di dunia Melayu, jika kebudayaan itu bertentangan dengan hukum-hukum syarak. Ini dapat dibuktikan daripada beberapa karya beliau.

Hampir semua ulama asli Jakarta yang ada sekarang merupakan pertalian daripada Saiyid Utsman turun ke murid, tidak ubah seumpama Syeikh Abdul Azhim dengan ulama-ulama Madura, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dengan ulama-ulama Minangkabau; Tok Kenali dengan ulama-ulama Malaysia dan lain-lain seumpama mereka.

Kelicikan seorang Belanda, Snouck Hurgronje kepada Saiyid Utsman mengakibatkan melunturkan namanya di kalangan ahli gerakan nasional Indonesia. Kekeliruannya dalam bidang politik, seolah-olah ia telah tertipu dengan berbagai-bagai pujuk rayu daripada sarjana Belanda itu. Tentang ini tidak saya ceritakan dalam artikel ini, kerana telah diriwayatkan oleh Mr. Hamid Alqadri dalam bukunya, C. Snouck Hurgronje Politik Belanda Terhadap Islam dan Keturunan Arab, diterbitkan oleh Sinar Harapan, cetakan pertama 1984.

Walau bagaimanapun, Saiyid Utsman tetap termasuk salah seorang yang dicurigai Belanda. Deliar Noer menulis, "Sedang Saiyid Utsman bin Yahya al-Alawi, yang disebut sebagai "seorang Arab yang berserikat dengan pemerintahan Hindia Belanda" dan yang menafsirkan perang jihad semata-mata sebagai peperangan melawan "nafsu-nafsu jahat". Jadi bukan perang fizik terhadap orang kafir, tidak mendapat kepercayaan penuh daripada kalangan Belanda. Ketika ia berdoa untuk keselamatan Ratu Belanda pada 1898, ia dituduh "mengelabui mata orang-orang Eropah dengan perbuatannya itu." (Gerakan Modern Islam di Indonesia, LP 3ES, 1997, hlm. 2).
Saya meragui tulisan Chaidar, "... terjadilah di sana yang agak meruncing di antara Syeikh Nawawi al-Bantani (ketika itu masih kanak-kanak) dengan Siayid Utsman al-Alawi." (Sejarah Pujangga Islam Syeikh Nawawi Al-Bantani, CV. Sarana Utama, 1978, hlm..60). "... bahawa ketika peristiwa itu terjadi Syeikh Nawawi al-Bantani belum dewasa lagi." (hlm. 62). Padahal Syeikh Nawawi al-Bantani lebih tua lapan tahun daripada Sayid Utsman al-Batawi. Syeikh Nawawi al-Bantani lahir tahun 1230 Hijrah, wafat 1314 Hijrah. Sedangkan Saiyid Utsman al-Batawi lahir 17 Rabiulawal 1238 Hijrah/2 Disember 1822 Masihi, wafat tahun 1333 Hijrah.
Saiyid Utsman al-Batawi ketika hidup seringkali mengadakan komunikasi melalui surat-menyurat dengan Saiyid Yusuf an-Nabhani di Beirut. Saiyid Utsman al-Batawi sependapat dalam berbagai-bagai jalan pemikiran dengan ulama Beirut yang terkenal itu, sama- sama bermazhab Syafie dan sama-sama menentang pemikiran Syeikh Muhammad Abduh dan Saiyid Rasyid Ridha, ulama pembaharuan yang muncul di Mesir itu.

Atas pengakuan Saiyid Utsman al-Batawi sendiri, bahawa beliau pernah belajar kepada ulama-ulama di Mekah iaitu; Syeikh Ahmad ad-Dimyathi, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Saiyid Muhammad bin Husein al-Habsyi dan Syeikh Rahmatullah. Di Hadhramaut, beliau belajar kepada Saiyid Abdullah bin Husein bin Thahir, Saiyid Abdullah bin Umar bin Yahya, Saiyid Hasan al-Bahr dan lain-lain. Di Tunisia, beliau belajar kepada Syarif Muhammad bin Abdul Jawad al-Qabisi.

