Monday, June 26, 2006

SYEIKH SYIHABUDDIN AL-JAWI

Ulama Palembang atau Pahang?
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

PADA 20 Rabiulakhir 1427 H/18 Mei 2006 diadakan ‘Seminar Tasawuf Mencari Permata Yang Hilang’ di dewan kediaman rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kuantan. Seminar tersebut dianjurkan oleh Kolej IKIP dan Yayasan Pahang. Empat kertas kerja dibentangkan. Kertas kerja yang saya tulis mengawali pembentangan pada sesi pagi. Seminar itu dirasmikan oleh Adnan. Tanpa saya duga beliau ialah seorang yang rajin membaca termasuk tentang tasawuf. Beliau termasuk peminat Buya Hamka, sehingga dalam ucapan perasmian itu beliau banyak memetik Tasawuf Moden dan berkali-kali menyebut nama ulama besar yang terkenal itu.

Pada waktu rehat, saya sempat berbual agak panjang dengan Adnan. Katanya, sejak kecil lagi beliau telah mengumpul dan mempelajari buku-buku karangan Buya Hamka. Saya simpulkan memang ramai peminat Buya Hamka termasuk saya sendiri. Hamka juga seorang tokoh tajdid yang tidak menolak ajaran tasawuf. Tidak dapat dinafikan ramai tokoh lain berfikir positif dan langkah itu wajar kerana tasawuf adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam. Sebaliknya tidak kurang pula orang yang berfikir negatif dan tiada wajar serta tanpa mempelajari dengan teliti telah menuduh tasawuf sebagai sebahagian daripada ajaran sesat.

Kertas kerja tentang tasawuf yang saya bentangkan di Kuantan itu berkisar kepada dua tokoh saja iaitu Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjar. Artikel ini pula menceritakan riwayat Syeikh Syihabuddin, yang beliau ini lebih dulu muncul daripada kedua-dua ulama tersebut.

Manuskrip

Pada zaman yang sama ada dua orang yang bernama Syeikh Syihabuddin, atau orang yang bernama sama. Seorang menjalankan aktiviti di Palembang di Sumatera Selatan dan seorang lagi di Pahang. Ulama yang diambil data dalam artikel ini adalah berdasarkan sebuah manuskrip, namun masih tidak jelas sama ada Syeikh Syihabuddin Palembang ataupun Syeikh Syihabuddin Pahang. Dalam manuskrip, beliau hanya menyebut tinggal di ‘Jawi’ tanpa menyebut dari tempat mana beliau berasal. Nama lengkap dalam manuskrip ialah as-Syeikh Syihabuddin al-Haji ibnu Abdullah Muhammad al-Jawi.

Artikel ini saya lebih memfokuskan tentang tasawuf yang bersumber daripada karya ulama Syeikh Syihabuddin al-Haji. Oleh itu, bahasan pertikaian pendapat tentang beliau berasal dari Palembang ataupun Pahang saya tinggalkan saja.

Manuskrip koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM) yang diberi nombor kelas MS 1522 dikenali dengan judul lengkap Syarh Akidah al-Iman. Ia ditulis sendiri oleh Syeikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah Muhammad al-Jawi. Kitab itu diselesaikan pada hari Ahad, 7 Jamadilawal 1162 H, bersamaan tarikh yang disesuaikan oleh PMM-PNM iaitu 24 April 1748. MS 1522 tersebut adalah salinan Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu. Selesai penyalinan pada hari Jumaat, 16 Rabiulawal 1260 H, persamaan tarikh yang disesuaikan oleh pihak Pusat Manuskrip Melayu Malaysia (PMM-PNM) pada 5 April 1844. Jarak waktu dari tulisan asli hingga penyalinan adalah selama hampir 100 tahun.
Pada mukadimah kitab, Syeikh Syihabuddin al-Haji menulis, “kemudian daripada itu, maka inilah suatu syarah yang lathif atas mukhtasar Jauhar Tauhid namanya, bagi Syeikh yang fadhil, lagi alim, Ibrahim Laqani nauwarallahu dharihahu. Dan ku namai ia akan Syarh Akidah al-Iman di dalam Syarah Jauhar Tauhid, halnya aku ibaratkan dengan bahasa Jawi supaya mudah bagi orang yang mubtadi di dalam agama.”

