ULAMA NUSANTARA

Sunday, June 26, 2005

TUAN MUKHTAR BOGOR

`Ulama' ahli syari'at dan haqiqat
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DI MEKAH pada satu ketika dulu sekurang-kurangnya ada tiga orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menguasai banyak bidang disiplin ilmu. Ketiga-tiganya pula adalah merupakan yang paling ramai muridnya, terutama bagi masyarakat dunia Melayu.
Yang pertama, ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/1856 M - 1325 H/1908 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 25 tahun, mulai 1300 H/1882 M hingga tahun 1325 H/1908 M. Yang kedua Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minankabawi (1276 H/1860 M - 1334 H/ 1916 M). Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 29 tahun, mulai 1305 H/1888 M hingga tahun 1334 H/1916 M. Yang ketiga ialah ulama yang diriwayatkan ini, nama lengkap beliau ialah Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid al-Bughri al-Batawi al-Jawi. Lahir di Bogor, Jawa Barat, pada hari Khamis, 14 Syaaban 1278 H/14 Februari 1862 M, wafat di Mekah, petang Ahad, 17 Shafar 1349 H/13 Julai 1930 M. Mengajar di Masjid al-Haram selama lebih kurang 28 tahun, mulai 1321 H/ 1903 M hingga tahun 1349 H/1930 M.

Sungguh pun Tuan Mukhtar Bogor menguasai banyak bidang disiplin ilmu termasuk ilmu-ilmu hadis, yang sering dibicarakan terutama oleh golongan tajdid, namun beliau tetap berpegang dengan Mazhab Syafie, pengikut setia Mazhab Ahlis Sunnah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Manshur al-Maturidi. Dalam tasawuf tetap berpegang kukuh dengan imam-imam kaum sufi yang muktabar seperti Imam Abu Qasim Juneid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali, dan lain-lain.

Pendidikan

Beliau memperoleh pendidikan dari orang tuanya sendiri, terutama tentang al-Quran sekali gus beliau hafiz kitab suci Islam itu. Dalam tahun 1299 H/1881 M melanjutkan pelajarannya di Betawi/Jakarta, belajar kepada al-Allamah al-Habib Utsman bin Aqil bin Yahya, Mufti Betawi. Melalui ulama Arab keturunan Rasulallah s.a.w tersebut Tuan Mukhtar Bogor hafal matan-matan ilmu yang pelbagai. Matan-matan itu ialah: Matn al-Milhah, Matn al-Alfiyah dan Matn al-Qathar semuanya dalam bidang ilmu nahu. Matn al- Ghayah wa at-Taqrib, Matn al-Irsyad, Matn az-Zubad semuanya dalam fikh dan termasuk juga akidah. Ketika belajar di Betawi juga, Tuan Mukhtar telah mahir dalam riwayat-riwayat ilmu Qiraat.

Ulama-ulama yang pernah mengajar Tuan Mukhtar, yang bersanad, yang beliau sebut dalam tulisannya, ialah: Sayid Muhammad Amin bin Sayid Ahmad ar-Ridhwan al-Madani, Sayid Abu Bakri Syatha dan saudaranya Sayid Umar Syatha, Sayid Abdul Karim an-Naji ad-Daryandi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Mushthafa Afifi dan Syeikh Muhammad Zainuddin al-Jawi as-Sumbawi. Ulama yang berasal dari Pulau Sumbawa, Indonesia ini menghasilkan beberapa buah karangan di antaranya yang masih diajarkan sampai sekarang ialah Sirajul Huda (akidah) dan Minhajus Salam (fikh). Guru-guru yang lain beliau sebut pula Syeikh Muhammad al-Minsyawi, Sayid Umar as-Syami, Sayid Husein al-Habsyi, Sayid Yusuf an-Nabhani, Sayid Muhammad bin Ja'afar al-Kattani dan Syeikh Abdul Qadir al-Halabi.

Ada beberapa buah kitab yang dikhatamkan Tuan Mukhtar di bawah bimbingan Syeikh Ahmad al-Fathani, kitab-kitab itu ialah Fathul Mu'in dan syarahnya I'anatuth Thalibin. Kedua-dua kitab itu adalah mengenai fikh yang sekali gus Tuan Mukhtar belajar juga kepada Sayid Abu Bakri asy-Syatha, iaitu pengarang kitab I'anatuth Thalibin itu. Kitab fikh Mazhab Syafi'ie yang besar-besar Tuhfah dan Nihayah, Tuan Mukhtar juga belajar kepada Sayid Abu Bakri asy-Syatha. Tuan Mukhtar Bogor juga secara langsung khatam dua buah kitab karya Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri. Yang sebuah dalam bahasa Arab, iaitu Tashil Nail al-Amani tentang nahu. Yang bahasa Melayu ialah Faridatul Faraid tentang akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Mengenai ilmu hadis terutama kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim, Tuan Mukhtar belajar dari awal hingga akhir kedua-dua kitab itu kepada Sayid Husein bin Sayid Muhammad al-Habsyi. Mengenai ilmu tafsir pula Tuan Mukhtar belajar kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sayid Husein bin Sayid Muhammad al- Habsyi dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki juga adalah guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani.

Mengajar

Dalam catatan sejarah Tuan Mukhtar Bogor adalah seorang yang sangat rajin belajar, mengajar, membaca dan sangat kuat beramal. Praktik mengajar dilakukan di Masjid al-Haram dan di rumah beliau sendiri. Mengajar di Masjid al-Haram dilakukan antara Maghrib dan Isyak. Dan sesudah Isyak disambung lagi. Yang hadir ketika beliau mengajar di dalam Masjid al-Haram sekitar 400 orang yang terdiri dari para pelajar dan termasuk para ulama.
Biasanya beliau mengajar sesudah Subuh, jika di rumah, ialah ilmu nahu, ilmu sharaf dan balaghah. Sesudah Asar mengajar kitab Ihya' Ulumid Din karangan Imam al-Ghazali. Pelajaran yang singkat tentang ilmu falak dan miqat dilaksanakan pada hari Selasa, iaitu mengajar kitab susunan beliau sendiri.

Setiap malam Jumaat, Tuan Mukhtar Bogor mengadakan majlis zikir dan doa yang ramai manusia menyertai majlis itu. Setiap selesai melakukan zikir dan doa diiringi dengan jamuan makan secara berjemaah.

Selain melakukan zikir dan doa berjemaah Tuan Mukhtar Bogor memang dikenali sebagai seorang yang zahid, banyak melakukan ibadat, banyak membaca selawat atas Nabi s.a.w, banyak membaca al-Quran dan lain-lain sejenisnya. Sungguhpun Tuan Mukhtar Bogor berkekalan membaca al-Quran sebagai amalan, namun beliau masih mampu mengamalkan zikir-zikir jenis Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.

Selain hal-hal yang tersebut di atas Tuan Mukhtar Bogor juga dikenali sebagai seorang yang pemurah, beliau menampung para pelajar yang tiada berkemampuan dengan bimbingan pelimpahan ilmu, sekali gus diberi makan dan pakaian seperti yang beliau lakukan terhadap keluarganya sendiri.

Di antara murid-murid Tuan Mukhtar Bogor yang menjadi ulama besar yang mendapat tempat dalam masyarakat ialah: Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang, Tengku Mahmud Zuhdi, Syeikh al-Islam Selangor, Sayid Muhsin bin Ali al-Masawi, pengasas Madrasah al-Ulumid Diniyah, Mekah, Kiyai Ahmad Dimyathi bin Abdullah at-Tarmasi (adik Syeikh Muhammad Mahfuz at-Tarmasi yang sangat terkenal), Kiyai Haji Hasyim al-Asy'ari, pengasas Nahdhatul Ulama Indonesia, Kiyai Haji Manshur bin Abdur Rahman Bogor al-Batawi, Sayid Muhammad Ahyad bin Idris Bogor, ulama ini adalah menantu kepada Tuan Mukhtar Bogor, Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang), Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Tama Kajang (1324 H/1908 M - 1413 H/ 1992 M) dan ramai lagi. Sewaktu artikel ini saya tulis masih ramai murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup, di antaranya di Malaysia ialah Tuan Guru Haji Hasyim (Pimpinan Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan), Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdur Rahman (Pimpinan Pondok Lubuk Tapah, Kelantan). Selain yang masih hidup di Malaysia juga masih ramai di Patani, Indonesia dan di Mekah. Semua murid Tuan Mukhtar Bogor yang masih hidup pukul rata yang berusia melebihi usia 80 tahun ke atas.

Penulisan

Syeikh Muhammad Mukhtar Bogor menghasilkan karya yang tersebar berupa cetakan ada yang ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Yang telah diketahui dan dijumpai adalah sebagai yang tersebut di bawah ini:

1. Taqribul Maqshad fil Amali bir Rub'il Mujaiyab, diselesaikan hari Khamis, 15 Syaaban 1308 H. Kandungan membicarakan ilmu falakiyah. Cetakan kedua Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1331 H. Dicetak juga oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby, Jumadil Awwal 1347 H. Selain cetakan sebuah manuskrip salinan yang ditemui, pada akhir salinan dinyatakan, ``Saidi wa Ihsan Haji Abdur Rahman bin al-Haji Ibrahim Khathib Melabuh al-Jawi min ahali al-Juhur Baharu''. Maksudnya Saidi dan Ihsan bin Haji Abdur Rahman bin Haji Ibrahim, Khathib Melabuh yang berasal dari kekeluargaan Johor Bahru. Salinan telah dilakukan pada tengah hari Rabu, 15 hari terakhir bulan Rejab 1313 H.
2. Ushulud Din I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jamaah, diselesaikan hari Khamis, 24 Zulkaedah 1323 H. Kandungan membicarakan akidah, sifat dua puluh. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H.
3. Ar-Risalatul Wahbatil Ilahiyah fi Bayani Itsqati ma'alal Maiyiti minal Huquqi was Shiyam was Shalati, diselesaikan malam Ahad, 2 Muharram 1327 H. Kandungan membicarakan fidiyah sembahyang, puasa dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1330 H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
4. As-Shawa'iqul Muhriqah lil Auhamil Kazibah fi Bayani Hillil Baluti war Raddu `ala man Harramahu, diselesaikan: Malam Isnin, 8 Muharram 1329 H. Kandungan membicarakan hukum boleh makan belut. Dicetak oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-Utsmaniyah 1329 H
5. It-hafus Sadatil Muhadditsin bi Musalsalatil Ahaditsil Arba'in, diselesaikan: 8 Rabiulawal 1345 H. Kandungan membicarakan berbagai-bagai sanad/silsilah keilmuan dan amalan. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Jumadilawal 1345 H Ditashhih oleh Syeikh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
6. Khutbah al-Jumaat, tidak terdapat kenyataan tahun penulisan. Kandungan Khutbah Jumaat, khutbah yang pertama dan khutbah yang kedua. Dicetak tidak terdapat nama percetakan.
7. Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat kenya-taan tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Cetakan yang pertama Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, atas perbelanjaan pemiliknya Muhammad Majid al-Kurdi al-Makki, 1330 H.
8. Mukhtashar Kitab ad-Durril Munif fi Syarhil Wirdil Lathif, tidak terdapat tahun penulisan. Kandungan membicarakan wirid, zikir, doa, dan lain-lain. Dicetak oleh Mathba'ah al-'Arabiyah, Mekah, 13/2/1352. Pada halaman 7 pengarang mencatatkan bahawa syarah kitab ini dicetak pertama kali di Mekah tahun 1330 H dan cetakan yang kedua, tahun 1345 H di Mesir. Bahawa beliau telah mencantumkan 30 hadis berserta dengan syarahnya di dalam kitab tersebut.

