ULAMA NUSANTARA

Sunday, October 15, 2006

TOK BENDANG DAYA

Hulubalang Fathani Darus Salam
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TOK Bendang Daya ada dua orang. Tok Bendang Daya yang pertama diriwayatkan dalam artikel ini. Yang seorang lagi adalah anak beliau Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang diriwayatkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 20 Disember 2004.

Nama lengkap Tok Bendang Daya yang pertama ialah Syeikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Zainal Abidin /Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin Ali al-Masyhur al-Laqihi. Beliau lahir tahun 1160 H/1747 M, wafat tahun 1280 H/1863 M, di Kampung Bendang Daya, Patani.

Ayah beliau, Syeikh Wan Muhammad al-Fathani dan beberapa penyebar Islam di Patani sebelum itu adalah ulama dan pembesar kerajaan Patani.
Syeikh Haji Wan Mushthafa pernah menjadi hulubalang Sultan Fathani Darus Salam yang digelar Datuk Panglima Kaya yang juga digelar dengan nama singkat Hulubalang Wan Pa. Gelaran yang masyhur ialah Tok Bendang Daya.

Diriwayatkan beliau juga diberi hak mutlak untuk melantik sultan dan raja-raja dalam Daulah Fathani Darus Salam sebelum kerajaan itu dijajah oleh bangsa Siam. Apabila tua beliau membina Pondok Sena yang dipagari dengan pohon sena yang berjajar-jajar. Maka disebutlah kampung kawasan pondok itu dengan nama Sena Janjar dan kampung bersebelahan dengannya dinamakan Bendang Daya.

Kedua-dua kampung itu adalah dalam kawasan Kampung Sena yang besar dan luas yang dibuka atau diterokai oleh datuk nenek beliau. Tok Bendang Daya al-Fathani meninggal dunia semasa berusia kira-kira 120 tahun. Makam beliau terdapat di Kampung Bendang Daya juga dalam kawasan Kampung Sena.

Beberapa perkara penting yang dapat kita pelajari daripada kisah tokoh besar ini, sekurang-kurangnya menyentuh tentang seorang ulama yang menjadi panglima dalam sistem Daulah Fathani Darus Salam. Penglibatan beberapa ulama dalam perang melawan pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah, sistem pengajian pondok yang pertama paling ramai pelajarnya di dunia Melayu dan terakhir sekali cerita Lailatul Qadar. Semuanya tidak dapat dibicarakan dengan khusus, ada yang dapat dibicarakan di sini, ada pula terpaksa ditinggalkan atau dipotong kisahnya kerana sebab-sebab tertentu.

Perang

Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tercatat sekelumit kisah tentang penglibatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu perang besar ketika pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama ahli sufi penyusun kitab Siyar as-Salikin itu dinyatakan ghaib (hilang) atau pun syahid dalam perang itu (1244 H/1828 M). Daripada pelbagai sumber yang saya kumpulkan bahawa panglima perang Patani dalam perang itu ialah Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya). Sebuah manuskrip yang saya peroleh di Pontianak disebut pula yang ikut dalam perang itu ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Oleh sebab laporan di antara orang yang ikut dalam perang itu ada yang hijrah ke Pontianak, maka dalam manuskrip itu tercatatlah bahawa ketiga-tiga ulama besar dunia Melayu itu syahid di bumi Patani.

Mengenai kisah yang panjang belum perlu saya bahas, yang perlu saya sentuh ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disangka syahid adalah hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah bukan bererti lari daripada jihad. Tetapi menyusun strategi untuk kemenangan rangka panjang. Kerana kemenangan rangka pendek belum dapat dipastikan.
Tok Bendang Daya pula mengambil sikap tidak meninggalkan bumi Patani. Hidup atau mati yang bercorak bagaimana pun mestilah di bumi Patani juga. Walau bagaimanapun taktik dan strategi perjuangan perlu disusun secara kemas dan rapi. Sekiranya belum dapat kemenangan, selagi nafas dikandung badan, selagi bulan dan matahari terbit dan terbenam, selagi dunia belum kiamat, janji untuk diri sendiri dan titipan wasiat kepada umat Melayu Patani, perjuangan mempertahankan Islam dan negara adalah wajib diteruskan.

Perjuangan kedua-dua ulama Patani itu akan diketahui sepanjang zaman, tidak akan hilang dari sejarah perkembangan tamadun bangsa Melayu dan Islam buat selama-lama. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berjuang dari segi penulisan pelbagai ilmu dalam Islam. Termasuk juga Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang diselamatkannya melalui penyalinan. Tok Bendang Daya pula, supaya beliau tidak dapat dikesan oleh musuh-musuh, telah menyamar sebagai orang bodoh, tidak tahu sesuatu apa pun.

Tok Bendang Daya faham di tempat mana beliau berada, oleh itu pada ketika yang lain beliau menjadi seorang sufi, seolah-olah seorang yang tidak perlu kepada kepentingan duniawi. Tetapi secara sangat rahsia Tok Bendang Daya memantap dan menghimpunkan kembali saki baki pejuang-pejuang Islam bangsa Melayu terutama orang-orang Kedah dan Patani yang setia kepadanya.

Riwayat ini masih belum lengkap jika tidak memberi sedikit gambaran tentang kehebatan Tok Bendang Daya semasa perang. Oleh itu amanah dari periwayat perlu juga dipindahkan ke dalam bentuk tulisan tersebar ini. Diriwayatkan bahawa Tok Bendang Daya menyertai perang pencerobohan Siam terhadap Patani yang terjadi tahun 1235 H/1820 M hinggalah perang tahun 1244 H/1828 M.

Sungguhpun umur beliau ketika itu sangat tua, namun tetap masih gagah, tangkas dan berwibawa. Selain mampu menyusun taktik pertahanan dan taktik penyerangan, Tok Bendang Daya juga ada ketahanan menghadang pelbagai jenis senjata termasuk peluru meriam yang ada pada zaman itu.

Berkali-kali beliau kena tembak dengan meriam, tetapi ada satu keanehan bahawa apa jua jenis peluru menjadi jinak dan lunak kepadanya. Peluru yang sampai kepadanya hanya melekat pada bahagian pakaiannya tidak gugur ke tanah, tidak pula menembusi hingga kepada kulit, apatah lagi masuk hingga ke daging.

Selepas pulang dari sesuatu peperangan, peluru-peluru yang melekat pada pakaian barulah dibuang dengan jalan mengibas-ngibaskan pakaian itu. (Sumber cerita dari Tuan Guru Haji Muhammad bin Yusuf, salah seorang buyut Tok Bendang Daya, juga didengar dari Tuan Guru Haji Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Ibu beliau, cucu Tok Bendang Daya sempat saya jumpa di Mekah, 1979, ketika itu berumur lebih 100 tahun namun beberapa maklumat dapat saya sahihkan kepada beliau).

Ada orang bertanya, ilmu dan amalan apa yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya sehingga berkemampuan demikian?

Agama Islam adalah sangat luas dalam pelbagai hal. Apabila kita akan menceburi diri di dalam sesuatu perkara perlulah belajar ilmu apa saja yang ada hubungan dengan perkara itu. Jika menghadapi peperangan seperti Tok Bendang Daya perlulah belajar pelbagai sektor ilmu tentang peperangan. Nabi Muhammad s.a.w ketika berperang juga menggunakan pelbagai cara termasuk dengan doa-doa tertentu.

Saya tidak pasti doa khusus yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya untuk ketahanan diri ketika dalam perang, namun walau bagaimana pun berdasarkan catatan anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, bahawa Tok Bendang Daya mengamalkan surah al-Ikhlas, yang dibaca beribu-ribu kali serta dengan doanya.

Lailatul Qadar

Pada hari ini, 23 Ramadan 1427 H, yang mana kita ketahui, ramai orang yang berjaga malam, tertunggu-tunggu untuk mendapatkan pahala ibadat, lebih baik daripada 1,000 bulan, seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu Lailatul Qadar. Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan berjaya bertemu malam yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan itu.

Di antara ulama yang bertemu dengan Lailatul Qadar itu ialah Tok Bendang Daya dan anak beliau Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya ke-II).

Riwayat Tok Bendang Daya bertemu Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya hampir semua rakyat Patani pernah mendengarnya. Ceritanya tersebar sejak dulu hingga sekarang ini. Walau bagaimana pun semuanya adalah cerita lisan, tidak terdapat satu pun dalam bentuk tulisan. Yang berupa catatan bertulis yang saya mulakan, tahun 1970. Saya dengar, saya tanya dan saya catat dari Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Yang saya ketahui bahawa Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi ketika catatan saya lakukan adalah merupakan satu-satunya cicit Tok Bendang Daya yang tertua, yang teralim dan yang paling mengetahui hampir semua aspek sejarah keluarga yang dibicarakan ini.

Selama sebulan, dalam bulan Ramadan 1390 H/November 1970 saya bersama beliau telah men ziarah Makam Tok Bendang Daya. Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi bercerita sebagai berikut, “Pada suatu malam, dinihari, bulan Ramadan, sewaktu Tok Bendang Daya akan mengambil air wuduk untuk melakukan solat tahajud tiba-tiba perasaannya berubah, beliau tidak berada di alam nyata. Dalam perasaannya, dilihatnya semua pepohon rebah menghadap ke perigi Bendang Daya. Air perigi tiba-tiba membeku. Sedarlah beliau bahawa peristiwa tersebut kemungkinan yang dinamakan Lailatul Qadar.”

Tok Bendang Daya kemudian berdoa mohon kepada Allah pada malam yang berkat itu agar empat anak lelakinya menjadi ulama dan setiap salah seorang daripada empat orang anaknya itu ada yang jadi ulama yang bersambung terus hingga ke hari kiamat. Keempat-empat anak beliau itu ialah Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Disingkatkan namanya menjadi Syeikh Muhammad Zain al-Fathani atau dikenal dengan sebutan Tuan Guru Wan Din al-Fathani. Anak Tok Bendang Daya yang kedua bernama Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, beliau inilah yang digelar dengan Tok Bendang Daya yang kedua. Anak Tok Bendang Daya yang ketiga bernama Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang menyebarkan Islam di Bangkok. Dan anak Tok Bendang Daya yang keempat ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani yang lebih dikenal dengan sebutan Tok Cik Wan Daud al-Fathani, beliau mengajar di Mekah, di rumahnya dan di Masjidil Haram, Mekah.

Kisah anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II), juga bertemu Lailatul Qadar di tempat yang sama, saya tinggalkan saja, namun perlu saya nyatakan bahawa apa yang dialami oleh kedua-duanya adalah berbeza. Saya belum mencatat secara terperinci berapa orang ulama dunia Melayu yang diriwayatkan pernah bertemu Lailatul Qadar, tetapi yang pasti bilangannya ramai. Antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Di dalam beberapa kitab diriwayatkan ramai ulama Islam yang terkenal seperti Imam Syafie, Abi Yazid al-Bistami dan lain-lain, juga pernah bertemu Lailatul Qadar dengan pengalaman yang berbeza-beza pula.

Friday, October 06, 2006

SYEIKH ABDUR RAUF AL-BANTANI

Khalifah Tarekat Qadiriyah
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ULAMA yang berasal dari Banten pada judul di atas, namanya pertama kali saya sebut dalam Pengenalan siri ke-7 dan yang lebih lengkap dalam siri ke-9. Oleh sebab terdapat riwayat-riwayat baru dan dijumpai sebuah manuskrip yang belum saya sebut dalam tulisan terdahulu maka profil beliau saya bentangkan dalam kertas kerja Peranan Para Ulama Tasawuf di Nusantara pada Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara pada 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kusza, Kuala Terengganu, Terengganu.
Program itu adalah anjuran Persatuan Pelajar Usuluddin (PPUS) Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

Artikel ini adalah penambahan beberapa maklumat yang belum dibicarakan sebelum ini. Antara maklumat terkini ialah penemuan beberapa manuskrip yang ada hubungan dengan beliau, sebuah daripada tulisan tangan beliau sendiri tentang Tarekat Syathariyah. Sebuah sumber lagi manuskrip tulisan keturunan murid beliau bernama Ali bin Sulaiman tentang Tarekat Naqsyabandiyah.

Berdasarkan semua karya Syeikh Haji Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani yang ada pada saya, dapat diambil beberapa kesimpulan. Pertama, beliau mengembara bermula di Banten, Jawa Barat, Aceh, Yaman, Mekah dan negeri Syam. Antara guru yang beliau sebut sama ada beliau sempat berguru dengannya ataupun guru kepada gurunya ialah Syeikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, Syeikh Muhammad Zain al-Mazjaji dan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi. Syeikh Haji Abdur Rauf al-Bantani menulis bahawa dua tahun (1160 H/1747 M dan 1161 H/ 1748 M) beliau menjadi khadam dua Wali Allah di Mekah. Salah seorang bernama Syeikh Muhammad ath-Thabari (wafat 1163 H/1749 M) dan Syeikh Ibrahim bin Syeikh Thahir al-Kurdi al-Madani.

Penulisan

Manuskrip karya-karya Syeikh Haji Abdur Rauf yang telah dijumpai ialah: 1. Manuskrip Risalah fi Bayan Ilmin Nafas, salinan diselesaikan tahun 1112 H/1700 M. Oleh sebab salinan ini diselesaikan tidak sampai dua tahun setelah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati wafat (1110 H/1699 M), dapat disimpulkan bahawa Syeikh Haji Abdur Rauf sempat berjumpa dengan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati. Kandungannya merupakan pengajaran ilmu perjalanan nafas yang terdiri daripada nafas, anfas, tanaffus, dan nufus. Ilmu yang dibicarakan adalah termasuk dalam bahagian ilmu tasawuf dan tarekat.
2. Risalah Bayan al-Izalah al-Khawathir, diselesaikan pada waktu Asar, hari Rabu, 3 Jamadilawal 1154 H/1741 M.
3. Masalah Yang Dikarang Oleh 'Arif Billah diselesaikan malam Khamis, enam likur, Rabiulakhir 1214 H/1799 M. Manuskrip yang diperoleh hanyalah salinan oleh Ahmad Terengganu ibnu Idris. Kandungannya membicarakan tasawuf tingkat tinggi atau tasawuf falsafah. Dimulai daripada perbicaraan sifat-sifat Allah dilanjutkan tentang perbicaraan roh. Disebutkan asal ilmu ini ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, turun daripada Haji Abdul Muhyuddin Karang Pamijahan turun daripada Syeikh 'Abdur Rauf al-Asyi. Pada bahagian akhir risalah dinyatakan, “... ini kami mengambil risalah ini karangan Syeikh Masyaikh segala Jawi, iaitu Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkel nama kampungnya.”
4. Risalah Isyarah Haqiqah, tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan.
5. Risalah Yang Menghimpunkan Masalah Yang Dikarang Ahli Tasawuf Arif Billah tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan.
6. Mukhtasar Tasnif Syaikh Masyaikh Yang Kamil Mukammil Syeikh Abdur Rauf Ibnu Ali tidak dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan petikan dan ringkasan karangan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang membicarakan tanda-tanda untuk mengetahui kematian serta tatacara melakukan zikir.
7. Risalah Tarekat asy-Syathariyah tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan. Manuskrip ini saya peroleh pada 27 Ramadan 1426 H/30 Oktober 2005 M. Oleh sebab banyak terdapat perkara baru dalam manuskrip ini, yang selama ini masih belum diketahui, maka ia perlu dibicarakan agak panjang.

