Sunday, November 26, 2006

HAJI ABDUR RAHMAN AL-MANDAILI

Penyusun Kamus Tiga Bahasa

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SEBELUM ini ada dua orang ulama yang berasal dari Mandailing diperkenalkan di ruangan Ulama Nusantara dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, ialah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al- Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 11 April 2005) dan Syeikh Junid Thala al-Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 4 September 2006).

Ulama yang diperkenalkan sekarang ialah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili. Di antara perkara yang menarik tentang Haji Abdur Rahman bin Jabugis, ulama yang berasal dari Mandailing ini ialah sebuah kamus tiga bahasa yang beliau susun. Kamus tersebut merangkumi bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.

Kita mengakui bahawa kamus perkataan Arab yang diterjemahkan ke dalam perkataan Melayu pada zaman yang sama dengan Haji Abdur Rahman bin Jabugis memang terdapat beberapa buah, tetapi terjemahan ke dalam perkataan Mandailing karya ulama tersebut adalah merupakan satu-satunya. Hingga kini belum dijumpai kamus seperti demikian baik dalam perkataan Melayu-Mandailing mahu pun Indonesia-Mandailing

Mengenai tempat lahir Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili tidak diragui kerana ada beliau tulis sekurang-kurangnya dalam dua buah karyanya, iaitu beliau dilahirkan di Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara. Adapun mengenai tarikh lahir, walau pun ada beliau nyatakan pada kulit depan Ats-Tsamaratul Lughat, namun masih diragui. Tertulis, “Al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandaili Penyabungan, al-maulud fi balad Asahan 27 Rabiulawal fi sanah 1335.”

Maksudnya bahawa beliau lahir pada 27 Rabi'ul Awwal 1335 H. Tahun yang diberikan ini kemungkinan tersalah cetak kerana pada akhir karya beliau ‘Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman,’ dinyatakan: “Adalah tamatnya kepada 17 Ramadan sanah 1338.” Jadi sekiranya benar tarikh lahir 27 Rabiulawal 1335 H hingga tarikh 17 Ramadan sanah 1338 H bererti umur Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili ketika itu ialah sekitar tiga tahun, enam bulan saja.

Menurut lazimnya tidak dapat diterima akal kanak-kanak yang masih di bawah umur dapat menyelesaikan penulisan yang termasuk pekerjaan yang berat itu. Lebih meragukan lagi kerana Syair Mikraj juga dinyatakan karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H.

Bererti sewaktu karya ini selesai ditulis Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili belum lahir lagi. Oleh yang demikian kemungkinan tarikh yang betulnya ialah pada 27 Rabiulawal 1253 H/1 Julai 1837 M. Tarikh yang diberi ini bersifat sementara selagi belum ditemui catatan yang lebih jelas dan konkrit.

Perjuangan bahasa

Setakat ini, karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang telah ditemui hanya empat judul saja. Tiga daripada judulnya dikategorikan kepada karya yang nadir.

Sebelum menyenaraikan keempat-empat karya yang dimaksudkan terlebih dulu saya bahas tentang kamus yang beliau susun, kerana dapat dijadikan perbandingan perjuangan bahasa Melayu pada zaman silam dalam era sebelum kemerdekaan dengan era sesudah kita merdeka.

Karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang saya utamakan itu ialah yang berjudul Ats-Tsamaratul Lughat, tanpa tarikh, sama ada tarikh selesai penulisan mahu pun tarikh cetakan. Dicetak oleh Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan kamus tiga bahasa, iaitu bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.

Pada halaman depan dinyatakan bahawa pengarangnya berasal dari Mandailing Penyabungan, lahir di negeri Asahan. Pada bahagian akhir karya beliau Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman, dinyatakan bahawa Haji Abdur Rahman bin Jabugis orang Mandailing dilahirkan di negeri Asahan Balai (nama sekarang Tanjung Balai Asahan, pen:).

Selanjutnya dinyatakan pula bahawa kitab ini telah ditelaah oleh Maulana as-Saiyid Hamid bin al-Marhum as-Saiyid Ali, Naib as-Sultan Negeri Asahan. Di bawahnya diterangkan pula: “Ini risalah pelajaran bahasa Arab, dan Melayu, dan Mandaili. Tiada dibenarkan seseorang pun mengecapnya atau meniru, jikalau tiada minta izin yang empunya, kerana sudah diregister.” (Ats-Tsamaratul Lughat, hlm. kulit).

Pada mukadimah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili menjelaskan sebab-sebab beliau menyusun kamus tersebut, katanya “Ada pun kemudian, maka meminta akan daku setengah saudara kami, berulang-ulang mereka itu sekali kemudian sekali, bahawa aku tuliskan akan bahasa Arab dan aku gantungkan akan maknanya dengan bahasa Melayu Asahan, atas kadar sedikit ilmuku dan keruh hatiku, dan pandak mengertiku.”

Ada maklumat lain menyebut bahawa yang meminta beliau menyusun kamus yang tersebut ialah Sultan Asahan atau Naib Sultan yang tersebut di atas. Yang dimaksudkan dengan “bahasa Melayu Asahan” atau pun “bahasa Mandailing” adalah merupakan bahasa lokal saja, iaitu termasuk bahagian kecil bahasa Melayu global, yang lebih luas digunakan pada zaman sebelum Indonesia dan Malaysia merdeka.

Di daerah yang sama juga terdapat dan berkembang bahasa Melayu lokal yang lain dengan dialek yang berbeza-beza, seumpama bahasa Melayu Deli, bahasa Melayu Langkat, dan lain-lain. Dari sini kita dapat mengambil pengertian dan pelajaran bahawa sultan dalam sesuatu kerajaan kecil dan ulama pada zaman dulu berusaha untuk mempertahan dan menghidupkan bahasa Melayu di dalam kerajaan mereka masing-masing.

