Sunday, December 18, 2005

SYEIKH MUHAMMAD AL-FATHANI

Ulama Pembesar Turki
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SALAH seorang anak Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani yang menjadi ulama besar di Mekah sekali gus adalah seorang pembesar Mekah pada zaman pemerintahan Turki 'Utsmaniyah, ialah Syeikh Muhammad al-Fathani. Syeikh Muhammad al-Fathani termasuk dalam lingkungan keluarga besar ulama-ulama Patani yang terkenal, mulai ayah hingga beberapa lapis ke atas, sama ada dari pihak ayah mahu pun dari pihak ibu semuanya ulama belaka. Ayahnya Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman bin 'Utsman al-Fathani adalah saudara sepupu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (penulis Mathla' al-Badrain). Kedua-duanya adalah ulama besar yang cukup besar pengaruhnya di Mekah mahu pun di seluruh dunia Melayu. Kedua-duanya pula adalah cucu saudara Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.
Syeikh Muhammad bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani mempunyai beberapa orang adik beradik, di antaranya Syeikh Daud bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani. Syeikh Daud bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani memperoleh seorang anak bernama Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani, beliau ini banyak disebut oleh Syeikh Yasin bin 'Isa al-Fadani dalam karangan-karangannya yang membicarakan sanad-sanad hadis. Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani selain anak saudara Syeikh Muhammad al-Fathani, sekali gus adalah anak angkat, anak didik, bahkan hampir keseluruhan ilmu yang dikuasai oleh Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani adalah diperoleh daripada ayah saudaranya itu. Syeikh Muhammad al-Fathani mengajar anak saudara itu dan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu mulai kitab yang paling asas hinggalah kitab yang tinggi-tinggi, di antara kitab yang tinggi-tinggi itu tidak semua orang berkemampuan mengajarkannya.

SANAD ILMU

Apabila kita jejaki pendidikan yang dialami Syeikh Muhammad al-Fathani dapat diambil kesimpulan sekurang-kurangnya melalui dua jalur yang besar. Jalur pertama melalui lingkungan keluarga sendiri atau keluarga Patani di Mekah. Dan jalur yang kedua melalui ulama-ulama bangsa Arab yang berada di Mekah. Jalur daripada keluarga sendiri sekurang-kurangnya belajar kepada tiga orang. Yang pertama, kepada ayah beliau sendiri, iaitu Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Jalur yang melalui ulama-ulama Mekah sangat panjang untuk diceritakan. Di bawah ini saya salin satu sanad yang beliau berikan kepada muridnya yang bernama Muhammad Sa'id bin Ahmad yang berasal dari Melaka. Sungguh pun sanad tersebut hanya membicarakan Hizib an-Nawawi dibaca setiap selesai sembahyang Subuh dan Maghrib, namun sanad ini juga ada kaitan dengan pelbagai disiplin ilmu. Salinan selengkapnya adalah sebagai berikut: 1. Syeikh Muhammad bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, belajar kepada, 2. Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha, belajar kepada, 3. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada, 4. Syeikh 'Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada, 5. Syeikh Abi Muhammad Muhammad bin Muhammad al-Amir al-Kabir, belajar kepada, 6. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada, 7. Syeikh Muhammad bin 'Ali al-'Alawi, belajar kepada, 8. Saiyidi Muhammad ibnu Sa'aduddin, belajar kepada, 9. Saiyidi Muhammad ibnu at-Turjuman, belajar kepada, 10. Saiyidi Syeikh 'Abdul Wahhab asy-Sya'rani, belajar kepada, 11. Al-Burhan ibnu Abi Syarif al-Qudsi, belajar kepada, 12. Al-Badru al-Qubban, belajar kepada, 13. Saiyidi Muhammad ibnu al-Khabbaz, belajar kepada, 14. Al-Imam Muhyuddin Abi Zakaria bin Syarfun Nawawi (wafat tahun 670 H/1271 M.