Maklumat sebelum ini yang diketahui ialah Syeikh Abdur Rauf ialah pengamal Tarekat Qadiriyah, bahkan pada hujung nama beliau digelar sebagai Khalifah Qadiriyah. Setelah ditemui Risalah Thariqatisy Syathariyah dapat diketahui beliau juga pengamal Tarekat Syathariyah. Sungguhpun risalah yang dibicarakan ini mengenai Tarekat Syathariyah, namun pada permulaan kalimat beliau tetap memakai nama lengkap dengan Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiriyi al-Bantani dan tidak memakai nama sebagai Khalifah asy-Syathariyi.

Syeikh Abdur Rauf menyebut bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah daripada Wali Allah Syeikh Ibrahim bin Syeikh Thahir al-Madani. Selanjutnya beliau berkata, Syeikh Thahir al-Madani menerimanya daripada Syeikh Hasan al-Ajami. Syeikh Hasan al-Ajami menerima daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Yang perlu diperhatikan dalam salasilah ini ialah nama Syeikh Thahir al-Madani, ayah beliau ini ialah Syeikh Ibrahim bin Hasan bin Syihabuddin al-Kurdi al-Kurani (wafat 1101 H/1689 M).

Salasilah

Kebanyakan salasilah yang diketahui Syeikh Ibrahim bin Hasan bin Syihabuddin al-Kurdi al-Kurani inilah murid Syeikh Ahmad al-Qusyasyi yang paling terkenal, tetapi dalam salasilah di atas disebut pula Syeikh Hasan al-Ajami. Berdasarkan maklumat ini bererti Syeikh Thahir al-Madani telah menerima Tarekat Syathariyah daripada ayah beliau sendiri, iaitu Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani, seperti disebut dalam kebanyakan salasilah dan beliau menerima pula daripada Syeikh Hasan al-Ajami.

Syeikh Hasan al-Ajami dan Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani kedua-duanya adalah murid pada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, kedua-duanya adalah guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ini adalah guru kepada Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Ku Pulau Manis), dan lain-lain. Anak Syeikh Thahir al-Madani ialah Syeikh Muhammad Sa'id Thahir. Anak Syeikh Muhammad Sa'id Thahir bernama Syeikh Muhammad As'ad. Syeikh Muhammad As'ad inilah yang membaiah Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Abdur Rauf juga seorang ahli dalam Tarekat Naqsyabandiyah. Salasilah beliau mengenai tarekat ini adalah berdasarkan tulisan keturunan murid beliau bernama Ali bin Sulaiman Kuala Mempawah dalam karya berjudul Ilmu Akidah yang disiapkan pada hari Ahad, bulan Jamadilakhir 1298 H/Mei 1881 M. Diterangkan bahawa Ali bin Sulaiman Kuala Mempawah belajar kepada Tuan Haji Sulaiman. Tuan Haji Sulaiman belajar kepada Tuan Imam Malim Kaya. Tuan Imam Malim Kaya inilah murid Syeikh Abdur Rauf. Syeikh Abdur Rauf dibaiah Tarekat Naqsyanbandiyah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain. Beliau ini dibaiah oleh ayahnya sendiri Syeikh Zain al-Mazjaji. Salasilah selengkapnya hingga yang lebih atas saya tinggalkan saja. Ia belum dapat dibicarakan dalam artikel ini.

Sebagai keterangan ringkas salasilah di atas perlu saya sentuh bahawa berdasarkan beberapa bukti, penulisnya Ali bin Sulaiman kemungkinan adik-beradik dengan Syeikh Muhammad Yasin Kedah yang berhijrah dari Kedah ke Kuala Mempawah. Ali adalah anak Tuan Haji Sulaiman yang ada hubungan dengan ulama di Aceh. Oleh itu, gurunya Tuan Imam Malim Kaya adalah ulama yang berasal dari Aceh. Belum dapat dipastikan adakah Tuan Imam Malim Kaya belajar daripada Syeikh Abdur Rauf ketika di Mekah ataupun ulama Banten yang suka mengembara itu pernah sampai ke Aceh.

Ditinjau daripada salasilah Syathariyah, hanya satu tempat yang tersebut saja merupakan maklumat baru, ditinjau daripada huraian kandungan Risalah Thariqatisy Syathariyah memang banyak perkara baru. Kitab-kitab mengenai Tarekat Syathariyah lebih awal ditulis oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, dan yang kemudian ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain dalam bahasa Melayu. Namun beberapa perkara yang masih kurang tersebar yang tidak terdapat dalam karya-karya lain ternyata terdapat dalam Risalah Thariqatisy Syathariyah oleh Syeikh Abdur Rauf yang sedang dibicarakan ini. Masih pada mukadimah lagi, Syeikh Abdur Rauf menyebut, “...Tarekat Syathariyah, tarekat segala Auliya' yang besar-besar.”

Antara perkara yang dihuraikan lebih lengkap daripada naskhah lain seperti pada adab duduk, kata beliau, “Kelima, duduk menghadap kiblat serta bersila. Maka urat lututnya yang kiri disepitnya dengan ibu kaki yang kanan.” Adab yang kesembilan disebutkan Fatihah tawassul dihadiahkan untuk Syeikh Abdur Rauf, tanpa menyebut Syeikh Abdur Rauf yang mana dimaksudnya. Dipercayai adalah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Walaupun salasilah Tarekat Syathariyah, beliau secara lurus tidak menyentuh ulama besar yang berasal dari Aceh itu, namun bertemu Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Sesudah menyebut ahli salasilah tempat tujuan tawassul lalu dinyatakan doa tawassul yang khusus, yang doa tersebut belum dijumpai dalam semua naskhah Tarekat Syathariyah bahasa Melayu. Termasuk adab yang paling penting dalam disiplin tasawuf ialah mematuhi guru. Sangat banyak perkataan gurunya beliau pindahkan ke dalam naskhah Risalah Thariqah asy-Syathariyah. Syeikh Abdur Rauf menulis, “...kata orang ahlillah, dan lagi menyuruh guru kami, yang Kamil Mukammil iaitu Syeikh Ibrahim anak Syeikh Thahir Madinah ar-Rasul kepada fakir....”

Kerana terlalu banyak yang diperkatakan, antara petikannya dilanjutkan dengan tulisan beliau, “...serta yakin kepada guru serta petunjuk, kerana guru ini menunjuk kepada jalan keselamatan. Sebab inilah disuruhkan guru kami. Kerana guru ganti Nabi s.a.w. sebab inilah kita wajib mengikut akan pesuruh-Nya. Dan kata guru kami, “Janganlah engkau lupa dan lalai akan yang disuruh oleh guru, kerana jika durhaka kepada guru, nescaya sesat dengan sesat yang terlalu jauh.”

Syeikh Abdur Rauf menutup Risalah Thariqatisy Syathariyah, dengan katanya, “...jangan engkau lupa dan lalai akan zikir ini, kerana perbuatan segala Auliya' yang besar-besar, kerana jalan kepada Allah s.w.t.. Dan barang siapa tiada gurunya, maka syaitan gurunya. Sebab itulah wajib berguru akan jalan ini. Jangan engkau syak lagi akan hal perbuatan ini, kerana jalan segala Anbiya' dan Auliya' sekali-kali jangan lupa dan lalai kepada Allah. Dan lagi, janganlah lupa dan lalai akan zikir Allah, Allah siang dan malam itulah. Sekalian itu disuruh guru kami kepada fakir yang hina.”

SYEIKH MAHMUD SYARWANI

Dari Mekah Berhijrah ke Nusantara
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TERDAHULU daripada ulama yang dibincangkan dalam rencana ini, ada dua ulama luar yang berjasa menyebarkan Islam di dunia Melayu. Yang diriwayatkan ini adalah yang ketiga.
Ulama ini pula nama lengkapnya ialah Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani. Syeikh Mahmud asy-Syarwani meninggal dunia di Pontianak pada Rabu, pukul 1, 20 Jamadilakhir 1314 H/26 November 1896 M. Dikebumikan pada pagi Khamis, 21 Jamadilakhir 1314 H/27 November 1896 M di Perkuburan Al-Marhum Pangeran Bendahara Syarif Ahmad Al-Qadri Pontianak.

Sebelum meriwayatkan Syeikh Mahmud asy-Syarwani, terlebih dulu kita perlu perhatikan latar belakang hidup ayahnya, iaitu Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani. Beliau sangat terkenal dalam lingkungan Mazhab Syafie di seluruh dunia Islam. Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ialah murid seorang ulama yang sangat terkenal, iaitu Syeikh Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri (1192 H/1783 M - 1277 H/1861 M). Di antara sebab-sebab Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani terkenal adalah kerana beliau menulis sebuah karya yang sangat besar.

Dalam sejarah perkembangan Mazhab Syafie yang mutakhir, wujud dua kitab rujukan yang sangat terkenal. Pertama ialah Tuhfah al-Muhtaj asy-Syarh Minhaj, yang terdiri daripada 10 jilid karya Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami (lahir di Mesir, 909 H/1503 M, wafat di Mekah, 974 H/1567 M). Kedua ialah Nihayah al-Muhtaj ila asy-Syarh Minhaj yang terdiri daripada lapan jilid, juga tebal dan besar karya Imam Ramli (lahir 919 H/1513 M, wafat 1004 H/1596 M).
Kedua-dua kitab dan ulama tersebut bukan sahaja mempunyai pengaruh besar dalam Mazhab Syafie di seluruh dunia termasuk di dunia Melayu. Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani telah memperluaskan kandungan Tuhfah al-Muhtaj asy-Syarh Minhaj karya Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami dengan menulis sebuah hasyiyah. Manuskrip asli Hasyiyah Tuhfah karya Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani pernah dimiliki oleh Syeikh Ahmad al-Fathani (salah seorang murid beliau).

Syeikh Ahmad al-Fathani pernah menulis pentahqiqan Hasyiyah Tuhfah baik yang bersumber daripada manuskrip mahupun daripada kitab yang pernah diterbitkan.
Perlu saya catatkan bahawa Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani selain terkenal dengan Hasyiyah Tuhfah juga termasuk ulama besar di Mekah. Nama beliau selalu disebut-sebut seumpama Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1232 H/1816 M -1304 H/1886 M) dan Syeikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H/1817 M - 1335 H/1917 M). Beberapa ulama dunia Melayu sempat belajar dengan kedua-dua ulama itu dan pada masa yang sama juga belajar daripada Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani.

Sumber penelitian

Khusus mengenai Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani, sumber utama saya adalah daripada salah seorang guru saya, Ustaz Haji Abdul Rani Mahmud (ketika hidup adalah Ketua Majelis Ulama Propinsi Kalimantan Barat). Cerita beliau saya dengar berkali-kali dalam rangka membahaskan kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Hasyiyah Tuhfah. Disebabkan terjadi gerakan Wahabi di Mekah, salah seorang anak Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani yang bernama Syeikh Mahmud asy-Syarwani ad-Daghistani terpaksa berhijrah meninggalkan Mekah. Beliau memilih untuk pergi ke dunia Melayu.

Oleh kerana beliau ialah seorang ulama dan ayahnya memang cukup terkenal, Syeikh Mahmud asy-Syarwani ad-Daghistani mendapat perhatian Sultan Sambas dan Sultan Pontianak. Daripada perkenalan dan persahabatan saya dengan salah seorang keturunan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani, beliau ialah Syeikh Isa asy-Syarwani (meninggal dunia pada 2005), tersingkaplah fenomena riwayat ulama yang sedang dibicarakan ini. Daripada Syeikh Isa asy-Syarwani, saya memperoleh sumber asli berupa dokumen bertulis mengenai Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani dan keturunannya di Pontianak.

Antara surat-surat yang penting sebagai dokumen ialah:
1. Surat daripada Syeikh Mahmud ad-Daghistani bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani ke hadrat Saiyidi asy-Syarif Qasim ibnu al-Marhum Saiyidi asy-Syarif Hasan al-Qadri. Tarikh 23 Jamadilakhir 1310 H.
2. Laporan Satu Upacara Perkahwinan Di Istana Al-Qadriyah Pontianak. Tarikh akhir Zulhijjah 1324 H.
3. Surat Kuasa dan Pengakuan Keturunan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani di Pontianak dan lain-lain.

Maklumat daripada surat-surat di atas secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa semuanya adalah penting. Sekurang-kurangnya ia memberikan pelbagai informasi tentang sejarah, kebudayaan, adat-istiadat, kesenian dan lain-lain. Ada pun surat bertarikh 23 Jamadilakhir 1310 H/12 Disember 1892 M adalah merupakan laporan pelbagai peristiwa di Pontianak dan Sambas. Dimulai laporan pelbagai peristiwa kemasyarakatan pada persekitaran kesempitan dan kesusahan termasuk yang dialami sendiri oleh Syeikh Mahmud Syarwani. Walau bagaimanapun beliau selalu mendapat pertolongan terutama daripada Sultan Sambas.

Kandungan surat tersebut amat menarik. Selain seorang ulama, Syeikh Mahmud Syarwani juga ialah seorang ahli dalam kesenian gambus dan lagu-lagu Arab yang bercorak puji-pujian yang biasa digunakan oleh ahli sufi. Dalam surat diceritakan juga peristiwa di Sambas, bahawa dari Mekah datang seorang Arab ahli seni gambus yang terkenal bernama Syeikh Muhammad Amudi. Oleh sebab salah pengertian, pada mulanya Syeikh Muhammad Amudi tidak dibenarkan mengadakan persembahan seni dan sekali gus tidak dibenarkan tinggal di Sambas.
Peristiwa tersebut mendapat perhatian Syeikh Mahmud Syarwani. Beliau sendiri pergi menghadap Pangeran Bendahara Sambas sehingga Syeikh Muhammad 'Amudi dibenarkan tinggal di Sambas dan dibenarkan pula membuat siri pertunjukan seni gambus itu kepada masyarakat Sambas. Berdasarkan cerita yang termaktub dalam surat itu dapat dipelajari pemikiran Syeikh Mahmud Syarwani. Menurutnya jenis seni ada dua macam. Yang pertama adalah dicela oleh syarak dan kedua yang dibolehkan.

Lagu-lagu yang terdapat dalam permainan gambus iaitu yang bercorak pujian-pujian kepada Allah, selawat dan lain-lain sejenisnya adalah dibolehkan dalam Islam. Demikian juga khalayak yang hadir dan tempat melaksanakannya juga perlu diperhatikan, ertinya bukanlah bebas seperti pertunjukan-pertunjukan yang dilakukan oleh golongan-golongan yang melanggar norma-norma yang digariskan oleh Islam. Syeikh Mahmud Syarwani dan Syeikh Muhammad Amudi, sahabatnya dari Mekah, memperkenalkan gambus bertujuan menseimbangkan pelbagai seni yang ditolak oleh Islam. Dalam surat yang sama Syeikh Mahmud Syarwani dinyatakan berhasrat menyebarkan pelbagai kepandaian di Pontianak yang akan dipusatkan Kampung Melayu, iaitu sebuah kampung yang agak dekat dengan Istana Qadriyah (Istana Sultan Pontianak). Dalam surat dinyatakan bahawa beliau sangat mengasihi zuriat Nabi Muhammad s.a.w., termasuklah keluarga Sultan Pontianak, iaitu keturunan ‘Saiyid’, marga ‘Al-Qadri’. Tulisan Syeikh Mahmud Syarwani menyebut, “Seboleh-bolehnya mahu tetap di Pontianak sahaja, biarlah mati di Pontianak antara anak cucu Rasulullah....”

Dalam suratnya juga, Syeikh Mahmud Syarwani memperhatikan perkembangan dan pembangunan semasa dalam kerajaan Sambas. Beliau meriwayatkan bahawa Sultan Sambas akan menemui Residen di Pontianak yang akan memindahkan pusat pemerintahan ke arah sungai besar yang agak jauh ke Kuala Sungai Sambas.

