ULAMA NUSANTARA

Monday, June 26, 2006

SYEIKH SYIHABUDDIN AL-JAWI

Ulama Palembang atau Pahang?
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

PADA 20 Rabiulakhir 1427 H/18 Mei 2006 diadakan ‘Seminar Tasawuf Mencari Permata Yang Hilang’ di dewan kediaman rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kuantan. Seminar tersebut dianjurkan oleh Kolej IKIP dan Yayasan Pahang. Empat kertas kerja dibentangkan. Kertas kerja yang saya tulis mengawali pembentangan pada sesi pagi. Seminar itu dirasmikan oleh Adnan. Tanpa saya duga beliau ialah seorang yang rajin membaca termasuk tentang tasawuf. Beliau termasuk peminat Buya Hamka, sehingga dalam ucapan perasmian itu beliau banyak memetik Tasawuf Moden dan berkali-kali menyebut nama ulama besar yang terkenal itu.

Pada waktu rehat, saya sempat berbual agak panjang dengan Adnan. Katanya, sejak kecil lagi beliau telah mengumpul dan mempelajari buku-buku karangan Buya Hamka. Saya simpulkan memang ramai peminat Buya Hamka termasuk saya sendiri. Hamka juga seorang tokoh tajdid yang tidak menolak ajaran tasawuf. Tidak dapat dinafikan ramai tokoh lain berfikir positif dan langkah itu wajar kerana tasawuf adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam. Sebaliknya tidak kurang pula orang yang berfikir negatif dan tiada wajar serta tanpa mempelajari dengan teliti telah menuduh tasawuf sebagai sebahagian daripada ajaran sesat.

Kertas kerja tentang tasawuf yang saya bentangkan di Kuantan itu berkisar kepada dua tokoh saja iaitu Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjar. Artikel ini pula menceritakan riwayat Syeikh Syihabuddin, yang beliau ini lebih dulu muncul daripada kedua-dua ulama tersebut.

Manuskrip

Pada zaman yang sama ada dua orang yang bernama Syeikh Syihabuddin, atau orang yang bernama sama. Seorang menjalankan aktiviti di Palembang di Sumatera Selatan dan seorang lagi di Pahang. Ulama yang diambil data dalam artikel ini adalah berdasarkan sebuah manuskrip, namun masih tidak jelas sama ada Syeikh Syihabuddin Palembang ataupun Syeikh Syihabuddin Pahang. Dalam manuskrip, beliau hanya menyebut tinggal di ‘Jawi’ tanpa menyebut dari tempat mana beliau berasal. Nama lengkap dalam manuskrip ialah as-Syeikh Syihabuddin al-Haji ibnu Abdullah Muhammad al-Jawi.

Artikel ini saya lebih memfokuskan tentang tasawuf yang bersumber daripada karya ulama Syeikh Syihabuddin al-Haji. Oleh itu, bahasan pertikaian pendapat tentang beliau berasal dari Palembang ataupun Pahang saya tinggalkan saja.

Manuskrip koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM) yang diberi nombor kelas MS 1522 dikenali dengan judul lengkap Syarh Akidah al-Iman. Ia ditulis sendiri oleh Syeikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah Muhammad al-Jawi. Kitab itu diselesaikan pada hari Ahad, 7 Jamadilawal 1162 H, bersamaan tarikh yang disesuaikan oleh PMM-PNM iaitu 24 April 1748. MS 1522 tersebut adalah salinan Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu. Selesai penyalinan pada hari Jumaat, 16 Rabiulawal 1260 H, persamaan tarikh yang disesuaikan oleh pihak Pusat Manuskrip Melayu Malaysia (PMM-PNM) pada 5 April 1844. Jarak waktu dari tulisan asli hingga penyalinan adalah selama hampir 100 tahun.
Pada mukadimah kitab, Syeikh Syihabuddin al-Haji menulis, “kemudian daripada itu, maka inilah suatu syarah yang lathif atas mukhtasar Jauhar Tauhid namanya, bagi Syeikh yang fadhil, lagi alim, Ibrahim Laqani nauwarallahu dharihahu. Dan ku namai ia akan Syarh Akidah al-Iman di dalam Syarah Jauhar Tauhid, halnya aku ibaratkan dengan bahasa Jawi supaya mudah bagi orang yang mubtadi di dalam agama.”

