Sunday, November 26, 2006

HAJI MUHAMMAD SA'ID ARSYAD

Tokoh Litografi Melayu-Islam

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SALAH satu cabang khazanah kewarisan Melayu-Islam yang dilupakan orang ialah cetakan-cetakan sastera klasik yang ditulis dalam bentuk hikayat dan syair. Lebih 100 tahun yang lalu sekurang-kurangnya terdapat tiga tokoh yang paling banyak mencetak hikayat dan syair Melayu-Islam yang menggunakan huruf litografi (huruf batu) yang berpusat di Singapura. Ketiga-tiga tokoh itu ialah Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Haji Muhammad Amin bin Abdullah dan Haji Muhammad Idris bin Yahya.

Yang dibicarakan dalam artikel ini ialah tentang aktiviti Haji Muhammad Sa’id saja, manakala dua lagi akan dibicarakan dalam kesempatan yang lain. Sebelum riwayat ulama dan tokoh ini saya teruskan, terlebih dulu saya peringatkan bahawa beliau yang dibicarakan dalam artikel ini adalah lain dari Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id (Datuk Laksamana) yang dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 9 Oktober 2006.

Setahu saya ulama dan tokoh ini belum pernah diperkenalkan oleh sesiapa pun, kecuali hanya tarikh meninggal dunia saja yang pernah disebut oleh Muhammad Yasin bin Abbas Langkat dalam Syair Cermin Islam yang selesai ditulis di Kampung Babus Salam, Langkat pada 1 Jamadilawal 1345 H. Berdasarkan tulisan tersebut dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad meninggal dunia di Singapura, lepas zuhur, pukul 1.30 tengah hari Sabtu, 4 Zulkaedah 1342 H/6 Jun 1924 M ketika berusia 90 tahun.

Perkara yang sama juga disebut pada halaman terakhir Syair Dandan Setia Intan Terpilih, jilid ke-2, cetakan 3 Syaaban 1344 H. Dengan demikian diduga beliau lahir dalam tahun 1252 H. Berdasarkan maklumat pada muka depan Kitab Hadits Arba'in yang dihimpun oleh anak beliau ada dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah.

Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad mendapat pendidikan di beberapa pondok-pesantren di sekitar Semarang, Jawa Tengah dan Jawa Timur pada zamannya. Ulama Semarang yang paling terkenal pada zaman itu ialah Kiai Haji Syeikh Muhammad Shalih Darat Semarang. Ulama Semarang tersebut lahir di Kedung Cemlung, Jepara, 1235 H/1820 M, wafat hari Jumaat, di Semarang, 29 Ramadan 1321 H/18 Disember 1903 M. Dipercayai Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad juga pernah belajar dengan Kiai Haji Khalil al-Maduri (lahir 11 Jamadilakhir 1235 H/27 Januari 1820 M, wafat 29 Ramadan 1341 H/14 Mei 1923 M. Riwayat lain menyebut wafat 29 Ramadan 1343 H/22 April 1925 M). Selain kedua-dua ulama yang tersebut beliau juga pernah belajar di Mekah.

Oleh sebab beliau memahami keadaan dalam ilmu ekonomi dan perkembangan zaman, bahawa Singapura pada ketika itu mula menuju ke arah sebuah pelabuhan dan bandar yang maju dan pesat, maka beliau pindah ke Singapura.

CETAKAN

Cetakan litografi (huruf batu) berdasarkan beberapa hikayat dan syair yang ada dalam koleksi saya. Antara yang paling awal dicetak di Mathba'ah Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad Singapura ialah dalam tahun 1333 H/1915 M. Sebagai contoh beberapa maklumat yang dapat diketahui dari Kitab Hadits Arba'in’yang dihimpunkan oleh anak beliau bernama Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad Singapura, pada kulit depan tertulis, Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 dan nombor 124 Kampung Sailon Arab Street, Tukang Cap dan Penjual Serba Jenis Kitab Arab, Melayu dan Jawa Daripada Thaba’ Mekah, Setambul, Mesir, Bombay dan lainnya.

Maka siapa yang berhajat mengecap apa-apa kitab atau azimat atau lainnya sama ada cap batu atau timah atau azimat bolehlah datang ke kedai yang tersebut di atas ini atau berkirim surat supaya kita menjawabnya dengan harga yang patut. Pada halaman belakang tertulis, “Telah sempurna daripada mengecap Hadits Arba’’n di Mathba' Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 Arab Street Singapura bertarikh 5 Hijrah an-Nabi s.a.w Rabiulawal 1333.” (5 Rabiulawal 1333 H /19 Februari 1915 M, pen:).

Pada halaman belakang risalah Solawat al-Kubra tertulis, ‘Tercap di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Kampung Selong, Arab Street, Rumah nombor 82, 30 Syaaban 1333.’ (30 Syaaban 1333 H /12 Julai 1915 M). Kedua-dua cetakan yang disebutkan ini adalah sama-sama dalam tahun 1333 H/1915 M. Solawat al-Kubra kemungkinan adalah terjemahan Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad sendiri dan merupakan pertama kali diperkenalkan dalam bahasa Melayu. Ada pun Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, iaitu Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Dari maklumat ini dapat diambil kesimpulan bahawa kedua-dua beranak yang berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah yang tersebut adalah ulama.