Dengan langkah itu, Sultan Sambas bermaksud negeri Sambas menjadi ramai dan dua orang putera Sultan Sambas telah membawa dari Eropah fabrik tupu (belum jelas apa yang beliau maksudkan, pen:), fabrik kisaran padi dan lain-lainnya. Daripada bahagian ini dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Mahmud Syarwani juga seperti ulama-ulama lain menerima kebijaksanaan pemerintah dalam melaksanakan pembangunan dan kebajikan.
Walau bagaimanapun, sekiranya dalam pelaksanaan terdapat hal-hal negatif yang merosakkan ajaran Islam dan masyarakat penganutnya maka adalah wajib ulama menasihati. Hal ini sama ada dilakukan dalam bentuk lisan ataupun tulisan.

Surat yang kedua merupakan dokumen kerajaan Pontianak iaitu ‘Laporan Satu Upacara Perkahwinan Di Istana Pontianak’ yang tertulis malam Isnin, pukul 8, tarikh akhir Zulhijjah 1324 H/12 Februari 1907 M. Kandungan ringkasnya adalah laporan salah satu upacara perkahwinan di Istana Sultan Pontianak di Balai Cermin yang dihadiri oleh beberapa pembesar yang terdiri daripada Saiyidi Mufti, sekalian Pangeran Bendahara, Saiyid Ismail, Pangeran Temenggung, Pangeran Jaya, Pangeran Suma, Pangeran Perdana, Pangeran Aria, Pangeran Putra, Pangeran Seri, Pangeran Cakra, Pangeran Jaya, dan jemputan-jemputan kenamaan dan rakyat jelata.

Dari sini dapat diketahui nama-nama pangkat yang digunakan dalam kerajaan Pontianak. Perkahwinan yang dilakukan adalah salah seorang Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak dengan Fatimah, anak seorang ulama besar bernama Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani. Perkahwinan keturunan umara (kesultanan Pontianak) dan keturunan ulama (Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani) yang tersebut bererti menambah keselarasan dan keserasian urusan pentadbiran pemerintahan dan urusan Islam. Dalam surat diceritakan adat istiadat baik sebelum mahupun sesudah perkahwinan secara terperinci.

Surat yang ketiga juga penting iaitu ‘Surat Kuasa dan Pengakuan Keturunan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani’ yang tidak bertarikh. Kandungan ringkas membicarakan tentang pengurusan harta pusaka peninggalan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani di Mekah. Mereka yang bertandatangan ialah cucu-cucu beliau di Pontianak iaitu Muhammad Syarwani, Ahmad Syarwani, Jamilah Syarwani dan Fatimah Syarwani. Yang tidak terdapat namanya ialah Isa Syarwani, kemungkinan sewaktu surat itu ditulis beliau masih kecil.
Ayah mereka yang termaktub dalam surat ialah Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani. Mereka telah memberi kuasa pengurusan kepada Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi. Daripada surat ini dapat kita ketahui betapa eratnya hubungan kekeluargaan ‘az-Zawawi’ dan ‘asy-Syarwani’. Kedua-dua keluarga tersebut telah berperanan dalam pendidikan Islam sejak di Mekah hinggalah mereka berhijrah ke Pontianak.
Ada pun yang dimaksudkan dengan Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah ayah kepada Saiyid Yusoff az-Zawawi yang pernah menjadi Mufti Terengganu (berkhidmat pada 7 April 1953 hingga 31 Disember 1975). Saiyid Abdullah az-Zawawi pula ialah ulama besar yang pernah menjadi Mufti Mekah, kemudian pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak. Riwayatnya dapat dirujuk dalam halaman Agama Utusan Malaysia, Isnin, 1 Mei 2006.

SYEIKH MUHAMMAD ZAIN SIMABUR

Mufti Kerajaan Perak
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SEKURANG-KURANGNYA ada dua ulama yang berasal dari Minangkabau yang berkedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Perak. Yang pertama ialah Syeikh Muhammad Salleh bin Abdullah al-Minankabawi.

Beliau ialah Syeikh al-Islam Perak. Yang kedua ialah Syeikh Muhammad Zain Simabur. Beliau pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Perak. Saya mengakui nama beliau terdapat pada beberapa tulisan namun masih banyak perkara yang belum jelas. Dalam buku Fatwa Dalam Perundangan Islam oleh Othman Haji Ishak, terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1981, ada disebutkan susunan Mufti Kerajaan Perak yang dimulai dengan Daeng Selaili atau Haji Besar yang diberi gelar Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan. Mufti Perak yang kedua ialah Tuan Haji Wan Muhammad, yang berkhidmat pada 1887 hingga 1916. Mufti Kerajaan Perak yang ketiga ialah Tuan Haji Muhammad Zain yang berkhidmat dari 1934 hingga 1940.
Nama Syeikh Muhammad Salleh bin Abdullah al-Minankabawi sebagai Syeikh al-Islam atau Mufti Kerajaan Perak tidak disebut dalam buku di atas. Saya belum mengetahui mengapa nama yang sangat terkenal itu terlepas daripada kajian Othman, pengarang buku di atas. Padahal jika kita baca buku Sejarah Perak oleh Haji Buyong Adil, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, halaman 111, cukup jelas bahawa beliau dilantik oleh Sultan Iskandar menjadi Syeikh al-Islam Perak.

Jika kita semak tulisan di atas, senggang waktu yang begitu lama antara 1917 hingga 1933, bererti kerajaan Perak tidak ada Mufti. Terdahulu daripada ini telah saya tulis bahawa cita-cita Sultan Perak untuk melantik seorang Syeikh al-Islam bermula pada 1922 M. Namun secara rasminya Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi memegang jawatan itu pada 6 Jamadilakhir 1343 H/1 Januari 1925 M (Halaman Agama, Utusan Malaysia, 26 April 2004). Dengan demikian, bererti Syeikh Muhammad Zain Simabur bukan Mufti Perak yang ketiga seperti yang disebut oleh Othman Haji Ishak. Kemungkinan beliau ialah Mufti Perak sesudah Syeikh Muhammad Salleh Minangkabau.

Selanjutnya nama ulama yang menjadi topik perbicaraan dalam buku Othman yang disebut ialah Tuan Haji Muhammad Zain. Dalam beberapa karangannya, Buya Hamka pula menyebut nama Syeikh Muhammad Zain Simabur. Saya belum menemui satu tulisan pun, sama ada karangan orang yang berasal dari Minangkabau sendiri atau orang luar, yang menyebut secara lengkap berserta nama orang tua ulama yang dibicarakan ini, kecuali daripada karya beliau sendiri yang diberi judul Nashihat al-Mu'minin ila 'Ibadah Rabb al-'Alamin.
Oleh itu, di sini saya catat nama lengkapnya iaitu Syeikh Muhammad Zain Lantai Batu bin Syeikh Abdul Halim al-Khalidi Labuh, Batu Sangkar. Beliau meninggal dunia Pariaman, Minangkabau (Sumatera Barat), tahun 1376 H/1957 M.

Syeikh Muhammad Zain Simabur dan ayahnya masih tetap mengekalkan istilah al-Khalidi pada hujung nama. Istilah tersebut adalah sebagai petanda bahawa beliau seorang pengamal Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah, iaitu salah satu aliran tarekat yang ramai pengikutnya di Minangkabau, Sumatera Barat. Dari segi pegangan keislaman, beliau berpihak kepada ‘Kaum Tua’, yang dalam golongan ini termasuk beberapa sahabatnya seperti Syeikh Sulaiman ar-Rasuli, Syeikh Jamil Jaho dan lain-lain. Mereka menolak golongan ‘Kaum Muda’ yang dipelopori antaranya oleh Syeikh Abdul Karim Amrullah, Syeikh Jamil Jambek dan lain-lain.
Sungguhpun Syeikh Muhammad Zain Simabur dan Syeikh Jamil Jaho berpegangan ‘Kaum Tua’, ia ada sedikit perbezaan dengan Syeikh Sulaiman ar-Rasuli. Syeikh Sulaiman ar-Rasuli sejak awal lagi menolak kemasukan organisasi Muhammadiyah di Minangkabau, sebaliknya Syeikh Muhammad Zain Simabur dan Syeikh Jamil Jaho, menurut kaca mata golongan ‘Kaum Tua’ yang berhaluan keras, kedua-duanya pernah terkecoh.

Syeikh Muhammad Zain Simabur dan Syeikh Jamil Jaho menyambut kedatangan Muhammadiyah di Minangkabau, bahkan kedua-dua ulama itu menjadi anggota Muhammadiyah. Buya Hamka dalam bukunya, Ayahku, menulis, “Pada 1927 terjadilah Kongres Muhammadiyah ke-16 Pekalongan. Kedua-dua ulama itu pun turut hadir dalam kongres itu. Di sanalah baru diketahui tujuan sebenar Muhammadiyah, iaitu membela faham Wahabi dan lain-lain yang selama ini sangat beliau tentang.” (Ayahku, hlm. 248)

Setelah pulang dari kongres itu, Syeikh Muhammad Zain Simabur dan Syeikh Jamil Jaho mengundurkan diri dan selanjutnya bergabung dengan PERTI (Persatuan Tarbiyah Islamiyah) yang berpegang teguh pada Mazhab Syafie. Organisasi ini pula adalah sangat kontroversi terhadap Muhammadiyah.

TAKLID

Sekiranya kita membahaskan tulisan Buya Hamka, khusus dalam konteks ini, penulisannya mencerminkan kejujuran. Sebagai contoh pada kalimat, “... tujuan yang sebenarnya daripada Muhammadiyah, iaitu membela faham Wahabi dan lain-lain....”
Buya Hamka ialah aktivis organisasi Muhammadiyah yang sangat penting pada zamannya. Namun aneh juga kerana sangat berbeza dengan beberapa orang aktivis golongan Wahabi dalam perkembangan terkini. Ada di antara mereka memang marah disebut Wahabi, kerana mereka lebih suka disebut dengan istilah ‘Salaf’. Dalam percakapan dan penulisan memang sukar mencari istilah yang pihak lain tidak tersinggung dengan istilah yang tidak disukai oleh suatu golongan.

Oleh itu, Syeikh Muhammad Zain Simabur dan Syeikh Jamil Jaho setelah mendengar beberapa ucapan dalam kongres itu menyedari perbezaan jalan pemikiran mereka yang berpegang cara ‘Kaum Tua’. Yang dimaksudkan dengan istilah Wahabi ialah fahaman yang diperkenal dan diperjuangkan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Yang dimaksudkan dengan sambungan kalimat Buya Hamka, “... dan lain-lain...” ialah semua fahaman Islam yang mirip dengan jalan pemikiran Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab. Menurut golongan ‘Kaum Tua’, pegangan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab adalah berasal daripada Ibnu Taimiyah dan muridnya Ibnu Qaiyim. Selain menolak Wahabi golongan ‘Kaum Tua’ juga menolak beberapa pendapat yang diperkenalkan oleh Syeikh Muhammad Abduh dan muridnya Saiyid Rasyid Ridha dengan Tafsir al-Manarnya.

Selanjutnya Buya Hamka menyatakan, “Apatah lagi setelah mendengar khutbah Kiyahi H. Mas Mansur yang pada waktu itu mengemukakan pentingnya Muhammadiyah mendirikan Majlis Tarjih, untuk merajihkan hukum dan jangan hanya taqlid kepada ulama-ulama saja.” (Ayahku, hlm. 249)

Kalimat yang disebutkan Buya Hamka, “... untuk merajihkan hukum dan jangan hanya taqlid kepada ulama-ulama saja”, bukan hanya ditolak oleh Syeikh Muhammad Zain Simabur tetapi juga ditolak oleh semua pengikut ‘Kaum Tua’. Mereka berpandangan golongan manapun sama ada mereka mengaku taklid ataupun tidak, sebenarnya tidak siapa pun terlepas daripada taklid. Sebagai contoh, orang yang dapat menerima ucapan Kiyahi H. Mas Mansur yang tidak membenarkan taklid kepada ulama itu bererti mereka juga taklid.

Bertaklik

Mereka tidak mahu bertaklid kepada ulama, tetapi dalam masa yang sama bererti bertaklid kepada Kiyahi H. Mas Mansur. Oleh itu pengikut ulama ‘Kaum Tua’ termasuk Syeikh Muhammad Zain Simabur berpandangan bahawa taklid kepada ulama yang muktabar seperti Imam Syafie dan ulama-ulama yang berada dalam lingkungan mazhab tersebut lebih selamat diikut daripada orang-orang yang bertentangan faham dengan mereka.

Syeikh Muhammad Zain Simabur dan Syeikh Muhammad Jamil Jaho (1280 H/1863 M -- 1360 H/1941 M) yang jauh lebih tua dan dianggap peringkat ayah bagi Kiyahi H. Mas Mansur (1314 H/1896 M -- 1365 H/1946 M) nampaknya tidak bersedia taklid kepada Kiyahi H. Mas Mansur dan golongan ulama dalam Muhammadiyah.

Berertilah kedua-dua ulama Minangkabau itu mempunyai penilaian tersendiri. Kedua-duanya menolak taklid pada yang satu, tetapi dalam masa yang sama mereka mempertahankan taklid kepada yang lain. Jalan yang selamat ialah taklid seperti yang diamalkan oleh ramai ulama bukan hanya di Minangkabau saja tetapi di seluruh dunia Islam.

Belum dijumpai maklumat tentang penghijrahan Syeikh Muhammad Zain Simabur dari Minangkabau ke Perak kecuali yang ditulis oleh Buya Hamka. Katanya, “harta benda beliau (kebun-kebun getah) ada di Perak (Malaya), dan isteri beliau pun orang sana. Maka beliau pun pindah ke Perak, sebab negeri Simabur rupanya tidak mengikutinya lagi. Di Perak beliau mendapat kedudukan yang baik dalam kerajaan Perak, iaitu menjadi Mufti.” (Ayahku, hlm. 248)

Setelah cukup lama bertugas sebagai Mufti di Perak, pada 1955 Syeikh Muhammad Zain Simabur pulang Minangkabau dan akhirnya beliau menetap di Pariaman. Tentang perjalanan terakhir ulama fiqh ahli Tarekat Naqsyabandiyah al-Khalidiyah tersebut, Buya Hamka juga mencatatkan, “Beliau daripada mudanya memang condong kepada Thariqat Naqsyabandiyah.
“Padahal di Simabur sendiri tidak ada lagi orang yang menyukai tarekat itu. Yang berpengaruh sekarang ialah pemimpin-pemimpin ‘Kaum Muda’ daripada Muhammadiyah. Maka atas permintaan murid-murid beliau, beliau berdiam di Pariaman dalam suluk dan khalwatnya sampai beliau meninggal dunia tahun 1957. Rahimahullah.” (Ayahku, hlm. 248)

Sungguhpun ada orang menyalahkan ‘suluk dan khalwat’ yang mereka anggap sesat, namun Buya Hamka pada akhir kalimatnya menyebut ‘Rahimahullah’ yang bermaksud Allah telah memberi rahmat. Berertilah Syeikh Muhammad Zain Simabur dalam rahmat Allah. Yang bererti pula orang yang meninggal dunia dalam menjalankan ‘suluk dan khalwat’ adalah tidak sesat.

PENULISAN

Karangan Syeikh Muhammad Zain Simabur yang telah dijumpai hanya satu judul saja ialah Nashihat al-Mu'minin ila 'Ibadah Rabb al-'Alamin. Kitab tersebut terdiri daripada 4 juzuk. Juzuk pertama tidak bertarikh, cetakan pertama Mathba'ah Al-Islamiyah, Port de Kock (Bukit Tinggi), 10 Syawal 1344 H. Kandungannya dinyatakan pada kulit kitab, ‘Terhimpun di dalam kitab ini ilmu tauhid, dan ilmu fiqh, dan ilmu tasawuf’.”