Sebagaimana telah disebutkan bahawa tidak terdapat nama negeri Jawi yang mana dalam manuskrip karyanya, yang ada dinyatakan selain nama diri dan ‘al-Jawi’ hanyalah mazhabnya, iaitu Mazhab Syafie. Sesudah itu ialah ada empat jenis tarekat yang diamalkannya iaitu Syathariyah, Naqsyabandiyah, Rifaiyah dan Qadiriyah. Tiga tarekat di antaranya, kecuali Tarekat Rifaiyah, memang ramai diamalkan oleh ulama dunia Melayu tetapi Tarekat Rifaiyah barangkali ramai juga ulama kita yang mengamalkannya cuma mereka tidak pernah mengisytiharkan mengenainya pada karya-karya mereka. Satu-satunya karya yang pengarangnya mengaku secara terang bahawa dia pengamal Tarekat Rifaiyah ialah Syeikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah Muhammad al-Jawi yang diriwayatkan ini.

Dalam naskhah MS 1522 dengan jelas Syeikh Syihabuddin al-Haji mengakui beliau penganut Mazhab Syafie, iaitu mazhab itu yang dominan dianuti oleh semua ulama dunia Melayu sejak zaman dahulu. Bahkan hingga ke zaman kita sekarang ini. Kemudian beliau mengakui pula bahawa beliau ialah pengamal keempat-empat tarekat yang disebutkan. Ada pun Tarekat Syathariyah diakui dikembangkan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh yang kemudian disebarkan oleh murid-muridnya di seluruh dunia Melayu. Memerhatikan tahun kemunculan karya Syeikh Syihabuddin al-Haji, 1162 H/1748 M, sekurang-kurangnya beliau peringkat cucu murid saja daripada Syeikh Abdur Rauf, dan ada kemungkinan termasuk murid ulama besar yang berasal dari Aceh itu.

Kemudian Syeikh Syihabuddin al-Haji mengakui beliau pengamal Tarekat Naqsyabandiyah. Mengenai tarekat ini kurang jelas siapakah peringkat awal ulama dunia Melayu yang paling gigih selaku penyebarnya. Hanya sedikit maklumat diriwayatkan bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi (Makasar) ialah salah seorang pengamal Tarekat Naqsyabandiyah peringkat awal dunia Melayu. Tetapi oleh sebab masa-masa hidupnya lebih lama di negeri buangan, di Sri Lanka dan Afrika Selatan, maka sukar dipastikan adakah beliau yang paling berjasa dalam penyebaran Tarekat Naqsyabandiyah di dunia Melayu.

Oleh itu, kedudukan Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi dalam penyebaran Tarekat Naqsyabandiyah di dunia Melayu adalah sama dengan Syeikh Syihabuddin al-Haji, iaitu belum begitu jelas sistem penyebaran yang dilakukannya. Dapat dikatakan ulama yang sezaman dengan Syeikh Syihabuddin al-Haji yang mengamal pelbagai tarekat termasuk Tarekat Naqsyabandiyah ialah Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani.

Dalam Salasilah Tarekat Naqsyabandiyah, Ali bin Sulaiman Kampung Kuala Mempawah disebutkan bahawa ulama Banten itu menerima Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain al-Mazjaji di Mekah. Ulama Banten ini memulakan aktiviti penulisan mulai tahun 1112 H/1700 M sampai 1173 H/1760 M. Oleh sebab Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani hidup sezaman dengan Syeikh Syihabuddin al-Haji ada kemungkinan Syeikh Syihabuddin al-Haji juga menerima Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain al-Mazjaji.

