Thursday, October 05, 2006

ABDUL QADIR TUAN MINAL

Ulama dan Ayah Seorang Pejuang
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SYEIKH Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani (Tuan Minal) termasuk salah seorang ulama yang diminati ramai umat Islam di dunia Melayu. Ada e-mel yang saya terima meminta saya menulis tentang beliau.
Sebenarnya latar belakang ulama ini telah dimuatkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia pada 18 Oktober 2004. Ulama yang telah ditulis mengenai dirinya tidak perlu ditulis ulang. Namun yang masih perlu disambung adalah mengenai keturunannya yang menjadi ulama.

Lima anak laki-laki Tuan Minal al-Fathani tercatat dalam sejarah menjadi ulama belaka. Salah seorang antara mereka ialah Syeikh Abdul Qadir bin Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani ialah seorang ulama. Beberapa anak dan keturunan beliau pun ramai yang menjadi ulama.
Salah seorang antara anak beliau yang menjadi ulama dan sangat besar pengaruhnya bagi umat Islam Patani ialah Haji Sulong al-Fathani. Hampir-hampir tidak terdapat seorang pun orang Islam yang berasal dari Patani yang tidak pernah mendengar sebutan nama Haji Sulong. Beliau diakui oleh masyarakat Patani sebagai Bapa Perjuangan Patani. Daripada keabadian sejarah inilah dijadikan keterangan judul artikel ini iaitu Abdul Qadir Tuan Minal: Ulama dan Ayah Seorang Pejuang.

Adik-beradik Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani semuanya sempat menerima pendidikan langsung daripada Tuan Minal sendiri sama ada di Pondok Patani mahupun di pondok Sungai Dua, Seberang Perai.
Mereka ialah Haji Daud, Haji Abdul Qadir (yang sedang diriwayatkan), Haji Muhammad Soleh, Haji Umar, Haji Hasan dan Hajah Fatmah.

Antara mereka yang paling terkenal ialah Haji Muhammad Soleh al-Fathani yang menghasilkan sebuah kitab tentang tajwid judul Sirajul Qari yang tersebar di seluruh dunia Melayu. Haji Muhammad Soleh al-Fathani wafat di Mekah pada pagi hari Rabu, pukul 11 pagi, 15 Zulhijjah 1308 H/1890 M. Tetapi pada cetakan 1331 H/1912 M oleh percetakan yang sama, dinyatakan bahawa pengarangnya wafat pada tahun 1309 H/1891 M.
Syeikh Haji Muhammad Soleh al-Fathani juga menggubah untaian syair bercorak sastera klasik gurindam dalam Kasyful Litsam karya ayahnya, Tuan Minal.

Haji Umar bin Tuan Minal menghasilkan beberapa karya, antaranya Risalah Pada Menyatakan Sebab Jadi Murtad.

Demikian juga saudaranya, Haji Hasan bin Tuan Minal al-Fathani yang menghasilkan penulisan berjudul Pungutan Kanak-Kanak. Haji Hasan mendapat dua anak, yang menjadi ulama bernama Haji Muhammad, dan yang seorang lagi bernama Abdur Rahman. Haji Abdur Rahman ini ialah ayah kepada Ustaz Uthman Fauzi yang mendapat pendidikan di Universiti Azhar, Mesir.

Anak perempuan Tuan Minal al-Fathani juga menurunkan beberapa orang ulama. Hajah Fatmah binti Tuan Minal al-Fathani berkahwin dengan Tuan Guru Haji Abdur Rasyid Bandar Patani. Mereka mendapat anak bernama Ya’qub dan Hajah Khadijah. Khadijah (cucu Tuan Minal al-Fathani) kahwin dengan Tuan Guru Haji Abdul Aziz yang merupakan murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Abdul Aziz membuka pondok pengajian. Daripada perkahwinan itu mereka memperoleh anak bernama Haji Abdul Wahhab. Haji Abdul Wahhab bin Tuan Guru Abdul Aziz pernah menjadi Ketua Majlis Agama Islam Patani. Selain itu Haji Abdul Wahhab juga memimpin sebuah pondok pengajian di tempatnya.