Berdasarkan sanad di atas, dapat diketahui Syeikh Muhammad al-Fathani belajar kepada Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Beliau adalah adik beradik dengan Saiyid Abi Bakri Syatha (pengarang kitab I'anah ath-Thalibin yang terkenal), dipercayai Syeikh Muhammad al-Fathani juga belajar kepada ulama ini yang sanadnya sama dengan yang di atas. Sebahagian besar ulama dunia Melayu mengaku mereka adalah murid kepada Saiyid Abi Bakri Syatha, hampir-hampir tidak ada yang menyebut mereka belajar kepada Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Setakat ini ulama dunia Melayu daripada catatannya sendiri, yang menyebut dirinya murid Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha hanya dua orang. Selain Syeikh Muhammad al-Fathani ialah Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Bahkan, Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin yang pertama di Mekah yang mengangkatkan nikahnya ialah Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad al-Fathani adalah bersahabat dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi ahli falak yang terkenal itu.

Syeikh Muhammad al-Fathani juga bersahabat dan seperguruan dengan Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki. Kedua-duanya sama-sama belajar kepada Saiyid Abi Bakri Syatha yang bersanadkan kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan seterusnya. Ramai ulama dunia Melayu yang datang kemudian tercatat sebagai murid Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki itu, tetapi hanya sebahagian saja yang sempat belajar kepada Syeikh Muhammad al-Fathani. Mengenainya disebabkan Syeikh Muhammad al-Fathani meninggal dunia jauh lebih awal daripada Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki. Walau bagaimana pun dalam masa-masa kemasyhuran ulama Arab itu dari Patani muncul dua nama, ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud) dan anak saudaranya, ialah Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani (Pak De 'El).

KITAB-KITAB YANG DIAJARKAN

Syeikh Muhammad al-Fathani sangat mengambil perhatian kepada murid-muridnya dalam penekanan ilmu-ilmu Arabiah yang terdiri daripada kitab-kitab ilmu nahu, mulai Matn al-Ajrumiyah dan syarahnya Mukhtashar Jiddan oleh guru daripada gurunya, iaitu Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan. Dalam rangkaian ilmu nahu dimestikannya pula belajar kitab-kitab al-Kafrawi, al-Kawakib, al-Qathar, asy-Syuzur, Ibnu 'Aqil dan syarahnya, Asymuni dan lain-lain. Dilanjutkan dengan ilmu Bayan dengan kitab-kitab seperti Risalah ad-Dardir, Jauhar al-Maknun, Hasyiyah ash-Shabban, Jamul Jawami', dan lain-lain. Kitab-kitab fiqh Syafi'iyah yang diajarkan oleh Syeikh Muhammad al-Fathani ialah al-Minhaj, al-Bahjah, at-Tuhfah, an-Nihayah, dan lain-lain. Semua yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Walau bagaimanapun dalam lingkungan keluarga ini termasuk Syeikh Muhammad al-Fathani tidak mengabaikan pengajaran kitab-kitab Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Mengenai tafsir al-Quran juga beliau ajar, di antaranya ialah Tafsir al-Jalalain. Sebagaimana penekanan dalam ilmu-ilmu yang tersebut, demikianlah penekanan ilmu-ilmu hadis. Kitab as-Sittah yang sangat terkenal di kalangan ahlus sunah itu tidak ketinggalan dalam senarai yang mesti diajarkan.

AKTIVITI

Selain mengajar dan menjadi pembesar Mekah zaman pemerintahan Syarif Husein di Mekah, di bawah naungan kerajaan Turki 'Utsmaniyah, Syeikh Muhammad al-Fathani duduk pula sebagai ahli jawatankuasa menangani karangan-karangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mulai penyalinan semula untuk diperbanyak, penyemakan salinan, mengenalpasti kitab Arab yang dirujuk, memberi keterangan pada perkataan-perkataan yang nadir dan lain-lain. Pekerjaan demikian dikelola oleh ayah beliau, Syeikh Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad Ismail al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, kedua-duanya adalah cucu saudara Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.

