Friday, October 06, 2006

SYEIKH MAHMUD SYARWANI

Dari Mekah Berhijrah ke Nusantara
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TERDAHULU daripada ulama yang dibincangkan dalam rencana ini, ada dua ulama luar yang berjasa menyebarkan Islam di dunia Melayu. Yang diriwayatkan ini adalah yang ketiga.
Ulama ini pula nama lengkapnya ialah Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani. Syeikh Mahmud asy-Syarwani meninggal dunia di Pontianak pada Rabu, pukul 1, 20 Jamadilakhir 1314 H/26 November 1896 M. Dikebumikan pada pagi Khamis, 21 Jamadilakhir 1314 H/27 November 1896 M di Perkuburan Al-Marhum Pangeran Bendahara Syarif Ahmad Al-Qadri Pontianak.

Sebelum meriwayatkan Syeikh Mahmud asy-Syarwani, terlebih dulu kita perlu perhatikan latar belakang hidup ayahnya, iaitu Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani. Beliau sangat terkenal dalam lingkungan Mazhab Syafie di seluruh dunia Islam. Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ialah murid seorang ulama yang sangat terkenal, iaitu Syeikh Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri (1192 H/1783 M - 1277 H/1861 M). Di antara sebab-sebab Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani terkenal adalah kerana beliau menulis sebuah karya yang sangat besar.

Dalam sejarah perkembangan Mazhab Syafie yang mutakhir, wujud dua kitab rujukan yang sangat terkenal. Pertama ialah Tuhfah al-Muhtaj asy-Syarh Minhaj, yang terdiri daripada 10 jilid karya Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami (lahir di Mesir, 909 H/1503 M, wafat di Mekah, 974 H/1567 M). Kedua ialah Nihayah al-Muhtaj ila asy-Syarh Minhaj yang terdiri daripada lapan jilid, juga tebal dan besar karya Imam Ramli (lahir 919 H/1513 M, wafat 1004 H/1596 M).
Kedua-dua kitab dan ulama tersebut bukan sahaja mempunyai pengaruh besar dalam Mazhab Syafie di seluruh dunia termasuk di dunia Melayu. Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani telah memperluaskan kandungan Tuhfah al-Muhtaj asy-Syarh Minhaj karya Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami dengan menulis sebuah hasyiyah. Manuskrip asli Hasyiyah Tuhfah karya Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani pernah dimiliki oleh Syeikh Ahmad al-Fathani (salah seorang murid beliau).

Syeikh Ahmad al-Fathani pernah menulis pentahqiqan Hasyiyah Tuhfah baik yang bersumber daripada manuskrip mahupun daripada kitab yang pernah diterbitkan.
Perlu saya catatkan bahawa Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani selain terkenal dengan Hasyiyah Tuhfah juga termasuk ulama besar di Mekah. Nama beliau selalu disebut-sebut seumpama Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1232 H/1816 M -1304 H/1886 M) dan Syeikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H/1817 M - 1335 H/1917 M). Beberapa ulama dunia Melayu sempat belajar dengan kedua-dua ulama itu dan pada masa yang sama juga belajar daripada Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani.

Sumber penelitian

Khusus mengenai Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani, sumber utama saya adalah daripada salah seorang guru saya, Ustaz Haji Abdul Rani Mahmud (ketika hidup adalah Ketua Majelis Ulama Propinsi Kalimantan Barat). Cerita beliau saya dengar berkali-kali dalam rangka membahaskan kitab Tuhfah al-Muhtaj dan Hasyiyah Tuhfah. Disebabkan terjadi gerakan Wahabi di Mekah, salah seorang anak Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani yang bernama Syeikh Mahmud asy-Syarwani ad-Daghistani terpaksa berhijrah meninggalkan Mekah. Beliau memilih untuk pergi ke dunia Melayu.

Oleh kerana beliau ialah seorang ulama dan ayahnya memang cukup terkenal, Syeikh Mahmud asy-Syarwani ad-Daghistani mendapat perhatian Sultan Sambas dan Sultan Pontianak. Daripada perkenalan dan persahabatan saya dengan salah seorang keturunan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani, beliau ialah Syeikh Isa asy-Syarwani (meninggal dunia pada 2005), tersingkaplah fenomena riwayat ulama yang sedang dibicarakan ini. Daripada Syeikh Isa asy-Syarwani, saya memperoleh sumber asli berupa dokumen bertulis mengenai Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani dan keturunannya di Pontianak.