TOK SELEHOR KELANTANI

Berdakwah lewat puisi
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TOK Selehor atau Tok Selehong, nama lengkapnya ialah Abdur Rahman bin Utsman bin Senik. Ulama yang berasal dari Kelantan ini lahir di Kampung Lubuk Jong, tahun 1289 H/1872 M, wafat malam Khamis, 18 Zulkaedah 1353 H/20 Februari 1935 M. Beliau adalah sahabat Tok Kenali, yang juga berasal dari Kelantan dan lebih tua sedikit daripada Tok Selehor. Tok Kenali lahir pada tahun 1287 H/1871 M, wafat pada hari Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Sahabatnya pula ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh al-Islam Selangor (lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, tahun 1293 H/1876 M, wafat di Mekah al-Mukarramah, hari Rabu, 6 Rabiulawal 1376 H/10 Oktober 1956 M), Utsman bin Haji Muhammad bin Haji Abdul Wahhab atau Tok Bacok (lahir tahun 1277 H/1860 M, wafat pada malam Ahad, 15 Zulkaedah 1372 H/27 Julai 1953 M), dan ramai lagi yang belum dibicarakan dalam artikel ini.

Tok Selehor memulai jihad keilmuannya belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Malik, Sungai Pinang Kelantan. Kemudian memondok di Patani selama tujuh tahun, belajar kepada Tuan Guru Haji Abdur Rasyid di Kuala Bekah dan Tuan Guru Haji Abdulah di Tok Jum. Tok Selehor belajar di Mekah selama 18 tahun. Di antara gurunya ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Setelah Syeikh Ahmad al-Fathani wafat, beliau masih tetap belajar kepada ayah saudara Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, iaitu Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud al-Fathani), mendalami ilmu-ilmu alat Arabiyah, ilmu fikah Mazhab Syafie, dan ilmu qiraat yang berbagai-bagai. Tok Selehor mulai membuka pengajian pondok tahun 1340 H/1921 M.

TOK SELEHOR DAN KITAB HIKAM

Salah sebuah kitab ilmu tasawuf yang diajar oleh Tok Selehor ialah Kitab al-Hikam. Sebelum membicarakan keterlibatan Tok Selehor dalam pengajaran Kitab al-Hikam karya Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari yang sangat terkenal itu, saya dulukan cerita tentang Kitab al-Hikam terlebih dulu, bahawa terdapat dua buah Kitab al- Hikam versi bahasa Melayu, yang sebuah dalam bentuk matan dan yang sebuah lagi dalam bentuk syarah. Penerbitan awal kedua-dua versi dalam bahasa Melayu itu ditashih dan diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Selain yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, Kitab al-Hikam yang dalam bahasa Arab pula terdapat berbagai-bagai syarah. Syeikh Ahmad al-Fathani dipercayai telah mengajar kitab tersebut kepada murid-muridnya, sama ada di rumahnya di Mekah mahu pun di Masjid al-Haram. Menurut Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar wa ar-Rayahin, istilah `hikam', beliau takrifkan sebagai jamak daripada perkataan `hikmah', yakni `perkataan yang diteguhkan'. Ada pun istilah hikmah/hikmat mengandungi pengertian yang berbagai-bagai, di antaranya ialah: `pandai menyurat/menulis, ilmu yang dapat melahirkan sesuatu yang luar biasa/menyalahi adat kebiasaan, kata-kata nasihat yang mantap, dan lain-lain lagi. Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa perkataan `hikmah', ditafsir oleh Ibnu Abbas r.a. yang terdapat dalam al-Quran ialah, ``dengan belajar halal dan haram''. Yang lain berpendapat, ``ditinjau dari segi lughah ialah ilmu serta amal''. Pendapat yang lain, ``hikmah itu diambil faedah daripadanya, iaitu yang sebenar pada diri pekerjaan dengan sekira-kira kuasa manusia''. Pendapat yang lain, ``tiap-tiap kalam yang muafakat akan hak, maka iaitu hikmah''.

Sanad

Jika kita jejak sanad pengajian Kitab al-Hikam mulai pengarangnya, iaitu Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari hingga turun sampai kepada Tok Selehor, ialah Tok Selehor merupakan yang ke-17. Untuk lebih jelasnya dapat diperhatikan sanad sebagai berikut:

1. Tok Selehor, Kelantan, belajar kepada (2)
2. Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, belajar kepada (3)
3. Saiyid Abi Bakri Syatha, belajar kepada (4)
4. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada(5)
5. Syeikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada (6)
6. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi, beliau telah menulis syarah kitab yang dibicarakan ini. Syeikh Abdullah bin Hijazi asy-Syarqawi belajar kepada (7)
7. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada (8)
8. Syeikh `Id an-Namrisi, belajar kepada (9)
9. Syeikh `Abdullah bin Salim al-Bashri, belajar kepada (10)
10. Syeikh Muhammad bin `Ala' al-Babli, belajar kepada (11)
11. Syeikh Abi an-Naja Salim bin Ahmad as-Sanhuri, belajar kepada (12)
12. Saiyid an-Naju Muhammad bin Ahmad al-Ghaithi, belajar kepada (13)
13. Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari, belajar kepada (14)
14. Saiyid al-'Izzu Abdur Rahim bin al-Farrat, belajar kepada (15)
15. Syeikh at-Taju `Abdul Wahhab bin `Ali bin `Abdul Kafi, belajar kepada ayahnya (16)
16. Syeikh at-Taqiy `Ali bin `Abdul Kafi as-Subki, belajar kepada (17)
17. Syeikh al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin `Abdul Karim bin Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari atau disingkat namanya dengan Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari, iaitu pengarang Kitab al-Hikam yang sedang dibicarakan ini.

Ulama yang aktif beramal dengan Thariqat asy-Syaziliyah ini menghasilkan beberapa buah kitab, selain Kitab al-Hikam ialah Tajul `Arus fil Washaya wal Mawa'izh, Lathaiful Minan fi Manaqib al-Mursi wa Abi al-Hasan, dan lain-lain. Syeikh Ibnu Atha'ullah as-Sakandari, ulama besar sufi yang sangat besar pengaruhnya di seluruh dunia Islam, termasuk dunia Melayu, tersebut wafat di Kaherah, tahun 709 H/1309 M.

Ustaz Ismail Awang, dalam majalah Pengasuh menyebut: ``Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawuf. Kitab Hikam oleh Ibnu Ataillah merupakan kitab paling suka diajarkan kepada orang ramai, mungkin kerana kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah, serta menjauhi sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, riak, sum`ah dan sebagainya.'' Oleh sebab Tok Selehor adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani, maka bererti sanad Tok Selehor dan murid-murid beliau dalam pengajian Kitab al-Hikam dan kitab-kitab lain karangan Syeikh Ibnu `Atha'ullah as-Sakandari dapat disambung seperti sanad yang telah disebutkan di atas.

Tasawuf

Kitab pengetahuan tasawuf selain Kitab al-Hikam secara umum juga dipelajari di seluruh dunia Melayu, termasuk dalam pondok yang diasaskan oleh Tok Selehor. Keseluruhan karangan Imam al-Ghazali, dalam hal ini yang paling ditekankan dan dimantapkan di antaranya ialah Minhajul Abidin dan Ihya' Ulumid Din. Sanad yang sampai kepada Imam al-Ghazali mulai nombor 1 sampai nombor 7 (Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni) pada sanad Kitab al- Hikam adalah sama, tetapi untuk sampai kepada Imam al-Ghazali adalah belajar kepada (8)

8. Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Budairi, belajar kepada (9)
9. Syeikh Mullah Ibrahim al-Kuarni, belajar kepada (10)
10. Syeikh Muhammad Syarif, belajar kepada (11)
11. Syeikh Abi Ishaq at-Tanukhi, belajar kepada (13)
13. At-Taqiy Sulaiman bin Hamzah, belajar kepada (14)
14. Syeikh `Umar bin Karam ad-Dainuri, belajar kepada (15)
15. Syeikh al-Hafiz Abi al-Faraj `Abdul Khaliq bin Ahmad bin Yusuf al-Baghdadi, belajar kepada (16)
16. Al-Imam Hujjah al-Islam Abi Hamid bin Muhammad bin al-Ghazali yang disingkatkan panggilan dengan Imam al-Ghazali saja. Sebagaimana yang tertulis dalam sanad yang tersebut di atas jelaslah bahawa ulama dunia Melayu yang diriwayatkan ini adalah sanadnya bersambung sampai kepada pengarang Minhajul `Abidin dan Ihya' Ulumid Din, iaitu Imam al-Ghazali yang sangat masyhur namanya itu.

BERZANJI DAN BURDAH

Ustaz Ismail Awang menulis, ``Tok Selehor pernah mengadakan Maulid an-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran di adakan. Pernah berpuluh-puluh ribu orang datang ke majlis perayaan Maulid Nabi anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar pada zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada Rasulullah s.a.w. yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara itu anak-anak pondok lebih cepat bermesra dengan Rasulullah s.a.w. daripada hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.''

Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama, oleh itu yang dilakukan oleh Tok Selehor seperti yang tercatat di atas adalah tidak dapat dimasukkan dalam klasifikasi bidaah dhalalah seperti yang pernah dilemparkan oleh hanya sekelompok kecil orang. Kitab Berzanji yang disyarah dalam bahasa Arab banyak dilakukan oleh ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi pernah dilakukan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain.

Lima

Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin, yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul Nazham Nuril Anam, diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46.

Kitab Berzanji dapat dikategorikan dalam bidang sastera Arab, demikian juga Burdah Bushiri. Burdah Bushiri pernah diterjemah oleh Tok Kenali, sahabat Tok Selehor, yang diberi judul Risalatud Durril Mantsur, selesai beliau tulis pada bulan Jumadilakhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Meah, Jumadilakhir 1310 H. Selain itu juga oleh guru kedua-duanya, iaitu Syeikh Wan Ali Kutan yang diberi judul Risalah Majma' al-Qashaid wa al-'Awaid yang selesai ditulis pada bulan Zulkaedah 1320 H/ Februari 1903 M.