Jilid yang pertama hingga jilid yang keempat merupakan terjemahan daripada kitab bahasa Arab berjudul Mau'izhah al-Mu'minin min Ihya' 'Ulumid Din, iaitu kitab keringkasan Ihya' 'Ulumid Din karangan Imam al-Ghazali. Juzuk yang pertama dimulai dengan Mukadimah dan disudahi dengan Fasal Pada Menyatakan Kelebihan Perhimpunan Duduk Berzikir.

Sebagai kenangan, saya sebutkan di sini bahawa kitab yang berjudul di atas saya miliki daripada bekas koleksi Imam Haji Muhammad Isa bin Syamsuddin, Imam di Cemage, Pulau Bunguran (Natuna). Ia diserahkan kepada saya oleh dua orang anaknya pada hari Sabtu, 14 Rabiulawal 1421 H/17 Jun 2000 M di rumahnya di Cemage, Pulau Bunguran.

HAJI MUHAMMAD LIP

PONDOK Ribath Parit Perupok, Muar, Johor.

Pengasas Pondok Ribath
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PADA 1 Julai 2006 di Pondok Ribath, Parit Perupok, Jalan Temenggong Ahmad, Bandar Maharani, Muar, Johor diadakan upacara Maulid Rasul Pondok Ribath ‘Haul Ke-101 Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani’ serta para ulama Johor. Upacara yang padat berupa seminar mulai pagi Sabtu hingga malam Ahad ditutup dengan tahlil untuk para ulama nusantara terutamanya ulama Johor, selanjutnya berakhir dengan satu ceramah. Acara tersebut adalah anjuran Pondok Ribath, Muar dan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (Pengkaji). Tujuan utama seminar adalah mendokumentasikan sejarah para ulama dan tokoh nusantara yang pada kesempatan tersebut difokuskan kepada Pengasas Pondok Ribath, Parit Perupok, Muar, iaitu Tuan Guru Haji Muhammad Lip. Yang saya perkenalkan dalam artikel ini adalah petikan kertas kerja dibentangkan pada seminar tersebut. Setelah selesai seminar banyak maklumat baru, maka beberapa pembetulan dan tambahan juga saya tulis dalam artikel ini.


ASAL USUL DAN PENDIDIKAN


Nama lengkap dari sebelah ayah ialah Haji Muhammad Lip bin Haji Hasan bin Arsyad bin Mahmud bin Abu Bakar. Hanya sampai pada nama Abu Bakar saja bahan yang bertulis yang saya peroleh dari kewarisan Pondok Ribath, Parit Perupok. Selanjutnya dicatatkan bahawa mereka berasal dari Melaka dan lebih jauh lagi berasal dari aliran darah Majapahit di tanah Jawa. Di sebelah ibu pula, ayahnya ialah Haji Hasan bin Haji Arsyad kahwin dengan Bainah (Mak Ulang) binti Ibrahim Latis. Ibrahim Latis kahwin dengan Puteh (Cepat). Ayah Puteh dikenali sebagai Panglima Hitam (Panglima Laut). Digelar begitu kerana beliau adalah seorang panglima yang mengawal laut dan pantai sekitar Parit Perupok, Parit Tok Akil, Parit Jong, Parit Sakai, dan lain-lain sekitarnya.


Haji Muhammad Lip lahir di Parit Perupok, Muar, 1322 H/1904 M, wafat 1409 H/1989 M. Mendapat pendidikan Islam dari ayah dan ibunya sejak kecil dan pernah masuk Madrasah Al-Attas di Johor Bahru. Muhammad Lip belajar pula di Madrasah Parit Raja, Muar sehinggalah umurnya 24 tahun. Selanjutnya Haji Muhammad Lip belajar daripada Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Taqin di Air Molek, Melaka. Beliau belajar di Air Molek Melaka itu mulai tahun 1925 M hingga tahun 1930 M.

Dalam masa belajar itu Tuan Haji Muhammad Lip adalah sebagai ‘Ketua Thala'ah’. Mereka di bawah bimbingannya yang menjadi tokoh-tokoh yang berperanan ialah Tuan Guru Haji Abdul Wahid bin Utsman, Sungai Udang, Melaka, Tuan Haji Husein, Umbai, Tuan Kadi Haji Abdullah, Durian Tunggal, Tuan Kadi Haji 'bdullah, Duyung, Melaka, Tuan Kadi Hakim, Johor, dan Tuan Haji Ahmad, Tengkera, Melaka.

Selanjutnya Haji Muhammad Lip bersama-sama dengan Haji Rahmat Khan belajar pula dengan Tuan Guru Haji Abdul Lathif Nuruddin Tambi. Tuan Guru Haji Abdul Lathif adalah seorang ulama besar yang mendapat pendidikan di Mekah. Beliau termasuk salah seorang murid kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara ilmu yang dipelajari dari Haji Abdul Lathif ialah nahu, sharaf (dan lain-lain yang dinamakan ilmu alat), usuluddin, fiqh, tasawuf, dan lain-lain. Setelah itu, Haji Muhammad Lip belajar pula kepada Tuan Guru Haji Ahmad, Paya Rumput, Melaka. Dari Paya Rumput, Melaka Haji Muhammad Lip meneruskan pelajarannya ke Kelantan, belajar di Pondok Tok Kenali. Beliau sempat dalam asuhan Tok Kenali hanya sekitar dua tahun lapan bulan saja, sehingga Tok Kenali meninggal dunia pada 1933. Ilmu-ilmu yang paling utama yang diperolehi beliau daripada Tok Kenali ialah ilmu alat dan tasawuf.

Haji Muhammad Lip pulang ke kampung halamannya tahun 1934 dan seterusnya mulai mengajar di rumah ayahnya. Disimpulkan bahawa sekurang-kurangnya tiga orang di antara gurunya yang tersebut di atas ialah Haji Abdul Lathif, Haji Ahmad, Paya Rumput, dan Tok Kenali adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh sebab itulah ‘Haul Kewafatan Ke-101 Syeikh Ahmad Al-Fathani’ diadakan di Pondok Ribath atas persetujuan bersama antara Pondok Ribath dengan Pengkaji.

Haji Muhammad Lip berkahwin dengan Hajah Halimah binti Abdur Razzaq. Ayah mertuanya ialah orang kaya di Muar pada zaman itu. Beliau membeli sebidang tanah yang kemudian diwakafkan untuk Haji Muhammad Lip menjalankan aktiviti menyebarkan ilmu-ilmu yang telah dipelajarinya. Haji Muhammad bin Yahya selanjutnya menyebut bahawa saksi tentang wakaf itu ialah Haji Muhammad bin Haji Saleh, yang kemudian menjadi Mudir Pondok Ribath. Saksi yang seorang lagi ialah Haji Abdur Rahman Yasin (Imam Trono). Beliau pernah menjadi Imam di Masjid Jamik Muar. Menurut Haji Muhammad bin Yahya (Muar) lagi, bahawa Pondok Ribath beroperasi mulai tahun 1934 hingga 1961. Proses sesudah tahun tersebut sampai sekarang (Julai 2006) kita saksikan sendiri, tidak diceritakan oleh Haji Muhammad bin Yahya.

JALINAN PENGAJIAN

Jalinan penurunan ilmu yang pelbagai dari Syeikh Ahmad al-Fathani kepada ulama Johor, termasuk Tuan Guru Haji Muhammad Lip terlalu panjang untuk dibicarakan. Sebagai contoh pada pengajian ilmu akidah atau ilmu tauhid Ahli Sunah wal Jamaah Johor yang ada hubungan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani, di antara sejarah yang telah dikesan adalah sebagai yang berikut:

1. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani judul Faridah al-Faraid, diajar di Johor sejak zaman peringkat murid Syeikh Ahmad al-Fathani hingga sekarang. Ustaz Katimun meriwayatkan kepada saya, yang didengar oleh beberapa orang bahawa beliau (Ustaz Katimun) belajar kitab Faridah al-Faraid hingga tamat daripada Cikgu Muhammad Yasin (iaitu ayah Tan Sri Muhyiddin Yassin). Cikgu Muhammad Yasin belajar kitab itu hingga tamat daripada Haji Abu Bakar Alim al-Muari. Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk salah seorang di antara guru Haji Abu Bakar Alim dalam pelbagai bidang ilmu ketika di Mekah. Haji Abu Bakar Alim sempat belajar secara langsung beberapa kitab karangan Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri termasuk juga Faridah al-Faraid yang dibicarakan ini.
2. Dalam rangka perundingan akan mengadakan perhimpunan ini, pada 8 Jun 2006, Ustaz Baharuddin bin Muhammad Saman (Mudir Pondok Ribath sekarang) memberitahu beliau telah tamat belajar Faridah al-Faraid daripada salah seorang Tok Guru Pondok dari Kedah. Ustaz Baharuddin juga mengajar kitab itu. Selain itu, beliau juga menceritakan bahawa pengasas Pondok Ribath bernama Tuan Guru Mat Lip bin Haji Hasan adalah murid Tok Kenali Kelantan. Oleh sebab Tok Kenali Kelantan adalah murid yang paling rapat kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, bahkan Tok Kenali mengaku sebagai khadam kepada gurunya itu, ini bermakna Pondok Ribath dapat dipisahkan dengan sejarah Syeikh Ahmad al-Fathani. Bererti sanad keilmuan yang pelbagai dapat dihubungkan secara jelas dan nyata yang tidak kita ragui.
3. Maklumat dari Ismail, Pustaka Fajar, ia menceritakan bahawa salah seorang anak perempuan Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya tinggal di Shah Alam berjiran dengannya. Anak perempuan Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya menceritakan bahawa ayahnya adalah belajar dan memperoleh ilmu dari Tok Kenali Kelantan. Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya adalah seorang ulama Johor yang menghasilkan beberapa karangan di antaranya ialah Risalah at-Tauhid, Suluh Mathla' al-Badrain, Cahaya Mustika Qaidah Membahagi Pusaka, Pelajaran Tasawuf Darjah V Bagi Murid-Murid Sekolah Agama Kerajaan Johor dan lain-lain. Oleh sebab Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya juga murid Tok Kenali Kelantan, maka secara pasti adalah seperguruan dengan Tuan Guru Haji Muhammad Lip. Sekali gus ada hubungan sejarah dengan Syeikh Ahmad al-Fathani.

ISTILAH RIBATH DAN WASIAT

Sekurang-kurangnya ada dua ulama dunia Melayu yang ada jalinan asal usul keilmuan Tuan Guru Haji Muhammad Lip yang pernah menyebut istilah Ribath dalam karya mereka ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Jam'ul Fawaid dan tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar. Perkataan ribath mengandungi pengertian yang pelbagai iaitu ikatan, balutan, markas tentera, tempat yang diwakafkan untuk orang miskin, hati, pondok pengajian dan lain-lain.

Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menterjemahkan ribath sebagai bertunggu pada tempat takut (Jam'ul Fawaid, muka surat 178). Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, “ada pun kelebihan ribath, yakni menunggu tempat takut. Riwayat daripada Uthman bin Affan r.a, sabda Rasulullah s.a.w. ribath satu hari di dalam sabilillah itu afdal daripada puasa 1,000 hari dan berdiri 1,000 malam.”

Hadis yang lain pula riwayat Salman al-Farisi, Sabda Nabi s.a.w. bahawasanya ribath sehari di dalam sabilillah itu terlebih baik daripada puasa sebulan, dan berdiri sembahyang sebulan. Dan barang siapa mati, padahal dia murabith, dilepaskan daripada fitnah kubur. Dan disurat baginya amalnya seperti seelok-elok barang yang ada ia beramal hingga hari kiamat.” (Jam'ul Fawaid, muka surat 184).

Syeikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Hadiqah al-Azhar menggunakan ayat 60, surah al-Anfal terjemahan dan tafsir ringkas Syeikh Ahmad al-Fathani ialah, “Dan bersedia oleh kamu bagi mereka itu, akan barang yang kuasa kamu daripada kekuatan dan daripada mengawali beberapa kuda pada negeri dan tepi-tepinya hal keadaan menakut kamu dengan dia akan seteru Allah dan seteru kamu ...” Syeikh Ahmad al-Fathani menafsirkan ayat itu dengan panjang, diutamakan dalam pemikiran pendidikan di dunia Melayu mahu pun pelbagai aspek yang ada hubungan dengannya.

Kesimpulannya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menggunakan banyak perkataan ribath pada konteks jihad fi sabilillah. Syeikh Ahmad al-Fathani menggunakan perkataan ribath dengan tafsiran yang sangat luas, mulai dari pendidikan hinggalah keseluruhan permasalahan keperluan umat Islam dan umat Melayu. Tuan Guru Haji Muhammad Lip meneruskan perjuangan dengan ‘Pondok Ribathnya’. Sebelum beliau meninggal dunia, pada malam Jumaat, 21 Ogos 1989, Tuan Guru Haji Muhammad Lip berwasiat kepada murid dan anak-anaknya. Wasiat seumpamanya adalah serupa dengan ulama-ulama yang terdahulu termasuk tiga guru beliau yang tersebut di atas iaitu, “Apa-apa yang Cikgu sudah ajar dalam kitab-kitab serta risalah-risalah yang diambil daripada al-Quran, hadis dan nas-nas syarak daripada ulama-ulama dan kitab-kitab muktabar jangan sesekali diubahkan.”

GUSTI JAMIRIL

Tokoh Ulama, Raja dan Pahlawan
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM Halaman Agama, Utusan Malaysia, Isnin, 12 Jun 2006, telah diceritakan kisah Raja Haji, Pahlawan Teragung Nusantara, iaitu saudara sepupu Gusti Jamiril. Gusti Jamiril ialah putera Upu Daeng Menambon. Raja Haji pula ialah putera Upu Daeng Celak.
Upu Daeng Menambon dan Upu Daeng Celak ialah adik-beradik. Kajian awal saya tentang riwayat mereka adalah bersumberkan Salasilah Melayu dan Bugis, Tuhfat an-Nafis. Kedua-duanya ialah kitab karangan Raja Ali Haji.

Selain kedua-dua karya tersebut, beberapa versi tulisan tangan naskhah Mempawah dan Pontianak juga menjadi sumber saya. Selain yang terakam berupa tulisan, cerita lisan juga saya dengar di Mempawah dan Riau.

Perlu juga saya sebutkan di sini bahawa Gusti Jamiril sebenarnya ada peranan yang tersendiri dalam kedua-dua karya Raja Ali Haji yang dinyatakan itu kerana sejarah asalnya berdasarkan tulisan Upu Daeng Menambon dengan tulisan dan bahasa Bugis. Yang menterjemahkannya daripada bahasa Bugis ke bahasa Melayu ialah Gusti Jamiril.

Terjemahan Gusti Jamiril itulah yang diproses oleh Raja Haji Ahmad, iaitu putera Raja Haji, tetapi tidak sempat diselesaikan lalu disambung oleh putera beliau, Raja Ali Haji. Gusti Jamiril digelar juga dengan gelaran Penembahan Adiwijaya Kesuma Jaya. Beliau mangkat pada waktu Zuhur, hari Ahad, bulan Zulkaedah 1204 H/Julai 1790.

Pada judul artikel ini saya nyatakan bahawa Gusti Jamiril ialah ulama, raja dan pahlawan. Ketiga-tiganya dapat dibuktikan.

Persyaratan seorang ulama bermula dengan pengetahuan alat Arabiyah, seperti ilmu nahu, ilmu sharaf, dan lain-lain, serta pelbagai bidang ilmu Islam yang lain. Gusti Jamiril sempat belajar segala persyaratan itu dengan Saiyid Husein al-Qadri (Mufti Mempawah yang pertama) dan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani (Mufti Mempawah yang ke-2).