PENULISAN

Karya-karyanya ditulis dalam bahasa Arab, Melayu Jakarta, Jawa dan Sunda. Di antara yang dapat disenaraikan ialah;
1. Jawazu Ta'addudil Jumu'ah, ditulis tahun 1286 H.
2. Manhaj al-Istiqamah fi ad-Dini bi as-Salamah, selesai pada 5 Zulkaedah 1307 H/1890 H.
3. Mazil al-Auham wa at-Taraddud fi Amri Shalah al-Jumu'ah Ta'addud, ditulis tahun 1312 H.
4. Taftih al-Maqallatain wa Tabyin al-Mufsidin al-Makhba-ataini fi ar-Risalah al-Ma'mati bi Shulhi al-Juma'ataini, ditulis tahun 1313 H.
5. Al-Qawanin asy-Syar'iyah, ditulis tahun 1317 H.
6. Perhiasan Bagus.
7. Shifat Dua puluh.
8. Samth asy-Syuzur wa al-Jawahir fi Hilli Takhshish an-Nuzur li as-Sadah.
9. Kitab al-Faraidh.
10. Hadits Keluarga.
11. Maslak al-Akhyar.
12. Abadul Insan.
13. Iqazhuniyah fi ma Yata'allaqu bi Lahillah wa Shiyam.
14. Az-Zahrul Basim.
15. I'anah al-Mustarsyidin.
16. Thariq as-Salamah.
17. Salam al-Muslimin.
18. Terjemah Hukum Islam.
19. Sa'adah al-Anam.
20. Tamyiz al-Haq.
21. Perihal Hukum Azan.
22. Irsyad al-Anam.
23. Taftih al-'Uyun.
24. Miftah as-Sa'adah.
25. Tafsir Surah Kahfi.
26. As-Silsalah an-Nabawiyah.
27. Qamus Tiga Bahasa.
28. Qamus Kecil.
29. Hukum Gambar.
30. Hikam ar-Rahman.
31. Hadits Empat Puluh.
32. Bab al-Minan.
33. Mukhtashar al-Qamus.
34. Tujuh Faidah.
35. Dan lain-lain.

BAHASAN

Menurut riwayat, seluruh karangan Sayid Utsman berjumlah 109 judul besar dan kecil, tetapi yang terbanyak merupakan risalah-risalah kecil. Bahasan tentang karya beliau dituangkan di sini sekadarnya sahaja iaitu, yang dianggap perlu dan penting-penting saja. Terjadi peristiwa sedikit pertikaian faham antara Saiyid Utsman Betawi dengan Syeikh Ahmad Khatihb bin Abdul Lathif al-Minankabawi, pada beberapa aspek hukum mengenai solat Jumaat. Ada beberapa kitab karya kedua-duanya, yang bercorak "polemik" yang memakan waktu agak lama.

Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau diperkirakan umurnya jauh lebih muda dari Saiyid Utsman Betawi. Salah satu bukti bahawa Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau jauh lebih muda daripada Saiyid Utsman Betawi bahawa dalam tahun 1286 Hijrah Saiyid Utsman Betawi telah mengarang kitab, Jawazu Ta'addudi Juma'atain, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau waktu itu, baru berusia 10 tahun saja (beliau lahir pada 1276 Hijrah).
Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyusun sebuah kitab berjudul, Shulhul Juma'atain bi Jawazi Ta'addudil Juma'atain yang merupakan suatu penjelasan atas beberapa kesamaran sebuah kitab Saiyid Utsman Betawi yang ditulis pada 1312 Hijrah. Tulisan Syeikh Ahamad Khatib Minangkabau itu sebahagian sependapat dengan tulisan Saiyid Utsman Betawi dan di antaranya ada yang berlawanan. Tulisan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau itu mengundang kemarahan Saiyid Utsman Betawi sehingga beliau menyusun kitab berjudul, Taftih al-Maqalatain wa Tabyin al-Mufasidatain (ditulis pada 1313 Hijrah). Untuk menyanggah kitab Saiyid Utsman Betawi itu, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyusun kitab berjudul, Istbat az-Zain li Shulhil Juma'atain bi Jawazi Ta'addud al-Jumu'atain fi Raddi 'alal Kitabil Musamma Taftih al-Maqalatain (ditulis pada 1313 Hijrah). Kitab-kitab polemik kedua-dua ulama besar dunia Melayu itu ditulis dengan bahasa Arab.