Antara surat-surat yang penting sebagai dokumen ialah:
1. Surat daripada Syeikh Mahmud ad-Daghistani bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani ke hadrat Saiyidi asy-Syarif Qasim ibnu al-Marhum Saiyidi asy-Syarif Hasan al-Qadri. Tarikh 23 Jamadilakhir 1310 H.
2. Laporan Satu Upacara Perkahwinan Di Istana Al-Qadriyah Pontianak. Tarikh akhir Zulhijjah 1324 H.
3. Surat Kuasa dan Pengakuan Keturunan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani di Pontianak dan lain-lain.

Maklumat daripada surat-surat di atas secara ringkasnya dapat disimpulkan bahawa semuanya adalah penting. Sekurang-kurangnya ia memberikan pelbagai informasi tentang sejarah, kebudayaan, adat-istiadat, kesenian dan lain-lain. Ada pun surat bertarikh 23 Jamadilakhir 1310 H/12 Disember 1892 M adalah merupakan laporan pelbagai peristiwa di Pontianak dan Sambas. Dimulai laporan pelbagai peristiwa kemasyarakatan pada persekitaran kesempitan dan kesusahan termasuk yang dialami sendiri oleh Syeikh Mahmud Syarwani. Walau bagaimanapun beliau selalu mendapat pertolongan terutama daripada Sultan Sambas.

Kandungan surat tersebut amat menarik. Selain seorang ulama, Syeikh Mahmud Syarwani juga ialah seorang ahli dalam kesenian gambus dan lagu-lagu Arab yang bercorak puji-pujian yang biasa digunakan oleh ahli sufi. Dalam surat diceritakan juga peristiwa di Sambas, bahawa dari Mekah datang seorang Arab ahli seni gambus yang terkenal bernama Syeikh Muhammad Amudi. Oleh sebab salah pengertian, pada mulanya Syeikh Muhammad Amudi tidak dibenarkan mengadakan persembahan seni dan sekali gus tidak dibenarkan tinggal di Sambas.
Peristiwa tersebut mendapat perhatian Syeikh Mahmud Syarwani. Beliau sendiri pergi menghadap Pangeran Bendahara Sambas sehingga Syeikh Muhammad 'Amudi dibenarkan tinggal di Sambas dan dibenarkan pula membuat siri pertunjukan seni gambus itu kepada masyarakat Sambas. Berdasarkan cerita yang termaktub dalam surat itu dapat dipelajari pemikiran Syeikh Mahmud Syarwani. Menurutnya jenis seni ada dua macam. Yang pertama adalah dicela oleh syarak dan kedua yang dibolehkan.

Lagu-lagu yang terdapat dalam permainan gambus iaitu yang bercorak pujian-pujian kepada Allah, selawat dan lain-lain sejenisnya adalah dibolehkan dalam Islam. Demikian juga khalayak yang hadir dan tempat melaksanakannya juga perlu diperhatikan, ertinya bukanlah bebas seperti pertunjukan-pertunjukan yang dilakukan oleh golongan-golongan yang melanggar norma-norma yang digariskan oleh Islam. Syeikh Mahmud Syarwani dan Syeikh Muhammad Amudi, sahabatnya dari Mekah, memperkenalkan gambus bertujuan menseimbangkan pelbagai seni yang ditolak oleh Islam. Dalam surat yang sama Syeikh Mahmud Syarwani dinyatakan berhasrat menyebarkan pelbagai kepandaian di Pontianak yang akan dipusatkan Kampung Melayu, iaitu sebuah kampung yang agak dekat dengan Istana Qadriyah (Istana Sultan Pontianak). Dalam surat dinyatakan bahawa beliau sangat mengasihi zuriat Nabi Muhammad s.a.w., termasuklah keluarga Sultan Pontianak, iaitu keturunan ‘Saiyid’, marga ‘Al-Qadri’. Tulisan Syeikh Mahmud Syarwani menyebut, “Seboleh-bolehnya mahu tetap di Pontianak sahaja, biarlah mati di Pontianak antara anak cucu Rasulullah....”