Sebagaimana telah disebutkan bahawa tidak terdapat nama negeri Jawi yang mana dalam manuskrip karyanya, yang ada dinyatakan selain nama diri dan ‘al-Jawi’ hanyalah mazhabnya, iaitu Mazhab Syafie. Sesudah itu ialah ada empat jenis tarekat yang diamalkannya iaitu Syathariyah, Naqsyabandiyah, Rifaiyah dan Qadiriyah. Tiga tarekat di antaranya, kecuali Tarekat Rifaiyah, memang ramai diamalkan oleh ulama dunia Melayu tetapi Tarekat Rifaiyah barangkali ramai juga ulama kita yang mengamalkannya cuma mereka tidak pernah mengisytiharkan mengenainya pada karya-karya mereka. Satu-satunya karya yang pengarangnya mengaku secara terang bahawa dia pengamal Tarekat Rifaiyah ialah Syeikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah Muhammad al-Jawi yang diriwayatkan ini.

Dalam naskhah MS 1522 dengan jelas Syeikh Syihabuddin al-Haji mengakui beliau penganut Mazhab Syafie, iaitu mazhab itu yang dominan dianuti oleh semua ulama dunia Melayu sejak zaman dahulu. Bahkan hingga ke zaman kita sekarang ini. Kemudian beliau mengakui pula bahawa beliau ialah pengamal keempat-empat tarekat yang disebutkan. Ada pun Tarekat Syathariyah diakui dikembangkan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh yang kemudian disebarkan oleh murid-muridnya di seluruh dunia Melayu. Memerhatikan tahun kemunculan karya Syeikh Syihabuddin al-Haji, 1162 H/1748 M, sekurang-kurangnya beliau peringkat cucu murid saja daripada Syeikh Abdur Rauf, dan ada kemungkinan termasuk murid ulama besar yang berasal dari Aceh itu.

Kemudian Syeikh Syihabuddin al-Haji mengakui beliau pengamal Tarekat Naqsyabandiyah. Mengenai tarekat ini kurang jelas siapakah peringkat awal ulama dunia Melayu yang paling gigih selaku penyebarnya. Hanya sedikit maklumat diriwayatkan bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi (Makasar) ialah salah seorang pengamal Tarekat Naqsyabandiyah peringkat awal dunia Melayu. Tetapi oleh sebab masa-masa hidupnya lebih lama di negeri buangan, di Sri Lanka dan Afrika Selatan, maka sukar dipastikan adakah beliau yang paling berjasa dalam penyebaran Tarekat Naqsyabandiyah di dunia Melayu.

Oleh itu, kedudukan Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi dalam penyebaran Tarekat Naqsyabandiyah di dunia Melayu adalah sama dengan Syeikh Syihabuddin al-Haji, iaitu belum begitu jelas sistem penyebaran yang dilakukannya. Dapat dikatakan ulama yang sezaman dengan Syeikh Syihabuddin al-Haji yang mengamal pelbagai tarekat termasuk Tarekat Naqsyabandiyah ialah Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani.

Dalam Salasilah Tarekat Naqsyabandiyah, Ali bin Sulaiman Kampung Kuala Mempawah disebutkan bahawa ulama Banten itu menerima Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain al-Mazjaji di Mekah. Ulama Banten ini memulakan aktiviti penulisan mulai tahun 1112 H/1700 M sampai 1173 H/1760 M. Oleh sebab Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani hidup sezaman dengan Syeikh Syihabuddin al-Haji ada kemungkinan Syeikh Syihabuddin al-Haji juga menerima Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain al-Mazjaji.

Ada pun mengenai Tarekat Qadiriyah, dipercayai hampir semua ulama yang terdahulu daripada Syeikh Syihabuddin al-Haji mengamalkannya termasuk Syeikh Hamzah al-Fansuri, Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh 'Abdur Rauf al-Fansuri dan ulama-ulama sesudah mereka. Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid al-Bantani pada namanya menyebut beliau adalah ‘Khalifah al-Qadiri’. Walaupun Syeikh Abdur Rauf juga pengamal pelbagai tarekat dan pernah membai'ah Tarekat Naqsyabandiyah kepada muridnya, Tuan Imam Malim Kaya, namun yang diakuinya sebagai khalifah hanya pada Tarekat Qadiriyah.
Tarekat Qadiriyah di dunia Melayu sampai ke kemuncak kejayaan penyebarannya hingga ke zaman Syeikh Ahmad Khatib Sambas, iaitu ulama yang muncul kemudian daripada Syeikh Syihabuddin al-Haji. Ada pun mengenai Tarekat Rifaiyah, tempatnya di dunia Melayu tidak seberapa subur, hanya sedikit ulama kita yang mengamalkannya. Antara yang tidak mengamalkannya termasuklah Syeikh Syihabuddin al-Haji. Ada pun nama Tarekat Rifaiyah adalah dinisbahkan kepada Sayidi Ahmad bin Yahya bin Hazim bin Rifa'ah (lahir tahun 500 H/1107 M, wafat tahun 570 H/1175 M, riwayat lain menyebut wafat tahun 578 H/1182 M). Riwayat hidup ulama sufi tersebut diperkenalkan buat pertama kali dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Hadiqatul Azhar war Rayahin.