Sebenarnya sebelum terjadi peristiwa tersebut telah terjadi terlebih dahulu pertikaian di antara Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau dengan "Al-'Allamah Syeikh Salim bin Samir al-Hadhrami" sahabat Saiyid Utsman Betawi. Saiyid Utsman Betawi menyebut bahawa, karya beliau telah disambut dan diakui oleh beberapa ulama besar yang terkenal, iaitu selain Syeikh Nawawi al-Bantani dan Syeikh Junaid Betawi terdapat nama-nama Syeikh Muhammad Sa'id Ba Bashail, Mufti Syafi'iyah di Mekah, Saiyid Ahmad bin Zainal Dahlan Mufti Syafi'iyah Mekah, Saiyid al-Allamah Abdur Rahman bin Muhammad al-Masyhur, penyusun kitab fikah terkenal berjudul, Bughyatul Mustarsyidin, pujiannya atas kitab Saiyid Utsman Betawi judul, I'ahatul Mustarsyidin dan al-'Allamah as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. Satu fenomena yang aneh, kerana semua ulama yang membenarkan karangan Saiyid Utsman Betawi adalah para guru Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau.

Karya

Dalam karyanya berjudul, a-Qawanin asy-Syar'iyah li Ahli al-Majalis al-Hukmiyah wa al-Iftaiyah (ditulis pada 1317 Hijrah) banyak juga perkara yang belum pernah dibahas oleh ulama dunia Melayu sebelumnya. Di- antaranya, Saiyid Utsman Betawi mengemukakan pedoman untuk memilih perkara-perkara 'yang muktamad dan 'yang tidak muktamad' menurut Mazhab Syafie, contohnya: 1. Qaul (pendapat, pen:) yang muktamad dalam Mazhab Syafie, iaitu yang dii'timadkan (diperpegangi) oleh Imam an-Nawawi dan Imam ar-Rafie. 2. Jika kedua-duanya bertikai, maka yang muktamad ialah pendapat Imam an-Nawawi. 3. Jika ada qaul yang disebut oleh salah seorang daripada kedua-duanya, maka itu juga dihitung muktamad. 4. Jika tidak terdapat qaul daripada kedua-duanya, maka yang muktamad ialah mengikut 'Ahli at-Tarjih'.
5. Jika bertentangan satu sama lain yang dikarang oleh Imam Nawawi sendiri, maka yang muktamad adalah yang dikarang terkemudiannya. Sebagaimana tertib satu-satunya Tahqiq, Majmu', Tanqih, Raudhah Minhaj dan lain-lain.

Demikian pula didahulukan qaul yang mufakat pada banyak kitabnya atas yang mufakat pada yang sedikit. Dan didahulukan qaul yang tersebut di 'Bab'nya atas yang tersebut pada bukan 'Bab'nya. 6. Sekalian qaul muktamad Imam Nawawi dan Imam Rafie, iaitu yang dii'timadkan oleh Syeikh Ibnu Hajar di dalam Tuhfah dan Syeikh ar-Ramli di dalam Nihayah. Tuhfah dan Nihayah dipandang yang paling muktamad daripada lainnya. 7. Jika bersalahan kitab Ibnu Hajar sendiri, maka didahulukan Tuhfah, kemudian Fath al-Jawad, kemudian al-Imdad, kemudian, Fatawa, dan seterusnya kitab-kitab yang lain.

Pada fasal yang kelima al-Qawanin asy-Syar'iyah, Saiyid Utsman Betawi memperkenalkan aturan mengenal susunan-susunan Minhaj dan Tuhfah.

MUHAMMAD UMAR BIN ENCIK HARUN BIN MALIM BUNGSU

Pengembaraan dan Pengubatan
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SETELAH kejatuhan kerajaan Melaka ke tangan Portugis pada 1511 Masihi, ramai pembesar Melaka bertempiaran ke pelbagai tempat di seluruh pelosok dunia Melayu. Yang diriwayatkan ini adalah salah seorang daripada keturunan pembesar Melaka yang nama lengkapnya ialah Muhammad Umar bin Encik Harun bin Malim Bungsu.