Ada pun mengenai Tarekat Qadiriyah, dipercayai hampir semua ulama yang terdahulu daripada Syeikh Syihabuddin al-Haji mengamalkannya termasuk Syeikh Hamzah al-Fansuri, Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh 'Abdur Rauf al-Fansuri dan ulama-ulama sesudah mereka. Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid al-Bantani pada namanya menyebut beliau adalah ‘Khalifah al-Qadiri’. Walaupun Syeikh Abdur Rauf juga pengamal pelbagai tarekat dan pernah membai'ah Tarekat Naqsyabandiyah kepada muridnya, Tuan Imam Malim Kaya, namun yang diakuinya sebagai khalifah hanya pada Tarekat Qadiriyah.
Tarekat Qadiriyah di dunia Melayu sampai ke kemuncak kejayaan penyebarannya hingga ke zaman Syeikh Ahmad Khatib Sambas, iaitu ulama yang muncul kemudian daripada Syeikh Syihabuddin al-Haji. Ada pun mengenai Tarekat Rifaiyah, tempatnya di dunia Melayu tidak seberapa subur, hanya sedikit ulama kita yang mengamalkannya. Antara yang tidak mengamalkannya termasuklah Syeikh Syihabuddin al-Haji. Ada pun nama Tarekat Rifaiyah adalah dinisbahkan kepada Sayidi Ahmad bin Yahya bin Hazim bin Rifa'ah (lahir tahun 500 H/1107 M, wafat tahun 570 H/1175 M, riwayat lain menyebut wafat tahun 578 H/1182 M). Riwayat hidup ulama sufi tersebut diperkenalkan buat pertama kali dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Hadiqatul Azhar war Rayahin.

Setelah Syeikh Syihabuddin al-Haji selesai membicarakan akidah beliau kemudiannya membahas tentang tasawuf. Menurut Syeikh Syihabuddin al-Haji, “Maka erti tasawuf itu, mengenal sesuatu yang membaiki hati daripada sifat yang mazmumah (tercela, pen:) dan menghias hati dengan sifat mahmudah (terpuji, pen:).” Dengan jelas, konsep ajaran tasawuf yang disebut oleh Syeikh Syihabuddin al-Haji, “selain mengikut akhlak Nabi Muhammad s.a.w. juga mengikut perangai orang-orang yang soleh daripada orang yang dahulu-dahulu daripada sekalian sahabat Nabi dan Auliya' Allah. Dan engkau jauhilah perangai sekalian orang yang bidaah.”

Sangat keras

Syeikh Syihabuddin al-Haji sangat keras terhadap golongan yang hanya mengaku dirinya sampai ke peringkat tinggi dalam tasawuf tetapi sebenarnya adalah suatu pembohongan yang menyalahi akhlak para pengamal tasawuf. Beliau menulis, dan beberapa orang yang ia mendakwa dirinya sampai kepada Makam Ahli al-Khawash, padahal perbuatannya seperti hayawan (haiwan-haiwan atau binatang-binatang, pen:). Hingga berkata orang itu, bahawasanya apabila ia sampai kepada Makam al-Khawash atau Maqam Khawash al-Khawash maka gugurlah dirinya itu daripada ibadah yang bangsa badan, seperti sekalian taklif syarak. Maka itu bidaah yang amat sesat lagi kafir.

Setelah membahas beberapa permasalahan tasawuf, Syeikh Syihabuddin al-Haji bercerita tentang kemujaraban ubat badan dan rohani. Kata beliau, dan apabila engkau telah mengenal akan yang telah tersebut itu, maka engkau mengenal bahawasanya asal segala ubat sakit badan atau yang bangsa hati itu lima perkara. Yang pertama meringankan perutnya daripada makan dan minum, dan mata daripada tidur, dan barang sebagainya. Mengenai yang pertama tersebut Syeikh Syihabuddin al-Haji memberitahu, kata setengah ahli tasawuf bahawasanya syaitan itu berjalan seperti jalan darah. Dan apabila banyak darahnya banyaklah datang masuk syaitan dalam hatinya. Dan banyak darah itu sebab banyak makan, tidur dan minum.
Oleh sebab demikian, meringankan perut dan mata itu setengah daripada ubat akan sekalian yang sakit. Dan kerana itulah berkata sebilangan ahli tasawuf, dan tidak ada barang sesuatu yang terlebih kurang itu dibilang daripada sifat yang mahmudah, melainkan tiga perkara iaitu kurang makan, kurang tidur dan kurang berkata-kata. Dan yang ketiga itu hendaklah bersahabat dengan orang yang menunjuk jalan kepada Allah atau jalan syarak.