Thursday, June 16, 2005

SYEIKH ABDUL HAMID KUDUS

Pakar Ilmu Arudh, Qawafi
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DENGAN rasa rendah hati artikel ini memberi sedikit informasi dan jawapan beberapa persoalan yang masih belum diketahui umum tentang ulama besar yang berasal dari Kudus ini. Sebagai contoh dalam buku berjudul Intelektual Pesantren oleh Dr. Abdurrahman Masud, terbitan LKIS Yogyakarta, cetakan pertama 2004, hlm. 107, tertulis, ``Adalah benar bahwa jumlah penulis di lingkungan pesantren dapat dihitung dengan jari, seperti Nawawi sendiri dan pendahulu-pendahulunya, Arsyad al-Banjari, Abd al-Hamid bin Muhammad Ali Kudus (penulis Latif al-Isyarat).'' Pada nota kaki mengenai ini tertulis pula, ``Sejauh ini tidak terdapat sumber untuk mengungkap secara pasti tanggal daripada biografi Abd al-Hamid bin Muhammad Ali Kudus.'' Sebenarnya ulama besar yang asal-usulnya dari Kudus, Jawa Tengah, kelahiran Mekah yang diriwayatkan ini sekurang-kurangnya ada tiga sumber karangan orang Arab dalam bahasa Arab dan dapat dibandingkan 22 buah karangan beliau sendiri. Sebenarnya Syeikh Nawawi al-Bantani (lahir 1230 H/1814 M), adalah guru dan jauh lebih tua daripada Syeikh Abdul Hamid Kudus. Syeikh Abdul Hamid Kudus lahir di Mekah, dalam Mukhtashar Nasyrun Naur waz Zahar dinyatakan lahir 1277 H/1860 M, dan dalam Siyar wa Tarajim dinyatakan lahir 1280 H/1863 M. Beliau juga wafat di Mekah tahun 1334 H/1915 M. Nama lengkap ialah Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali Qudus / Kudus bin Abdul Qadir al-Khathib bin Abdullah bin Mujir Qudus / Kudus.

Syeikh Abdul Hamid Kudus mendapat pendidikan asas pertama sekali dari lingkungan keluarganya yang ramai menjadi ulama. Sejak kecil menghafaz al-Quran dan terlatih dengan banyak matan pelbagai bidang ilmu. Matan-matan yang dihafalnya sejak kecil ialah Matn al-Ajrumiyah, Matn al-Alfiyah, Matn ar-Rahbiyah, semuanya dalam bidang ilmu nahu. Matn as-Sanusiyah tentang ilmu akidah. Matn as-Sullam dan Matn az-Zubad, kedua-duanya meliputi akidah, fikah dan tasawuf. Para ulama besar yang terkenal dan menjadi guru beliau ialah Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Sayid ``Utsman Syatha dan saudaranya Sayid Abu Bakri Syatha. Dalam bidang khusus mengenai ushul fiqh, hadis, tafsir dan tasawuf Syeikh Abdul Hamid Kudus memperdalamkannya kepada Sayid Husein al-Habsyi. Syeikh Abdul Hamid Kudus pula adalah orang kepercayaan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dalam bidang keilmuan setelah Syeikh Ahmad al-Fathani. Hubungan antara Syeikh Abdul Hamid Kudus dengan Syeikh Ahmad al-Fathani sangat rapat. Syeikh Abdul Hamid Kudus selain dilantik sebagai salah seorang pentashih kitab beliau seringkali diutus oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ke Mesir dalam urusan cetak mencetak kitab, terutama hubungan dengan Syeikh Mushthafa al-Halaby, pemilik syarikat cetak kitab yang terbesar di Mesir pada zaman itu.

Daripada ulama-ulama tersebut, Syeikh Abdul Hamid Kudus memperoleh ijazah khusus dan umum, dan mereka pula memberikan keizinan kepada beliau mengajar di Masjidil Haram dan di rumahnya. Manakala Syeikh Ahmad al-Fathani merintis jalan mulai belajar di Masjid Jamik Al-Azhar (tahun 1290 H/1872 M) Syeikh Abdul Hamid Kudus mengikuti langkah Rais thala'ah (Ketua tela'ah atau tutor)nya itu belajar di tempat yang sama (1300 H/1882 M). Syeikh Abdul Hamid Kudus merupakan generasi kedua mahasiswa dunia Melayu yang belajar di al-Azhar sesudah Syeikh Ahmad al-Fathani, sejak itu beliau sentiasa pulang pergi antara Mekah dan Mesir dalam urusan tertentu yang ada kaitannya dengan kerja-kerja Syeikh Ahmad al-Fathani.
Sebenarnya Syeikh Abdul Hamid Kudus telah mengarang pelbagai judul dalam banyak disiplin ilmu, semuanya dalam bahasa Arab. Walau bagaimana pun pada judul artikel ini saya sebut bahawa beliau adalah ``pakar ilmu arudh dan qawafi''. Kedua-duanya termasuk dalam bidang ilmu kesusasteraan Arab. Dengan ilmu ini dapat diketahui bagaimana timbangan-timbangan syair dan nazam dalam bahasa Arab. Setakat ini informasi yang ada hanya dua orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menulis dalam kedua-dua ilmu tersebut. Seorang lagi ialah Syeikh Ahmad al-Fathani `Rais Thala'ah' bagi Syeikh Abdul Hamid Kudus. Karangan Syeikh Abdul Hamid Kudus yang ada pada saya adalah sebagai berikut:

1. Irsyadul Muhtadi ila Syarh Kifayatil Mubtadi, diselesaikan sesudah Zuhur, hari Khamis, 3 Muharam 1306 H. Kandungannya membicarakan akidah dan ia merupakan syarah daripada karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus. Dicetak oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Ramadan 1309 H. Di bahagian tepinya dicetak matan karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus tersebut. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.

2. Al-Anwarus Saniyah `alad Duraril Bahiyah, diselesaikan pertengahan Rabiulakhir 1311 H. Kandungannya membicarakan akidah, fikah dan tasawuf. Merupakan syarah daripada karya gurunya Sayid Abi Bakar Syatha. Cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1313 H.

3. Fat-hul Jalilil Kafi bi Mutammimati Matnil Kafi fi `Ilmayil `Arudh wal Qawafi, diselesaikan pada hari Isnin, 19 Rabiulawal 1313 H. Kandungannya membicarakan ilmu arudh dan qawafi atau kesusasteraan Arab. Dicetak oleh Mathba'ah al-Husainiyah al-Mashriyah, milik Muhammad Abdul Lathif Khathib, 1325 H. Kata pujian oleh Sayid Ahmad Bik al-Huseini, Muhammad Musa al-Bujiraimi as-Syafi'ie di al-Azhar, Muhammad al-Halaby as-Syafi'ie di al-Azhar dan Ahmad ad-Dalbasyani al-Hanafi di al-Azhar. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.

4. Al-Futuhatul Qudsiyah fi Syarhit Tawassulatis Sammaniyah, diselesaikan pada Zuhur, akhir Muharam 1322 H. Kandungan pada muqaddimahnya pengarang menyebut bahawa beliau adalah penganut Mazhab Syafie dalam fikah, Mazhab Abu Hasan al-Asy'ari dalam akidah, dan penganut Thariqat Khalwatiyah. Sebab-sebab beliau menulis kitab ini adalah atas permintaan Qadhi Muslimin Negeri Surakarta ibu kota Jawa, beliau ialah Al-'Allamah al-Hamam asy Syeikh Raden Tabshirul Anam, supaya menulis syarah matan Al-Qashidatur Rajziyah yang bernama Jaliyatul Kurbi wa Manilatu `Arabi. Pada awal perbicaraan pengarang menyebut tentang sanad-sanad thariqat, di antaranya beliau juga mempunyai hubungan dengan Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani. Dicetak oleh Mathba'ah al-Hamidiyah al-Mashriyah, 1323 H. Taqriz dinyatakan ramai ulama tetapi yang dapat disebut pada akhir karangan hanya dua orang ulama saja ialah Syeikh Jami' Al-Azhar, bernama Syeikh Abdur Rahman asy-Syarbaini asy-Syafi'ie dan Syeikh Muhammad Thumum al-Maliki Al-Azhari. Kitab ini dimiliki pertama oleh Muhammad Thaiyib bin Sulaiman ahli Pekalongan pada 7 Rejab 1323 H. Sesudah itu dimiliki oleh Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor dan pada hari Isnin, 13 Rabiulakhir 1420 H/26 Julai 1999 M diserahkan kepada saya oleh Haji Muhammad bin Haji Abu Bakar bin Haji Hasan, Qadhi Muar, Johor.

5. Lathaiful Isyarat ila Syarhi Tashilit Thuruqat li Nazhamil Waraqat fil Ushulil Fiqhiyah, diselesaikan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal 1326 H. Kandungannya membicarakan ilmu ushul fiqh. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan, di antaranya Mathba'ah Dar at-Thiba'ah al-Mashriyah, 54-60 Baserah Street Singapura (tanpa tahun).

6. Kanzun Najahi was Surur fil Ad'iyatil lati ila Tasyarruhis Shudur, diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar 1328 H. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan wirid, doa, zikir dan lain-lain. Cetakan pertama oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, Mekah, 1330 H. Kata pujian oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Muhammad Ba Bashail, Mekah, Sayid Husein bin Muhammad bin Husein al-Habsyi, Sayid Umar bin Muhammad Syatha, Sayid Muhammad ibnu Sayid Muhammad ibnu al-Faqih Sayid Idris al-Qadiri al-Maghribi al-Hasani, Syeikh Muhammad bin Syamsuddin, Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, dan Syeikh Umar Hamdan.

Karangan Syeikh Abdul Hamid Kudus yang belum saya miliki ialah:

7. Risalah fi al-Basmalah min Nahiyah al-Balaghah.
8. Manzhumah fi al-Adab wa al-Akhlaq li al-Islamiyah.
9. Thali'us Sa'di ar-Rafi' fi Syarh Ilm al-Badi', kitab ini membicarakan ilmu badi'.
10. Fiqh Rubu' `Ibadat.
11. Nubzah fi at-Tashauwuf.
12. Ad-Durrah ats-Tsaminah fi al-Mawadhi' allati tusannu fiha ash-Shalah `ala Shahib as-Sakinah.
13. Tasythir al-Mudharriyah fi ash-Shalah `ala Khairil Bariyah.
14. Majmu' Bulugh al-Maram fi Maulid an-Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam.
15. Raja' Nail al-As'ad wa al-Qabul fi Madah Saiyidatina az-Zahra' al-Batul.
16. Bulughus Sa'di wa al-Amniyah fi Madah Umm al-Mu'minin al-Mabra-ah ash-Shiddiqiyah.
17. al-Jawahir al-Wadhiyah fi al-Adab wa al-Akhlaq al-Mardhiyah.
18. az-Zakhair al-Qudsiyah fi Ziyarah Khairil Bariyah.
19. At-Tuhfah al-Mardhiyah fi Tafsir al-Quran al-'Azhim bi al-'Ajamiyah.
20. Dhiyausy Syamsi ah-Dhahiyah.
21. Maulidun Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam.
22. Kanzul `Atha fi Tarjamah al-'Allamah as-Saiyid Bakri Syatha.