Setelah Syeikh Syihabuddin al-Haji selesai membicarakan akidah beliau kemudiannya membahas tentang tasawuf. Menurut Syeikh Syihabuddin al-Haji, “Maka erti tasawuf itu, mengenal sesuatu yang membaiki hati daripada sifat yang mazmumah (tercela, pen:) dan menghias hati dengan sifat mahmudah (terpuji, pen:).” Dengan jelas, konsep ajaran tasawuf yang disebut oleh Syeikh Syihabuddin al-Haji, “selain mengikut akhlak Nabi Muhammad s.a.w. juga mengikut perangai orang-orang yang soleh daripada orang yang dahulu-dahulu daripada sekalian sahabat Nabi dan Auliya' Allah. Dan engkau jauhilah perangai sekalian orang yang bidaah.”

Sangat keras

Syeikh Syihabuddin al-Haji sangat keras terhadap golongan yang hanya mengaku dirinya sampai ke peringkat tinggi dalam tasawuf tetapi sebenarnya adalah suatu pembohongan yang menyalahi akhlak para pengamal tasawuf. Beliau menulis, dan beberapa orang yang ia mendakwa dirinya sampai kepada Makam Ahli al-Khawash, padahal perbuatannya seperti hayawan (haiwan-haiwan atau binatang-binatang, pen:). Hingga berkata orang itu, bahawasanya apabila ia sampai kepada Makam al-Khawash atau Maqam Khawash al-Khawash maka gugurlah dirinya itu daripada ibadah yang bangsa badan, seperti sekalian taklif syarak. Maka itu bidaah yang amat sesat lagi kafir.

Setelah membahas beberapa permasalahan tasawuf, Syeikh Syihabuddin al-Haji bercerita tentang kemujaraban ubat badan dan rohani. Kata beliau, dan apabila engkau telah mengenal akan yang telah tersebut itu, maka engkau mengenal bahawasanya asal segala ubat sakit badan atau yang bangsa hati itu lima perkara. Yang pertama meringankan perutnya daripada makan dan minum, dan mata daripada tidur, dan barang sebagainya. Mengenai yang pertama tersebut Syeikh Syihabuddin al-Haji memberitahu, kata setengah ahli tasawuf bahawasanya syaitan itu berjalan seperti jalan darah. Dan apabila banyak darahnya banyaklah datang masuk syaitan dalam hatinya. Dan banyak darah itu sebab banyak makan, tidur dan minum.
Oleh sebab demikian, meringankan perut dan mata itu setengah daripada ubat akan sekalian yang sakit. Dan kerana itulah berkata sebilangan ahli tasawuf, dan tidak ada barang sesuatu yang terlebih kurang itu dibilang daripada sifat yang mahmudah, melainkan tiga perkara iaitu kurang makan, kurang tidur dan kurang berkata-kata. Dan yang ketiga itu hendaklah bersahabat dengan orang yang menunjuk jalan kepada Allah atau jalan syarak.

3 Comments:

Blogger haajim said...

Assalamualaikum wr.wb,
Alhamdulillah pada Allah dan Rasulnya,dan ucapan ribuan terima kaseh pada enchik yth,Abang Bosa kerna mempamerkan blog tsb, saya ingin berhubung dgn Penulisnya yaitu enchik yth;Wan Mohd. Shaghir Abdullah.Jika berkenan, dapatlah Abang Bosa membantu saya dlm hal ini.Sekali lagi saya ucapan ribuan terima kaseh pada Abang Bosa.
Sekian salam keugamaan dgn ucapan assalamu'alaikum wr.wb.
HaaJim.

11:57 AM  
Blogger Abang Bosa said...

Assalaamualaikum Saudara Haajim,

Artikel yang saya kumpulkan dalam blog saya ni terdapat dari Utusan Malaysia sejak 2004 lagi, tiap hari Isnin. Saudara boleh hubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan Wan Mohd Shaghir.

Tujuan saya mengumpulkan ini ialah untuk mendapatkan satu sumber dari tulisan tulisan berharga oleh Wan Mohd Shaghir ini. Saya bimbang archive Utusan Malaysia sendiri mungkin tidak lama dapat di simpan. Saya mengharapkan usia blog saya ini lama dapat bertahan.

Wassalaam.

Abang Bosa

8:58 PM  
Blogger محمد نوردين نور said...

Alhamdulillah, ada juga yang sudi berkongsi tentang tokoh ulama Tasawuf ini.

Semoga mendapat keredhaan Illahi di dunia dan di akhirat, InsyaAllah.

Jazakallahukhairan kathiira.
nordin

11:54 AM  

Post a Comment

<< Home