Pekerjaan kedua-dua ulama itu adalah menanggapi dan menyetujui inisiatif dan program kerja Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Mereka mengumpulkan koleksi secara keseluruhan dan dibuat perencanaan bahawa karya-karya Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani yang paling utama dan didahulukan untuk diterbitkan daripada karya-karya selain beliau. Walau bagaimanapun karya-karya ulama dunia Melayu lainnya tidak diabaikan. Kitab-kitab Syeikh Daud al-Fathani mulai ditash-hih, kitab-kitab fikanya dimulai dengan tash-hih Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani dan Syeikh Muhammad al-Fathani membantu kerja-kerja ayahnya itu.

Kitab

Di antara kitab karangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani yang ditangani oleh Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani yang sekali gus melibatkan anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani dalam perkara kerja-kerja yang telah disebutkan di atas, ialah kitab Hidayah al-Muta'allim, Bughyah ath-Thullab dan Furu' al-Masail Dalam Furu' al-Masail lebih 70 perkara fiqhiyah diberi keterangan atau dikomentari oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, dan di antara yang 70 perkara itu ada yang menyebut nama anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani yang diriwayatkan ini. Di antara perkara yang menyebut nama Syeikh Muhammad bin 'Abdul Qadir al-Fathani dalam Furu' al-Masail ialah salah sebuah edisi cetakan Furu' al-Masail ada catatan, "Dan pada tepinya beberapa taqrirat bagi asy-Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani dan bagi asy-Syeikh Muhammad bin 'Abdul Qadir al-Fathani, dan fawaid, dan lainnya".
Furu' al-Masail halaman 212, "Orang yang kedatangan haid dahulu daripada tawaf rukun dan tiada kuasa tinggal di Mekah sebab ketiadaan nafkah ... " Jawabnya, "Harus ia kembali ke negerinya. Kemudian apabila sampai pada tempat, yang ketiadaan boleh dengan kemudahan kembali ke Mekah hendaklah ia tahallul ... Dan tinggallah tawaf pada zimmahnya, maka datanglah hukumnya seperti orang yang dahulu ... " Kalimat ini telah dibahas oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, dan kalimat beliau itu kemudian dibahas lagi oleh anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani, tulisnya, "Dan bahawasanya yang terlebih memeliharakan...hingga akhir, ibaratnya (susunan kalimat), kata Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, "Adalah perkataan Tuan Syeikh Daud itu tiada ada maujud pada asal, dan tidak munasabah perkataannya bagi tawaf rukun. Hanya ada munasabah bagi perempuan yang tiada haid, maka masalah ini, masalah haid. Maka perempuan yang haid ketika ia hendak musafir itu gugur wajib tawaf wida'nya." Syeikh Muhammad al-Fathani, menjelaskan perkataan ayahnya itu, tulis beliau," kata walid (ayahku, maksudnya Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, pen:), "Perkataan ini tiada ada pada asalnya", maka hamba dapat akan dia pada Hasyiah Jamal atas Fath al- Wahab ... " Daripada kalimatnya yang terakhir, iaitu, "..., maka hamba dapat akan dia pada Hasyiah Jamal atas Fath al-Wahab ... " adalah sebagai bukti bahawa Syeikh Muhammad al-Fathani seorang ulama yang rajin dalam penelitian, rajin membaca dan bukan taklid. Saya berkesimpulan walaupun Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani dan ayahnya ulama besar, namun apa yang ditulis tetap diteliti dan dicari di mana sumber rujukan. Mengenai ini bukan bererti menyalahkan ulama terdahulu, tetapi adalah untuk lebih memperjelas dan mengukuhkan kedudukan sesuatu hukum Islam yang akan diamalkan oleh masyarakat Islam yang luas tanpa ragu.

1 Comments:

Blogger Third Aly said...


Loved your site, Excellent information and facts Gang Jie dan Gho Siah de Nature

10:04 AM  

Post a Comment

<< Home