Walau bagaimanapun, sistem mendidik kedua-dua ulama itu adalah berbeza. Saiyid Husein al-Qadri yang berasal dari negeri Arab, mengutamakan lughah Arabiyah. Sedangkan Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani, yang berasal dari Patani, memperkenalkan sistem pendidikan pondok seperti di Patani. Sistem Pondok Patani lebih mengutamakan kecermatan dalam membaca setiap kitab bahasa Arab. Dalam hal ini penting seseorang ulama menguasai ilmu nahu, ilmu sharaf, dan semua ilmu alat Arabiyah.

Bukti Gusti Jamiril menguasai ilmu-ilmu Islam disebut oleh Raja Ali Haji dalam Salasilah Melayu dan Bugis. Sewaktu Gusti Jamiril ke Pinang Sekayuk, antara pertanyaan Pangeran Dipati adalah: “Apakah cundaku tahu mengaji Quran?” Jawab Gusti Jamiril: “Tahu!” Maka baginda menyuruhnya membaca al-Quran. Maka membacalah Gusti Jamiril. Dalam dua maqra' beliau berhenti.

“Apakah cundaku sudah mengaji nahu dan sharaf?” Maka dijawab Gusti Jamiril: “Tahu!” Maka disuruhnya ertikan ayat al-Quran yang dibaca itu.

Maka diertikan lafaz maknanya. Selain sebagai seorang yang menguasai ilmu yang banyak, Gusti Jamiril juga sangat kuat berwirid. Amalan yang tiada ditinggalkannya ialah tilawah al-Quran, selawat atas Nabi Muhammad s.a.w., zikir dan lain-lain. Selawat yang diamalkannya ialah ‘Shalawat Dalail al-Khairat’. Amalan selawat tersebut juga tidak pernah ditinggalkan oleh Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah Yang Dipertuan Muda Riau Ke-IV, saudara sepupu Gusti Jamiril.

KERAJAAN MEMPAWAH

Upu Daeng Menambon, Raja Mempawah yang pertama, mangkat pada 26 Safar 1174 H/7 Oktober 1760 M (riwayat lain baginda mangkat tahun 1166 H/1752 M). Baginda diganti oleh puteranya yang bernama Gusti Jamiril, diberi gelar ‘Penembahan Adiwijaya Kesuma Jaya’, atau selanjutnya disingkat kepada Adiwijaya saja. Pada zamannya pusat pemerintahan Mempawah dipindahkan dari Sebukit Raya ke Pulau Pedalaman, Mempawah Hilir. Namun setelah terjadi perselisihan dengan Belanda, Penembahan Adiwijaya terpaksa memindahkan pusat pemerintahan dari Pulau Pedalaman, Mempawah ke Hulu Mempawah iaitu satu lokasi yang sangat jauh yang dinamakan Karangan.

Penembahan Adiwijaya ialah seorang ulama dan raja yang tidak mahu ditakluk penjajah Belanda. Baginda lebih sedia dan setia mengikut jejak langkah perjuangan saudara sepupunya, Raja Haji (Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga Ke-IV) yang gugur sebagai syahid fi sabilillah di Melaka. Ia merupakan langkah yang sama seperti anak saudara sepupunya, Raja Ali Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga Ke-V, yang ketika itu terpaksa berhijrah menyusun strategi di Sukadana.

Pihak Belanda menuduh Adiwijaya bersekongkol dengan pahlawan yang berasal dari Riau itu. Oleh sebab Belanda tidak dapat mengesan apatah lagi menangkap Raja Ali, maka tekanan yang sangat keras dikenakan ke atas Adiwijaya kerana hanya baginda sendiri mampu menyembunyikan Raja Ali.

Padahal ketika itu Raja Ali yang sangat faham keadaan maritim bukan setakat berada di Sukadana tetapi kadang-kadang berada di Kepulauan Tambelan. Kadang-kadang beliau berada di Kepulauan Siantan dan tempat-tempat lain.

Akibat Penembahan Adiwijaya tidak mahu dijajah oleh bangsa asing yang bukan Islam, maka kolonial Belanda dengan dalih untuk pemulihan yang disebut Rusten en orde (Ketenteraan) mengirim pasukan tentera penjajah itu dari Pontianak menyerang Mempawah. Peristiwa tersebut terjadi pada tahun 1787 M. Oleh sebab pendengaran, penciuman dan pandangan Penembahan Adiwijaya untuk mengetahui kondisi dan situasi dalam keadaan aman dan perang memang hebat, ternyata yang diserang hanyalah tempat yang telah dikosongkan. Penghijrahan Penembahan Adiwijaya bersama dengan pengikut-pengikut setia baginda dari Pulau Pedalaman Mempawah Hilir ke Karangan Mempawah Hulu dilakukan sekitar 1786.

Setelah kekosongan pentadbiran Mempawah, Syarif Abdur Rahman al-Qadri, Sultan Pontianak, saudara ipar Penembahan Adiwijaya, mengambil langkah bijaksana dengan melantik putera beliau, Pangeran Syarif Qasim al-Qadri menjadi Raja di Mempawah.

Ibu Syarif Qasim al-Qadri ialah Utin Cenderamidi iaitu adik-beradik Penembahan Adiwijaya. Jadi Pangeran Syarif Qasim al-Qadri masih layak menjadi Raja di Mempawah kerana beliau ialah cucu Upu Daeng Menambon. Walau bagaimanapun perang antikolonial Belanda di sana-sini masih berlaku yang melibatkan Gusti Jati dan Gusti Mas, kedua-duanya putera Adiwiyaja.''

Makam

Kedua-duanya dapat membentuk pasukan gabungan Melayu dan Dayak. Tempat-tempat yang pernah tercetus perang antaranya ialah di Galah Herang, Sebukit Rama, di sekitar makam Upu Daeng Menambon dan Sangking.

Perang di Mempawah itu berlarutan hingga tahun 1788 M. Pada tahun itu pula Sultan Mahmud dan Bendahara Abdul Majid Pahang mengirim utusan ke Mempawah mengajak pihak Mempawah dan Raja Tempasok untuk menyerang Belanda yang telah menjajah Riau. Situasi Mempawah sangat gawat, maka pihak Mempawah tidak bersedia untuk membantu Sultan Mahmud Riau. Begitu juga Raja Tempasok kerana penentangan masih ditumpukan kepada pihak Belanda yang telah menguasai Pontianak dan akan menjajah Mempawah pula.
Sewaktu utusan Riau datang ke Mempawah, pada waktu itulah terjadi pergaduhan antara orang-orang Cina dengan orang-orang Melayu di sekitar Kuala Mempawah. Diriwayatkan bahawa pergaduhan itu terjadi kerana orang-orang Cina yang terlibat dengan organisasi rahsia mereka di Mandor telah mengambil kesempatan membantai orang Melayu dan Bugis ketika terjadi peperangan antara Melayu-Bugis dengan Belanda.
Muncullah pahlawan-pahlawan Riau dan Patani yang gagah perkasa. Orang Cina yang beratus-ratus hanya dihadapi oleh tiga orang. Mereka ialah Habib Syaikh, yang terkenal dengan keramatny dan Tengku Sembob yang terkenal dengan kegagahan dan kehandalannya bermain senjata. Kedua-dua mereka berasal dari Riau.

Yang seorang lagi ialah Abdur Rahman yang digelar orang dengan nama Wak Tapak. Beliau berasal dari Patani. Beliau ialah Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani. Ketiga-tiga mereka yang membela Islam dan bumi Melayu itu termasuk antara orang-orang terdekat dengan Penembahan Adiwijaya yang diriwayatkan ini.

Setelah perang berakhir, beberapa orang putera dan kerabat yang terdekat memujuk Penembahan Adiwijaya supaya berpindah semula ke Pulau Pedalaman Mempawah untuk membangunkan Mempawah kembali. Mereka ingin membina kembali masyarakat Melayu-Bugis yang beragama Islam supaya mereka menjadi penyebar-penyebar Islam dalam lingkungan penduduk suku Dayak yang sebahagian besarnya masih animisme.
Ajakan suci itu pada mulanya diterima oleh Penembahan Adiwijaya, tetapi setelah melakukan sembahyang istikharah berulang-ulang kali, baginda membuat kesimpulan bahawa selagi Belanda, iaitu penjajah, yang tidak seagama dengan baginda masih bercokol di Pontianak, apatah lagi Mempawah memang sudah dalam genggaman Belanda, selama itulah penyebaran Islam akan mendapat hambatan daripada pihak penjajah itu.

Penembahan Adiwijaya berasakan umurnya telah lanjut, seakan-akan baginda tahu ajalnya telah hampir tiba.

Oleh itu sebelum mangkat baginda berwasiat. Bahawa baginda tidak rela jenazahnya dikebumikan di tempat yang pernah dijamah oleh penjajah Belanda. Ketika Penembahan Adiwijaya mangkat terjadi sedikit pertikaian iaitu ada kerabat yang mempertahankan wasiat baginda supaya dimakamkan di Karangan, bumi tempat baginda mangkat yang belum dijamah oleh Belanda.

Golongan kerabat baginda yang lain pula berpandangan bahawa ‘wasiat tinggal wasiat’, dan berpendapat baginda mesti dimakamkan di Pulau Pedalaman Mempawah. Kononnya jenazah Penembahan Adiwijaya dimasukkan ke dalam sebuah peti yang dimuat dalam sebuah sampan lalu dibawa ke hilir menelusuri Sungai Mempawah. Ia dibawa ke Pulau Pedalaman Mempawah.
Semua pengiring dan petugas hairan kerana dengan tiba-tiba air sungai menjadi kering. Sampan yang membawa peti jenazah terkandas. Ternyata peti bertambah ringan, lalu dibuka. Tiba-tiba didapati jenazah Penembahan Adiwijaya tidak terdapat dalam peti itu lagi. Peti yang kosong tiada berjenazah itu terus juga dibawa ke Pulau Pedalaman Mempawah menurut adat istiadat kebesaran raja pada zaman itu.

Hingga kini belum diketahui di manakah sebenarnya makam Penembahan Adiwijaya kerana terdapat dua makam beliau. Makam yang pertama terletak di Karangan (Mempawah Hulu) dan yang sebuah lagi di Pulau Pedalaman (Mempawah Hilir).
Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu memiliki makam lebih daripada satu, antaranya Syeikh Yusuf Tajul Khalwati yang makamnya terletak di Afrika Selatan dan Sulawesi Selatan. Makam Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pula terdapat di Taif dan di Mekah. Terjadinya hal yang demikian semuanya ada sejarah yang tersendiri.

- Untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ini, sila e-mel pertanyaan ke alamat pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

SYEIKH MUHAMMAD ARIFIN SYAH

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

PENYEBAR Islam peringkat awal di Patani masih belum banyak dibicarakan. Salah seorang daripada mereka termasuklah Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani. Beliau adalah seorang Arab yang berasal dari Yaman. Beliau digelar ‘Tok Kelupang’. Barangkali yang dimaksudkan dengan gelar Tok Kelupang untuk Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah itu ialah kerana selain seorang ulama beliau juga sebagai raja.

Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah pernah menjadi ketua pemerintahan di Cabang Empat Patani. Dari sumber lain yang saya catat di Kampung Pauh Bok (tahun 1989) ada orang meriwayatkan bahawa Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah ada tiga adik-beradik yang lelaki sesudahnya ialah Syeikh Wan Muhammad Saman Syah dan yang seorang perempuan namanya tidak jelas. Sekiranya cerita ini benar maka dalam maklumat yang lain dapat dikesan bahawa Syeikh Wan Muhammad Saman Syah itu nama sebenarnya ialah Saiyid Tsanauddin.
Ada orang meriwayatkan bahawa beliau adalah adik-beradik dengan Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra. Orang lain meriwayatkan pula bahawa ada lagi seorang adik mereka menyebarkan Islam di Brunei, namanya ketika di Patani ialah Wan Nik. Jika riwayat versi cerita lisan orang tua-tua di Patani tersebut adalah benar, maka sangat mudah mencari nama adik beradiknya yang lain. Tetapi dalam buku Sejarah Ringkas Wali Songo karya K.H.R.Abdullah bin Nuh, ketiga-tiga nama ulama yang diriwayatkan versi dari Patani tidak tersebut dalam salasilah sebagai adik beradik Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra.
Adik-beradik Saiyid Jamaluddin al-Husein al-Kubra menurut buku itu ialah: 1. Jamaluddin al-Husein. 2. Muhyiddin Syah 3. Alauddin Abdullah. 4. Amir Syah Jalal. 5. Alwi Qutub Khan. 6. Hasanuddin. 7. Qadir Binahsan. 8. Ali Azamat Syihabuddin Umar Khan (dalam Sejarah Ringkas Wali Songo , hlm. 36). 9. Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah @ Tok Kelupang al-Jarimi al-Fathani. 10. Syeikh Wan Muhammad Samman Syah al-Fathani @ Syeikh Wan Tsanauddin al-Fathani dan 11. Wan Nik al-Fathani (Nombor 9, 10 dan 11 dari dokumen dan cerita orang tua-tua di Patani).

HUBUNGAN KELUARGA

Diriwayatkan pula bahawa ulama-ulama daripada keluarga tersebutlah yang membuka Kampung Jambu dan sekitarnya. Perkataan ‘Syah’ di hujung nama bererti Raja. Oleh itu barangkali yang disebut oleh K.H.R. Abdullah bin Nuh di dalam bukunya Ringkasan Sejarah Wali Songo (terbitan Teladan, Surabaya, tanpa tahun, hlm. 25) bahawa ada tiga orang yang pada pangkal namanya bergelar Raja. Mereka ialah Raja Fathul Arifin Abdul Maula, dengan gelaran Solihinuddin, wafat di Siam pada 999 H/1590 M, Raja Badruddin Muhammad Ali, dikatakan juga wafat di Siam tahun 993 H/1585 M dan Raja Samiruddin Alwi al-Akbar yang wafat di Annam tahun 1001 H/1592 M.

Ketiga-tiga orang tersebut dari satu pertalian keturunan dengan Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah dan diperkirakan hidup sezaman dengan keturunan beliau iaitu Syeikh Muhammad Jailani Pauh Bok al-Fathani. Barangkali yang dimaksudkan oleh K.H.R. Abdullah bin Nuh ada dua orang yang wafat di Siam itu sebenarnya adalah dalam wilayah Daulah Islamiyah Fathani Darus Salam. Yang dimaksudkannya dengan Annam itu sebenarnya adalah negeri Cam. Dalam bahasa Indonesia disebut juga dengan Campa. Beberapa penulis Indonesia tidak menerima pendapat bahawa beberapa Wali Songo itu berasal dari Campa, mereka tidak mengetahui istilah ‘Cam’ dan hubungannya dengan Patani.

Oleh itu mereka berpendapat ‘Campa’ itu kemungkinan adalah ‘Jeumpa’ yang terletak di Aceh. Sebagai contoh dapat dibandingkan dengan tulisan Widji Saksono dalam bukunya Mengislamkan Tanah Jawa, Di manakah letak Campa ? Untuk menetapkan letak negeri ini Prof. Dr. Hoesein Djajadiningrat mengajukan kutipan dari Sejarah Banten Rante-Rante yang meriwayatkan bahwa sepeninggal Raden Rahmat ke Jawa, Campa diserang oleh Raja Koci.
Riwayat ini diperkuat pula oleh Walisana (IV: 21-22) yang juga menyatakan bahwa Kerajaan Campa akhirnya binasa kerana digempur oleh Raja Koci. Sejarah Banten juga memperkuat berita ini, hanya saja disebutkan bahwa penggempurnya adalah Raja Pelbegu dan Sengora. Di manakah letak Campa, Koci dan Sengora itu secara pasti, Dr. Hoesein menyatakan tidak tahu. (Mengislamkan Tanah Jawa, Penerbit Mizan, 1995 M, hlm. 25).