Friday, June 23, 2006

SYEIKH ABDUL BASHIR

Mata buta tetapi memandang dengan hati
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

BUTA mata tidak menghalang seseorang melakukan pelbagai aktiviti. Yang diriwayatkan dalam artikel ini ialah seorang ulama yang buta mata kepalanya, tetapi mata hatinya tetap memandang. Beliau berkemampuan menghasilkan penulisan kitab dan pada masa yang lain beliau juga sanggup mengajar murid-muridnya memahami kitab terutama hasil penulisan gurunya, Syeikh Yusuf Taj al-Khalwati al-Mankatsi.

Beliau juga merupakan ulama yang berasal dari tanah Bugis, Sulawesi Selatan, seperti gurunya Syeikh Yusuf yang sangat terkenal itu. Nama lengkap yang digunakan pada mukadimah salinan Daqaiq al-Asrar ialah asy-Syeikh Abu al-Fathi Abu Yahya Abdul Bashir adh-Dhariri.

Pertama kali saya mengesan nama ulama Bugis yang diriwayatkan ini adalah daripada manuskrip Daqaiq al-Asrar karya beliau yang merupakan koleksi peribadi saya sendiri. Hingga tahun 1980, riwayat hidup ringkasnya hanya terdapat dalam buku Dari Perbendaharaan Lama karangan Buya Hamka terbitan Firma Madju, Medan, 1963. Tanpa perbandingan yang banyak lalu saya muat juga dalam buku Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Nusantara terbitan Al-Ikhlas, Surabaya, 1980. Walaupun riwayat Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi (guru beliau) telah banyak ditulis orang namun maklumat tentang Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri masih sukar dirujuk.

Setakat ini nampaknya yang agak panjang hanyalah ditulis oleh Abu Hamid, seorang sarjana yang berasal dari tanah Bugis dalam buku berjudul Syeikh Yusuf Makassar Seorang Ulama, Sufi dan Pejuang terbitan Yayasan Obor Indonesia, 1994. Karya Buya Hamka dan karya Bapak Abu Hamid tersebut sangat banyak memberi pertolongan ketika saya menyusun riwayat ini sebagai melengkapi bahan-bahan rujukan karya Syeikh ‘Abdul Bashir adh-Dhariri.

Sebelum membicarakan hal-hal lainnya terlebih dulu di bawah ini saya petik tulisan Buya Hamka. Katanya: “Setelah diberinya ijazah kepada beberapa orang muridnya di antaranya Syeikh Nuruddin Abu al-Fatah Abdul Bashir adh-Dhariri (buta) ar-Rafani (Orang Rapang, Bugis) dan muridnya pula Abdul Qadir Maraeng Majeneng, maka minta izinlah dia meninggalkan Makasar, meskipun bagaimana ditahani, tidak mau ditahan lagi. Berangkatlah dia ke Bantam! Sebab di sana banyak pula muridnya yang telah pernah belajar kepadanya tatkala dia di Makkah.”

Pada nota kaki dalam buku yang sama Buya Hamka mengulas lebih jauh bahawa “adalah buta, sebab itu dihujunginya nama ‘adh-Dharir’.” Tetapi diberi dia nama oleh gurunya Abdul Bashir (hamba daripada yang maha melihat) dan diberi gelar ‘Abu al-Fatah’ yang ertinya orang yang terbuka hatinya dan diberi pula gelar kemuliaan ‘Syeikh Nuruddin’, ertinya Tuan Syeikh Cahaya Agama. ‘Ar-Rafani’ ertinya orang Rapang, sebuah kota kecil di pedalaman Bugis iaitu kira-kira 40 km dari Kota Parepare sekarang, demikian menurut Buya Hamka.
Kalau benar apa yang ditulis oleh Buya Hamka itu bahawa murid Syeikh Yusuf itu adalah buta, ia merupakan suatu perkara yang aneh pada zaman itu kerana orang yang dikatakan buta itu juga meninggalkan karangan, sebuah kitab sufi yang berjudul Daqaiqul Asrar.