PERKAHWINAN DI MUAR

Menurut riwayat, Sultan Abu Bakar dari Johor pada tahun 1296 H/1879 M mulai berkenalan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani di Istanbul, Turki. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fathani pernah datang ke Johor menziarahi beberapa orang muridnya. Salah seorang yang ikut dalam rombongan Syeikh Ahmad al-Fathani ke Johor ialah muridnya Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani. Di Muar, rombongan Syeikh Ahmad al-Fathani ditempatkan di rumah muridnya yang merupakan antara orang yang kaya di Muar pada zaman itu.
Anak orang kaya Muar itu yang bernama Shafiyah dikahwinkan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani. Shafiyah kemudian lebih dikenali dengan nama Mik Muar saja di Patani. Perkahwinan itu memperoleh tujuh orang anak. Haji Sulong ibunya bukan Mik Muar tetapi adalah daripada isteri Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani yang berasal dari Kelantan.

Setelah Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani kahwin dengan Mik Muar, beliau tinggal di Muar selama beberapa tahun dan sempat mengajar berjenis-jenis kitab di Muar dan tempat-tempat lain di Johor. Daripada perkahwinan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani dengan Mik Muar, tersebarlah ramai keturunannya di Patani dan Kelantan. Namun mereka terputus maklumat kekeluargaan dengan keluarga Mik Muar yang berada di Muar.

Cukup sukar bagi saya menjejaki kewarisan keluarga tersebut yang berada di Muar kerana orang kaya Muar (ayah Mik Muar) yang dimaksudkan nama beliau tidak diketahui oleh keturunannya yang berada di Patani. Yang mereka ceritakan hanya rumahnya di seberang sungai Muar merupakan rumah yang paling besar di Muar, berpagar tinggi dan mempunyai pintu gerbang yang bertanda anak kunci besar di atas pintu gerbang itu.

Rumah tersebut kemungkinan sudah tiada lagi kerana Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani berkahwin di Muar sekitar 80 atau 90 tahun lalu. Melalui artikel ini saya minta bantuan siapa saja yang mengetahui tentang kewarisan ini supaya menghubungi saya dengan tujuan menghubungkan kembali silaturahim yang telah terputus dan sekali gus dapat menyelesaikan banyak masalah selain memberikan penulisan sejarah yang lebih jelas.

Menurut riwayat, Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani telah berkahwin beberapa kali. Yang dapat dipastikan menjadi ulama ialah Haji Sulong dan Haji Abdur Rahim. Perkahwinan Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani dengan Shafiyah (Mik Muar) memperoleh tujuh anak iaitu Zainab, Maryam, Abdullah, Muhammad Nur, Khadijah, Mahmud dan Fatimah. Riwayat Haji Sulong akan saya bicarakan dalam artikel tersendiri menerusi tulisan lain dalam halaman Agama Utusan Malaysia, tetapi kerana terdapat sedikit kemusykilan nama beliau maka di sini dirasakan perlu saya memberi sedikit keterangan.

Karya-karya Haji Sulong semuanya menggunakan nama Haji Muhammad Sulum bin Abdul Qadir bin Muhammad al-Fathani. Dalam penelitian saya dan selepas berbahas dengan beberapa ahli keluarga ini, antaranya Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong, Hajah Nik Wan Nafisah isteri Abdullah bin Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani, bahawa memang tidak terdapat anak Syeikh Zainal Abidin (Tuan Minal) al-Fathani bernama Muhammad.

Kami berkesimpulan bahawa munculnya nama ‘Muhammad’ yang dikatakan ayah kepada Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani hingga kini belum diketahui sebab-sebabnya. Kemungkinan ia memang sengaja ditulis oleh Haji Sulong seperti demikian kerana dirujuk kepada Muhammad ayah Tuan Minal sendiri.
Haji Sulong ketika remaja selalu mengikut ayahnya Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani belajar dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kesan kewibawaan dan kepimpinan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak dapat dinafikan sebati dalam diri Haji Sulong. Dapat disimpulkan bahawa Haji Sulong ialah kader politik tempaan Syeikh Ahmad al-Fathani walaupun Haji Sulong ketika itu masih muda.

Haji Sulong ialah kader politik termuda Syeikh Ahmad al-Fathani; yang agak tua sedikit ialah Nik Mahmud bin Ismail Kelantan, yang kemudian setelah pulang ke Kelantan dikenali sebagai Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan.