Syeikh Abdul Hamid Kudus adalah seorang ulama yang sangat bertuah kerana melahirkan seorang anak yang menjadi ulama besar yang warak, yang meneruskan perjuangannya, iaitu Syeikh Ali bin Syeikh Abdul Hamid Kudus as-Samarani. Beliau dilahirkan tahun 1310 H/1892 M dan wafat pada hari Isnin, 14 Syawal 1363 H/1 Oktober 1944 M.

Syeikh Ali anak Syeikh Abdul Hamid Kudus mendapat pendidikan langsung daripada ayahnya. Selanjutnya juga belajar kepada Syeikh Muhammad Mahfuz Termas, Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid al-Bughri (Bogor), kedua-duanya adalah ulama yang berasal dari dunia Melayu yang pengetahuannya setaraf dengan ulama-ulama bangsa Arab yang berada di Mekah pada zaman itu. Syeikh Ali Kudus selain mempusakai martabat ulama seperti ayahnya, Syeikh Abdul Hamid Kudus sekali gus beliau juga menghasilkan karangan, di antaranya ialah ar-Raddu `ala ar-Rawafidh. Kandungannya merupakan penolakan pegangan golongan Rafidhiyah, iaitu salah satu firqah golongan Syiah yang dianggap menyeleweng daripada ajaran Islam. Selain itu beliau juga menulis banyak artikel yang dimuat dalam majalah. Dalam tahun 1343 H/1925 M Syeikh Ali Kudus bersama keluarganya pindah dari Mekah ke Jawa Timur mendirikan sebuah madrasah di sana. Selanjutnya pindah pula ke Sulawesi, di sana juga menyebarkan ilmu-ilmu demi memartabat agama Islam yang dianutnya.

SYEIKH MAHFUZ AT-TARMASI

Ulama Hadis Dunia Melayu
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

DALAM Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 21 Mac 2005, telah diperkenalkan Kiyai Muhammad Saleh Darat, ulama besar Jawa Tengah. Kali ini diperkenalkan pula salah seorang murid beliau yang menjadi ulama besar di Mekah, iaitu Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Mannan bin Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi/Termas. Gurunya banyak menghasilkan penulisan dalam bahasa Jawa, dan hanya sebuah dalam bahasa Melayu. Berbeza dengan muridnya ini. Beliau yang banyak menghasilkan karya yang menjadi rujukan ulama peringkat antarabangsa, hanya menulis dalam bahasa Arab. Oleh itu beliau tidak banyak dikenali oleh masyarakat awam dunia Melayu. Syeikh Muhammad Mahfuz Termas lahir di Termas, Pacitan, Jawa Tengah, pada 12 Jamadilawal 1285 H/31 Ogos 1868 M, wafat di Mekah pada 1 Rejab 1338 H/20 Mac 1920 M.

PENDIDIKAN

Untuk mengetahui latar belakang pendidikannya, nama para guru dan jenis ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh Syeikh Muhammad Mahfuz Termas tidaklah terlalu sukar kerana dalam peringkat pengenalan tercatat dalam beberapa buah karya beliau. Di bawah ini saya terjemahkan dan petik sebahagian daripada riwayat yang tercantum dalam karya Muhibah zil Fadhli jilid ke-4. Kitab-kitab yang dipelajari daripada ayahnya sendiri, Syeikh Abdullah bin Abdul Mannan at-Tarmasi, ialah Syarh al-Ghayah li Ibni Qasim al-Ghuzza, al-Manhaj al-Qawim, Fat-h al-Mu'in, Fat-h al-Wahhab, Syarh Syarqawi `ala al-Hikam dan sebahagian Tafsir al-Jalalain hingga sampai Surah Yunus saja. Semua kitab yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Sekurang-kurangnya dalam rangkaian ilmu fikah, tasawuf dan tafsir al-Quran.
Setelah memperoleh ilmu yang banyak daripada orang tuanya sendiri, Syeikh Muhammad Mahfuz Termas berpindah ke Semarang dan belajar kepada Kiyai Muhammad Saleh Darat. Kitab-kitab yang dipelajari ialah Syarh al-Hikam (dua kali khatam), Tafsir al-Jalalain (dua kali khatam), Syarh al-Mardini dan Wasilah ath-Thullab. Kitab yang terakhir ini mengenai ilmu falak. Perlu juga saya sebutkan bahawa kitab ini yang disebarkan berupa cetakan adalah ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

Syeikh Muhammad Mahfuz Termas dari Semarang berpindah pula ke Mekah. Guru-gurunya di Mekah ialah Syeikh Ahmad al-Minsyawi yang dikenali sebagai Muqri kepada ulama ini, beliau belajar Qiraah `Ashim dan tajwid, sebahagian Syarh Ibni al-Qashih `ala asy-Syathibiyah (tidak sempat khatam). Dalam masa yang sama belajar kepada Syeikh `Umar bin Barakat asy-Syami, kitab yang dipelajari ialah Syarh Syuzur az-Zahab li Ibni Hisyam, kitab ini disusun oleh gurunya. Juga kepada Syeikh Mustafa al-'Afifi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Jam'il Jawami' lil Mahalli dan Mughni al-Labib. Juga kepada Sayid Husein bin Sayid Muhammad al-Habsyi, kitab yang dipelajari ialah Sahih al-Bukhari. Juga kepada Syeikh Muhammad Sa'id Ba Bashail, kitab yang dipelajari ialah Sunan Abi Daud. Sunan Tirmizi dan Sunan Nasai. Juga kepada Sayid Ahmad az-Zawawi, kitab yang dipelajari ialah Syarh `Uqud al- Juman, karangan gurunya itu, dan sebahagian kitab asy-Syifa' lil Qadhi al-'Iyadh. Juga kepada Syeikh Muhammad asy-Syarbaini ad-Dimyathi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Ibni al-Qashih, Syarh ad-Durrah al-Mudhi-ah, Syarh Thaibah an-Nasyr fi al-Qiraat al-'Asyar, ar-Raudh an-Nadhir lil Mutawalli, Syarh ar-Ra-iyah, Ithaf al-Basyar fi al-Qiraat al-Arba'ah al-'Asyar, dan Tafsir al-Baidhawi bi Hasyiyatihi. Juga kepada Sayid Muhammad Amin bin Ahmad Ridhwan al-Madani, kitab yang dipelajari ialah Dalail al-Khairat, al-Ahzab, al-Burdah, al-Awwaliyat al-'Ajluni dan Muwaththa' Imam Malik. Ulama yang paling banyak mengajarnya pelbagai ilmu secara keseluruhannya ialah Sayid Abi Bakr bin Sayid Muhammad asy-Syatha.

Setiap guru yang tersebut bersambung kepada ulama yang lebih ke atas yang dinamakan sanad atau salasilah. Mengenainya Syeikh Muhammad Mahfuz Termas mencatatnya dengan lengkap dalam karyanya Kifayatul Mustafid. Memperhatikan tulisan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas yang menyebut bahawa ilmu terbanyak diperolehnya ialah daripada Sayid Abi Bakr asy-Syatha, pada masa beliau berada di Mekah, maka dapat disimpulkan sahabat-sahabat seperguruan dengannya ialah Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (1283 H/1866 M - 1355 H/1936 M). Ulama Patani ini lebih tua sekitar dua tahun daripada Syeikh Muhammad Mahfuz Termas (1285 H/1868 M - 1338 H/1920 M), Mufti Pulau Pinang Haji Abdullah Fahim, lebih muda setahun (lahir 1286 H/ 1869 M), Tok Kenali, lebih muda dua tahun (lahir 1287 H/ 1871 M) dan lain-lain. Saya berkesimpulan sungguh pun nama-nama para guru telah disebut oleh Syeikh Muhammad Mahfuz Termas sendiri, namun masih banyak ulama lain gurunya yang belum beliau sebut. Di antara mereka seumpama Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani dan lain-lain. Berdasarkan banyak maklumat saya pastikan bahawa Syeikh Muhammad Mahfuz Termas juga pernah pernah belajar kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.

Hubungan dan kedudukan Syeikh Ahmad al-Fathani dengan Sayid Abi Bakr asy-Syatha adalah sangat erat, kerana sebuah karangan Sayid Abi Bakr asy-Syatha yang berjudul I'anatut Thalibin Syarh Fat-hil Mu'in yang selesai ditulis bulan Syawal 1300 H. Sebelum cetakan pertama kitab tersebut ditashih dan ditahqiq oleh Syeikh Ahmad al-Fathani atas kehendak Sayid Abi Bakr asy-Syatha sendiri dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Sama ada sebelum dicetak (masih manuskrip) mahu pun setelah cetakan pertama, yang mula-mula mengajar kitab I'anatut Thalibin di dalam Masjid al-Haram ialah Syeikh Ahmad al-Fathani, semua murid Sayid Abi Bakr asy-Syatha pada zaman itu termasuk Syeikh Muhammad Mahfuz Termas hadir dalam halaqah atau majlis pengajian Syeikh Ahmad al-Fathani itu.

PENULISAN

Syeikh Muhammad Mahfuz Termas termasuk salah seorang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menghasilkan karangan dalam bahasa Arab dan dikenali ulama antarabangsa sesudah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Abdul Hamid Kudus. Semua karangan beliau dalam bahasa Arab disenaraikan sebagai berikut:

1. As-Siqayatul Mardhiyah fi Asamil Kutubil Fiqhiyah li Ashabinas Syafi'iyah, diselesaikan pada hari Jumaat, Syaaban 1313 H, risalah ini terdiri daripada tiga bahagian tetapi yang saya miliki hanya sebuah saja. Kandungannya membicarakan senarai kitab karya-karya dalam Mazhab Syafie serta nama-nama ulamanya. Dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, Mekah (tanpa tahun).

2. Muhibah zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar Muqaddimah Ba Fadhal), kitab ini empat jilid dan tebal. Jilid pertama diselesaikan pada 25 Safar 1315 H, tebal 556 halaman. Jilid kedua diselesaikan pada hari Jumaat, 27 Rabiulakhir 1316 H, tebal 504 halaman. Jilid ketiga diselesaikan pada malam Ahad, 7 Rejab 1317 H, tebal 544 halaman. Jilid keempat, diselesaikan pada malam Rabu, 19 Jamadilakhir 1319 H, tebal 733 halaman. Keseluruhan halaman jilid pertama sampai empat ialah 2437 halaman. Kandungannya membicarakan fikah lengkap berupa syarah dan hasyiyah dalam Mazhab Syafie yang dibahas secara mendalam, ilmiah dan terperinci. Kitab khazanah keilmuan yang demikian tinggi dihasilkan oleh putera dunia Melayu yang penting tersebut dicetak Mathba'ah al-'Amirah asy-Syarfiyah, Mesir, 1326 H.