Dalam suratnya juga, Syeikh Mahmud Syarwani memperhatikan perkembangan dan pembangunan semasa dalam kerajaan Sambas. Beliau meriwayatkan bahawa Sultan Sambas akan menemui Residen di Pontianak yang akan memindahkan pusat pemerintahan ke arah sungai besar yang agak jauh ke Kuala Sungai Sambas.

Dengan langkah itu, Sultan Sambas bermaksud negeri Sambas menjadi ramai dan dua orang putera Sultan Sambas telah membawa dari Eropah fabrik tupu (belum jelas apa yang beliau maksudkan, pen:), fabrik kisaran padi dan lain-lainnya. Daripada bahagian ini dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Mahmud Syarwani juga seperti ulama-ulama lain menerima kebijaksanaan pemerintah dalam melaksanakan pembangunan dan kebajikan.
Walau bagaimanapun, sekiranya dalam pelaksanaan terdapat hal-hal negatif yang merosakkan ajaran Islam dan masyarakat penganutnya maka adalah wajib ulama menasihati. Hal ini sama ada dilakukan dalam bentuk lisan ataupun tulisan.

Surat yang kedua merupakan dokumen kerajaan Pontianak iaitu ‘Laporan Satu Upacara Perkahwinan Di Istana Pontianak’ yang tertulis malam Isnin, pukul 8, tarikh akhir Zulhijjah 1324 H/12 Februari 1907 M. Kandungan ringkasnya adalah laporan salah satu upacara perkahwinan di Istana Sultan Pontianak di Balai Cermin yang dihadiri oleh beberapa pembesar yang terdiri daripada Saiyidi Mufti, sekalian Pangeran Bendahara, Saiyid Ismail, Pangeran Temenggung, Pangeran Jaya, Pangeran Suma, Pangeran Perdana, Pangeran Aria, Pangeran Putra, Pangeran Seri, Pangeran Cakra, Pangeran Jaya, dan jemputan-jemputan kenamaan dan rakyat jelata.

Dari sini dapat diketahui nama-nama pangkat yang digunakan dalam kerajaan Pontianak. Perkahwinan yang dilakukan adalah salah seorang Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak dengan Fatimah, anak seorang ulama besar bernama Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani. Perkahwinan keturunan umara (kesultanan Pontianak) dan keturunan ulama (Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani) yang tersebut bererti menambah keselarasan dan keserasian urusan pentadbiran pemerintahan dan urusan Islam. Dalam surat diceritakan adat istiadat baik sebelum mahupun sesudah perkahwinan secara terperinci.

Surat yang ketiga juga penting iaitu ‘Surat Kuasa dan Pengakuan Keturunan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani’ yang tidak bertarikh. Kandungan ringkas membicarakan tentang pengurusan harta pusaka peninggalan Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani di Mekah. Mereka yang bertandatangan ialah cucu-cucu beliau di Pontianak iaitu Muhammad Syarwani, Ahmad Syarwani, Jamilah Syarwani dan Fatimah Syarwani. Yang tidak terdapat namanya ialah Isa Syarwani, kemungkinan sewaktu surat itu ditulis beliau masih kecil.
Ayah mereka yang termaktub dalam surat ialah Syeikh Mahmud bin Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani ad-Daghistani. Mereka telah memberi kuasa pengurusan kepada Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi. Daripada surat ini dapat kita ketahui betapa eratnya hubungan kekeluargaan ‘az-Zawawi’ dan ‘asy-Syarwani’. Kedua-dua keluarga tersebut telah berperanan dalam pendidikan Islam sejak di Mekah hinggalah mereka berhijrah ke Pontianak.
Ada pun yang dimaksudkan dengan Saiyid Ali bin Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah ayah kepada Saiyid Yusoff az-Zawawi yang pernah menjadi Mufti Terengganu (berkhidmat pada 7 April 1953 hingga 31 Disember 1975). Saiyid Abdullah az-Zawawi pula ialah ulama besar yang pernah menjadi Mufti Mekah, kemudian pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak. Riwayatnya dapat dirujuk dalam halaman Agama Utusan Malaysia, Isnin, 1 Mei 2006.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home