ULAMA NUSANTARA

Tuesday, December 12, 2006

HAJI WAN MUHAMMAD

Mufti Sultan Perak Darul Ridzuan
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ADA perkara yang aneh, bahawa ada tiga gambar yang serupa. Sebuah gambar walaupun agak serupa tetapi dapat dipastikan ialah gambar "Haji Abdur Rahman Hamid, Imam Maharaja Kerajaan Sambas".

Dua buah lagi, yang sangat serupa, sebuah saya peroleh daripada Ustaz Mat Atas Beris, Besut, Terengganu. Beliau menyatakan ialah gambar "Haji Wan Muhammad, Mufti Perak". Setelah gambar tersebut saya sebarkan, ada beberapa orang memberi maklumat bahawa gambar yang disebarkan itu ialah gambar "Haji Abdullah bin Musa, Mufti dan Hakim Besar Johor".

Sebelum membahas perkara tersebut terlebih dulu saya mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat Mohd. Rosli bin Hairan@Ikhwan yang telah bersusah payah membuat penyelidikan di Johor. Selanjutnya dipaparkan dalam suratnya pada 8 Oktober 2006 yang dilengkapi dengan pelbagai lampiran.

Gambar yang dipertikaikan

Sebelum saya meriwayatkan hal-hal yang lain tentang Haji Wan Muhammad, perkara gambar adalah perlu dibicarakan terlebih dulu. Riwayat Haji Wan Muhammad sudah lama berada dalam simpanan saya tetapi yang paling lengkap saya peroleh daripada salah seorang anak beliau di Perak pada 5-6 November lalu.

Seperti yang telah saya sebutkan di atas, gambar Haji Wan Muhammad, Mufti Perak (dimuat dalam artikel ini), saya peroleh daripada Ustaz Mat Atas Beris, Besut, Terengganu. Beliau mendapat keterangan bahawa gambar tersebut adalah Haji Wan Muhammad, Mufti Perak daripada salah seorang anak saudara sepupu Mufti Perak itu.

Mohd. Rosli bin Hairan @ Ikhwan (Johor) mengirimkan kepada saya gambar yang betul-betul serupa, yang pernah dijadikan ilustrasi atau hiasan kulit majalah Pengasuh, bilangan 532, terbitan Ramadan-Zulkaedah 1414/Mac- April 1994, yang diterangkan pada halaman berikutnya: "Wajah al-Allamah Datuk Haji Abdullah bin Musa, Mufti Kerajaan Johor, berasal dari Pasir Pekan, Kelantan."

Selanjutnya Mohd. Rosli dalam surat menjelaskan: "... Pertamanya saya ingin memberi respons berkenaan gambar Hj. Wan Muhammad (Mufti Kerajaan Perak) dan Datuk Abdullah Musa (Mufti Kerajaan Johor Kedua). Selepas membuat beberapa rujukan dan penyelidikan di Jabatan Agama Negeri Johor (JAIJ) baru-baru ini, saya mendapati bahawa gambar Hj. Wan Muhammad itu sebenarnya ialah gambar Datuk Abdullah Musa. Beberapa catatan akhbar/buletin Warta Jabatan Agama Johor mendapati dan menyiarkan bahawa itulah gambar sebenar Datuk Abdullah Musa ..."

Saya berterima kasih dan menghargai jerih payah penyelidikan yang dilakukan oleh Mohd. Rosli, bagaimanapun sebagai seorang peneliti pelbagai maklumat, masih ada ruang yang perlu saya bahaskan.

Gambar Haji Wan Muhammad@Ahmad bin Haji Wan Husein al-Fathani, Mufti Perak, sebelum ini belum pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, tetapi adalah saya sebarkan melalui koleksi foto ulama, No. 366/PENGKAJI/1425/2004.

Riwayat Datuk Haji Abdullah bin Musa, Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor pula telah dimuat dalam akhbar tersebut pada hari Isnin, 7 Mac 2005, tanpa foto beliau. Disebabkan terdapatnya foto yang serupa, telah diperoleh dua maklumat, yang satu pasti betul, yang satu lagi pasti salah, maka untuk menentukan yang mana betul dan yang mana salah perlulah penelitian dengan menggunakan pelbagai kaedah.

