Sunday, October 15, 2006

TOK BENDANG DAYA

Hulubalang Fathani Darus Salam
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TOK Bendang Daya ada dua orang. Tok Bendang Daya yang pertama diriwayatkan dalam artikel ini. Yang seorang lagi adalah anak beliau Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang diriwayatkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 20 Disember 2004.

Nama lengkap Tok Bendang Daya yang pertama ialah Syeikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Zainal Abidin /Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin Ali al-Masyhur al-Laqihi. Beliau lahir tahun 1160 H/1747 M, wafat tahun 1280 H/1863 M, di Kampung Bendang Daya, Patani.

Ayah beliau, Syeikh Wan Muhammad al-Fathani dan beberapa penyebar Islam di Patani sebelum itu adalah ulama dan pembesar kerajaan Patani.
Syeikh Haji Wan Mushthafa pernah menjadi hulubalang Sultan Fathani Darus Salam yang digelar Datuk Panglima Kaya yang juga digelar dengan nama singkat Hulubalang Wan Pa. Gelaran yang masyhur ialah Tok Bendang Daya.

Diriwayatkan beliau juga diberi hak mutlak untuk melantik sultan dan raja-raja dalam Daulah Fathani Darus Salam sebelum kerajaan itu dijajah oleh bangsa Siam. Apabila tua beliau membina Pondok Sena yang dipagari dengan pohon sena yang berjajar-jajar. Maka disebutlah kampung kawasan pondok itu dengan nama Sena Janjar dan kampung bersebelahan dengannya dinamakan Bendang Daya.

Kedua-dua kampung itu adalah dalam kawasan Kampung Sena yang besar dan luas yang dibuka atau diterokai oleh datuk nenek beliau. Tok Bendang Daya al-Fathani meninggal dunia semasa berusia kira-kira 120 tahun. Makam beliau terdapat di Kampung Bendang Daya juga dalam kawasan Kampung Sena.

Beberapa perkara penting yang dapat kita pelajari daripada kisah tokoh besar ini, sekurang-kurangnya menyentuh tentang seorang ulama yang menjadi panglima dalam sistem Daulah Fathani Darus Salam. Penglibatan beberapa ulama dalam perang melawan pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah, sistem pengajian pondok yang pertama paling ramai pelajarnya di dunia Melayu dan terakhir sekali cerita Lailatul Qadar. Semuanya tidak dapat dibicarakan dengan khusus, ada yang dapat dibicarakan di sini, ada pula terpaksa ditinggalkan atau dipotong kisahnya kerana sebab-sebab tertentu.

Perang

Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tercatat sekelumit kisah tentang penglibatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu perang besar ketika pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama ahli sufi penyusun kitab Siyar as-Salikin itu dinyatakan ghaib (hilang) atau pun syahid dalam perang itu (1244 H/1828 M). Daripada pelbagai sumber yang saya kumpulkan bahawa panglima perang Patani dalam perang itu ialah Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya). Sebuah manuskrip yang saya peroleh di Pontianak disebut pula yang ikut dalam perang itu ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Oleh sebab laporan di antara orang yang ikut dalam perang itu ada yang hijrah ke Pontianak, maka dalam manuskrip itu tercatatlah bahawa ketiga-tiga ulama besar dunia Melayu itu syahid di bumi Patani.

Mengenai kisah yang panjang belum perlu saya bahas, yang perlu saya sentuh ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disangka syahid adalah hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah bukan bererti lari daripada jihad. Tetapi menyusun strategi untuk kemenangan rangka panjang. Kerana kemenangan rangka pendek belum dapat dipastikan.
Tok Bendang Daya pula mengambil sikap tidak meninggalkan bumi Patani. Hidup atau mati yang bercorak bagaimana pun mestilah di bumi Patani juga. Walau bagaimanapun taktik dan strategi perjuangan perlu disusun secara kemas dan rapi. Sekiranya belum dapat kemenangan, selagi nafas dikandung badan, selagi bulan dan matahari terbit dan terbenam, selagi dunia belum kiamat, janji untuk diri sendiri dan titipan wasiat kepada umat Melayu Patani, perjuangan mempertahankan Islam dan negara adalah wajib diteruskan.

Perjuangan kedua-dua ulama Patani itu akan diketahui sepanjang zaman, tidak akan hilang dari sejarah perkembangan tamadun bangsa Melayu dan Islam buat selama-lama. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berjuang dari segi penulisan pelbagai ilmu dalam Islam. Termasuk juga Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang diselamatkannya melalui penyalinan. Tok Bendang Daya pula, supaya beliau tidak dapat dikesan oleh musuh-musuh, telah menyamar sebagai orang bodoh, tidak tahu sesuatu apa pun.

Tok Bendang Daya faham di tempat mana beliau berada, oleh itu pada ketika yang lain beliau menjadi seorang sufi, seolah-olah seorang yang tidak perlu kepada kepentingan duniawi. Tetapi secara sangat rahsia Tok Bendang Daya memantap dan menghimpunkan kembali saki baki pejuang-pejuang Islam bangsa Melayu terutama orang-orang Kedah dan Patani yang setia kepadanya.