Ibunya bernama Ruqaiyah binti Haji Abdul Qadir bin Haji Abdul Ghani bin Wan Muhammad Daram bin Encik Wan Mat Thalib bin Encik Wan Jermat bin Umar (Megat Laksamana) bin Utsman (Dato' Kaya Megat Patan Pahang) bin Tuan Kadi Haji Ahmad. Tuan Kadi Haji Ahmad inilah yang berasal dari Melaka.

Beliau melalui penderitaan yang panjang sebagai orang buruan Portugis. Mula-mula beliau berhijrah dari Melaka ke Johor, dan terus ke Bintan. Selanjutnya ke Minangkabau dan terakhir di Kampar. Setelah itu keturunan beliau bertebaran di mana-mana. Selain kembali ke Semenanjung, ada juga yang sampai ke Champa.

Daripada waris keluarga ini telah muncul berbagai-bagai keilmuan dan penulisan. Ada yang muncul sebagai pembesar dalam pemerintahan, pentadbir, dan lain-lain sejenisnya. Ada yang menjadi ulama.

Ada yang muncul sebagai saudagar, pengusaha, perkebunan, dan banyak lagi. Muhammad Umar bin Encik Harun yang dibicarakan ini adalah salah seorang daripada keturunan keluarga di atas yang muncul sebagai 'Nakhoda Pelayaran' dan 'Pakar Perubatan Tradisional'.
Muhammad Umar bin Encik Harun lahir di Kampung Tambelan, Pontianak, pada malam Khamis 3 Jumadilawal 1275 H/9 Disember 1858 M. Wafat pada usia 73 tahun pada malam Ahad, jam 12.00 lebih sedikit, 28 Safar 1348 H/4 Ogos 1929 M. Mendapat pendidikan asas daripada lingkungan keluarga sendiri di Kampung Tambelan, Pontianak.

Selain itu, Muhammad Umar bin Encik Harun juga belajar daripada beberapa orang ulama yang datang ke Pontianak pada zaman itu.

Ulama bangsa Arab pada zaman itu sangat ramai, di antara mereka ialah Saiyid Shalih az-Zawawi dan anaknya, Saiyid Abdullah az-Zawawi. Muhammad Umar bin Encik Harun sempat belajar dengan kedua-dua ulama Arab itu. Selain itu, ulama juga datang dari Banjar, Bugis, Patani, Kelantan, Terengganu dan tempat-tempat lain. Daripada pelbagai sumber yang dikumpulkan dapat dipercayai bahawa Muhammad Umar bin Encik Harun telah menguasai banyak bidang ilmu, terutama sekali ilmu tauhid dan tasawuf. Kemudian Muhammad Umar bin Encik Harun, mempraktikkan pelayaran dan perubatan iaitu hasil daripada usaha yang gigih melalui pengembaraan di beberapa negeri di seluruh dunia Melayu.

Jika kita menoleh ke belakang dan membandingkan dengan masa sekarang, ia mencerminkan Muhammad Umar bin Encik Harun adalah seorang yang benar-benar hebat dalam dunia pelayaran. Pengembaraannya semuanya ditempuh dengan perahu layar, sedangkan dunia Melayu yang dilayari cukup luas.

ILMU PELAYARAN

Tidak ramai tokoh ulama dunia Melayu menulis tentang ilmu pelayaran, oleh itu sangat menarik sebuah manuskrip karya Muhammad Umar bin Encik Harun diperkenalkan dalam artikel ini.
Manuskrip tersebut diberi judul Jurnal Pelayaran dan Petua Melayu, diselesaikan antara tahun 1291 H/1874 M hingga 1293 H/1876 M. Kandungannya dicatatkan hadiah daripada Muhammad Umar bin Harun kepada Haji Muhammad Arsat yang dinyatakan pada halaman akhir, "Bahawa ini surat daripada kekanda Muhammad Umar bin Harun datang ke hadapan adinda al-Haji Muhammad Arsat bin al-Marhum Tuan al-Haji Mahmut... di dalam negeri Kotaringin (nama sekarang Kotawaringin, pen:) adanya.

Antara topik penting yang ditulisnya ialah:
1. Perkara Jurnal Pelayaran Dari Pontianak Mau Pergi Di Tanah Jawa Dan Kotaringin.
2. Perkara Jurnal Pelayaran Dari Kuala Sambas Mau Pergi Singapura Hendak Tahu Duduknya Pulau-Pulau Di Sebelah Barat Adanya.
3. Perkara Jurnal Menyusul Dari Tanah Jawa Sampai Di Tanah Barat Maka Tersebut Satu-Satu Pelayaran Adanya.