Perlu saya jelaskan bahawa hingga ke zaman Syeikh Ahmad al-Fathani (wafat 11 Zulhijjah 1325 H/Januari 1908 M) masih terdapat surat-surat dari orang-orang Cam/Campa (Kemboja) kepada ulama yang berasal dari Patani itu. Untuk jelasnya dapat dilihat karya beliau Al-Fatawal Fathaniyah. Mengenai ‘Koci’ (Kuci, pen:) juga disebut oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Al-Fatawal Fathaniyah (lihat transliterasi, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, cetakan pertama, 1996 M, hlm. 38). Ada pun Sengora bahasa Melayu yang asal ialah Senggora kemudian ditukar oleh pemerintahan Thailand dengan Songkhla. Senggora terletak arah ke utara Patani, salah seorang ulama yang berasal dari Senggora ialah Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri (Senggora) ahli qiraat di Mekah yang sangat terkenal pada zamannya.

Saya kembali tentang negeri Cam, bahawa asal mula negeri Cam itu sebenarnya adalah dibuka oleh penyebar-penyebar Islam dari Fathani Darus Salam bersama-sama para zuriat Rasulullah s.a.w. yang akan menyebarkan Islam ke negeri China. Akhirnya pada praktik bukan saja ke negeri China tetapi juga menurunkan Wali Songo di Jawa dan tempat-tempat lainnya di seluruh alam Melayu.

KETURUNAN

Kembali kepada cerita tentang Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah, beliau memperoleh anak bernama Syeikh Wan Abdul Jabbar Syah, juga seorang raja dan ulama. Anak Syeikh Wan Abdul Jabbar Syah bernama Syeikh Wan Abdul Mubin I (yang pertama). Beliau ini sangat giat menyebarkan agama Islam kepelbagai pelosok dalam Patani. Barangkali Syeikh Wan Abdul Mubin I inilah yang disebut juga namanya dengan Syeikh Gombak Abdul Mubin. Berdasarkan cerita rakyat mengenai Syeikh Gombak Abdul Mubin yang telah saya tulis, beliau bersahabat dengan Syeikh Shafiyuddin dan Syeikh Muhammad Sa'id al-Barsisa mengislamkan raja Patani (lihat Perkembangan Tasawuf dan Tokoh-tokohnya di Nusantara, Al-Ikhlas, Surabaya, 1980, hlm. 19-23).

Setelah ditemui beberapa manuskrip dan cerita orang tua-tua yang dikumpulkan daripada pelbagai kampung dalam Patani dan lain-lain maka tulisan yang terdahulu dirasakan perlu lebih diperkemas dan dibahas dalam bentuk yang lebih ilmiah berdasarkan data dan fakta. Selanjutnya Syeikh Wan Abdul Mubin I memperoleh seorang anak yang melanjutkan tugas beliau sebagai ulama, iaitu Syeikh Wan Hamzah. Anak Syeikh Wan Hamzah bernama Syeikh Wan Muhammad Masari juga meneruskan tugas dakwah dan pendidikan Islam.
Syeikh Wan Muhammad Masari memperoleh lima anak: 1. Syeikh Wan Abdul Mubin II; 2. Syeikh Wan Abdur Rahman; 3. Syeikh Wan Muhammad Jailani @ Tok Janggut; 4. Syeikh Wan Muhammad Yunus; dan 5. Wan Maula (perempuan).

Daripada lima orang bersaudara kandung itu yang dapat dikesan keturunannya hanyalah Syeikh Muhammad Jailani yang bergelar Tok Janggut. Dalam riwayat yang lain gelaran Tok Janggut juga pernah diberikan kepada Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah. Di sini saya buat sedikit pembetulan kerana dalam buku saya berjudul Manhalush Shafi Syeikh Daud al-Fathani saya tulis bahawa Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani bersaudara kandung empat orang, iaitu Syeikh Abdul Mubin, Syeikh Abdur Rahman, Syeikh Yunus dan Maula.

Seharusnya tiga orang ulama tersebut adalah ayah saudara kepada Syeikh Abdul Mubin III bin Syeikh Muhammad Jailani. Wan Maula itu adalah ibu saudara Syeikh Abdul Mubin III bin Syeikh Muhammad Jailani. Sumber tulisan tersebut ialah sebuah salasilah yang berasal daripada Haji Sulaiman, salah seorang keturunan ini di Brunei Darussalam.
Ada pun salasilah yang ditulis dalam artikel ini (pembetulan daripada tulisan pertama) adalah berdasarkan tulisan tangan Guru Haji Abdul Mubin IV bin Muhammad Thaiyib al-Jarimi al-Fathani. Saya berpendapat versi kedua ini adalah lebih sahih. Oleh itu tulisan yang pertama dalam Manhalush Shafi itu pada konteks ini adalah dimansukhkan. Menurut maklumat terbaru (Oktober 1994), Syeikh Muhammad Jailani al-Jarimi al-Fathani itulah yang mengasaskan Pondok Pauh Bok yang mengeluarkan ulama-ulama terkenal. Syeikh Muhammad Jailani al-Fathani kahwin dengan perempuan bernama Kesumah memperoleh beberapa orang anak yang menjadi ulama. Pertama, Al-Alim al-Allamah Syeikh Abdul Mubin (serupa namanya dengan ayah saudaranya Syeikh Wan Abdul Mubin bin Syeikh Muhammad Masari al-Jarimi al-Fathani). Oleh sebab nama serupa maka disebut saja dengan Syeikh Abdul Mubin III. Kedua, Al-Alim al-Allamah Syeikh Muhammad Shalih. Ketiga, Al-Alim al-Allamah Syeikh Abbas. Keempat, Al-Alim al-Allamah Syeikh Muhammad Yunus.

Makam Syeikh Muhammad Jailani al-Fathani bersama-sama anaknya Syeikh Abdul Mubin III al-Fathani terletak di sebelah kiri Masjid Pauh Bok. Makam dipagari dengan tembok yang tingginya sekitar dua jengkal saja. Di atas kubur ditanda dengan batu nisan daripada batu asli berwarna putih dengan pancaran sinar berkilau-kilau seperti intan berlian. Kubur yang di sebelah kanan ialah kubur Syeikh Muhammad Jailani al-Fathani sedangkan yang di sebelah kiri adalah kubur anak beliau Syeikh Abdul Mubin III al-Fathani.

Sekitar masjid, perkuburan dan tempat yang didiami oleh penduduk di kawasan Pondok Pauh Bok itu telah mengkaderkan ramai ulama dunia Melayu pada zaman silam yang terkenal. Al-Alim al-Allamah Syeikh Abdul Mubin III bin Syeikh Muhammad Jailani al-Fathani memperoleh 11 anak, tiga di antaranya adalah ulama besar. Menurut kepercayaan masyarakat seorang antara tiga orang itu dianggap sebagai Wali Allah pada Makam Wali Quthub kerana sangat banyak ‘karamah’ yang berlaku kepada beliau. Yang 11 orang yang dimaksudkan ialah Wan Mah, Wan Na, Wan Dariyah, Wan Nik, Al-Alim al-Allamah Syeikh Wan Ahmad, Wan Dakarik, Wan Masuji (perempuan), Wan Jampati, Wan Dekama, Al-Alim al-Allamah Wali Allah Syeikh Wan Abdur Rahman dan Al-Alim al-Allamah Syeikh Wan Abdullah. Anak yang terakhir ini menghasilkan karya berjudul Tanbih al-Ghafilin yang ditulis dalam bahasa Melayu. Karya tersebut masih ada di pasaran kitab.

Daripada 11 orang anak Syeikh Abdul Mubin III itu, yang dapat dikesan meninggalkan keturunan setakat ini ialah melalui jalur Wan Masuji (nombor 7) dan Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani (nombor 10) saja. Anak Wan Masuji bernama Haji Wan Sulaiman al-Fathani mula-mulanya berpindah dari Patani ke Kampung Ibai, Terengganu dan kemudian pergi ke Brunei kerana menyebarkan agama Islam di sana.

Haji Wan Sulaiman al-Fathani memperoleh anak empat orang. Anak pertama, Wan Muhammad (di Tendong, Rakok, Patani); kedua, Wan Ismail (di Kampung Ibai, Terengganu); dan ketiga, Wan Syihabuddin yang dilahirkan di Brunei Darussalam. Wan Syihabuddin mula-mula tinggal di Kampung Hujung Tanjung, Brunei. Nama lengkapnya di Brunei Darussalam ialah Pehin Orang Kaya di Gadong Awang Shahbuddin.
Anak keempat Haji Wan Sulaiman al-Fathani, Siti Radhiyah juga menetap di Brunei Darussalam.

- Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

SYEIKH MUHAMMAD SA'ID PASAI

Bermakam di Tanah Ujung Lidah
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

PADA mulanya ulama bernama Syeikh Muhammad Sa'id al-Barsisa yang dikatakan berhasil mengislamkan Raja Patani pada zaman dulu yang akan diriwayatkan ini hanyalah berasal daripada cerita rakyat. Sehingga walaupun belum begitu lengkap ditemui datanya, namun saya memberanikan diri memperkenalkannya dalam buku yang berjudul Perkembangan Ilmu Tasawuf dan Tokoh-Tokohnya di Asia Tenggara.

Dalam simpanan saya ada sebuah manuskrip Tarikh Fathani yang dikatakan berumur melebihi 300 ratus tahun yang di dalamnya juga menceritakan kisah Syeikh Muhammad Sa'id mengislamkan Raja Patani. Pada tahun 1989 sewaktu saya diberikan kepercayaan oleh Ketua Penolong Pengarah Balai Pameran Pusat Islam Kuala Lumpur (sekarang Muzium Islam) mengkatalog manuskrip-manuskrip di pejabat itu telah saya temui pula sebuah manuskrip berjudul Sejarah Fathani karya Syeikh Utsman Jalaluddin yang dalamnya ada menceritakan tentang Syeikh Muhammad Sa'id itu.

Beberapa versi sejarah Patani kadang-kadang menceritakan peranan Syeikh Shafiyuddin mengislamkan Raja Patani bukan Syeikh Muhammad Sa'id sedangkan jalan ceritanya adalah sama. Yang berbeza hanyalah watak pelaku sebagai ulama dan watak raja yang diislamkan oleh ulama itu. Manuskrip milik saya tersebut adalah dasar bagi saya untuk menceritakan Syeikh Muhammad Sa'id itu dengan perbandingan beberapa manuskrip dan beberapa edisi sejarah Patani yang diterbitkan.

Sama ada Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi ataupun Syeikh Muhammad Sa'id al-Barsisa kedua-duanya memang pernah wujud sebagai pelaku penting dalam penyebaran Islam di bumi Patani dan sekitarnya. Kesahihan cerita rakyat kemudian dapat dibuktikan dengan beberapa bahan bertulis dan kedua-dua kubur ulama tersebut telah ditemui. Kubur Syeikh Shafiyuddin yang terkenal dengan gelar Tok Raja Faqih itu terletak di ‘Sungai Pandan’ (masih masuk dalam kawasan Kerisik, Patani) sedang kubur Syeikh Muhammad Sa'id terletak di ‘Tanah Ujung Lidah, Kampung Pasai’, Patani.

Bekas tapak rumah

Saya menziarahi kedua-dua kubur ulama yang bersejarah itu pada 11 Jamadilawal 1415 H/16 Oktober 1994 M. Mula-mula saya dan rombongan ke Perigi Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang terletak di Kampung Parit Anak Sungai Kerisik. Arah hadapannya terdapat rumpunan buluh dan mara ke depan lagi di situlah terletak Sungai Kerisik. Tidak jauh dari perigi, mengarah ke sebelah kanan dari arah masuk di situlah tempat asal bekas tapak rumah kelahiran Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Perjalanan dilanjutkan ke kubur Syeikh Shafiyuddin di Sungai Pandan, masih dalam kawasan Kerisik juga. Bentuk kubur agak kecil, di sebelah arah menjurus ke kiblat (sebelah Barat) terdapat kubur yang agak besar yang dipagari dengan batu bata. Di atas kubur hanya terdapat dua nisan daripada batu asli bukan nisan yang telah diproses.

Perjalanan diteruskan ke Kampung Pasai untuk menziarahi kubur Syeikh Sa'id. Penghuni kampung itu sekarang ialah keturunan Syeikh Sa'id. Salah seorang keturunannya yang banyak mengetahui sejarah Syeikh Sa'id di kampung itu ialah Tuan Guru Haji Muhammad Shalih, tetapi tidak sempat saya temui kerana beliau meninggal dunia kira-kira sebulan sebelum lawatan. Tetapi kira-kira beberapa bulan yang lalu Ustaz Ismail Ishaq dapat mencatat beberapa cerita daripada beliau.

Menurut Ustaz Ismail, beliau mendengar cerita Tuan Guru Haji Muhammad Shalih, “sekitar lebih kurang puluhan tahun yang lalu, atau beberapa tahun sesudah perang dunia Kedua, telah datang seorang Arab dari Mesir bernama Syeikh Muhammad Dahlan, umurnya ketika itu sekitar 60 tahun, yang mengaku bahawa dia adalah keturunan Syeikh Sa'id al-Barsisa. Dia membawa sepotong peta lama, kertas agak tebal yang menunjukkan kubur Syeikh Sa'id yang terletak di Tanah Ujung Lidah.”

Tidak jauh dari arah masuk ke Tanah Ujung Lidah arah ke sebelah kanan ada sebuah kubur yang dinamakan Kubur Tok Kemiri. Diriwayatkan bahawa Tok Kemiri itu ialah seorang pengawal Syeikh Sa'id. Yang dinamakan Tanah Ujung Lidah itu bentuknya benar-benar menyerupai lidah. Barangkali di situlah perumahan, masjid dan pondok-pondok bekas Syeikh Sa'id menjalankan tugas dakwah dan pendidikan Islamiahnya.

Di atas tanah itu terdapat pohon-pohon besar dan semak-semak semacam disengajakan tidak dijadikan tanah untuk bercucuk tanam. Sedangkan di bahagian kiri, kanan, depan dan belakang dijadikan persawahan. Di bahagian pangkal Tanah Ujung Lidah terdapat sebuah perigi, iaitu perigi Syeikh Sa'id. Setelah dua pertiga dari pangkal, di sebelah kiri masuk terletak di bahagian tepi sekali terletak kubur Syeikh Sa'id. Di bahagian kaki, merupakan sempadan sawah dan Tanah Ujung Lidah terdapat sepohon kayu besar yang seolah-olah turut berdoa terhadap Wali Allah yang berkubur di bawahnya, serta menghening dan menyejukkan suasana alam sekitar, alam syahadah dan alam arwah.

Hanya sebuah kubur di situ. Kubur dibina dengan batu bata tua, tingginya melebihi lutut dan warnanya agak menghijau kerana berlumut. Nampaknya kubur tersebut masih banyak kesan-kesan diziarahi orang, sebagai tempat orang membayar nazar. Sewaktu saya datang ke situ ditemui wang syiling bertaburan di bahagian kepala kubur.