3. Kifayatul Mustafid lima `ala minal Asanid, diselesaikan pada hari Selasa, 19 Safar 1320 H. Kandungannya membicarakan pelbagai sanad keilmuan Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi/at- Tirmisi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Masyhad al-Husaini, No. 18 Syari' al-Masyhad al-Husaini, Mesir (tanpa tahun). Kitab ini ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani al-Makki, al-Mudarris Daril `Ulumid Diniyah, Mekah.

4. Manhaj Zawin Nazhar fi Syarhi Manzhumati `Ilmil Atsar, diselesaikan pada tahun 1329 H/1911 M. Kandungannya membicarakan Ilmu Mushthalah Hadits merupakan Syarh Manzhumah `Ilmil Atsar karangan Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Daripada kitab ini dapat kita buktikan bahawa ulama yang berasal dari dunia Melayu berkemampuan menulis ilmu hadis yang demikian tinggi nilainya kerana kitab ini menjadi rujukan ramai ulama antarabangsa terutama ulama-ulama hadis. Dicetak oleh Mathba'ah Mushthafa al-Baby al-Halaby wa Auladuhu, Mesir, 1352 H/1934 M. Cetakan dibiayai oleh Syeikh Salim bin Sa'ad bin Nabhan wa Akhihi Ahmad, pemilik Al-Maktabah An-Nabhaniyah Al-Kubra, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

5. Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah, belum diketahui tarikh penulisan. Kandungannya juga membicarakan hadis merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadits Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqani. Yang ada di tangan saya masih dalam bentuk manuskrip merupakan salinan Haji Ahmad Dahlan bin Muhammad Minhaj, tokoh ulama Selangor. Menurutnya disalin daripada yang pernah dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 H. Menurut riwayat bahawa kitab ini terdiri daripada 13 bahagian.
Selain yang ada dalam koleksi saya seperti tersebut di atas, masih terdapat karangan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas yang ditulis oleh Sayid `Abdullah bin Shadaqah bin Zaini Dahlan, ialah sebagai berikut:

6. Al- Badrul Munir fi Qira-ati Ibni Katsir.

7. Tanwirus Shadr fi Qira-ati Ibni `Amr.

8. Insyirahul Fawaid fi Qira-ati Hamzah.

9. Ta'mimul Manafi' fi Qira-ati Nafi'.

10. Al-Fawaidut Tarmasiyah fi Asamil Qira-ati `Asyariyah, Syeikh Yasin Padang menyebut bahawa kitab ini pernah diterbitkan oleh Mathba'ah al-Majidiyah, Mekah, tahun 1330 H.

11. Is'aful Mathali' Syarhul Badril Lami'.

Masih banyak judul yang belum dapat diperkenalkan, menurut riwayat bahawa karangan Syeikh Muhammad Mahfuz Termas semuanya sekitar 20 judul atau pun lebih.

KESIMPULAN

Daripada semua yang dipaparkan di atas saya berkesimpulan bahawa daripada sekian banyak ilmu, yang paling menonjol untuk Syeikh Muhammad Mahfuz Termas ialah dalam semua bidang ilmu hadis, seumpama ilmu Dirayah Hadits atau Mushthalah Hadits, Rijal Hadits dan lain-lain. Beliau juga seorang yang hebat dalam fikah Syafi'iyah dan pelbagai jenis ilmu qiraat dan tajwidnya.

Thursday, June 02, 2005

SYEIKH ARSYAD THAWIL AL-BANTANI

Ulama jihad di Banten
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

ULAMA yang berasal dari Banten, Jawa Barat, yang paling terkenal ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, yang banyak menulis syarah kitab yang semuanya ditulis dalam bahasa Arab. Oleh kerana banyak menghasilkan karya, maka beliau digelar sebagai Imam Nawawi Tsani (Imam Nawawi Kedua).

Mengenai Syeikh Nawawi al-Bantani telah diperkenalkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia pada 7 Februari 2005. Artikel ini pula memperkenalkan dua orang ulama Banten yang lain. Yang pertama, Syeikh Muhammad Arsyad bin As'ad bin Mustafa bin As'ad al-Bantani al-Jawi. Nama popularnya ialah Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani.

Dinamakan Thawil yang bererti panjang kerana ada seorang sahabatnya bernama Syeikh Arsyad Qashir al-Bantani. Qashir bererti pendek. Syeikh Arsyad Thawil dilahirkan di Banten pada Zulkaedah 1255 Hijrah/Januari 1840 Masihi. Riwayat lain menyebut bahawa beliau lahir tahun 1263 Hijrah/1847 Masihi.

PENDIDIKAN

Ayahnya tinggal di Mekah kerana ketika kecil beliau diasuh oleh beberapa orang ayah saudaranya. Kepadanya diberi pengenalan tentang bacaan al-Quran. Dalam usia 8 tahun mengikut orang tuanya ke Mekah. Beliau mendapat pendidikan asas khatam mengaji al-Quran daripada beberapa orang ayah saudara dan ayahnya sendiri. Beberapa buah matan terutama matan nahu, saraf, fikah dan tauhid juga dipelajarinya daripada ayahnya. Di Masjid al-Haram, Arsyad Thawil sentiasa mengikuti pengajian yang diberikan oleh Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Mufti Mekah, terutama mengenai nahu, fikah dan sirah. Selain belajar kepada Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani juga belajar kepada beberapa ulama, di antaranya Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal, Sayid Abu Bakri Syatha, di bawah bimbingan dua orang anak ulama itu, iaitu Sayid Umar Syatha dan Sayid Utsman Syatha. Syeikh Arsyad Thawil mendalami ilmu hadis daripada Habib Muhammad bin Husein al-Habsyi al-Makki di bawah bimbingan anak ulama itu, iaitu Mufti al-Muhaddits al-Habib Husein bin Muhammad al-Habsyi al-Makki (wafat 1330 Hijrah/1911 Masihi). Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani memperdalam ilmu fikah pula daripada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Mengenai ilmu hadis selain belajar kepada ulama yang telah disebutkan tadi, Syeikh Arsyad Thawil sewaktu berkali-kali berulang-alik ke Madinah mempelajarinya juga daripada Syeikh Abdul Ghani bin Abi Sa'id al-Mujaddidi, di bawah bimbingan beberapa orang murid ulama itu, iaitu Sayid Ali bin Zhahir al-Watri, Syeikh Shalih bin Muhammad az-Zhahiri, dan Syeikh Abdul Jalil Barradah. Daripada semua ulama yang tersebut, Syeikh Arsyad Thawil menerima ijazah dalam ilmu hadis. Guru-guru beliau yang lain pula, yang pernah dicatatkan ialah: Syeikh Ibrahim al-Saqa asy-Syabrabakhumi (wafat 1298 Hijrah/1880 Masihi), Saiyid Ja'afar bin Idris al-Kattani, al-'Allamah Abi Jaiyidah bin Abdul Kabir al-Fasi, al-'Allamah Abdullah bin Darwisy asy-Syakri, Sayid Muhammad ibnu Muhammad Murtadha az-Zabidi al-Hanafi (wafat 1305 Hijrah/1887 Masihi, Sayid Muhammad bin Ali as-Sanusi (wafat 1276 Hijrah/1859 Masihi). Syeikh Arsyad Thawil, dalam usia 14 tahun, bersama-sama datuknya, Syeikh Mustafa al-Bantani, ketika itu berusia hampir seratus tahun, pergi ke Mesir. Di sana pernah mendapat berkat (tabarruk) daripada Syeikh Syinwani dan Syarqawi, kedua-dua ulama Mesir yang sangat terkenal ketika itu.

JIHAD DI BANTEN

Dalam tahun 1311 Hijrah/1893 Masihi, Syeikh Arsyad Thawil pergi ke Banten. Pada ketika itu terjadi peristiwa pertentangan antara orang-orang Islam dengan penganut agama Budha di Banten. Pemerintah Belanda mencampuri perselisihan itu dengan alasan untuk mendamaikan dua golongan yang sedang bermusuhan. Tetapi kolonial Belanda menjalankan hukuman yang tidak adil, bahawa Belanda memihak kepada golongan agama Budha. Oleh yang demikian pemimpin-pemimpin Muslimin sepakat untuk mengadakan perang total terhadap semua golongan yang bukan Islam termasuk terhadap pemerintah kolonial Belanda juga. Secara serentak kaum Muslimin mengangkat senjata ikut dalam pemberontakan jihad itu, termasuk Syeikh Arsyad Thawil. Beliau termasuk salah seorang pemimpin mereka. Jihad terhadap golongan kafir itu dipersetujui oleh Syeikh Nawawi al-Bantani di Mekah dan beberapa orang ulama lainnya. Namun Sayid Utsman Betawi tidak merestuinya, kerana beliau mempunyai pandangan siasah yang tersendiri pula. Kaum Muslimin berhasil membunuh ramai golongan kafir, pihak kolonial Belanda mengerahkan segala kekuatannya untuk mematahkan perang jihad itu, kemudian pihak kolonial Belanda berhasil menangkap pemimpin-pemimpin Islam Banten termasuklah Syeikh Arsyad Thawil sendiri lalu mereka dibuang ke Menado (Sulawesi Utara). Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani berkali-kali mencuba untuk kembali ke Mekah atau ke negerinya Banten namun tidak berhasil. Berbagai-bagai bencana dan cubaan menimpa Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani pada masa pembuangan itu, di antaranya salah seorang anak beliau yang menjadi Syeikh Haji di Mekah meninggal dunia (tahun 1328 Hijrah/1910 Masihi).

MENGAJAR DAN WAFAT

Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani selain pernah terlibat dalam jihad yang terjadi di Banten itu, akhirnya beliau ditangkap oleh Belanda dan dibuang ke Menado, Sulawesi Utara. Di negeri pembuangannya Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani aktif mengajar masyarakat di Menado. Beliau mengajar dalam bidang ilmu-ilmu keislaman. Di antara ilmu-ilmu yang pernah dicurahkannya kepada murid-muridnya ialah: fikah, nahu, saraf, tasawuf, hadis dan lain-lain. Ramai alim-ulama dunia Melayu yang bersanad ilmu (musalsal) mulai daripada Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani hingga ke atas. Mereka ialah: al-'Allamah as- Sayid Ahmad bin Husein bin Salim Ba Jindan al-'Alawi dan anaknya yang terkenal sebagai Musannid Indonesia, iaitu as-Sayid Salim bin Ahmad bin Husein Ba Jindan. Selain itu ialah al-'Allamah as-Sayid `Alawi bin Abdur Rahman bin Semit. Daripada sanad ini pula akan menurunkan Syeikh Muhammad Yasin bin Muhammad `Isa al-Fadani (Padang) al-Makki.