Riwayat ini masih belum lengkap jika tidak memberi sedikit gambaran tentang kehebatan Tok Bendang Daya semasa perang. Oleh itu amanah dari periwayat perlu juga dipindahkan ke dalam bentuk tulisan tersebar ini. Diriwayatkan bahawa Tok Bendang Daya menyertai perang pencerobohan Siam terhadap Patani yang terjadi tahun 1235 H/1820 M hinggalah perang tahun 1244 H/1828 M.

Sungguhpun umur beliau ketika itu sangat tua, namun tetap masih gagah, tangkas dan berwibawa. Selain mampu menyusun taktik pertahanan dan taktik penyerangan, Tok Bendang Daya juga ada ketahanan menghadang pelbagai jenis senjata termasuk peluru meriam yang ada pada zaman itu.

Berkali-kali beliau kena tembak dengan meriam, tetapi ada satu keanehan bahawa apa jua jenis peluru menjadi jinak dan lunak kepadanya. Peluru yang sampai kepadanya hanya melekat pada bahagian pakaiannya tidak gugur ke tanah, tidak pula menembusi hingga kepada kulit, apatah lagi masuk hingga ke daging.

Selepas pulang dari sesuatu peperangan, peluru-peluru yang melekat pada pakaian barulah dibuang dengan jalan mengibas-ngibaskan pakaian itu. (Sumber cerita dari Tuan Guru Haji Muhammad bin Yusuf, salah seorang buyut Tok Bendang Daya, juga didengar dari Tuan Guru Haji Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Ibu beliau, cucu Tok Bendang Daya sempat saya jumpa di Mekah, 1979, ketika itu berumur lebih 100 tahun namun beberapa maklumat dapat saya sahihkan kepada beliau).

Ada orang bertanya, ilmu dan amalan apa yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya sehingga berkemampuan demikian?

Agama Islam adalah sangat luas dalam pelbagai hal. Apabila kita akan menceburi diri di dalam sesuatu perkara perlulah belajar ilmu apa saja yang ada hubungan dengan perkara itu. Jika menghadapi peperangan seperti Tok Bendang Daya perlulah belajar pelbagai sektor ilmu tentang peperangan. Nabi Muhammad s.a.w ketika berperang juga menggunakan pelbagai cara termasuk dengan doa-doa tertentu.

Saya tidak pasti doa khusus yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya untuk ketahanan diri ketika dalam perang, namun walau bagaimana pun berdasarkan catatan anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, bahawa Tok Bendang Daya mengamalkan surah al-Ikhlas, yang dibaca beribu-ribu kali serta dengan doanya.

Lailatul Qadar

Pada hari ini, 23 Ramadan 1427 H, yang mana kita ketahui, ramai orang yang berjaga malam, tertunggu-tunggu untuk mendapatkan pahala ibadat, lebih baik daripada 1,000 bulan, seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu Lailatul Qadar. Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan berjaya bertemu malam yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan itu.

Di antara ulama yang bertemu dengan Lailatul Qadar itu ialah Tok Bendang Daya dan anak beliau Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya ke-II).

Riwayat Tok Bendang Daya bertemu Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya hampir semua rakyat Patani pernah mendengarnya. Ceritanya tersebar sejak dulu hingga sekarang ini. Walau bagaimana pun semuanya adalah cerita lisan, tidak terdapat satu pun dalam bentuk tulisan. Yang berupa catatan bertulis yang saya mulakan, tahun 1970. Saya dengar, saya tanya dan saya catat dari Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Yang saya ketahui bahawa Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi ketika catatan saya lakukan adalah merupakan satu-satunya cicit Tok Bendang Daya yang tertua, yang teralim dan yang paling mengetahui hampir semua aspek sejarah keluarga yang dibicarakan ini.

Selama sebulan, dalam bulan Ramadan 1390 H/November 1970 saya bersama beliau telah men ziarah Makam Tok Bendang Daya. Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi bercerita sebagai berikut, “Pada suatu malam, dinihari, bulan Ramadan, sewaktu Tok Bendang Daya akan mengambil air wuduk untuk melakukan solat tahajud tiba-tiba perasaannya berubah, beliau tidak berada di alam nyata. Dalam perasaannya, dilihatnya semua pepohon rebah menghadap ke perigi Bendang Daya. Air perigi tiba-tiba membeku. Sedarlah beliau bahawa peristiwa tersebut kemungkinan yang dinamakan Lailatul Qadar.”

Tok Bendang Daya kemudian berdoa mohon kepada Allah pada malam yang berkat itu agar empat anak lelakinya menjadi ulama dan setiap salah seorang daripada empat orang anaknya itu ada yang jadi ulama yang bersambung terus hingga ke hari kiamat. Keempat-empat anak beliau itu ialah Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Disingkatkan namanya menjadi Syeikh Muhammad Zain al-Fathani atau dikenal dengan sebutan Tuan Guru Wan Din al-Fathani. Anak Tok Bendang Daya yang kedua bernama Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, beliau inilah yang digelar dengan Tok Bendang Daya yang kedua. Anak Tok Bendang Daya yang ketiga bernama Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang menyebarkan Islam di Bangkok. Dan anak Tok Bendang Daya yang keempat ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani yang lebih dikenal dengan sebutan Tok Cik Wan Daud al-Fathani, beliau mengajar di Mekah, di rumahnya dan di Masjidil Haram, Mekah.