Sebagaimana dinyatakan di atas bahawa saya memiliki beberapa versi manuskrip sejarah Patani yang antaranya sebuah menceritakan kisah Syeikh Sa'id mengislamkan Raja Patani. Versi manuskrip yang akan dipetik dan ditransliterasi di bawah ini diperkirakan berusia sekitar 300 tahun. Bagi saya, ia merupakan manuskrip sejarah Patani yang tertua yang pernah saya lihat dan ketahui. Fizikalnya dalam keadaan baik, mudah dibaca dan lengkap kecuali pada halaman pertama dan halaman kedua kanan dan kiri pada baris keempat terpotong sehingga tak dapat dibaca, yang hilang hanya selembar halaman empat.
Setelah saya bandingkan beberapa halaman yang lengkap antara manuskrip yang ada pada saya dengan Hikayat Patani yang ditransliterasi oleh Siti Hawa Haji Salleh yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, ternyata kalimat-kalimatnya adalah sama. Menurut Siti Hawa, kajian yang diguna berdasarkan manuskrip yang didapati daripada Library of Congress, Washington. Walau bagaimanapun beberapa petikan transliterasi yang dimuat dalam artikel ini saya ambil daripada manuskrip asli versi koleksi saya sedangkan karya Siti Hawa hanyalah sebagai perbandingan.

Maklumat mengenai Syeikh Sa'id pada halaman-halaman yang hilang saya ditinggalkan saja rasanya kerana kurang perlu dibicarakan di sini. Di antara contoh petikan transliterasi yang dapat dibaca adalah seperti berikut, “... itulah maka titah raja menyuruh memalu canang ini. Barang siapa bercekap mengubat dia, jika sembuh penyakitnya diambil [oleh] raja jadi mena[n]tu.”

Maka kata Syeikh Sa'id, “Kembalilah tuan, sembahkan [kepada] raja [bahawa] yang jadi mena[n]tu raja itu, hamba tiada mau. [Tetapi] jikalau mau raja masuk agama Islam, hambalah bercekap mengubat penyakit raja itu.” Setelah didengar oleh penghulu canang itu, maka ia pun segera kembali bersembahkan kepada Temenggung seperti kata Syeikh Sa'id itu. Arakian maka Temenggung pun dengan segera mema[k]lum akan Bendahara. Setelah Bendahara mendengar kata Temenggung demikian itu maka Bendahara pun masuk menghadap raja menyembahkan seperti kata Syeikh Sa'id Pasai itu.

Mengislamkan raja

Arkian maka Syeikh Sa'id pun dipanggil oranglah. Hatta, maka Syeikh Sa'id pun datanglah menghadap raja. Maka titah baginda pada Syeikh Sa'id, “Sungguhkah tuan hamba bercekap mengubat penyakit hamba ini?” Maka sembah Syeikh Sa'id, “Jikalau tuanku mau masuk agama Islam, hambalah cekap mengubat penyakit Duli Syah Alam itu.” Maka titah raja, “jika sembuh penyakit hamba ini, barang kata tuan hamba itu hamba turutlah.”

Disingkatkan ceritanya, akhirnya Syeikh Sa'id berhasil mengislamkan raja itu, lalu ditukarnya dengan nama Islam, iaitu Sultan Ismail Syah Zhillullah fil Alam. Syeikh Sa'id sebagai pelaku mengislamkan Raja Patani yang saya petik daripada manuskrip yang ada pada saya seperti di atas yang sesuai juga dengan beberapa sumber di antaranya manuskrip Sejarah Fathani karya Syeikh 'Utsman Jalaluddin, Hikayat Patani karya A. Teeuw dan D.K. Wyatt, jilid 1, The Hague-Martinus Nijhoff, 1970.

Juga demikian dalam Patani Dahulu dan Sekarang karya A. Bangnara. Tetapi berbeza dengan manuskrip Sejarah Patani yang ditulis tahun 1202 H, koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, nombor kelas MS 809 dan yang ditulis tahun 1230 H, koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, nombor kelas MS 927.

Kedua-dua manuskrip itu menyebut pelaku yang mengislamkan raja Patani bernama Antira ialah Syeikh Shafiyuddin bukan Syeikh Sa'id.

Raja Patani setelah memeluk agama Islam diganti namanya dengan nama Sultan Muhammad Syah bukan Sultan Ismail Syah. Manuskrip Sejarah Patani karya Tengku Putra bin Sultan Abdul Muthallib Teluban dan Sejarah Kerajaan Melayu Patani karya Ibrahim Syukri juga sama dengan MS 809 dan MS 927. Keempat-empat sumber tersebut tidak menyebut nama Syeikh Sa'id sebagai pelaku mengislamkan raja Patani. Ada pun manuskrip sejarah yang ada pada saya menyebut pelaku mengislamkan raja Patani memang terdapat nama kedua-dua ulama itu, Syeikh Sa'id dengan cerita tersendiri sedangkan Syeikh Shafiyuddin lain pula ceritanya.
Tahun berapa Syeikh Sa'id datang ke Patani, dalam semua versi sejarah Patani tidak pernah menyatakan hal itu. Haji Abdul Halim Bashah dalam keraguan, tanpa menyebut rujukan, menentukan bahawa Syeikh Sa'id mengislamkan Phya Tu Nakpa pada tahun 1457. Dia telah menyalin tulisan A. Bangnara dalam buku Patani Dahulu dan Sekarang, yang menyebut, “Ada pun raja Patani itu dipercayai memeluk agama Islam kira-kira pada abad ke 15, iaitu kira-kira tahun 1457 M.” Telah disalin juga oleh Siti Hawa Haji Salleh dalam Hikayat Patani (hlm. XXI).

Nampaknya demikian yang tertulis pada peta buku Jaringan Ulama oleh Dr. Azyumardi Azra (hlm. 35), yang dikatakannya didapati daripada D.J.M, Tate, The Making of Modern South-East Asia, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1977. Bagi saya semua tahun yang disebutkan masih diragukan kerana dalam salasilah yang ada pada saya berdasarkan yang diperoleh daripada Tuan Guru Haji Mahmud, disebutkan bahawa Syeikh Shafiyuddin tiba di Paya Patani tahun 1400 M.

Dalam salasilah yang sama disebutkan juga, “... dahulu daripadanya ialah Syeikh Sa'id, Tok Pasai di Pasir Bira dan Syeikh Gombak Abdul Mubin.” Menurut penyelidikan saya yang terakhir, berdasarkan manuskrip salah sebuah versi sejarah Patani yang ada pada saya, diperoleh kenyataan bahawa Syeikh Sa'id memang lebih dulu sampai di Patani jika dibandingkan dengan Syeikh Shafiyuddin. Walau bagaimanapun keempat-empat mereka sempat bertemu dan ada hubungan kerjasama dalam bidang penyebaran Islam di Patani.

SYEIKH ZUBEIR AL-FILFULANI

Tokoh Pendidikan Islam Malaysia
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM lima keluaran terakhir kolum Ulama Nusantara yang lepas, pada bahagian bawahnya dinyatakan alamat e-mel dan nombor telefon saya. Terlalu ramai yang menghubungi saya dengan pelbagai pertanyaan.
Saya ucapkan terima kasih terutama kepada halaman agama Utusan Malaysia yang menyiarkan alamat tersebut. Ia membuka ruang bersilaturahim antara pembaca dengan penulis. Bagi pihak yang mengirim e-mel dan menelefon, saya ucapkan terima kasih.

Disebabkan pertanyaan terlalu banyak, ada yang pendek dan ada yang panjang, saya mohon maaf kerana tidak mungkin ia dapat dijawab dalam kadar yang segera. Saya anjurkan supaya anda mengikuti rencana ini secara berterusan kerana ada beberapa pertanyaan yang terjawab dengan sendirinya dalam artikel-artikel yang diterbitkan.

Daripada sekian banyak pertanyaan ada yang meminta saya menulis tentang seorang ulama yang berasal dari Pulau Pinang. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad Ismail bin Ibrahim bin Muhammad Nur al-Fardhi al-Faqih asy-Syafi'ie al-Filfulani (Pulau Pinang).

Rujukan utama untuk menyusun riwayat ulama yang berasal dari Pulau Pinang ini ialah sebuah kitab bahasa Arab berjudul Tasynif al-Asma' bi Syuyukh al-Ijazah wa as-Sama' au Imta' Uli an-Nazhar bi Ba'dhi A'yan al-Qurn ar-Rabi' 'Asyar oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa'id bin Muhammad Mamduh.
Sungguhpun ulama tersebut berasal dari Malaysia atau dunia Melayu, saya belum menemui riwayat lengkap mengenainya dalam bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun dalam beberapa karangan bahasa Melayu kadang-kadang disebut juga nama beliau. Dengan demikian dapat juga digunakan sebagai tambahan maklumat. Baru-baru ini (18 Julai 2006) dalam kertas kerja Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman berjudul Memerantauan Orang Melayu Menuntut Ilmu Di Masjid Al-Haram Dan Universiti Al-Azhar: Sejarah Dan Kepentingannya yang dibentangkan pada Seminar Mahawangsa Melayu terdapat sedikit maklumat tentang Syeikh Haji Zubeir.

Walau bagaimanapun dalam kertas itu terdapat sedikit perbezaan pendapat dengan sumber-sumber yang lain, iaitu dikatakan bahawa Mudir pertama Dar al-'Ulum ialah Syeikh Zubeir bin Ahmad (kertas kerja hlm. 7). Dalam Tasynif al-Asma' dinyatakan Mudir Dar al-'Ulum ialah Saiyid Muhsin bin 'Ali al-Masawi al-Huseini (hlm. 218). Syeikh Umar Abdul Jabbar pula menulis bahawa Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini selaku pengasas Dar al-Ulum itu (at-Tarajim wa as-Siyar, hlm. 333).

Perbezaan pendapat akan dibahaskan dalam riwayat Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini pada keluaran akan datang. Kedua-dua ulama yang sama-sama lahir pada tahun 1323 H/1905 M itu ketika di Mekah berkongsi pula mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah.

Pendidikan

Sejak usia sekitar tujuh tahun lagi Zubeir bin Ahmad memasuki salah sebuah Madrasah Islamiyah di negerinya. Pendidikan ilmu-ilmu asas seperti fiqh, akidah, tilawah al-Quran dan lain-lain dipelajarinya sejak usia tersebut. Pada tarikh 10 Muharam 1339 H/23 September 1920 M, Zubeir melanjutkan pelajarannya di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiyah di Pulau Pinang.

Beliau belajar daripada Syeikh Abdur Rahman Firdaus al-Makki, Syeikh Muhammad Radhi al-Makki, Saiyid Ahmad Dahlan al-Makki, Syeikh Abdullah al-Ghadamsi al-Maghribi, Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi al-Falaki dan Syeikh Husein Rafi'. Zubeir tamat belajar di madrasah tersebut pada bulan Syaaban 1342 H/Mac 1924 M. Kemudian beliau bersama kawan-kawannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Mereka ialah Ali Manshuri, Ahmad Manshuri, Ishaq Zain dan Abdul Majid Husein.

Sampai di Mekah mereka tinggal bersama Syeikh al-Qadhi Ahmad Qari. Mereka tiba di Mekah pada malam awal bulan Ramadan 1342 H/5 April 1924 M.

Pada bulan Syawal 1342 H/Mei 1924 M, Zubeir dan rakan-rakannya memasuki Al-Madrasah Hasyimiyah Syarif Husein bin Ali. Mereka mendapat pendidikan khusus daripada lima ulama iaitu Syeikh Umar Ba Juneid, Syeikh Jamal al-Maliki, Syeikh Habibullah asy-Syanqithi, Syeikh Muhammad Zaidan asy- Syanqithi dan Syeikh Umar Hamdan al-Mahrasi.

Pada tahun 1344 H/1925 M mereka sempat belajar di Madrasah Ash-Shaulatiyah sehingga mereka keluar dari madrasah itu pada tahun 1349 H/ 1930 M. Sewaktu di Madrasah Ash-Shaulatiyah itulah barangkali Zubeir mula bersahabat dengan Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini yang memasuki Madrasah Ash-Shaulatiyah tahun 1341 H/1923 M.

Para gurunya di Madrasah Ash-Shaulatiyah ialah Syeikh Salim Rahmatullah, Syeikh Mahmud Arif al-Bukhari, Syeikh Abdul Lathif al-Qari, Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Syeikh Mukhtar Makhdum, Syeikh Abdullah al-Bukhari.

Selain mendapat pendidikan di madrasah, Zubeir juga mendapat pendidikan di Masjid al-Haram dan dengan ulama-ulama tertentu di rumah. Di antara guru beliau yang dapat dikesan ialah Syeikh Sa'id Yamani, anaknya Syeikh Hasan Yamani, Saiyid Abdullah Shalih az-Zawawi, Syeikh Muhammad Ali al-Maliki, Saiyid Shalih Syatha, Syeikh Muhammad al-Arabi at-Tubbani dan ramai lagi.

Daripada senarai nama para guru sejak dari Pulau Pinang hingga pendidikan di Mekah tidaklah diragui bahawa Syeikh Haji Zubeir adalah seorang putera Pulau Pinang yang cukup banyak mengumpulkan ilmu pengetahuan dalam berbagai-bagai bidang.

Madrasah Dar al-Ulum

Setelah tamat belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah Syeikh, Zubeir menjalankan aktiviti mengajar di rumah dan di Masjid al-Haram, Mekah. Beliau mengajar ilmu-ilmu alat dan fiqh dalam Mazhab Syafie. Dalam Tasynif al-Asma juga disebut bahawa pada tahun 1352 H/1933 M, Syeikh Haji Zubeir berkongsi mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah di Syu'ib 'Ali, Mekah.

Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini selaku pengasas Dar al-Ulum ad-Diniyah itu bertindak sebagai Mudir yang pertama manakala Syeikh Haji Zubeir adalah Naib Mudir.
Saya tidak mengetahui sumber mana yang digunakan oleh Mohammad Redzuan sehingga dalam beberapa perkara terdapat perbezaan pendapat. Menurut beliau, selain Syeikh Haji Zubeir sebagai Mudir pertama Madrasah Dar al-'Ulum ad-Diniyah, disebutnya pula yang berusaha mengasaskan madrasah itu ialah Haji Abdul Majid Zainuddin. Haji Abdul Majid Zainuddin tersebut dikatakan meletakkan batu asas. Menurutnya lagi, bangunan untuk madrasah memulakan pengajian telah diwakafkan oleh Toh Puan Sharifah, iaitu isteri kepada Datuk Panglima Kinta (kertas kerja hlm. 7).

Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini meninggal dunia pada 1354 H/1935 M. Tempatnya sebagai Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah diganti oleh Syeikh Haji Zubeir hingga tahun 1359 H/1940 M. Pada tahun yang sama, beliau pulang ke Malaysia setelah lama mengajar di Mekah dan mempunyai ramai murid.

Aktiviti di Malaysia

Setelah berada di Malaysia Syeikh Haji Zubeir seperti biasa bergiat dalam bidang pendidikan. Di antara madrasah-madrasah tempat beliau mengajar ialah Madrasah al-Huda, Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah, Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai. Terakhir sekali menjadi Mudir Madrasah al-Idrisiyah. Madrasah al-Idrisiyah mempunyai sejarah yang panjang dan tersendiri.
Mengenai Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah, berdasarkan buku Madrasah Al-Ulum Al-Syar'iyah Perak 1937 - 1977 oleh Sabri Haji Said, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, madrasah yang terletak di Batu 20, Bagan Datoh, Perak itu sejak mulai berdirinya mendapat sumbangan daripada Syeikh Haji Zubeir.
Bahawa terbinanya Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah adalah hasil inisiatif Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Saleh. Menurut Sabri, penubuhan madrasah itu diadakan di Masjid Bagan Pasir dengan dipengerusikan oleh Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad pada 21 Oktober 1937 (Sabri, hlm. 32).
Nama madrasah itu diberi oleh Haji Muhammad Arsyad setelah berbincang dengan Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad (hlm. 33). Mudir Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah ialah Haji Muhammad Arsyad. Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad pada zaman penjajahan Jepun buat beberapa ketika pernah sebagai Wakil Mudir (hlm. 141).