Syeikh Arsyad Thawil al-Bantani dirahmati dengan umur yang panjang, wafat di Menado (Sulawesi Utara), pada malam Isnin, 14 Zulhijjah 1353 Hijrah/19 Mac 1935 Masihi, dalam usia 98 tahun. Yang menjadi imam sembahyang jenazahnya ialah al-Habib Hasan bin Abdur Rahman Maula Khailah al-'Alawi.

GENERASI PENERUS

Ulama Banten yang kedua ialah al-'Allamah Tubagus Bakri bin Tubagus Sid bin Tubagus Arsyad al-Syafi'ie al-Bantani al-Jawi. Lahir sekitar tahun 1268 Hijrah/1851 Masihi, di daerah Peleret, Porwokerto, Jawa Barat. Sejak kecil dipelihara oleh Raden Raji Ghanim. Sejak berumur enam tahun diberi pelajaran membaca al-Quran dan tajwid. Dalam masa itu pula beliau telah mulai menghafal matan-matan: fikah, tauhid dan mengenal lughat Arabiyah. Dalam masa pertumbuhan umur menjelang baligh beliau mulai memasuki pondok-pesantren, berpindah-pindah dari satu pondok-pesantren ke satu pondok-pesantren yang lain. Beliau belajar dengan cara demikian hingga sampai umurnya 40 tahun. Di antara ulama yang berada di Jawa yang beliau pernah belajar kepadanya ialah: Syeikh Khalil al-Bankalani al-Manduri (Madura), Kiyai Hasan Mustafa Sukabumi, dan Syeikh Saleh as-Samarani (Semarang), iaitulah ulama yang digelar dengan Imam al-Ghazali as-Tsani (Imam Ghazali Kedua) sebagaimana Syeikh Nawawi al-Bantani digelar dengan Imam Nawawi as-Tsani. Sungguh pun sudah demikian banyak ilmu pengetahuan yang diterima daripada ulama-ulama di Jawa dan Madura yang cukup terkenal itu, namun Tubagus Bakri sentiasa terus menerus haus dan laparkan ilmu pengetahuan, sentiasa ingin menambahnya. Oleh itu beliau berangkat ke Mekah dan tinggal di sana dalam masa yang agak lama. Selama di Mekah belajar lagi kepada beberapa orang ulama yang terkenal dan ulama-ulama itu ada yang berumur lebih muda daripada beliau, mereka ialah: Syeikh Muhammad Mukhtar bin `Atharid al-Bughri (Bogor, lahir 1278 Hijrah/1861 Masihi), Sayid Abdul Hamid Kudus (lahir 1280 Hijrah/1863 Masihi), Syeikh Mahfuz at-Tarmasi (lahir Muhammad Mahfuzh bin Abdullah at-Tarmasi/ Termas (lahir 1285 Hijrah/1868 Masihi) Syeikh Abdul Haq al-Bantani (cucu Syeikh Nawawi al-Bantani), Syeikh Ahmad al-Fathani (lahir 1272 Hijrah/1856 Masihi), Mufti Syafi'iyah Mekah Syeikh Umar bin Abi Bakar Ba Junaid, Mufti Hanafiyah Mekah Syeikh Shalih bin Shiddiq Kamal al-Hanafi, Syeikh Shalih bin Muhammad Ba Fadhal al-Hadhrami, dan ramai lagi. Daripada ulama-ulama tersebut diterima ijazah dan riwayat-riwayat baik yang bercorak falsafah, pemikiran dan lain-lain, lebih-lebih lagi yang dibangsakan kepada dalil-dalil al-Quran, hadis, ijma' ulama dan qias yang sahih.

PERKHIDMATAN SEBAGAI ULAMA

Setelah demikian lama tinggal di Mekah, ilmu dan pengalaman dirasakan cukup memadai, ditambah lagi umurnya yang sudah agak lanjut, maka Tubagus Bakri pulang ke negerinya. Kemudian menetap di Kampung Sempura. Pada mulanya beliau hanya membina sebuah rumah kecil sebagai tempat tinggalnya, sungguh pun demikian beberapa orang datang belajar kepadanya. Dalam masa yang agak lama sesudah itu rumahnya penuh sesak dikunjungi pelajar yang datang daripada pelbagai jurusan, maka beliau berhasil mendirikan pondok-pesantren. Di pondok-pesantren itu Tubagus Bakri mengutamakan ilmu-ilmu Arabiyah, tafsir, hadis, fikah dan ilmu-ilmu asas yang lain. Pelajaran diberikan tanpa berhenti siang dan malam. Setiap hari, siang dan malam perjalanan hidup beliau hanyalah mengajar dan beribadat. Apabila bukan waktu mengajar beliau terus melakukan peribadatan. Secara spontan apabila berhenti pada jam pelajaran beliau langsung masuk ke tempat peribadatannya. Hampir-hampir tidak diketahui bila waktu beliau tidur. Salah satu kebiasaan peribadinya bahawa setiap malam Selasa awal setiap bulan Arabiyah beliau menghidupkannya dengan memberikan limpahan ilmu kepada murid-muridnya mulai awal malam hingga terbit fajar. Kemudian sesudah Subuh disambung lagi hingga waktu Dhuha. Bererti semalam-malaman itu beliau dan murid-muridnya yang khusus memang tidak tidur. Pada malam itu diajarkan tujuh kitab yang besar-besar pada persekitaran ilmu-ilmu: tafsir, hadis, fikah, nahu, saraf, akidah dan tasawuf. Pada malam tersebut hampir semua ulama-ulama terkenal di Jawa Barat datang mengambil barakah daripada beliau.

MENGASIHANI

Salah satu akhlak mulia yang ada pada peribadi Tubagus Bakri al-Bantani ialah bahawa beliau sangat mengasihi zuriat Rasulullah s.a.w. serta sangat hormat kepada mereka. Tradisi demikian kemungkinan merupakan fitrah semulajadinya atau pun memang dipusakai daripada datuk-neneknya dan ada kemungkinan bahawa beliau sendiri termasuk keturunan Syarif Hidayatullah @ Sunan Gunung Jati yang riwayat datuk-nenek mereka diperkenalkan dalam buku saya Tabaqat Ulama Asia Tenggara, jilid 1. Tubagus Bakri al-Bantani wafat pada malam Isnin, 27 Zulkaedah 1395 Hijrah/30 November 1975 Masihi, dalam usia 128 tahun di Kampung Sampura, Jawa Barat.

MUHAMMAD KHALIL AL-MADURI

Guru ulama Jawa, Madura
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PULAU Madura yang terletak di Jawa Timur ramai melahirkan ulama besar sejak zaman dulu hingga sekarang. Salah seorang di antara mereka yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Kiyai Haji Muhammad Khalil bin Kiyai Haji Abdul Lathif bin Kiyai Hamim bin Kiyai Abdul Karim bin Kiyai Muharram bin Kiyai Asrar Karamah bin Kiyai Abdullah bin Sayid Sulaiman.
Yang terakhir ini (Sayid Sulaiman) dikatakan adalah cucu Syarif Hidayatullah atau Sunan Gunung Jati yang terkenal itu. Salasilah selanjutnya, adalah Syarif Hidayatullah itu putera Sultan Umdatuddin @ Umdatullah @ Abdullah yang memerintah di Cam (Campa). Ayahnya pula ialah Sayid Ali Nurul Alam bin Sayid Jamaluddin al-Kubra (wafat di Tuwajok, Sulawesi), dan seterusnya hingga ke atas.

Memperhatikan salasilah di atas, maka bererti ulama yang berasal dari Pulau Madura yang diriwayatkan ini, adalah daripada asal salasilah dengan Syeikh Nawawi al-Bantani atau Imam Nawawi ats-Tsani ulama yang berasal dari Banten, Jawa Barat, yang riwayatnya telah dimuatkan dalam Ruangan Agama, Utusan Malaysia, 7 Februari 2005. Dalam salasilah Syeikh Nawawi al-Bantani, Sayid Ali Nurul Alam itu bernama Ali Nuruddin, disebutkan al-mutawaffa fil Anam bis Shin (maksudnya wafat di Anam, negeri China).

Dalam salasilah ulama Patani, Ali Nurul `Alam itu bernama Ali al-Masyhur al-Laqihi. Pada masa mudanya pernah ke Jawa, kemudian menyebarkan Islam ke Madura dan Sumbawa, kemudian pulang ke Cam/ Campa dan seterusnya ke Patani memperoleh beberapa orang anak. Di antaranya bernama Wan Muhammad Shalih al-Laqihi al-Fathani. Beliau ini memperoleh seorang anak, iaitu Zainal Abidin @ Faqih Wan Musa al-Fathani, kuburnya telah ditemui di Kampung Tok Diwa, Sena, Patani. Beliau adalah ulama yang membuka Kampung Sena, Patani. Memperhatikan catatan ini bererti bahawa Wan Muhammad Shalih al-Laqihi adalah saudara seayah dengan Sultan Umdatuddin di Cam/Campa itu kerana kedua-duanya putera Ali Nurul `Alam. Bererti pula bahawa Faqih Wan Musa al- Fathani adalah saudara sepupu dengan Syarif Hidayatullah/Sunan Gunung Jati, salah seorang Wali Sembilan (di Jawa) yang sangat terkenal itu, kerana kedua-duanya adalah cucu Ali Nurul `Alam. Wan Muhammad Shalih al-Laqihi keturunan lurusnya ke bawah, iaitu Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Ali Nurul `Alam yang tersebut itu wafat di Cam/Campa, yang oleh kebanyakan penulis, terutama penulis-penulis Indonesia, mengatakan di Anam itu. Dalam catatan ulama Patani disebut bahawa jenazah Ali Nurul `Alam itu telah dipindahkan di Binjal Lima Patani.

Daripada apa yang disebutkan di atas, salasilah Kiyai Khalil al-Maduri (Madura) selain satu salasilah dengan Syeikh Nawawi al-Bantani, bererti juga satu salasilah dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Catatan ini saya nyatakan di sini adalah hasil penyelidikan terkini, dan keterangan selengkapnya saya bicarakan dalam Tabaqat Ulama Asia Tenggara jilid 1.