Saya telah menjejaki riwayat Datuk Haji Abdullah bin Musa sejak tahun 1976 selain menemui seseorang termasuk juga pergi ke pelbagai pejabat yang ada hubungan dengan itu, seperti Jabatan Agama, Jabatan Mufti, dan lain-lain, termasuk mendapatkan foto beliau, namun semuanya gagal.

Walaupun Mohd. Rosli menyebut bahawa beliau "... Selepas membuat beberapa rujukan dan penyelidikan di Jabatan Agama Negeri Johor (JAIJ) baru-baru ini, saya mendapati bahawa gambar foto Hj. Wan Muhammad itulah sebenarnya ialah foto Datuk Abdullah Musa. Beberapa catatan akhbar / bulletin Warta Jabatan Agama Johor mendapati dan menyiarkan bahawa itulah gambar sebenar Datuk Abdullah Musa ..." keterangan ini masih belum cukup kuat, masih perlu penyelidikan lanjut.

Perkara-perkara yang masih perlu diselidiki ialah: Pertama, perlu dipastikan bahawa sekiranya ada gambar Datuk Haji Abdullah bin Musa tersimpan di Jabatan Agama Negeri Johor, tahun berapakah gambar itu dimiliki. Apakah gambar itu diambil sewaktu beliau menjadi Mufti dan Hakim Besar Johor (menjadi Mufti Johor 1899 M - 1907 M). Kerana pada tahun beliau menjadi Mufti Johor sudah mencecah seratus tahun yang lalu, perlu pula diselidiki tentang kertas yang digunakan dan keterangan di bahagian bawah gambar itu sendiri.

Kedua, sekiranya kertas, jenis dakwat, warna, dan lain-lain tidak mencerminkan keklasikannya maka jelas merupakan gambar baru yang diambil dari majalah Pengasuh atau pun Warta Jabatan Agama Johor. Saya juga belum dapat maklumat Warta Jabatan Agama Johor, apakah lebih dulu atau kemudian dari majalah Pengasuh. Sepanjang saya mengikuti terbitan Warta Jabatan Agama Johor sejak tahun 1960an hingga 1990an saya tidak menemui gambar tersebut dimuat dalam majalah itu, kemungkinan ada yang tidak sampai ke tangan saya.

Ketiga, dari hal-hal yang tersebut di atas, sangat diperlukan keterlibatan pihak-pihak yang kemungkinan ada bukti-bukti yang jelas untuk mengesahkan perkara yang dibicarakan. Selain pihak peribadi, terutama keturunan kedua-dua mufti tersebut, kerja sama pihak Arkib Negara Malaysia, Arkib Negeri Johor, Arkib Negeri Perak, Jabatan Agama Johor, Jabatan Mufti Johor, Jabatan Agama Perak, Jabatan Mufti Perak, dan lain-lain sangat diperlukan. Kerana penyelidikan ilmu pengetahuan bukan kepunyaan peribadi seseorang tetapi adalah tanggungjawab semua pihak.

Yang saya bicarakan ini bukan bererti saya menyalahkan Mohd. Rosli, bahkan saya sangat menghargai, mudah-mudahan langkah beliau diikuti pula oleh orang lain untuk kerja-kerja penyelidikan tentang ulama kita dunia Melayu.

Asal usul

Selembar salasilah yang diusahakan oleh Zuhairi bin Habibah binti Haji Wan Muhammad, tahun 1990, dinyatakan bahawa asal usul datuk nenek Haji Wan Muhammad adalah daripada "perkahwinan Cik Siti Wan Kembang ibni Tengku Sulaiman dengan Saiyid Hakim bin Saiyid Husaini (bergelar Saiyid Kuning) dan memperoleh anak bernama Wan Abdul Wahid."
Bagaimana pun riwayat ini ada kelainan dengan beberapa versi sejarah Kelantan yang menyebut bahawa Cik Siti Wan Kembang adalah puteri Raja Ahmad yang memerintah Kelantan tahun 1548 M - 1580 M. Cik Siti Wan Kembang pula tidak mempunyai anak, kerana tidak pernah kahwin.