Sungguhpun demikian pada zaman kita sekarang tidaklah menjadi aneh lagi kerana dalam sejarah memang terdapat beberapa orang pengarang Islam yang matanya buta. Bahkan orang yang buta ramai yang berfungsi menjalankan pelbagai aktiviti untuk kepentingan hidupnya dan memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat.

Khalifah Khalwatiyah

Setelah kita menyemak karangan Buya Hamka seperti tertera di atas, untuk penyelidikan lanjut kita semak pula tulisan Bapak Abu Hamid dalam buku Syeikh Yusuf Makassar Seorang Ulama, Sufi dan Pejuang. Beliau menulis: “Sumber-sumber lontarak pula menyebutkan bahawa yang sudah ikut dalam jajaran ulama tasawuf membuka pengajian dalam Masjid al-Haram.
“Ia dikenal sebagai Ulama Jawi dan beberapa jemaah haji dari Indonesia (Hindia Belanda) pernah berguru padanya. Seorang muridnya dari Sulawesi Selatan yang bernama Abdul Fathi Abdul Bashir adh-Dharir pernah berguru kepadanya di Mekah dan bertemu lagi di Banten, kemudian diberi lagi amanah dan sebagai ‘khalifah’ untuk menyebarkan tarekat Khalwatiyah di Sulawesi Selatan.”

Abdul Bashir lebih dikenal dengan gelaran Tuang Rappang I Wodi, sedangkan di Gowa sering disebut sehetta (syeikh kita) (hlm. 94). Pada halaman lain Bapak Abu Hamid menulis, “Tuang Rappang dikahwinkan oleh Syeikh Yusuf dengan seorang gadis Banten.”

Tuang Rappang merupakan seorang buta, dia mencintai isterinya dan dicintai pula. Perjalanannya kembali ke Gowa bersama isterinya memakai sebuah perahu kecil, sesudah dia diberi ijazah tarekat dan amanah untuk mengajarkan Thariqat Khalwatiyah di Gowa oleh Syeikh Yusuf (hlm. 136). Menurut Bapak Abu Hamid, setelah beberapa tahun Syeikh Abu al-Fathi Abdul Bashir Tuang Rappang mengajar dan menyebarkan Thariqat Khalwatiyah, beliau mengangkat pula seorang guru, Abdul Qadir Karaeng Majanng, Mangkubumi Kerajaan Gowa pada masa Raja I Mallawagau, Sultan Abdul Khaer (1735 - 1737 M). Menurut Bapak Abu Hamid juga menyebut bahawa Khalifah Khalwatiyah dilanjutkan kepada Muhammad Abdul Wahid ibnu Abdul Ghaffar al-Makassari.

Bapak Abu Hamid membahagi dua aliran Thariqat Khalwatiyah di Sulawesi Selatan. Yang pertama ialah Thariqat Khalwatiyah Yusuf yang disebarkan oleh Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri, murid Syeikh Muhammad Yusuf Abul Muhasim ibnu Abdullah Khaidir Tajul Khalwati al-Makassari, wafat tahun 1699 M (hlm. 52). Yang beliau maksudkan dengan Abdullah Khaidir ialah ayah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati.

Sekian banyak buku mengenai ulama tersebut tetapi yang mengukuhkan, membahas dan banyak menyebut nama ayah Syeikh Yusuf ialah Abdullah Khaidir hanya Bapak Abu Hamid. Maklumat ini juga satu penyelesaian kebuntuan ilmiah yang berjalan sudah begitu lama. Selanjutnya Bapak Abu Hamid menyebut bahawa “Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri, lazim disebut Tuang Rappang.”

Satu lagi ialah Thariqat Khalwatiyah Samman yang disebarkan oleh Syeikh Abdul Munir Syamsul Arifin, murid Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Thariqat Khalwatiyah Samman mulai masuk di Sulawesi Selatan tahun 1204 H/1820 M (hlm. 51-52). Di sini juga perlu diperbetulkan. Tahun 1204 H adalah bersamaan tahun 1789 M ataupun 1790 M.
Thariqat Khalwatiyah-Sammaniyah dipelopori oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Karim as-Sammani, guru kepada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Mengenai ini dapat dirujuk kepada karya-karya ulama yang berasal dari Palembang itu.