PENDIDIKAN

Kiyai Muhammad Khalil dilahirkan pada 11 Jamadilakhir 1235 Hijrah/27 Januari 1820 Masihi di Kampung Senenan, Desa Kemayoran, Kecamatan Bangkalan, Kabupaten Bangkalan, Pulau Madura, Jawa Timur. Kiyai Haji Muhammad Khalil berasal daripada keluarga ulama. Pendidikan dasar agama diperolehnya langsung daripada keluarga. Menjelang usia dewasa, beliau dikirim ke berbagai-bagai pondok pesantren. Sekitar 1850-an, ketika usianya menjelang tiga puluh, Kiyai Muhammad Khalil belajar kepada Kiyai Muhammad Nur di Pondok-pesantren Langitan, Tuban, Jawa Timur. Dari Langitan beliau pindah ke Pondok-pesantren Cangaan, Bangil, Pasuruan. Kemudian beliau pindah ke Pondok-pesantren Keboncandi. Selama belajar di pondok-pesantren ini beliau belajar pula kepada Kiyai Nur Hasan yang menetap di Sidogiri, 7 kilometer dari Keboncandi. Kiyai Nur Hasan ini, sesungguhnya, masih mempunyai pertalian keluarga dengannya. Dalam masa masih menjadi santeri/pelajar di beberapa pondok-pesantren di Jawa lagi Muhammad Khalil telah menghafal beberapa matan, yang pasti ialah Matan Alfiyah Ibnu Malik (1,000 bait) mengenai ilmu nahu yang terkenal itu. Selanjutnya beliau juga seorang hafiz al-Quran tiga puluh juzuk. Beliau berkemampuan dalam qiraah tujuh (tujuh cara membaca al-Quran). Tidak jelas apakah al-Quran tiga puluh juzuk telah dihafalnya sejak di Jawa atau pun setelah menetap di Mekah berpuluh-puluh tahun.

Pada 1276 Hijrah/1859 Masihi, Kiyai Muhammad Khalil melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Di Mekah Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri bersahabat dengan Syeikh Nawawi al-Bantani. Ulama-ulama dunia Melayu di Mekah yang seangkatan dengan Syeikh Nawawi al-Bantani (lahir 1230 Hijrah/1814 Masihi), Kiyai Khalil al-Manduri (lahir 1235 Hijrah/1820 Masihi), Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani (lahir 1233 Hijrah/1817 Masihi), Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (lahir 1234 Hijrah/1818 Masihi), Kiyai Umar bin Muhammad Saleh Semarang dan ramai lagi. Di antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Mustafa bin Muhammad al-Afifi al-Makki, Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud asy-Syarwani dan ramai lagi. Beberapa sanad hadis yang musalsal diterima daripada sahabatnya Syeikh Nawawi al-Bantani dan Abdul Ghani bin Subuh bin Ismail al-Bimawi (Bima, Sumbawa). Walau pun Syeikh Ahmad al-Fathani jauh lebih muda daripadanya, iaitu peringkat anaknya, namun kerana tawaduknya, Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri pernah belajar kepada ulama yang berasal dari Patani itu. Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri termasuk generasi pertama mengajar karya Syeikh Ahmad al-Fathani berjudul Tashilu Nailil Amani, tentang nahu dalam bahasa Arab, di pondok-pesantrennya di Bangkalan. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang tersebut kemudian berpengaruh dalam pengajian ilmu nahu di Madura dan Jawa sejak itu, bahkan hingga sekarang masih banyak pondok-pesantren tradisional di Jawa dan Madura diajarkan kitab itu.

Saya tidak sependapat dengan tulisan yang menyebut bahawa Kiyai Muhammad Khalil teman seangkatan dengan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Muhammad Yasin Padang (majalah Amanah 42 dan Ensiklopedia Islam Indonesia), kerana sewaktu Kiyai Muhammad Khalil ke Mekah tahun 1276 Hijrah/1859 Masihi, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau baru dilahirkan (1276 Hijrah/1859-1860 Masihi). Syeikh Muhammad Yasin Padang pula belum dilahirkan, beliau jauh kebelakang daripada Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau. Syeikh Yasin Padang meninggal dunia sekitar tahun 1990an. Kemungkinan ayah Syeikh Yasin Padang, iaitu Syeikh Isa bin Udik Padang itulah yang bersahabat dengan Syeikh Muhammad Khalil al-Maduri.

Mengenai ilmu thariqat, Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri belajar kepada beberapa orang ulama thariqat yang terkenal di Mekah pada zaman itu, di antaranya daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas diterimanya baiah dan tawajjuh Thariqat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah. Thariqat Naqsyabandiyah juga diterimanya daripada Sayid Muhammad Shalih az-Zawawi, dan selainnya ramai lagi, di antaranya termasuk kepada Syeikh Utsman Dimyathi juga.
Sewaktu berada di Mekah untuk perbelanjaannya sehari-hari, Kiyai Muhammad Khalil bekerja mengambil upah sebagai penyalin risalah-risalah yang diperlukan oleh para pelajar. Diriwayatkan bahawa pada waktu itulah timbul ilham antara mereka bertiga, iaitu: Syeikh Nawawi al-Bantani, Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri dan Syeikh Saleh as-Samarani (Semarang) menyusun kaedah penulisan huruf Pegon. Huruf Pegon ialah tulisan Arab yang digunakan untuk tulisan dalam bahasa Jawa, Madura dan Sunda. Huruf Pegon tidak ubahnya tulisan Melayu/Jawi yang digunakan untuk penulisan bahasa Melayu.

MURID MURIDNYA YANG TERKENAL

Oleh sebab Kiyai Muhammad Khalil cukup lama belajar di beberapa pondok-pesantren di Jawa dan Mekah, maka sewaktu pulang dari Mekah, beliau terkenal sebagai ahli/pakar nahu, fikah, thariqat ilmu-ilmu lainnya. Untuk mengembangkan pengetahuan keislaman yang telah diperolehnya, Kiyai Muhammad Khalil selanjutnya mendirikan pondok-pesantren di Desa Cengkebuan, sekitar 1 kilometer arah Barat Laut dari desa kelahirannya. Pondok-pesantren tersebut kemudian diserahkan pimpinannya kepada anak saudaranya, sekali gus adalah menantunya, ialah Kiyai Muntaha. Kiyai Muntaha ini berkahwin dengan anak Kiyai Muhammad Khalil bernama Siti Khatimah. Adapun beliau sendiri (Kiyai Khalil) mendirikan pondok-pesantren yang lain di Kota Bangkalan, letaknya sebelah Barat kota tersebut dan tidak berapa jauh dari pondok-pesantrennya yang lama.

Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri adalah seorang ulama yang bertanggungjawab terhadap pertahanan, kekukuhan dan maju-mundurnya agama Islam dan bangsanya. Beliau sedar benar bahawa pada zamannya, bangsanya adalah dalam suasana terjajah oleh bangsa asing yang tidak seagama dengan yang dianutnya. Beliau dan keseluruhan suku bangsa Madura seratus peratus memeluk agama Islam, sedangkan bangsa Belanda, bangsa yang menjajah itu memeluk agama Kristian. Sesuai dengan keadaan beliau sewaktu pulang dari Mekah telah berumur lanjut, tentunya Kiyai Muhammad Khalil tidak melibatkan diri dalam medan fizik, memberontak dengan senjata tetapi mengkaderkan pemuda di pondok pesantren yang diasaskannya. Kiyai Muhammad Khalil sendiri pernah ditahan oleh penjajah Belanda kerana dituduh melindungi beberapa orang yang terlibat melawan Belanda di pondok pesantrennya. Sama ada tokoh ulama mahu pun tokoh-tokoh lainnya yang terlibat memperjuangkan kemerdekaan Indonesia tidak sedikit yang pernah mendapat pendidikan daripada Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri itu.
Di antara sekian ramai murid Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri yang tidak asing lagi, yang cukup umum diketahui, dalam sejarah perkembangan agama Islam dan bangsa Indonesia ialah Kiyai Haji Hasyim Asy'ari (pendiri Pondok-pesantren Tebuireng, Jombang, dan pengasas Nahdhatul Ulama atau singkatannya NU); Kiyai Haji Abdul Wahhab Hasbullah (pendiri Pondok-pesantren Tambakberas, Jombang); Kiyai Haji Bisri Syansuri (pendiri Pondok-pesantren Denanyar); Kiyai Haji Ma'shum (pendiri Pondok-pesantren Lasem, Rembang, adalah ayahanda Kiyai Haji Ali Ma'shum), Kiyai Haji Bisri Mustofa (pendiri Pondok-pesantren Rembang); dan Kiyai Haji As'ad Syamsul `Arifin (pengasuh Pondok-pesantren Asembagus, Situbondo). Salah seorang muridnya yang menyebarkan Islam melalui Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah Muzhariyah ialah Kiyai Haji Fathul Bari. Kiyai Haji Fathul Bari yang tersebut sangat ramai muridnya di Madura, Jawa dan Kalimantan Barat. Sebagaimana gurunya, Kiyai Haji Fathul Bari juga dikatakan banyak melahirkan kekeramatan. Kubur beliau terletak di Kampung Peniraman, Kecamatan Sungai Pinyuh, Kabupaten Pontianak, Kalimantan Barat. Dan masih ramai murid Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri yang muncul sebagai tokoh-tokoh besar yang belum sempat dicatat dalam artikel ringkas ini.

Kiyai Muhammad Khalil al-Maduri, wafat dalam usia yang lanjut, 106 tahun, pada 29 Ramadan 1341 Hijrah/14 Mei 1923 Masihi.

SYEIKH ISMAIL AL-MINANKABAWI

Penyebar al-Khalidiyah pertama
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

KEDATANGAN Syeikh Ismail al-Minankabawi dari Mekah ke Kerajaan Riau-Lingga dan Semenanjung Tanah Melayu, pernah diungkapkan dengan panjang lebar oleh Raja Ali Haji dalam karyanya, Tuhfatun Nafis. Masih dalam penyelidikan awal, pada tahun 1985 saya menyusun sebuah buku berjudul, Syeikh Ismail Al-Minangkabawi Penyiar Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah, cetakan pertama C.V Ramadhani, Solo, Mac 1985. Buku tersebut dirujuk dan dipetik oleh ramai penulis. Tulisan saya yang sekarang merupakan hasil penelitian yang terkini, setelah menemui pelbagai karya Syeikh Ismail al-Minankabawi. Beberapa kekeliruan pada penyelidikan awal diperbetulkan dalam artikel ini. Sebelum tulisan ini saya teruskan, terlebih dulu saya perlu menyatakan bahawa saya tidak sependapat dengan tahun andaian atau tahun dugaan kewafatan Syeikh Ismail al-Minankabawi yang termaktub dalam Ensiklopedi Islam, 2 Indeks, cetakan pertama, 1994, hlm. 55-56.