Sehelai surat tarikh 21 Januari 1996 yang ditujukan kepada Haji Wan Yas'on bin Haji Wan Yusof bin Haji Wan Muhammad dari salah seorang anak saudaranya (tanpa menyebut nama, hanya terdapat tandatangan saja) dinyatakan "Ayahda, Datuk Mufti namanya Haji Wan Muhammad bin Wan Husein, berasal dari Kampung Saring, Mukim Merbol, Pasir Putih, Kelantan."
Dari hasil wawancara dengan salah seorang cucu beliau di Bukit Chandan, Perak, pada 5 November 2006, dan pelbagai sumber sebelumnya bahawa nama lengkap beliau ialah Haji Wan Muhammad@Ahmad bin Haji Wan Husein bin Haji Wan Muhammad Nur Marbo al-Fathani. Kampung Marbo atau Merebo di Patani adalah asal usul datuk nenek beliau.

Kampung Marbol, Pasir Putih, Kelantan diberikan nama demikian setelah keluarga tersebut hijrah dari Marbo atau Merebo, Patani. Haji Wan Muhammad lahir tahun 1264 H/1848 M, riwayat lain menyebut tahun 1268 H/1852 M. Wafat di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, hari Rabu, 11 Jumadil Akhir 1348 H/13 November 1929 M, riwayat lain menyebut pada 11 November 1929 M.

Dalam surat tarikh 21 Januari 1996 juga dicatatkan: "Ayahda, mengikut satu cerita saudara lelakinya bernama Wan Putih. Dia ada kakak (tidak tahu namanya), dan adiknya nama Wan Maryam menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Said, Kampung Lama, Besut, Terengganu datuk kepada Lathifah, Candan Kuala Kangsar."

Pendidikan

Norul Ashikin Abdullah dalam Harian Metro, Sabtu, 11 Ogos 2001, menulis bahawa Haji Wan Muhammad mendapat pendidikan awal daripada Tuan Hasan Besut (Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani), Tuan Pangkalan Tangga (Wan Ismail bin Wan Ahmad al-Fathani) dan Saiyid Abdus Salam. Yang dimaksudkan dengan Wan Ismail bin Wan Ahmad al-Fathani, itulah ayah kepada ulama terkenal Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani penyusun kitab Mathla' al-Badrain.

Sebelum melanjutkan pelajarannya di Mekah, Wan Muhammad terlebih dulu memperdalam pengetahuannya di beberapa pondok di Patani. Dipercayai beliau belajar di Pondok Bendang Daya dan Pondok Pauh Bok, dan lain-lain. Guru-gurunya di Mekah sangat ramai termasuk kepada Syeikh Ahmad al-Fathani yang umurnya jauh lebih muda daripada beliau.

Mufti kerajaan Perak

Mengenai Mufti Kerajaan Perak yang pertama ada orang berpendapat adalah pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah ke-III, muftinya ialah Daeng Selaili atau Pajung Luwuk Daeng Sedili. Beliau mempunyai beberapa gelaran ialah Haji Besar, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, dan Sri Maharajalela Pancung Tak Bertanya. Makamnya di tepi tebing sungai, Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Pendapat lain menyebut, Mufti Perak yang pertama ialah Haji Wan Muhammad yang diriwayatkan ini. Lama beliau menjadi Mufti Perak juga ada pertikaian pendapat. Ada yang menyebut tahun 1887 M - 1916 M, pendapat lain menyebut hingga tahun 1917 M, dan ada pula yang menyebut mulai tahun 1918 M hingga tahun 1925 M.

Sumber yang tidak dipertikaikan, dari cucu beliau bernama Haji Wan Yas'on bin Haji Wan Yusof bin Haji Wan Muhammad, tulisan pada tarikh 2 Ramadan 1416 H/2 Februari 1996 M, beliau mendengar dari ayahnya, bahawa Haji Wan Muhammad datang ke Perak pada masa pemerintahan Sultan Yusof Syarifuddin Muzaffar Syah (1886 M - 1887 M). Sultan Yusof dan selanjutnya pengganti baginda Sultan Idris Mursyidul A'zam Syah (1887 M - 1916 M), selanjutnya Sultan Iskandar Syah (menaiki tahta tahun 1918 M).
Sultan Idris tersebutlah yang melantik beliau menjadi Mufti Perak. Ketiga-tiga Sultan Perak tersebut pernah belajar kepada Haji Wan Muhammad. Kemudian diikuti pula oleh para pembesar istana.

Haji Wan Muhammad pertama datang ke Perak mengajar di Tanjung Tualang dan selanjutnya mendirikan membina pondok pengajian dan surau di Lembah Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Di tempat tersebutlah telah melahirkan ramai ulama termasuklah ulama besar yang terkenal Syeikh Idris al-Marbawi.