Kisah anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II), juga bertemu Lailatul Qadar di tempat yang sama, saya tinggalkan saja, namun perlu saya nyatakan bahawa apa yang dialami oleh kedua-duanya adalah berbeza. Saya belum mencatat secara terperinci berapa orang ulama dunia Melayu yang diriwayatkan pernah bertemu Lailatul Qadar, tetapi yang pasti bilangannya ramai. Antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Di dalam beberapa kitab diriwayatkan ramai ulama Islam yang terkenal seperti Imam Syafie, Abi Yazid al-Bistami dan lain-lain, juga pernah bertemu Lailatul Qadar dengan pengalaman yang berbeza-beza pula.

7 Comments:

Blogger john said...

kepada abg bosa,sangat menarik artikel anda,walaupun ringkas tetapi kemas,saya sangat menyanjung abg bosa mencari serta mengarang cerita ulama2 ini.bolehka abg bosa detailkan maklumat2 begini untuk tatapan masyarakat generasi kedepan.

terima kasih

fauzi

fauzicob@yahoo.com.my

10:41 PM  
Blogger cucu-cicit tok said...

thanks abg bosa..artikel ni amat menarik sgt..sedikit sbnyak dpt mengenali salasilah diri dan mengetahui perkara2 pnting dgan lebih terperinci..

7:14 AM  
Blogger fairus azian said...

Salam, terima kasih atas perkongsian. Saya juga punya pertalian saudara dengan tok bendang daya melalui cicit beliau yang ada dikedah, persaudaraan ini disebelah keluarga isteri, dan baru2 ni pulang ke kedah sempat ziarah beliau.

5:32 AM  
Blogger albinnas said...

salam abg bosa, bersyukurlah kerana abg bosa ada maklumat yang agak terperinci dan lengkap... setahu saya dan daripada pengalaman cerita-cerita orang lama ilmu dan amalan Tok Bendang Daya yang tak tembus peluru dan sebagainya itu adalah yang dipanggil "ilmu yang boleh dikamil-mukamilkan antara sifat ma'ani dan maknawiyah" dan lain2 amalan lagi

5:57 PM  
Blogger anuat said...

Syabas... satu makalah yg patut dibanggakan terutama kpd mereka yg ada jatimelayu.

Sebenarnya kerajaan Siam yg dicatatkan boleh mengelirukan pembaca... Siam Bangkok dan Siam Ayuthya adalah tidak sama.... dan pada perkiraan tahun2 disebut adalah Siam Bangkok .... sebenarnya adalah kerajaan Thailand yg menyamar dalam budaya siam sehingga sampai satu ketika terjamin dan stabil pemerintahannya lalu bertukar kpd Thai .... menyusuri bangsa Sukhothai(Suku Thai @ Dai) yg telah menakluk kerajaan Siam asal....

Maaf kerana saya tidak mempunyai butiran lengkap ttapi itulah hakikat .... sehingga kpd rakyat Thai muslim membezakan kerajaan Siam Islam dan Siam Kafir

6:05 PM  
Blogger anuat said...

Syabas... satu makalah yg patut dibanggakan terutama kpd mereka yg ada jatimelayu.

Sebenarnya kerajaan Siam yg dicatatkan boleh mengelirukan pembaca... Siam Bangkok dan Siam Ayuthya adalah tidak sama.... dan pada perkiraan tahun2 disebut adalah Siam Bangkok .... sebenarnya adalah kerajaan Thailand yg menyamar dalam budaya siam sehingga sampai satu ketika terjamin dan stabil pemerintahannya lalu bertukar kpd Thai .... menyusuri bangsa Sukhothai(Suku Thai @ Dai) yg telah menakluk kerajaan Siam asal....

Maaf kerana saya tidak mempunyai butiran lengkap ttapi itulah hakikat .... sehingga kpd rakyat Thai muslim membezakan kerajaan Siam Islam dan Siam Kafir

6:07 PM  
Blogger anuat said...

Syabas... satu makalah yg patut dibanggakan terutama kpd mereka yg ada jatimelayu.

Sebenarnya kerajaan Siam yg dicatatkan boleh mengelirukan pembaca... Siam Bangkok dan Siam Ayuthya adalah tidak sama.... dan pada perkiraan tahun2 disebut adalah Siam Bangkok .... sebenarnya adalah kerajaan Thailand yg menyamar dalam budaya siam sehingga sampai satu ketika terjamin dan stabil pemerintahannya lalu bertukar kpd Thai .... menyusuri bangsa Sukhothai(Suku Thai @ Dai) yg telah menakluk kerajaan Siam asal....

Maaf kerana saya tidak mempunyai butiran lengkap ttapi itulah hakikat .... sehingga kpd rakyat Thai muslim membezakan kerajaan Siam Islam dan Siam Kafir

6:08 PM  

Post a Comment

<< Home