Penulisan

Syeikh Abdul Bashir Adh-Dhariri kemungkinan menghasilkan beberapa buah karangan tentang ilmu tasawuf, tetapi dalam koleksi saya hanya terdapat sebuah. Yang ada pada saya masih dalam bentuk salinan manuskrip, ditulis dalam bahasa Arab. Judul lengkapnya ialah Daqaiq al-Asrar fi Tahqiq Qawa'id as-Sirriyah. Nama penyalin ialah Abu Bakar, Khatib Bone, yang berkedudukan di Negeri Palakka. Selesai melakukan penyalinan pada waktu Dhuha, hari Rabu, 9 Zulkaedah 1233 H/10 September 1818 M.

Asy-Syeikh Abu al-Fath Abu Yahya Abdul Bashir adh-Dhariri menjelaskan bahawa dikarangnya kitab itu adalah sebagai peringatan atas putera saudaranya yang dikatakan mempunyai kemegahan, yang mempunyai keagungan namanya ialah Sultan Idris al-Mudarris al-Buni (Bone, Bugis).

Pada pembukaan kitab pengarangnya menyebutkan bahawa kitabnya itu membicarakan tentang “tawajjuh, muraqabah, musyahadah, muhadharah dan mu’ayanah” iaitu jalan bagi Ahlillah al-‘Arifin daripada golongan Ahlil Kasyaf dan Zauq. Beliau menjelaskan pula tentang beberapa kalimat pada kadar yang mudah bagi menghampirkan kefahaman dan menghuraikan isyarat-isyarat dan menjelaskan ibarat-ibarat.

Pertama sekali yang dibicarakan ialah tentang istilah ‘tawajjuh’. Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menggunakan hujah ayat al-Quran, yang maksudnya bahawa “Maka di mana saja kamu memalingkan pandangan maka di sana kamu mengenali Allah.” Beliau beri pengertian, yang terjemahan maksudnya, adalah “Wajib kamu i'tiqadkan firman tersebut, bahawa Allah Taala berada di mana saja kamu hadapkan mukamu, sama saja sama ada kamu berasa dekat kepada-Nya dan kamu menjauhkan diri daripada-Nya.”

Sesudah memberi pengertian tentang ‘muraqabah’ dan ‘musyahadah’, Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menjelaskan pengertian ‘muhadharah’. Menurut beliau, “Kehadiran hati (qalbi, pen:) pada Hadhrat Allah Azza Wa Jalla pada pandangan syuhud dan wijdannya dengan terangkat hijab. Ketika itu tiadalah hijab (satu dinding, pen:) yang mengantarai antaranya dan Allah.”

Dilanjutkan pula dengan ‘mu’ayanah’ yang ditakrifkan “Fana seseorang hamba akan dirinya, sifatnya, perbuatannya, dan semua hal-halnya kerana nyata Allah Taala atasnya dan telah sebati dengan tajalli baginya.”

Yang dimaksudkan dengan kalimat ini pada pandangan ahli akidah yang bukan sufi adalah benar-benar kenal kepada Allah dengan memperhatikan alam yang dijadikan oleh Allah. Tidak kecuali sama ada alam sufliyi mahupun alam 'alawiyi. Sama ada alam shaghir (alam kecil) mahupun alam kabir (alam besar).

Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menyambung kalimat di atas bahawa “Maka pada ketika itu, tiadalah ia memandang di mana, tiada dari mana, tiada bila, dan tiada kepada....” Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menyebut perkataan ahli sufi yang demikian akan beliau bicarakan pada waktu yang lain.

Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri menegaskan bahawa “Tiada sempurna sembahyang seseorang melainkan dengan ilmu, ma’rifah, dan i’tiqad yang tsabit pada zahir dan batin.”
Ditegaskan lagi bahawa “Sesungguhnya semata-mata berpegang dengan zahir sahaja adalah hampa dan kurang pahala. Dan semata-mata berpegang dengan batin adalah batal, tiada sah.”
Masih dalam bahasan bahagian ini, Syeikh Abdul Bashir adh-Dhariri memberi perbandingan bahawa “Sebagaimana manusia, tiadalah dinamakan manusia, melainkan dengan roh. Tiadalah semata-mata jasad dengan ketiadaan roh. Demikian sebaliknya tiadalah semata-mata roh saja tanpa jasad. Kesempurnaan salah satu daripada kedua-duanya dengan ada yang lain. Dan kekurangan salah satu daripada keduaduanya dengan ketiadaan yang lain. Demikianlah sembahyang jika semata-mata zahir adalah seperti qias manusia berdiri ataupun duduk ketiadaan roh.