Haji Wan Muhammad meninggalkan keturunan yang ramai, di antara anak beliau yang menjadi ulama ialah Haji Wan Abdur Rahman, Haji Wan Abdullah Zawawi (pernah sebagai Qadhi Tapah), Haji Wan Yusuf (pernah sebagai Imam Masjid Ubudiah, Bukit Chandan).

- Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_kha zanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

Tuesday, December 05, 2006

SYEIKH JALALUDDIN AL-ASYI

Kesinambungan Aktiviti Ulama Aceh

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

KHUSUS tentang artikel hari ini, saya mulai daripada sebuah manuskrip salinan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu pada 8 Zulhijjah 1413 H/9 Jun 1992 M di Kampung Pusin, Jala.

Haji Mahmud mencatat bahawa As-Syeikh al-‘Alim al-Allamah al-Faqih Jalaluddin walid (ayah) al-‘Allamah asy-Syeikh Muhammad Zain al-Asyi.

Tarikh 14 Safar 1413 H/13 Ogos 1992 M, ketika saya diberi kepercayaan meneliti manuskrip nadir dan mengkatalogkan khazanah di Muzium Islam Pusat Islam, terjumpa pula beberapa manuskrip karya beliau.

Ternyata nama ayah beliau yang tertulis pada kitab Jam’u Jawami’ al-Mushannafat telah keliru cetak. Pada manuskrip karya beliau yang berjudul Hujjat al-Balighah, tertulis nama lengkapnya iaitu Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir.

Yang berbeza ialah nama Jalaluddin (pada Jam’u Jawami' al-Mushannafat) dan Kamaluddin (pada Hujjah al-Balighah). Kegiatan pendidikan Islam, dakwah dan penulisan kitab yang pernah dilakukan oleh Syeikh Faqih Jalaluddin disambung oleh anak beliau Syeikh Muhammad Zain yang mempunyai banyak karangan di antaranya Bidayatul Hidayah.

Masih ditahap penelitian, kemungkinan Syeikh Sirajuddin juga anak Syeikh Faqih Jalaluddin. Informasi pada mukadimah ini saya simpulkan bahawa sama ada Faqih Jalaluddin sendiri mahu pun anak beliau Syeikh Muhammad Zain, juga Syeikh Sirajuddin adalah sama-sama penting dan perlu pengemaskinian pendokumentasian tentang mereka.

PENDIDIKAN

Dipercayai ayah beliau ialah Syeikh Kamaluddin dan datuk Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir, kedua-duanya adalah ulama besar, terkenal dan berpengaruh di Aceh pada zamannya. Oleh itu Faqih Jalaluddin menerima pengajian Islam tradisional daripada kedua-duanya.

Bagaimanapun dipercayai bahawa beliau juga belajar dengan beberapa orang ulama terkenal di Aceh yang lainnya. Dalam sebuah kitabnya ada dicatatkan bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah daripada gurunya Arif Billah Baba Daud bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa ar-Rumi.

Beliau ini adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Baba Daud bin Ismail al-Jawi inilah orang pertama menyalin tafsir al-Quran yang ditulis oleh gurunya itu, dan beliau pula yang menyelesaikan tafsir itu sehingga menjadi lebih lengkap dan lebih sempurna.

Memerhatikan sangat rapat dan mesranya hubungan antara Syeikh Faqih Jalaluddin dengan gurunya, Baba Daud al-Jawi itu, sedangkan Baba Daud al-Jawi pula adalah murid kepercayaan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, maka diyakini bahawa Syeikh Faqih Jalaluddin sempat pula menerima ilmu-ilmu dari Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri secara langsung.

KARYA DAN PEMIKIRAN

Kemudian Faqih Jalaluddin melanjutkan pelajaran ke India dan Mekah. Oleh sebab Syeikh Faqih Jalaluddin seorang ulama besar Aceh pada zamannya, maka beliau dilantik sebagai Kadi Malikul Adil dalam masa pemerintahan Sultan Alauddin Maharaja Lela Ahmad Syah (1139 H/1727 M - 1147 H/1735 M) juga pada masa pemerintahan Sultan Alauddin Johan Syah (1147 H/1735 M -1174 H/1760 M).