Oleh itu masa kini, sekurang-kurangnya tiga negara serumpun Melayu telah merdeka iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, sebenarnya bukan zamannya lagi untuk mengagung-agungkan bahasa dari bangsa-bangsa yang pernah menjajah. Kita cuba berfikir, berjuang dan terus berjuang bukan lagi menyebarkan bahasa Melayu dalam negara serumpun, tetapi sesuai dengan kita telah merdeka, bererti merdeka dan berhak memartabat dan menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Penulisan

Tiga karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing, selain yang tersebut adalah bercorak sastera klasik Melayu-Islam, yang bererti turut memperkaya bahasa Melayu. Sekali gus dapat dimasukkan dalam perkembangan sejarah sastera klasik Nusantara. Karya-karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing yang dimaksudkan ialah: Syair Mikraj, diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H/12 Ogos 1910 M.

Tidak dinyatakan nama percetakan kerana halaman depannya belum dijumpai. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan menceritakan kisah Israk dan Mikraj yang diungkapkan dalam bentuk syair/puisi. Karya beliau yang pertama ini dikategorikan karya biasa kerana terdapat beberapa karya tentang Israk dan Mikraj sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi/syair.

Qishah Qamaruz Zaman Ibnu Malik Syaharman, diselesaikan pada 17 Ramadan 1338 H/3 Jun 1920 M. Dicetak oleh Mathba’ah Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura, 1934 M. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Ditulis dalam bentuk prosa dan dalam beberapa halaman dihiasi dengan syair-syair Melayu.

Kandungan mengisahkan seorang raja yang bernama Qamaruz Zaman. Qishah Qamaruz Zaman adalah merupakan karya sastera Islam klasik yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Pada akhir Qishah Qamaruz Zaman, Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis: “Tamatlah kisah ajaib yang bernama Qishah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman diterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu oleh hamba yang daif, lagi miskin, dan yang mengaku banyak dosa kepada tuhan yang kaya al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili diperanakkan di negeri Asahan Tanjung Balai ....” (Qishah Qamaruz Zaman, hlm. 143-144).

Syair Mikraj dan Qishah Qamaruz Zaman karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing di atas diperoleh di Ketapang, Kalimantan Barat pada Jumaat, pukul 5 petang, 3 Ramadan 1421 H/29 Disember 2000 M di rumah pusaka kewarisan Datuk Kaya Muda Amar Di Raja.

Salah sebuah hikayat sufi yang terkenal juga dapat perhatian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing. Oleh itu, sebuah karya yang beliau terjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu selain yang tersebut di atas ialah yang diberi judul Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham, tanpa tarikh.

Dicetak di Tempat Cap Haji Idris bin Yahya, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetak. Cerita lisan tentang Ibrahim bin Adham termasuk salah satu kisah seorang sufi yang amat terkenal dalam masyarakat Melayu sejak lama. Tetapi cerita tersebut hampir-hampir tidak terdapat dalam penulisan ulama-ulama Melayu terkecuali hanya termuat dalam beberapa kitab tasauf.

Di antara kitab Melayu/Jawi yang memperkenalkan kisah Ibrahim bin Adham, tetapi adalah sangat ringkas ialah dalam Ward az-Zawahir oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan dalam Hadiqah al-Azhar oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

Hingga kini saya belum menjumpai sejarah khusus mengenai Ibrahim bin Adham dalam tulisan klasik Melayu/Jawi, kecuali satu-satunya hanyalah Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis ulama Mandailing yang sedang dibicarakan ini.

Sebelum membicarakan kandungan pada bahagian atas sekali diletakkan judul oleh pengarangnya ialah Hikayat Sultan Ibrahim Bin Adham Wali Allah. Dari judul ini dapat kita fahami bahawa Ibrahim bin Adham itu adalah seorang sultan.

Kemudian dijelaskan pula bahawa selain baginda seorang sultan, sekali gus adalah Wali Allah. Gaya bahasa Melayu klasik yang digunakan oleh Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing sebagai pembukaan hikayat, kata beliau, “Ini hikayat, ada seorang raja negeri Baghdad bernama Sultan Ibrahim ibnu Adham Wali Allah, terlalu besar tahta kerajaan baginda itu. Syahdan baginda itu sangat pertapa ...” Yang dimaksudkan dengan perkataan ‘pertapa’ dalam kalimat ini jika dikembalikan kepada istilah sufi ialah “khalwat” ataupun “suluk” ialah bersunyi-sunyi diri atau mengasingkan diri kerana melakukan ibadat.

Kemudian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menyambung tulisan di atas dengan kalimat, “Lagi masyhur namanya. Lagi adil perintahnya. Lagi dengan masyhur amat pengasih pada sekalian wazir menteri, hulubalang, dan kepada rakyatnya hina dina.

Dan terlalu amat pengasihnya kepada segala alim ulama, dan fuqaha, dan fakir miskin. Serta dengan periksanya menghukumkan di atas sekalian rakyat dengan sebenarnya. Maka segala menteri hulubalang pun sangat takut dan kasih akan baginda itu, maka negeri itu pun terlalu ramainya dengan sentosanya ...” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 2).

Pada akhir hikayat Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis, “Telah menyambung akan hikayat ini, oleh hamba nama al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Tanjung Balai Asahan dengan kehendak yang empunya ini hikayat Tuan Haji Muhammad Idris.” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 63).

- Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat:

pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home