Penglibatan Syeikh Haji Zubeir dalam Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah, Masjid Tinggi, Bagan Serai pula ialah beliau mengajar di madrasah tersebut pada 1946 hingga 1948.

Madrasah al-Akhlaq al-Islamiyah sangat erat hubungannya dengan Madrasah al-Ulum asy-Syar'iyah kerana didirikan oleh Haji Abdur Rahman bin Haji Muhammad Arsyad pada tahun 1943. Haji Abdur Rahman ini ialah adik-beradik Haji Hasan Adli, seorang tokoh terkenal. Kedua-duanya merupakan anak Haji Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Saleh.

Rasanya riwayat ini tidak sempurna jika tidak menceritakan madrasah tersebut yang dianggap sebati dengan beberapa orang mudirnya, antaranya ialah Syeikh Haji Zubeir yang diriwayatkan ini. Madrasah al-Idrisiyah diasaskan pada tahun 1340 H/1922 M dekat Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.
Madrasah tersebut didirikan berikutan titah Sultan Idris I Al-Mursyidul A'zam Syah, Sultan Perak pada zaman itu. Baginda menitahkan dibina madrasah itu kepada Tuan Guru Syeikh Haji Nawawi bin Haji Tahir. Senarai Mudir yang pertama Madrasah al-Idrisiyah hingga ulama yang diriwayatkan ini susunannya adalah seperti berikut: Haji Muhammad bin Haji Muhammad Saleh, berkhidmat (1922 - 1928), Syeikh Abdullah al-Maghribi (1928 - 1932), Syeikh Haji Abdullah Fahim (1932 - 1948) dan Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad 1948 - 1975).

Penulisan

Saya belum mendapat maklumat tentang penglibatan Syeikh Haji Zubeir dalam bidang penulisan. Namun kata pengantar beberapa buku membuktikan beliau berkemampuan dalam bidang penulisan. Antara buku yang terdapat kata pengantar Syeikh Haji Zubeir ialah Suluh Kemajuan karya Syeikh Haji 'Abdul Karim bin Syeikh 'Utsman Sarawak.

Penggal yang pertama ditulis pada 4 Syawal 1368 H/7 September 1948 M. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang, 17 Safar 1372 H/5 November 1952 M.

Syeikh Haji Zubeir bin Haji Ahmad menulis, “Maka orang-orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran-ajaran Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang dihormati.
“Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia. Mudah-mudahan Allah s.w.t. menggerakkan dan menyedarkan umat-umat Islam seluruh alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam dahulu kala.”

SAIYID MUHSIN AL-MASAWI

Pengasas Dar al-Ulum di Mekah
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SALAH satu institusi pendidikan Islam yang cukup terkenal di Mekah lebih 100 tahun lalu di kalangan masyarakat India, Pakistan dan lain-lain termasuk juga komuniti Islam dari dunia Melayu ialah Madrasah ash-Shaulatiyah yang diasaskan oleh salah seorang keturunan Saiyidina Utsman bin Affan yang dilahirkan di India.
Bagi masyarakat Melayu, selain mendapat pendidikan di Masjid al-Haram ramai juga yang memasuki Madrasah ash-Shaulatiyah.

Para pemuda Melayu yang sedar kepentingan pendidikan Islam, dakwah dan kemajuan bangsa serumpun Melayu akhirnya mencetuskan idea untuk mendirikan sebuah pusat pendidikan di Mekah. Tujuan pendidikan yang paling diutamakan adalah memperkukuh dan mempertahankan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.

Idea itu dicetuskan oleh seorang pemuda yang mempunyai banyak kelebihan ilmu kelahiran Palembang, Sumatera Selatan iaitu Saiyid Muhsin bin Ali bin Abdur Rahman al-Masawi. Beliau lahir pada tahun 1323 H/1905 M dan wafat di Mekah pada bulan Jamadilakhir 1354 H/September 1935 M.

Saiyid Muhsin al-Masawi mendapat pendidikan awal daripada orang tuanya. Untuk pendidikan awal yang formal, ayahnya memasukkannya di Madrasah Nur al-Islam dan beliau kemudian melanjutkan pendidikan di Madrasah Sa’adah ad-Daraini. Kedua-dua madrasah itu terletak di Jambi.

Disebabkan ayahnya meninggal dunia pada tahun 1919 M, Saiyid Muhsin al-Masawi terpaksa pulang ke Palembang.

Di Palembang, beliau sempat belajar di Madrasah Hukumiyah dan mendapat pendidikan daripada Haji Aidrus. Pada tahun 1340 H/1921 M Saiyid Muhsin al-Masawi berangkat ke Mekah. Beliau melanjutkan pendidikan di Madrasah ash-Shaulatiyah mulai tahun 1341 H/1923 M. Antara guru beliau ialah Syeikh Hasan bin Muhammad al-Masyath, Syeikh Daud Dihan, Syeikh Abdullah bin al-Hasan al-Kuhaji, Syeikh Hasbullah as-Sanqithi dan Syeikh Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman al-Fathani.

Saiyid Muhsin al-Masawi ialah seorang yang sentiasa bersungguh-sungguh, sangat rajin dan beliau pula adalah seorang yang kuat beribadat. Selain menguasai banyak bidang ilmu, Saiyid Muhsin al-Masawi ialah seorang yang sangat pandai dalam ilmu tafsir, usul fiqh, falak dan faraid.

Pada tahun 1348 H/1929 M, Saiyid Muhsin al-Masawi pergi ke Hadhramaut untuk memperluaskan pengalaman dan menambah ilmu terutama menziarahi golongan Alawiyin (keturunan Rasulullah s.a.w.). Sewaktu di Tarim, Saiyid Muhsin al-Masawi mengikuti beberapa halaqah pengajian dan sekali gus memperoleh ilmu-ilmu tradisional yang lazim diajarkan di sana.

Tradisi ulama dunia Melayu yang seboleh-bolehnya mesti menerima ilmu di Hadhramaut, Yaman, nampaknya berjalan sejak dulu. Ia dimulakan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, Syeikh Yusuf Taj al-Mankatsi, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan lain-lain. Hanya sekitar tiga bulan Saiyid Muhsin al-Masawi tinggal di Hadhramaut sebelum beliau kembali ke Mekah.

Aktiviti

Ketika Saiyid Muhsin al-Masawi berada di Mekah beliau giat mengajar di rumahnya. Yang hadir dalam halaqah pengajiannya bukan sahaja kalangan yang berasal dari dunia Melayu tetapi juga bangsa-bangsa Islam lain. Pelajarannya pula berbagai-bagai disiplin ilmu. Sungguhpun sibuk mengajar namun ia tidak menghalang beliau mendalami ilmu di Masjid al-Haram, Mekah.

Antara ulama-ulama besar guru Saiyid Muhsin al-Masawi di Masjid al-Haram ialah Syeikh Umar Ba Juneid, Syeikh Sa’id bin Muhammad al-Yamani al-Khalidi, Syeikh Muhammad Ali bin Husein al-Maliki, Syeikh Umar Hamdan, Syeikh Abdullah bin Muhammad Ghazi.

Para guru Saiyid Muhsin al-Masawi di Madinah pula ialah Syeikh Abdul Qadir bin Taufiq asy-Syibli, Syeikh Muhammad al-Baqi al-Laknawi, Saiyid Zaki bin Ahmad al-Barzanji, Syarif Abdul Hayy bin Abdul Kabir al-Kinani al-Fasi dan Syeikh Muhammad Ali Awadal-Maghribi as-Salwi.

Pada tahun 1352 H/1933 M, Saiyid Muhsin al-Masawi al-Huseini mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah di Syu’ib Ali, Mekah. Pengasasan madrasah itu pada tahun 1352 H disebut dalam Tasynif al-Asma’ oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa’id bin Muhammad Mamduh. Tetapi Syeikh Umar Abdul Jabbar dalam at-Tarajim wa as-Siyar menyebut tahun 1353 H. Dalam sumber Arab, yang berkongsi mengasaskan Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah hanya terdapat dua nama iaitu Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi al-Huseini dan Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani. Saiyid Muhsin bin Ali al-Masawi ialah Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah yang pertama, tetapi tidak lama kerana beliau meninggal dunia pada Jamadilakhir 1354 H/September 1935 M.
Secara langsung wakil Mudir ialah Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani yang dilantik menjadi mudir yang kedua. Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman dalam kertas kerjanya berjudul Memerantauan Orang Melayu Menuntut Ilmu Di Masjid Al-Haram Dan Universiti Al-Azhar: Sejarah Dan Kepentingannya yang dibentangkan pada Seminar Mahawangsa Melayu menyebut, yang berusaha mengasaskan madrasah itu ialah Haji Abdul Majid Zainuddin yang dikatakan meletakkan batu asas.

Menurutnya, bangunan untuk madrasah memulakan pengajian diwakafkan oleh Toh Puan Sharifah, iaitu isteri kepada Datuk Panglima Kinta (kertas kerja hlm. 7). Maklumat yang dikemukakan oleh Mohammad Redzuan itu adalah perkara baru bagi saya. Saya belum menemui tulisan lain ataupun cerita lisan sebelum ini. Saya tidak perlu menyanggah kenyataan itu kerana ada kemungkinan ia benar.

Penulisan

Sungguhpun umur Saiyid Muhsin al-Masawi sangat pendek namun beliau sempat menghasilkan beberapa karangan. Semua karangannya yang ditemui adalah dalam bahasa Arab. Hampir semua kitab yang disusunnya diajar di Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah, Mekah. Selanjutnya murid-murid beliau yang berhasil mendirikan sekolah di Indonesia dan Malaysia mengajar pula kitab-kitab yang beliau karang itu. Senarai karangannya adalah sebagai berikut:

1. An-Nafhah al-Hasaniyah Syarh an-Nafhah as-Saniyah fi al-Faraidh
2. Madkhal al-Wushul ila 'Ilm al-Ushul
3. Nahj at-Taisir Syarh Manzhumah az-Zamzami fi Ushul at-Tafsir
4. Jam'u ats-Tsimar Ta'liq 'ala Manzhumah Manazil al-Qamar
5. Al-Judad Syarh Manzhumah az-Zubad
6. An-Nushush al-Jauhariyah fi Ta'rif al-Manthiqiyah
7. Adillah Ahl as-Sunnah wa al-Jama'ah fi Daf'i asy-Syubuhat al- Firaq adh-Dhallah al-Mutabaddi'ah
8. Ar-Rihlah al-'Aliyah ila ad-Diyar al-Hadhramiyah

Semua kitab di atas disebut oleh Syeikh Umar bin Abdul Jabbar dalam at-Tarajim wa as-Siyar tanpa memberi keterangan yang panjang mengenainya. Kemungkinan banyak karangan beliau yang masih belum kita ketahui. Sebagai contoh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani (Padang) ialah murid Saiyid Muhsin al-Masawi.
Pada bulan 27 Ramadan 1354 H Syeikh Muhammad Yasin bin 'Isa al-Fadani menyelesaikan kitab berjudul Janiy ats-Tsamar Syarh Manzhumah Manazil al-Qamar yang merupakan syarahan karya al-Allamah Khalifah bin Ahmad an-Nabhani al-Falaki. Sebenarnya sebelum kitab tersebut disyarah oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani, ia terlebih dulu pernah diberi taqrirat (memberi pujian dan keterangan untuk memperkukuhkan sesuatu perkara) pada bahagian bawahnya oleh Saiyid Muhsin al-Masawi.

Kandungan kitab yang tersebut adalah mengenai ilmu falak. Karya yang dibicarakan ini pernah dicetak oleh Mathba'ah As-Saiyid Muhammad Abdul Lathif Hijazi, Mesir pada akhir Rabiulakhir 1369 H. Saya belum dapat memastikan karya yang ditaqrirat oleh Saiyid Muhsin al-Masawi yang disebut ini adakah sama dengan kitab yang disebut oleh Syeikh Umar bin Abdul Jabbar yang berjudul Jam'u ats-Tsimar Ta'liq 'ala Manzhumah Manazil al-Qamar (nombor 4 dalam senarai). Ini kerana sewaktu saya menyusun artikel ini kitab yang tersebut tidak sempat saya rujuk.

Murid-murid

Murid Saiyid Muhsin al-Masawi sangat ramai, yang paling terkenal ialah Syeikh Muhammad Yasin bin Isa bin Udiq al-Fadani al-Indunisiyi asy-Syafi'ie (lahir 1335 H/1916 M, meninggal dunia di Mekah, 1410 H/1989 M).
Syeikh Muhammad Yasin Padang ialah pemegang amanah sebagai Mudir Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah yang keempat dari tahun 1946 - 1990 M, sesudah Syeikh Ahmad al-Manshuri (Mudir ketiga tahun 1940 - 1946 M). Syeikh Ahmad al-Manshuri ini ialah sahabat Syeikh Haji Zubeir bin Ahmad al-Filfulani (Mudir kedua tahun 1935 -1940 M).

Kedua-dua ulama ini sama-sama mendapat pendidikan Madrasah al-Masyhur Pulau Pinang, sama-sama berangkat dan belajar di Mekah. Masih belum jelas kemungkinan Syeikh Ahmad al-Manshuri juga pengasas Madrasah Dar al-Ulum ad-Diniyah bersama-sama Saiyid Muhsin al-Masawi.

Syeikh Muhammad Yasin Padang ialah murid ketiga-tiga ulama tersebut, termasuk ulama Mekah yang sangat terkenal pada penghujung alaf yang lalu. Syeikh Muhammad Yasin Padang termasuk ulama yang dirujuk oleh ulama seluruh dunia terutama mengenai sanad-sanad pelbagai ilmu. Hasil penulisan beliau sangat banyak. Semuanya dalam bahasa Arab.

Murid Saiyid Muhsin al-Masawi yang sempat saya bergaul hanya seorang iaitu al-Hafiz Ustaz Haji Ali Usman al-Katafani (Ketapang) yang merupakan sahabat Syeikh Muhammad Yasin Padang. Saya mengenali ulama ini melalui karya beliau tentang lughah Arab. Pada mulanya saya memperoleh cerita tentang beliau daripada guru saya, Ustaz Haji Abdur Rani Mahmud, salah seorang murid beliau.

Pada tahun 1971 saya sempat bertemu Ustaz Haji Ali Usman di Singapura. Beliau menyerahkan sebuah karangannya yang masih dalam bentuk tulisan tangannya sendiri. Khatnya cukup indah, ditulis dalam bahasa Arab. Kandungan tentang sanad-sanad.

Pada penghujung tahun 1971 dan memasuki awal tahun 1972, sekitar seminggu saya tinggal di rumahnya di Bandung. Ketika itu beliau bertugas sebagai Rektor Universitas Islam Bandung (UNISBA). Selain mengikuti halaqah ketika beliau mengajar di surau, saya menyaksikan beliau sangat rajin membaca kitab, semua yang dibacanya ialah kitab bahasa Arab. Banyak maklumat tentang guru beliau, iaitu Saiyid Muhsin al-Masawi, ulama-ulama Mekah sezaman dengannya dan bahasan ilmu-ilmu Islam saya dengar dan saya peroleh daripada Ustaz Haji Ali Usman.

Ustaz Haji Ali Usman termasuk ulama besar Indonesia, tetapi ramai orang tidak mengetahui peranan yang dimainkannya. Beliau ialah salah seorang anggota Badan Konstituante Indonesia (sebuah badan sah untuk menentukan corak pemerintahan Indonesia sama ada Negara Islam ataupun Negara Nasional) tahun 1955 - 1959. Ustaz Haji Ali Usman ialah wakil badan itu dari Kalimantan Barat.