Sepuluh tahun kemudian kemungkinan percetakan tersebut berpindah alamat, mengenai ini dapat disimpulkan dari kalimat dalam Syair Dandan Setia Intan Terpilih, pada akhir tertulis, “Telah selesai daripada mengecap Syair Dandan Setia kepada 3 Syaaban 1344 H (3 Syaaban 1344 H/15 Februari 1926 M, pen:) di dalam negeri Singapura, Kampung Gelam di Lorong Mesjid...”

Dari cetakan di atas, terdapat dua perkataan yang maksudnya mungkin sama tetapi berbeza tulisannya. Yang pertama tertulis ‘Sailon’ yang satu lagi ‘Selong’ mungkin maksudnya ialah Ceylon. Kemungkinan dulunya tempat itu didiami oleh ramai orang Melayu yang berasal dari Ceylon atau Sri Langka.

Kandungan

Sebagaimana diketahui oleh masyarakat Islam tentang kelebihan atau fadilat membaca selawat, demikianlah kandungan Solawat al-Kubra yang menceritakan tentang perkara yang tersebut itu. Mulai halaman depan sekali dinyatakan, “Inilah Solawat al-Kubra yang terlalu besar faedahnya serta dengan syarahnya bahasa Melayu. Baharu dicap sekali.”

Pada bahagian bawah sekali dinyatakan pula “Baik disimpan ini solawat.” Selanjutnya pada halaman ketiga, pembuka hikayat diceritakan sebagai berikut, Ini satu ceritera daripada Abdullah ibnu Abbas r.a, ia berkata, Adalah Nabi S.A.W duduk di dalam Masjid Madinah tiba-tiba datang Jibril kepada Nabi kita Muhammad s.a.w, maka ia berkata: “Ya Muhammad, bermula Tuhan engkau memberi salam akan dikau, dan Dia menentu akan dikau dengan satu haluan yang kemuliaan.” Berkata Malaikat Jibril selanjutnya: “Bahawasanya aku ini sesungguhnya datang akan dikau dengan membawa hadiah daripada Allah s.w.t. Tiada Dia menghadiah akan hadiah ini seseorang yang dahulu daripada engkau hai Muhammad ...” Yang dimaksudkan dengan hadiah itu ialah Solawat al-Kubra.

Selanjutnya Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad menyebut pelbagai fadilat selawat tersebut secara mendalam.

Ada pun mengenai kandungan Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad pula ialah membicarakan 40 hadis menurut pilihannya sendiri. Hadis yang pertama, yang ditulis sesudah puji-pujian terjemahan Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad ialah: “Sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa membaca dengan menghafalkan 40 hadis daripada ummatku, dinamai akan dia oleh Allah pada langit akan wali dan pada bumi dinamai ahli fiqh. Dan dihimpunkan akan dia serta orang yang soleh. Yang tiada takut atas mereka itu dan tiada mereka itu dukacita.”

*Dalam Kitab Hadits Arba’in, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad tersebut juga sekurang-kurang ada tiga hadis membicarakan tentang kemasyarakatan, sebagaimana diterjemahkan oleh penyusunnya

Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa menyampaikan hajat saudaranya yang Islam, nescaya disampaikan oleh Allah baginya 70 hajat di dalam dunia dan akhirat.

Hadis yang lain pula, “Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa memuliakan orang yang dijamu, maka sesungguhnya ia memuliakan aku. Barang siapa memuliakan orang yang dagang, maka sesungguhnya memuliakan 70 Nabi yang menjadi Rasul.” (Kitab Hadits Arba’in, hlm. 6).

Syair wafat

Walau pun Syair Dandan Setia Intan Terpilih bukan berasal dari kisah dalam agama Islam, namun apabila kita teliti hanya sebuah judul ini saja yang ditangani oleh Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Pada cetakan dinyatakan sebagai berikut, ‘Adalah yang empunya kerja ini Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad’.

Saya berkesimpulan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, selain pemilik percetakan itu sekali gus beliau sebagai penterjemah awal Syair Dandan Setia ke dalam bahasa Melayu. Syair tersebut hingga sekarang tidak diketahui nama pengarangnya. Pada akhir syair terdapat tambahan, kemungkinan disyairkan oleh anak beliau bernama Muhammad.

Syair tambahan itu ialah tentang tarikh wafat Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Syair wafat Haji Muhammad Sa‘id bin Haji Arsyad dalam Dandan Setia kemungkinan kemudian dari syair yang sama yang terdapat dalam Syair Cermin Islam karya Muhammad Yasin bin Abbas murid Syeikh Abdul Wahhab al-Khalidi Babus Salam, Langkat.

Petikan syair dalam Syair Cermin Islam, cetakan yang ketujuh, di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, No. 82 Arab Street, Kampung Geylang, Singapura, 9 Zulhijjah 1345 H sebagai berikut:

“Syair Cermin Islam khatamlah ia,

di Mathba’ Haji Muhammad Sa'’d yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,

pada 4 Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,

Sabtu harinya,

jam satu setengah,

1342 hijrahnya Enam Jun 1924, tahunnya,

sembilan puluh tahun umurnya.”

Dalam Syair Dandan Setia pula tertulis,

“Khatamlah Syair Dandan Setia,

di Mathba'’ Haji Muhammad Sa'’id yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,

pada empat Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,

Sabtu harinya,

jam satu setengah,

1342 hijrahnya Enam Jun 1924,]

tahunnya,

sembilan puluh tahun umurnya.”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home