Kandungan kitab Daqaiq al-Asrar adalah sangat mendalam, selain yang tersebut di atas ia juga membicarakan percakapan antara hamba dengan Allah ketika membaca Al-Fatihah dan hingga selesai sembahyang.

Di dalamnya mengupas juga pembahagian Qiblat ada empat, iaitu pertama dinamakan ‘Qiblat Amal’, kedua ‘Qiblat Ilmi’, ketiga ‘Qiblat Asrar’, dan keempat ‘Qiblat Tawajjuh’. Semuanya dikupas secara mendalam.

Sunday, June 11, 2006

RAJA HAJI

Pahlawan Teragung Nusantara
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MASYARAKAT Melayu masih ramai belum mengetahui bahawa di Melaka ada beberapa orang tokoh dunia Melayu yang terkorban sebagai syuhada kerana membela kemuliaan Islam dan bangsa Melayu.

Mereka sanggup berkorban apa saja, termasuk harta dan nyawa, demi berjuang mengusir penjajah Portugis mahupun Belanda. Di antara sekian ramai yang gugur sebagai syuhada termasuklah seorang ‘ulama’ sufi dunia Melayu yang paling terkenal. Beliau bermakam di Melaka. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang terkorban sebagai syuhada kerana berperang dengan Portugis.

Sejarah yang penting tentang tokoh besar yang syahid fisabilillah di Melaka juga ialah Raja Haji bin Upu Daeng Celak yang terkorban kerana melawan penjajah Belanda. Saya berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Raja Haji inilah yang menjadi topik perbicaraan dalam artikel ini.

Daripada sebelah ayahnya, Raja Haji berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk. Di sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M.

Hubungan dengan ulama

Raja Haji walaupun bukan seorang ulama, namun dibicarakan juga dalam ruangan ini, disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah kerana beliau sempat bergaul dengan beberapa orang ulama. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Saiyid Husein al-Qadri di Mempawah, iaitu guru ayah saudaranya Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril ini mendapat pendidikan Islam yang padu. Gusti Jamiril adalah saudara sepupu Raja Haji, kedua-duanya sempat bergaul. Dengan demikian tata cara pergaulan Islam, sekali gus amalan keilmuan saudara sepupunya itu, berpengaruh terhadap Raja Haji.

Dalam masa yang sama Raja Haji dan Gusti Jamiril sempat belajar kepada Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Beliau ini ialah Mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri. Makam beliau disebut ‘Keramat Pokok Sena’ terletak di Perkuburan Kampung Pedalaman Mempawah. Hubungan Raja Haji dengan Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Husein al-Qadri, Sultan Pontianak yang pertama juga sangat dekat. Saiyid Abdur Rahman al-Qadri ialah suami Utin Cenderamidi bin Upu Daeng Menambon. Faktor kedua, daripada keturunan Raja Haji ramai yang menjadi ulama di antaranya Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal itu. Keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji dan lain-lain.

Gelaran yang disandang

Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana (1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif ‘Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji ialah sebagai Pahlawan Perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Raja Haji pula melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.

Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seumpama Pangeran Diponegoro, Imam Bonjol, dan lain-lain, mereka hanya beroperasi di daratan saja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin, beliau ialah seorang pahlawan maritim saja, tidak banyak pengalaman dalam peperangan di daratan. Kalau ada hanyalah sekitar Sulawesi Selatan.

Kalau kita banding dari segi yang lain pula, bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan lain-lain. Semua yang tersebut berbeza dengan Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter van Braam di Melaka. Pasukan Melayu yang tewas bersama Raja Haji dianggarkan sekitar 500 orang. Sebagaimana pada mukadimah yang telah saya nyatakan, “... Raja Haji bin Upu Daeng Celak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah....”

Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji. Kisah beliau tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta yang tidak dapat ditolak. Oleh itu jika ditinjau dari segi sejarah bererti ‘Raja Haji pahlawan dunia Melayu yang terbesar dan terhebat, bukan Hang Tuah.’

Kejadian aneh

Raja Ali Haji dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, “Syahdan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu. Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

“Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya....” (Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu, hlm. 151)
Pada pandangan saya riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang dicintainya. Perjuangan demikian mencerminkan kerana patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu tulisan Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah yang mengatakan bahawa mayat Raja Haji ditanam tempat kandang babi perlu dipertikaikan dan dibahas secara ilmiah. Tulisan Abdullah Munsyi selengkapnya sebagai berikut, “Sebermula di balik kebun kompeni itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu seorang Raja Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya iaitu keturunan Bugis. Maka isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang memerangi Melaka pada zaman Holanda – maka adalah daripada zaman itu sampai masa ini (maksudnya hingga masa Abdullah Munsyi menulis hikayatnya, pen:) kira-kira lebih sedikit daripada 60 tahun – maka hampir-hampir dapat Melaka olehnya. Maka berkeliling jajahan Melaka dan kampung-kampung semuanya sudah didapatnya melainkan tinggallah Melaka bulat-bulat sahaja yang belum didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa yang ada di dalam Melaka masuk perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling, Cina, Serani masing-masing ada dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka adalah beberapa tahun diperanginya lalu matilah Raja Haji itu dimakan peluru di Tanjung Palas nama tempatnya. Kemudian diambil Holanda mayatnya itu ditanamkan di balik kebun yang tersebut itu. Ada pun khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi. Kemudian ada kira-kira 20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak buah Raja Haji itu dari Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja Inggeris hendak dipindahkannya kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu dibawanyalah pergi....” (Hikayat Abdullah, hlm. 57 - 58)
Riwayat Abdullah Munsyi tentang Raja Haji ditanam di kandang babi adalah sukar diterima disebabkan: Pertama, jauh berbeza dengan yang ditulis oleh Raja Ali Haji seperti tersebut di atas. Kedua, orang yang wafat keadaannya syahid fisabilillah adalah dimuliakan oleh Allah s.w.t.. Dalam al-Quran disebutkan bahawa “orang-orang yang mati syahid adalah tidak mati, dalam kubur mereka diberi rezeki.” Dalam hadis Nabi s.a.w. pula sangat banyak menyebutkan kelebihan orang yang mati syahid. Pandangan saya ini bukan bererti menuduh Abdullah Munsyi telah melakukan pembohongan dalam tulisannya, kerana beliau sendiri menyebut pada awal kalimatnya, “Ada pun khabarnya yang kudengar”. Oleh itu pelbagai andaian boleh dibuat. Yang pertama, boleh jadi khabar yang didengar itu sengaja diproses oleh pembohong-pembohong daripada kalangan penguasa penjajah ketika itu untuk menghapuskan kebangkitan jihad orang-orang Melayu Islam yang tidak suka negerinya dijajah oleh golongan yang bukan Islam. Kedua, kemungkinan tekanan kuasa penjajah memaksa supaya Abdullah Munsyi menulis sedemikian. Oleh itu kita perlu berfikir dan teliti setiap kalimat dan perkataan yang ditulisnya.

Selain itu jika kita berfikir secara kritis dan membuat analisis secara bebas, khusus pada konteks di atas, memang banyak kalimat ataupun perkataan demi perkataan Abdullah Munsyi mengandung unsur-unsur politik yang menguntungkan pihak penjajah pada zamannya. Sebagai contoh, walaupun Abdullah Munsyi mengakui bahawa Raja Haji adalah seorang Raja Melayu, namun pada sambungan kalimat Abdullah Munsyi menyebut pula bahawa asal Raja Haji adalah keturunan Bugis. Kenapa Abdullah Munsyi tidak menyebut Raja Haji dari sebelah ibunya adalah keturunan Melayu. Di sini dapat diduga, jika disebut Raja Haji orang Melayu semangat orang Melayu untuk berpihak kepada Raja Haji sukar dipadamkan.