Menurut Ensiklopedi Islam tersebut bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi lahir pada tahun 1125 Hijrah dan wafat pada tahun 1160 Hijrah. Sanggahan saya adalah sebagai berikut, bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi jauh lebih muda daripada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani (gurunya). Kelahiran Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani ada yang menyebut tahun 1133 Hijrah/ 1720 Masihi, 1153 Hijrah/1740 Masihi dan 1183 Hijrah/1769 Masihi. Yang pasti pula, sewaktu masih kanak-kanak Syeikh Ismail al-Minankabawi dibawa oleh ayahnya berpindah ke Mekah dan belajar kepada Syeikh Utsman ad-Dimyathi. Ulama ini hidup dalam tahun 1196 Hijrah/1781-2 Masihi - 1265 Hijrah/ 1848 Masihi. Oleh sebab Syeikh Ismail al-Minankabawi adalah murid Syeikh Utsman ad-Dimyathi, maka tahun kelahirannya dapat kita bandingkan dengan tahun kelahiran beberapa orang murid Syeikh Utsman ad-Dimyathi yang lain, seumpama Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan yang lahir tahun 1232 Hijrah/1816 Masihi, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah, lahir tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi, dan lain-lain. Jadi jelaslah bahawa tahun 1125 Hijrah/1713 Masihi yang dinyatakan tahun kelahiran Syeikh Ismail al-Minankabawi itu adalah ditolak berdasarkan fakta sejarah. Daripada semua karya Syeikh Ismail al-Minankabawi yang ditemui, ternyata yang tercatat tahun selesai penulisan hanya sebuah saja, iaitu Ar-Rahmatul Habithah fi Zikri Ismiz Zati war Rabithah yang diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Ini sudah cukup untuk menyanggah kenyataan bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi wafat pada tahun 1160 Hijrah/1747 Masihi itu, bahkan beliau masih hidup hingga tahun 1269 Hijrah/1852 Masihi. Menurut tulisan Syeikh Muhammad Mirdad Abul Khair dalam Nasyrun Naur waz Zahar, bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi wafat melangkaui tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi.

PENDIDIKAN

Syeikh Muhammad Mirdad Abul Khair meriwayatkan bahawa Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi al-Khalidi asy-Syafi'ie lahir di Minangkabau (tanpa menyebut tahun). Sejak kecil beliau mengikut ayahnya pindah ke Mekah al-Musyarrafah. Beliau belajar pelbagai ilmu kepada Syeikh Utsman ad-Dimyathi. Setelah ulama besar itu wafat, Syeikh Ismail Minangkabau belajar pula kepada Syeikh Ahmad ad-Dimyathi. Selain kedua-dua ulama itu, Syeikh Ismail Minangkabau juga belajar kepada ulama-ulama lain dalam Masjidil-Haram, Mekah, dan Syeikh Ismail Minangkabau sempat belajar kepada Mufti Mazhab Syafie ketika itu, iaitu Syeikh Muhammad Sa'id bin Ali asy-Syafi'ie al-Makki al-Qudsi (wafat 1260 Hijrah/1844-5 Masihi). Ulama dunia Melayu yang menjadi gurunya, yang dapat diketahui secara pasti hanyalah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Mengenai Thariqat Naqasyabandiyah al-Khalidiyah, Syeikh Ismail al-Minankabawi menerima baiah dan tawajjuh daripada Sayid Abi Abdillah bin Abdullah Afandi al-Khalidi, murid Syeikh Khalid al-'Utsmani al- Kurdi. Pada waktu yang lain, Syeikh Ismail al-Minankabawi juga menerima baiah dan tawajjuh secara langsung daripada Syeikh Khalid al-'Utsmani al-Kurdi. Dari mula nama inilah terdapat istilah al-Khalidiyah dalam Thariqat Naqasyabandi kerana Syeikh Khalid al-'Utsmani al-Kurdi adalah seorang Mujaddid (pembaharu) dalam tarekat yang sangat terkenal itu.

Tercatat dalam sejarah bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi adalah seorang ulama yang sangat kuat melakukan ibadah, selain aktif beramal dengan Thariqat Naqasyabandiyah Khalidiyah dan Thariqat Syaziliyah, beliau aktif mengajar, mengarang, tilawah al-Quran, pelbagai wirid dan zikir sama ada siang mahu pun malam sehinggalah beliau wafat di Mekah tahun 1280 Hijrah/1863 Masihi. Tidak tercatat sesuatu pekerjaan yang dilakukannya sepanjang siang dan malam selain yang tersebut itu.

PENULISAN

Karya Syeikh Ismail al-Minankabawi berupa kitab mahu pun
risalah, yang ditemui adalah sebagai berikut:

1. Ar-Rahmatul Habithah fi Zikri Ismiz Zati war Rabithah, diselesaikan pada tahun 1269 Hijrah. Kandungannya membicarakan tasawuf, khusus mengenai rabithah secara mendalam. Kitab ini merupakan terjemahan sebuah karya murid beliau sendiri, seorang Arab yang bernama Syeikh Husein bin Ahmad ad-Dausari yang meninggal dunia dalam tahun 1242 Hijrah dalam usia hanya 39 tahun. Daripada terjemahan kitab ini, kita banyak memperoleh informasi tentang diri Syeikh Ismail al-Minankabawi. Di antara petikan kalimatnya, ``Dan adalah demikian itu, dengan mengerjakan yang dia yang amat hina Ismail ibni Abdullah, yang Syafie mazhabnya, al-Asy'ari akidahnya, yang Syazili thariqatnya, kemudian lagi Naqsyabandi al-Khalidi thariqatnya juga, yang menumpang ia atas ahli ilmi di dalam tanah haram yang Makki, yang maha mulia ia. Barang ditobatkan (oleh) Allah juga atasnya dan maaf daripada-Nya oleh Tuhannya yang amat murah, lagi amat penyayang. Dan adalah demikian itu di dalam Kampung Teluk Belanga dengan pertolongan Syah Amir yang dibesarkan dan ikutan yang dimuliakan ialah Amir Ibrahim bin al-Marhum Amir Abdur Rahman at-Tamanqum Seri Maharaja.'' Yang dimaksudkan dengan perkataan `at-Tamanqum' ialah Temenggung. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, akhir Jamadilawal 1325 Hijrah, diusahakan oleh Syeikh Abdullah al-Baz.

2. Risalah Muqaranah Sembahyang, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan niat sembahyang. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Bahiyah al-Mashriyah, 1309 Hijrah. Dicetak atas zimmah Umar bin Khathib Abdus Shamad al-Jawi, Jiyad. Selanjutnya ada cetakan pertama yang dikombinasi cetak dengan Bulughul Maram karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1310 Hijrah.

3. Kifayatul Ghulam fi Bayani Arkanil Islam wa Syurutihi, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan fikah bahagian rubu' ibadat. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan, di antaranya oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1340 Hijrah. Kitab ini ditashih oleh beberapa orang di antaranya, Haji Abdullah bin Ibrahim al-Qadhi (Kedah).

4. Al-Muqaddimatul Kubra allati Tafarra'at minhan Nuskhatus Shughra, tanpa tarikh. Hanya terdapat tahun selesai penyalinan naskhah pada hari Selasa, sesudah sembahyang Zohor pada 15 Jamadilawal 1305 Hijrah di Mekah oleh `Abdus Shamad Kelantan. Kandungannya membahas ilmu akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah secara mendalam. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Amiriyah, Bulaq, Mesir, tertulis di halaman depan dinyatakan tahun 1309 Hijrah, dan di halaman akhir dinyatakan Rabiulakhir 1310 Hijrah. Di bahagian tepi dicetak kitab berjudul Muqaddimatul Mubtadin oleh pengarang yang sama. Pada halaman akhir dicatat sebagai penjual ialah Syeikh Abdullah al-Baz di Kampung Babus Salam, Mekah. Kitab ini ditashih Syeikh Ahmad al-Fathani.

5. Muqaddimatul Mubtadin, diselesaikan pada hari Rabu 30 Safar, sesudah sembahyang Zohor, tanpa menyebut tahun. Kandungannya membahas ilmu akidah secara mendalam. Dicetak di bahagian tepi kitab Al-Muqaddimatul Kubra.

6. Mawabib Rabbil Falaq Syarh Bintil Milaq. Kandungannya membicarakan tasawuf, merupakan terjemahan dan syarah Qashidah al-'Arif Billah al-Qadhi Nashiruddin ibni Bintil Milaq asy-Syazili. Sebahagian besar kandungannya membicarakan Thariqat Syaziliyah. Kitab ini
termasuk dalam kategori kitab nadir, telah lama tidak terdapat dalam pasaran kitab. Saya memperoleh kitab ini pertama sekali daripada bekas milik Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid, Pinang Baik, Selayang, Selangor Darul Ehsan, tarikh 28 Rejab 1417 Hijrah/9 Disember 1996 Masihi. Dicetak oleh Mathba'ah Makkah al-Mahmiyah, pertengahan Zulkaedah 1306 Hijrah.

KESIMPULAN

Sewaktu Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi wafat, beliau meninggalkan dua orang anak yang menjadi ulama, iaitu Syeikh Azhari (wafat 1303 Hijrah/1886 Masihi) dan Syeikh Muhammad Nur (1313 Hijrah/ 1895-6 Masihi). Syeikh Azhari bin Syeikh Ismail al-Minankabawi ketika wafat meninggalkan dua orang anak; Salim dan Ismail. Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Minankabawi pula memperoleh dua anak perempuan. Salah seorang daripadanya menjadi isteri kepada Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Azhari, tokoh tajdid yang sangat terkenal itu.

Kedua-dua anak Syeikh Ismail al-Minankabawi yang tersebut meneruskan aktiviti beliau, di rumah pusaka beliau yang dinamakan Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah, menjadi tumpuan atau tempat berkumpul orang-orang yang berasal dari dunia Melayu, terutama Ikhwanut Thariqah dan Kerabat Diraja Riau-Lingga. Bahawa Rumah Waqaf Al-Khalidi di Mekah itu dibina, dimulai oleh Syeikh Ismail al-Minankabawi sendiri, dan sewaktu Raja Haji Ahmad bin Raja Haji ke Mekah pada tahun 1243 Hijrah/1828 Masihi, beliau menghulurkan dana wakaf yang banyak kepada Syeikh Ismail al-Minankabawi. Dana wakaf tersebut kemudian diteruskan oleh beberapa orang Kerabat Diraja Riau-Lingga, para murid beliau.

Murid Syeikh Ismail al-Minankabawi daripada golongan elit Kerajaan Riau-Lingga sangat ramai, sama ada pimpinan tertinggi kerajaan, golongan cerdik pandai mahu pun golongan lainnya. Di antara mereka seumpama Raja Haji Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-IX, Raja Ali Haji, pengarang Melayu yang sangat terkenal dan lain-lain.

Kesimpulan dari seluruh perbincangan bahawa Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah di dunia Melayu, dimulai oleh Syeikh Ismail al-Minankabawi di Mekah, kemudian beliau sendiri datang mendirikan pusat-pusat penyebarannya di Istana Pulau Penyengat, Riau, di Istana Temenggung Ibrahim di Teluk Belanga, Singapura, di Kampung Semabok, Melaka dan Kampung Upih di Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya.