ULAMA NUSANTARA

Tuesday, December 12, 2006

HAJI WAN MUHAMMAD

Mufti Sultan Perak Darul Ridzuan
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ADA perkara yang aneh, bahawa ada tiga gambar yang serupa. Sebuah gambar walaupun agak serupa tetapi dapat dipastikan ialah gambar "Haji Abdur Rahman Hamid, Imam Maharaja Kerajaan Sambas".

Dua buah lagi, yang sangat serupa, sebuah saya peroleh daripada Ustaz Mat Atas Beris, Besut, Terengganu. Beliau menyatakan ialah gambar "Haji Wan Muhammad, Mufti Perak". Setelah gambar tersebut saya sebarkan, ada beberapa orang memberi maklumat bahawa gambar yang disebarkan itu ialah gambar "Haji Abdullah bin Musa, Mufti dan Hakim Besar Johor".

Sebelum membahas perkara tersebut terlebih dulu saya mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat Mohd. Rosli bin Hairan@Ikhwan yang telah bersusah payah membuat penyelidikan di Johor. Selanjutnya dipaparkan dalam suratnya pada 8 Oktober 2006 yang dilengkapi dengan pelbagai lampiran.

Gambar yang dipertikaikan

Sebelum saya meriwayatkan hal-hal yang lain tentang Haji Wan Muhammad, perkara gambar adalah perlu dibicarakan terlebih dulu. Riwayat Haji Wan Muhammad sudah lama berada dalam simpanan saya tetapi yang paling lengkap saya peroleh daripada salah seorang anak beliau di Perak pada 5-6 November lalu.

Seperti yang telah saya sebutkan di atas, gambar Haji Wan Muhammad, Mufti Perak (dimuat dalam artikel ini), saya peroleh daripada Ustaz Mat Atas Beris, Besut, Terengganu. Beliau mendapat keterangan bahawa gambar tersebut adalah Haji Wan Muhammad, Mufti Perak daripada salah seorang anak saudara sepupu Mufti Perak itu.

Mohd. Rosli bin Hairan @ Ikhwan (Johor) mengirimkan kepada saya gambar yang betul-betul serupa, yang pernah dijadikan ilustrasi atau hiasan kulit majalah Pengasuh, bilangan 532, terbitan Ramadan-Zulkaedah 1414/Mac- April 1994, yang diterangkan pada halaman berikutnya: "Wajah al-Allamah Datuk Haji Abdullah bin Musa, Mufti Kerajaan Johor, berasal dari Pasir Pekan, Kelantan."

Selanjutnya Mohd. Rosli dalam surat menjelaskan: "... Pertamanya saya ingin memberi respons berkenaan gambar Hj. Wan Muhammad (Mufti Kerajaan Perak) dan Datuk Abdullah Musa (Mufti Kerajaan Johor Kedua). Selepas membuat beberapa rujukan dan penyelidikan di Jabatan Agama Negeri Johor (JAIJ) baru-baru ini, saya mendapati bahawa gambar Hj. Wan Muhammad itu sebenarnya ialah gambar Datuk Abdullah Musa. Beberapa catatan akhbar/buletin Warta Jabatan Agama Johor mendapati dan menyiarkan bahawa itulah gambar sebenar Datuk Abdullah Musa ..."

Saya berterima kasih dan menghargai jerih payah penyelidikan yang dilakukan oleh Mohd. Rosli, bagaimanapun sebagai seorang peneliti pelbagai maklumat, masih ada ruang yang perlu saya bahaskan.

Gambar Haji Wan Muhammad@Ahmad bin Haji Wan Husein al-Fathani, Mufti Perak, sebelum ini belum pernah dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, tetapi adalah saya sebarkan melalui koleksi foto ulama, No. 366/PENGKAJI/1425/2004.

Riwayat Datuk Haji Abdullah bin Musa, Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor pula telah dimuat dalam akhbar tersebut pada hari Isnin, 7 Mac 2005, tanpa foto beliau. Disebabkan terdapatnya foto yang serupa, telah diperoleh dua maklumat, yang satu pasti betul, yang satu lagi pasti salah, maka untuk menentukan yang mana betul dan yang mana salah perlulah penelitian dengan menggunakan pelbagai kaedah.

Saya telah menjejaki riwayat Datuk Haji Abdullah bin Musa sejak tahun 1976 selain menemui seseorang termasuk juga pergi ke pelbagai pejabat yang ada hubungan dengan itu, seperti Jabatan Agama, Jabatan Mufti, dan lain-lain, termasuk mendapatkan foto beliau, namun semuanya gagal.

Walaupun Mohd. Rosli menyebut bahawa beliau "... Selepas membuat beberapa rujukan dan penyelidikan di Jabatan Agama Negeri Johor (JAIJ) baru-baru ini, saya mendapati bahawa gambar foto Hj. Wan Muhammad itulah sebenarnya ialah foto Datuk Abdullah Musa. Beberapa catatan akhbar / bulletin Warta Jabatan Agama Johor mendapati dan menyiarkan bahawa itulah gambar sebenar Datuk Abdullah Musa ..." keterangan ini masih belum cukup kuat, masih perlu penyelidikan lanjut.

Perkara-perkara yang masih perlu diselidiki ialah: Pertama, perlu dipastikan bahawa sekiranya ada gambar Datuk Haji Abdullah bin Musa tersimpan di Jabatan Agama Negeri Johor, tahun berapakah gambar itu dimiliki. Apakah gambar itu diambil sewaktu beliau menjadi Mufti dan Hakim Besar Johor (menjadi Mufti Johor 1899 M - 1907 M). Kerana pada tahun beliau menjadi Mufti Johor sudah mencecah seratus tahun yang lalu, perlu pula diselidiki tentang kertas yang digunakan dan keterangan di bahagian bawah gambar itu sendiri.

Kedua, sekiranya kertas, jenis dakwat, warna, dan lain-lain tidak mencerminkan keklasikannya maka jelas merupakan gambar baru yang diambil dari majalah Pengasuh atau pun Warta Jabatan Agama Johor. Saya juga belum dapat maklumat Warta Jabatan Agama Johor, apakah lebih dulu atau kemudian dari majalah Pengasuh. Sepanjang saya mengikuti terbitan Warta Jabatan Agama Johor sejak tahun 1960an hingga 1990an saya tidak menemui gambar tersebut dimuat dalam majalah itu, kemungkinan ada yang tidak sampai ke tangan saya.

Ketiga, dari hal-hal yang tersebut di atas, sangat diperlukan keterlibatan pihak-pihak yang kemungkinan ada bukti-bukti yang jelas untuk mengesahkan perkara yang dibicarakan. Selain pihak peribadi, terutama keturunan kedua-dua mufti tersebut, kerja sama pihak Arkib Negara Malaysia, Arkib Negeri Johor, Arkib Negeri Perak, Jabatan Agama Johor, Jabatan Mufti Johor, Jabatan Agama Perak, Jabatan Mufti Perak, dan lain-lain sangat diperlukan. Kerana penyelidikan ilmu pengetahuan bukan kepunyaan peribadi seseorang tetapi adalah tanggungjawab semua pihak.

Yang saya bicarakan ini bukan bererti saya menyalahkan Mohd. Rosli, bahkan saya sangat menghargai, mudah-mudahan langkah beliau diikuti pula oleh orang lain untuk kerja-kerja penyelidikan tentang ulama kita dunia Melayu.

Asal usul

Selembar salasilah yang diusahakan oleh Zuhairi bin Habibah binti Haji Wan Muhammad, tahun 1990, dinyatakan bahawa asal usul datuk nenek Haji Wan Muhammad adalah daripada "perkahwinan Cik Siti Wan Kembang ibni Tengku Sulaiman dengan Saiyid Hakim bin Saiyid Husaini (bergelar Saiyid Kuning) dan memperoleh anak bernama Wan Abdul Wahid."
Bagaimana pun riwayat ini ada kelainan dengan beberapa versi sejarah Kelantan yang menyebut bahawa Cik Siti Wan Kembang adalah puteri Raja Ahmad yang memerintah Kelantan tahun 1548 M - 1580 M. Cik Siti Wan Kembang pula tidak mempunyai anak, kerana tidak pernah kahwin.

Sehelai surat tarikh 21 Januari 1996 yang ditujukan kepada Haji Wan Yas'on bin Haji Wan Yusof bin Haji Wan Muhammad dari salah seorang anak saudaranya (tanpa menyebut nama, hanya terdapat tandatangan saja) dinyatakan "Ayahda, Datuk Mufti namanya Haji Wan Muhammad bin Wan Husein, berasal dari Kampung Saring, Mukim Merbol, Pasir Putih, Kelantan."
Dari hasil wawancara dengan salah seorang cucu beliau di Bukit Chandan, Perak, pada 5 November 2006, dan pelbagai sumber sebelumnya bahawa nama lengkap beliau ialah Haji Wan Muhammad@Ahmad bin Haji Wan Husein bin Haji Wan Muhammad Nur Marbo al-Fathani. Kampung Marbo atau Merebo di Patani adalah asal usul datuk nenek beliau.

Kampung Marbol, Pasir Putih, Kelantan diberikan nama demikian setelah keluarga tersebut hijrah dari Marbo atau Merebo, Patani. Haji Wan Muhammad lahir tahun 1264 H/1848 M, riwayat lain menyebut tahun 1268 H/1852 M. Wafat di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, hari Rabu, 11 Jumadil Akhir 1348 H/13 November 1929 M, riwayat lain menyebut pada 11 November 1929 M.

Dalam surat tarikh 21 Januari 1996 juga dicatatkan: "Ayahda, mengikut satu cerita saudara lelakinya bernama Wan Putih. Dia ada kakak (tidak tahu namanya), dan adiknya nama Wan Maryam menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Said, Kampung Lama, Besut, Terengganu datuk kepada Lathifah, Candan Kuala Kangsar."

Pendidikan

Norul Ashikin Abdullah dalam Harian Metro, Sabtu, 11 Ogos 2001, menulis bahawa Haji Wan Muhammad mendapat pendidikan awal daripada Tuan Hasan Besut (Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani), Tuan Pangkalan Tangga (Wan Ismail bin Wan Ahmad al-Fathani) dan Saiyid Abdus Salam. Yang dimaksudkan dengan Wan Ismail bin Wan Ahmad al-Fathani, itulah ayah kepada ulama terkenal Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani penyusun kitab Mathla' al-Badrain.

Sebelum melanjutkan pelajarannya di Mekah, Wan Muhammad terlebih dulu memperdalam pengetahuannya di beberapa pondok di Patani. Dipercayai beliau belajar di Pondok Bendang Daya dan Pondok Pauh Bok, dan lain-lain. Guru-gurunya di Mekah sangat ramai termasuk kepada Syeikh Ahmad al-Fathani yang umurnya jauh lebih muda daripada beliau.

Mufti kerajaan Perak

Mengenai Mufti Kerajaan Perak yang pertama ada orang berpendapat adalah pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah ke-III, muftinya ialah Daeng Selaili atau Pajung Luwuk Daeng Sedili. Beliau mempunyai beberapa gelaran ialah Haji Besar, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, dan Sri Maharajalela Pancung Tak Bertanya. Makamnya di tepi tebing sungai, Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Pendapat lain menyebut, Mufti Perak yang pertama ialah Haji Wan Muhammad yang diriwayatkan ini. Lama beliau menjadi Mufti Perak juga ada pertikaian pendapat. Ada yang menyebut tahun 1887 M - 1916 M, pendapat lain menyebut hingga tahun 1917 M, dan ada pula yang menyebut mulai tahun 1918 M hingga tahun 1925 M.

Sumber yang tidak dipertikaikan, dari cucu beliau bernama Haji Wan Yas'on bin Haji Wan Yusof bin Haji Wan Muhammad, tulisan pada tarikh 2 Ramadan 1416 H/2 Februari 1996 M, beliau mendengar dari ayahnya, bahawa Haji Wan Muhammad datang ke Perak pada masa pemerintahan Sultan Yusof Syarifuddin Muzaffar Syah (1886 M - 1887 M). Sultan Yusof dan selanjutnya pengganti baginda Sultan Idris Mursyidul A'zam Syah (1887 M - 1916 M), selanjutnya Sultan Iskandar Syah (menaiki tahta tahun 1918 M).
Sultan Idris tersebutlah yang melantik beliau menjadi Mufti Perak. Ketiga-tiga Sultan Perak tersebut pernah belajar kepada Haji Wan Muhammad. Kemudian diikuti pula oleh para pembesar istana.

Haji Wan Muhammad pertama datang ke Perak mengajar di Tanjung Tualang dan selanjutnya mendirikan membina pondok pengajian dan surau di Lembah Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Di tempat tersebutlah telah melahirkan ramai ulama termasuklah ulama besar yang terkenal Syeikh Idris al-Marbawi.

Haji Wan Muhammad meninggalkan keturunan yang ramai, di antara anak beliau yang menjadi ulama ialah Haji Wan Abdur Rahman, Haji Wan Abdullah Zawawi (pernah sebagai Qadhi Tapah), Haji Wan Yusuf (pernah sebagai Imam Masjid Ubudiah, Bukit Chandan).

- Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_kha zanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

Tuesday, December 05, 2006

SYEIKH JALALUDDIN AL-ASYI

Kesinambungan Aktiviti Ulama Aceh

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

KHUSUS tentang artikel hari ini, saya mulai daripada sebuah manuskrip salinan Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu pada 8 Zulhijjah 1413 H/9 Jun 1992 M di Kampung Pusin, Jala.

Haji Mahmud mencatat bahawa As-Syeikh al-‘Alim al-Allamah al-Faqih Jalaluddin walid (ayah) al-‘Allamah asy-Syeikh Muhammad Zain al-Asyi.

Tarikh 14 Safar 1413 H/13 Ogos 1992 M, ketika saya diberi kepercayaan meneliti manuskrip nadir dan mengkatalogkan khazanah di Muzium Islam Pusat Islam, terjumpa pula beberapa manuskrip karya beliau.

Ternyata nama ayah beliau yang tertulis pada kitab Jam’u Jawami’ al-Mushannafat telah keliru cetak. Pada manuskrip karya beliau yang berjudul Hujjat al-Balighah, tertulis nama lengkapnya iaitu Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir.

Yang berbeza ialah nama Jalaluddin (pada Jam’u Jawami' al-Mushannafat) dan Kamaluddin (pada Hujjah al-Balighah). Kegiatan pendidikan Islam, dakwah dan penulisan kitab yang pernah dilakukan oleh Syeikh Faqih Jalaluddin disambung oleh anak beliau Syeikh Muhammad Zain yang mempunyai banyak karangan di antaranya Bidayatul Hidayah.

Masih ditahap penelitian, kemungkinan Syeikh Sirajuddin juga anak Syeikh Faqih Jalaluddin. Informasi pada mukadimah ini saya simpulkan bahawa sama ada Faqih Jalaluddin sendiri mahu pun anak beliau Syeikh Muhammad Zain, juga Syeikh Sirajuddin adalah sama-sama penting dan perlu pengemaskinian pendokumentasian tentang mereka.

PENDIDIKAN

Dipercayai ayah beliau ialah Syeikh Kamaluddin dan datuk Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir, kedua-duanya adalah ulama besar, terkenal dan berpengaruh di Aceh pada zamannya. Oleh itu Faqih Jalaluddin menerima pengajian Islam tradisional daripada kedua-duanya.

Bagaimanapun dipercayai bahawa beliau juga belajar dengan beberapa orang ulama terkenal di Aceh yang lainnya. Dalam sebuah kitabnya ada dicatatkan bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah daripada gurunya Arif Billah Baba Daud bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa ar-Rumi.

Beliau ini adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Baba Daud bin Ismail al-Jawi inilah orang pertama menyalin tafsir al-Quran yang ditulis oleh gurunya itu, dan beliau pula yang menyelesaikan tafsir itu sehingga menjadi lebih lengkap dan lebih sempurna.

Memerhatikan sangat rapat dan mesranya hubungan antara Syeikh Faqih Jalaluddin dengan gurunya, Baba Daud al-Jawi itu, sedangkan Baba Daud al-Jawi pula adalah murid kepercayaan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, maka diyakini bahawa Syeikh Faqih Jalaluddin sempat pula menerima ilmu-ilmu dari Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri secara langsung.

KARYA DAN PEMIKIRAN

Kemudian Faqih Jalaluddin melanjutkan pelajaran ke India dan Mekah. Oleh sebab Syeikh Faqih Jalaluddin seorang ulama besar Aceh pada zamannya, maka beliau dilantik sebagai Kadi Malikul Adil dalam masa pemerintahan Sultan Alauddin Maharaja Lela Ahmad Syah (1139 H/1727 M - 1147 H/1735 M) juga pada masa pemerintahan Sultan Alauddin Johan Syah (1147 H/1735 M -1174 H/1760 M).

Aktiviti Faqih Jalaluddin selain sebagai menjadi pengarang beberapa buah kitab, dipercayai juga merupakan seorang ulama yang berpengaruh di istana kesultanan Aceh. Selain itu Sultan Aceh, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah sentiasa merujuk sesuatu perkara kepada beliau. Mungkin sultan yang tersebut, bahkan termasuk keluarga istana adalah murid Faqih Jalaluddin itu.

Karya Faqih Jalaluddin yang pertama diberi judul Hidayah al-Awam Pada Menyatakan Perintah Agama Islam. Kitab ini adalah tentang fiqh yang ringkas. Pada mukadimah Hidayah al-Awam, Syeikh Faqih Jalaluddin bahawa,"... pada hijrah Nabi seribu seratus empat puluh, pada lima hari bulan Muharam (5 Muharam 1140 H/23 Ogos 1727 M, pen:) zaman Paduka Seri Sultan, yang besar kerajaannya, lagi yang maha tinggi darjatnya, iaitu Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan berdaulat Zhillullah fi al-Alam, adamullahu daulatahu, Amin, maka tatkala itu meminta kepada faqir yang hina Khadim al-Ulama (yang berkhidmat pada ulama), Haji Jalaluddin... oleh seorang sahabat raja itu, yang takut akan Allah Taala, bahawaku suratkan baginya suatu risalah yang simpan (maksudnya: risalah yang ringkas, pen:). Maka aku namai akan dia Hidayah al-‘Awam ...”

Selain ilmu fiqh yang ringkas Faqih Jalaluddin al-Asyi juga menulis ilmu fiqh yang tebal dan lengkap yang diberi judul Safinat al-Hukkam fi Talkhish al-Khisham, dimulakan penulisannya bulan Muharam, hari Jumaat 1153 H/1740 M. Kitab ini dikarang atas perintah Sultan Alauddin Johan Syah. Barangkali kitab inilah yang terbesar di antara karyanya.

Naskhah masih berupa tulisan tangan. Kandungannya fiqh menurut Mazhab Syafi'ie, membicarakan istilah-istilah, peringatan untuk golongan hakim yang zalim dan beberapa kaedah, semuanya tersebut pada mukadimah.

Termasuk dalam kategori ilmu fiqh juga ialah karya beliau judul Hujjah al-Balighah ‘ala Jama’ah al-Mukhasamah. Pada mukadimah Faqih Jalaluddin menulis: “Ada pun kemudian dari itu, maka tatkala Hijrah Nabi s.a.w seratus lima puluh delapan tahun, kemudian daripada seribu pada empat hari bulan Muharam, waktu Dhuha, hari Sabtu (4 Muharam 1158 H/1745 M) zaman Saiyidina wa Maulana Paduka Seri Sultanah Alauddin Jauhar Syah, Syah Berdaulat Zhillullah fi al-Alam, telah meminta kepadaku setengah daripada kekasihku, salah seorang daripada pengawal sultan yang tersebut itu, bahawa ku suratkan baginya risalah yang simpan pada menyatakan dakwa, dan baiyinah, dan barang yang bergantung dengan keduanya. Ku perkenankan pintanya, dan ku suratkan baginya risalah ini ...”

Pada penghabisan kitab beliau mencatat, Tamat al-kitab Hujjah al-Balighah ‘ala Jama'ah al-Mukhasamah karangan faqir yang hina Faqih Jalaluddin ibnu asy-Syeikh Kamaluddin ibnu al-Qadhi Baginda Khathib at-Tarun Pasir... pada 27 Rabiulakhir, waktu Dhuha pada zaman Alauddin Jauhar Syah, pada hijrah seribu seratus lima puluh delapan tahun... (27 Rabiulakhir 1158 H/1745 M).

Karya Faqih Jalaluddin al-Asyi dalam bidang tasawuf pula sekurang-kurangnya terdapat dua judul ialah Manzhar al-Ajla ila Martabah al-A’la. Salah sebuah salinan manuskrip diselenggarakan oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, selesai penyalinan pada tahun 1273 H/1856 M. Kitab Manzhar al-Ajla ..., Faqih Jalaluddin Aceh tersebut diselesaikan pada tahun 1152 H/1739 M. Beliau nyatakan bahawa beliau dititah oleh Sultan Alauddin Johan Syah ibnu as-Sultan al-Marhum Ahmad Syah.

Karya tasawuf

Karya tasawuf judul yang lain pula ialah Asrar as-Suluk ila Malail Muluk. Dalam naskhah tidak tersebut nama pengarang tetapi dapat dipastikan sebagai karya Faqih Jalaluddin al-Asyi adalah berdasarkan salasilah pada kalimat, “... telah mengambil zikir, dan talkin, dan khirqah, dan khalifah, fakir yang mengarang risalah ini daripada syeikhnya yang ahli az-zauq, lagi Arif Billah, iaitu Syeikh Daud ibnu Ismail qaddasallahu sirrahu, dan ia mengambil dari (Syeikh) Abdur Rauf ...”

Bererti pengarang adalah murid Baba Daud ibnu Ismail ar-Rumi, bahawa perkara ini juga disebut oleh Faqih Jalaluddin bin al-Asyi dalam karyanya Manzar al-Ajla ...

Kandungan keseluruhannya membicarakan tasawuf peringkat tinggi dan berbagai-bagai tarekat. Disebutkan bahawa asal tarekat dalam dunia ada empat belas, semua nama tarekat disebutkan secara terperinci.

Dari kelima-lima karya Faqih Jalaluddin al-Asyi yang dijumpai dapat diketahui dengan jelas bahawa beliau mengarang adalah atas permintaan daripada sultan.

Dari maklumat ini dapat kita ambil kira bahawa buah fikiran beliau sebagai seorang ulama besar pada zamannya sangat diperlukan oleh pihak kerajaan. Pada bahagian mukadimah kitab Hujjah al-Balighah, Syeikh Jalaluddin al-Asyi menampakkan dirinya sebagai seorang ulama yang tegas, bahawa undang-undang kadi menurut ajaran Islam mesti dilaksanakan.

Hujjah al-Balighah beliau ertikan dengan “kata yang tiada berlawan.” Untuk melaksanakan perkataan yang tidak boleh dilawan itu beliau mentertibkannya atas tiga bahagian, iaitu:

1. Pada menyatakan kadi dan barang yang bergantung dengannya.

2. Pada menyatakan dakwa dan baiyinah dan barang yang bergantung dengannya.

3. Pada menyatakan saksi dan sumpah dan barang yang bergantung dengannya.

Faqih Jalaluddin menafsirkan hadis Nabi s.a.w. yang maksudnya bahawa kadi itu tiga perkara, dua perkara isi neraka dan satu perkara isi syurga.

Kata beliau: “Maka dua perkara isi neraka itu iaitu; Pertama kadi yang jahil, tiada baginya ilmu, jikalau mufakat hukumnya itu dengan kebenaran sekali pun tiada jua sah hukumnya itu dengan sebab meninggalkan daripada belajarnya ...” Mengenai perkara ini beliau kemukakan dua hadis Nabi s.a.w. sebagai dalilnya.

Satu diantaranya, menurut beliau lafaz di bawah ini adalah hadis, iaitu: “Barangsiapa tiada guru baginya maka syaitanlah gurunya.” Sabda Nabi itu beliau tafsirkan, barangsiapa ada gurunya itu syaitan, maka tiada lagi syak akan dia isi neraka.

Kadi jenis yang kedua, menurut Faqih Jalaluddin al-Asyi, ialah: “Yang alim, yang ia tiada menghukum seperti yang dalam ilmunya ... “Kadi golongan yang ketiga ialah: “Yang alim, yang ia menghukum seperti hukum yang dalam ilmunya.”

Setelah itu, Faqih Jalaluddin al-Asyi memberikan peringatan, katanya, “Ingat-ingat kiranya yang memberi fatwa, maka adalah bahaya yang besar pada memberi fatwa itu belum lagi tahqiq sesuatu masalah daripada hadis, dan dalil, atau daripada kitab segala ulama. Maka janganlah difatwakan sekali-kali akan dia ...”

KETURUNAN DAN KESIMPULAN

Keturunan Faqih Jalaluddin yang lengkap masih dalam penyelidikan. Apa yang pasti anak beliau yang menjadi ulama besar dan menghasilkan beberapa karangan ialah Syeikh Muhammad Zain al-Asyi. Keturunan Syeikh Muhammad Zain al-Asyi selanjutnya belum dapat maklumatnya.

Ada lagi seorang ulama Aceh, Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi, belum jelas apakah beliau juga adalah anak Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi yang diriwayatkan ini. Hanya dua karangan Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi yang dijumpai, masih dalam berupa manuskrip.

Sebuah koleksi yang tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia, nombor kelasnya MS 1530, belum diketahui judul, kerana pengarangnya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin al-Asyi tidak menyebut tentang itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_

khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

Sunday, November 26, 2006

HAJI ABDUR RAHMAN AL-MANDAILI

Penyusun Kamus Tiga Bahasa

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SEBELUM ini ada dua orang ulama yang berasal dari Mandailing diperkenalkan di ruangan Ulama Nusantara dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, ialah Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al- Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 11 April 2005) dan Syeikh Junid Thala al-Mandaili (Utusan Malaysia, Isnin, 4 September 2006).

Ulama yang diperkenalkan sekarang ialah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili. Di antara perkara yang menarik tentang Haji Abdur Rahman bin Jabugis, ulama yang berasal dari Mandailing ini ialah sebuah kamus tiga bahasa yang beliau susun. Kamus tersebut merangkumi bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.

Kita mengakui bahawa kamus perkataan Arab yang diterjemahkan ke dalam perkataan Melayu pada zaman yang sama dengan Haji Abdur Rahman bin Jabugis memang terdapat beberapa buah, tetapi terjemahan ke dalam perkataan Mandailing karya ulama tersebut adalah merupakan satu-satunya. Hingga kini belum dijumpai kamus seperti demikian baik dalam perkataan Melayu-Mandailing mahu pun Indonesia-Mandailing

Mengenai tempat lahir Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili tidak diragui kerana ada beliau tulis sekurang-kurangnya dalam dua buah karyanya, iaitu beliau dilahirkan di Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara. Adapun mengenai tarikh lahir, walau pun ada beliau nyatakan pada kulit depan Ats-Tsamaratul Lughat, namun masih diragui. Tertulis, “Al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandaili Penyabungan, al-maulud fi balad Asahan 27 Rabiulawal fi sanah 1335.”

Maksudnya bahawa beliau lahir pada 27 Rabi'ul Awwal 1335 H. Tahun yang diberikan ini kemungkinan tersalah cetak kerana pada akhir karya beliau ‘Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman,’ dinyatakan: “Adalah tamatnya kepada 17 Ramadan sanah 1338.” Jadi sekiranya benar tarikh lahir 27 Rabiulawal 1335 H hingga tarikh 17 Ramadan sanah 1338 H bererti umur Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili ketika itu ialah sekitar tiga tahun, enam bulan saja.

Menurut lazimnya tidak dapat diterima akal kanak-kanak yang masih di bawah umur dapat menyelesaikan penulisan yang termasuk pekerjaan yang berat itu. Lebih meragukan lagi kerana Syair Mikraj juga dinyatakan karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H.

Bererti sewaktu karya ini selesai ditulis Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili belum lahir lagi. Oleh yang demikian kemungkinan tarikh yang betulnya ialah pada 27 Rabiulawal 1253 H/1 Julai 1837 M. Tarikh yang diberi ini bersifat sementara selagi belum ditemui catatan yang lebih jelas dan konkrit.

Perjuangan bahasa

Setakat ini, karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang telah ditemui hanya empat judul saja. Tiga daripada judulnya dikategorikan kepada karya yang nadir.

Sebelum menyenaraikan keempat-empat karya yang dimaksudkan terlebih dulu saya bahas tentang kamus yang beliau susun, kerana dapat dijadikan perbandingan perjuangan bahasa Melayu pada zaman silam dalam era sebelum kemerdekaan dengan era sesudah kita merdeka.

Karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili yang saya utamakan itu ialah yang berjudul Ats-Tsamaratul Lughat, tanpa tarikh, sama ada tarikh selesai penulisan mahu pun tarikh cetakan. Dicetak oleh Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan kamus tiga bahasa, iaitu bahasa Arab, Melayu dan Mandailing.

Pada halaman depan dinyatakan bahawa pengarangnya berasal dari Mandailing Penyabungan, lahir di negeri Asahan. Pada bahagian akhir karya beliau Kisah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman, dinyatakan bahawa Haji Abdur Rahman bin Jabugis orang Mandailing dilahirkan di negeri Asahan Balai (nama sekarang Tanjung Balai Asahan, pen:).

Selanjutnya dinyatakan pula bahawa kitab ini telah ditelaah oleh Maulana as-Saiyid Hamid bin al-Marhum as-Saiyid Ali, Naib as-Sultan Negeri Asahan. Di bawahnya diterangkan pula: “Ini risalah pelajaran bahasa Arab, dan Melayu, dan Mandaili. Tiada dibenarkan seseorang pun mengecapnya atau meniru, jikalau tiada minta izin yang empunya, kerana sudah diregister.” (Ats-Tsamaratul Lughat, hlm. kulit).

Pada mukadimah Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili menjelaskan sebab-sebab beliau menyusun kamus tersebut, katanya “Ada pun kemudian, maka meminta akan daku setengah saudara kami, berulang-ulang mereka itu sekali kemudian sekali, bahawa aku tuliskan akan bahasa Arab dan aku gantungkan akan maknanya dengan bahasa Melayu Asahan, atas kadar sedikit ilmuku dan keruh hatiku, dan pandak mengertiku.”

Ada maklumat lain menyebut bahawa yang meminta beliau menyusun kamus yang tersebut ialah Sultan Asahan atau Naib Sultan yang tersebut di atas. Yang dimaksudkan dengan “bahasa Melayu Asahan” atau pun “bahasa Mandailing” adalah merupakan bahasa lokal saja, iaitu termasuk bahagian kecil bahasa Melayu global, yang lebih luas digunakan pada zaman sebelum Indonesia dan Malaysia merdeka.

Di daerah yang sama juga terdapat dan berkembang bahasa Melayu lokal yang lain dengan dialek yang berbeza-beza, seumpama bahasa Melayu Deli, bahasa Melayu Langkat, dan lain-lain. Dari sini kita dapat mengambil pengertian dan pelajaran bahawa sultan dalam sesuatu kerajaan kecil dan ulama pada zaman dulu berusaha untuk mempertahan dan menghidupkan bahasa Melayu di dalam kerajaan mereka masing-masing.

Oleh itu masa kini, sekurang-kurangnya tiga negara serumpun Melayu telah merdeka iaitu Indonesia, Malaysia dan Brunei Darussalam, sebenarnya bukan zamannya lagi untuk mengagung-agungkan bahasa dari bangsa-bangsa yang pernah menjajah. Kita cuba berfikir, berjuang dan terus berjuang bukan lagi menyebarkan bahasa Melayu dalam negara serumpun, tetapi sesuai dengan kita telah merdeka, bererti merdeka dan berhak memartabat dan menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Penulisan

Tiga karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing, selain yang tersebut adalah bercorak sastera klasik Melayu-Islam, yang bererti turut memperkaya bahasa Melayu. Sekali gus dapat dimasukkan dalam perkembangan sejarah sastera klasik Nusantara. Karya-karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing yang dimaksudkan ialah: Syair Mikraj, diselesaikan pada Jumaat, pukul 4 petang, 6 Syaaban 1328 H/12 Ogos 1910 M.

Tidak dinyatakan nama percetakan kerana halaman depannya belum dijumpai. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Kandungan menceritakan kisah Israk dan Mikraj yang diungkapkan dalam bentuk syair/puisi. Karya beliau yang pertama ini dikategorikan karya biasa kerana terdapat beberapa karya tentang Israk dan Mikraj sama ada dalam bentuk prosa mahupun puisi/syair.

Qishah Qamaruz Zaman Ibnu Malik Syaharman, diselesaikan pada 17 Ramadan 1338 H/3 Jun 1920 M. Dicetak oleh Mathba’ah Muhammad Idris, Jalan Haji Lank, No. 21, Singapura, 1934 M. Dicetak dengan huruf batu atau litografi. Ditulis dalam bentuk prosa dan dalam beberapa halaman dihiasi dengan syair-syair Melayu.

Kandungan mengisahkan seorang raja yang bernama Qamaruz Zaman. Qishah Qamaruz Zaman adalah merupakan karya sastera Islam klasik yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Pada akhir Qishah Qamaruz Zaman, Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis: “Tamatlah kisah ajaib yang bernama Qishah Qamaruz Zaman ibnu Malik Syaharman diterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu oleh hamba yang daif, lagi miskin, dan yang mengaku banyak dosa kepada tuhan yang kaya al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis al-Mandaili diperanakkan di negeri Asahan Tanjung Balai ....” (Qishah Qamaruz Zaman, hlm. 143-144).

Syair Mikraj dan Qishah Qamaruz Zaman karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing di atas diperoleh di Ketapang, Kalimantan Barat pada Jumaat, pukul 5 petang, 3 Ramadan 1421 H/29 Disember 2000 M di rumah pusaka kewarisan Datuk Kaya Muda Amar Di Raja.

Salah sebuah hikayat sufi yang terkenal juga dapat perhatian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing. Oleh itu, sebuah karya yang beliau terjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu selain yang tersebut di atas ialah yang diberi judul Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham, tanpa tarikh.

Dicetak di Tempat Cap Haji Idris bin Yahya, Singapura, tanpa dinyatakan tahun cetak. Cerita lisan tentang Ibrahim bin Adham termasuk salah satu kisah seorang sufi yang amat terkenal dalam masyarakat Melayu sejak lama. Tetapi cerita tersebut hampir-hampir tidak terdapat dalam penulisan ulama-ulama Melayu terkecuali hanya termuat dalam beberapa kitab tasauf.

Di antara kitab Melayu/Jawi yang memperkenalkan kisah Ibrahim bin Adham, tetapi adalah sangat ringkas ialah dalam Ward az-Zawahir oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan dalam Hadiqah al-Azhar oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

Hingga kini saya belum menjumpai sejarah khusus mengenai Ibrahim bin Adham dalam tulisan klasik Melayu/Jawi, kecuali satu-satunya hanyalah Hikayat Sultan Ibrahim Ibnu Adham karya Haji Abdur Rahman bin Jabugis ulama Mandailing yang sedang dibicarakan ini.

Sebelum membicarakan kandungan pada bahagian atas sekali diletakkan judul oleh pengarangnya ialah Hikayat Sultan Ibrahim Bin Adham Wali Allah. Dari judul ini dapat kita fahami bahawa Ibrahim bin Adham itu adalah seorang sultan.

Kemudian dijelaskan pula bahawa selain baginda seorang sultan, sekali gus adalah Wali Allah. Gaya bahasa Melayu klasik yang digunakan oleh Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing sebagai pembukaan hikayat, kata beliau, “Ini hikayat, ada seorang raja negeri Baghdad bernama Sultan Ibrahim ibnu Adham Wali Allah, terlalu besar tahta kerajaan baginda itu. Syahdan baginda itu sangat pertapa ...” Yang dimaksudkan dengan perkataan ‘pertapa’ dalam kalimat ini jika dikembalikan kepada istilah sufi ialah “khalwat” ataupun “suluk” ialah bersunyi-sunyi diri atau mengasingkan diri kerana melakukan ibadat.

Kemudian Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menyambung tulisan di atas dengan kalimat, “Lagi masyhur namanya. Lagi adil perintahnya. Lagi dengan masyhur amat pengasih pada sekalian wazir menteri, hulubalang, dan kepada rakyatnya hina dina.

Dan terlalu amat pengasihnya kepada segala alim ulama, dan fuqaha, dan fakir miskin. Serta dengan periksanya menghukumkan di atas sekalian rakyat dengan sebenarnya. Maka segala menteri hulubalang pun sangat takut dan kasih akan baginda itu, maka negeri itu pun terlalu ramainya dengan sentosanya ...” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 2).

Pada akhir hikayat Haji Abdur Rahman bin Jabugis Mandailing menulis, “Telah menyambung akan hikayat ini, oleh hamba nama al-Haji Abdur Rahman bin Jabugis Tanjung Balai Asahan dengan kehendak yang empunya ini hikayat Tuan Haji Muhammad Idris.” (Sultan Ibrahim Ibnu Adham, hlm. 63).

- Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat:

pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

HAJI MUHAMMAD SA'ID ARSYAD

Tokoh Litografi Melayu-Islam

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

SALAH satu cabang khazanah kewarisan Melayu-Islam yang dilupakan orang ialah cetakan-cetakan sastera klasik yang ditulis dalam bentuk hikayat dan syair. Lebih 100 tahun yang lalu sekurang-kurangnya terdapat tiga tokoh yang paling banyak mencetak hikayat dan syair Melayu-Islam yang menggunakan huruf litografi (huruf batu) yang berpusat di Singapura. Ketiga-tiga tokoh itu ialah Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Haji Muhammad Amin bin Abdullah dan Haji Muhammad Idris bin Yahya.

Yang dibicarakan dalam artikel ini ialah tentang aktiviti Haji Muhammad Sa’id saja, manakala dua lagi akan dibicarakan dalam kesempatan yang lain. Sebelum riwayat ulama dan tokoh ini saya teruskan, terlebih dulu saya peringatkan bahawa beliau yang dibicarakan dalam artikel ini adalah lain dari Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id (Datuk Laksamana) yang dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 9 Oktober 2006.

Setahu saya ulama dan tokoh ini belum pernah diperkenalkan oleh sesiapa pun, kecuali hanya tarikh meninggal dunia saja yang pernah disebut oleh Muhammad Yasin bin Abbas Langkat dalam Syair Cermin Islam yang selesai ditulis di Kampung Babus Salam, Langkat pada 1 Jamadilawal 1345 H. Berdasarkan tulisan tersebut dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad meninggal dunia di Singapura, lepas zuhur, pukul 1.30 tengah hari Sabtu, 4 Zulkaedah 1342 H/6 Jun 1924 M ketika berusia 90 tahun.

Perkara yang sama juga disebut pada halaman terakhir Syair Dandan Setia Intan Terpilih, jilid ke-2, cetakan 3 Syaaban 1344 H. Dengan demikian diduga beliau lahir dalam tahun 1252 H. Berdasarkan maklumat pada muka depan Kitab Hadits Arba'in yang dihimpun oleh anak beliau ada dinyatakan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah.

Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad mendapat pendidikan di beberapa pondok-pesantren di sekitar Semarang, Jawa Tengah dan Jawa Timur pada zamannya. Ulama Semarang yang paling terkenal pada zaman itu ialah Kiai Haji Syeikh Muhammad Shalih Darat Semarang. Ulama Semarang tersebut lahir di Kedung Cemlung, Jepara, 1235 H/1820 M, wafat hari Jumaat, di Semarang, 29 Ramadan 1321 H/18 Disember 1903 M. Dipercayai Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad juga pernah belajar dengan Kiai Haji Khalil al-Maduri (lahir 11 Jamadilakhir 1235 H/27 Januari 1820 M, wafat 29 Ramadan 1341 H/14 Mei 1923 M. Riwayat lain menyebut wafat 29 Ramadan 1343 H/22 April 1925 M). Selain kedua-dua ulama yang tersebut beliau juga pernah belajar di Mekah.

Oleh sebab beliau memahami keadaan dalam ilmu ekonomi dan perkembangan zaman, bahawa Singapura pada ketika itu mula menuju ke arah sebuah pelabuhan dan bandar yang maju dan pesat, maka beliau pindah ke Singapura.

CETAKAN

Cetakan litografi (huruf batu) berdasarkan beberapa hikayat dan syair yang ada dalam koleksi saya. Antara yang paling awal dicetak di Mathba'ah Haji Muhammad Sa'id bin Haji Arsyad Singapura ialah dalam tahun 1333 H/1915 M. Sebagai contoh beberapa maklumat yang dapat diketahui dari Kitab Hadits Arba'in’yang dihimpunkan oleh anak beliau bernama Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad Singapura, pada kulit depan tertulis, Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 dan nombor 124 Kampung Sailon Arab Street, Tukang Cap dan Penjual Serba Jenis Kitab Arab, Melayu dan Jawa Daripada Thaba’ Mekah, Setambul, Mesir, Bombay dan lainnya.

Maka siapa yang berhajat mengecap apa-apa kitab atau azimat atau lainnya sama ada cap batu atau timah atau azimat bolehlah datang ke kedai yang tersebut di atas ini atau berkirim surat supaya kita menjawabnya dengan harga yang patut. Pada halaman belakang tertulis, “Telah sempurna daripada mengecap Hadits Arba’’n di Mathba' Tuan Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad nombor 82 Arab Street Singapura bertarikh 5 Hijrah an-Nabi s.a.w Rabiulawal 1333.” (5 Rabiulawal 1333 H /19 Februari 1915 M, pen:).

Pada halaman belakang risalah Solawat al-Kubra tertulis, ‘Tercap di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, Kampung Selong, Arab Street, Rumah nombor 82, 30 Syaaban 1333.’ (30 Syaaban 1333 H /12 Julai 1915 M). Kedua-dua cetakan yang disebutkan ini adalah sama-sama dalam tahun 1333 H/1915 M. Solawat al-Kubra kemungkinan adalah terjemahan Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad sendiri dan merupakan pertama kali diperkenalkan dalam bahasa Melayu. Ada pun Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, iaitu Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Dari maklumat ini dapat diambil kesimpulan bahawa kedua-dua beranak yang berasal dari Kauman, Semarang, Jawa Tengah yang tersebut adalah ulama.

Sepuluh tahun kemudian kemungkinan percetakan tersebut berpindah alamat, mengenai ini dapat disimpulkan dari kalimat dalam Syair Dandan Setia Intan Terpilih, pada akhir tertulis, “Telah selesai daripada mengecap Syair Dandan Setia kepada 3 Syaaban 1344 H (3 Syaaban 1344 H/15 Februari 1926 M, pen:) di dalam negeri Singapura, Kampung Gelam di Lorong Mesjid...”

Dari cetakan di atas, terdapat dua perkataan yang maksudnya mungkin sama tetapi berbeza tulisannya. Yang pertama tertulis ‘Sailon’ yang satu lagi ‘Selong’ mungkin maksudnya ialah Ceylon. Kemungkinan dulunya tempat itu didiami oleh ramai orang Melayu yang berasal dari Ceylon atau Sri Langka.

Kandungan

Sebagaimana diketahui oleh masyarakat Islam tentang kelebihan atau fadilat membaca selawat, demikianlah kandungan Solawat al-Kubra yang menceritakan tentang perkara yang tersebut itu. Mulai halaman depan sekali dinyatakan, “Inilah Solawat al-Kubra yang terlalu besar faedahnya serta dengan syarahnya bahasa Melayu. Baharu dicap sekali.”

Pada bahagian bawah sekali dinyatakan pula “Baik disimpan ini solawat.” Selanjutnya pada halaman ketiga, pembuka hikayat diceritakan sebagai berikut, Ini satu ceritera daripada Abdullah ibnu Abbas r.a, ia berkata, Adalah Nabi S.A.W duduk di dalam Masjid Madinah tiba-tiba datang Jibril kepada Nabi kita Muhammad s.a.w, maka ia berkata: “Ya Muhammad, bermula Tuhan engkau memberi salam akan dikau, dan Dia menentu akan dikau dengan satu haluan yang kemuliaan.” Berkata Malaikat Jibril selanjutnya: “Bahawasanya aku ini sesungguhnya datang akan dikau dengan membawa hadiah daripada Allah s.w.t. Tiada Dia menghadiah akan hadiah ini seseorang yang dahulu daripada engkau hai Muhammad ...” Yang dimaksudkan dengan hadiah itu ialah Solawat al-Kubra.

Selanjutnya Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad menyebut pelbagai fadilat selawat tersebut secara mendalam.

Ada pun mengenai kandungan Kitab Hadits Arba’in karya anak beliau, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad pula ialah membicarakan 40 hadis menurut pilihannya sendiri. Hadis yang pertama, yang ditulis sesudah puji-pujian terjemahan Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad ialah: “Sabda Nabi s.a.w: Barangsiapa membaca dengan menghafalkan 40 hadis daripada ummatku, dinamai akan dia oleh Allah pada langit akan wali dan pada bumi dinamai ahli fiqh. Dan dihimpunkan akan dia serta orang yang soleh. Yang tiada takut atas mereka itu dan tiada mereka itu dukacita.”

*Dalam Kitab Hadits Arba’in, Haji Muhammad bin Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad tersebut juga sekurang-kurang ada tiga hadis membicarakan tentang kemasyarakatan, sebagaimana diterjemahkan oleh penyusunnya

Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa menyampaikan hajat saudaranya yang Islam, nescaya disampaikan oleh Allah baginya 70 hajat di dalam dunia dan akhirat.

Hadis yang lain pula, “Sabda Nabi s.a.w: Barang siapa memuliakan orang yang dijamu, maka sesungguhnya ia memuliakan aku. Barang siapa memuliakan orang yang dagang, maka sesungguhnya memuliakan 70 Nabi yang menjadi Rasul.” (Kitab Hadits Arba’in, hlm. 6).

Syair wafat

Walau pun Syair Dandan Setia Intan Terpilih bukan berasal dari kisah dalam agama Islam, namun apabila kita teliti hanya sebuah judul ini saja yang ditangani oleh Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Pada cetakan dinyatakan sebagai berikut, ‘Adalah yang empunya kerja ini Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad’.

Saya berkesimpulan bahawa Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, selain pemilik percetakan itu sekali gus beliau sebagai penterjemah awal Syair Dandan Setia ke dalam bahasa Melayu. Syair tersebut hingga sekarang tidak diketahui nama pengarangnya. Pada akhir syair terdapat tambahan, kemungkinan disyairkan oleh anak beliau bernama Muhammad.

Syair tambahan itu ialah tentang tarikh wafat Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad. Syair wafat Haji Muhammad Sa‘id bin Haji Arsyad dalam Dandan Setia kemungkinan kemudian dari syair yang sama yang terdapat dalam Syair Cermin Islam karya Muhammad Yasin bin Abbas murid Syeikh Abdul Wahhab al-Khalidi Babus Salam, Langkat.

Petikan syair dalam Syair Cermin Islam, cetakan yang ketujuh, di Tempat Cap Haji Muhammad Sa’id bin Haji Arsyad, No. 82 Arab Street, Kampung Geylang, Singapura, 9 Zulhijjah 1345 H sebagai berikut:

“Syair Cermin Islam khatamlah ia,

di Mathba’ Haji Muhammad Sa'’d yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,

pada 4 Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,

Sabtu harinya,

jam satu setengah,

1342 hijrahnya Enam Jun 1924, tahunnya,

sembilan puluh tahun umurnya.”

Dalam Syair Dandan Setia pula tertulis,

“Khatamlah Syair Dandan Setia,

di Mathba'’ Haji Muhammad Sa'’id yang bahagia Al-Marhum telah meninggal dunia,

pada empat Zulkaedah bulan yang mulia Lepas zuhur,

Sabtu harinya,

jam satu setengah,

1342 hijrahnya Enam Jun 1924,]

tahunnya,

sembilan puluh tahun umurnya.”

Sunday, November 12, 2006

SYEIKH WAN DAUD AL-FATHANI BAHJATUDDIN AL-ARIF AR-RABBANI

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

SEJAK kisah karamah Tok Kenali, diperkenalkan Isnin, 2 Oktober lalu, ramai menghubungi saya melalui telefon dan e-mel.

Saya cuba membuat analisis perbandingan secara keseluruhan kegemaran pembaca dari pelbagai golongan tentang isu-isu yang pernah disentuh dalam siri ulama seperti pendidikan, politik, ekonomi, sejarah, manuskrip, bahasa, sastera, asal usul keturunan jihad dan lain-lain serta yang terakhir sekali isu karamah. Ternyata pengikut isu karamah adalah yang paling ramai menghubungi saya.

Mereka bukan menolaknya, tetapi rasa ingin tahu tentang ulama dunia Melayu yang mempunyai karamah.

Agak berat saya menulis perkara tersebut, bukan kerana kekurangan bahan, tetapi pada pandangan saya, para ulama yang masih belum begitu diketahui oleh orang ramai perlu dapat dibuktikan dengan hasil-hasil peninggalannya, seperti kitab karangan, institusi pendidikan, dan lain-lain seumpamanya.

Ada pun kisah mengenai Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani telah saya terbitkan dalam bentuk buku (Malaysia dan Indonesia) dan dalam kertas-kertas kerja yang dibentang dalam beberapa seminar.

Oleh itu sudah sampai gilirannya, kerana memenuhi permintaan pihak-pihak tertentu, minta supaya karamah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga ditempatkan dalam ruangan bicara ulama Nusantara ini.

Pada judul digunakan istilah-istilah, iaitu Bahjatuddin dan Al-Arif Ar-Rabbani. Perkataan Arab Bahjatuddin jika diterjemah ke dalam bahasa Melayu bererti Keelokan Agama, iaitu salah satu nama gelar yang diberikan orang kepada Syeikh Daud Abdullah al-Fathani yang pernah terdapat dalam sebuah kitab karangan beliau. Perkataan Al-Arif Ar-Rabbani juga diberikan oleh beberapa ulama kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sejak zaman beliau dan gelaran itu kekal digunakan pada beberapa kitab karangan beliau hingga sekarang ini.

Menurut tradisi keilmuan Islam, khususnya ilmu tasawuf, hanya ulama-ulama yang sampai kepada peringkat Haal dan Maqam para Wali Allah saja yang layak diberikan gelar Al-Arif Ar-Rabbani atau Al-Arif Billah. Tidak ramai ulama dunia Melayu memperoleh gelaran demikian.

Di antara yang tidak ramai itu termasuk juga Al-Alim Al-Allamah Al-Arif Ar-Rabbani Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Dari julukan nama yang demikian agung, ramai orang tidak ragu-ragu tentang cerita-cerita karamah yang pernah berlaku terhadap ulama besar, Wali Allah, yang banyak menghasilkan kitab karangan, yang berasal dari Patani itu.

Rumah Kerisik

Ketika saya berumur antara empat dan lima tahun, belum bersekolah, cerita tentang karamah seorang Wali Allah yang pertama sekali saya dengar ialah Karamah Syeikh Daud al-Fathani. Sewaktu ibu saya, Hajah Wan Zainab Syeikh Ahmad al-Fathani, mengajar golongan hawa, beliau menggunakan salah sebuah kitab Syeikh Daud Abdullah al-Fathani. Beliau meriwayatkan, “Pada satu ketika sewaktu Syeikh Daud al-Fathani mengajar di rumahnya di Kerisik, Patani tiba-tiba beliau berhenti mengajar.”

Lalu digerak-gerakannya tangannya.

Lengan bajunya basah. Ada muridnya bertanya, kenapa Tok Syeikh itu berkelakuan demikian. Tok Syeikh Daud menjawab, “Aku menolong orang karam!” Sejurus kemudian orang karam itu datang menemui Tok Syeikh Daud kerana membayar nazar. Setelah orang-orang yang mengikuti pengajian kepada ibu saya tersebut pulang, saya bertanya kepada ibu saya, bagaimanakah caranya orang yang diam di atas darat boleh menolong orang karam di laut? Ibu saya menjawab, “Belajar rajin-rajin. Mengaji Quran banyak-banyak. Berdoa banyak-banyak. Nanti di kemudian hari kamu ketahui.”

Saya tidak perlu memaksa diri sendiri atau orang lain percaya atau pun menolak riwayat di atas, tetapi setelah saya membanding pelbagai perubahan zaman dapatlah saya fahami maksud perkataan ibu saya itu. Bererti beliau faham ilmu psikologi pendidikan kanak-kanak pada zaman itu (tahun 1950). Kenapa kita menolak cerita karamah para Wali Allah ? Sedangkan zaman kita sekarang cerita yang bercorak robot yang direka oleh manusia moden, seperti ultraman, doraemon, power rangers, termasuk juga pendidikan seks yang diketahui oleh kanak-kanak yang masih di bawah umur apakah kita tidak terfikirkan dampak negatifnya terhadap remaja Islam dan bangsa Melayu untuk masa-masa yang akan datang ?

Oleh itu kisah mukjizat para Nabi dan karamah para Wali Allah adalah patut diperkenalkan. Di dalamnya banyak peroleh petunjuk dan keberkatan bukannya membawa kejumudan seperti pendapat pihak-pihak tertentu yang selalu sinis dari sesuatu yang bersumberkan daripada tradisi Islam.

Kisah di atas juga saya dengar di Kerisik, Patani, tahun 1970 di rumah tempat kejadian (rumah yang dibina oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani). Rumah tersebut runtuh (terpetak di atas tanah) pada 1989, kebetulan ketika kejadian itu saya berada di Patani. Saya menyaksikan sendiri, bahawa ada bahagian penting tempat sebuah peti manuskrip atau naskhah-naskhah tulisan tangan tidak mengalami kerosakan. Berhari-hari khazanah ilmu itu tidak dipedulikan orang, terbiar begitu saja sehinggalah saya datang ke tempat itu.

Saya memang mempunyai hak atas pemilikan naskhah-naskhah itu, oleh itu telah saya selamatkan dengan apa yang ada dalam koleksi saya. Dari peristiwa tersebut dan perbandingan lainnya, saya dapat mengambil iktibar bahawa keghairahan kebanyakan orang selalu berusaha memperoleh harta pusaka yang bercorak kebendaan, tetapi sangat jarang atau sedikit sekali orang yang mengutamakan khazanah ilmu yang dipusakai oleh datuk neneknya.

Setelah saya kaji peri kehidupan Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, bahawa beliau lebih mengutamakan pusaka khazanah ilmu dari kebendaan lainnya, barangkali kerana itulah sebahagian ilmu-ilmu yang berasal dari beliau masih selamat sampai sekarang. Hasil-hasil karangan beliau masih banyak diajarkan orang di pelbagai tempat di dunia Melayu. Namanya tetap harum semerbak di sepanjang zaman.

Keberangkatan ke Mekah

Peristiwa karamah Syeikh Daud Abdullah al-Fathani sewaktu beliau akan ke Mekah yang pertama kali diriwayatkan sebagai berikut, “Tok Syeikh Daud adalah seorang suka berusaha sendiri, beliau tidak suka membebankan urusannya kepada orang lain termasuk terhadap kedua orang tuanya. Pada satu ketika, beliau ingin menunaikan haji ke Mekah sekali gus untuk belajar ke sana.”

Sejak kecil yang diusahakannya hanyalah menuntut ilmu, tidak pernah menghiraukan sesuatu pekerjaan lainnya. Walau pun beliau tahu bahawa kedua orang tuanya mampu mengirimnya ke Mekah, namun beliau tidak pernah menceritakan hasratnya itu. Sebagai seorang yang terpelajar dalam pelbagai ilmu, salah satu kaedah dalam ilmu tasawuf mempedoman bahawa hakikat pentadbiran, sama ada diri peribadi atau dari sekecil-kecil alam semesta hingga yang sebesar-besarnya adalah mutlak milik Allah s.w.t..

Tasawuf juga mengajar bahawa doa adalah senjata yang paling ampuh untuk mengatasi segala persoalan. Oleh itu Tok Syeikh Daud lebih mengutamakan berdoa daripada terlalu bersibuk-sibuk mencari wang. Kerana Tok Syeikh Daud berdoa dengan keseluruhan dirinya, diri yang zahir dan diri yang batin, tiada bahagian tubuh zahir dan batin, yang tidak ikut serta dalam munajat kepada Allah, maka doanya sentiasa dikabulkan Allah. Kabul itu pula ada kelainan daripada biasa.

Bahawa pada suatu hari Tok Syeikh Daud melihat seekor lembu menanduk busut. Tok Syeikh Daud berfikir mengapakah lembu itu berbuat demikian? Beliau munajat, mohon petunjuk kemungkinan ada rahsia yang tersembunyi pada kelakuan binatang itu.

Pada malam hari, Tok Syeikh Daud bermimpi bahawa di dalam busut itu tersimpan emas supaya beliau mengambilnya untuk belanja berangkat ke Mekah dan keperluan selama beliau belajar di sana. Emas itu pula supaya disedekahkan kepada semua orang miskin yang berada di Kerisik. Cara bersedekah pula hendaklah dengan rahsia, iaitu emas itu diletakkan di bendul pintu setiap rumah. Semua petunjuk dalam mimpi itu telah beliau kerjakan.

Sungguh ajaib, semua rumah yang diletakkan emas itu, pemiliknya bermimpi pula bahawa mereka menerima sedekah dari Tok Syeikh Daud.

Diriwayatkan, bahawa beliau seorang yang qana'ah (cukup seadanya saja), oleh itu amanah itu dilaksanakan dengan sejujur-jujurnya. Dengan demikian hidup beliau penuh berkat dan rahmat hinggalah ke akhir hayatnya.

Orang-orang yang menerima sedekah daripada Tok Syeikh Daud juga demikian adanya. (Sumber cerita diperoleh di Kerisik daripada beberapa orang tua-tua kewarisan Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, tahun 1970).

Jin di alam manusia

Selalu kita mendengar ada orang mencari ilmu untuk menguasai jin atau pun makhluk halus. Mereka bermaksud dengan jenis ilmu yang demikian dapat mengatasi keperluan atau menyampaikan sesuatu hajat. Ini berbeza dengan para Wali Allah. Mereka tidak memerlukan ilmu seperti itu kerana mereka selalu berpegang kepada akidah yang betul. Sungguh pun begitu, ada beberapa orang ulama dunia Melayu termasuk Syeikh Daud Abdullah al-Fathani yang pernah menjadi guru kepada jin yang beragama Islam.

Diriwayatkan: “Ada satu jin yang menyamar bersama-sama dengan jenis manusia belajar kepada Tok Syeikh Daud di Masjid al-Haram, Mekah. Jin itu menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak tahu bahawa dia adalah bangsa jin. Sebenarnya Tok Syeikh Daud bukannya tidak tahu perkara itu, bagi seorang Wali Allah sesuatu rahsia yang belum diketahui oleh orang ramai beliau tidak akan menceritakannya selagi perkara itu tidak merosakkan pihak lainnya.

Pada satu malam, jin itu menjemput Tok Syeikh Daud dan gurunya yang berbangsa jin datang ke rumahnya kerana mengadakan kenduri. Semua yang hadir adalah bangsa jin dan mereka merendahkan diri kepada Tok Syeikh Daud.

Alam itu sebenarnya adalah alam jin, tetapi mereka cuba hadir kepada alam manusia. Maksud mereka bukan untuk menipu Tok Syeikh Daud tetapi mereka ingin mengambil berkat atas ketinggian martabat Wali Allah bangsa manusia itu.

Mereka menyangka bahawa Tok Syeikh Daud tidak mengetahui perkara itu, sebenarnya sebelum datang ke tempat itu beliau telah maklum bahawa jemaah yang hadir di tempat itu bukan bangsa manusia tetapi adalah jemaah jin.

Setelah selesai upacara, jin tuan rumah bersedekah kepada Tok Syeikh Daud satu bungkusan yang di dalamnya terdapat ketulan-ketulan emas dan pelbagai jenis permata yang mahal-mahal harga. Tok Syeikh Daud menolak sedekah itu dengan secara halus, dibahagi-bahagikan kepada semua bangsa jin yang hadir di tempat itu sehingga tidak ada sesuatu pun yang tinggal pada beliau.

Cerita di atas dapat menjadi pengajaran, bahawa pada zaman moden sekarang masih ada orang yang ingin mendapatkan harta kekayaan melalui jin. Tetapi berbeza dengan ulama seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, beliau tidak memerlukan barangan yang bukan dari alam kita sendiri.

Tidaklah berlebihan, saya kemukakan sedikit pengalaman bahawa saya pernah menyaksikan ada orang dapat mengambil jongkong emas, keris, dan permata dari alam ghaib. Tetapi ternyata emas di alam jin tidak menjadi emas di alam kita. Emas di alam jin hanyalah tembaga apabila masuk ke alam kita.

WAN ABDULLAH TUAN TABAL

Khatib Kelantan

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

NAMA dalam percakapan ialah Tuan Tabal. Nama sebenarnya ialah Syeikh Wan Abdus Shamad bin Muhammad Shalih al-Kalantani. Kisah beliau telah diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, pada 4 Oktober 2004.

Demikian juga anak beliau, Haji Wan Muhammad Al-Kalantani, Mufti Kelantan yang ke-IV, diperkenalkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, pada 3 April 2006.

Artikel ini memperkenalkan anak Tuan Tabal yang bernama Haji Wan Abdullah. Saya segerakan riwayat anak Tuan Tabal dalam keluaran ini, kerana pada pertengahan Ramadan saya terima panggilan telefon, disusuli dengan surat tarikh 23 Ramadan 1427 H/18 Oktober 2006 dari sahabat saya Ustaz Mahmud Abdul (bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia) yang minta kehadiran saya dan bahan-bahan pameran pada majlis Hari Raya Aidilfitri dan Silaturahim Ahli Keluarga Tuan Tabal yang akan diadakan pada Ahad, 19 November ini di Dewan Muslimat, Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Kuala Lumpur. Isteri Ustaz Mahmud Abdul sendiri adalah keturunan Tuan Tabal ulama yang sangat terkenal itu.

Seiringan dengan itu, sempena hari raya, saya terlebih dahulu mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1427H kepada pihak Utusan Malaysia, maaf zahir dan batin. Kerjasama dan jasa Bahagian Agama, Utusan Malaysia, yang menyiarkan artikel ulama-ulama kita, sangat-sangat disanjung tinggi. Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin, saya tujukan juga kepada semua pembaca terutama mereka yang tekun mengikuti ruangan Ulama Nusantara.

Oleh sebab anak Tuan Tabal yang bernama Haji Wan Musa (Mufti Kelantan), banyak ditulis orang maka saya ganti dengan adik beliau, iaitu Haji Wan Abdullah. Sekurang-kurangnya ada dua orang bernama Haji Wan Abdullah keturunan Tuan Tabal yang hidup sezaman dan sama-sama berperanan penting dalam perkembangan Islam di Kelantan.

Haji Wan Abdullah yang pertama ialah anak Tuan Tabal (yang diriwayatkan dalam artikel ini) dan yang seorang lagi ialah Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Musa, berertilah Haji Wan Abdullah ini adalah cucu Tuan Tabal.

Haji Wan Abdullah bin Tuan Tabal lahir pada 1293 H/1877M, wafat Jamadilawal 1345 H/Disember 1926M. Mendapat pendidikan asas tentang Islam daripada ayahnya sendiri, Tuan Tabal, di Kota Bharu Kelantan. Wan Abdullah bersama abangnya Wan Musa melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Guru utama bagi kedua adik beradik tersebut, ialah Syeikh Wan Ali Kutan dan Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Syeikh Wan Ali Kutan adalah ayah saudara bagi kedua-duanya, kerana ibu mereka Hajah Wan Kaltsum, adalah kakak kepada Syeikh Wan Ali Kutan (sila lihat Utusan Malaysia, 4 Oktober 2004).

Sebagaimana Syeikh Wan Ali Kutan, demikian juga dengan Tuan Tabal, masih termasuk dalam lingkungan keluarga besar ulama-ulama Patani yang di dalamnya juga termasuk Syeikh Ahmad al-Fathani.

Jadi tidaklah menghairankan, mulai dari Tuan Tabal dan semua anak-anaknya yang belajar di Mekah, sangat mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani berbanding ulama-ulama lainnya. Dua perkara memang terjalin sejak lama, iaitu jalinan satu asal usul datuk nenek. Yang kedua, jalinan keilmuan yang mantap dari keluarga besar tersebut sejak pertama kedatangan Islam di rantau ini hingga ke zaman mereka yang diriwayatkan ini. Bahkan tidak dapat dinafikan hingga artikel ini saya tulis, keturunan mereka masih tetap aktif dalam pelbagai bidang, termasuk masih ramai yang menjadi ulama.

SUMBER PENYELIDIKAN

Satu-satunya sumber utama untuk menyusun biodata Nik Wan Abdullah ialah kitab Majmu' Khuthab al-Juma' al-Malayuwiyah yang disunting oleh Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani, yang diterbitkan oleh The Ikhwan, Kota Bharu, Kelantan dan dicetak oleh Singapura Jawi Press, Jalan Engku Aman Geylang Road, Singapura, pada 21 Syaaban 1356 H.

Petikan beberapa maklumat sebagai berikut, “... yang tersunting di dalam risalah ini, hamba guguskan dia daripada pungutan dan gubahan al-Fadhil Tuan Haji Wan Abdullah bin al-Alim ar-Rabbani asy-Syeikh Abdus Shamad al-Kalantani.” (Majmu' Khuthab, pada kulit depan).

Diperjelas lagi dengan kalimat, “... yang dipungutkan dia daripada lautan bahasa Arab, kemudian digubahkan dia kepada kebutan-kebutan bahasa Jawi (Melayu Kelantan) yang sangat munasabah dengan golongan masanya oleh al-Fadhil Tuan Haji Wan Abdullah bin al-Alim ar-Rabbani asy-Syeikh Abdus Shamad al-Kalantani. Telah mendiruskan (maksudnya: menyirami) Allah Taala dengan hujan rahmat-Nya atasnya, lagi reda Allah kepadanya. Maka berasalah di dalam hati hamba akan bahawa hamba jadikan dia satu gugusan yang ditentu namanya ...” (Majmu' Khuthab, hlm. 6).

Dalam bentuk syair Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani memberi maklumat tentang aktiviti Haji Wan Abdullah sebagai berikut;

“Nama Muallif hamba sebutkan,

Haji Wan Abdullah itu dimasyhurkan

Di Kota Bharu Kelantan ia istiqama,

sebelah hilir masjid tahulah ia

Haji Abdus Salam, kampung yang bernama,

di situlah ia mengajar ugama

Hendaklah ikhwan dia begitu,

setiap Jumaat digilirkan satu.”

Daripada beberapa maklumat ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Abdullah pernah menjadi khatib di Masjid Muhammadi sekitar dua tahun, iaitu tahun 1916 - 1918 M. Selain itu beliau pernah menjadi Ahli Majlis Agama Islam Kelantan. Melalui pelbagai sumber diriwayatkan bahawa Haji Wan Abdullah adalah seorang ulama yang berpegang kukuh dalam fiqh Mazhab Syafie, seperti juga abangnya yang sulung, Mufti Haji Wan Muhammad, tetapi dalam beberapa hal ada sedikit perbezaan dengan Mufti Haji Wan Musa.

Selain ahli dalam fiqh Mazhab Syafie, beliau juga ahli dalam ilmu usuluddin, mengikut Mazhab Ahli Sunah wal Jamaah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Pada konteks kepelbagaian pemikiran pula Haji Wan Abdullah adalah seorang ulama yang mendalam tentang falsafah.

Sebagaimana ulama-ulama tradisional lainnya, Haji Wan Abdullah, mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam tentang tasawuf. Sekali gus beliau pengamal Tarekat Sufiyah, terutama Tarekat Ahmadiyah seperti yang diamalkan oleh ayah beliau Tuan Tabal, demikian kedua-dua abangnya Mufti Haji Wan Muhammad dan Mufti Haji Wan Musa.

Haji Wan Abdullah adalah pengamal Tarekat Ahmadiyah, sungguhpun beliau lebih muda dari Tok Kenali, tetapi ketika di Mekah sama-sama belajar kepada ulama-ulama yang telah disebutkan di atas. Riwayat Tok Kenali saya tulis dalam Utusan Malaysia, 2 Oktober 2006, tetapi ada pembaca kurang puas kerana tarekat yang diamalkan Tok Kenali tidak saya sebut.

Sebenarnya perkara tersebut belum perlu saya jawab dalam ruangan ringkas ini, tetapi perlu saya tegaskan bahawa saya tidak sependapat dengan golongan yang berpandangan bahawa tarekat adalah ajaran sesat.

Ajaran tarekat mempunyai hujah yang kuat berdasarkan kepada al-Quran, hadis dan diamalkan oleh para Nabi dan Rasul, termasuk Nabi Muhammad s.a.w. Ketika sesuatu Tarekat Sufiyah belum diberi nama pengkhususan, dalam al-Quran dan hadis disebut dengan zikrullah.

Oleh itu, ulama yang beramal dengan sesuatu tarekat termasuk Haji Wan Abdullah mempunyai pilihan yang tepat, bukannya bidaah dhalalah seperti yang dituduhkan oleh golongan yang anti- tarekat.

Penulisan khutbah

Haji Wan Abdullah menghasilkan penulisan tentang khutbah yang kemudian dikumpulkan oleh Ismail bin Kecik bin Haji Awang Abu bin Haji Mahmudi al-Kalantani. Himpunan dan suntingan karya Haji Wan Abdullah yang diusahakan itu diberi judul Majmu' Khuthab al-Juma' al-Malayuwiyah li Tafhim man La Ya'rif al-'Arabiyah.

Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani selesai menghimpun dan menyunting karya Haji Wan Abdullah yang tersebut pada hari Ahad, 5 Rabiulakhir 1343 H. Riwayat hidup Ismail bin Kecik Mahmudi al-Kalantani masih belum diketahui tetapi berdasarkan beberapa kalimatnya dapat dipastikan bahawa beliau adalah seorang murid yang setia kepada Haji Wan Abdullah.

Sebelum membicarakan sesuatu kandungan khutbah Haji Wan Abdullah terlebih dulu membicarakan hukum-hukum yang tertakluk dalam persekitaran khutbah, syarat-syaratnya dan lain-lain.

Semua yang dibicarakan adalah sama dengan kebanyakan kitab dalam Mazhab Syafie. Sungguhpun demikian, jika kita teliti ada perkara yang nadir atau jarang dibicarakan terdapat juga dalam Majmu' Khuthab al-Juma'. Kenadiran atau perkara yang jarang ditulis oleh orang lain, lalu ditulis oleh seseorang ulama, di situlah letak nilai ilmu dan seni seseorang ulama dalam menerapkan pendidikan dan dakwahnya.

Di antara perkara nadir yang terdapat dalam karya tersebut seperti tulisan beliau: “Dan makruh berkata-kata pada tatkala khatib membaca khutbah pada Mazhab Imam kita Syafie. Ada pun pada mazhab imam yang lain haram berkata-kata pada ketika itu.” (Majmu' Khuthab, hlm. 14).

Masih dalam kategori perkara nadir, Haji Wan Abdullah menganjurkan beberapa perkara yang sunat dikerjakan ketika sewaktu menghadiri ibadah Jumaat, beliau tulis: “Dan sunat memakai serban, kerana hadis bahawasanya Allah s.w.t. dan segala Malaikat-Nya selawat sekalian atas yang memakai serban hari Jumaat. Dan sunat memakai serban bagi sekalian sembahyang. Dan tersebut pada hadis satu sembahyang dengan memakai serban afdal daripada dua puluh lima sembahyang dengan tiada memakai serban ...” (Majmu' Khuthab, hlm. 16).

Judul-judul khutbah yang terdapat dalam Majmu' Khuthab karya Haji Wan Abdullah di antaranya ada dua judul membicarakan tentang bulan Ramadhan. Mengenai ini dicatat tarikh selesai penulisan akhir Ramadan 1338 H/akhir Jun 1919 M. Terdapat satu judul tentang Hari Raya Aidilfitri. Haji Wan Abdullah memang diketahui umum bahawa beliau adalah seorang ulama yang sentiasa mengamalkan wirid, tasbih, zikir dan lain-lain, sehingga dalam khutbah Aidilfitri sempat juga beliau bicarakan perkara itu.

Kata beliau: “Tersebut di dalam hadis, Barang siapa berkata Subhanallah wa bi hamdih pada hari raya, 300 kali, dan dihadiahkan pahalanya kepada segala orang yang mati daripada segala orang yang Islam, nescaya masuklah pada tiap-tiap kubur mereka itu 1,000 cahaya. Dan Allah s.w.t menjadikan orang yang menghadiahnya pada kuburnya 1,000 cahaya, apabila ia mati.” (Majmu' Khuthab, hlm. 83).

HAJI WAN MUSA TUAN TABAL

Pernah Mengundang Perdebatan Hebat

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TUAN TABAL dan dua orang anak beliau telah diperkenalkan sebelum ini. Artikel ini pula akan memperkenalkan mengenai anak beliau yang bernama Haji Wan Musa bin Tuan Tabal, iaitu salah seorang Mufti Kelantan yang pernah mengundang perdebatan khilafiyah antara beliau dengan beberapa orang ulama para sahabat yang seperguruannya dan ulama-ulama lainnya.

Riwayat Mufti Haji Wan Musa pernah ditulis oleh Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hasan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan (cetakan pertama, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977), juga oleh Ismail Awang yang dimuat dalam majalah Pengasuh dan kemudian dimuat dalam buku, Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1). Juga ditulis oleh beberapa orang lainnya.

Oleh sebab riwayat Mufti Haji Wan Musa sudah agak banyak ditulis sebelum ini, maka dalam artikel ini saya utamakan membahas sepucuk surat yang dikirim oleh Haji Wan Musa dari Kota Bharu, Kelantan kepada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Surat bertarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M. Oleh yang demikian, banyak perkara yang tidak dibicarakan dalam tulisan-tulisan yang terdahulu terdapat dalam artikel ini.

Berdasarkan tahun kelahiran Haji Wan Musa 1291H/1874M, dapatlah dipastikan bahawa beliau adalah abang pada Haji Wan Abdullah yang lahir 1293H/1877M (riwayatnya dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 30 Oktober 2006). Haji Wan Musa pula adalah adik pada Mufti Haji Muhammad yang lahir 5 Rejab 1287H/1 Oktober 1870M. Haji Wan Musa meninggal dunia pada hari Sabtu, 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939M. Para guru ketiga-tiga putera Tuan Tabal yang tersebut adalah sama, iaitu dimulai dari pendidikan asas oleh Tuan Tabal sendiri, kemudian mereka melanjutkan pelajaran di Mekah. Guru mereka ketika di Mekah yang paling berkesan ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan mereka.

BAHASAN SURAT

Surat Haji Wan Musa tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M, beliau menggunakan hampir semua gelaran kebesaran Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah diberikan oleh para ulama lainnya. Haji Wan Musa menulis: “Alhamdulillah wahdah, bahawa ditaslimkan ke bawah Hadhrat Sa'adah wa Qudwah al-Ulama' al-'Amilin wa 'Umdah al-Atqiya' al-Kamilin Fakhr al-A'yan wa Bahjah az-Zaman wa Qurrah 'Ain al-Ikhwan al-Ghani bi Kamalih 'an al-Ishtinab lima hawah min 'Ulwu al-Janab Uztazuna al-'Allamah wa Mulazuna al-Fahamah, kakanda Wan Ahmad bin al-Mukarram al-Haji Wan Muhammad Zain al-Fathani yang di Mekah al-Musyarrafah pada Syu'ib 'Ali ...” Semua gelaran yang ditulis dalam bahasa Arab tidak saya terjemah, kerana telah saya kupas dalam buku judul Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 1.

Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk ganti nama Syeikh Ahmad al-Fathani, lazimnya panggilan daripada seorang murid kepada guru ialah perkataan ‘ayahanda’. Panggilan ‘kakanda’ yang digunakan tidak salah kerana masih ada hubungan kekeluargaan antara Haji Wan Musa dengan Syeikh Ahmad al-Fathani yang status persaudaraan boleh dipanggil `berpupu-puan.’ Dalam kekeluargaan, Tuan Tabal adalah pangkat ayah saudara Syeikh Ahmad al-Fathani antara dua atau tiga pupu. Lebih dekat lagi kerana Hajah Wan Kaltsum, ibu Haji Wan Musa, adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Hajah Wan Aisyah.

Beliau adalah adik beradik dengan Hajah Wan Cik ibu Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara anak Syeikh Wan Ali Kutan dan Hajah Wan Aisyah, ialah Haji Wan Abdur Rahman, Hajah Wan Fatimah, dan lain-lain bererti saudara sepupu Haji Wan Musa dari pihak ibu Haji Wan Musa kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Haji Wan Abdur Rahman dan Hajah Wan Fatimah juga saudara sepupu Syeikh Ahmad al-Fathani dari pihak ibu sama ibu adik-beradik. Sekiranya tidak melalui jalan perkahwinan atau jalan yang disebutkan ini, Syeikh Wan Ali Kutan dan kakaknya Wan Kaltsum adalah pangkat ayah dan ibu saudara Syeikh Ahmad al-Fathani.

Oleh sebab itulah maka dalam surat Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk diri Syeikh Ahmad al-Fathani, tidak menggunakan perkataan ‘ayahanda’, walau pun beliau seorang murid. Dan beliau menyebut dirinya ‘adinda’, tidak perkataan ‘anakanda’.

Setelah kalimat dalam bahasa Arab, Haji Wan Musa mengharapkan doa Syeikh Ahmad al-Fathani untuk keluarga, terutama diri dan anak-anak beliau termasuk dalam perhimpunan ulama, Haji Wan Musa menulis, “... serta adalah upah umrah tiga rial bagi Mek Cik binti Abdus Shamad boleh kakanda tolong menghasil akan dia. Dan ada pun tiga rial, adinda minta kakanda tolong beli kitab al-Fawaid al-Madaniyah atau al-Makkiyah dan adinda taraddud (maksudnya: ragu-ragu, pen) sedikit antara dua nama itu, yang ada menyebutkan Ishthilah at-Tuhfah, dan lainnya. Dan minta kekanda tolong beli kitab Mushthalah al-Hadits satu, dan Ushul Fiqh satu yang kecil-kecil, mana-mana yang elok pada hadrat kekanda. Dan kitab Nashaih ad-Diniyah satu.

“Maka jika tidak cukup rial itu, maka kekanda suruh Ahmad anak Haji Muhammad Manan beri dahulu. Kemudian boleh adinda bayar kepadanya di Jawi. Maka boleh kekanda terima ambil rial yang tersebut itu bersama-sama dengan surat ini di dalam bungkus rial yang adinda kirim kepada Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan.”

Dalam petikan di atas dapat diketahui ada adik beradik Haji Wan Musa yang perempuan, ialah Mek Cik binti Abdus Shamad. Belum begitu pasti apakah Mek Cik binti Abdus Shamad itu sama ada kakak ataupun adik Haji Wan Musa, dalam dugaan saya kemungkinan adalah kakak.

Dalam kalimat-kalimat di atas dapat dibuktikan bahawa Haji Wan Musa seorang yang sangat gemar kepada pelbagai jenis kitab ilmu pengetahuan. Ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Musa selalu menyisihkan wangnya untuk menambah jumlah kitab yang dimilikinya. Setiap kitab yang dibeli pasti dibaca, bukan hanya disimpan atau dijadikan perhiasan saja.

Pada konteks di atas dipastikan bahawa Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan adalah sebagai utusan Haji Wan Musa kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan (lahir 1301H/1884M, wafat 1357H /1938M) termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan selanjutnya juga menjadi murid Haji Wan Musa. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan termasuk dalam golongan ulama besar yang terkenal di Kelantan.

Perkembangan khilafiyah di Kelantan selalu dilibatkan orang kepada Mufti Haji Wan Musa. Barangkali polemik Haji Wan Musa yang paling awal ialah antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Transliterasi surat tentang itu selengkapnya sebagai berikut: "Dan lagi adinda maklum kepada hadrat kakanda, adalah adinda berkhilaf sedikit dengan Imam Haji Wan Daud pada bicara suatu masalah. Maka jadi munazharahlah adinda dengan dia, pada malam Selasa 10 Rabiulawal. Maka tiadalah adinda boleh ketahui siapa yang benarnya, kerana tiada hakim yang boleh memutuskan perbalahan itu. Maka adinda harap hadrat kakanda tolong menyatakan kepada adinda, adakah betul faham adinda itu atau ia yang betul?

Supaya adinda pakai kemudian hari pula. Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya. Tetapi ibaratnya sehabis-habislah tiada eloknya, harapkan kekanda maaf banyak-banyak. Dan jika ada salah adinda pada tempat mana-mananya di dalam surat itu, maka minta kekanda nyata kepada adinda pada tahun hadapan ini supaya boleh adinda ketahui, ’’...Yang dimaksudkan pada kalimat... pada malam Selasa, 10 Rabiulawal ... itu ialah pada tahun 1322 H. Tarikh 10 Rabiulawal 1322H jika dijadikan tahun Masihi ialah 24 Mei 1904M.

Semua buku yang membicarakan tentang polemik Haji Wan Musa tidak pernah menyebut peristiwa antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Demikian juga tentang tarikh dan tahun kejadian, 10 Rabiulawal 1322H/24 Mei 1904M tidak pernah disebut. Semua polemik Mufti Haji Wan Musa dengan beberapa orang ulama hanya disebut mulai berlaku tahun 1916 M (lihat Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan, hlm. 120).

Imam Haji Wan Daud yang tersebut juga salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani, menurut riwayat selain pernah menjadi Imam Masjid Muhammadi, beliau juga pernah menjadi Mufti Kelantan. Imam Haji Wan Daud meninggal dunia tahun 1326 H/1908 M, lebih kurang empat tahun setelah perselisihan pendapat dengan Haji Wan Musa. Haji Wan Musa dilantik menjadi Mufti Kelantan menggantikan Imam Haji Wan Daud yang tersebut itu.

Sehingga artikel ini saya tulis, saya belum dapat menjejaki masalah-masalah yang menjadi pertikaian pendapat antara Haji Wan Musa dengan Imam Haji Wan Daud yang tersebut dalam surat di atas kerana dalam surat hanya menyebut: “Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya.”

Permasalahan yang dinyatakan “adinda surat pada satu kertas ...” yang maksudnya dilampirkan bersama surat tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M hingga kini belum dijumpai. Jawapan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai yang tersebut juga belum dijumpai.

KAUM TUA - KAUM MUDA

Pada zaman yang sama dengan Haji Wan Musa di Minangkabau muncul istilah Kaum Tua dan Kaum Muda. Pada pandangan saya, Haji Wan Musa, sukar untuk dituduh sebagai Kaum Muda, kerana banyak perbezaan dengan pemikiran yang dinamakan Kaum Muda di Minangkabau, Jawa dan tempat-tempat lainnya di Indonesia. Sebagai contoh Kaum Muda di Indonesia menolak amalan dalam sesuatu tarekat sedangkan Haji Wan Musa adalah seorang yang sangat berpegang teguh dan beramal dengan Tarekat Ahmadiyah.

Beberapa pegangan hukum fiqh dalam Mazhab Syafie ada yang dipertahankan oleh Haji Wan Musa. Sebaliknya sesetengah peribadi pengikut Kaum Tua hanyalah berpegang dengan longgar dan rapuh. Sebagai contoh tentang hukum zakat fitrah dan wakaf. Haji Wan Musa secara konsekwen tetap berpegang seperti ulama-ulama Syafieyah lainnya, zakat fitrah mestilah segera dibagikan kepada yang berhak menerimanya, tidak boleh digunakan untuk pembangunan walau untuk membina masjid sekali pun. Sesuatu yang dinamakan ‘wakaf’ tidak boleh diperjual belikan walau dengan alasan apa pun juga.

Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa ada beberapa perkara yang lain, nampaknya ada persamaan antara Haji Wan Musa dengan Kaum Muda di Indonesia.

Sebagai contoh tentang melafazkan Ushalli, masalah jilatan anjing, talqin, dan lain-lain. Khusus mengenai yang tersebut ini Haji Wan Musa ditentang oleh hampir keseluruhan ulama Kelantan termasuk Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor. Sanggahan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani terhadap Haji Wan Musa ditulis dalam kitab Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar (selesai ditulis pada 17 Muharam 1339H/30 September 1920M).

Untuk maklumat lanjut mengenai Ulama Nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_khazanah@yahoo. .com atau hubungi talian 03-6189 7231.

SYEIKH ABDULLAH ARIF

Penyebar Islam Pertama di Aceh

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

NEGERI-negeri pertama di Nusantara atau dunia Melayu memeluk agama Islam ialah Aceh, Kedah dan Patani. Berbagai-bagai teori tentang kedatangan Islam di dunia Melayu. Ada sarjana berpendapat kedatangan Islam langsung dari tanah Arab.

Pendapat yang lain pula menyebut datang dari India, terutama dari Malabar dan Gujerat.

Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar wa ar-Rayahin menyebut ia juga diperanani oleh bangsa Arab-Andalus. Ada juga pendapat yang menyebut dari negeri China. Semua pendapat saya tinggalkan saja, yang dibicarakan di sini ialah bahawa daripada sekian ramai penyebar Islam yang datang di Aceh itu ialah Syeikh Abdullah Arif dan yang di Kedah pula Syeikh Abdullah al-Qumairi.

Kedua-dua ulama yang tersebut hidup sezaman dengan seorang Wali Allah yang sangat terkenal, ialah Syeikh Abdul Qadir al-Jilani. Tokoh-tokoh Islam yang datang di dunia Melayu sebahagian besar adalah diperanani oleh ulama sufi. Sebagai bukti bahawa mereka lebih mengutamakan tasawuf sekurang-kurangnya dapat dibuktikan dengan sebuah karya tulis judul Bahr al-Lahut yang dikarang oleh Syeikh Abdullah Arif.

Hingga abad yang ke-16, ajaran tasawuf masih mendominasi seluruh aspek dalam pendidikan Islam, persuratan, dan kehidupan masyarakat Melayu terutama di Aceh. Pada abad ke-16 hingga 17, hampir seluruh karya Syeikh Hamzah al-Fansuri adalah tentang tasawuf belaka. Bahkan kesan kekukuhan ajaran tasawuf masih dapat dirasakan hingga pada zaman ini.

Syeikh Abdullah Arif adalah seorang pendatang dari bumi Arab ke Aceh bersama sekian ramai mubaligh lainnya. Ada orang meriwayatkan bahawa di antara sahabat Syeikh Abdullah Arif ialah Syeikh Ismail Zaffi. Barangkali Syeikh Abdullah Arif ada hubungan atau pernah berkenalan atau pun menjadi murid seorang Wali Allah yang terkenal iaitu Syeikh Abdul Qadir al-Jilani (lahir 471 H/1079 M, wafat 561 H/1166 M).

Syeikh Abdul Qadir al-Jilani juga pernah sampai di Aceh, demikian menurut H.M. Zainuddin dalam buku Aceh dan Nusantara. Memperhatikan tahun wafat Syeikh Abdul Qadir al-Jilani 561 H/1166 M dengan salah satu pendapat yang menyebut bahawa Syeikh Abdullah Arif tiba di Aceh tahun 560 H/ 1165 M (setahun sebelum kewafatan Syeikh Abdul Qadir al-Jilani), bererti dapat dipastikan sekurang-kurangnya kedua-dua ulama itu hidup sezaman.

Tersebut dalam sebuah majalah ilmiah yang diterbitkan di Mekah al-Mukarramah Zulhijjah 1356 H bersamaan Februari 1938 M, an-Nida' al-Islami, bahawa yang mula-mula penyebar agama Islam bangsa asing datang ke Sumatera ialah seorang dari Mekah iaitu Syeikh Abdullah Arif pada abad ke-13 Masihi.

Pedagang Mekah

Syeikh itu seorang pedagang di antara beberapa pedagang Mekah. Kedatangannya itu membawa pelbagai barangan yang dihasilkan di negeri Hijaz, seperti pelbagai jenis kurma, kulit kambing dan lain-lain. Syeikh Abdullah Arif itu membawa barang-barangnya turun di Sumatera Utara (Aceh), dia diterima oleh masyarakat di sana.

Disebabkan rasa tanggungjawab untuk menyebarkan Islam, dan sebab yang lain penduduk Aceh zaman itu sangat mesra bergaul dengan orang-orang Arab, termasuk Syeikh Abdullah Arif, maka mereka saling rasa terhutang budi. Oleh hal yang demikian, Syeikh Abdullah Arif dan orang-orang Arab yang lain, tertutup hati mereka untuk kembali ke negeri mereka atau pun merantau ke tempat yang lainnya.

Diriwayatkan pula bahawa Syeikh Abdullah Arif mula memberi pendidikan kepada masyarakat, ramai yang masuk Islam dan ramai pula muridnya. Murid-murid Syeikh Abdullah Arif menyebarkan Islam di pantai Barat pulau Sumatera, daerah Minangkabau.

Di antara murid beliau yang terkenal ialah Syeikh Burhanuddin. Syeikh Burhanuddin adalah yang pertama menyebarkan Islam di Sumatera Barat (Minangkabau). Kuburnya dijumpai di Kuntu di tepi Sungai Kampar Kiri (tahun wafat 610 H/1214 M). Syeikh Burhanuddin murid Syeikh Abdullah Arif ini lain dari Syeikh Burhanuddin Ulakkan murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri.

Dalam buku prosiding Risalah Seminar Sejarah Masuknya Islam ke Indonesia, mencatatkan tahun kedatangan Syeikh Abdullah Arif itu, dinyatakan bahwa menurut hikayat yang bersumber kita sendiri seorang pengembang Arab bernama Syeikh Abdullah Arif sudah memulai pengembangan itu pada tahun Masihi 1177.

Dalam an-Nida’ al-Islami pula pula menyebut tahun 1170 M, berdasarkan penyelidikan seorang sarjana Jerman. Penyelidikan yang terkini ada pendapat lain tentang ketibaan Syeikh Abdullah Arif di Aceh, ialah tahun 506 H/1111 M dan tahun 560 H/1165 M. Tentang kubur Syeikh Abdullah Arif, H.M. Zainuddin menulis, bahawa “ada lagi satu kompleks kuburan yang bernama Jeurut Kling (Kuburan Keling). Di antara kuburan itu oleh seorang perempuan tua yang menyebut kubur Keling itu, namanya didengar dari orang-orang yang melepaskan nazar dulu disebut Abdullah Arif.”

Timur Sumatera

Di negeri-negeri di pantai timur pulau Sumatera pula Syeikh Abdullah Arif tidak mengirim murid-muridnya, kerana ketika itu telah ada seorang bernama Johan Syah yang diutus oleh Sultan Aceh sendiri. Setelah memeluk agama Islam, Johan Syah menukar namanya kepada Ali Mandayat.

Beliau mendapat pendidikan Islam di India. Ali Mandayat menerima rintangan yang banyak dari penduduk yang belum beragama dan ada juga yang beragama Hindu. Oleh itu beliau terpaksa menyebarkan Islam dengan jalan berpindah-randah dari satu kampung ke kampung. Ali Mandayat berhasil mengirim utusan belajar ke Mekah al-Mukarramah.

Akhirnya Raja Mekah mengirim Syeikh Ismail ke Sumatera di bahagian pantai timur itu. Dalam waktu yang relatif singkat dan cepat, hanya sekitar 50 tahun sesudah aktiviti Ali Mandayat itu, agama Islam tersebar hampir ke seluruh pulau Sumatera.

Syeikh Abdullah Arif barangkali termasuk salah seorang penulis berbagai-bagai kitab tentang sufi, tetapi yang baru diketahui hanya sebuah, iaitu karyanya yang berjudul Bahr al-Lahut. Kitab Bahr al-Lahut ditulis dengan bahasa Arab. Hanya sebuah naskhah atau manuskrip dalam bahasa Arab dijumpai manakala naskhah atau manuskrip yang diterjemah ke bahasa Melayu terdapat beberapa buah.

Naskhah bahasa Arab pernah dimiliki oleh Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Makasar. Berdasarkan tahun kedatangan Syeikh Abdullah Arif di dunia Melayu dapat disimpulkan bahawa Bahr al-Lahut adalah risalah yang pertama sekali ditulis di rantau ini.

Nur Muhammad

Manuskrip dalam bahasa Arab adalah salinan yang diusahakan oleh Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Makasar. Secara umum kandungan Bahr al-Lahut adalah membicarakan akidah, tasawuf dan kejadian alam semesta. Dimulakan dengan kisah kejadian Nur Muhammad, dilanjutkan dengan kejadian alam semesta, tujuh petala langit, tujuh petala bumi, alam yang nyata dan alam yang ghaib.

Allah mengangkat darjat Nabi Muhammad s.a.w. pada sisi keagungan-Nya. Nabi Muhammad s.a.w. adalah makhluk Allah yang paling tinggi kedudukannya berbanding semua makhluk yang dijadikan oleh Allah s.w.t.. Nabi Muhammad s.a.w. adalah Nabi yang awal pada kejadian Nur dan Nabi yang akhir pada kejadian sebagai utusan Allah di permukaan bumi.

Tiada Nabi yang lain sesudah Nabi Muhammad s.a.w. Allah menjadikan itu sekeliannya daripada Nur al-Wilayah dan Nur an-Nubuwah. Bahawa Nur al-Wilayah dan Nur an-Nubuwah itu adalah sifat Nabi Muhammad s.a.w.. Nur al-Wilayah itu tempatnya pada batin (tersembunyi) sedang Nur an-Nubuwah itu tempatnya pada zahir (nyata).

Sesungguhnya ada lagi yang dinamakan jauhar. Bahawa jauhar yang pertama dinamakan Alam al-Kabir (Alam Besar). Selain itu Allah menjadikan sekalian rangkaian susunan kejadian kosmos yang dinamakan Arasy, Kursi, Lauh al-Mahfuz, kalam, Samawat (Langit), al-Ardh (Bumi), an-Nujum (bintang-bintang), syurga dan neraka berserta sekelian penghuni dan isinya.

Segala kejadian itu adalah ajaib belaka. Ada pun bumi dihuni oleh sekalian bangsa manusia, haiwan, jin dan syaitan. Dari semua nama yang disebutkan itu, mulai Arasy dan seterusnya hanya bumi saja paling banyak digunakan manusia, kerana bumi adalah tempat kediaman mereka.

Walaupun ada usaha-usaha manusia mengharungi angkasa luar hingga berusaha melakukan penyelidikan ke bulan dan planet-planet lainnya, namun pencapaian yang dapat dijangkau oleh kebanyakan manusia hanyalah dalam bumi juga.

Manusia diberi akal oleh Allah s.w.t. untuk mencapai segala-galanya, dengan tidak menafikan kemampuan tentang dunia, namun pada hakikatnya pengetahuan manusia tentang keseluruhan yang ada pada bumi sendiri pun tidak akan habis-habisnya untuk diselidiki dan digarap untuk kepentingan manusia.

Pegangan akidah

Pegangan akidah Syeikh Abdullah Arif adalah sama dengan pegangan ulama-ulama Ahli Sunah wal Jamaah yang muktabar, tentang tiada sesuatu yang tersembunyi bagi Allah s.w.t. Lalu beliau memetik pendapat yang beliau namakan ahlus sirri (maksudnya orang-orang yang dapat mengetahui perkara-perkara rahsia hakikat). Menurut Syeikh Abdullah Arif ahlus sirri berkata: “Ada pun Allah s.w.t itu melihat pada jauh dan melihat pada hampir sekeliannya.”

Pengertian Syeikh Abdullah Arif tentang syahadat pula beliau huraikan sebagai berikut: “Berkata ahli al-musyahadah, adapun tempat syahadat itu, bahawa melihat ia bagi dirinya, maka tiada dapat tiada segala orang yang Mukmin dipandang yang demikian itu, maka sahlah pandangannya seperti Allah dan Rasul-Nya.” Yakni diumpamakan seperti orang melihat sehari bulan dan melihat purnama bulan dengan penuhnya.

Maka telah berkata orang ahlul isyarah: “Ada pun sehari bulan itulah hendak menjadikan purnama bulan adanya.”

Selanjutnya dihuraikan pula tentang Islam, kata beliau, “ketahui olehmu bahawa Islam dan kamal al-Islam (kesempurnaan Islam) itu adalah dikukuhkan daripada kalimah syahadah.” Ada pun kamal al-Islam itu, maka memandang yang sebenar-benarnya, tulus dan ikhlasnya, iaitu mukmin dengan sebenar-benarnya kerana penglihatan itu seperti sabda Nabi s.a.w., Barang siapa berfikir dengan sekejap mata sekalipun, kerana memikirkan Allah Taala, maka terlebih baik daripada berbuat ibadat 1,000 tahun lamanya.

Syeikh Abdullah Arif membahas selanjutnya, Maka telah berkata orang ahl al-Muqabalah, “Jadikan dirimu dengan perintah tuhanmu dengan sempurna adamu dengan Qudrat tuhanmu. Maka dijadikan diri kamu itu sebagai tempat kenyataan kenal kepada tuhanmu.”

Untuk menguatkan pegangan Syeikh Abdullah Arif menggunakan dalil firman Allah, Tiap-tiap sesuatu itu binasa jua, melainkan yang tiada binasa hanya Allah, bagi-Nya kekuasaan menentukan hukum, dan kepada-Nya kamu dikembalikan. (Al-Qasas: 88)

* Untuk maklumat lanjut mengenai ulama nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.



Sunday, October 15, 2006

TOK BENDANG DAYA

Hulubalang Fathani Darus Salam
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TOK Bendang Daya ada dua orang. Tok Bendang Daya yang pertama diriwayatkan dalam artikel ini. Yang seorang lagi adalah anak beliau Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang diriwayatkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 20 Disember 2004.

Nama lengkap Tok Bendang Daya yang pertama ialah Syeikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Zainal Abidin /Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin Ali al-Masyhur al-Laqihi. Beliau lahir tahun 1160 H/1747 M, wafat tahun 1280 H/1863 M, di Kampung Bendang Daya, Patani.

Ayah beliau, Syeikh Wan Muhammad al-Fathani dan beberapa penyebar Islam di Patani sebelum itu adalah ulama dan pembesar kerajaan Patani.
Syeikh Haji Wan Mushthafa pernah menjadi hulubalang Sultan Fathani Darus Salam yang digelar Datuk Panglima Kaya yang juga digelar dengan nama singkat Hulubalang Wan Pa. Gelaran yang masyhur ialah Tok Bendang Daya.

Diriwayatkan beliau juga diberi hak mutlak untuk melantik sultan dan raja-raja dalam Daulah Fathani Darus Salam sebelum kerajaan itu dijajah oleh bangsa Siam. Apabila tua beliau membina Pondok Sena yang dipagari dengan pohon sena yang berjajar-jajar. Maka disebutlah kampung kawasan pondok itu dengan nama Sena Janjar dan kampung bersebelahan dengannya dinamakan Bendang Daya.

Kedua-dua kampung itu adalah dalam kawasan Kampung Sena yang besar dan luas yang dibuka atau diterokai oleh datuk nenek beliau. Tok Bendang Daya al-Fathani meninggal dunia semasa berusia kira-kira 120 tahun. Makam beliau terdapat di Kampung Bendang Daya juga dalam kawasan Kampung Sena.

Beberapa perkara penting yang dapat kita pelajari daripada kisah tokoh besar ini, sekurang-kurangnya menyentuh tentang seorang ulama yang menjadi panglima dalam sistem Daulah Fathani Darus Salam. Penglibatan beberapa ulama dalam perang melawan pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah, sistem pengajian pondok yang pertama paling ramai pelajarnya di dunia Melayu dan terakhir sekali cerita Lailatul Qadar. Semuanya tidak dapat dibicarakan dengan khusus, ada yang dapat dibicarakan di sini, ada pula terpaksa ditinggalkan atau dipotong kisahnya kerana sebab-sebab tertentu.

Perang

Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tercatat sekelumit kisah tentang penglibatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu perang besar ketika pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama ahli sufi penyusun kitab Siyar as-Salikin itu dinyatakan ghaib (hilang) atau pun syahid dalam perang itu (1244 H/1828 M). Daripada pelbagai sumber yang saya kumpulkan bahawa panglima perang Patani dalam perang itu ialah Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya). Sebuah manuskrip yang saya peroleh di Pontianak disebut pula yang ikut dalam perang itu ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Oleh sebab laporan di antara orang yang ikut dalam perang itu ada yang hijrah ke Pontianak, maka dalam manuskrip itu tercatatlah bahawa ketiga-tiga ulama besar dunia Melayu itu syahid di bumi Patani.

Mengenai kisah yang panjang belum perlu saya bahas, yang perlu saya sentuh ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disangka syahid adalah hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah bukan bererti lari daripada jihad. Tetapi menyusun strategi untuk kemenangan rangka panjang. Kerana kemenangan rangka pendek belum dapat dipastikan.
Tok Bendang Daya pula mengambil sikap tidak meninggalkan bumi Patani. Hidup atau mati yang bercorak bagaimana pun mestilah di bumi Patani juga. Walau bagaimanapun taktik dan strategi perjuangan perlu disusun secara kemas dan rapi. Sekiranya belum dapat kemenangan, selagi nafas dikandung badan, selagi bulan dan matahari terbit dan terbenam, selagi dunia belum kiamat, janji untuk diri sendiri dan titipan wasiat kepada umat Melayu Patani, perjuangan mempertahankan Islam dan negara adalah wajib diteruskan.

Perjuangan kedua-dua ulama Patani itu akan diketahui sepanjang zaman, tidak akan hilang dari sejarah perkembangan tamadun bangsa Melayu dan Islam buat selama-lama. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berjuang dari segi penulisan pelbagai ilmu dalam Islam. Termasuk juga Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang diselamatkannya melalui penyalinan. Tok Bendang Daya pula, supaya beliau tidak dapat dikesan oleh musuh-musuh, telah menyamar sebagai orang bodoh, tidak tahu sesuatu apa pun.

Tok Bendang Daya faham di tempat mana beliau berada, oleh itu pada ketika yang lain beliau menjadi seorang sufi, seolah-olah seorang yang tidak perlu kepada kepentingan duniawi. Tetapi secara sangat rahsia Tok Bendang Daya memantap dan menghimpunkan kembali saki baki pejuang-pejuang Islam bangsa Melayu terutama orang-orang Kedah dan Patani yang setia kepadanya.

Riwayat ini masih belum lengkap jika tidak memberi sedikit gambaran tentang kehebatan Tok Bendang Daya semasa perang. Oleh itu amanah dari periwayat perlu juga dipindahkan ke dalam bentuk tulisan tersebar ini. Diriwayatkan bahawa Tok Bendang Daya menyertai perang pencerobohan Siam terhadap Patani yang terjadi tahun 1235 H/1820 M hinggalah perang tahun 1244 H/1828 M.

Sungguhpun umur beliau ketika itu sangat tua, namun tetap masih gagah, tangkas dan berwibawa. Selain mampu menyusun taktik pertahanan dan taktik penyerangan, Tok Bendang Daya juga ada ketahanan menghadang pelbagai jenis senjata termasuk peluru meriam yang ada pada zaman itu.

Berkali-kali beliau kena tembak dengan meriam, tetapi ada satu keanehan bahawa apa jua jenis peluru menjadi jinak dan lunak kepadanya. Peluru yang sampai kepadanya hanya melekat pada bahagian pakaiannya tidak gugur ke tanah, tidak pula menembusi hingga kepada kulit, apatah lagi masuk hingga ke daging.

Selepas pulang dari sesuatu peperangan, peluru-peluru yang melekat pada pakaian barulah dibuang dengan jalan mengibas-ngibaskan pakaian itu. (Sumber cerita dari Tuan Guru Haji Muhammad bin Yusuf, salah seorang buyut Tok Bendang Daya, juga didengar dari Tuan Guru Haji Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Ibu beliau, cucu Tok Bendang Daya sempat saya jumpa di Mekah, 1979, ketika itu berumur lebih 100 tahun namun beberapa maklumat dapat saya sahihkan kepada beliau).

Ada orang bertanya, ilmu dan amalan apa yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya sehingga berkemampuan demikian?

Agama Islam adalah sangat luas dalam pelbagai hal. Apabila kita akan menceburi diri di dalam sesuatu perkara perlulah belajar ilmu apa saja yang ada hubungan dengan perkara itu. Jika menghadapi peperangan seperti Tok Bendang Daya perlulah belajar pelbagai sektor ilmu tentang peperangan. Nabi Muhammad s.a.w ketika berperang juga menggunakan pelbagai cara termasuk dengan doa-doa tertentu.

Saya tidak pasti doa khusus yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya untuk ketahanan diri ketika dalam perang, namun walau bagaimana pun berdasarkan catatan anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, bahawa Tok Bendang Daya mengamalkan surah al-Ikhlas, yang dibaca beribu-ribu kali serta dengan doanya.

Lailatul Qadar

Pada hari ini, 23 Ramadan 1427 H, yang mana kita ketahui, ramai orang yang berjaga malam, tertunggu-tunggu untuk mendapatkan pahala ibadat, lebih baik daripada 1,000 bulan, seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu Lailatul Qadar. Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan berjaya bertemu malam yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan itu.

Di antara ulama yang bertemu dengan Lailatul Qadar itu ialah Tok Bendang Daya dan anak beliau Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya ke-II).

Riwayat Tok Bendang Daya bertemu Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya hampir semua rakyat Patani pernah mendengarnya. Ceritanya tersebar sejak dulu hingga sekarang ini. Walau bagaimana pun semuanya adalah cerita lisan, tidak terdapat satu pun dalam bentuk tulisan. Yang berupa catatan bertulis yang saya mulakan, tahun 1970. Saya dengar, saya tanya dan saya catat dari Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Yang saya ketahui bahawa Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi ketika catatan saya lakukan adalah merupakan satu-satunya cicit Tok Bendang Daya yang tertua, yang teralim dan yang paling mengetahui hampir semua aspek sejarah keluarga yang dibicarakan ini.

Selama sebulan, dalam bulan Ramadan 1390 H/November 1970 saya bersama beliau telah men ziarah Makam Tok Bendang Daya. Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi bercerita sebagai berikut, “Pada suatu malam, dinihari, bulan Ramadan, sewaktu Tok Bendang Daya akan mengambil air wuduk untuk melakukan solat tahajud tiba-tiba perasaannya berubah, beliau tidak berada di alam nyata. Dalam perasaannya, dilihatnya semua pepohon rebah menghadap ke perigi Bendang Daya. Air perigi tiba-tiba membeku. Sedarlah beliau bahawa peristiwa tersebut kemungkinan yang dinamakan Lailatul Qadar.”

Tok Bendang Daya kemudian berdoa mohon kepada Allah pada malam yang berkat itu agar empat anak lelakinya menjadi ulama dan setiap salah seorang daripada empat orang anaknya itu ada yang jadi ulama yang bersambung terus hingga ke hari kiamat. Keempat-empat anak beliau itu ialah Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Disingkatkan namanya menjadi Syeikh Muhammad Zain al-Fathani atau dikenal dengan sebutan Tuan Guru Wan Din al-Fathani. Anak Tok Bendang Daya yang kedua bernama Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, beliau inilah yang digelar dengan Tok Bendang Daya yang kedua. Anak Tok Bendang Daya yang ketiga bernama Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang menyebarkan Islam di Bangkok. Dan anak Tok Bendang Daya yang keempat ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani yang lebih dikenal dengan sebutan Tok Cik Wan Daud al-Fathani, beliau mengajar di Mekah, di rumahnya dan di Masjidil Haram, Mekah.

Kisah anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II), juga bertemu Lailatul Qadar di tempat yang sama, saya tinggalkan saja, namun perlu saya nyatakan bahawa apa yang dialami oleh kedua-duanya adalah berbeza. Saya belum mencatat secara terperinci berapa orang ulama dunia Melayu yang diriwayatkan pernah bertemu Lailatul Qadar, tetapi yang pasti bilangannya ramai. Antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Di dalam beberapa kitab diriwayatkan ramai ulama Islam yang terkenal seperti Imam Syafie, Abi Yazid al-Bistami dan lain-lain, juga pernah bertemu Lailatul Qadar dengan pengalaman yang berbeza-beza pula.

Friday, October 06, 2006

SYEIKH ABDUR RAUF AL-BANTANI

Khalifah Tarekat Qadiriyah
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

ULAMA yang berasal dari Banten pada judul di atas, namanya pertama kali saya sebut dalam Pengenalan siri ke-7 dan yang lebih lengkap dalam siri ke-9. Oleh sebab terdapat riwayat-riwayat baru dan dijumpai sebuah manuskrip yang belum saya sebut dalam tulisan terdahulu maka profil beliau saya bentangkan dalam kertas kerja Peranan Para Ulama Tasawuf di Nusantara pada Seminar Kebangsaan Kefahaman Tasawuf Nusantara pada 13 Februari 2006 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah Kusza, Kuala Terengganu, Terengganu.
Program itu adalah anjuran Persatuan Pelajar Usuluddin (PPUS) Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

Artikel ini adalah penambahan beberapa maklumat yang belum dibicarakan sebelum ini. Antara maklumat terkini ialah penemuan beberapa manuskrip yang ada hubungan dengan beliau, sebuah daripada tulisan tangan beliau sendiri tentang Tarekat Syathariyah. Sebuah sumber lagi manuskrip tulisan keturunan murid beliau bernama Ali bin Sulaiman tentang Tarekat Naqsyabandiyah.

Berdasarkan semua karya Syeikh Haji Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani yang ada pada saya, dapat diambil beberapa kesimpulan. Pertama, beliau mengembara bermula di Banten, Jawa Barat, Aceh, Yaman, Mekah dan negeri Syam. Antara guru yang beliau sebut sama ada beliau sempat berguru dengannya ataupun guru kepada gurunya ialah Syeikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, Syeikh Muhammad Zain al-Mazjaji dan Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi. Syeikh Haji Abdur Rauf al-Bantani menulis bahawa dua tahun (1160 H/1747 M dan 1161 H/ 1748 M) beliau menjadi khadam dua Wali Allah di Mekah. Salah seorang bernama Syeikh Muhammad ath-Thabari (wafat 1163 H/1749 M) dan Syeikh Ibrahim bin Syeikh Thahir al-Kurdi al-Madani.

Penulisan

Manuskrip karya-karya Syeikh Haji Abdur Rauf yang telah dijumpai ialah: 1. Manuskrip Risalah fi Bayan Ilmin Nafas, salinan diselesaikan tahun 1112 H/1700 M. Oleh sebab salinan ini diselesaikan tidak sampai dua tahun setelah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati wafat (1110 H/1699 M), dapat disimpulkan bahawa Syeikh Haji Abdur Rauf sempat berjumpa dengan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati. Kandungannya merupakan pengajaran ilmu perjalanan nafas yang terdiri daripada nafas, anfas, tanaffus, dan nufus. Ilmu yang dibicarakan adalah termasuk dalam bahagian ilmu tasawuf dan tarekat.
2. Risalah Bayan al-Izalah al-Khawathir, diselesaikan pada waktu Asar, hari Rabu, 3 Jamadilawal 1154 H/1741 M.
3. Masalah Yang Dikarang Oleh 'Arif Billah diselesaikan malam Khamis, enam likur, Rabiulakhir 1214 H/1799 M. Manuskrip yang diperoleh hanyalah salinan oleh Ahmad Terengganu ibnu Idris. Kandungannya membicarakan tasawuf tingkat tinggi atau tasawuf falsafah. Dimulai daripada perbicaraan sifat-sifat Allah dilanjutkan tentang perbicaraan roh. Disebutkan asal ilmu ini ialah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, turun daripada Haji Abdul Muhyuddin Karang Pamijahan turun daripada Syeikh 'Abdur Rauf al-Asyi. Pada bahagian akhir risalah dinyatakan, “... ini kami mengambil risalah ini karangan Syeikh Masyaikh segala Jawi, iaitu Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkel nama kampungnya.”
4. Risalah Isyarah Haqiqah, tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan.
5. Risalah Yang Menghimpunkan Masalah Yang Dikarang Ahli Tasawuf Arif Billah tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan.
6. Mukhtasar Tasnif Syaikh Masyaikh Yang Kamil Mukammil Syeikh Abdur Rauf Ibnu Ali tidak dinyatakan tarikh. Kandungan merupakan petikan dan ringkasan karangan Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang membicarakan tanda-tanda untuk mengetahui kematian serta tatacara melakukan zikir.
7. Risalah Tarekat asy-Syathariyah tidak dinyatakan tarikh selesai penulisan. Manuskrip ini saya peroleh pada 27 Ramadan 1426 H/30 Oktober 2005 M. Oleh sebab banyak terdapat perkara baru dalam manuskrip ini, yang selama ini masih belum diketahui, maka ia perlu dibicarakan agak panjang.

Maklumat sebelum ini yang diketahui ialah Syeikh Abdur Rauf ialah pengamal Tarekat Qadiriyah, bahkan pada hujung nama beliau digelar sebagai Khalifah Qadiriyah. Setelah ditemui Risalah Thariqatisy Syathariyah dapat diketahui beliau juga pengamal Tarekat Syathariyah. Sungguhpun risalah yang dibicarakan ini mengenai Tarekat Syathariyah, namun pada permulaan kalimat beliau tetap memakai nama lengkap dengan Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiriyi al-Bantani dan tidak memakai nama sebagai Khalifah asy-Syathariyi.

Syeikh Abdur Rauf menyebut bahawa beliau menerima Tarekat Syathariyah daripada Wali Allah Syeikh Ibrahim bin Syeikh Thahir al-Madani. Selanjutnya beliau berkata, Syeikh Thahir al-Madani menerimanya daripada Syeikh Hasan al-Ajami. Syeikh Hasan al-Ajami menerima daripada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Yang perlu diperhatikan dalam salasilah ini ialah nama Syeikh Thahir al-Madani, ayah beliau ini ialah Syeikh Ibrahim bin Hasan bin Syihabuddin al-Kurdi al-Kurani (wafat 1101 H/1689 M).

Salasilah

Kebanyakan salasilah yang diketahui Syeikh Ibrahim bin Hasan bin Syihabuddin al-Kurdi al-Kurani inilah murid Syeikh Ahmad al-Qusyasyi yang paling terkenal, tetapi dalam salasilah di atas disebut pula Syeikh Hasan al-Ajami. Berdasarkan maklumat ini bererti Syeikh Thahir al-Madani telah menerima Tarekat Syathariyah daripada ayah beliau sendiri, iaitu Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani, seperti disebut dalam kebanyakan salasilah dan beliau menerima pula daripada Syeikh Hasan al-Ajami.

Syeikh Hasan al-Ajami dan Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani kedua-duanya adalah murid pada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Syeikh Ibrahim bin Hasan al-Kurani dan Syeikh Ahmad al-Qusyasyi, kedua-duanya adalah guru kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ini adalah guru kepada Syeikh Abdul Malik Terengganu (Tok Ku Pulau Manis), dan lain-lain. Anak Syeikh Thahir al-Madani ialah Syeikh Muhammad Sa'id Thahir. Anak Syeikh Muhammad Sa'id Thahir bernama Syeikh Muhammad As'ad. Syeikh Muhammad As'ad inilah yang membaiah Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Syeikh Abdur Rauf juga seorang ahli dalam Tarekat Naqsyabandiyah. Salasilah beliau mengenai tarekat ini adalah berdasarkan tulisan keturunan murid beliau bernama Ali bin Sulaiman Kuala Mempawah dalam karya berjudul Ilmu Akidah yang disiapkan pada hari Ahad, bulan Jamadilakhir 1298 H/Mei 1881 M. Diterangkan bahawa Ali bin Sulaiman Kuala Mempawah belajar kepada Tuan Haji Sulaiman. Tuan Haji Sulaiman belajar kepada Tuan Imam Malim Kaya. Tuan Imam Malim Kaya inilah murid Syeikh Abdur Rauf. Syeikh Abdur Rauf dibaiah Tarekat Naqsyanbandiyah oleh Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain. Beliau ini dibaiah oleh ayahnya sendiri Syeikh Zain al-Mazjaji. Salasilah selengkapnya hingga yang lebih atas saya tinggalkan saja. Ia belum dapat dibicarakan dalam artikel ini.

Sebagai keterangan ringkas salasilah di atas perlu saya sentuh bahawa berdasarkan beberapa bukti, penulisnya Ali bin Sulaiman kemungkinan adik-beradik dengan Syeikh Muhammad Yasin Kedah yang berhijrah dari Kedah ke Kuala Mempawah. Ali adalah anak Tuan Haji Sulaiman yang ada hubungan dengan ulama di Aceh. Oleh itu, gurunya Tuan Imam Malim Kaya adalah ulama yang berasal dari Aceh. Belum dapat dipastikan adakah Tuan Imam Malim Kaya belajar daripada Syeikh Abdur Rauf ketika di Mekah ataupun ulama Banten yang suka mengembara itu pernah sampai ke Aceh.

Ditinjau daripada salasilah Syathariyah, hanya satu tempat yang tersebut saja merupakan maklumat baru, ditinjau daripada huraian kandungan Risalah Thariqatisy Syathariyah memang banyak perkara baru. Kitab-kitab mengenai Tarekat Syathariyah lebih awal ditulis oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, dan yang kemudian ditulis oleh Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan lain-lain dalam bahasa Melayu. Namun beberapa perkara yang masih kurang tersebar yang tidak terdapat dalam karya-karya lain ternyata terdapat dalam Risalah Thariqatisy Syathariyah oleh Syeikh Abdur Rauf yang sedang dibicarakan ini. Masih pada mukadimah lagi, Syeikh Abdur Rauf menyebut, “...Tarekat Syathariyah, tarekat segala Auliya' yang besar-besar.”

Antara perkara yang dihuraikan lebih lengkap daripada naskhah lain seperti pada adab duduk, kata beliau, “Kelima, duduk menghadap kiblat serta bersila. Maka urat lututnya yang kiri disepitnya dengan ibu kaki yang kanan.” Adab yang kesembilan disebutkan Fatihah tawassul dihadiahkan untuk Syeikh Abdur Rauf, tanpa menyebut Syeikh Abdur Rauf yang mana dimaksudnya. Dipercayai adalah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Walaupun salasilah Tarekat Syathariyah, beliau secara lurus tidak menyentuh ulama besar yang berasal dari Aceh itu, namun bertemu Syeikh Ahmad al-Qusyasyi. Sesudah menyebut ahli salasilah tempat tujuan tawassul lalu dinyatakan doa tawassul yang khusus, yang doa tersebut belum dijumpai dalam semua naskhah Tarekat Syathariyah bahasa Melayu. Termasuk adab yang paling penting dalam disiplin tasawuf ialah mematuhi guru. Sangat banyak perkataan gurunya beliau pindahkan ke dalam naskhah Risalah Thariqah asy-Syathariyah. Syeikh Abdur Rauf menulis, “...kata orang ahlillah, dan lagi menyuruh guru kami, yang Kamil Mukammil iaitu Syeikh Ibrahim anak Syeikh Thahir Madinah ar-Rasul kepada fakir....”

Kerana terlalu banyak yang diperkatakan, antara petikannya dilanjutkan dengan tulisan beliau, “...serta yakin kepada guru serta petunjuk, kerana guru ini menunjuk kepada jalan keselamatan. Sebab inilah disuruhkan guru kami. Kerana guru ganti Nabi s.a.w. sebab inilah kita wajib mengikut akan pesuruh-Nya. Dan kata guru kami, “Janganlah engkau lupa dan lalai akan yang disuruh oleh guru, kerana jika durhaka kepada guru, nescaya sesat dengan sesat yang terlalu jauh.”

Syeikh Abdur Rauf menutup Risalah Thariqatisy Syathariyah, dengan katanya, “...jangan engkau lupa dan lalai akan zikir ini, kerana perbuatan segala Auliya' yang besar-besar, kerana jalan kepada Allah s.w.t.. Dan barang siapa tiada gurunya, maka syaitan gurunya. Sebab itulah wajib berguru akan jalan ini. Jangan engkau syak lagi akan hal perbuatan ini, kerana jalan segala Anbiya' dan Auliya' sekali-kali jangan lupa dan lalai kepada Allah. Dan lagi, janganlah lupa dan lalai akan zikir Allah, Allah siang dan malam itulah. Sekalian itu disuruh guru kami kepada fakir yang hina.”