Selanjutnya tentang pelayaran dinyatakan juga ukuran-ukuran perahu.
Dalam 'Jurnal Pelayaran dan Petua Melayu, disebut juga tentang pelangkahan. Dapat dipastikan Muhammad Umar bin Encik Harun adalah seorang yang sangat berpengalaman dalam pelayaran, oleh itu ilmu pelangkahan yang beliau sebut dipraktikkannya.
Di antara tulisan beliau tentang pelangkahan berbunyi, "Fasal ini pelangkahan manca lima sahaya terima kepada Haji Muhammad Ali bin Nakhoda Mu'alim Kecil di Pontianak kepada sanah 1293, dan kepada 15 hari bulan Rabiulawal hari Isnin (15 Rabiulawal 1293 H/10 April 1876 M, pen:), adanya."

Khazanah

Dalam khazanah peninggalan Muhammad Umar bin Encik Harun juga dapat kita ketahui bahawa dalam dunia pelayaran yang menggunakan perahu layar pada zaman dulu juga sangat diperlukan ilmu tentang taqwim.
Mengenai taqwim beliau menyebut, "Fasal ini taqwim Arab di Pontianak tarikh sanah 1291, dan kepada 14 hari bulan Rabiulawal (14 Rabiulawal 1291 H/1 Mei 1874 M, pen: ), hari Jumaat sahaya terima kepada Haji Umar bin Samsudin adanya."
Beliau sebut pula tentang taqwim Jawa, "Fasal ini taqwim Jawa sahaya terima kepada Haji Ali bin Nakhoda Mu'alim Kecil di Pontianak kepada tarikh sanah 1293, dan kepada 15 Rabiulawal hari Isnin (15 Rabiulawal 1293 H/10 April 1876 M, pen: ), adanya." Memperhatikan tarikh dan nama guru, bererti serentak dengan ilmu pelangkahan.

PENULISAN

Salah satu karyanya yang lain ialah Sya'ir Negeri Tambelan, selesai penulisan tercatat pada halaman akhir, "Tamatlah syair hari Ahad, bulan Muharam tahun lebih empat" (hari Ahad, Muharam 1304 H). Kandungannya membicarakan asal usul keturunan Dato' Kaya Tambelan yang ditulis dalam bentuk puisi/syair. Kedua-dua manuskrip di atas diperoleh di Pontianak pada 6 Syawal 1422 H/20 Disember 2001 M di persekitaran Keraton Qadriyah (Istana Kesultanan Pontianak).

Buku Perubatan Muhammad Umar Bin Harun Pontianak adalah sebuah lagi karya beliau. Kandungannya secara garis besar ialah catatan bermacam-macam jenis penyakit yang beliau kenal pasti dan cara menangani pengubatannya. Setiap penyakit ada ubatnya, oleh itu dicatatnya pula cara-cara mengubati pelbagai penyakit.

Catatan ini rasanya kurang sempurna, oleh itu setiap sesuatu ubat Muhammad Umar bin Harun mencatat pula nama seseorang yang mengajarnya sesuatu ubat, tarikh penerimaan dan lengkap nama tempat atau negeri yang dirantauinya. Di antara kandungan Buku Perubatan Muhammad Umar Bin Harun Pontianak saya senaraikan sebagai berikut:
1. Ubat Sakit Cacar, mengenai penyakit ini ada catatan beliau bahawa di Pontianak dan sekitarnya pernah ditimpa bala dan wabak sakit cacar, ramai orang mati akibat penyakit tersebut.
Oleh itu, Muhammad Umar bin Harun telah belajar mengubati penyakit cacar itu daripada beberapa orang guru, di antaranya ialah Encik Muhammad Ali, Kampung Sampit, Pontianak.
Selain itu beliau terima ilmu ini pada 7 Muharam 1313 H daripada Haji Abdus Shamad di Pontianak. Juga daripada Saiyid Husein bin Saiyid Syaikh yang berasal dari Riau, Pulau Penyengat.
2. Ubat Kudis Gatal, 6 halaman, pada bahagian ini Muhammad Umar bin Harun menyatakan bahawa beliau belajar mengubati penyakit tersebut daripada orang yang beliau panggil 'ayahanda Encik Unus', tahun 1293 H.
3. Ketumbuhan Dalam Mata Atau Sakit Mata.
4. Pelbagai Doa. Banyak doa yang nadir dibicarakan pada bahagian ini, dibicarakan juga tentang sembahyang sunat kifayah al-baul yang sering dipercakapkan oleh ahli sufi.
Amalan sembahyang sunat kifayah al-baul, Muhammad Umar bin Harun menyatakan beliau menerima daripada Haji Khathib Razi Palembang, Kampung Tabing Garinting diperhuluan Palembang, Sumatera Selatan. Menurutnya, beliau bersusah payah mudik (menyusuri sungai hingga jauh ke perhuluan), satu hari dari Marugan.
5. Penyakit Buruk ialah satu bala yang pernah terjadi di Pontianak. Penyakit tersebut berbau sangat busuk, seluruh badan tumbuh seperti kudis yang disebut pekung yang mengandungi nanah.

Belajar

Untuk mengubat penyakit tersebut Muhammad Umar bin Harun menyebut bahawa beliau telah belajar daripada Haji Ali bin Haji Abdur Rahman Tok Kaya, Encik Wan Muhammad Juling. Tahun 1305 H/1888 M, Muhammad Umar bin Harun mengambil ilmu yang dibicarakan daripada Wa'na Rasa Wan Muhammad.

Di sini juga terdapat catatan bahawa beliau berada di Siantan, Midai, Tambelan dan Pulau Bunguran kerana mengubati orang sakit biri-biri, puru dan lain-lain.
Penyakit biri-biri oleh masyarakat Melayu disebut juga 'penyakit kebas', iaitu sejenis penyakit pada tubuh kita, terutama pada bahagian tangan ataupun kaki, ditekan mula-mula cekung ke dalam, secara beransur-ansur cekung akan hilang dengan agak lambat kembali seperti sebelum ditekan.

Ketika itu sangat ramai orang sakit. Dicatatkan pula bahawa ilmu perubatan ini diterima daripada Encik Aji bin Yusuf Siak di Kotaringin, yang menerimanya daripada Saiyid Muhammad, menantu Sultan Abdul Jalil Sukudana.

Catatan

Mengenai penyakit yang tersebut juga, terdapat dalam catatan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, bahawa beliau akan ke Siantan, tetapi manakala sampai di Jemaja beliau dapat satu khabar dan beliau terpaksa kembali ke Singapura.

Selain membicarakan perubatan seperti tersebut di atas, Buku Perubatan Muhammad Umar Bin Harun Pontianak juga membicarakan tentang melihat rasi jodoh yang baik ataupun sebaliknya. Petua ini diterima daripada Haji Husein Kotaringin tahun 1304 H/1887 M.
Untuk menghadapi permusuhan atau perkelahian, sihir dan lain-lain, Muhammad Umar bin Harun juga mengamal dua ayat akhir surah at-Taubah seperti yang pernah disebut oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa buah kitabnya.

Selain menghasilkan karangan, Muhammad Umar bin Encik Harun juga pernah menyalin sebuah karya Raja Ali Haji yang berjudul Sya'ir Bab an-Nikah, selesai penyalinan tercatat pada halaman akhir, "Tersurat di negeri Tambelan pada 24 hari bulan Zulkaedah, malam Khamis pukul dua belas kepada tahun sanah 1313 (24 Zulkaedah 1313 H, pen:). Dan menyalin surat Bab an-Nikah Dato' Petinggi Tambelan, dan dia menyalin surat Raja Ali Riau, Pulau Penyengat. Ada pun yang empunya surat ini hamba, Muhammad Umar orang Pontianak, Kampung Tambelan, itulah adanya."

PENUTUP

Daripada semua yang telah dipaparkan di atas saya berkesimpulan dari segi pengubatan dan berhadapan dengan pelbagai penyakit yang sangat berbahaya, Muhammad Umar bin Harun berani bertarung dengan penyakit-penyakit itu.
Sebaliknya Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi, sungguhpun beliau sangat terkenal dalam bidang falak, tidak sanggup menempuh cabaran penyakit-penyakit yang berbahaya itu.