Aktiviti Faqih Jalaluddin selain sebagai menjadi pengarang beberapa buah kitab, dipercayai juga merupakan seorang ulama yang berpengaruh di istana kesultanan Aceh. Selain itu Sultan Aceh, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah sentiasa merujuk sesuatu perkara kepada beliau. Mungkin sultan yang tersebut, bahkan termasuk keluarga istana adalah murid Faqih Jalaluddin itu.

Karya Faqih Jalaluddin yang pertama diberi judul Hidayah al-Awam Pada Menyatakan Perintah Agama Islam. Kitab ini adalah tentang fiqh yang ringkas. Pada mukadimah Hidayah al-Awam, Syeikh Faqih Jalaluddin bahawa,"... pada hijrah Nabi seribu seratus empat puluh, pada lima hari bulan Muharam (5 Muharam 1140 H/23 Ogos 1727 M, pen:) zaman Paduka Seri Sultan, yang besar kerajaannya, lagi yang maha tinggi darjatnya, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan berdaulat Zhillullah fi al-Alam, adamullahu daulatahu, Amin, maka tatkala itu meminta kepada faqir yang hina Khadim al-Ulama (yang berkhidmat pada ulama), Haji Jalaluddin... oleh seorang sahabat raja itu, yang takut akan Allah Taala, bahawaku suratkan baginya suatu risalah yang simpan (maksudnya: risalah yang ringkas, pen:). Maka aku namai akan dia Hidayah al-‘Awam ...”

Selain ilmu fiqh yang ringkas Faqih Jalaluddin al-Asyi juga menulis ilmu fiqh yang tebal dan lengkap yang diberi judul Safinat al-Hukkam fi Talkhish al-Khisham, dimulakan penulisannya bulan Muharam, hari Jumaat 1153 H/1740 M. Kitab ini dikarang atas perintah Sultan Alauddin Johan Syah. Barangkali kitab inilah yang terbesar di antara karyanya.

Naskhah masih berupa tulisan tangan. Kandungannya fiqh menurut Mazhab Syafi'ie, membicarakan istilah-istilah, peringatan untuk golongan hakim yang zalim dan beberapa kaedah, semuanya tersebut pada mukadimah.

Termasuk dalam kategori ilmu fiqh juga ialah karya beliau judul Hujjah al-Balighah ‘ala Jama’ah al-Mukhasamah. Pada mukadimah Faqih Jalaluddin menulis: “Ada pun kemudian dari itu, maka tatkala Hijrah Nabi s.a.w seratus lima puluh delapan tahun, kemudian daripada seribu pada empat hari bulan Muharam, waktu Dhuha, hari Sabtu (4 Muharam 1158 H/1745 M) zaman Saiyidina wa Maulana Paduka Seri Sultanah Alauddin Jauhar Syah, Syah Berdaulat Zhillullah fi al-Alam, telah meminta kepadaku setengah daripada kekasihku, salah seorang daripada pengawal sultan yang tersebut itu, bahawa ku suratkan baginya risalah yang simpan pada menyatakan dakwa, dan baiyinah, dan barang yang bergantung dengan keduanya. Ku perkenankan pintanya, dan ku suratkan baginya risalah ini ...”

Pada penghabisan kitab beliau mencatat, Tamat al-kitab Hujjah al-Balighah ‘ala Jama'ah al-Mukhasamah karangan faqir yang hina Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir... pada 27 Rabiulakhir, waktu Dhuha pada zaman Alauddin Jauhar Syah, pada hijrah seribu seratus lima puluh delapan tahun... (27 Rabiulakhir 1158 H/1745 M).

Karya Faqih Jalaluddin al-Asyi dalam bidang tasawuf pula sekurang-kurangnya terdapat dua judul ialah Manzhar al-Ajla ila Martabah al-A’la. Salah sebuah salinan manuskrip diselenggarakan oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, selesai penyalinan pada tahun 1273 H/1856 M. Kitab Manzhar al-Ajla ..., Faqih Jalaluddin Aceh tersebut diselesaikan pada tahun 1152 H/1739 M. Beliau nyatakan bahawa beliau dititah oleh Sultan Alauddin Johan Syah ibnu as-Sultan al-Marhum Ahmad Syah.

Karya tasawuf

Karya tasawuf judul yang lain pula ialah Asrar as-Suluk ila Malail Muluk. Dalam naskhah tidak tersebut nama pengarang tetapi dapat dipastikan sebagai karya Faqih Jalaluddin al-Asyi adalah berdasarkan salasilah pada kalimat, “... telah mengambil zikir, dan talkin, dan khirqah, dan khalifah, fakir yang mengarang risalah ini daripada syeikhnya yang ahli az-zauq, lagi Arif Billah, iaitu Syeikh Daud ibnu Ismail qaddasallahu sirrahu, dan ia mengambil dari (Syeikh) Abdur Rauf ...”

Bererti pengarang adalah murid Baba Daud ibnu Ismail ar-Rumi, bahawa perkara ini juga disebut oleh Faqih Jalaluddin bin al-Asyi dalam karyanya Manzar al-Ajla ...

Kandungan keseluruhannya membicarakan tasawuf peringkat tinggi dan berbagai-bagai tarekat. Disebutkan bahawa asal tarekat dalam dunia ada empat belas, semua nama tarekat disebutkan secara terperinci.

Dari kelima-lima karya Faqih Jalaluddin al-Asyi yang dijumpai dapat diketahui dengan jelas bahawa beliau mengarang adalah atas permintaan daripada sultan.

Dari maklumat ini dapat kita ambil kira bahawa buah fikiran beliau sebagai seorang ulama besar pada zamannya sangat diperlukan oleh pihak kerajaan. Pada bahagian mukadimah kitab Hujjah al-Balighah, Syeikh Jalaluddin al-Asyi menampakkan dirinya sebagai seorang ulama yang tegas, bahawa undang-undang kadi menurut ajaran Islam mesti dilaksanakan.

Hujjah al-Balighah beliau ertikan dengan “kata yang tiada berlawan.” Untuk melaksanakan perkataan yang tidak boleh dilawan itu beliau mentertibkannya atas tiga bahagian, iaitu:

1. Pada menyatakan kadi dan barang yang bergantung dengannya.

2. Pada menyatakan dakwa dan baiyinah dan barang yang bergantung dengannya.

3. Pada menyatakan saksi dan sumpah dan barang yang bergantung dengannya.

Faqih Jalaluddin menafsirkan hadis Nabi s.a.w. yang maksudnya bahawa kadi itu tiga perkara, dua perkara isi neraka dan satu perkara isi syurga.

Kata beliau: “Maka dua perkara isi neraka itu iaitu; Pertama kadi yang jahil, tiada baginya ilmu, jikalau mufakat hukumnya itu dengan kebenaran sekali pun tiada jua sah hukumnya itu dengan sebab meninggalkan daripada belajarnya ...” Mengenai perkara ini beliau kemukakan dua hadis Nabi s.a.w. sebagai dalilnya.

Satu diantaranya, menurut beliau lafaz di bawah ini adalah hadis, iaitu: “Barangsiapa tiada guru baginya maka syaitanlah gurunya.” Sabda Nabi itu beliau tafsirkan, barangsiapa ada gurunya itu syaitan, maka tiada lagi syak akan dia isi neraka.

Kadi jenis yang kedua, menurut Faqih Jalaluddin al-Asyi, ialah: “Yang alim, yang ia tiada menghukum seperti yang dalam ilmunya ... “Kadi golongan yang ketiga ialah: “Yang alim, yang ia menghukum seperti hukum yang dalam ilmunya.”

Setelah itu, Faqih Jalaluddin al-Asyi memberikan peringatan, katanya, “Ingat-ingat kiranya yang memberi fatwa, maka adalah bahaya yang besar pada memberi fatwa itu belum lagi tahqiq sesuatu masalah daripada hadis, dan dalil, atau daripada kitab segala ulama. Maka janganlah difatwakan sekali-kali akan dia ...”

KETURUNAN DAN KESIMPULAN

Keturunan Faqih Jalaluddin yang lengkap masih dalam penyelidikan. Apa yang pasti anak beliau yang menjadi ulama besar dan menghasilkan beberapa karangan ialah Syeikh Muhammad Zain al-Asyi. Keturunan Syeikh Muhammad Zain al-Asyi selanjutnya belum dapat maklumatnya.

Ada lagi seorang ulama Aceh, Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi, belum jelas apakah beliau juga adalah anak Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi yang diriwayatkan ini. Hanya dua karangan Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi yang dijumpai, masih dalam berupa manuskrip.

Sebuah koleksi yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, nombor kelasnya MS 1530, belum diketahui judul, kerana pengarangnya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi tidak menyebut tentang itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_

khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.