Haji Sulong ialah seorang ulama besar Patani pada zamannya. Beliau merupakan pembangkit Revolusi Patani Merdeka pada zaman moden Pada zaman Perang Dunia Kedua. Pergerakan ulama Patani yang membuat tuntutan kemerdekaan, yang Haji Sulong dilantik sebagai ketuanya, dinamakan Hai-atun Nafaz al-Ahkam asy-Syar'iyah.

Mengenai kisah keulamaan dan ketokohan Haji Sulong yang hilang tanpa diketahui di mana kuburnya itu akan dibicarakan dalam satu siri tersendiri yang lebih lengkap.

Saya mula berkenalan dengan Haji Muhammad Amin bin Haji Sulong sejak tahun 1970. Banyak perkara yang dibicarakan terutama tentang sejarah ulama.

Beberapa tahun sebelum Haji Muhammad Amin meninggal dunia, selama dua hari dua malam kami sama-sama berada di rumah Abdullah Syam di Kota Bharu, Kelantan. Abdullah Syam juga ialah salah seorang cucu Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani daripada isterinya Mik Muar.

Daripada Haji Muhammad Amin, saya memperoleh riwayat yang lengkap tentang Haji Abdur Rahim bin Syeikh Abdul Qadir Tuan Minal al-Fathani. Menurut Haji Muhammad Amin, Haji Abdur Rahim ialah seorang ulama besar yang sukar kita bandingkan pencapaian keilmuannya dengan Haji Sulong. Haji Abdur Rahim pernah menjadi Penolong Kadi di Pulau Pinang, pernah mengajar di Pulau Dua dalam Burma (sekarang Myanmar) dan pernah membuka pondok pengajian di Phuket, Thailand. Beliau juga pernah mengajar di Pasir Mas, Kelantan dan mengajar di Kampung Sirih Jabat, Patani.

Haji Abdur Rahim al-Fathani mendapat pendidikan daripada abangnya Haji Sulong dan selanjutnya belajar di Mekah. Berbeza dengan Haji Sulong yang sempat meninggalkan beberapa karya, Haji Abdur Rahim tidak diketahui sama ada beliau meninggalkan karya atau tidak.

Anak Syeikh Abdul Qadir bin Tuan Minal al-Fathani yang perempuan daripada isterinya Shafiyah (Mik Muar) ialah Hajah Zainab yang berkahwin dengan seorang alim bernama Haji Daud yang membuka pondok pengajian di Legor, Thailand. Saudaranya yang lain bernama Hajah Maryam. Beliau ialah seorang ahli dalam bacaan al-Quran dan mengajar al-Quran termasuk hukum-hukum tajwid.

Anak beliau yang laki-laki pula ialah Abdullah. Beliau bukan seorang ulama tetapi menjadi Blat (Ketua Pemerintahan) di Daerah Penarik. Blat Abdullah berkahwin dengan Hajah Wan Nafisah bin Qadhi Haji Wan Ismail Jambu al-Fathani. Sama ada Blat Abdullah mahupun isterinya, Hajah Wan Nafisah (saudara sepupu saya), yang saya mula mengenali mereka pada tahun 1970, saya banyak mendengar pelbagai kisah mengenai keluarga besar yang diriwayatkan ini.

Walaupun Blat Abdullah ialah adik-beradik seayah dengan Haji Sulong, beliau tidak bercerita banyak tentang abangnya itu, kemungkinan berasa takut dengan pihak-pihak tertentu dalam kerajaan Thailand. Ia jauh berbeza dengan Haji Muhammad Amin, anak Haji Sulong sendiri. Haji Muhammad Amin tidak pernah berasa takut kepada siapa pun ketika menceritakan tentang peristiwa ayahnya Haji Sulong yang hilang secara misteri itu.

Haji Muhammad Amin berhasil menerbitkan wasiat terakhir Haji Sulong dalam sebuah karya yang diberi judul Gugusan Cahaya Keselamatan yang selesai ditulis semasa dalam penjara di Legor pada 3 Zulkaedah 1368 H/28 Ogos 1949 M. Karya ini sangat penting bagi bangsa Melayu-Patani. Cetakan pertama diterbitkan pada tahun 1377 H/1958 M.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home